Thursday, August 27, 2009

Doa Orang Berpuasa Tidak Akan Ditoak

Khamis, 6 Ramadhan 1430H - Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak ; doa orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa, imam atau penguasa yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatkannya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman : “Aku bersumpah demi kemuliaanKu sesungguhnya Aku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti ."

Rasulullah SAW juga bersabda: “ Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu lagi Maha Pemurah, Dia merasa malu sekiranya sesorang itu mengangkat dua tangannya kepadaNYa ( berdoa ) lalu Dia mengembalikannya kosong terhalang ( tidak dimakbulkan) “. ( Riwayat Ahmad, Abu Daud, At-Tarmizi, Ibu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim)

Maaikat Penjaga Arsy diperintahkan meninggalkan segala sesuatu pada bulan Ramadhan hanya disuruh berkata “Amin”. Banyak hadis menyatakan doa orang-orang berpuasa dimakbulkan.

Kita mungkin merasa hairan, walaupun ada janji-janji ini, masih ada orang-orang yang secara nyata tidak memperolehi apa yang dimintanya. Mereka berdoa tetapi tidak memperolehinya; tetapi ini tidaklah bererti bahawa doa-doa tersebut telah ditolak. Kita hendaklah faham maksud doa yang diterima. Rasulullah SAW memberitahu kepada kita bahawa apabila seorang Islam berdoa sesuatu kepada Allah dengan syarat dia tidak berdoa untuk memutuskan siratulrahim terhadap saudara terdekatnya atau apa-apa saja yang mendatangkan dosa, maka pastilah dia menerima salah satu daripada tiga perkara : Dia akan mendapat terus apa yang dipintanya ( tunai ). Jika tidak Allah akan menggantikannya dengan cara mengelakkannya daripada bala bencana besar di dalam perjalanannya, ataupun Allah akan menyimpan ganjaran ini di akhirat.

Di dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa pada Hari Akhirat, Allah akan memanggil hambaNYa sera bertanya kepadanya : “Wahai hambaku, Aku pernah menyuruhmu berdoa kepada KU?” Hamba Allah itu menjawab : “Ya, aku telah berdoa.” Kemudian Allah pun menjawab: “Tidak satupun doa-doa yang kamu pohonkan yang tidak di terima. Kamu berdoa agar bencana dijauhkan, maka telahKU lakukan di dunia. Kamu berdoa agar dukacita dihilangkan daripadamu tetapi tidak nampak kesan daripada doamu itu, Sesungguhnya Aku telah tetapkan kepadamu ganjaran-ganjaran demikian diakhirat."

Rasulullah SAW bersabda bahawa orang tersebut akan teringat semula tentang doanya dan akan ditunjukkan kepadanya bagaimana caranya doa-doa tersebut disempurnakan di dunia atau pun ia disempurnakan di akhirat. Apabila melihat ganjaran-ganjaran tersebut di akhirat, dia pun berharap agar tidak satu pun doanya dimakbulkan di dunia agar dapat diterima sepenuhnya di akhirat nanti.

Sesungguhnya doa adalah sangat penting dan mengabaikannya adalah suatu kerugian yang teramat besar. Walaupun pada zahirnya nampak doa tidak diterima namun janganlah berputus asa. Kita kena faham bahawa Allah memakbulkan doa kita dengan mengambilkira akan kebaikan dan muslihat diri kita. Jika Allah, mendapati pemberian itu bermanfaat dan baik, maka doa itu akan dimakbulkan, jika tidak Allah tidak akan memberikannya. Sebenarnya inilah kurniaan Allah kerana tidak selalu memberi apa yang kita inginkan. Biasanya kerapkali kita kurang memahami bahawa apa yang kita hajatkan tidak bermanfaat pada kita pada ketika itu.

Jangan mengutuk anak ketika marah. Berhati-hatilah dalam perkara ini terutama didalam bulan Ramadhan kerana ada masa-masa tertentu apabila berdoa, maka segera dimakbulkan oleh Allah SWT. Kadangkala disebabkan kejahilan kita, anak-anak dikutuk dan apabila kesan kutukan itu menimpa anak-anak tersebut, maka ibubapa pun mulalah kelam-kabut menangis dan berdukacita. Rasulullah SAW telah menerintahkan kita jangan sama sekali mengutuk diri kita, anak-anak kita, harta milik kita atau orang suruhan kita. Mungkin kutukan kita itu betul-betul terjadi kerana saat itu semua permintaan diterima terutama di dalam bulan Ramadhan yang dipenuhi dengan masa-masa yang teramat mustajab. Ibu Masud ra meriwayatkan bahawa pada setiap malam Ramadhan seorang penyeru daripada langit akan menyeru "Wahai pencari kebaikan, hampirlah: Wahai pencari maksiat berpalinglah daripada maksiat dan bukalah matamu.” Kemudiam malaikat itu menyeru: ”Adakah pencari keampunan, agar dia akan diampunkan dan adakah sesiapa yang menghendaki sesuatu hajatnya disempurnakan?”

Akhirnya, kita perlulah ingat bahawa terdapat beberapa syarat atau halangan untuk diterima sesuatu doa. Ketiadaan syarat-syarat ini, doa itu seringkali akan ditolak. Diantaranya ialah seperti yang dinyatakan dalam hadis-hadis berikut :

1.Makan, minum dan pakaian dari sumber yang haram. Sabda Nabi SAW : “Wahai manusia sesungguhnya Allah itu baik, Ia tidak menerima kecuali yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintah orang-orang beriman sebagaimana Ia telah memerintah dengannya Rasul-rasul sebagaimana firmanNya : Wahai Rasul-rasul makanlah dari yang baik-baik dan kerjakan amalan yang soleh,sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu kerjakan ( Al-Mu`minun:51 ) dan firmanNya: Wahai orang-orang yang beriman makanlah dari yang baik-baik dari apa yang telah Kami rezekikan kepada kamu ( Al-Baqarah:72 ). Kemudian Nabi SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang jauh permausafirannya, kusut masai rambutnya lagi berdebu mukanya menghulur ( mengangkat ) dua tangannya ke langit ( sambil berdoa ) : Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan yang haram, maka bagaimana akan dimustajabkan ( doanya ) yang sebegitu”. ( Ahmad, Muslim, At-Tirmizi, Ad-Darimi)

2.Gopoh / tergesa-gesa ( minta dimustajabkan doa) seterusnya meninggalkan berdoa. Sabda Nabi SAW : “Dimustajabkan doa salah seorang dari kamu selama ia tidak gopoh / tergesa-gesa, ia berkata: “Aku telah berdoa tetapi tidak pernah dimustajabkan doaku”. ( Al-Bukhari, Muslim)

3.Doa memohon dosa dan memutuskan silaturrahim. Sabda Nabi SAW: “ Mana-mana orang Islam yang berdoa dengan satu doa yang didalam doanya itu tiada perkara dosa dan memutuskan silaturrahim nescaya Allah akan memberikan dengan doanya itu salah satu dari tiga perkara : 1. Disergerakan baginya doa itu ( dimustajabkan) atau 2. Disimpan untuknya doa itu diakhirat atau 3. Dipalingkan darinya keburukan yang semisal ( sebanding ) dengan doanya. Lalu para sahabat berkata : “ Kalau begitu kami akan benyak berdoa. Sabda Nabi SAW : “Allah lebih banyak limpah kurniaNya.” ( Ahmad, Al-Hakim, Abu Ya`la, Al-Bazzar).

4.Meninggalkan amar ma`ruf dan nahi mungkar. Didalam hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Demi jiwaku yang berada didalam TanganNYA, hendaklah kamu menyuruh kepada yang ma`ruf ( kebaikan ) dan mencegah yang mungkar atau ( sekiranya kamu tidak melakukan demikian ) telah hampir Allah akan menurunkan hukuman / siksaan ke atas kamu dariNya kemudian kamu berdoa kepadaNya maka tidak dimustajabkan bagi kamu. “( Ahmad, At-Tirmizi).

5.Berdoa kepada Allah hanya ketika susah sahaja dengan lupa kepadaNya ketika senang. Sabda Nabi SAW : “ Kenallah kamu akan Allah semasa senang nescaya Allah akan kenal kamu ketika kamu susah.” ( Ahmad, At-Thabarani, Al-Hakim, Ibnu Abi`Asim).

6.Suami yang mempunyai isteri yang buruk akhlak tetapi tidak menceraikannya, tidak mengadakan saksi ketika memberi hutang dan memberi/menyerahkan harta kepada orang yang belum sempurna akal. Rasulullah SAW bersabda : “ Tiga golongan manusia yang berdoa kepada Allah tetapi tidak dimustajab doa mereka : 1. Seorang lelaki ( suami) yang dibawah penguasaannya seorang perempuan ( isterinya ) yang buruk akhlak tetapi ia tidak menceraikanya. 2. Seorang yang baginya ada hak hartanya atas orang lain ( yakni ia membei hutang kepada orang ) tetapi ia tidak mengadakan saksi ke atas hutang itu. 3. Sesorang yang memberi / menyerahkan harta yang dibawah jagaanya kepada orang yang belum sempurna akalnya, lalu Nabi SAW membaca firman Allah dari Surah An-Nisa` ayat 5 yang bermaksud: Dan janganlah kamu berikan / serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta ( mereka yang ada dalam jagaan ) kamu. “ ( Al-Hakim, At-Thahawi, Abu Nu`aim, Ad-Dailami ). Termasuk dalam maksud “orang-orang yang belum sempurna akal” ialah kanak-kanak, anak yatim, pemboros, dungu, gila dan seumpana mere yang tidak berkelayakan menguruskan harta mereka sendiri.

7.Berdoa dalam keadaan hati yang lalai lagi lupa kepada Allah. Sabda Nabi SAW : “ Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin doa kamu akan dimustajabkan. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah tidak memustajabkan doa dari hati yang lalai lagi lupa ( kepada Allah ). “ At-Tirmizi, Al-Hakim, At-Thabarani.

8.Berdoa dengan meninggikan/ mengangkat suara ketika berdoa ( yakni jangan berdoa dengan cara suara yang kuat ) kerana perbuatan itu ditegah oleh Allah dan RasulNya SAW. Allah berfirman : “ Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan bersuara perlahan,sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” (Surah Al a`raaf ayat 55 ). Allah memuji Nabi Zakaria yang berdoa kepadaNya dengan suara pelahan melalui firmanNYa : "(ingatkanlah peristiwa ) takala Zakaria berdoa kepada TuhanNya dengan suara yang perlahan.” ( Surah Maryam : ayat 3 ).

Rasulullah SAW bersabda: “ Wahai manusia! Kasihanilah diri kamu kerana sesungguhnya kamu tidak menyeru Tuhan yang pekak dan ghaib ( yang tidak wujud ), sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu Maha Mendengar, dekat ( dengan ilmuNya ) dan Ia bersama dengan kamu ( dengan ilmu dan qudrahNya ).” ( Riwayat Ahmad,Al-Bukhari,Muslim, Daud, Ibnu Abi’Asim )
Petikan"Hikmah & Fadhilat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya."

Wednesday, August 26, 2009

Puasa Sebagai Perisai Daripada Godaan Syaitan

Rabu, 6 Ramadhan 1430H - Diriwayatkan oleh Abu Ubaidah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Puasa adalah sebagai perisai, selagi dia tidak memecahkan perisai tersebut.”

Pengajaran Hadis

Perisai disini bermaksud puasa melindungi daripada musuhnya yang nyata yakni syaitan dan nafsunya. Didalam hadis ada disebut puasa dapat menyelamatkan sesorang itu daripada seksaan Allah dan api neraka jahannam diakhirat. Suatu ketika seorang bertanya Raslullah SAW: “Apakah yang menyebabkan puasa itu batal (rosak)?” Baginda menjawab: “Bercakap dusta dan mengumpat.”. Ulama telah mengariskan enam perkara supaya berhati-hati sewaktu berpuasa:-

1.Mengelak Melihat Sesuatu Yang Terlarang
Hendaklah mengelak pandangan daripada tempat-tempat atau gambar-gambar yang dilarang melihatnya. Ada yang lebih berhati-hati lagi sehingga melarang melihat walaupun isteri sendiri dengan pandangan bernafsu, apatah lagi wanita-wanita lain. Begitu juga melihat perbuatan-perbuataan maksiat atau jika maksiat itu dilakukan hendaklah segera ditinggalkan. Termasuklah pandangan atau tempat yang menyimpang tawajjuh seseorang itu daripada mengingati Allah. Rasulullah SAW bersabda:"Pandangan adalah seumpama anak panah daripada syaitan. Barangsiapa takut kepada Allah, jauhilah daripada melihat kepada maksiat. Maka Allah akan mengurniakannya dengan suatu cahaya iman yang kemanisan dan keghairahannya akan terasa dihati.”

