Monday, November 30, 2009

Fadhilat Ibadah Qurban

Isnin, 13 Zulhijjah 1430H - DALIL PENSYARIATAN QURBAN

Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Kautsar ayat 2 : Maksudnya : "Maka kerjkanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur".

Allah S.W.T.telah berfirman dalam Surah Al-Haj ayat 37 : Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yan sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

Sabda Rasulullah S.A.W.:Maksudnya : "Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu". (Hadis riwayat Tirmidzi)

FADHILAT IBADAH QURBAN
Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban ini amat besar antaranya:
Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)
Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam kepada Sayyidatina Fatimah:Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu". (Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah.Sabda Rasullah Sallahahu 'Alaihi Wasallam: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla." (Hadis riwayat Thabrani)
Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta'ala daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih." (Hadith riwayat Tirmidzi)
Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya. Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya, sabda Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam:Maksudnya: "Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".

Qurban Wajib dan Qurban Nazar : Bagi daging korban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berkorban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

Qurban Sunat : Bagi daging korban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya korban memakan sebahagian daripadanya sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Haj ayat 28: Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang sangat fakir. Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging korban sunat itu kepada golongan fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah (belum dimasak).Adalah Afdhal jika yang empunya korban itu hanya mengambil sedikit daripada daging korban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.
Jika daging korban itu ialah korban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat korban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Haram menyedekah atau menghadiahkan daging korban kepada orang kafir walaupun sedikit.
Tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat.

Haram ke atas orang yang melaksanakan korban atau warisnya menjual daging korban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang korban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam : Maksudnya:"Siapa yang menjual kulit korban (udhiyyah) itu maka tiada dikira korban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)
Haram menjadikan kulit dan daging binatang korban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

Wednesday, November 25, 2009

Khutbah Widak 9 Zulhijjah 10H

Rabu, 8 Zulhijjah 1430H : KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD SAW 9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH

"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini . Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu .
Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu . Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu .
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku .
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru . Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya . Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "

Madinah Al Munawwarah

Rabu, 8 Zulhjjah 1430H :Madinah Kota Nabi. Salah satu tanda kebesaran sesebuah kota adalah banyaknya nama dan sebutan bagi kota itu. Kota Madinah memiliki 94 nama dan sebutan Nama yang paling popular adalah sebutan "Al MADINAH AL MUNAWWARAH", iaitu kota yang disinari dan menyinari".
Di segi geografi, kota ini terletak di antara 39 - 40 darjah garis bujur di timur dan 24 - 25 garis lintang utara. Jaraknya dari laut merah lebih kurang 170 kilometer, dari Mekah 450 kilometer dan dari ibu negara Saudi Arabia (Riyadh) ialah lebih kurang 1,000 kilometer.
Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan Kota ini sebagai tempat tinggal sejak tahun 622 masehi. Sejak itu pula diberi nama Al-Madinah Al-Munawwarah (kota yang disinari) yang mana sebelumnya bernama Yatsrib.
Kota ini adalah bahagian dari bumi yang dimuliakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Ia jelas sebagaimana Sabda Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam ketika berhijrah, maksudnya : " Ya Allah, Engkau keluarkan aku dari bahagian bumi yang paling aku cintai, berilah aku tempat menetap di bahagian bumi yang paling Engkau cintai".
Kota ini juga dinyatakan oleh Nabi sebagai tanah Haram (suci) sebagaimana Kota Mekah, dan di sebut-sebut di dalam Al-Quran hingga tiga kali. Bahkan Nabi selalu mendoakan ketenteraman dan keberkatan bagi kota ini. Dari kota inilah Islam berkembang memancar keseluruh pelusuk dunia. Di kota inilah juga jasad Nabi akhir zaman dimakamkan.
Masjid Nabawi. Disebut Masjid Nabawi kerana Nabi Muhammad S.A.W. selalu menyebutnya dengan kalimah, " Masjidku ini", pada setiap kali baginda menerangkan tentang sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah. Nabi bersabda," Sembahyang di masjidku ini lebih utama daripada sembahyang seribu kali di masjid lain kecuali Masjidil Haram".
Dalam satu riwayat lain, Nabi bersabda," Barang siapa sembahyang di masjid 40 waktu tanpa terputus, maka ia pasti selamat dari neraka dan segala siksa dan selamat dari sifat munafik".
Masjid ini didirikan oleh Nabi S.A.W. dan sahabat-sahabat baginda pada tahun pertama hijrah (622 M) seluas 1050 meter persegi, iaitu di sisi di sebelah barat rumah baginda yang sekarang rumah itu menjadi makam baginda dan masuk dalam bangunan masjid.
Berziarah ke masjid Nabawi ini adalah masyru' dan dikira termasuk ibadat. Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Nabi yang berbunyi; bermaksud," Janganlah kau mementingkan kepergian kecuali kepada tiga masjid, iaitu Masjidil Haram, Masjidku ini dan Masjid Aqsa'
Makam Nabi .Kalau kita berada di Raudhah dan menghadap kiblat, bererti di sebelah kiri kita adalah bangunan empat persegi berwarna hijau tua yang unggul dan berwibawa serta memancarkan bau wangi-wangian. Bangunan ini awal mulanya dua buah rumah, iaitu rumah Nabi dengan Saidatina 'Aisyah dan rumah Saidina Ali dengan Saidatina Fatimah.
Sejak Nabi Muhammad S.A.W wafat pada tahun 11 hijrah (632M), rumah Nabi terbahagi dua. Bahagian arah kiblat (Bahagian selatan) untuk makam Nabi dan yang bahagian utara tempat tinggal Saidatina 'Aisyah.
Rumah ini sejak tahun 678 hijrah (1279 M) di atasnya dipasang kubah hijau (Dom) hingga sekarang. Jadi di bawah kubah hijau inilah jasad Nabi Muhammad S.A.W dimakamkan. Ini bermakna kalau kita melihat kubah hijau bererti kita melihat makam Nabi S.A.W.
Kemudian Saidina Abu Bakar (Khalifah Pertama ) dan Saidina Umar (Khalifah Ke-2) pun dimakamkan di rumah itu dekat dengan makam Nabi S.A.W. Ini bermakna setengah daripada rumah Nabi S.A.W. itu sekarang ada tiga makam.

Tuesday, November 24, 2009

Tempat Bersejarah Di Mekah

Selasa, 7 Zulhijjah 1430H : Bumi Mekah :Menurut riwayatnya, ramai para sahabat menyatakan, bahawa bumi Makkah adalah yang pertama sekali muncul dari air selepas penciptaannya dan daripadanya bumi- bumi lain terbentang dan terhampar. Keistimewaan yang terdapat di Makkah ialah Masjidil Haram. Keistimewaan Masjidil Haram pula ialah kerana Kaabah atau Baitullah, yang menjadi kiblat bagi umat Islam. Baitullah adalah sebuah bangunan yang hampir-hampir empat persegi. Tingginya 15 meter dan luasnya lebih kurang 120 meter persegi. Bangunan ini terletak di tengah-tengah Masjidil Haram. Di salah satu penjuru Kaabah ini terdapat Hajarul Aswad yang menjadi tempat permulaan untuk mengerjakan tawaf.
Makam Ibrahim bukanlah kuburan Nabi Ibrahim sebagaimana dugaan atau pendapat sebahagian orang-orang kebanyakan. Ia adalah merupakan bangunan kecil yang terletak lebih kurang 20 hasta di sebelah timur Kaabah. Di dalam bangunan kecil ini terdapat sebiji batu yang diturunkan oleh Allah dari Syurga bersama-sama dengan Hajarul Aswad. Di atas batu itu Nabi Ibrahim berdiri di waktu baginda membangunkan Kaabah dan puteranya Nabi Ismail memberikan batu kepadanya.

Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat. Batu itu dipelihara Allah, sekarang ini sudah ditutup dengan perak. Sedangkan bekas kedua tapak kaki Nabi Ibrahim panjangnya 27 cm, lintangnya 14 cm dan dalamnya 10 cm masih nampak dan jelas dilihat. Atas perintah Khalifah Al Mahdi Al Abbasi di sekeliling batu makam Ibrahim itu telah diikat dengan perak dan dibuat kandang besi berbentuk sangkar burung
Hajarul Aswad : Menurut sejarahnya, Hajarul Aswad diturunkan oleh Allah dari langit ke atas Jabal Qubais. Ia merupakan sebiji permata putih, lebih putih dari salji, tetapi lama - kelamaan menjadi hitam sebab disentuh oleh orang - orang musyrik.
Kalau tidak kerana sentuhan tersebut nescaya cahayanya menerangi antara timur dan barat. Ini diterangkan dari hadis Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda :" Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dan berwarna lebih putih dari susu. Dosa-dosa manusia (anak Adam ) menyebabkannya menjadi hitam " . Riwayat Ahmad dan Turmizi Hijir Ismail adalah pagar batu berlingkar. Tingginya 11/2 meter. Letaknya berdampingan dengan Kaabah di sebelah utara. Ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim sewaktu beliau membangunkan Kaabah.

Hijir Ismail itu pada mulanya cuma merupakan pagar batu yang sederhana sahaja. Kemudian para Khalifah, Sultan dan Raja-raja yang berkuasa telah memecahkan dan membangunkan semula pagar batu itu dengan batu mamar. Berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, sebahagian dari Hijir Ismail itu adalah termasuk dalam Kaabah. Ini diriwayatkan oleh Abu Daud dari 'Aisyah r.a. yang bermaksud, 'Dari 'Aisyah r.a. katanya; "Aku sangat ingin memasuki Kaabah untuk melakukan sembahyang di dalamnya. Rasulullah s.a.w. memegang tanganku dan memasukkan aku ke dalam Hijir Ismail sambil berkata " Sembahyanglah kamu di Hijir jika kamu hendak masuk ke dalam Kaabah kerana kaum engkau (orang Quraisy) telah meninggalkan bahagian ini di luar semasa mereka membina semula Kaabah". Adalah disunatkan bagi tiap-tiap orang yang telah mengerjakan tawaf, sembahyang sunat dan berdoa di Makam Ibrahim, sembahyang sunat pula dua rakaat di Hijir Ismail
Multazam terletak di antara Hajarul Aswad dengan pintu Kaabah. Perkataan Multazam bermakna," Melekat", sebab dipanggil demikian, kerana disinilah seseorang itu patut melekatkan dadanya semasa berdoa. Abu Daud meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas r.a. berkata:- Dia pernah berdiri tegak di Multazam dengan dada dan mukanya mengadap ke Kaabah. Tangannya dianjurkan ke atas kepala menekap ke Kaabah. Kemudian beliau berkata," Daku melihat Rasullullah s.a.w. melakukannya
Telaga zam - zam adalah sebagaimana telaga biasa, tetapi mempunyai riwayat yang tersendiri. Sejarahnya adalah berhubung kait dengan sejarah Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar (isteri Nabi Ibrahim ) yang datang ke Makkah. Mengikut asal mula riwayat telaga ini adalah seperti berikut; Nabi Ibrahim a.s. mempunyai dua orang isteri; Siti Sarah dan Siti Hajar (ibu Nabi Ismail).

Pada satu ketika terjadi pertelingkahan antara kedua isteri tersebut sehingga Siti Sarah bersumpah tidak akan tinggal bersama-sama ibu Ismail dalam satu negeri. Kemudian turunlah wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya baginda bersama-sama anak dan isterinya (Ismail dan Hajar) pergi ke Makkah. Di waktu itu Makkah belum didiami manusia, hanya merupakan lembah pasir dan bukit-bukit yang tandus dan tidak ada air.

Apabila mereka tiba di Makkah, mereka tinggal di bawah sepohon pokok yang kering. Di tempat inilah bangunan Kaabah yang ada sekarang. Tidak berapa lama, kemudian Nabi Ibrahim meninggalkan mereka dengan dibekalkan sekantong kurma dan sekibah air.
Siti Hajar memerhatikan sikap suaminya yang menghairankan itu lalu bertanya ;
"Hendak kemanakah engkau Ibrahim ?"
"Sampai hatikah engkau meninggalkan kami berdua ditempat yang sunyi dan tandus ini ? ".
Pertanyaan itu berulang kali, tetapi Nabi Ibrahim tidak menjawab sepatah kata jua pun.
Siti Hajar bertanya lagi;
"Adakah ini memang perintah dari Allah ?"
Barulah Nabi Ibrahim menjawab, "ya".

Mendengar jawapan suaminya yang ringkas itu, Siti Hajar gembira dan hatinya tenteram. Ia percaya hidupnya tentu terjamin walaupun di tempat yang sunyi, tidak ada manusia dan tidak ada segala kemudahan. Sedangkan waktu itu, Nabi Ismail masih menyusu. Selang beberapa hari, air yang dibekalkan Nabi Ibrahim habis. Siti Hajar berusaha mencari air di sekeliling sampai mendaki Bukit sofa dan Marwah berulang kali sehingga kali ketujuh (kali terakhir ) ketika sampai di Marwah, tiba-tiba terdengar oleh Siti Hajar suara yang mengejutkan, lalu ia menuju ke arah suara itu. Alangkah terkejutnya, bahawa suara itu ialah suara air memancar dari dalam tanah dengan derasnya. Air itu adalah air zam-zam.

Di sini Siti Hajar bertemu dengan Malaikat Jibril dan Jibril mengatakan kepadanya, " Jangan khuatir, di sini Baitullah ( rumah Allah ) dan anak ini (Ismail ) serta ayahnya akan mendirikan rumah itu nanti. Allah tidak akan mensia-siakan hambaNya".
Air zam-zam mempunyai keistimewaan dan keberkatan, ia boleh menyembuhkan penyakit, menghilangkan dahaga serta mengenyangkan perut yang lapar. Keistimewaan dan keberkatan itu di sebut dalam sepotong hadith Nabi yang bermaksud:, " Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam, ia merupakan makanan yang mengenyangkan dan penawar bagi penyakit ". Riwayat - At Tabrani dan Ibnu Hibban.

Monday, November 23, 2009

Ibadah Haji Lambang Tauhid

Isnin, 6 Zulhijjah 1430H : Ibadah haji lambang tauhid paling unggul. Zulhujjah bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji. Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.
Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”
Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.
Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”
Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.
Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)
Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)
Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)
Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)
Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)
Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.
Oleh Prof Madya Maznah Daud .PENULIS ialah pensyarah syariah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor dan boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com

Thursday, November 19, 2009

Fadhliat Puasa Wajib Dan Sunat Sepanjang Tahun

Khamis, 2 Zulhijjah 1430H : Ibadat puasa adalah ibadah dikerjakan dengan berlapar dan berdahaga sepanjang hari iaitu sejak terbitnya fajar sodiq (masuk waktu Subuh) hingga terbenamnya matahari (masuk waktu Maghrib). Antara hikmah dan faedah ibadat puasa ialah menginsafkan diri bahawa kita pada hakikatnya adalah makhluk yang dhaif yang perlu sentiasa menghampirkan diri dan beribadat kepada Allah s.w.t. serta mengharapkan limpah kurnia-Nya.

Firmah Allah s.w.t. menjelaskan tentang hikmah puasa Ramadhan yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah:183)
Dengan puasa juga, kita akan memperolehi kesihatan jasmani dan rohani. Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasalah kamu, tentu kamu akan sihat." Sabda Baginda Rasulullah s.a.w. lagi: "Perut besar itu adalah sarang penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit."

Selain daripada itu, puasa juga mempunyai hikmah dan faedah seperti:
  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga.
  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah s.w.t.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka .
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi.
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."

Oleh kerana sangat besar faedah dan manfaatnya ibadah puasa kepada kita, maka selain puasa yang wajib pada bulan Ramadhan, ada lagi puasa-puasa sunat yang elok dilakukan sepanjang tahun.


