Tuesday, May 31, 2011

Adab Tidur

Selasa, 27 Jamadilakhir 1432H: Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda:”Apabila seseorang kamu datang ke tempat tidurnya (hendak tidur), hendaklah dikipaskannya dengan hujung kainnya tiga kali dan hendaklah dibacanya:”Dengan nama Engkau Ya Tuhan, aku rebahkan rusukku (tidur) dan dengan nama Engkau aku angkat (bangun). Jika engkau ambil jiwaku, hendaklah Engkau ampuni dan jika Engkau lepaskan (kembalikan) hendaklah Engkau pelihara sebagaimana engkau memelihara hamba-hamba Engkau yang soleh.” (HR Muslim)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.” (HR al-Bukhari)

Keterangan Hadis:

1. Islam tidak hanya menyuruh seseorang itu tidur, malah menekankan bahawa ia adalah hak badan yang perlu ditunaikan. Dalam hadith yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya, Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan solat. Nabi pun terus mengeluarkan arahan: "Buka tali ini! Hendaklah salah seorang di antara kamu bersolat ketika dirinya cergas, dan ketika sudah mengantuk, hendaklah tidur" - (Bukhari-Muslim)

2. Sesungguhnya tidur adalah suatu kematian yang sementara sedangkan hidup dan mati itu di tangan Allah. Tiada siapa yang tahu bila kita akan mati dan bagaimana kita akan menghadapi detik-detik apabila roh terlerai dari jasad. Bukan jarang kita mendengar orang yang mati ketika sedang tidur ! Oleh itu selaku orang Islam kita dituntut agar membaca doa sebelum melelapkan mata supaya terhindar daripada perkara yang tidak diingini iaitu mati dalam keadaan mengejut.

3. Ingatlah bahawa menghisab amalan sebelum tidur akan menyedarkan kita tentang hari akhirat kelak. Ia menjadikan kita insaf agar tidak mensia-siakan usia dan masa yang diperuntukkan.

4. Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi)

5. Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

6. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

7. Cara tidur Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Monday, May 30, 2011

Waktu Solat

Isnin, 26 Jamadilakhir 1432H: "Daripada Abdullah bin Amru r.a. bahawasanya Nabi s.a.w bersabda, "waktu Zuhur bermula dari tergelincir matahari di mana bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya selagi tidak masuk waktu Asar, waktu Asar pula berakhir sehingga cahaya matahari menjadi kuning (matahari hampir terbenam), waktu sembahyang Maghrib pula akan berakhir sehingga hilang awan merah dilangit sebelah barat. Waktu Isyak pula berakhir sehingga pertengahan dari setengah malam. Waktu sembahyang subuh pula ialah dari terbit fajar sehingga terbit matahari".(HR Muslim)

Huraian;

1. Waktu Zuhur bermula dari tergelincir matahari sehingga bayang seseorang itu sama panjang dengan tingginya.

2. Waktu Asar bermula dari bayang seseorang itu lebih panjang dari tingginya yang sebenar sehingga matahari hampir terbenam.

3. Waktu Maghrib bermula ketika tenggelam matahari sehingga hilang tanda-tanda merah (syafaq) di sebelah barat.

4. Waktu Isyak bermula dari hilang tanda-tanda merah (syafaq) dilangit sehingga pertengahan dari setengah malam.

5. Waktu Subuh ialah bermula dari naik fajar hingga terbit matahari.

Friday, May 27, 2011

Masjid

Jumaat, 23 Jamadilakhir 1432H : Dari Muhammad bin Labid r.a katanya:”Ketika Usman bin Affan bermaksud hendak merombak masjid (Madinah), orang ramai tidak setuju. Mereka lebih suka membiarkannya sebagaimana adanya. Maka berkata Usman bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesiapa yang membangunkan masjid kerana Allah, maka Allah akan membuatkan untuknya rumah seperti itu di syurga.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah, r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Satu sembahyang di masjid ku ini lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjid al-haram di Mekah(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “ Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain.” (Imam Ahmad)

Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah s.a.w. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)” (HR Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Rumah ibadat umat Islam adalah masjid. Masjid menampilkan sistem keagamaan yang terbuka di mana ibadah di dalamnya boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang beragama Islam. Dengan berbekalkan ilmu fardu ain sudah mencukupi bagi seseorang untuk menjadi imam bagi mengetuai sembahyang berjemaah di masjid. Begitu juga dengan bilal. Sesiapa pun boleh menjadi bilal. Apabila masuk saja waktu sembahyang , sesiapa pun boleh tampil dan menjadi bilal. Berbeza dengan agama lain, tanpa paderi atau sami, upacara agama tidak boleh dilakukan.

2. Masjid melambangkan hubungan langsung seseorang individu manusia dengan Allah SWT.

3. Orang yang membina atau mendirikan masjid dijanjikan Allah SWT pahala yang besar dan ganjaran yang istimewa di akhirat kelak. Namun, pembinaan masjid yang banyak dan indah tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak dihidupkan dengan ibadah oleh penduduk di sekelilingnya.

4.vMasjid diambil dari perkataan sujud yang bererti taat, patuh dan tunduk dengan penuh hormat di mana meletakkan dahi, kedua telapak tangan dan jari-jari kaki adalah bentuk lahiriah yang paling nyata dari makna-makna tersebut. Dari sini bangunan yang secara umum digunakan untuk sujud, solat dan mengabdi kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa, dinamakan masjid.