2.Menjaga Lidah Daripada Berdusta.
Jagalah lidah daripada berdusta, perbualan yang sia-sia, menfitnah, mengumpat, hujah-menghujah, bersumpah-sumpah dan sebagainya. Jika ada orang yang mula berhujah maka katakana sahaja: “Aku sedang berpuasa”. Pada zaman Rasulullah SAW dua orang wanita sedang berpuasa dan tidak dapat menahan keperitan kelaparan, sehingga kedua-duanya hampir maut. Para sahabat membawa berita ini ke pengetahuan Rasulullah SAW, lantas baginda mengirim sebuah mangkuk dan menyuruh mereka muntah ke dalamnya. Apabila kedua-duanya memuntahkan isi perut mereka kedalamnya, maka keluarlah ketulan-ketulan daging mentah dan berdarah. Para sahabat terperanjat, lalu Rasulullah SAW bersabda:"Mereka berpuasa dengan makanan yang halal tetapi mengambil makanan yang haram dengan cara mengumpat semasa berpuasa maka keadaan puasa mereka menjadi semakin sukar. Oleh sebab itulah kedua-dua wanita itu hampir-hampir menemui maut." Allah berfirman didalam Al Quran bahawa mengumpat sama dengan memakan daging saudaranya yang telah mati.
Suatu ketika, takala melihat suatu kumpulan orang Rasulullah SAW menyuruh mereka mencungkil gigi mereka. Meraka menjawab bahwa pada hari itu mereka tidak makan apa-apa daging pun, lantas Rasulullah SAW bersabda;"Daging saudara itu dan saudara ini telah terlekat digigi –gigi kamu.” Dimaksudkan mereka telah mengumpat. Semoga Allah menjauhkan dari dosa ini kerana selalu lupa dengan pengingatannya.
Salah seorang sahabat Nabi SAW bertanya:"Apakah itu mengumpat ? Rasulullah SAW menjawab: “Menyebut sesuatu mengenai saudaramu dibelakangnya yang dia tidak suka.” Selanjutnya Sahabi bertanya: “Dan masihkan dikatakan mengumpat sekiranya apa yang disebutkan mengenainya itu benar terdapat padanya.?”Rasulullah SAW bersabda:"Dalam hal yang demikian yakni jika yang disebutkan itu memang benar maka sebenarnya itu mengumpat: jika apa yang disebutkan itu palsu, maka kamu telah menfitnahnya.” Suatu ketika Rasulullah SAW melewati dua buah kubur. Baginda pun bersabda:"Seksaan sedang dialami oleh kedua-dua penghuni kubur ini. Seorang sedang diseksa kerana dosa mengumpat,yang lainnya diseksa kerana tidak berhati-hati tatkala membuang air kecil.”

3.Jangan Mendengar Perkara yang Makruh
Kita hendaklah berjaga-jaga daripada mendengar sesauatu yang makruh. Sama juga haram mendengar sesuatu yang tidak sepatutnya disebut. Rasulullah SAW bersabda:"Mengenai mengumpat, kedua-dua pengumpat dan orang yang mendengar adalah sama berkongsi dosa.”

4.Menjauhi anggota Jasad Daripada Perbuataan Haram
Segala anggota jasad hendaklah dijauhi daripada dosa dan perkara-perkara yang haram. Tangan jangan menyentuhnya dan kaki janganlah berjalan kearahnya. Perut jangan diisikan ketika berbuka dengan sesuatu yang ragu-ragu halalnya atau sebaliknya.

5.Tidak Makan Terlalu Kenyang Ketika Berbuka
Tidak digalakkan memakan sekenyang-kenyangnya semasa iftar (berbuka) walaupun makanan yang halal kerana dikhuatirkan maksud daripada puasa kita tidak tercapai. Imam Ghazali ramatullah alaihi bertanya soalan: “Apabila tujuan berpuasa itu ialah untuk menundukkan nafsu serakah sebagai menentang iblis apakah ini boleh dicapai melalui memperbanyak makan ketika berbuka? Nabi SAW bersabda:"Syaitan mengalir ke dalam jasad kita seumpama darah, maka tutuplah jalannya dengan berlapar.”yakni apabila perut lapar, akan menperkuatkan semangat. Disamping memberi peluang kepada kita untuk mendidik hati bersimpati kepada orang miskin dan fakir. Nabi SAW bersabda:'Tidak ada yang lebih dibenci oleh Allah SWT akan sesuatu yang diisi dengan penuh daripada menenuhi perut dengan makanan.” Rasulullah SAW juga bersabda:"Memadailah beberapa suap makanan yang dapat meluruskan tulang belakang, satu pertiga dengan minuman, sedang satu pertiga lagi dibiarkan kosong.”

6.Merasa Bimbang Puasanya Tidak Diterima
Selepas menjalani puasa, hendaklah selalu bimbang samada puasanya diterima Allah ataupun tidak. Beginilah hendaknya dilakukan kepada semua bentuk ibadat. Maka seseorang yang berpuasa bukan hanya setakat berpuasa dengan ikhlas tetapi hendaklah dengan pengharapan agar puasanya diterima oleh Allah.
Petikan daripada buku Hikmah & Fadhilat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya.

Tuesday, August 25, 2009

Kelebihan Makan Sahur

  1. Selasa, 4 Ramadhan 1430H - Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra, “Sesunggunhnya Allah dan para malaikatNya mengirimkan rahmat ke atas mereka yang sedang makan sahur”.

    Keterangan Hadis:

    Betapa besarnya kurniaan Allah k eats kita sehingga makanan yang diambil ketika bersahur untuk berpuasa pun diberi ganjaran dengan banyaknya. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan bersahur dan ganjaran-ganjarannya dinyatakan. Pengulas Sahih Bukhari, Allmah Aini telah menukilkan kelebihan bersahur daripada tujuhbelas orang sahabat yang berlainan dan kesemua ulama bersetuju bahawa bersahur adalah mustahab ( disukai ).

    Masa Makan Sahur Yang Terbaik - Kebanyakan orang sering terlepas dariapada ganjaran besar ini semata-mata lantaran kemalasan mereka. Setengahnya menyudahkan Sembahyang Tarawih mereka lantas makan ( yang disangka oleh mereka, itulah makan sahur ) lalu pergi tidur. Betapa banyaknya berkat yang telah mereka dirugikan!! “Sahur” sebenarnya bermaksud mengambil makanan sebelum hampir waktu Subuh. Setengah ulama mengatakan bahawa waktu sahur bermula selepas sebahagian daripada malam berlalu (mirqat). Pengarang Kasy-Syaff ( Zamakhsyari) telah membahagikan malam kepada enam bahagian, menunjukkan bahagian yang terakhir adalah waktu sahur. Jadi apabila malam yakni setelah matahari terbenam sehingga Subuh mengambil masa 12 jam, maka 2 jam yang terakhir adalah waktu yang tepat untuk bersahur. Mengambil makanan pada waktu yang paling lewat terlebih besar ganjarannya daripada pada awal waktu dengan syarat tidak ada keraguan bahawa makanan sahur telah diambil sebelum Subuh.

    Makan Sahur Sunnah Rasulullah SAW - Rasulullah SAW bersabda; "Perbezaan diantara puasa yang kita lakukan dengan yang dilakukan oleh Ahlul Kitab ( Yahudi & Nasarani) adalah terletak didalam pengambilan makan Sahur yang mana mereka tidak lakukan”. Rasulullah SAW bersabda: “ Bersahurlah kerana di dalamnya terdapat berkat yang besar dan terdapat lagi keberakatan didalam tiga perkara, dalam jemaah, di dalam makanan “Tharid” dan bersahur.” Tharid adalah suatu makanan enak yang diperbuat daripada roti bakar yang dimasak bersama daging. Abdullah bih Haris ra, meriwayatkan bahawa seorang sahabat berkata,:” Suatu ketika aku menziarahi Rasulullah SAW takala baginda sibuk bersahur. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Inilah perkara yang penuh dengan keberkatan yang telah dikurniakan oleh Allah kepadamu. Janganlah tinggalkan.” Ketika menggalakkan kita supaya bersahur Rasulullah SAW telah bersabda:” Walaupun tidak ada makanan, maka sebiji tamar hendaklah dimakan ataupun seteguk air perlulah diminum”. Bilamana Rasulullah SAW mengundang mana-mana sahabat untuk makan bersahur bersama-samanya baginda selalu bersabda,: “Marilah mengambil makanan yang berkat ini bersama-samaku.” Di dalam hadis dinyatakan bahawa : "Bersahurlah dan perkuatkan puasamu.” Dan tidurlah selepas tengahari (Khailullah) untuk membantumu bangun pada akhir malam untuk beribadat. Walau bagaimanapuan, keserderhanaan adalah penting, jangan mengambil terlalu sedikit sehingga melemahkan diri sepanjang masa berpuasa dan tidak terlalu banyak memakanya sehingga mendatangkan kurang selesa hingga bertentangan dengan maksud berpuasa iaitu menahan diri dari makan dan minum dan nafsu syhawat.

    Beberapa Keberkatan Dalam Makan Sahur

    Dalam ulasan terhadap “Sahih Bukhari”,Ibn Hajar telah menyebut berbagai alas an tentang keberkatan bersahur.

    1. Dengan bersahur, sunnah diikuti.
    2.Melalui bersahur kita membezakan diri kita dengan cara ahlul-kitab dan umat-umat yang lain.
    3. Sahur akan menambah kekuatan untuk beribadat.
    4, Bersahur akan meningkatkan keikhlasan dalam beribadat.
    5. Bersahur menolong menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh lapar.
    6. Pada waktu bersahur adalah waktu yang dimakbulkan doa.
    7. Pada waktu sahur seorang itu dapat peluang untuk mengingati Allah dengan cara berzikir dan berdoa menadah tangan kepada Allah.
Petikan daripada buku "Himkah & Fadihlat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya".

Monday, August 24, 2009

5 Keistimewaan Bagi Yang Berpuasa

Isnin, 3 Ramadhan 1430H - Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullhan SAW bersabda : “ Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara istimewa yang belum pernah pun diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Isalam yang sedang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan dilautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah mempersiapkan dan menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: “ Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan besar ( di dunia ) dan akan mendatangimu. Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantai supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir bulan Ramadhan ( orang-orang Islam yang berpuasa ini ) akan diampunkan. Maka para sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: “ Wahai Persuruh Allah adakah itu malam Lailatul Qadr?” Dijawab oleh Rasulullah SAW: “ Tidak tetapi selayakknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya.”