FADHILAT PUASA RAMADHAN

Puasa pada bulan Ramadhan difardhukan kepada setiap individu Muslim dan Muslimah yang telah 'aqil baligh dan ketiadaan uzur syar'i. Uzur puasa seperti sakit dan dalam perjalanan (musafir) sejauh 91km. atau lebih. Orang yang uzur boleh meninggalkan puasanya. tetapi wajib mengqadhanya pada hari dan bulan yang lain

Puasa Ramadhan adalah menjadi salah satu rukun Islam yang kelima. Pahala melakukannya tersangat besar, sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk: Al-Targhib II:206)

Sabda Baginda Rasulullah s.a.w.: "Setiap amanalan anak Adam (manusia) itu digandakan satu kebaikan dengan sepuluh yang seumpamanya hingga kepada 700 kali ganda. Firman Allah s.w.t. (maksudnya) :" Kecuali puasa yang dikerjakan untuk Ku, maka Aku-lah yang membalasnya. Dia menahan syahwatnya dan meninggalkan makan kerana Aku" Bagi orang yang puasa itu ada dua kegembiraan, iaitu gembira ketika berbuka (atau berhari raya) dan gembira ketika menemui Tuhannya kelak. Dan, demi bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)

FADHILAT PUASA-PUASA SUNNAT SEPANJANG TAHUN

  • Puasa enam hari dalam bulan Syawal
    Fadhilat atau keutamaannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)
    Cara melakukannya yang terbaik (afdal) secara berturut-turut dan dimulakan pada hari kedua bulan Syawal, tetapi boleh dan sah dengan tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari didalam bulan Syawal. Malah sesetengah ulama mengharuskan puasa enam hari dalam bulan Syawal diniatkan berserta puasa qadha Ramadhan.
  • Puasa hari 'Arafah (9 Zulhijjah)
    Disunatkan kepada orang yang tidak melakukan ibadah haji. Fadhilatnya sangat besar sebagaimana dijelaskan menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. ujurnya, Rasullullah s.a.w. telah ditanya oleh sahabat mengenai puasa hari 'Arafah, sabdanya bermaksud: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan tahun-tahun kemudiannya." (Riwayatkan oleh Muslim dan al-Turmuzi)
    Menerusi hadith daripada Abi Qatadah r.a. juga bahawa Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Puasa pada hari 'Arafah itu menghapuskan dosa dua tahun yang lalu dan tahun yang akan datanag." (Diriwayat oleh Muslim)
  • Puasa pada bulan Muharram
    Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)
    Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
  • Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)
    Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)
  • Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)
    Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)
    PERINGATAN
    Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)
  • Puasa bulan Sya'aban
    Daripada Usamah bin Zaid r.a. katanya, aku berkata: "Wahai Rasullullah, tidak saya lihat tuan hamba berpuasa satu bulan daripada bulan-bulan (dalam setahun selain Ramadhan) seperti tuan berpuasa pada bulan Sya'aban." Sabda Rasullullah s.a.w.: "Bulan ini (yakni bulan Sya'aban) ialah bulan yang manusia lalai padanya antara Rajab dan Ramadhan, pada hal ia (yakni bulan Sya'aban) adalah bulan diangkat amalan kepada Tuhan seru sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat dan aku berpuasa." (Riwayat al-Nasai)
    Ummu Salamah r.a. pula berkata: "Tidak pernah aku lihat Rasullullah s.a.w. berpuasa dua bulan berturut-turut melainkan pada bulan Sya'aban dan Ramadhan." (Riwayat al-Turmuzi)
  • Puasa pada hari Isnin dan Khamis
    Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Rasullullah s.a.w. sabdanya: "Diperlihatkan (kehadrat Allah s.w.t.) segala amalan itu pada hari Isnin dan Khamis, justeru saya suka ketika diperlihatkan amalan-amalanku itu sedang aku berpuasa." (Riwayat al-Turmuzi)
    Menurut riwayat Muslim diterima daripada Abu Qatadah, pernah ditanyakan kepada Rasullullah sa.w. tentang puasa pada hari Isnin, maka Baginda s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Itulah hari yang padanya aku dilahirkan, padanya aku dibangkitkan menajdi Rasul dan padanya Al-Quran diturunkan kepadaku." (Subul al-Salam)
  • Puasa hari Rabu, Khamis dan Jumaat
    Daripada 'Ubaid bin Muslim al-Qurasyi daripada bapanya r.a. ujurnya, aku bertanya atau ditanya oleh Baginda Rasullullah s.a.w. mengenai puasa dahar (sepanjang tahun), maka Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Tidak (maksudnya tidak dibenarkan puasa tersebut), kerana sesungguhnya untuk keluargamu atas dirimu ada hak. Oleh itu berpuasalah pada bulan Ramadhan dan yang mengikutinya (enam hari dalam bulan Syawal), dan pada setiap hari Rabu dan Khamis, maka anda sungguh telah (mendapat pahala) puasa sepanjang tahun dan anda juga telah berbuka." (Riwayat Abu Dawud, al-Nasai dan al-Turmuzi)
    Daripada Anas bin Malik r.a. bahawa beliau telah mendengar Rasullullah s.a.w. bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, nescaya Allah s.w.t. membina untuknya sebuah istana disyurga daripada permata, yaqut dan zabarzad dan dicatat baginya bebas dari api neraka" (Riwayat al-Tabrani)
    Menerusi riwayat daripada Ibnu Umar r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat, kemudian bersedekah pada hari Jumaat sedikit atau banyak, nescaya diampunkan semua dosanya hingga menjadi seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya, bersih daripada segala dosa." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)
  • Puasa pada hari Putih (13,14 dan 15 bulan Islam)
    Diriwayatkan daripada Jarir r.a. daripada Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Berpuasa tiga hari pada setiap bulan adalah puasa sepanjang tahun iaitu puasa pada hari-hari putih - pada hari 13,14 dan 15 (bulan Qamariyah)." (Riwayat al-Nasai dengan sanad yang sohih)
  • Puasa tiga hari pada setiap bulan
    Diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Qatadah, bahawasanya Baginda Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Puasa tiga hari pada setiap bulan, Ramadhan ke Ramadhan itulah puasa sepanjang masa."
    Mengenai berpuasa tiga hari pada setiap bulan, ada beberapa pendapat Ulama. Antaranya dikatakan puasa tiga hari itu ialah puasa pada 13,14 dan 15. Inilah pendapat kebanyakkan Ulama, antara lain Umar, Ibnu Mas'ud, Abu Zar, al-Syafi'i, Abu Hanifah, Ahmad dan Ishaq.
    Sementara al-Nakha'i berpendapat ialah puasa tiga hari pada akhir bulan.
  • Puasa selang-seli (sehari puasa sehari tidak)
    Hadith daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al-'As r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Telah sampai berita kepadaku bahawa anda berpuasa pada waktu siang dan berjaga (kerana beribadah) waktu malam. Jangan buat demikian kerana untuk jasadmu atas dirimu ada habuan, untuk matamu atas dirimu ada habuan dan untuk isterimu ada habuan. Puasalah dan berbukalah. Puasa tiga hari pada setiap bulan, maka dengan demikian anda mendapat pahala sepanjang tahun." Aku berkata: " Wahai Rasullullah, aku mempunyai kekuatan (keupayaan untuk berpuasa). Sabda Baginda Rasullullah s.a.w. "Maka berpuasalah puasa NabiDaud a.s. iaitu berpuasalah sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
    Daripada Abdullah bin 'Amru ibnu al'As katanya, telah bersabda Rasullullah sa.w. bermaksud: "Puasa yang paling disukai oleh Allah s.w.t. ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah s.w.t. ialah solat Nabi Daud, baginda tidur separuh malam dan bangun beribadah sepertiga malam dan tidur seperempat malam dan baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


PERINGATAN
1. Dalam mencari pahala puasa sunnat, janga tersalah hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu:

  • TANGGAL 1 SYAWAL (HARI RAYA AIDIL FITRI)
  • 10 ZULHIJJAH (HARI RAYA AIDIL ADHA)HARI-HARI TASYRIQ: 11, 12 DAN 13 ZULHIJJAH
  • HARI SYAK MUNGKIN HARI MULA BERPUASA (30 SYA'ABAN)
  • SELEPAS 15 SYA'ABAN JIKA BUKAN PUASA QADHA ATAU NAZAR ATAU TIADA HUBUNGAN DENGAN PUASA PADA HARI SEBELUMNYA, ATAU BUKAN HARI YANG BIASA BERPUASA
  • PUASA SUNNAT BAGI WANITA TANPA IZIN SUAMI (JIKA SUAMI BERMUKIM YAKNI TAK MUSAFIR ATAU BERPERGIAN JAUH)