5. Tiga buah masjid yang penting dan sangat agung di dalam sejarah umat Islam ialah Masjidil Haram, Masjid Nabi dan Masjidil al-Aqsa.

6. Antara tempat-tempat istimewa yang ada pada dalam masjid Nabi ialah terdapatnya makam Nabi Muhammad s.a.w dan juga satu kawasan bernama Raudhah yang disifatkan sebagai tempat yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT.

7. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:”Sesiapa yang bersembahyang di masjid ku empat puluh sembahyang (dengan syarat) ia tidak ketinggalan satu sembahyang pun, akan dituliskan baginya pelepa Umat Islam digalakkan mengerjakan solat fardhu mahupun sunat di masjid-masjid atau surau-surau kerana bersembahyang secara bejemaah mempunyai kelebihan yang banyak berbanding dengan solat sendirian di rumah

8. Masjidil Haram dan masjid Nabawi pula adalah dua buah masjid yang mempunyai fadhilat yang besar bagi umat Islam yang berkesempatan mengerjakan ibadat di dalamnya.

9. Mereka yang mengerjakan sembahyang di Masjid Nabawi akan mendapat seribu fadilat, manakala mereka yang mengerjakan sembahyang di masjidil Haram pula mendapat seratus ribu fadhilat.

10. Kelebihan Masjidil haram di mekah adalah disebabkan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di dunia ini.

11. Oleh itu Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya yang datang mengerjakan haji dan umrah agar dapat mengerjakan sembahyang sebanyak mungkin di kedua-dua masjid ini kerana fadhilatnya yang amat besar itu.san dari neraka, dan pelepasan dari azab siksa dan ia juga akan bersih dari sifat munafik” (Imam Ahmad dan at-Tabrani)

12. Umat Islam yang ingin berziarah keluar (negara) untuk beribadat kepada Allah tidak perlu bersusah payah ketempat lain, selain dari berziarah ke tanah suci, terutama untuk mengerjakan ibadat haji dan umrah.

13. Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima Ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi s.a.w.

Thursday, May 26, 2011

Mengeratkan Persahabatan

Khamis, 22 Jamadilakhir 1432H: Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” (HR Al-Tabrani)

Pengajaran Hadis:

i) Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.

ii) Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.

iii) Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

Wednesday, May 25, 2011

Solat Jenazah

Rabu, 21 Jamadilakhir 1432H : Dari Abdullah bin Abbas, r.anhuma, katanya; aku ada mendengar Rasul s.a.w, bersabda “ mana-mana orang Islam (lelaki atau perempuan) yang mati lalu disembahyangkan jenazahnya oleh 40 orang lelaki yang tidak mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain nescaya Allah kabulkan doa permohonan mereka mengenainya”. (HR Muslim)

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW memberitakan tentang kematian an-Najasyi. Rasulullah keluar ke tempat bersembahyang, bersaf dengan para sahabat dan baginda bertakbir empat kali.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Samurah Ibnu Jundub r.a berkata : “Saya bersolat di belakang nabi SAW untuk jenazah seorang perempuan yang meninggal kerana nifasnya. Maka nabi berdiri bertentangan pinggang jenazah tersebut.” (HR al-Bukhari dan Muslim )

Dari Abu Salamah bin Abdur Rahman r.a katanya:”Ketika Saad bin Abi Waqqas wafat, Aisyah berkata:”Bawalah jenazah itu ke adalam masjid supaya aku dapat mensolatkannya . Permintaan Aisyah itu diingkari oleh banyak orang. Lalu berkata Aisyah:”Demi Allah, Rasulullah s.a.w pernah solat jenazah dalam masjid untuk dua orang putera Baidha’ iaitu Suhail dan saudaranya.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Amat besarnya faedah solat jenazah secara beramai-ramai .

2. Ia juga selain menunjukkan bahawa keluarga atau penduduk sesebuah kampung itu begitu menyayangi pemergian kawan atau sahabat yang pergi dahulu sebelum mereka.

3. dan juga sebagai penghormatan terakhir kepada si mati dengan doa agar Allah mengampuni dosanya dan ditempatkan bersama para salihin dan anbia`

4. Melakukan solat jenazah adalah fardu kifayah dengan maksud bahawa dengan adanya sebahagian umat Islam yang melakukannya akan selesailah tanggungjawab tersebut.

5. Dalam mengerjakan solat jenazah, yang paling utama ialah dikerjakan secara berjemaah dan harus dijadikan tiga saf (barisan) sekurang-kurangnya setiap satu saf dua orang.

6. Tempat untuk mengerjakan solat jenazah ialah sama ada di dalam masjid, surau atau sebagainya yang memungkinkan solat dilakukan secara berjemaah dan tempat tersebut luas dan bersih.