Pengajaran Hadis:

Rasulullah SAW telah menyebut di dalam hadisnya tentang lima perkara yang dianugerahhkan oleh Allah SWT yang belum pernah diberikan kepada umat yang ( berpuasa ) sebelum ini. Jikalau kita benar-benar dapat mengharagai kurnia yang besar daripada Allah ini, maka seduh tentulah kita akan cuba dengan ikhlas memperolehi kurniaan yang khas ini :
i. Mulut Orang Berpuasa Bau Haruman Kasturi – Ulama-ulama mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan terlebih harum disisi Allah daripada bau kasturi ialah bahawa pada hari akhirat Allah akan memberi ganjaran dengan haruman kepada bau mulut orang yang berpuasa dengan haruman yang terlebih semerbak dan segar daripada bau kasturi. Ada juga ulama mentafsirkan pada hari kiamat tatkala kita bangun daripada kubur, suatu bau harum akan terkeluar daripada mulut orang-orang yang berpuasa yang terlebih harum daripada bau kasturi. Tafsiran yang paling diterima ialah yang mengatakan bahawa bau mulut yang keluar daripada mulut itu di dunia ini terlebih harum di sisi Allah daripada kasturi. Puasa merupakan ibadah yang tersangat berharga di sisi Allah dan dengan sebab ini juga Allah berfirman “ Ganjaran bagi puasa Aku sendiri yang memberinya, kerana puasa itu adalah untukKu sendiri.” Hadis juga ada menyebut,: “Puasa adalah pintu bagi semua bentuk ‘ibadah’. Maksudnya ialah menerusi puasa hati akan bercahaya dan melaluinyalah keinginan untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain akan terangsang.Ini hanya akan dapat dicapai jika puasa dilaksanakan dengan mematuhi syarat-syaratnya dan bukannya setakat berlapar dan dahaga sahaja.

ii. Ikan Di Laut Memohon Keampunan Untuk Orang Berpuasa – maksudnya ialah untuk menerangkan bahawa begitu banyak makhluk yang hidup berdoa “beristighfar” ( memohon keampunan ) untuknya. Allah SWT berfirmann : “ Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, Allah akan mencintai mereka ( di dunia ini )." Sebuah hadis menjelaskan lagi ; “ Apabila Allah mencintai seseorang, Dia berfirman kepada Jibril, “Aku mencintai orang itu, maka kamu juga hendaklah mencintainya: “Orang itu dicintai Allah, kesemua kamu dikehendaki mencintainya. “Dengan itu kesemua penghuni langit mulalah mencintainya. Maka, kecintaan terhadap orang tersebut akan tersebar ke bumi." Biasanya mereka yang hampir kepadanya sahaja yang seolah-olah nampak mencintainya, tetapi disini kecintaan tersebar ke semua arah, malahan sehingga bintang-binatang di hutan dan lautan pun turut mencintainya. Kesemua akan mendoa bagi pihaknya.

iii. Dihiasai Syurga Bagi Orang yang Berpuasa – Kurniaan ke tiga ke atas orang yang berpuasa ialah “jannah” yang dihiasi untuk mereka.

iv. Para Syaitan Durjana Dirantai – Syaitan-syaitan yang durjana dirantai akibatnya maksiat-maksiat berkurangan. Satu persoalan yang mungkin muncul bahawa apabila syaitan-syaitan telah dirantai mengapa masih ada maksiat-maksiat dilakukan. Jawapnya ialah maksiat itu bukannya semestinya daripada syaitan tetapi disebabkan setelah sebelas bulan mentaati kehendak dan cita-cita syaitan maka perlaku maksiat telah menjadi sebahagian daripada tabiat dan naluri mereka. Rasulullah SAW bersabda:"Apabila seorang melakukan maksiat satu dosa, suatu titik hitam melekat dihatinya apabila dia bertaubat, dengan ikhlas, titik hitam itu akan lenyap: jika tidak titik hitam itu tetap berada disitu. Apabila dia terus melakukan maksiat, titik hitam yang lain akan menjadi sehinggalah hati menjadi hitam seluruhnya. Maka apa sahaja perkara yang baik tidak akan menembusi ke dalam hatinya." Allah berfirman:”Sekali-kali tidak, bahkan di dalam hati-hati mereka terdapat kotoran ( maksiat ).” Dengan demkian hati-hati mereka penuh diliputi kekaratan,apabila terjadi begitu, hati-hati seumpamanya ini secara semulajadi condong kearah dosa-dosa.

v. Diampunkan Dosa Di akhir Ramadhan sebagai balasan kepada mereka yang berpuasa sehingga para sahabat memikirkan bahawa ini mestilah “Lalilatul Qadar” kerana meraka tahu rahmat yang bergitu besar dalam malam tersebut. Rasulullah SAW mengatakan TIDAK, ini merupakan anugerah besar kerana menjalani puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Syaitan Dirantai, Pahala digandakan, Pintu Neraka ditutup rapat, Pintu Syurga dibuka seluas-luasnya, dosa-dosa akan diampunkan , doa diperkenaankan,jadi apakah alasan kita lagi pada bulan ini untuk tidak merebut peluang yang dijanjikan oleh Allah SWT.
"Hikmah & Fadhilat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya.

Friday, August 21, 2009

Ramadhan Bulan Penuh Rahmat dan Berkat

30 Sya'aban 1430H - Rasulullah SAW bersabda , diriwayatkan oleh Salman ra,
Pada hari terakhir Sya'aban, Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami , “ Wahai manusia kini muncul kepadamu satu bulan yang besar (mulia), bulan yang tersangat berkat terkandung di dalammya satu malam yang terlebih tinggi nilainya daripada seribu bulan. Inilah bulan yang Allah fardhukan puasa di siang hari dan menjadikan solat Tarawih sebagai sunnah di malam hari. Sesiapa yang ingin menghampirkan diri kepada Allah (taqarrub) melalui amalan baik dibulan ini, maka akan dibalas kepadanya dengan ganjaran seolah-olah dia melakukan amalan fardhu dibulan lain pada tahun itu.
Barangsiapa melakukan amalan fardhu akan dibalas kepadanya dengan tujuh puluh amalan fardhu pada bulan lain. Ini sesungguhnya bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran yang sejati ialah “Jannah”, Inilah bulan simpati terhadap sesama lainnya, dibulan inilah rezeki orang-orang beriman bertambah. Barangsiapa memberi makan ( untuk berbuka puasa ) kepada orang yang berpuasa maka dibalas kepadanya dengan keampunan terhadap dosa-dosanya dan bebas daripada api neraka Jahannam dan dia juga memperolehi ganjaran yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tadi tanpa sedikitpun mengurangi pahala orang yang berpuasa itu.
Maka kami pun berkata: “Ya Rasulullah tidak kesemua kami mempunyai sesuatu yang dapat diberikan kepada orang yang berpuasa makan untuk mereka berbuka. “ Jawap Rasulullah SAW, “ Allah akan mengurniakannya balasan kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar kepada orang yang berpuasa, ataupun seteguk air atau sehirup susu untuk dia berbuka puasa. “ Inilah bulannya yang pada awalnya Allah menurunkan Rahmat, dipertengahannya Allah memberikan keAmpunanNya dan pada akhirnya Allah memBebaskan hambaNya daripada api neraka Jahaanam.”
Di dalam bulan ini berusahalah segiat-giatnya memperbanyakkan empat perkara. Dua di antaranya ialah untuk menyukakan Allah SWT sedangkan yang dua lagi kamu tidak boleh lakukan tanpaNYa. Perkara yang dapat menyukakan Allah SWT ialah kamu hendaklah memperbanyakkan membaca kalimah tayyibah dan beristighfar. Dan perkara yang kamu tidak dapat lakukan tanpanNya ialah kamu bermohon kepada Allah untuk masuk Syurga dan berlindung denganNya daripada dicampak ke dalam neraka Jahannam.
Barangsiapa memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberikannya minuman daripada telaganya ( haud ) yang sekali minum dia tidak akan kedahagaan lagi sehinggalah dia memasuki `Jannah’.” ( Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah didalam sahihnya).

Pengajaran Hadis:

1. Persiapan menghadapi Ramadhan pada akhir bulan Syaaban supaya kita sedar dan tidak akan membiarkan bulan Ramadhan berakhir tanpa memperolehi sebarang manfaat daripadanya khususnya pada malam “Lalatul Qadr”.
2. Perintah melaksanakan Solat Tarawih pada malamnya sebagai sunnah untuk memperolehi keredhaan Allah.
3. Ganjaran amalan berlipat ganda. Amalan nafil (sunat) pada bulan Ramadhan diberikan ganjaran seumpama pahala fardhu pada bulan biasa manakala amanlan fardhu pada bulan Ramadhan diberi ganjaran sebanyak tujuh puluh amalah fardhu pada masa-masa lain.
4. Memperbanyak membaca Al Quran. Terdapat hubungan yang rapat antara Ramadhan dan tilawatul_Quran. Hampir semua kitab-kitab Allah diwahyukan pada bulan ini. Pada bulan ini juga Al Quran telah dibawa daripada “Lauhul-Mahfuz” kepada “Sama’ud Dunya” dan daripada sinilah diturunkan sedikit demi sedkit kepada Rasulullah SAW dalam jangkamasa selama 23 tahun
5. Membaca Al Quran bersama-sama teman.Para ulama berkata adalah “mustahab: membaca AI Quran dengan cara seorang membaca sedangkan yang lainnya mendengar.Didalam sesetengah riwayat dikatakan Rasulullah SAW pernah membaca AlQuran sambil Jibril as ,mendengarnya. Maka bacalah AlQuran sebanyak-banyaknya apabila ada masa terluang.
6. Rasulullah SAW menasihatkan kita supaya memperbanyakkan membaca kalimah Taiyibah, Istighfar,memohon memasuki Jannah dan berlindung dariapda Jahannam.
7. Ramadhan bulan kesabaran. Kesukaran dalam bulan ini hendaklah ditanggung dengan gembira dan tabah hati, janganlah merungut-rungut sebagaimana orang merungut ketika cuaca panas. Begitu juga jika terlepas waktu sahur, jangan mengomel-ngomel. Keletihan waktu tarawih patut dizahirkan dengan kesyukuran dan jangan anggap sebagai satu beban dan bala yang menyebabkan hilang amalan pahalanya disisi Allah.
8. Ramadhan bulan simpati kepada fakir miskin. Simpati hendaklah dilakukan dengan amali. Hadis menyebutkan “Barangsiapa memberi makan kepada orang lapar, memberi pakaian kepada orang yang terlanjang,memberi pelindungan kepada musafir, pastilah Allah akan menyelamatnya daripada huru-hara hari kiamat.” Rasulullah SAW ditanya sahabat apakah amalan mereka yang istimewa. Raslullah SAW bersabda:”memaafkan si penzalim, kasih kepada perlaku maksiat dan disamping mencintai orang-orang awam, berkongsi rezeki dengan orang miskin.”.
9. Keutamaan memberi makan orang yang berbuka. Para malaikat memohon rahmat pada malam-malam Ramadhan ke atas orang yang memberi makan untuk orang yang berbuka puasa daripada sumber yang halal, kemudian pada malam Lailatul Qadar, Jibirl as berjabat tangan dengannya. Tanda-tandanya ialah hatinya lembut, sambil air mata mengalir daripada matanya.
10. Ramadhan dibahagikan permulaan dengan rahmat, pertengahan keampunan dan akhinya kebebasan.
11. Melayan dengan lemah-lembut terhadap pekerja yang berpuasa
12. Kalimah yang baik untuk diamalkan iaitu kalimah Tayyibah yang dikatakan didalam hadis sebagai zikir yang terafdhal. Di dalam hadis lain dinyatakan bahawa; " Jika seorang menyebut kalimah ini dengan penuh ikhlas, pintu-pintu jannah akan segera terbuka untuknya dan tidak ada sesuatu yang boleh menghalanginya menuju ke Arasy Illahi." Syaratnya ialah pengucap tadi hendaklah menjauhi dosa-dosa besar. Kedua memperbanyakan ucapan “istighfar” ialtu memohon keampunan kepada Allah Taala. Sebuah hadis dikatakan bahawa;” Barangsiapa beristighfar dengan sebanyaknya-banyaknya, Allah akan membuka jalan keluar daripadanya segala kesukaran dan membebaskannya daripada segala kesedihan. Dia juga akan memperolehi rezeki daripada punca yang tidak disangka-sangka. Rasulullah SAW juga bersabda; “ Setiap orang adalah pendosa, tetapi yang terbaik daripada yang berdosa tadi ialah yang bertaubat dan memohon keampunan.”. Apabila seorang melakukan suatu dosa, satu titik hitam akan menghinggapi hatinya, tetapi apabila dia bertaubat, titik hitam itu akan terhapus.,jika tidak titik hitam tersebut akan melekat di hatinya selama-lamanya. Selain daripada itu hendaklah berdoa untk “Jannah” dan berlindung daripada “Jahannam”(neraka ).
"Hikmah & Fadhilat Ramadhan oleh M.Muhammad Zakariyya."