2. Jangan pula berpuasa pada hari-hari yang dimakruhkan :

  • PUASA ORANG YANG SAKIT BERSANGATAN
  • PUASA ORANG YANG SANGAT TUA
  • PUASA WANITA YANG HAMIL
  • PUASA ORANG YANG MUSAFIR
  • PUASA PADA HARI 'ARAFAH BAGI ORANG YANG MENGERJAKAN HAJI
  • PUASA PADA HARI SABTU SAHAJA (DITUNGGALKAN)
  • PUASA PADA HARI JUMAAT SAHAJA (DITUNGGALKAN)
  • PUASA ASALNYA SUNNAT DIKERJAKAN OLEH ORANG YANG MENANGGUNG PUASA QADHA
  • PUASA SEPANJANG TAHUN (SEPANJANG MASA)

Wednesday, November 18, 2009

Fadhliat Haji

Rabu, 1 Zulhijjah 1430H : Firman Allah SWT:
وأتمّوا الحجّ والعمرة لله .................."“ Dan Sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah…. ……“(al-Baqarah: ayat 196)

فمن حجّ البيت اواعتمر فلاجناح عليه ان يّطّوّف بهما.“Maka barang siapa yang hendak melakukan haji ke Baitulallah atau melakukan umrah, maka tidaklah menjadi halangan baginya bahawa ia berlari-lari antara keduanya”. (Al-Baqarah: ayat 158)

“Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W: "Barangsiapa menunaikan haji kerana untuk mendapatkan keredhaan Allah dan dengannya tidak menyebut perkataan-perkataan maksiat, tidak melakukan perbuatan-perbuatan keji, akan kembali daripadanya bebas daripada dosa sebagaimana hari di mana ibunya melahirkannya." (Mutafaquun Alaih).

Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya”. (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ibadat Haji dan Umrah adalah syariat agama Allah s.w.t yang mengandungi rahsia-rahsia dan hikmat-hikmat. Di antara hikmat-hikmat yang dapat diselami adalah untuk melatih umat Islam supaya bersatu haluan dalam mempertingkatkan syiar Islam, berganding bahu untuk menegakkan agama Allah s.w.t. supaya perhubungan di antara masyrakat Islam terjalin lebih erat dan lebih mesra lagi tanpa mengira warna kulit biarpun berlainan bahasa percakapan, adat resam dan kebudayaan.
Bagi amalan Sa’ie direnung kembali peristiwa Siti Hajar, isteri kepada Nabi Ibrahim a.s. yang lari berulang-alik antara Bukit Safa dan Marwah di tengah-tengah padang pasir yang cuacanya panas dan kering untuk mencari air bagi anaknya yang masih bayi. Bila Siti Hajar kembali kepada anaknya dilihat air zam-zam terpancar dari bumi tempat letak kaki Nabi Ismail a.s.
Daripada peristiwa ini umat Islam dapat menanam semangat perjuangan supaya terus berusaha dan tidak mudah putus asa melalui rintangan kehidupan. Mengerjakan haji dan umrah sesungguhnya keduanya menghapuskan dosa. Sekiranya ibadat tersebut mendapat mabrur (amalan baik yang diterima oleh Allah s.w.t.) akan memperolehi syurga.

Dalam sebuah hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dosa-dosa yang dilakukan selepas satu umrah diampunkan melalui umrah yang berikutnya". Oleh itu, apa yang telah dilakukan di antara dua umrah akan terputus. Hikmat kedua-dua kota di Tanah Suci iaitu amalan ibadatnya digandakan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. bahawa sesudah Mekah, maka tidak ada tanah yang lebih utama di bumi ini daripada kota Madinah yang digelarkan dengan nama Madinadul Rasul atau kotanya Rasulullah s.a.w.
Amalan-amalan yang dilakukan di Masjid Nabawi akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan juga mendapat syafa’at daripada Rasulullah s.a.w. Baginda juga bersabda yang bermaksud bahawa solat di Masjid Nabawi lebih afdal daripada masjid-masjid yang lain sebanyak seribu kali solat kecuali Masjidil Haram, manakala bersolat di masjidnya sebanyak empat puluh waktu dengan tidak tinggal walaupun satu waktunya nescaya dilepaskan mereka daripada azab neraka dan juga azab kubur.

Sesungguhnya orang–orang yang mengerjakan haji dan umrah, adalah tetamu Allah s.w.t. sekiranya mereka memohon sesuatu, dikurniakanNya; jika mereka berdoa, dimakbulkan doanya; dan jika mereka membelanjakan sesuatu maka digantikanNya. Ibadat umrah adalah lambang perpaduan umat Islam yang sentiasa berada dalam ikatan kukuh bagi memperkasakan maruah umat dan kesucian Islam. Umpamanya menerusi aktiviti tawaf dapat dilihat dengan jelas semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam adalah erat sesama manusia, tidak kira raja, rakyat miskin atau kaya, sama sahaja taraf mereka ketika mengerjakan ibadat dan semuanya berpakaian seragam (ihram) bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan memartabatkan imej dan meningkatkan syiar Islam di persada dunia

Tuesday, November 17, 2009

Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah

Selasa, 29 Zulkaedah 1430H : Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kelendar Hijrah Islam. Tarikh 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, “Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah." Para sahabat baginda bertanya, “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda, Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.”

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).”

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

  1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.
  2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.
    Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.”
  3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, “(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.
  4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
  5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
    Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
  6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
    Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
  7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.
  8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya," dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban."
    Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).
    Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.
  9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.
  10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. Antara peristiwa tersebut adalah:
  1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.
  2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.
  3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.
  4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.
  5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.
  6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.
  7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.
  8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.
  9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di Palestin.
  10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi.
  11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.
  12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah.
  13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.
    - NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Terengganu.

Monday, November 16, 2009

Manifestasikan Persaudaraan Ibadah Haji


Isnin, 28 Zulkaedah 1430H : - Ibadah haji mula difardukan ke atas umat Islam pada tahun ke 5 atau ke 6 Hijrah, iaitu apabila turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: " Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah bagi sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya, dan sesiapa yang kufur dan ingkar terhadap kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk." (Ali-Imran: 97)

Dalam ayat 196 surah al-Baqarah, Allah berfirman, maksudnya: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: Agama Islam itu dibina di atas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadan, dan mengerjakan haji. "(Riwayat Imam Bukhari).

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya: “Sesiapa yang memiliki harta benda dan kenderaan untuk menyampaikannya ke Baitullah, tetapi tidak mengerjakan haji, maka bila dia mati akan menjadi sebagai Yahudi atau Nasrani”. (Hadis daif riwayat al-Baihaqi dan al-Darimi. )

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas, maka para ulama bersepakat mengenai kewajipan menunaikan ibadat haji sekali seumur hidup bagi orang yang berkemampuan. Para ulama juga bersepakat mengenai kufurnya orang yang ingkar dan menolak kewajipan menunaikan fardu haji.

Terdapat segelintir umat Islam dalam masyarakat kita yang sudah berkemampuan untuk menunaikan haji, tetapi tidak menunaikannya. Sedangkan saban tahun, mereka ini pergi menunaikan ibadah umrah. Kadang-kala dalam setahun, mereka menunaikan dua atau tiga kali umrah, tetapi tetap tidak berkesempatan untuk menunaikan haji. Bila ditanya tentang haji, dengan selamba mereka menjawab, ‘belum sampai seru lagi!’.

Sama ada orang sebegini menyedari atau tidak bahawa umrah yang ditunaikan saban tahun itu adalah sunat sedangkan haji yang mereka sering tangguhkan perlaksanaannya itu adalah wajib! Mana yang perlu diutamakan, sunat atau wajib? Tepuk dada, Tanya iman! Alasan yang menyatakan tidak sampai seru lagi, tidak dapat diterima sama sekali, kerana seruan haji ini telah dinyatakan di dalam al-Quran dan sunah dengan begitu jelas dan terang.

Sanggupkah mereka mati dalam keadaan Yahudi atau Nasrani, lantaran tidak menunaikan haji sedangkan sudah berkemampuan untuk menunaikannya?. Nabi Muhammad s.a.w. menunaikan fardu haji sekali sahaja semasa hayat baginda. Haji itu dinamakan Hajjatul Wada’ (haji perpisahan), kerana tidak berapa lama kemudian selepas itu Rasulullah pun wafat.