7. Solat jenazah berbeza dengan solat-solat yang lain kerana cara mengerjakannya hanya dengan berdiri dan takbir empat kali tanpa rukuk dan sujud, juga tidak perlu azan dan iqamat

8. Mayat yang hendak disembahyangkan sekiranya lelaki, kepalanya diletakkan di sebelah kiri dan imam berdiri bertentangan dengan kepala jenazah manakala mayat perempuan pula kepalanya diletakkan di sebelah kanan dan imam berdiri bertentangan pinggangnya


Tuesday, May 24, 2011

Mensyukuri Rezeki Menambahkan Berkat

Selasa, 20 Jamadilakhir 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.” (HR Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

i) Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya.

ii) Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.

iii) Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.

iv) Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan "alhamdulillah" di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.

v) Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan

Tiga Ibadat Jadilan Amalan

Selasa, 20 Jamadilakhir 1432H:-Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Junjunganku (Nabi Muhammad SAW) telah berwasiat supaya aku mengerjakan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada tiap-tiap bulan, mengerjakan dua rakaat sembahyang dhuha dan juga supaya aku mengerjakan sembahyang witir sebelum aku tidur.” (HR Bukhari & Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Jalan untuk mencapai tahap ihsan ialah dengan melalui proses menunaikan segala perkara yang difardhu atau diwajibkan. Lebih tinggi daripada itu ialah dengan melakukan amalan-amalan yang membawa taqarrub kepada Allah SWT iaitu amalam-amalan an-Nawafil (sunat).

2. Maka untuk melakukan amalan-amalan tersebut memerlukan jihad, kemampuan serta kerelaan hati, kesungguhan yang berterusan dan memusatkan segala kepentingan kepada Allah SWT semata-mata.

3. Antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW ialah seperti:

i. Sembahyang sunat Dhuha- iaitu sembahyang yang dikerjakan dengan sekurang-kurangnya dua rakaat dan afdhalnya ialah lapan rakaat. Masuk waktunya pula ialah apabila matahari meninggi kadar segalah
ii. Berpuasa sunat terutamanya tiga hari dalam sebulan, contohnya pada 13, 14 dan 15 haribulan dari bulan Qamariah.
iii. Sembahyang witir iaitu sembahyang sunat yang paling utama setelah sembahyang wajib. Waktunya bermula selepas sembahyang Isyak hinggalah terbit fajar. Paling sedikit bilangan rakaatnya ialah 1 rakaat dan paling banyak ialah 11 rakaat. Ia dinamakan sembahyang Witir kerana ia dikerjakan dengan bilangan rakaat yang ganjil.

4. Dalam mengerjakan ibadat janganlah kita hanya mementingkan kuantiti amalan yang dilakukan tanpa memikirkan kualitinya kerana tiada gunanya amalan yang banyak sedangkan ianya tidak diterima oleh Allah SWT. Hal ini mungkin disebabkan ibadat tersebut dikerjakan tanpa khusyuk atau kerana timbulnya perasaan riya' dan ujub yang membinasakan pahala.

Monday, May 23, 2011

Rebutlah Tiga Perkara,Tinggalkan Tiga Perkara

Isnin,19 Jamadilakhir 1432H : Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.” (H.Riwayat Abu Syeikh)

Pengajaran Hadis:

i) Terdapat tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu :

a) Sentiasa menjaga tingkahlaku kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Melihat dan Mendengar apa jua yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya.
b) Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.
c) Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal di kemudian hari.

ii) Manakala Rasulullah berpesan pula bahawa terdapat tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu:

a) Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.
b) Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.
c) Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

iii) Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.

Friday, May 20, 2011

Solat Jumaat

Jumaat; 16 Jamadilakhir 1432H: Dari Abu al-Ja`d ad-Dhamiri, r.a, bahawa rasul s.a.w bersabda: “ sesiapa yang meninggalkan (solat Jumaat) sebanyak 3 jumaat dengan keadaan sengaja meringan-ringan dan mencuaikannya, nescaya Allah meterikan atas hatinya”. (HR Abu Daud)

Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (HR Bukhari)

Nabi s.a.w bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid - Malaikat yang ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, Malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah."( Abu Hurairah r.a)

Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu solat Jumaat, maka kerjakanlah sesudah itu solat (sunat) empat rakaat.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Solat Jumaat adalah hari raya mingguan bagi umat islam dan menggantikan solat zohor bagi muslimin

2. Orang yang sengaja meninggalkannya perlulah bertaubat kepada Allah agar rahmat dan hidayahNya berterusan kepada diri dan keluarga

3. Syarat wajib jumaat ialah Islam, merdeka, baligh, berakal, sihat(tiada uzur) dan tinggal menetap(bermukim) ditempatnya.

4. Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.

5. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’.

6. Hari Jumaat Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.

7. Tetapi malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

8. Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan. Orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

9. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama.

10. Solat Jumaat difardhukan kepada kaum lelaki dan tidak difardhu solat Jumaat kepada kaum wanita.

Thursday, May 19, 2011

Pinjam-meminjam

Khamis, 15 Jamadilakhir 1432H; Sabda Nabi s.a.w : Daripada Abu Hurairah r.a. : “ Bahawa Rasul s.a.w bersabda: Tunaikanlah/Kembalikanlah barang amanah itu kepada orang yang telah memberikan amanah kepadamu dan janganlah engkau mengkhianati janji walaupun kepada orang yang pernah memungkiri janji kepadamu “ ( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Pengajaran Hadis:

1. Meminjamkan sesuatu barang hukumnya sunat , kadang-kadang menjadi wajib seperti meminjamkan kenderaan untuk menyelamatkan orang yang sakit tenat.