Wednesday, August 19, 2009

Tenangkan Ujian Dengan Zikrullah

Rabu, 28 Sya'baan 1430H - SETIAP manusia pasti tidak terlepas daripada segala macam ujian dan dugaan hidup. Selagi bergelar insan yang berada di atas muka bumi ini, cabaran itu sebenarnya adalah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan seseorang hamba.
Allah berfirman : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sdangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta." ( Surah Al-Ankabut: 2-3).
Ujian juga merupakan satu tapisan daripada Allah SWT, untuk Dia menguji keimanan dan ketaqwaan kita kepadaNya. FirmanNya: "Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu, dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu" [Surah Muhammad, 47: 31].
“Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)
Manusia yang sabar diuji tidak sesekali menyalahkan takdir kerana Allah Maha Adil untuk menzalimi manusia. FirmanNYa :“……dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.” (Fussilat: 46)
Justeru itu segala ujian daripada Allah S.W.T ini haruslah kita tempuhi dengan penuh kesabaran agar ianya dapat mendekatkan kita kepada-Nya dan menerima segala limpah rahmat-Nya. Firman Allah S.W.T.:“ Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: (Innalillahi wa inna ilahirajiun) "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” ( Al-Baqarah (2) : 157 )
Rasulullah s.a.w pernah di tanya: “ Ya Rasulullah, siapakah yang paling keras mendapatkan ujian?”Baginda menjawab: Para Nabi dan pengikut-pengikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agama, jika kadar beragamanya kuat maka ujiannya semakin keras. Jika kadar beragamanya lemah maka dia diuji sesuai dengan kadar agamanya. Seorang hamba akan sentiasa diuji sampai dia akan dibiarkan berjalan di muka bumi tanpa membawa dosa kesalahan. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi (no: 2322)
Ujian Allah itu terdapat dalam pelbagai bentuk, ada yang berbentuk kesenangan, kesusahan,kesakitan, kesempitan masa, harta, keluarga kita dan sebagainya. Allah menguji menusia mengikut tahap keimanan dan ketawqaan kita kepadaNya. Pelbagai musibah seperti banjir dan tanah runtuh yang dihadapi kita hari ini juga merupakan ujian Allah SWT untuk kita bertanyakan kepada diri sendiri apakah kita daripada kalangan manusia yang sabar atau sebaliknya. Manusia adalah makhluk paling sempurna ciptaan Allah SWT. Melalui kombinasi roh, jasad, akal dan fikiran menjadikan manusia khalifah yang mentadbir alam ini mengikut peraturan Penciptanya. Kesempurnaan ciptaan menyebabkan manusia lebih hebat berbanding makhluk-Nya yang lain.
Ini diakui melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70) Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan kepada beberapa kekuatan dan tumpuan kali ini akan memfokuskan kepada kekuatan emosi dan jiwa sebagai salah satu faktor penting kejayaan manusia meneruskan tanggungjawabnya untuk memakmurkan alam ini. Sesungguhnya kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi apa juga rintangan hidup. Allah SWT memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta kerugian mereka yang mengotorinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Syams, ayat 9-10)
Kemewahan juga adalah ujian begitu juga kesusahan dan kesedihan. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia bagaimanakah kaedah yang sepatutnya diamalkan dalam menghadapi ujian hidup. Zikrullah atau berzikir mengingati Allah SWT salah satu alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala macam kekalutan dan sifat mazmumah. Zikrullah yang dimaksudkan ialah mengagungkan Allah SWT, menyebut kalimah Allah SWT, mengucap tasbih, tahmid dan takbir serta melakukan pujian kepada-Nya. Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah SWT perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi ciri zikrullah sebenar.
Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Zikrullah itu adalah penawar bagi hati.” Sesungguhnya zikir itu boleh dilakukan melalui beberapa keadaan sama ada zikir secara bersendirian mahupun berjemaah atau berkumpulan, melalui lisan mahupun dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar ada menyatakan mengenai mengingati Allah SWT dengan lisan atau hati bahawa ia adalah zikir yang paling afdal. Zikir dengan lisan adalah dengan menyebut nama Allah SWT berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji-pujian kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah SWT dalam diri dan jiwanya sehingga hati itu menjadi sentiasa sibuk dengan mengingati Allah SWT. Seseorang yang lidahnya sentiasa basah dengan mengingati Allah SWT akan mendapat beberapa manfaat antaranya; - Membersihkan hati daripada sifat mazmumah. - Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah SWT. - Berasa betapa dekatnya diri dengan Allah SWT sehingga apabila berhadapan dengan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah SWT. - Meningkatkan mutu amalan kepada Allah SWT. - Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT. - Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah gulana, keluh kesah dan tidak tenteram. Menghadiri majlis ilmu sama ada berbentuk kuliah, ceramah, seminar atau bengkel turut termasuk dalam kategori zikrullah malah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu daripada taman syurga. Baginda SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud: “Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah dia taman syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka.” Rasulullah SAW ada menyebut bahawa malaikat akan turut serta duduk di dalam majlis zikir yang diadakan sehingga mereka merendahkan sayap menaungi mereka yang menghadirinya. Allah pula akan menurunkan rahmat dan ketenangan kepada ahli majlis zikir dan apabila mereka selesai, hati mereka dipenuhi cahaya lantaran menerima percikan pancaran nur Ilahi. Solat adalah zikrullah seperti dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” (Surah Toha, ayat 14) Solat adalah zikir paling afdal mesti menghiasi individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah SWT. Sesungguhnya seseorang yang istiqamah dalam mengerjakan solat, dialah yang hampir dengan Allah SWT. Sesiapa yang lalai daripada mengingati Allah SWT melalui solat, sesungguhnya hati dan jiwanya kosong. Membaca al-Quran juga zikir yang paling mulia kerana ia adalah kalam Allah SWT atau kata-kata Allah SWT. Maka apabila seseorang membaca al-Quran, dia sebenarnya menuturkan kata-kata Allah SWT dan itu adalah gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah SWT. Seseorang individu Muslim hendaklah membaca al-Quran setiap hari supaya hatinya tidak kosong tanpa roh. Apabila membacanya, maka dalam masa sama, pembacanya akan mengingati Allah SWT. Apabila seseorang berhadapan dengan kesulitan, zikrullah alternatif dalam menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala macam pancaroba hidup. Semoga hati akan menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlulah dielakkan kerana ini bukan sifat orang yang beriman dan tawaduk.
“Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi atau siapakah yang memiliki penciptaan, pendengaran dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah! Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertakwa kepadaNya?” [Yunus 10: 31]

Wallahualam

Tuesday, August 18, 2009

Jiwa Tenang Baca A-lQuran

Selasa, 27 Sya'ban 1430H - SETIAP insan pasti mahukan kesenangan, kesejahteraan, kenikmatan dan keselesaan. Tidak ada sesiapa yang mahu hidupnya dipenuhi kesusahan, kesengsaraan dan diselubungi masalah berpanjangan.Kadangkala atas sebab tertentu seseorang itu mengalami bermacam masalah penyakit jiwa seperti tekanan perasaan, runsing, resah gelisah dan lebih parah lagi boleh menyebabkan seseorang tidak dapat membuat pertimbangan dengan betul.Sebenarnya apabila kita merujuk kepada al-Quran, memang dijelaskan sebab penyakit itu berlaku antaranya seseorang itu tidak dapat menerima ujian Allah.Contoh, apabila seseorang itu diberikan ujian oleh Allah sama ada berbentuk kesusahan, bala bencana seperti banjir, kemarau, kebakaran, kemiskinan, kematian atau penyakit, maka jiwanya akan mula gelisah dan berkeluh kesah.Begitu juga apabila Allah mengurniakan nikmat berupa kekayaan kepadanya, maka timbul sikap bakhil atau kedekut dalam dirinya untuk menolong orang yang memerlukan bantuan.Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang, iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.” (Surah al-Ma’arij, ayat 19-23)Tekanan perasaan juga berlaku disebabkan seseorang itu tidak mengingati Allah, kurang menghayati dan melaksanakan ajaran agama. Mereka lebih mementingkan tuntutan hawa nafsu semata-mata tanpa mempedulikan keperluan rohaniah.Mereka lebih suka berhibur dan melupakan amal salih yang menjurus kepada takwa seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya. Maka tidak mustahil insan sebegini akan mudah mengalami penyakit jiwa atau tekanan perasaan.Allah berfirman yang bermaksud: “Dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit (resah gelisah dan tidak tenteram jiwanya) dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta (meraba-raba dalam kesesatan seperti keadaannya di dunia).” (Surah Thaha, ayat 124) Amat mendukacitakan pada masa ini ada kalangan umat Islam mengabaikan pendidikan al-Quran, tidak mengikut petunjuk dan bimbingan al-Quran dalam urusan kehidupan mereka, apatah lagi menggunakannya sebagai penawar mengubati penyakit jiwa yang mereka alami.Ada antara kita cuba menyelesaikan masalah dengan cara bertentangan syarak seperti berjudi, meminum arak dan mengambil dadah. Bahkan ada menjadikan orang lain sebagai tempat melepaskan geram seperti melakukan penderaan terhadap isteri atau anak, memukul atau membunuh orang dan berkemungkinan juga bertindak membunuh diri sendiri.Semua itu dilakukan kerana mereka beranggapan dengan cara begitu saja permasalahan mereka dapat diatasi. Hakikatnya, perlakuan sebegitu hanya akan menambahkan lagi kekusutan jiwa atau tekanan perasaan.Sesungguhnya, bagi memperoleh suasana hidup aman damai, sejahtera, harmoni dan tenang jiwa, agama Islam menggariskan panduan yang sangat berkesan untuk merawat penyakit jiwa atau tekanan perasaan, antaranya: - Sentiasa berzikir (mengingati Allah). Allah berfirman yang bermaksud: “...(Allah) memberi petunjuk ke jalan agama-Nya, sesiapa yang rujuk kepada-Nya; (iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 27-28)
Melaksanakan segala perintah Allah dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya) serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami memberikan kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil daripada berbuat kebajikan dan merasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya serta ia mendustakan perkara yang baik, maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan (neraka).” (Surah al-Lail, ayat 5-10)
Menyucikan jiwa dengan menjauhi daripada segala sifat mazmumah (sifat yang tercela) seperti hasad dengki, fitnah, takbur (menyombong diri), riak, mengumpat dan terlalu cintakan dunia. Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih itu - susut dan terbenam kebersihannya dengan sebab kekotoran maksiat.” (Surah al-Syam, ayat 9-10) Sesungguhnya kekuatan iman berperanan sebagai benteng dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini. Oleh itu, dengan kembali kepada ajaran agama dan mengamalkannya jiwa manusia akan terselamat daripada kegelisahan dan kekusutan.Jangan disebabkan terlalu sibuk mengejar kesenangan dan kemewahan dunia mengakibatkan kita lupa kepada agama. Sesungguhnya Allah memberikan jaminan bahawa manusia yang ikhlas melaksanakan segala ajaran-Nya akan mempunyai hati dan jiwa yang tenteram. Al Quran merupakan sumber ketenangan jiwa bacalah setiap hari dan fahamilah isinya yang penuh dengan hikmah dan memberikan ketenteraman dan jiwa yang tenang.

Monday, August 17, 2009

Berbasikal Ke Kajang Hill

Ahad, 25 Sya'ban 1430H - Kelab basikal 3PDA Bro. Hj Mat, Bro. Hj Azmi, Bro. Hj Zul, Faizal, Dr Zainal dan bersama ahli barunya, Hj Azmin telah berkayuh ke Kajang Hill Resort.

Berehat sebentar di pinggir kaki Bukit Kajang Hill

Hj Azmin(duduk), keletihan pertama kali berkayuh dengan basikal baru GTnya.

Kepuasan juga Allah berikan daripada keletihan.

Hj Amir (3 dr kiri), dengan basikal baru NEXUS....bersedia menghadapi cabaran.
Hj Amir, Hj Azmin, Bro. Hj Mat, Dr Zainal dan dua mekanik basikal Sg Chua memeriksa basikal NEXUS baru Hj Amir. Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya."