Rasulullah berangkat dari Madinah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri, para sahabat dan orang Islam yang lain. Rasulullah menyempurnakan amalan-amalan sunat ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah atau dikenali sebagai Bir Ali yang terletak lebih kurang 10 kilometer (km) dari Madinah.

Setelah sembilan hari dalam perjalanan, Rasulullah pun sampai di Mekah pada tanggal 4 Zulhijjah. Setelah Rasulullah menyempurnakan ibadat haji, maka pada 14 Zulhijjah, baginda berangkat meninggalkan Mekah menuju balik ke Madinah al-Munawwarah.

Ibadah haji mendatangkan banyak faedah kepada umat Islam. Firman Allah dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud: " Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus, yang datang dari pelbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka binatang ternak (untuk dijadikan korban)."

Ibadah haji juga membawa ikatan mahabbah dan persaudaraan yang kukuh dalam kalangan umat Islam tanpa mengira bangsa, keturunan dan warna kulit. Pada hakikatnya, ibadah haji merupakan muktamar atau perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia. Umat Islam saling berusaha menyebarkan ukhwah Islamiah dan aktiviti-aktiviti yang mendatangkan banyak manfaat.

Inilah hikmahnya persaudaraan yang dipupuk oleh umat Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa orang yang beriman itu bersaudara. Namun, apakah persaudaraan Islam yang didapati daripada ibadat haji itu benar-benar tersemat di dalam hati sanubari mereka yang menunaikannya?

Ini kerana, terdapat sebilangan umat Islam yang sudah beberapa kali menunaikan ibadah haji, tetapi tetap tidak dapat mengaplikasikan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama Islam. Sebagaimana yang dimaklumi, ibadah haji wajib ditunaikan seumur hidup sekali sahaja. Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya, maka ibadah tersebut menjadi sunat.

Kadang-kala berlaku dalam kalangan umat Islam yang beria-ia menunaikan haji pada setiap tahun, dan dalam masa yang sama melupakan hubungan persaudaraan dan kasih sayang yang sewajarnya dipupuk sesama umat Islam. Kedapatan di antara mereka yang langsung tidak mempedulikan saudara seagama yang berada dalam kesusahan dan yang memerlukan bantuan. Jadi, berbaloikah ibadah haji sunat yang ditunaikan itu, tetapi melupakan manifestasi dan falsafah haji yang menyeru ke arah persaudaraan dan kasih sayang?

Apalah gunanya ibadah yang ditunaikan, tetapi tidak juga dapat mengubah sikap yang terlalu mementingkan diri sendiri sahaja? Lupakah kita pada generasi para sahabat yang sanggup mati kehausan semata-mata mengutamakan sahabat yang lain terlebih dahulu, sebagaimana yang berlaku dalam peperangan Yarmouk?

Huzaifah berkata: “Aku telah bertolak ke tempat berlakunya Peperangan Yarmouk untuk mencari sepupuku yang kesakitan dan kehausan untuk kuberikan kepadanya air yang ada bersama-samaku. Apabila aku dapat menemuinya, lantas aku memberikannya air. Sedang sahaja sepupuku itu hendak meneguk air, maka dia terdengar suara seorang muslim yang mengaduh kehausan, maka sepupuku lantas menyuruhku agar memberi minum orang itu dahulu. Aku pergi kepada orang itu dan aku dapati dia adalah Hisyam Bin al-As. Apabila Hisyam hampir sahaja meneguk air tersebut, maka terdengar oleh Hisyam suara sahabat seperjuangan yang lain mengaduh kehausan, maka Hisyam pun menyuruhku untuk pergi dan memberikan air kepada orang itu dahulu. Aku pun pergi kepadanya dan belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid. Aku berpatah balik kepada Hisyam , dan aku dapati dia juga telah syahid. Kemudian aku pergi pula kepada sepupuku tetapi belum sempat pun aku memberikannya air, dia telah pun syahid”.

Nabi s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang sahih yang bermaksud: " Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi bagi saudaranya apa yang dikasihi bagi dirinya sendiri”.

Oleh itu, apalah salahnya bagi mereka yang sudah kerap menunaikan ibadah haji dan yang berkemampuan, sekiranya dapat membantu saudara seagama terutamanya waris dan kaum keluarga terdekat yang belum menunaikan haji supaya dapat berbuat demikian.
Sekurang-kurangnya itulah tanda kasih dan sayang bagi saudaranya sebagaimana yang dia kasihkan sesuatu yang baik bagi dirinya sendiri. Sekiranya perkara seumpama ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengikis sikap pentingkan diri sendiri yang wujud pada diri seseorang itu.

Moga ibadah haji yang dilakukan setiap tahun membawa sejuta pengharapan ke arah ikatan persaudaraan sesama Islam. Bantulah saudara seIslam yang tidak berkemampuan dan yang memerlukan dengan apa yang termampu sama ada dengan harta, wang ringgit, tenaga, doa dan sebagainya.
* MOHD SUKKI OTHMAN ialah Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Friday, November 13, 2009

Lambaian Kaabah


Jumaat, 25 Zulkaedah 1430H - Ibadat haji punyai sejarah dan simbolik perjalanan hidup manusia "AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!" Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.

Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya. Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.
Sejak zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan pada zaman itu. "Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.
Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat. Pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.

Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah. Tawaf dilakukan tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi Ibrahim memastikan kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata dengan mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas Baitullah (Kaabah).

Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia. Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam.
Saie yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika Makkah belum terkenal. Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan harapan dapat melihat air, tetapi tiada. Kemudian dia turun dan menuju ke tempat lain, iaitu Marwah, tidak ditemui air. Sampailah tujuh kali dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia menghampiri Marwah dan mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan mendapati malaikat menguis tanah dengan sayapnya sehingga keluar air zam-zam. Sesetengah pendapat mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan dua kakinya atau kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga keluar air zam-zam. Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.
Melontar Jamrah pula berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima wahyu supaya menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail ke sebuah lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar sebagai manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi Ibrahim kemudian mengusir iblis itu. Menerusi peristiwa itulah umat Islam kemudian diwajibkan melontar Jamrah menggunakan batu kecil, sebagai simbol mengusir syaitan dari dalam diri manusia selain simbolik lain adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan maksiat dari dalam diri.
Ibadah Qurban merupakan wahyu daripada Allah kepada Nabi Ibrahim supaya menyembelih puteranya itu juga menjadi titik tolak ibadat korban yang dilakukan sempena haji atau Aidiladha. Seperti juga semangat dan keimanan Nabi Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud simbolik betapa manusia itu perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup berkorban apa saja demi menunaikan perintah-Nya.

FAKTA Rukun Haji

  • Ihram dan berniat mengerjakan ibadat haji dimulai sesampai miqat (batas-batas yang ditetapkan).
  • Wukuf di Arafah, iaitu berhenti di padang Arafah sejak tergelincir matahari 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah.
  • Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
  • Saie iaitu berlari kecil atau jalan cepat antara bukit Safa dan Marwah.
  • Mencukur atau menggunting rambut, sedikitnya memotong tiga helai rambut. · Tertib iaitu menjalankan rukun haji secara berurutan.
Oleh Nasron Sira Rahim

Thursday, November 12, 2009

Kelebihan Tempat Ibadat Haji



Khamis, 24 Zulkaedah 1430H : Ibadat haji merupakan kemuncak peribadatan seorang hamba. Namun, hanya segelintir yang dipilih oleh Allah daripada jutaan umat Islam seluruh dunia yang berkesempatan untuk hadir ke Tanah Suci sebagai tetamu Allah bagi melaksanakan ibadat haji yang merupakan pelengkap rukun Islam yang ke lima. Di samping itu, jemaah haji juga dapat menyaksikan pelbagai keagungan dan kelebihan ciptaan Allah khususnya tempat-tempat yang berkaitan dengan ibadat haji itu sendiri.