2. Orang yang meminjam barang wajib memulangkan kembali barang yang dipinjamnya.

3. Orang yang meminjamkan barang-barangnya boleh meminta kembali barang yang dipinjamkan tersebut.

Wednesday, May 18, 2011

Hilangnya Sifat Amanah Sedikit Demi Sedikit

Rabu,14 Jamadilakhir 1432H: Huzaifah Ibnu Yaman r.a berkata : “Rasulullah SAW menceritakan kepada kami dua buah hadis, aku telah melihat salah satunya dan aku menunggu yang satu lagi. Nabi menceritakan kepada kami bahawasanya amanah itu turun ke dalam pangkal (akar) jiwa (hati) manusia, kemudian mereka pun mengetahui sebahagian al-Quran, sesudah itu mereka mengetahui sebahagian sunah. Dan nabi menceritakan kepada kami tentang pencabutan amanah. Sabdanya yang bermaksud : “Seorang lelaki tidur lalu dalam keadaan tidur, dicabut amanah dalam hatinya, maka tinggal bekas amanah seperti kesan sesuatu warna yang menyalahi warna asal, warna yang agak hitam. Kemudian ia tidur lagi lalu dicabut lagi amanah, maka tinggallah bekasannya yang merupakan kembung-kembung di tangan lantaran banyak bekerja dengan menggunakan kapak seperti bara api yang engkau guling-gulingkan di atas kaki mu lalu kembunglah kaki itu dan engkau pun melihatnya sudah bengkak dan penuh dengan air, padahal tidak ada apa-apa di dalamnya. Kerana manusia berjual beli tetapi hampir-hampir tidak ada seorang pun yang amanah lalu seseorang pun berkata” Sesungguhnya dalam golongan bani fulan ada seorang yang boleh dipercayai dan dikatakan kepada orang itu : “Alangkah tinggi akalnya, alangkah bijak bestarinya dan alangkah hebat ketabahannya. Padahal tidak ada di dalam hatinya sedikit pun keimanan walaupun seberat biji sawi. Dan sesungguhnya telah datang kepada ku suatu masa (telah berlalu suatu masa). Aku yang pada masa itu tidak peduli siapakah di antara kamu aku berjual beli dengannya. Demi Allah sungguh jika ia Muslim, nescaya keislamannya akan menolaknya kepada ku dan jika ia Nasrani, nescaya pengurus urusannya akan kembalikan kepadanya. Sedangkan pada hari ini aku tidak lagi berjual beli melainkan dengan si anu dan si anu.” (al-Bukhari 81:35 ; Muslim 1:62) (HR al-Bukhari ; Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Amanah hilang dari hati manusia sedikit demi sedikit. Pada awalnya ia hanya meninggalkan titik hitam dan semakin lama titik hitam tersebut menjadi semakin jelas hingga menggelapkan hati sekali gus menghilangkan sirnanya.

2. Amanah itu adalah nilai keimanan itu sendiri. Dahulu, jika dalam melakukan urusan jual beli seseorang yang Muslim bersifat amanah kerana agamanya yang menuntut ia bersifat demikian. Seorang Nasrani pula bersifat amanah kerana pengurusnya menyuruh ia bersifat demikian. Namun pada masa kini, amanah seakan hilang. Tidak ada sesiapapun yang layak diberi kepercayaan penuh sama ada Muslim mahupun kafir.

3. Semua ini disebabkan keimanan manusia yang semakin rapuh dan luntur, mudah digoda dan tergoda oleh habuan dunia. Hilang amanah hingga sanggup menerima rasuah, menipu dan menyelewengkan harta. Justeru sebagai manusia yang beriman hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dikekalkan dengan sifat amanah dan mempunyai keimanan yang teguh dan mantap.


Thursday, May 12, 2011

Munafik

Khamis, 8 Jamadilakhir 1432H: Allah SWT telah berfirman, "(1)Apabila orang-orang munafik datang kepadamu, mereka berkata: "Kami mengakui, bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul Allah". Dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya kamu benar-benar Rasul-Nya; dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta. (2)Mereka itu menjadikan sumpah mereka sebagai perisai, lalu mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Sesungguhnya amat buruklah apa yang telah mereka kerjakan. (3)Yang demikian itu adalah karena bahwa sesungguhnya mereka telah beriman, kemudian menjadi kafir (lagi) lalu hati mereka dikunci mati; karena itu mereka tidak dapat mengerti. (Surah Al-Munafiqun 63:1-3)

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “. (H.Riwayat Ahmad )

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang mati tanpa pernah berperang bahkan jiwanya tidak pernah tergerak hendak turut berperang, maka matinya sama dengan mati munafik.”(HR Muslim)

Pengajaran Hadith:

1) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

2) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

3) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

4) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.


Wednesday, May 11, 2011

Amalan Bergantung Dengan Niat

Rabu, 7 Jamadilakhir 1432H :Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya”. (HR Bukhari Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesungguhnya Allah S.W.T tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.”(H.Riwayat Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya samaada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.

2. Ulama’ kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.

3. Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.

4. Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan. Kalau ia berniat kerana Allah dan RasulNya maka ia akan mendapat Allah dan RasulNya didunia dan akhirat dan sebaliknya berniat kerana dunia maka ia akan dapat apa yang diniatnya didunia saja.

5) Setiap manusia nilainya yang paling utama terletak pada amal perbuatan yang dilakukannya bukanlah pada rupa parasnya. Jika baik tingkahlakunya maka baiklah dia pada pandangan kita, begitulah sebaliknya.

6) Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana sesuatu kebaikan yang ada ‘udang di sebalik batu’ tidak boleh dikategorikan sebagai ikhlas di mana maksud ikhlas tersebut ialah membuat sesuatu kebaikan semata-mata kerana kebaikan itu sendiri dan tidak mengharapkan balasan selain daripada balasan Allah S.W.T.

7) Lawan ikhlas adalah riya’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek). Sifat ini akan menolak pahala daripada Allah S.W.T.

8) Seorang yang ikhlas dalam kerjanya bererti dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai satu ibadah di mana wajib ke atasnya melaksanakan tanggungjawabnya itu dengan sempurna dan memuaskan.

9) Bekerja dengan niat yang ikhlas akan meningkatkan produktiviti dan dapat menghasilkan kerja-kerja yang bermutu di mana keikhlasan akan dapat menjamin kehidupan yang mulia di dunia dan akhirat.

Monday, May 9, 2011

Arak

Isnin, 5 Jamadilakhir 1432H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Dalam persoalan arak ada sepuluh orang yang dikutuk kerananya iaitu pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan hasil wangnya, pembayarnya dan pemesannya ” (HR Anas)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Arak ialah setiap yang merosakkan akal fikiran.”(HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak) dan setiap yang memabukkan adalah haram. Sesiapa yang meminum khamar di dunia lalu dia meninggal dunia sedangkan dia telah terbiasa dan belum bertaubat maka dia tidak dapat meminumnya di akhirat nanti.” (HR Bukhari)

Keterangan Hadis :

1) Arak yang juga disebut “khamar” dalam bahasa Arab bermaksud minuman yang memabukkan. Ia menjadi minuman kemegahan bagi orang-orang fasik, kafir dan munafik. Di dalam Islam hukum meminumnya adalah haram.

2) Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa arak itu adalah ibu segala kejahatan. Ini terbukti di mana hasil kajian mendapati bahawa arak sebenarnya boleh merosakkan fizikal dan mental manusia di mana dari segi ilmu perubatan arak itu boleh memberi kemudharatan pada tubuh badan manusia seperti menyebabkan penyakit lemah jantung, barah mulut, tengkuk, kerongkong, penyakit saraf dan penyakit hati.

3) Manakala dari aspek mental pula al-Quran sendiri ada menyebut bahawa arak itu akan mendedahkan gejala yang tidak baik kepada individu, masyarakat dan negara di mana seseorang yang meminum arak pasti akan mengalami gangguan minda, hilang pertimbangan dan kesedaran diri menyebabkan ia akan melakukan sesuatu perkara buruk yang tidak pernah dilakukan ketika dia berkeadaan waras. Inilah puncanya berlaku permusuhan dan kebencian serta terjadinya penyakit sosial seperti gejala seks bebas, pembunuhan dan kemalangan jalanraya.

4) Sesungguhnya tujuan utama Islam mengharamkan pengambilan arak adalah untuk menjaga keperibadian manusia daripada perkara-perkara yang merosakkan selain daripada kesan arak itu sendiri yang boleh melalaikan diri daripada mengingati Allah. Bahkan para fuqaha mengatakan bahawa jenayah arak ini sebenarnya samalah seperti kesalahan mencuri dan berzina di mana hukuman yang bersabit dengan arak ini adalah sebat antara 40 hingga 80 kali.

5) Larangan arak selain daripada yang disebutkan di dalam hadis di atas juga berlaku pada larangan menghadiri majlis di mana arak disediakan untuk para tetamu. Oleh itu menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhi arak daripada kehidupan mereka dan bersama membenteras gejala tidak sihat ini daripada terus menular di dalam masyarakat.
6) Ijmak ulama’ telah menetapkan bahawa meminum arak adalah haram sama ada dengan kuantiti yang sedikit atau pun banyak.

7) Islam juga mengharamkan daripada menjual, membeli, ataupun memperniagakan arak meskipun dengan orang yang bukan Islam. Hal ini tidak terkecuali dengan mengangkut atau membawa serta membuat arak. Hukumnya juga haram.

8) Demikian juga Islam mengharamkan seseorang Muslim menjual anggur kepada orang yang mahu memprosesnya menjadi arak.

9) Majlis-majlis yang berunsur arak juga hendaklah diboikot dan kita dilarang mendampingi peminum arak.

10) Menggunakan arak semata-mata sebagai ubat juga adalah haram dan berdosa. Lain halnya dengan campuran ubat dengan kadar tertentu dari alkohol- contohnya kerana darurat-seperti untuk memelihara sesuatu supaya tidak rosak. Tetapi ia hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

i) Terdapat bahaya yang sebenar ke atas kesihatan manusia jika tidak meminum ubat tersebut.

ii) Tiada ubat lain yang halal untuk menggantikannya.

iii) Ia hendaklah dengan nasihat seorang doktor Muslim yang dipercayai dalam profesionnya dan juga dari segi agamanya. Hal ini kerana prinsip Islam itu berdiri di atas dasar kemudahan, menghindarkan bahaya dan melaksnakan maslahah berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:” Sesiapa yang terpaksa (memakannya) tanpa mengingininya dan tanpa mengulanginya maka tiada dosa atasnya.” (al-Baqarah: 173)