Jangan Mencaci Sesama Islam

Isnin, 26 Sya'aban 1430H - SATU hari, ketika Rasulullah SAW sedang berkumpul dengan para sahabatnya berhampiran Kaabah, seorang lelaki asing melintas di hadapan mereka. Setelah lelaki itu berlalu, Rasullullah berkata kepada para sahabatnya, “Dialah ahli syurga.” Rasullullah mengulanginya sebanyak tiga kali.
Berikutan kenyataan Rasulullah itu, timbul perasaan ingin tahu di kalangan para sahabat terutamanya Abdullah bin Umar yang memang dikenali sebagai seorang yang sangat kritikal.
Dia lalu bertanya kepada Rasulullah “Ya, Rasulullah, mengapa engkau katakan itu kepada kami, padahal selama ini kami tidak pernah mengenalinya sebagai sahabatmu? Sedangkan terhadap kami sendiri yang selalu mendampingimu engkau tidak pernah mengatakan hal itu?”
Rasulullah menjawab soalan Abdullah dengan penuh diplomasi dan bijak. Rasulullah berkata, ‘‘Jika engkau ingin tahu tentang apa yang aku katakan, silakan engkau tanyakan sendiri kepadanya.”
Abdullah yang mendengar jawapan Rasulullah itu semakin teruja untuk mengetahui apa istimewanya lelaki tersebut sehingga dia dikatakan sebagai ahli syurga.
Berikutan itu Abdullah berkunjung ke rumah lelaki berkenaan bagi mendapatkan jawapannya.
‘‘Semalam sewaktu engkau melintas di hadapan kami, Rasulullah mengatakan bahawa engkau seorang ahli syurga. Apa yang menjadi rahsiamu sehingga Rasulullah begitu memuliakanmu?'' Lelaki itu tersenyum, kemudian menjawab, “Sesungguhnya aku tidak pernah melakukan apa-apa. Aku bahkan tidak memiliki kekayaan apa-apa. Baik ilmu mahupun harta yang mampu aku sedekahkan, apa yang aku miliki hanyalah kecintaan.
‘‘Kecintaan kepada Allah, kepada Rasulullah dan kepada sesama manusia. Dan setiap malam menjelang tidur, aku selalu berusaha menguatkan rasa cinta itu, sekali gus berusaha menghilangkan perasaan benci yang ada kepada sesiapa saja. Bahkan terhadap orang-orang kafir sekalipun.”
Memelihara perasaan benci dan marah, bererti menyimpan perasaan ego. Wujudnya perasaan benci, bererti adanya sikap untuk menyalahkan orang yang dibenci itu dan menyalahkan orang lain bererti menganggap diri kita sahaja yang betul.
Kita tidak harus lupa bahawa sikap itulah yang ditunjukkan oleh syaitan ketika penciptaan Nabi Adam a.s.
Kisah tersebut memberikan gambaran kepada kita, bahawa perasaan benci, bukan hanya mengakibatkan fitnah dan permusuhan, tetapi juga dapat menimbulkan penyakit batin yang sangat buruk, sekali gus menjauhkan diri dari syurga yang menjadi idaman setiap mukmin.
Oleh itu sikap yang paling bijak ialah berusaha untuk memperbaiki diri, sekali gus menjadi orang yang pemaaf. Sebab itulah yang selalu dilakukan Rasulullah SAW sepanjang perjalanan hidup baginda. Sedangkan hidup Nabi adalah contoh bagi setiap mukmin.
Tetapi malangnya di kalangan umat Islam termasuklah mereka yang bergelar pemimpin mengaku kelemahan sendiri seolah-olah adalah satu dosa. Oleh itu mereka lebih suka menuding jari kepada orang lain termasuklah mencerca sesama Islam apatah lagi kalau sesuatu kumpulan itu dilihat sebagai musuh politik mereka.
Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bersabda, ‘‘Orang Islam yang suka mencerca itu ibarat memakan daging saudaranya sendiri.’’
Dalam riwayat lain, Nabi bersabda bahawa seorang muslim adalah yang menyelamatkan sesama muslim dari lidah dan tangannya.
perbuatan
Di zaman Nabi, pernah ada sekelompok orang yang digerakkan kaum munafik telah mencerca sahabat Rasul. Baginda Rasulullah lalu bersabda, ‘‘Jangan kalian mencerca para sahabatku. Seandainya kalian membelanjakan harta sebesar Gunung Uhud, nescaya amal kalian tidak akan dapat mengalahkan para sahabatku.”
Sebenarnya pokok pangkal perbuatan itu ialah bergantung kepada lidah. Biarpun dia seorang pemimpin, dia seharusnya menjaga lidah apabila bercakap dan bukannya mengikut hati serta perasaannya sahaja.
Diriwayatkan bahawa Lukman al-Hakim, pernah disuruh majikannya membeli daging yang baik untuk menjamu para tamunya. Lukman membeli hati dan lidah. Majikannya berasa marah dengan tindakan Lukman dan bertanya kepadanya kenapa dia membeli hati dan lidah.
‘‘Tidakkah ini daging yang baik seperti tuan pesan. Hati merupakan sumber amal perbuatan yang baik, sedang lidah dapat menjalin persaudaraan. Dari keduanya orang dapat membangun kebaikan,” jawab Lukman.
Pada satu hari majikannya menyuruh Lukman membeli daging yang busuk. Tujuan majikannya ialah untuk mengetahui apa pula jenis daging yang akan dibeli oleh Lukman.
Apabila pulang Lukman sekali lagi membeli hati dan lidah. Tindakan Lukman mengejutkan majikannya dan bertanya kenapa dia berbuat demikian sedangkan yang disuruh dibeli ialah daging yang busuk.
‘‘Benar tuan, ini daging terbusuk. Hati adalah daging yang paling baik dan sekali gus juga paling busuk. Ia sumber kedengkian dan rasa bongkak. Lidah merupakan ‘alat’ untuk melaknat, mencerca dan mencaci orang lain.”
Justeru adalah jelas lidah merupakan cermin hati seseorang. Bila hati bersih, lidah nescaya tidak akan bertutur kecuali yang baik. Sebaliknya bila hati ‘tercemar’, maka lidah akan mudah berkata-kata yang buruk.
Oleh itu dalam kita memelihara persaudaraan Islam maka kita perlulah menjaga lidah daripada mencaci dan memaki hamun sesama Islam. Tidak kisahlah apapun perbezaan antara kita namun persaudaraan Islam tetap harus menjadi teras utama.
Untuk menggambarkan dalamnya persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah), Allah SWT menggunakan kata ikhwah, yang bererti “saudara kandung’' .
Ini berbeza dengan ikhwan, yang ertinya “berteman’', sebagaimana digunakan Allah dalam surat Ali ‘Imran ayat 103, untuk menggambarkan bagaimana suku-suku Arab pada zaman jahiliah yang bermusuh-musuhan, kemudian bersatu setelah memeluk Islam. Jadi, setelah berada dalam satu agama, setiap Muslim adalah teman bagi yang lain. Dan setelah keIslaman itu meningkat, setiap Muslim seharusnya dapat memandang Muslim lain sebagai saudara kandungnya.
Ukhuwah Islamiah dapat diwujudkan seperti disabdakan Rasulullah SAW yang antara lain dalam bentuk bahawa seorang Muslim harus dapat mencintai Muslim lain sebagaimana ia mencintai diri sendiri; bahawa seorang Muslim harus dapat merasakan kesusahan yang dialami Muslim lain.
memaafkan
Di dalam al Quran, Allah SWT meminta agar seorang Muslim tidak memusuhi, mencaci, buruk sangka kepada Muslim lain. Apa yang perlu dipertingkatkan ialah saling memaafkan, mendoakan dan melindungi.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita seharusnya memegang teguh kepada persaudaraan Islam seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud;
‘‘Berpegang teguh kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (semasa kekufuran kamu semasa jahilian), lalu Allah selamatkan dari itu nerakat itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah.’’
Semoga di sepanjang jalan hidup di alam fana ini, kita akan sentiasa memelihara ukhuwah Islamiah biar siapapun kita.

Oleh Zulkiflee Bakar

Friday, August 14, 2009

Pergi Tak Kembali

Jumaat, 23 Sya'aban 1430H -

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana

Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Ustaz Asri - Rabbani (kembali ke rahmatuallah pada 22 Sya'aban 1430H - AlFatihah )

Memimpin Amanah Allah

Jumaat, 23 Sya'aban 1430H - Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.; Sabda Nabi s.a.w. maksudnya: "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ianya pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." ( Riwayat Muslim dalam Sahihnya, kitab al-Imarah..)
Dalam riwayat al-Imam Muslim yang lain : Daripada Abu Zar, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim."
Dalam hadith ini Rasulullah SAW tidak memberikan jawatan sekalipun kepada Abu Zar, seorang sahabat yang sangat dikasihi baginda, apabila dilihat ciri-ciri kelayak tidak wujud sepenuh. Abu Zar adalah seorang sahabi yang soleh lagi warak dan zuhud. Namun begitu, amanah jawatan dan politik berhajat ciri-ciri yang yang lebih dari itu, yang bukan semua individu memilikinya. Justeru itu tidak semua sahabah layak mengendalikan urusan siyasah atau politik seperti al-Khulafa ar-Rasyidun. Demikian juga bukan semua mereka kuat agama boleh mengendalikan urusan politik.
Hadith ini juga menjelaskan besarnya tanggungjawab kepimpinan dan pengurusan di dalam Islam dan bukan sebarangan individu yang benar-benar mampu memikulnya. Justeru itu memberikannya kepada seseorang yang tidak memiliki keahlian atau kelayakan adalah punca kerosakan masyarakat dan umat. Kerosakan sistem masyarakat menatijahkan kerosakan individu keseluruhannya. Nabi SAW sering memberi amaran tentang kemusnahan hidup apabila amanah dikhianati.
Sabda Nabi SAW Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah dia berkata: “Ketika Nabi SAW di dalam suatu majlis berbicara dengan orang ramai maka datang seorang `arab badawi lalu bertanya: "Bilakah hari kiamat?". Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada yang berkata "Baginda dengar (apa yang ditanya) tetapi baginda tidak suka apa yang ditanya". Sementara yang lain pula berkata "Bahkan baginda tidak mendengar". Apabila telah selesai ucapannya, baginda bertanya: "Manakah orang yang menyoal". Jawab (badawi tersebut): "Saya di sini wahai Rasulullah". Baginda bersabda: "Apabila dihilangkan amanah maka tunggulah kiamat". Tanya badawi tersebut: "Bagaimanakah menghilangkan amanah itu". Sabda baginda: "Apabila diserahkan urusan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat". ( Riwayat al-Bukhari.)
Firman Allah (maksudnya) :"Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia hendaklah kamu berhukum dengana `adil." ( Surah an-Nisa': ayat 58)
Kata al-Imam al-Qurtubi : "Ayat ini adalah pusat segala hukum-hakam yang mengandungi seluruh isi agama dan syara'." Katanya juga: "Yang sebenarnya ayat ini adalah umum untuk semua manusia, ianya menyentuh para pemerintah mengenai amanah yang mereka tanggung dalam membahagikan harta-harta, menolak segala kezaliman dan adil dalam pemerintahan. Demikian juga, ayat ini juga menyentuh golongan yang selain mereka.." (Al-Jami` li Ahkam al-Quran, 5/256, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Itulah titah perintah Allah, agar posisi penting di dalam kepimpinan umat hanya diberikan kepada yang benar-benar layak menyendalikannya sehingga tidak berlakunya kepincangan, kecacatan dan kezaliman. Persoalan amanah merangkumi setiap aspek hidup, terutamanya persoalan kenegaraan. Termasuk dalam rangkaian amanah persoalan pentadbiran rumahtangga, pejabat, kampung, sekolah dan seumpamanya. Namun huraian para ulama banyak tertumpu kepada persoalan sistem politik dan negara kerana natijah kerosakan adalah besar jika amanah mengenainya diabaikan. Sekiranya pemimpin yang dipilih berkelayakan maka sejahteralah seluruh rangkaian di bawahnya. Sekiranya cacat maka cacatlah seluruh rangkaian dibawahnya.
Di atas nama amanah maka seseorang dituntut membuat pemilihan dan perlantikan yang tepat dengan tuntutan jawatan yang ada. Sekiranya tidak, maka dia dianggap pengkhianat. Apakah ciri-ciri yang jika seseorang melandasinya maka dia tidak dianggap khianat dalam perlantikan?
Ciri-ciri pemimpin yang perlu di pilih:Secara umumnya pemilihan yang bertanggungjawab berteraskan dua ciri asas yang mesti ada pada tokoh yang bakal dipilih iaitu ciri al-Quwwah dan al-Amanah.
Allah menyebut di dalam al-Quran menceritakan kisah Musa a.s.: (maksudnya) "Sesungguhnya sebaik-baik orang yang hendak engkau ambil bekerja ialah yang kuat (berkemampuan) dan amanah (dipercayai)." ( Surah al-Qasas ayat: 26 )
Maka tugasan yang diberikan kepada seseorang wajar dilihat pada dua ciri utama yang disebut di dalam nas di atas. Ini seperti yang dihuraikan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah di dalam as-Siyasah asy-Syar`iyyah fi Islah ar-Ra`i wa ar-Ra`iyyah iaitu:
Pertama: Al-Quwwah iaitu kekuatan, kemampuan dan kemahiran menjalankan tugas. Ciri-ciri al-Quwwah atau kemampuan merujuk bidang tugas yang diberikan. Contohnya, jika jawatan berkenaan berkaitan ekonomi konsep al-Quwwah merujuk kepada kemahirannya dalam pengurusan ekonomi. Bagi bidang kehakiman maka al-Quwwah merujuk kepada pengetahuan dalam persoalan hukum-hakam. Dalam bidang ketenteraan merujuk kepada persoalan kepakaran medan perang, semangat juang dan keberanian.
Kedua: Al-Amanah iaitu bersikap amanah atau bertanggungjawab. Ini merujuk kepada tiga perkara utama iaitu: Takutkan Allah, Tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah untuk mendapat habuan dunia dan tidak takutkan manusia.Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: "Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu al-Quwwah dan al-Amanah. Ini seperti yang Allah firmankan: (maksudnya) "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." ( Surah al-Qasas ayat: 26)Firman Allah dalam menyifatkan Jibril: (maksudnya) "Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (Allah yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibril). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (Allah) yang mempunyai `arsy. Yang ditaati (di alam malaikat) lagi dipercayai) . ( Surah al-Takwir ayat 19-21)
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. ...
al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan Allah, tidak menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia.
Inilah tiga ciri yang ditetapkan Allah bagi setiap yang memerintah manusia, firman Allah: (maksudnya): "Kerana itu janganlah kamu takutkan manusia (tetapi) takutlah Aku, jangan kamu membeli ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Barang siap yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan Allah maka mereka itulah orang-orang kafir” ( Surah al-Maidah: ayat 44 )..
Oleh itu sesiapa yang melantik atau memilih seseorang bagi mengendalikan sesuatu urusan yang berkait dengan umat tanpa diteliti persoalan al-Quwwah dan al-Amanah atau persoalan kemampuan dan amanah bererti telah menyerahkan urusan bukan kepada ahlinya. Perbuatan itu mengundang kemurkaan Allah.
Di mana pun jawatan yang dipegang , sama ada pemimpin negara di peringkat negara atau negeri atau apa sahaja, maka setiap tugasan yang bakal diserahkan kepadanya berpandukan konsep al-Quwwah iaitu kemampuan untuk melaksanakan dan al-Amanah iaitu perasaan takutkan Allah dari melakukan pengkhianatan atau kecuaian. Sekiranya dua perkara ini dipastikan, maka sudah tentu tanggungjawab kepimpinan tidak akan dicemari, kekusutan masyarakat tidak akan timbul.
Kadangkala kita mungkin bertembung dengan satu masalah iaitu ketandusan tokoh untuk sesuatu jawatan melainkan dua orang atau jenis kelompok sahaja, seorang atau satunya daripadanya memiliki al-Quwwah atau kekuatan dan kemampuan tetapi kurang amanah, sementara seorang lagi satu kelopok lagi memiliki ciri amanah iaitu solih dan bertanggungjawab tetapi lemah atau tidak berkemampuan, siapakah yang patut dipilih?
Dalam hal ini maka para `ulama al-siyasah al-syar`iyyah menyatakan pemilihan dalam keadaan sebegini hendaklah dilihat kepada jenis atau keadaan jawatan yang hendak diserahkan, kemudian menilai siapakah yang paling boleh memberi manfaat dan paling kurang mudharatnya apabila menduduki jawatan tersebut. Sekiranya jawatan berkenaan berteraskan kepada kekuatan seperti medan peperangan maka hendaklah didahulukan yang memiliki kekuatan dan keberanian walaupun kurang solih ataupun tidak baik peribadinya. Sekiranya jawatan berhajat kepada amanah yang lebih seperti mengendalikan kewangan maka hendaklah didahulukan yang amanah walaupun ada kelemahan dalam pengurusannya.
Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: [i]"Apabila dua orang lelaki, salah seorangnya lebih amanah dan seorang lagi lebih kuat (mampu) maka hendaklah didahulukan yang lebih bermanfaat untuk jawatan berkenaaan dan paling kurang mudharatnya bagi jawatan tersebut. Maka dalam mengepalai peperangan, lelaki yang kuat dan berani walaupun padanya ada kejahatan diutamakan dari lelaki yang lemah dan tidak berkemampuan walaupun dia seorang yang amanah.
Ini seperti yang ditanya kepada al-Imam Ahmad: Mengenai dua lelaki yang menjadi ketua di dalam peperangan, salah seorangnya kuat tetapi jahat dan seorang lagi solih tetapi lemah, siapakah yang layak berperang? Jawab al-Imam Ahmad: "Yang kuat dan jahat, kekuatan untuk kepentingan orang Islam, kejahatannya untuk dirinya sendiri adapun yang solih tetapi lemah maka kesolihannya untuk dirinya tetapi kelemahannya merugikan orang Islam"
Oleh itu usaha untuk memilih pemimpin yang memiliki dengan sempurna kedua-dua ciri ini adalah tanggungjawab besar umat agar terpeliharanya kita daripada golongan yang khianat dan merosakkan masyarakat. Perlu disedari, apa ertinya jika generasi pakar teknologi atau ilmu-ilmu lain yang tanpa amanah atau dalam kata lain tiada perasaan takutkan Allah yang akan menyebabkan mereka menggunakan kepintaran dan kecekapan untuk merosakkan tanggungjawab, melanggar hukum-hakam Allah sekaligus merosakkan umat. Pun begitu kita juga tidak mahu menyerahkan tugasan kepimpinan umat kepada suatu kelompok manusia yang baik, salih atau pandai agama tetapi jahil tentang selok belok pentadbiran dan perlaksanaannya sehingga mudah ditipu oleh golongan musuh dan pengkhianat yang menyebabkan kelemahan dan kelembapan perjalanan urusan umat. Maka menjadi tanggungjawab umat mencari pemimpin yang solih lagi takutkan Allah dengan melaksanakan seluruh arahan dan meninggalkan seluruh tegahanNya di samping pakar dan cekap dalam mengendalikan pentakbiran dan urusan.