Maka tidak hairanlah, apabila saban tahun Tanah Suci Mekah dan Madinah dibanjiri oleh jutaan umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok bumi semata-mata dengan ikhlas melaksanakan tuntutan syariat Haji disamping mengambil kesempatan menziarahi Masjid Nabawi dan makam Rasulullah SAW di Madinah. Sesungguhnya, kehadiran mereka sebagai tetamu Allah merupakan satu simbolik atas kebenaran firman-Nya: Dan serulah manusia (wahai Ibrahim a.s.) untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (yakni Baitullah). (al-Hajj: 27)
Sebagai tempat yang diberkati, Tanah Suci Mekah, al-Masya’ir iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina, Miqat serta Tanah Suci Madinah memiliki fadilat tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain. Justeru, ruangan pada kali ini bakal memaparkan kemuliaan dan kelebihannya buat renungan bersama.

Kelebihan Mekah al-Mukarramah:
Mekah adalah paksi bumi dan merupakan penempatan tertua di mana tinggalnya bapa dan ibu sekelian manusia iaitu Nabi Adam a.s. dan isterinya Hawa apabila kedua-duanya dipertemukan semula oleh Allah selepas diturunkan ke bumi dari syurga. Mekah adalah Tanah Haram sebagaimana sabda Rasulullah SAW pada hari Fath Mekah: Sesungguhnya negeri ini telah dijadikan oleh Allah sebagai Tanah Haram pada hari Dia menciptakan langit dan Bumi. Mekah adalah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. (riwayat Muslim)

Antara kemuliaan dan kelebihan Mekah adalah:

Tempat yang paling disayangi Allah.
Ia bertepatan dengan sabda baginda Rasulullah SAW: “Demi Allah! Sesungguhnya engkau (yakni Mekah) adalah sebaik-baik bumi Allah, dan bumi yang paling disayangi-Nya.” (riwayat al-Tirmizi). Betapa beruntungnya jemaah haji kerana dapat menjejakkan kaki di bumi yang penuh berkat ini sebagai tetamu al-Rahman. Sesuai dengan status yang mulia ini, setiap jemaah hendaklah memastikan hati dan diri sentiasa suci agar tidak terjerumus ke dalam kemungkaran dan kezaliman. Renungilah firman Allah: Dan barang siapa yang berniat melakukan di Mekah kejahatan dengan cara yang zalim, nescaya kami akan merasakannya dengan azab yang tidak terperi sakitnya. (al-Hajj: 25).Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: Antara golongan yang amat dibenci oleh Allah ialah orang yang melakukan kejahatan di Mekah. (riwayat al-Bukhari)

Gandaan pahala mengerjakan amal soleh. Beribadat di Mekah menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat ganda. Jemaah haji sewajarnya mengambil peluang keemasan ini dengan menumpukan sepenuh perhatian dan usaha mereka ke arah melakukan amalan solat fardu dan sunat khususnya ketika beribadat di Masjidil Haram, begitu juga amal soleh yang lain seperti bersedekah. Ibadat tersebut akan digandakan pahalanya sebanyak 100,000 kali.
Sabda Rasulullah SAW: “Solat di al-Masjidil Haram lebih afdal daripada 100 kali solat di masjidku ini (iaitu 100,000 kali di masjid lain)”. (riwayat Imam Ahmad).
Al-Hasan al-Basri meriwayatkan: “Sedekah 1 dirham (di Mekah) lebih baik dari 100,000 dirham, dan setiap kebajikan digandakan sebanyak 100,000 kali”.

Kaabah & Masjidil Haram.
Kelebihan Mekah begitu sinonim dengan kewujudan Kaabah sebagai rumah ibadat pertama dan kiblat umat Islam. Ia dibina daripada bongkah batu Gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Judi dan Hira’. Firman Allah: Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk golongan manusia adalah yang terdapat di Mekah yang penuh keberkatan, sebagai petunjuk kepada sekelian alam. (ali-‘Imran: 96) Agar tidak dipersiakan kesempatan ini, jemaah haji wajarlah bersegera ke Masjidil Haram agar dapat mengerjakan tawaf Tahiyatul Bait dan tawaf sunat. Tunaikan solat dan duduk di barisan hadapan agar mereka sentiasa dapat melihat Kaabah. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya: “Allah menghapuskan kesalahan orang yang sedang tawaf serta menulis baginya kebajikan”. (riwayat al-Tirmizi). Sabda Baginda lagi: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat pada setiap hari; diturunkan kepada Kaabah 60 rahmat bagi orang yang mengerjakan tawaf, 40 rahmat bagi orang yang solat dan 20 rahmat bagi orang yang melihatnya. (riwayat al-Tabrani)

Mustajab Doa
Antara tempat yang mustajab doa ialah di Multazam dan di bawah Mizab. Sambil merapatkan pipi, dada dan dua t apak tangan ke dinding Kaabah, berdoalah dengan penuh keikhlasan dan pengharapan agar segala permintaan diperkenankan Allah SWT. Tunaikan solat di Hijr Ismail kerana ia juga adalah sebahagian daripada Kaabah. Sekiranya tidak mengganggu jemaah yang sedang tawaf, tunaikan solat dan berdoa di belakang Makam Ibrahim kerana ia juga tempat mustajab doa. Firman Allah: Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat. (al-Baqarah: 125)

Hajarul Aswad
Ia adalah kepingan batu yang berasal dari syurga. Jemaah lelaki disunatkan mengucup dan mengusapnya, manakala bagi wanita hukumnya hanyalah harus. Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah! Dia akan membangkitkan Hajarul Aswad pada hari kiamat, baginya sepasang mata untuk melihat dan lidah untuk berkata-kata; menjadi saksi kepada yang telah mengusapnya dengan kebenaran”. (riwayat al-Tirmizi)

Telaga Zam Zam
Menurut riwayat, telaga Zam Zam terhasil dari terjahan kaki Nabi Ismail a.s. atau dari kuisan sayap malaikat Jibrail a.s. Ia merupakan sebaik-baik mata air dan penawar yang terdapat di muka bumi. Minumlah secara beradab dan dengan sepuas-puasnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Air Zam Zam itu (fadilatnya) mengikut tujuan apa ia diminum”. (riwayat Ahmad) dan Sesungguhnya Air Zamzam merupakan makanan yang berzat dan penawar bagi penyakit. (riwayat Muslim)

Bukit Safa & Marwah Di sini berlakunya perjalanan Hajar mencari manusia untuk membantunya mendapatkan sumber bekalan dan tempat berlindung. Tempat saie ini merupakan syiar Islam sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar agama Allah. (al-Baqarah: 158)
Justeru, ketika berada di kaki bukit ini, berdoalah dengan menghadap ke arah Kaabah seraya mengangkat kedua belah tangan, kemudiannya bertakbir dan bertahmid kerana ia juga merupakan tempat mustajab doa.

Oleh Putera Shith al-Madani

Wednesday, November 11, 2009

Seruan ke Baitullah



Rabu,23 Zulkaedah 1430H :- Seruan ke Baitullah wajib dilaksana tanpa bertangguh sekiranya telah menenuhi syarat-syarat Haji. Menurut catatan sejarah, suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabatnya, “Ya Rasulullah, mana antara amal yang banyak itu yang lebih utama? Rasulullah menjawab: Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dijawab lagi: Berjihad di jalan Allah. Kemudian ditanya lagi: Apa lagi, ya Rasulullah? Dan Baginda SAW menjawab: Haji yang mabrur.” - (Hadis riwayat Bukhari)


Musim haji datang lagi dan Kota Makkah akan menerima kunjungan jutaan umat Islam seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji bagi tahun 1430 hijrah. Jemaah haji negara kita yang terpilih mengerjakan ibadat haji sudah mula berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menyempurnakan Rukun Islam kelima itu. Ibadat haji wajib dilakukan umat Islam yang berkemampuan dari segi kewangan serta sihat tubuh badan. Mereka yang akan pergi mengerjakan haji tahun ini pasti sudah siap sedia dengan persiapan fizikal serta mental, tentu tidak sabar untuk segera berada di Tanah Suci Makkah sebagai tetamu Allah. Menjadi tetamu Allah adalah sesuatu yang cukup bermakna dalam hidup seseorang Muslim. Tidak semua insan dijemput Allah sebagai tetamu-Nya. Mereka yang terpilih adalah hamba-Nya yang dikira beruntung dan sewajarnyalah mereka itu berasa bersyukur kepada Allah.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekian makhluk.” - (Surah Ali-Imran, ayat 97)


Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” - (Surah al-Baqarah, ayat 196) Ibadat haji diwajibkan kepada umat Islam pada tahun kelima atau keenam Hijrah, akan tetapi mula dilaksanakan pada tahun kesembilan Hijrah. Pada tahun itu, Rasulullah SAW mengarahkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq mengetuai rombongan 300 umat Islam supaya mengerjakan haji.