Friday, May 6, 2011

Wudhuk

Jumaat, 2 Jamadilakhir 1432H:Dari Abdullah bin Zaid bin Aasim al-Ansariy r.a, beliau telah ditanya: “Tunjukkan kepada kami cara Rasulullah S.A.W berwuduk.. Maka beliau pun meminta sebekas air, lalu menuang sedikit air ke atas tapak tangan dan membasuhnya sebanyak tiga kali. Kemudian beliau memasukkan tangan ke dalam bekas untuk mencedok air dengan tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung dengan air yang sama sebanyak tiga kali. Kemudian beliau mencedok air sekali lagi lalu membasuh muka sebanyak tiga kali. Selepas itu beliau mencedok lagi dengan tangannya lalu membasuh tangan hingga ke paras siku dua kali. Kemudian beliau mencedok lagi lalu menyapu kepala dalam keadaan menyapu tangannya dari arah depan kepala ke arah belakang dan menyapu tangannya kembali ke arah depan kepala, kemudian beliau membasuh kedua kakinya hingga ke paras buku lali. Selepas itu beliau berkata: Beginilah cara Rasulullah s.a.w mengambil wuduk .” (HR Muslim )

Dari Nu’aim bin Abdullah r.a katanya, dia melihat Abu Hurairah berwudhuk. Dia mencuci muka dan tangannya hingga sampai ke batas bahu. Kemudian dicucinya kedua kakinya hingga sampai ke betis. Sesudah itu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:”Sesungguhnya umatku akan datang kelak di hari kiamat bercahaya-cahaya wudhuknya. Maka siapa yang dapat melebihi batas-batas yang wajib, lebihkanlah” (HR Muslim)

Dari Umar bin al-Khattab r.a katanya:” Ada seorang lelaki berwudhuk tetapi ada kakinya yang tidak terkena air selebar kuku. Dan hal itu dilihat oleh Nabi s.a.w. Disebabkannya baginda bersabda:”Ulang kembali wudhukmu dengan sempurna dan sebagus-bagusnya!” Orang itu pun berwudhuk kembali dan sesudah itu dia solat.” (HR Muslim)

Dari Anas r.a mengatakan;” Nabi s.a.w berwudhuk setiap kali beliau hendak sembahyang” Bertanya Amr bin Amir kepada Anas,:”Bagaimana yang anda sendiri lakukan?” Jawab Anas:”Kami cukupkan saja wuduk yang telah ada, selagi belum berhadath.” (HR al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Mahukah aku tunjukkan satu pemadam yang dengannya dapat kamu hapuskan dosa serta mengangkat darjat? Jawab para sahabat:”Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Kata baginda:”Sempurnakanlah wudhuk sewaktu kepayahan (seperti sejuk, sakit dan sebagainya) banyak berjalan ke masjid dan menanti waktu masuk sembahyang, perkara inilah yang dinamakan Ribat” (HR Muslim)

Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah SAW lebih suka mandahulukan yang kanan dalam segala keadaan (perbuatan) seperti memakai terompah, bersikat, berwudhuk dan mandi.” (HR Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Mana-mana muslim yang apabila masuk waktu sembahyang yang diwajibkan lalu dia pun berwudhuk dengan wudhuk yang baik, melakukan solat dengan sebaik-baiknya begitu juga dengan ruku’nya, maka sembahyang itu merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosanya yang telah lalu, selagi dia tidak melakukan dosa besar.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Wudhuk yang sempurna akan mendapat kekhusyukan dalam sembahyang. Sembahyang yang dimaksudkan ialah sembahyang yang mampu menegah seseorang itu daripada melakukan kerja-kerja yang keji dan mungkar kerana wudhuk itu bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran najis dan hadas sedangkan sembahyang pula dapat membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah kerana sembahyang adalah merupakan kafarat (memadamkan) dosa-dosa yang telah lalu, selagi seseorang itu tidak melakukan dosa-dosa besar.

2. Ketika berwudhuk kita diharuskan membaca doa-doa yang tertentu seperti berikut:

i. Ketika berkumur, berniatlah: "Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".
ii. Ketika membasuh muka, berniatlah:"Ya Allah, putihkanlah (berikanlah cahaya) pada mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".
iii. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah:"Ya Allah, berikanlah buku hisab ku di tangan kanan ku ini".
iv. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah:"Ya Allah, janganlah Kau berikan buku hisab ku di tangan kiri ku ini".
v. Ketika membasuh kepala, berniatlah:"Ya Allah, lindunglah aku dari terik matahari di padang Mahsyar dengan Arasy Mu".
vi. Ketika membasuh telinga, berniatlah:"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini". vii. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah:"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqim".
viii. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah:"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".