Thursday, August 13, 2009

Rezeki Halal dan Haram

Khamis, 22 Sya'aban 1430H - Hindari rezeki bawa kepada azab Allah.Marilah kita mendengar dan memahami serta beramal dengan petunjuk Allah SWT di dalam al-Quran berkaitan rezeki yang dikurniakan kepada kita di dunia ini berdasarkan Firman Allah : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya." (Al-Baqarah: 172)
Yang dimaksudkan dengan memakan rezeki yang halal ialah mengambil manfaat daripada rezeki yang diberikan oleh Allah SWT, bukan sahaja dalam soal makan, minum, pakaian, tempat tinggal termasuk juga kenderaan yang digunakan. Semua perkara yang digunakan itu mestilah diambil daripada rezeki halal dan diizinkan oleh Allah SWT. Dengan lain pengertian, bukan sahaja rezeki itu daripada bahan-bahan halal tetapi perlu memastikan daripada sumber-sumber halal dan dimanfaatkan dengan cara yang diizinkan oleh Allah SWT.
Perkara ini dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. : Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: "Sabda Rasulullah s.a.w: Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia tidak menerima melainkan yang baik. Allah memerintah orang-orang yang beriman sahaja dengan apa yang diperintahkan kepada rasul-Nya.
Firman Allah SWT
: "Wahai rasul-rasul, makanlah kamu daripada yang baik lagi halal dan beramallah kamu dengan amal yang soleh, sesungguhnya Aku amat mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Mukminun: 51).
Dan firman Allah SWT: "
Wahai orang-orang yang beriman, makanlah kamu yang halal yang Aku rezekikan kepada kamu." (Al-Baqarah: 172).
Kemudian Rasulullah s.a.w menceritakan seorang lelaki yang terlalu banyak musafirnya sehingga kusut masai rambutnya, berdebu pakaiannya. Lelaki itu berdoa kepada Allah:
"Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan sejak kecil lagi dia diberi makan dengan makanan yang haram, maka bagaimana Allah akan memperkenankan doanya?" (Riwayat Muslim)
Ini menunjukkan perkara yang halal sangat mempengaruhi kehidupan di dunia ini dan hubungan dengan Allah SWT dari kehidupan dunia sampai akhirat.
Bukan sahaja dimasukkan ke dalam syurga bagi mereka yang mengambil dan menggunakan yang halal dan dimasukkan ke dalam neraka bagi mereka yang menggunakan yang haram, bahkan mereka akan menjalani kehidupan dunia dalam keadaan yang tidak berkat serta mendapat kutukan Allah.
Yang dimaksudkan mengambil yang haram itu ialah mengambil harta dengan cara yang tidak diizin oleh Allah sama ada mencuri, merompak, menyamun, menipu, rasuah dan lain-lain lagi, termasuk mengambil harta sesama manusia dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.
Itulah perkara-perkara yang haram yang dinyatakan oleh Allah SWT, bukan sahaja mengambil makanan dengan cara mencuri adalah haram di sisi Allah sepertimana meminum arak.
Maka begitu juga mengambil barang milik orang lain dengan cara yang tidak betul, termasuk juga menggunakan kenderaan dan rumah dengam sumber yang haram, termasuk juga tanah-tanah yang diambil, duit yang diambil dengan cara yang tidak halal, membahagi harta pusaka dengan cara yang tidak betul, semua yang diambil adalah haram di sisi Allah dan diberi amaran keras oleh Rasulullah s.a.w.
Amaran oleh Allah SWT kepada mereka yang memakan makanan yang haram, makanan yang diambil dengan harta yang haram, minuman yang haram atau minuman yang dibeli dengan harta yang haram, semuanya itu akan menjadi umpan api neraka dalam perut mereka.
Termasuklah mereka yang memakai pakaian dengan cara dan gaya yang haram juga akan menjadi umpan api neraka kepadanya pada hari kiamat.
Begitu juga kepada mereka yang mengambil tanah orang lain dengan cara yang haram. Ini bukannya satu perkara yang boleh dipermain-mainkan, termasuklah mereka yang cerdik pandai dan bijak, mencari rezeki secara rasuah.
Sabda Rasulullah s.a.w.
"Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya."
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah s.a.w :
"Orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah semuanya di dalam neraka."
Begitulah amaran yang keras daripada Nabi s.a.w. Rasuah bukan sahaja untuk mendapat sesuatu tetapi termasuklah untuk mendapat pengaruh seperti melantik pemimpin-pemimpin melalui rasuah sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Bani Izrail yang memilih pemimpin-pemimpin yang memberi rasuah kepada mereka. Maka pemimpin itu akan bersama dengan para pengikutnya di dalam neraka pada hari kiamat.
Mereka mengambil apa sahaja dengan tidak mengikut petunjuk daripada Allah SWT tetapi mengikut selera hawa nafsunya. Marilah kita menyelamatkan diri kita dengan agama.
Firman Allah : "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). (Al-Baqarah: 188).
Marilah kita berpegang dengan petunjuk yang ditunjukkan oleh Allah serta petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. terutamanya pada zaman manusia yang mabuk dengan keduniaan, kemewahan Allah SWT telah berfirman :"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi untuk menjalankan urusan-urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam segala keadaan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)."Surah Al Jumu'ah Ayat 10.
Seberapa banyak pun rezeki yang kita cari dan perolehi di dunia ini tidaklah menjadi larangan di dalam Islam asalkan jangan sampai mencuaikan perintah Allah SWT dan melanggar larangan-larangan Allah SWT. Rezeki kita itu sebenarnya adalah hak Allah SWT dan Allah Taala Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sahajalah yang mengurniakan rezeki kepada siapa yang dikehendaki-Nya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Oleh itu, seseorang yang mencari rezeki itu hendaklah berniat untuk memelihara agamanya untuk mencukupi dirinya supaya tidak meminta-minta kepada orang lain dan untuk mendapatkan rezeki ahli rumah tangganya kemudian jika ada lebih disedekahkan pula kepada orang-orang yang berhajat.
Semua bidang pekerjaan yang kita ceburi di dunia ini sama ada kita berkhidmat dengan kerajaan mahupun swasta atau sebagai peniaga, petani, nelayan, buruh dan sebagainya hendaknya memastikan bahawa rezeki yang kita dapatkan itu betul-betul halal dan tidak menyimpang dari landasan hukum Islam yang sebenarnya, seperti tidak ada penipuan, penindasan, rampasan, khianat, riba, rasuah dan sebagainya.
Rasulullah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud:
"Dari Abi Hurairah ra telah berkata ia: Nabi saw bersabda Akan ada suatu zaman pada umat manusia yang seseorang itu tidak lagi mempedulikan apa yang diambilnya (rezeki yang diterima olehnya) apakah dari yang halal atau dari yang haram."
Setiap rezeki yang kita perolehi dari jalan yang salah ataupun bercampur antara yang halal dengan yang haram akan memberi kesan yang tidak baik, baik pada diri kita sendiri, keluarga, masyarakat mahupun kita dengan Allah SWT.
Ini jelas digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "
Dari Ibnu Umar ra katanya: Barang siapa yang membeli pakaian dengan harga sepuluh dirham, satu dirham di antaranya wang yang haram, maka Allah Taala tidak akan menerima salatnya selama pakaian itu masih dipakainya. Kemudian Ibnu Umar memasukkan kedua jarinya ke dalam dua telinganya, lalu berkata: Biarkanlah telinga ini tuli kalau tidak mahu mendengarkan kata-kata dari Nabi saw ini." (Hadis riwayat dari Imam Al-Bukhari).
Kita wajiblah berhati-hati dalam mencari dan mendapatkan rezeki, apalah gunanya kita mempunyai kekayaan di dunia ini tetapi segala ibadat dan amal bakti kita kepada Allah SWT tidak diredai-Nya, disebabkan kita terlalu rakus di dalam mencari harta hingga mencampur-adukkan antara yang hak dan yang batil. Nauzubillah Minzalik.
Semasa Sayidina Abu Bakar ra menjadi khalifah pernah terjadi suatu peristiwa terhadap dirinya yang boleh dijadikan iktibar dan panduan kepada kita selaku hamba Allah yang sangat daif ini, iaitu ketika Sayidina Abu Bakar ra makan suatu makanan, lalu hambanya memberitahu bahawa makanan yang dimakannya itu adalah hasil yang diterimanya daripada pekerjaannya sebagai tukang tilik, sebelum dia masuk Islam. Lantas Sayidina Abu Bakar ra mengeluarkan makanan tersebut seberapa yang boleh hinggakan memuntahkan semua makanan yang ada di dalam perutnya, lalu ditegur, mengapa Sayidina Abu Bakar ra sanggup berusaha mengeluarkan makanan tersebut, Sayidina Abu Bakar berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Badan yang tumbuh subur dengan makanan yang haram pasti akan merasai api Neraka. Oleh kerana itu aku memaksa makanan itu keluar, takut kalau-kalau ia menyuburkan badanku. Begitulah kisahnya tentang Sayidina Abu Bakar yang sangat teliti tentang halal haramnya rezeki yang dimakannya.
Oleh yang demikian wahai kaum Muslimin sekalian selaku pengguna dan juga peniaga dan sebagainya, kita hendaklah berhati-hati dalam mencari rezeki ini, jangan sampai kita tercebur kepada perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram ataupun menjual barang-barang yang haram dan diragukan kehalalannya.
Hindarkanlah diri kita dari memakan makanan yang haram itu kerana orang yang memakan makanan yang haram itu api Neraka lebih utama baginya sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "
Tidak akan memasuki Syurga, daging yang tumbuh daripada yang haram, api Neraka lebih utama baginya." (Riwayat Al-Imam Ahmad).
Firman Allah SWT : "Oleh itu, makanlah wahai orang-orang yang beriman dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." Surah An-Nahl Ayat 114