Imam Qurthubi mengisahkan riwayat daripada Ibnu Abas bahawa ketika Nabi Ibrahim selesai membangunkan Kaabah, beliau memperoleh perintah langsung dari Allah supaya melaksanakan perintah menunaikan haji kepada manusia. Nabi Ibrahim menjawab, “Bagaimana suaraku didengar oleh manusia? Maka Allah berfirman: Serulah mereka, maka Aku yang akan menyampaikannya.” Nabi Ibrahim lalu naik ke Jabal Abu Qubais dan menyeru dengan suara keras: “Wahai manusia! Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan kamu untuk berhaji ke rumah ini (Baitullah), nescaya Allah akan memberi pahala syurga dan menjauhkan kamu daripada api neraka.” Saat itu seluruh manusia menjawab, baik yang ada di dalam sulbi lelaki mahupun yang ada dalam rahim wanita, dengan jawapan talbiyah yang bermaksud, “Aku siap melaksanakan dan memenuhi perintah-Mu, ya Allah.”


Kelebihan bagi mereka mengerjakan haji dapat dilihat melalui Ali bin Abi Talib yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa menghendaki (kebaikan) dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mengunjungi Baitullah sebab setiap orang yang mendatanginya seraya memohon kepada Allah akan (kebaikan) dunia, nescaya Allah akan mengurniakannya dan setiap orang yang memohon kepada-Nya akan (kebaikan) akhirat, nescaya Dia akan menyimpan sebahagiannya untuknya. Ingatlah wahai manusia, kerjakan olehmu haji dan umrah, perturutkanlah antara keduanya, sebab keduanya akan mencuci dosa, ibarat air mencuci kotoran yang melekat pada baju. Keduanya juga akan menghilangkan kefakiran, ibarat api menghilangkan kotoran besi.”


Mengerjakan haji tidak hanya bergantung kepada tubuh badan yang sihat, cergas dan bertenaga, tapi ketahanan minda juga perlu kuat. Jika tubuh badan saja sihat serta mampu melakukan rukun dan wajib haji tetapi minda sakit dan lemah, maka dibimbangi jemaah tidak mendapat haji mabrur. Justeru, persediaan fizikal, mental dan spiritual perlu diberi perhatian jemaah yang akan ke Tanah Suci. Mengerjakan ibadat haji nampak mudah, tetapi oleh kerana ia dilakukan di tempat berlainan, maka semuanya itu memerlukan kekuatan fizikal kerana ibadat tawaf di Baitullah, sa’ie pula di Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar jamrah di Mina. Semuanya itu memerlukan tenaga dan sekali gus menguji ketabahan serta kesabaran jemaah. Sepanjang mengerjakan ibadat haji, seseorang itu sentiasa diuji Allah dengan pelbagai ujian yang boleh mencacatkan ibadahnya kepada Allah seperti cepat marah, tidak sabar, riak, sombong, bermegah-megah, berkata dusta, umpat dan mengata, hasad dengki dan sifat tercela lain. Semuanya boleh berlaku jika jemaah tidak ikhlas melakukan ibadat semasa berada di Makkah dan Madinah. Apa yang baik seharusnyalah diamalkan jemaah sewaktu berada di Makkah dan Madinah sepanjang mengerjakan ibadat haji, hendaklah sentiasa bersikap sabar dalam apa juga keadaan yang mereka hadapi. Selain sabar, hendaklah selalu ikhlas melakukan serta reda serta perlulah rajin, amanah, jujur, tolong menolong, bersedekah, penyayang dan yang penting hendaklah sentiasa mengucap syukur kepada Allah atas nikmat yang diberikan-Nya selama ini.

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara yang dilarang maka bersihlah ia daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Dosa yang berlaku di antara umrah adalah dihapuskan dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (haji yang diterima) melainkan syurga.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Melihat kepada ganjaran diberikan Allah kepada mereka yang pergi mengerjakan ibadat haji seharusnyalah seruan mengunjungi Baitullah itu disambut secepat mungkin tanpa bertangguh. Jika ada kemampuan bersegeralah menyempurnakan Rukun Islam kelima itu tanpa memberi alasan belum sampai seru, usia masih muda atau sibuk dengan tugas. Yang penting adalah niat, kemahuan dan azam untuk menziarahi Baitullah walaupun sekali dalam hidup. Oleh demikian, mulai saat ini tanamkan niat, kemahuan dan azam yang bulat dalam hati untuk mengunjungi Baitullah secepat mungkin sebelum datangnya kesulitan .

Tuesday, November 10, 2009

Wanita dan Haji - II


Selasa, 22 Zulkaedah 1430H :- Masalah haid bukan halangan laksana rukun haji mengikut syarat tertentu dan memperoleh mabrur memerlukan kefahaman serta penghayatan yang tulus ikhlas dalam beribadah. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam serta permasalahan berkaitan kewanitaan.

Masalah yang mungkin menimbulkan banyak persoalan kepada jemaah wanita ialah:
  • Istihadah, iaitu darah penyakit atau darah fasad yang keluar daripada kemaluan wanita selain daripada masa haid atau nifas. Jemaah yang mengalami istihadah boleh melakukan semua amalan haji termasuk tawaf di Baitillah. Mereka hendaklah membersihkan kemaluan dan memakai tuala wanita serta memastikan darah tidak mengalir keluar. Selepas berwuduk mereka hendaklah segera melakukan tawaf. Darah yang keluar ketika tawaf adalah dimaafkan. Begitu juga setiap kali hendak menunaikan solat fardu.

  • Edah, tempoh tertentu di mana seseorang wanita tidak boleh berkahwin selepas berlaku perceraian atau kematian suaminya. Satu daripada syarat wajib haji bagi wanita ialah mereka tidak berada dalam edah. Seseorang wanita yang sudah cukup semua syarat untuk menunaikan haji, tiba-tiba berlaku perceraian dengan suaminya atau suaminya meninggal dunia gugurlah kewajipan menunaikan haji pada tahun itu. Allah melarang wanita yang berada dalam edah keluar atau diusir keluar daripada rumah kediaman bersama suaminya. Firman-Nya yang bermaksud: “…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai edahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ),….” (Surah al-Talaq, ayat 1) Masalah mungkin timbul jika ditakdirkan suami meninggal ketika berada di Tanah Suci. Wanita yang kematian suami wajib berihdad atau berkabung selama tempoh edah iaitu empat bulan 10 hari.
    Ummu Habibah berkata dia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Tidak harus bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat berihdad kerana kematian seseorang lebih daripada tiga hari, kecuali kerana kematian suaminya. Dia hendaklah berihdad selama empat bulan 10 hari.” – (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) Menurut Imam al-Nawawi, ihdad bermaksud meninggalkan wangian dan perhiasan. Ketika berihdad wanita tidak harus menggunakan apa-apa wangian sama ada pada badan, pakaian juga makanan sama seperti berada di dalam ihram. Justeru wanita yang kematian suami ketika mengerjakan haji atau umrah tetap tidak boleh menggunakan wangian walaupun sudah bertahallul. Perkara kedua yang wajib dijauhi ialah perhiasan. Perhiasan merangkumi penggunaan alat solek, pakaian yang cantik dan memakai barang kemas. Jemaah tidak digalakkan membawa barang kemas ke Tanah Suci. Jika membawanya, hendaklah disimpan di tempat yang selamat. Jika tidak ada tempat yang selamat, maka diharuskan memakainya dengan niat memelihara keselamatan barang itu, bukan dengan niat untuk berhias.