3. Berwudhuk tidak sahaja diperlukan ketika hendak mengerjakan solat tetapi kita juga disarankan agar berwudhuk apabila hendak membaca al-Quran, mempelajari sesuatu ilmu dan ketika hendak masuk tidur kerana sesungguhnya wudhuk itu dapat menggugurkan dosa-dosa kecil yang dilakukan dan menjadikan seseorang itu sentiasa berada dalam keadaan bersih di samping menambah keserian wajah

4. Wudhuk mempunyai enam rukun dan syarat sah wudhuk bergantung kepada enam rukun tersebut. Jika tertinggal atau sengaja meninggalkan salah satu daripada rukun itu, maka wudhuk dikira tidak sah. Rukun-rukun wudhuk ialah:-

i. NIAT, iaitu diniatkan di dalam hati untuk mengambil wudhuk yang ertinya "Sahaja aku mengangkat hadath kecil kerana Allah Ta'ala".
ii. MEMBASUH MUKA, mengalirkan air serta meratakannya keseluruh muka yang dibasuh, dari dahi sampai ke dagu (jika ada janggut hendaklah diratakan seluruhnya) dan dari telinga kanan hingga ke telinga kiri- disunatkan sebanyak 3 kali.
iii. MEMBASUH KEDUA TANGAN HINGGA KE SIKU, mengalir dan meratakan air dari bahagian siku hingga ke hujung jari. Mulakan dari tangan kanan dahulu diikuti tangan kiri, juga dilakukan sebanyak - 3 kali.
iv. MENYAPU AIR DI KEPALA iaitu menyapu kepala dengan air sekurang-kurangnya tiga helai rambut dan yang lebih baik ialah menyapu seluruh kepala. - 3 kali.
v. MEMBASUH KEDUA KAKI, mengalir dan meratakan air kepada dua kaki serta celah-celah jari kaki tumit hingga buku lali, mulakan sebelah kanan dahulu. - 3 kali.
vi. TERTIB iaitu mengikut turutan, yang dahulu didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan.

5. Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T itu sungguh luas. Ini terbukti dengan terdapatnya berbagai bentuk perbuatan yang dikategorikan sebagai amal ibadah serta mendapat ganjaran bonus daripada Allah.

6. Selaku manusia yang beriman peluang-peluang ini hendaklah direbut dengan penuh keimanan apalagi jika perkara-perkara itu kelihatan terlalu remeh (biasa) dan mudah.

7. Dalam setiap perbuatan niat adalah perkara yang paling penting kerana dengan inilah Allah mengukur sejauhmanakah keikhlasan hati hamba-Nya.

Thursday, May 5, 2011

Adab Bergaul

Khamis, 1 Jamadilakhir 1432H : Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan fitnah kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

3. Diri manusia terbahagi kepada dua iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual tersebut termasuklah akal, nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.”(HR Bukhari dan Muslim)

4. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.

5. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.

Wednesday, May 4, 2011

Ilmu

Rabu, 30 Jamadilawal 1432H ;-Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.”( al-Bazzar)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah sentiasa memberi rahmat dan Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi - sehinggakan semut dalam lubangnya dan ikan di laut - sentiasa berdoa untuk sesiapa yang mengajarkan perkara-perkara yang baik kepada orang ramai." ( Abu Umamah r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Malaikat-malaikat sentiasa menurunkan sayapnya (sebagai memuliakan dan menghormati) penuntut ilmu agama, kerana mereka suka dan bersetuju dengan apa yang penuntut itu lakukan."( Abu ad-Darda' r.a)

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."( Ali r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:"Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali".(HR At-Tarmizi dan Ad-Darimi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Sesiapa yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari api neraka pada Hari Kiamat.”(HRt Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.”(HR Abu Daud)

Pengajaran hadis:

1) Ilmu menduduki darjat yang tinggi di sisi manusia dan juga di sisi Allah S.W.T. Orang yang berilmu akan dimuliakan oleh penduduk langit dan bumi sebaliknya bagi orang yang tidak berilmu. Oleh itu setiap mukmin hendaklah berusaha mempertingkatkan kemajuan dirinya sama ada :

a. Menjadikan dirinya orang alim (berilmu) yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain
b. Menjadi orang yang belajar (menuntut ilmu)
c. Mendengar atau mengikuti majlis-majlis ilmu.d) Menghormati atau mencintai salah satu atau ketiga-tiga golongan di atas dengan menurut jejak langkah mereka.

2) Dengan adanya sifat-sifat yang disebutkan di atas maka kehidupan seseorang itu akan sentiasa terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan jasmani atau rohani kerana ia sentiasa berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih antara yang baik dan yang buruk.

3) Manakala mereka yang tidak termasuk dalam golongan tersebut atau yang dipanggil masyarakat sebagai ‘bodoh sombong’ maka mereka adalah golongan yang bakal mendapat kebinasaan kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya dapat memandu kepada kebaikan melainkan hidup terumbang ambing dan tenggelam dalam kesesatan.

4) Usaha mengajar dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat dan membawa kebajikan kepada masyarakat adalah amat tinggi nilainya di sisi Islam.

5) Bagi sesiapa yang melakukannya akan dilimpahkan rahmat oleh Allah S.W.T. Begitu juga dengan para malaikat dan sekalian makhluk di langit dan di bumi, semuanya berdoa untuknya agar Allah memberikan balasan yang sebaik-baiknya

6) Penuntut ilmu agama adalah bakal muballigh (penyampai maklumat) Islam, maka merekalah yang akan menyebarkan agama Allah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah kepada rasul-Nya.

7) Menuntut ilmu agama adalah tidak tertentu kepada satu-satu golongan sahaja melainkan ia adalah wajib dituntut oleh setiap orang Islam demi menjamin kehidupan yang sempurna di dunia dan akhirat.