Wednesday, August 12, 2009

Sabar Perisai Mukmin

Rabu, 12 Sya'aban 1430H - Menurut perspektif Islam, sebarang musibah dan ujian yang menimpa manusia mewajarkan satu renungan dan muhasabah diri setiap Muslim terhadap perjalanan hidup yang telah dan sedang berlangsung pada saat ini. Dari satu sudut, setiap Muslim wajar merenung apakah kesilapan atau kecuaian yang pernah dilakukannya sehingga menghadapi ujian begitu hebat daripada Allah. Dari sudut lain pula, kehidupan ini pada dasarnya sarat dengan ujian dan dugaan Allah bagi menguji sejauh mana keimanan dan ketakwaan setiap Muslim terhadap Allah. Muslim yang berjaya ialah mereka yang sentiasa mengambil iktibar, merenung diri dan seterusnya bersyukur kepada Allah.
Maka amat tepatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan dalam kehidupan ini melainkan orang yang benar-benar mahu mendengar dan merenung diri atau orang yang berilmu dan berkata benar. Wahai manusia! Kalian berada pada satu zaman yang penuh kemelut dan krisis. Di samping itu, masa juga berjalan begitu pantas. Pada waktu itu, kalian menyaksikan sesuatu yang asing dan baru akan berlaku silih berganti siang malam serta sesuatu yang jauh akhirnya menjadi lebih dekat di samping berselang-selang satu demi satu apa yang dijanjikan Allah.” – (Hadis riwayat Ibnu ‘Asakir)
Ini bermakna kehidupan di dunia ini tidak sunyi daripada kemelut, krisis, musibah dan malapetaka di mana tidak seorang pun manusia akan terlepas daripadanya. Masa pula seakan tidak lagi memberikan kesempatan bagi manusia untuk membuat pilihan sama ada esok atau lusa. Ini kerana malam dan siang bersilih ganti menghadirkan seribu satu dugaan dan ujian yang terhampar sepanjang perjalanan hidup manusia bagi menguji tahap keimanan dan ketakwaan yang bertakhta di jiwa sanubari.
Malah, dunia ini tidak lagi memberikan kebaikan dan keberkatan hidup kecuali kepada seorang yang sedia mendengar dan menginsafi diri atau seorang yang memanfaatkan ilmunya untuk menyampaikan kebenaran. Sabar dalam menghadapi musibah adalah perisai terbaik dan perhiasan wajib bagi setiap orang Islam kerana kehidupan dunia ini umpama medan ujian dan peperiksaan yang datang silih berganti kepada manusia. Allah berfirman dalam surah al-Taghabun, ayat 11 yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
Oleh itu, sesiapa yang dapat menghadapinya dengan sabar dan tenang bermakna dia telah lulus dalam ujian itu dan akan terus diuji Allah sehingga menjadi Muslim yang benar-benar bertakwa kepadaNya.Kenyataan ini selari dengan sabda Rasulullah SAW apabila baginda ditanya sahabat yang bermaksud: “Siapakah orang yang paling banyak sekali terkena ujian? Jawab baginda: Para Nabi dan seterusnya orang yang seumpama mereka. Maka barang siapa yang tebal imannya nescaya banyaklah ujian yang akan menimpanya dan barang siapa yang lemah imannya sedikitlah pula ujiannya.” – (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Dalam waktu yang sama, berhadapan dengan keadaan yang sukar itu, setiap orang Islam perlulah sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauhkan daripada segala ujian dan musibah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Bersihkanlah hartamu dengan zakat, ubatilah sakitmu dengan sedekah dan tolaklah olehmu bala bencana dengan doa.” (Hadis riwayat Tabrani)
Bukankah doa itu sebenarnya senjata ampuh seorang mukmin bila berada pada saat-saat genting, lebih-lebih lagi apabila ditimpa musibah. Siapakah lagi pelindung dan penyelamat yang berupaya menyelamatkan dan menghindari manusia daripada bencana selain Allah yang Maha Berkuasa.

Rahmat Disebalik Dugaan

Rabu, 21 Sya'aban 1430H - Firman Allah SWT : “Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan ( tidak pula ) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab ( Lauhul Mahfuz ) sebelum Kami menciptanya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Kami jelaskan yang demikian itu ) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang sombong lagi membanggakan diri” ( Al-Hadid : 22-23 )

Kedamaian dan ketenangan hidup merupakan harapan setiap daripada kita, bahkan jiwa manusia menginginkan agar kesenangan itu kekal abadi dalam kehidupannya. Namun bergitu langit tidak selamanya cerah, kadang-kadang mendung mewarnai perjalanan hari, kerana ia merupakan suatu ketentuan. Begitu juga dalam kehidupan manusia bahawa setiap penderitaan, ujian, dugaan dan kesengsaraan merupakan ketentuan ilahi yang wajib diterima dengan hati yang sabar dan redha. Allah berfirman : “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman” sedangkan mereka tidak diuji terlebih dahulu ? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” ( Al-Ankabut: 2-3 }

Tidak ramai yang tahan dan sabar dalam menerima ujian Allah SWT, mungkin kerana dorongan hawa nafsu yang cintakan kehidupan di dunia ini. Allah berfirman : “ Berikan berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang, yang ketika musibah, mereka berkata “ “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan Kepada-Nya kita dikembalikan. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka ialah orang-orang yang mendapat petunjuk”. ( Al-Baqarah : 155-157 ).

Ketahui bahawa sesungguhnya terlalu besar rahmat yang tersimpan di sebalik dugaan bagi insan yang sabar. Rasulullah SAW bersabda : “Apa pun yang menimpa diri seorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa pun keresahan yang dirasakannya, melainkan Allah akan menghapuskan sebahagian dari keburukan-keburukannya.” ( HR. Muslim). Sabdanya lagi yang bermaksud : “ Tiada musibah apa pun yang menimpa diri seseorang muslim melainkan Allah menghapuskan keburukannya ( dosanya) walaupun duri yang mengenai dirinya.” ( HR Bukhari & Muslim )

Umar bin Abdul Aziz berkata : “tiada ada sesuatu nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang, lalu diambil kembali nikmat tersebut sedangkan orang itu menerima takdir yang menimpa dirinya dengan sabar, melainkan Allah akan menggantikan yang lebih baik bagi dirinya.”.

Imam Ahmad dari Yunus, dari Ibnu Saad, dari Yazid bin Abdullah, dari Amir bin Abu Amir, dari Muttalib, dari Ummi Salamah berkata : “ Pada suatu ketika Abu Salamah mendatangiku setelah kembali menemui Rasulullah SAW, ia berkata : “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang sesungguhnya membuat saya merasa gembira, sebagaimana sabdanya : “ Tidak ada musibah apa pun yang menimpa diri seorang muslim lalu membaca Istirja ( In’nalillah wa’inna’illahi rajiaun ) pada saat musibah itu menimpanya, lalu berdoa : “Ya Allah ! berilah kami pahala dari musibah ini, dan berilah ganti yang lebih baik dari musibah ini, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.”.

Musibah yang menimpa kita merupakan cubaan daripada Allah. Allah SWT berfirman : “ Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada dibumi itu sebagai perhiasan, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang paling baik amal perbuatannya. Dan sesungguhnya Kami akan menjadikan (pula) apa yag ada di atasnya menjadi tanah rata dan tandus.” ( Al-Khafi: 7-8 ).

Ketika seorang hamba itu ditimpa musibah, hendaklah ia berhati-hati dalam menangis dan juga dalam mangucapkan kata-kata yang boleh menghapuskan pahala dan merosakkan iman seperti mengatakan Allah itu zalim kepadanya dan sebagainya. Ketahuilah, bahawa Allah itu Maha Adil dan tidak akan berbuat zalim. Allah ialah Zat Maha Pemberi dan pada suatu ketika akan mangambilnya kembali dan Dialah yang berhak menuntut dari perbuatan hambanya. Rasulullah SAW bersabda: “ Tidaklah termasuk golonganku orang-orang yang memukul pipinya dan mengoyak-ngoyak bajunya serta memekik-mekik sebagaimana yang dilakukan oleh Jahiliyah.” (HR Bukhari & Muslim).

Perlu juga diingat ujian atau dugaan tidak hanya berupa kesusahan, kesulitan dan kesakitan saja, akan tetapi dapat juga berupa kesenangan, kekuasaan , kemegahan, keseronokan, kemewahan, pangkat dan sebagainya. Allah SWT berfirman : Dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan Kami-lah kamu semua kembali.”.Ujian sebegini lebih berat daripada ujian dengan musibah , Allah SWT berfirman : “ Ketahuilah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana melihat dirinya serba cukup. Sesungguhnya kepada Tuhanmulah kamu kembali.” ( Al-Alaq; 6-8 ). Rasulullah SAW ada bersabda : “Demi Allah,bukanlah kekafiran atau kemiskinan yang aku bimbangkan atas kamu, akan tetapi aku bimbang kalau-kalau kemewahan dunia yang kamu dapatkan sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang yang sebelum kamu, lalu kamu bergelumbang dalam kemewahan itu sehingga kamu binasa sebagaimana mereka dahulu bergelumbang dan binasa pula.” ( HK. Bukhari). Baginda juga bersabda : “Sesungguhnya bagi setiap umat ada ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.” (HR Tarmizi)

Ujian seperti terkena penyakit dan kemalangan bermaksud untuk menguji kesabaran, kerelaan seseorang dalam menerima qadha dan qadar Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda : “ Tidak ada seorang Muslim pun yang ditimpa gangguan seperti ditusuk oleh duri atau yang lebih berat daripadanya, melainkan dengan ujian itu dihapuskan oleh Allah SWT perbuatan buruknya serta digugurkan dosa-dosanya sebagaimana pohon kayu yang menggugurkan daun-daunnya. ( HR Muttafaq alaih ). Sabdanya lagi : “Ujian yang tidak henti-hentinya menimpa kamu Mukmin lelaki dan perempuan, yang menimpa dirinya, hartanya, anaknya, akan tetapi ia tetap bersabar, ia akan menemui Allah dalam keadaan tidak berdosa.” (HR Tarmizi)

Allah SWT juga menguji kita dengan ujian berupa cinta dan sayang yang akan menyebabkan seseorang melampiaskan hawa nafsu dan melanjutkan keturunan sebagaimana Allah SWT berfirman: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingni iaitu : wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (Syurga).” Ujian paling kuat bagi kaum lelaki pula sebagaimana di sabdakan oleh Rasulullah SAW: “Sepeninggalanku nanti tiadalah ujian yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki kecuali godaan kaum wanita.” (HR Bukhari).