  • Solat berjemaah dan solat Jumaat. Menurut jumhur fuqahak, solat berjemaah di masjid adalah sunat muakkad ke atas lelaki. Wanita lebih afdal solat di rumah. Namun mereka harus dan tidak boleh dilarang untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Jangan kamu halang wanita-wanita ke masjid. Tetapi rumah sendiri lebih baik untuk mereka.” Jemaah wanita yang hendak ke masjid hendaklah ditemani mahram atau teman wanita yang thiqah. Mereka mestilah menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangian dan tidak berada dalam saf lelaki semasa menunaikan solat. Adapun solat Jumaat, jemaah wanita tidak digalakkan pergi kerana keadaan terlalu sesak pada hari itu. Kehadiran wanita pastinya menambahkan lagi kesesakan. Berilah keutamaan kepada kaum lelaki yang mana solat Jumaat adalah fardu ke atas mereka. Sedangkan kaum wanita tidak dituntut mengerjakannya. Memadai solat Zuhur di tempat penginapan. Seeloknya lakukan secara berjemaah dengan rakan yang menginap di tempat yang sama. Mereka akan mendapat gandaan pahala 100 ribu kali juga selagi mana tempat penginapan itu berada di bumi Makkah al-Mukarramah.

  • Pakaian dan pergaulan. Sedia maklum bahawa tiada pakaian khusus bagi wanita ketika menunaikan haji atau umrah sebagaimana lelaki yang dilarang memakai pakaian bersarung, berjahit dan bersarung. Wanita hanya perlu memakai pakaian menutup aurat tanpa menutup muka dan memakai sarung tangan. Ketika berada di hotel atau dalam khemah sesama wanita, mereka boleh membuka tudung dan memakai pakaian agak santai walaupun masih dalam ihram. Tetapi apabila keluar daripada bilik, berjumpa suami di tangga atau di lobi, mereka mesti menutup aurat sepenuhnya. Disebabkan tidak faham konsep menutup aurat, terdapat jemaah yang keluar dari bilik, khususnya selepas tahallul dengan hanya memakai serkup di kepala dengan leher dan sebahagian dada terdedah. Begitu juga setelah kembali ke tanah air. Ini tidak sepatutnya berlaku. Menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah wajib ke atas semua wanita, di Tanah Haram atau di Malaysia, ketika dalam ihram atau bukan dalam ihram. Firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." – (Surah An-Nuur, ayat 31) Suami juga ingatkan apabila hendak bertemu dengan isteri yang sedang berada dalam khemah ketika di Arafah atau Mina, hendaklah memanggil dan menunggu isteri keluar. Jangan sekali-kali menyelak pintu khemah atau menjengok ke dalam khemah. Mungkin ketika itu terdapat wanita yang tidak memakai tudung atau sedang berbaring dan sebagainya. Secara tidak langsung mereka menanggung dosa melihat aurat wanita yang bukan mahram.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Lembaga Tabung Haji

Friday, November 6, 2009

Wanita dan Haji


Jumaat, 18 Zulkaedah 1430H : HAJI adalah satu kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam yang memenuhi syarat-syaratnya sama ada lelaki atau wanita. Bagi wanita, haji adalah satu jihad seperti dinyatakan di dalam hadis bermaksud: "Jihad bagi warga tua, kanak-kanak, golongan yang lemah dan wanita ialah haji dan umrah." (Sunan an-Nasaa'i).

Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW yang maksudnya: "Ya Rasulullah, setahu kami jihad adalah amal yang paling afdal. Maka, apakah kami dituntut supaya pergi berjihad?" Baginda bersabda: "Tidak! Tetapi jihad yang paling afdal (bagi kalian) ialah haji yang mabrur." (Sahih al-Bukhari)

Untuk memperoleh haji mabrur memerlukan kefahaman serta penghayatan yang tulus ikhlas dalam beribadah. Jemaah haji wanita perlu memahami hukum-hakam serta permasalahan berkaitan kewanitaan seperti mahram, haid, nifas, istihadah dan edah.Perkara itu bukanlah penghalang kepada haji mabrur atau mengganggu ibadat haji seseorang wanita. Namun, jika tidak difahami dan diperingatkan, mungkin akan timbul kekeliruan atau salah faham yang mengakibatkan terjejasnya ibadat haji atau umrah. Beberapa masalah berkaitan dengan jemaah haji wanita:
Mahram
Syarat wajib haji bagi wanita selain daripada Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan ialah mendapat keizinan suami atau wali dan ditemani suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqat (dipercayai).Mereka juga mestilah tidak berada dalam edah. Berdasarkan pendapat dalam Mazhab Syafi'e, wanita yang tidak mendapat keizinan suami atau wali serta tidak mempunyai teman daripada kalangan mereka yang disebut di atas, tidak wajib ke atasnya menunaikan haji dan tidak berdosa walaupun dia sudah memenuhi syarat yang lain.

Oleh itu, seorang wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suami atau mahram atau teman wanita yang dipercayai. Sepanjang berada di tanah suci, mereka tidak dinasihatkan keluar bersendirian daripada tempat tinggal sama ada ke masjid, menunaikan umrah, ziarah atau sebagainya demi menjaga keselamatan dan mengelakkan fitnah serta sebarang kemungkinan tidak diingini.Jika seseorang jemaah wanita hendak menunaikan umrah atau ziarah, sedangkan suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, maka dia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai. Jemaah lelaki bukan mahram tidak boleh dijadikan teman untuk tujuan berkenaan.

Haid
Haid adalah fenomena biasa dalam kehidupan wanita. Kedatangannya pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan yang tulen serta lambang kesuburannya. Haid tidak menghalang wanita daripada mengerjakan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah.Aisyah meriwayatkan: "Kami keluar dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: "Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya perkara ini (haid) sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah apa saja yang biasa dikerjakan oleh seseorang yang mengerjakan haji, kecuali tawaf di Baitillah sehingga kamu suci." (Sahih al-Bukhari)
Berdasarkan hadis itu, amalan selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa'ie, mabit di Muzdlifah dan melontar jamrah boleh dilaksanakan.Wanita yang didatangi haid pada masa mengerjakan haji dan umrah berada dalam keadaan berikut:-
  • Wanita yang mengerjakan Haji Tamattu'. Kemungkinan haid datang sebelum atau selepas berniat ihram umrah. Dia hendaklah menunggu hingga suci barulah disempurnakan umrah. Jika haid berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.
  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran. Dia hendaklah menyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haid berterusan hingga tiba waktu berangkat keluar dari Makkah, dia mesti menunda tarikh keberangkatan sehingga suci dan mengerjakan tawaf.Jika tidak mampu berbuat demikian, apabila sampai ke negerinya, maka dia boleh tahalul Ihsar dengan menyembelih seekor kambing dan bergunting dengan niat tahalul (tahalul Ihsar). Amalan kerja haji atau umrah yang belum ditunaikan wajib dilaksanakan pada masa akan datang.

Kadangkala berlaku masalah darah keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafi'e, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira sebagai tempoh haid.

Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga kesepuluh keluar lagi, ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu adalah dikira istihadah.

Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid, maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima, dia bersuci lalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa'ie dan tahalul apabila sudah suci dari haid. Dia juga dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mengerat rambut sebelum tiba masanya.

Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenali sebagai Fatrah Niqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengan syarat tempoh suci itu tidak kurang dari 24 jam. Umpamanya pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian menyelesaikan umrahnya. jam 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu sah. Namun, jika darah keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya tidak sah.

INTI PATI

  • Wanita yang hendak pergi menunaikan haji hendaklah ditemani suamiatau mahram. Jika suami atau mahramnya tidak dapat pergi bersama, makadia hendaklah memilih teman wanita yang boleh dipercayai.
  • Wanita yang mengerjakan Haji Tamattu' kemungkinan haid datang sebelumatau selepas berniat ihram umrah, dia hendaklah menunggu hingga sucibarulah disempurnakan umrah.
  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklahmenyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya bolehdilakukan selepas bersuci.
  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklahmenyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya bolehdilakukan selepas bersuci.
  • Wanita yang mengerjakan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklahmenyempurnakan semua kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya bolehdilakukan selepas bersuci.
  • Jika jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid,maka selepas dia melihat darah tidak keluar pada hari kelima, dia bersucilalu pergi mengerjakan tawaf, sa'ie dan tahalul. Tiba-tiba pada waktumalam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan initahalulnya tidak sah.
  • Berdasarkan Mazhab Syafi'e, tempoh bersih antara haid itu (dikenalisebagai Fatrah Niqa') dikira tempoh suci dan sah amal ibadat dengansyarat tidak kurang dari 24 jam.

Oleh Maznah Daud