8) Kita selaku umat Islam dilarang memperlekehkan golongan alim ulama’ dan penuntut ilmu agama ini kerana Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para malaikat sendiri seluruhnya memberikan penghormatan yang tinggi kepada mereka disebabkan kemuliaan ilmu yang dituntut itu

9) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.

10) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

11) Ilmu ialah mengetahui tentang sesuatu perkara di mana perkara yang boleh diketahui itu bergantung pada kemampuan dan usaha yang dilakukan oleh seseorang itu.

12) Menuntut ilmu merupakan suatu jihad yang dituntut oleh Islam ke atas setiap penganutnya. Ia menjadikan seseorang itu menduduki martabat yang tinggi berbanding dengan orang yang tidak berilmu.

13) Oleh itu selaku umat Islam kita hendaklah berusaha untuk menambahkan ilmu masing-masing dari semasa ke semasa termasuklah ilmu yang berkaitan dengan Islam kerana darjatnya lebih tinggi di sisi Allah. Malah salah satu daripada petanda ilmu yang berkat itu adalah apabila seseorang itu dengan bertambah ilmunya semakin mulia akhlaknya dan semakin bertakwa ia kepada Allah S.W.T.

14) Islam sangat menghargai ilmu dan ulama (ilmuwan), sehingga kedudukan ilmu dan ulama sangat tinggi dan mulia dalam parameter Islam. Allah S.W.T telah berfirman: "... nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." (Al Mujaadalah [58]:

15) Kerana kedudukan ilmu yang sedemikian tingginya, maka Islam mewajibkan umatnya untuk mempelajari ilmu, sehingga diharapkan mereka bekerja berdasarkan ilmunya, bukan sekadar mengikuti seseorang tanpa tujuan

16) Berjihad dalam ilmu maksudnya ialah bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna serta memberikan gambaran yang betul tentangnya tanpa merasa iri hati atau tamak kerana orang yang memberikan ilmu berupa petunjuk akan dikurniakan balasan pahala dan kebaikan sama seperti orang yang mengamal ilmu tersebut.

17) Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat kelak.

18) Islam menuntut keihlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar ‘glamour’ dan sebagainya.

19) Ilmu yang berkat adalah ilmu yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah SWT bukan menjadikan ia semakin jauh dan lalai sehingga melanggar hukum tuhan dan sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri, merampas hak orang dan sebagainya.

Tuesday, May 3, 2011

Syahid

Selasa, 29 Jamadilawal 1432H : Dalam Islam, mati syahid (Arab: شَهيد ‎ šyahīd, jamak: شُهَداء šyuhadā') ertinya Muslim yang maut ketika berperang atau berjuang di jalan Allah membela kebenaran atau mempertahankan hak dengan penuh kesabaran dan keikhlasan untuk menegakkan agama Allah. Siapa yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid. Mati syahid merupakan cita-cita tertinggi umat Islam. Salah satu jalan menuju mati syahid adalah berjuang di jalan Allah (jihad fi sabilillah).

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman. (Surah Ali ‘Imran:169-171)

Dari Anas bin Malik r.a, dari nabi SAW sabdanya:”Tidak ada seorangpun yang telah masuk syurga ingin kembali semula ke dunia walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya kecuali orang-orang yang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia lalu dia tewas (syahid) di dunia hingga sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang yang mati syahid.” (HR Muslim)

Daripada Abi Akwar Said bin Zaid Amru bin Nufel r.a. (beliau adalah salah seorang antara sepuluh orang yang disaksikan akan memasuki syurga) katanya,: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang terbunuh kerana membela harta yang dimilikinya maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana membela dirinya dari dibunuh oleh orang lain, maka matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya (agama Islam) matinya adalah mati syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan keluarganya daripada diceroboh, matinya juga adalah mati syahid”. (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Ditanyakan orang kepada nabi s.a.w, amal apakah yang sebanding dengan jihad fi sabilillah? Jawab nabi s.a.w:”Engkau tidak akan sanggup mengamalkannya!.” Orang itu bertanya kembali sampai dua atau tiga kali, namun nabi s.a.w tetap menjawab seperti itu. Terakhir baginda menjawab:”Perbandingan seorang mujahid fi sabilillah (pejuang yang menegakkan agama Allah) sebanding dengan orang yang puasa, mendirikan solat, patuh menjalankan ayat-ayat Allah, tidak berhenti puasa dan solat sampai si mujahid pulang dari medan perjuangan.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah bersabda: "Apa menurut kalian tentang orang yang mati syahid?" Mereka menjawab: "Wahai Rasulullah, mati syahid adalah buat mereka yang dibunuh fisabilillah." Rasulullah bersabda: "Jika demikian saja, maka syuhada umatku sedikit." Mereka bertanya: "Lalu, siapa mereka Ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Barangsiapa dibunuh dijalan Allah itulah Syahid, dan barangsiapa mati fisabilillah itulah syahid, yang mati kerana thaun (sejenis penyakit lepra) maka dia syahid, dan siapa yang mati kerana sakit perut dia syahid." (Hadis Riwayat Muslim(3539))

Rasulullah bersabda: "Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, melihat tempatnya didalam surga, dilindungi dari azab kubur dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar,merasakan kemanisan iman, dikahwinkan dengan bidadari, dan diperkenankan memeberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya" (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

AlFatihah - Al Syahid Osamah bin Laden