Ujian yang paling berat yang ialah ujian berkenaan aqidah dan agama. Ramai orang mengaku Islam, beriman, termasuk juga alim ulamak, setelah diuji iman dan agamanya oleh Allah SWT dengan berbagai macam ujian dan cubaan ia tewas kerana lemah imannya hingga terjerumus ke dalam kecintaan kepada dunia dan hawa nafsu seterusnya menjadi sesat. Allah berfirman : “ Dan di antara manusia ada yang berkata : “Kami beriman kepada Allah, maka apabila ia disakiti ( kerana ia beriman ) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab Allah. Dan sesungguhnya jika datang pertolongan dari Tuhan. mereka pasti berkata: Sesungguhnya kami adalah bersertamu. Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam dada manusia.? “ Dan sesungguhnya Allah benar-benar mengetahui orang-orang yang beriman dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang munafik.”( Al-Ankabut:10-11).

Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang sangat banyak mendapat ujian itu adalah para Nabi, kemudian baru orang yang dekat darjatnya kepada mereka. Orang diuji menurut tingkat ketaatannya kepada agamanya. Jika sangat kuat dalam beragama maka sangat kuat pula ujianan yang menimpanya, bila lemah dalam agamanya, maka diuji pula oleh Allah sesuai dengan tingkatan ketaatanya kepada agamanya. Demkianlah ujian itu sentiasa ditimpakan kepada seorang hamba sampai ia dibiarkan berjalan di muka bumi dalam keadaan tidak berdosa.”(HR Tarmizi).

Sebagai orang yang beragama lslam, kita hendaklah mempunyai keyakinan dan percayaan yang tidak berbelah bagi untuk menundukkan diri dengan ketetapan dan peraturan Allah supaya kita tidak terumbang-ambing dipukul oleh gelombang kehidupan yang selalu datang melanda. Kita hendaklah tetap sabar dalam menghadapi kemungkinan hari esok, tenang tidak gelisah dalam menghadapi bebagai ujian dan dugaan kerana akhirnya dari semuanya itu adalah kematian.

Wallahu a’lam.

Petikan daripada buku “Rahmat Disebalik Dugaan”, karangan Kasmuri Selamat MA

Tuesday, August 11, 2009

Puasa Yang Di Makruh dan Di Haramkan.

Selasa, 20 Sya'aban 1430H - Puasa-puasa yang dimakruhkan itu ialah:
PUASA HARI JUMAAT ATAU HARI SABTU ATAU HARI AHAD SEMATA-MATA
Adalah makruh berpuasa pada hari Jumaat satu satunya sahaja tanpa di sambung sebelum atau sesudahnya dengan puasa yang lain. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Jumaat sahaja." (Hadits riwayat Ahmad)
Tetapi jika digabungkan puasa hari jumaat itu dengan satu hari puasa yang lain sama ada di sebelumnya atau sesudahnya, maka tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam bersabda : Maksudnya: "Jangan berpuasa salah seorang daripada kamu pada hari Jumaat melainkan (dia berpuasa) sehari sebelumnya atau selepasnya." (Hadits riwayat Bukhari)
Adapun dihukumkan makruh hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Sabtu kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Yahudi. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Busr daripada saudara perempuannya sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Jangan kamu berpuasa pada hari Sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah ke atas kamu. Jika seorang daripada kamu tidak mendapati (pada hari itu apa-apa makanan) melainkan satu kulit anggur atau ranting pokok, maka hendaklah dia memamahnya. (supaya kamu tidak dinamakan berpuasa pada hari itu)" (Hadits riwayat Tirmidzi)
Maka oleh kerana itu juga dimakruhkan hanya berpuasa sehari semata-mata pada hari Ahad kerana hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang-orang Nasrani. Diriwayatkan oleh An-Nasa‘i bahawa hari-hari yang paling banyak Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan puasa ialah hari Sabtu dan Ahad (dengan bergabung), dan baginda bersabda: Maksudnya: "Sesungguhnya Sabtu dan Ahad adalah dua hari raya bagi orang-orang musyrik dan aku suka supaya aku menyalahi mereka." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603 dan Tuhfah Al-Muhtaj 3/458)
Jika dilakukan puasa dua hari tersebut (Sabtu dan Ahad) bersama-sama atau didahului puasa hari Sabtu itu dengan berpuasa pada hari Jumaat atau disambung puasa hari Ahad itu dengan berpuasa pada hari Isnin, maka tidaklah dihukumkan makruh kerana sedemikian itu tidak diagungkan oleh mana-mana kaum.
Dihukumkan makruh berpuasa sehari semata-mata pada tiga hari tersebut (Jumaat, Sabtu dan Ahad) apabila tidak ada sebab lain yang dianjurkan untuk berpuasa. Apabila ada sebab lain yang menganjurkan untuk berpuasa seperti bertepatan hari tersebut dengan puasa hari Arafah, ‘Asyura’ atau hari tersebut bertepatan dengan puasa orang yang melakukan puasa Nabi Daud (berpuasa sehari dan berbuka sehari) atau ia melakukan puasa pada hari tersebut kerana puasa qadha atau nazar, tidaklah dihukumkan makruh. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Maksudnya: "Jangan kamu mengkhususkan pada malam Jumaat untuk mendirikan sembahyang (malam) daripada malam-malam yang lain, dan jangan kamu mengkhususkan pada hari Jumaat untuk berpuasa daripada hari-hari yang lain kecuali satu puasa yang (kebetulan bertepatan) seorang di antara kamu berpuasa (pada hari itu)." (Lihat Mughni Al-Muhtaj 1/603, Fath Al-‘Allam 4/165 dan Syarh Shahih Muslim 4274) (Hadits riwayat Muslim)
PUASA SEPANJANG TAHUN SELAIN DUA HARI RAYA DAN HARI-HARI TASYRIQ
Adalah makruh hukumnya berpuasa sepanjang tahun selain dua hari raya dan hari-hari Tasyriq bagi sesiapa yang takut akan kemudaratan atau terabai hak sama ada yang wajib atau yang sunat. Diriwayatkan daripada ‘Atha bahawa Al-‘Abbas, seorang ahli syair mengkhabarkan kepadanya bahawa dia mendengar Abdullah bin ‘Amr Radhiallahu ‘anhuma berkata:
Maksudnya: "Telah sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya aku terus menerus berpuasa dan mengerjakan sembahyang malam. Sama ada baginda mengutus seseorang kepadaku (untuk berjumpa baginda) atau aku sendiri yang menemui baginda. Maka baginda bersabda: "Benarkah adanya dikhabarkan bahawa engkau berpuasa dan tidak berbuka dan engkau mengerjakan sembahyanag malam dan tidak tidur? Puasalah sehari dan berbukalah sehari, dan dirikanlah sembahyang malam dan tidurlah, sesungguhnya bagi dua matamu ke atasmu mempunyai bahagian hak dan sesungguhnya bagi dirimu dan keluargamu ke atasmu mempunyai bahagian hak" Dia berkata: "Sesungguhnya aku mempunyai kekuatan untuk mengerjakan sedemikian" Baginda bersabda: Berpuasalah seperti puasa Nabi Daud ‘Alaihissalam" Dia berkata: "Bagaimana (puasa Nabi Daud ‘alaihissalam)?" Baginda bersabda: "Beliau berpuasa sehari dan berbuka sehari dan dia tidak lari apabila bertemu musuh (tetap segar dalam menghadapi musuh di medan pertempuran) Dia berkata: "Aku harus bagaimana (dalam hal ini) wahai Nabi Allah?" ‘Atha berkata: "Aku tidak mengetahui bagaimana disebut perihal puasa sepanjang masa". Nabi bersabda sebanyak dua kali: "Tidak dianggap berpuasa sesiapa yang berpuasa sepanjang masa." (Hadits riwayat Bukhari)
Tetapi bagi sesiapa yang tidak takut akan kemudaratan dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada pengabaian hak-hak, tidaklah dihukumkan makruh berpuasa bahkan disunatkan. (Lihat Mugni Al-Muhtaj 1/603 dan Fath Al-Allam 4/165)
PUASA YANG DIHARAMKAN
Puasa yang diharamkan itu ialah: Puasa pada hari raya Aidilfitri, Aidiladha dan hari-hari Tasyriq Adalah diharamkan berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dan pada hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: Maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah berpuasa dua hari iaitu hari raya Adha dan hari raya fitri." (Hadits riwayat Muslim) Manakala daripada Nubaisyah Al-Hadzali berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: Maksudnya: "Hari-hari Tasyriq adalah hari-hari makan dan minum (bukan hari berpuasa)." (Hadits riwayat Muslim)
Puasa pada hari Syak dan hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban
Adalah haram berpuasa sunat pada hari Syak iaitu pada 30 haribulan Sya‘ban yang tersebar berita di kalangan orang bahawa anak bulan Ramadan telah dilihat, akan tetapi tidak disabitkan oleh hakim (pemerintah) kerana tidak dipersaksikan penglihatan anak bulan itu oleh seorang yang adil atau ianya dipersaksikan oleh dua orang kanak-kanak atau beberapa orang perempuan atau seorang hamba atau seorang fasik. Jika tidak ada tersebar berita tersebut maka tidaklah dikatakan pada hari itu adalah hari Syak bahkan ia adalah termasuk hari-hari daripada bulan Sya‘ban. Begitu juga adalah diharamkan berpuasa sunat pada hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban (16 hingga 30 Sya‘ban) tanpa ada sebab. Diriwayatkan daripada ‘Ammar bin Yasir berkata: (Lihat I‘anah Ath-Thalibin 2/309 dan Al-Qamus Al-Fiqhi 201) Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa pada hari yang syak padanya manusia (hari Syak) maka sesungguhnya dia telah menderhakai Abu Al-Qasim Shallallahu ‘alaihi wasallam." (Hadits riwayat Tirmidzi)
Manakala diriwayatkan pula daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban maka janganlah kamu berpuasa." (Hadits riwayat Abu Daud) . Jika seseorang itu berpuasa pada hari Syak atau pada separuh kedua bulan Sya‘ban dengan ada sebab seperti puasa qadha, nazar dan kaffarah atau kebetulan bertepatan hari syak itu dengan puasa yang pada adatnya dia berpuasa seperti puasa hari Isnin dan Khamis dan puasa sehari dan berbuka sehari atau dia telah berpuasa pada 15 Sya‘ban dan berterusan puasanya itu tanpa berbuka hingga ke hari Syak, maka baginya dibolehkan berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata, telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: (Lihat I‘anah Ath-Thalibin 2/309 dan Fath Al-‘Allam 4/151-152) Maksudnya: "Jangan kamu dahului bulan Ramadan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan) dia berpuasa (pada adatnya hari itu). (Hadits riwayat Muslim) .
Puasa seorang isteri tanpakeizinan suaminya yang berada di dalam negeri
Adalah haram bagi seorang isteri berpuasa sunat atau puasa qadha muwassa‘ (yang mempunyai masa yang panjang lagi untuk diqadha) tanpa keizinan suaminya yang berada di dalam negeri. Ini adalah berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: (Lihat Tuhfah Al-Muhtaj 3/461) Maksudnya: "Janganlah seorang perempuan (isteri) berpuasa sedangkan suami ada (di dalam negeri) melainkan dengan keizinan suami; dan janganlah dia mengizinkan (orang lain) masuk rumah suami sedangkan suami ada, melainkan dengan keizinan suami; dan apa pun yang dia nafkahkan dari hasil kerja suami tanpa perintah suami, maka separuh pahala itu adalah bagi suami." (Hadits riwayat Muslim)
Demikianlah disebutkan puasa-puasa yang sunat, makruh dan haram. Di antaranya ada yang dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan bersempenakan hari-hari tertentu dan ada pula dihubungkan hukumnya sama ada sunat, makruh dan haram dengan keadaan diri orang yang berpuasa. Semoga ia akan menjadi panduan dan rujukan ringkas dalam mengerjakan ibadah puasa-puasa sunat sepanjang tahun.