Thursday, August 25, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Rabu, 25 Ramadhan 1432H : Dalam beberapa hari lagi Ramadhan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal , atau menurut bahasa Arabnya ialah Idul Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah. “ SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI; MAAF ZAHIR BATIN “ dari saya kepada semua.

Aidil Fitri merupakan hadiah kemenangan orang-orang Islam dalam perjuangan mengengkang hawa nafsu selama sebulan Ramadhan. Allah SWT membalasnya dengan satu hari yang dinamakan ‘Idulfitri atau Hari Raya Fitrah, di mana Allah SWT menghalalkan mereka berbuka puasa dan mengharamkan berpuasa pada hari tersebut ( 1 Syawal ). Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan- perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah SWT khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu sepanjang bulan Ramadhan.

Banyak fadilat atau kelebihan yang terdapat pada malam Hari Raya. Oleh sebab itu, di antara adab-adab dan perkara-perkara sunat yang telah digariskan oleh Syara‘ untuk kita melakukannya ialah menghidupkan malam Hari Raya itu dengan melakukan amal-amal ibadat seperti mendirikan sembahyang fardhu secara berjemaah, melakukan sembahyang sunat, bertakbir, memanjatkan doa ke hadrat Ilahi dan melakukan apa- apa jua bentuk perkara yang berkebajikan. Dan bukannya melihat rancangan hiburan di TV atau berhibur ditempat-tempat yang dilarang oleh Syara.’

Rasulullah SAW bersabda diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.” Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda daripada Anas r.a. maksudnya: “Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.”

Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm: "Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.”

Perlu diingat juga, kelebihan menghidupkan malam Hari Raya itu tidak akan diperolehi melainkan dengan mengisi dan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut, sebagaimana mengikut pendapat yang shahih. Kemeriahan Hari Raya lebih dirasai apabila laungan takbir bergema. Namun begitu, tidak bermakna takbir itu semata-mata untuk memeriahkan suasana tetapi lebih dari itu, ianya lebih bersifat untuk melahirkan rasa kesyukuran dan mengagungkan Allah SWT. Allah memerintahkan kepada kita mengakui akan kebesaran dan keagunganNya dengan mengucapkan takbir.

Ucapan takbir pada malam Hari Raya itu merupakan ibadah yang kita lakukan untuk melepaskan Ramadhan dan untuk menyambut kedatangan ‘Idulfitri. Oleh sebab itu, disunatkan kepada kita mengucapkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram sembahyang Hari Raya. Firman Allah Ta‘ala: Maksudnya: "Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (Surah Al-Baqarah : 185)

Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas ra dan Al-Fakih bin Sa‘d ra bahawa Rasulullah SAW melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini dikeluarkan oleh Ibnu Majah.

Di samping itu disunatkan juga memakai pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Diriwayatkan daripada Ja‘far bin Muhammad daripada bapanya daripada datuknya: Maksudnya: "Bahawasanya Rasulullah SAW memakai kain yang bergaris-garis (untuk diperselimutkan pada badan) pada setiap kali Hari Raya."(Hadits riwayat Al-Syafi‘e dan Al-Baghawi)

Sebelum keluar pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas ra, beliau berkata: Maksudnya: "Nabi SAW tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga Baginda makan (terlebih dahulu) beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil."(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Ahmad)

Selain itu, Hari Raya merupakan hari kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak." Daripada Jubair bin Nufair, di mana beliau merupakan salah seorang Tabi‘en (orang-orang yang datang setelah Sahabat Nabi SAW ) telah berkata (maksudnya): "Sahabat- sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa di Hari Raya, setengahnya mengucapkan kepada setengah yang lain: Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kami dan menerimaNya daripada awak."

Menurut pandangan jumhur ulama bahawa mengucapkan tahniah di Hari Raya merupakan sesuatu perkara yang disyari‘atkan di dalam Islam. Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya, bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang dii‘timadkan.(Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)

Manakala itu pula, amalan saling ziarah menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya. Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan disyariatkan di dalam Islam. Dalil yang menunjukkan pensyariatannya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Aisyah rha, beliau berkata: Maksudnya: "Rasulullah SAW masuk kepadaku, dan di sisiku ada dua orang anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu‘ats. Lalu Baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya, dan kemudian Abu Bakar masuk, lalu mengherdikku dengan berkata: "Seruling syaitan di sisi (di tempat) Nabi SAW!" Rasulullah SAW menghadap kepada Abu Bakar lalu berkata: "Biarkan mereka berdua itu." Melalui riwayat Hisyam Baginda menambah: "Wahai Abu Bakar, masing-masing kaum ada hari rayanya, dan hari ini adalah Hari Raya kita."(Hadits riwayat Al-Bukhari).

Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menerangkan di dalam kitabnya Fath Al-Baari bahawa kedatangan atau masuknya Abu Bakar ra ke dalam rumah Rasulullah SAW menunjukkan seolah-olah Abu Bakar ra datang sebagai pengunjung atau penziarah selepas masuknya Rasulullah SAW ke dalam rumah Baginda. (Al-Fath Al-Baari, Juz 3, m.s. 116 & Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 31, m.s. 117)

Sehubungan dengan perkara ziarah menziarahi ini, adalah ditekankan kepada orang yang pergi berziarah supaya sentiasa komited terhadap etika ziarah yang ditetapkan oleh Islam. Umpamanya hendaklah meminta izin atau memberi salam sebelum masuk, tidak menghadapkan muka langsung ke arah pintu, menjaga adab kesopanan ketika berada di dalam rumah orang yang diziarahi, memilih waktu yang sesuai untuk berziarah dan sebagainya.

Dalam keghairahan menyambut Hari Raya, perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama. Apa yang di harapkan daripada sambutan Hari Raya sebenarnya bukannya semata-mata kegembiraan atau keseronokan tetapi yang lebih penting dan lebih utama lagi ialah mendapatkan keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Semoga kita semuanya mendapat keberkatan dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana menghidupkan, membesarkan dan mengagungkan Hari Raya Idulfiri.

Bagi yang akan mengadakan perjalanan jauh disertakan adab bermusafir mengikut Islam. Mudah-mudahan perjalanan kita dilindungi dan dirahmati Allah SWT.

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WA LILLAHIL HAMD.

Puasa Sunat Enam Hari Bulan Syawal

Khamis, 25 Ramadhan 1432H :Daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “ Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”. (HR Muslim)

Dari Abu Ayyub al-Anshari r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa sepanjang masa.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis.

1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

2. Orang yang berpuasa Ramadhan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadhan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.

3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdhal berturutan seperti puasa bulan Ramadhan tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal itu.

4. Walau bagaimanapun, Islam mengharamkan umatnya berpuasa pada 1 syawal. Dari Abu Hurairah r.a kataya:”Rasulullah s.a.w melarang puasa pada dua jenis hari. Iaitu pada hari raya Idul Adha (10 Zulhijjah) dan hari raya Idul Fitri (1 Syawal).” (HR Muslim)

Wednesday, August 24, 2011

Solat Malam

Rabu, 24 Ramadhan 1432H: Dari Aisyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w solat malam di kamarnya, padahal dinding kamar itu rendah (pendek) sehingga orang lain dapat melihat baginda. Kerana itu mereka solat sepertimana baginda. Setelah hari pagi, mereka memperkatakan hal itu. Malam keduanya, nabi solat lagi. Orang lain pun solat juga seperti baginda. Mereka lakukan hal seperti itu dua atau tiga malam dan sesudah itu baginda solat sambil duduk dan tidak keluar. Ketika hari telah Subuh, orang ramai menanyakan hal tersebut kepada baginda. Jawab baginda:”Aku takut kalau-kalau kamu menganggap solat malam itu wajib.” (HR al-Bukhari

Dari Jabir r.a katanya, Rasulullah s.a.w ditanya orang:”Solat malam yang bagaimanakah yang lebih baik? Jawab Rasulullah s.a.w,:” Yang lama berdirinya.” (HR Muslim)

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Seorang lelaki bertanya kepada nabi s.a.w ketika baginda sedang di atas mimbar:”Bagaimanakah caranya solat malam?” Nabi menjawab:”Solat malam dua-dua rakaat dan bila khuatir subuh datang, maka solatlah satu rakaat, bererti kamu telah witir untuk setiap rakaat yang kamu lakukan. Ibnu Umar mengatakan:”Buatlah solatmu yang akhir di waktu malam ganjil (witir) rakaatnya kerana nabi s.a.w menyuruh begitu.” (HR al-Bukhari)

Dari ‘Aisyah r.a katanya:”Apabila Rasulullah s.a.w luput solat malam, umpamanya kerana tertidur dan sebagainya, maka baginda menggantinya pada siang hari dua belas rakaat.” (HR Muslim)

Tuesday, August 23, 2011

Disunatkan Berbuka Sebelum Mengerjakan Solat Maghrib

Selasa, 23 Ramadhan 1432H ;Dari Anas r.a ia berkata: “Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila makan malam (berbuka) telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat maghrib, janganlah mendahului solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).

Pengajaran Hadis

1. Umat Islam hendaklah menyediakan juadah makan malam terutama untuk berbuka puasa dengan hidangan yang sederhana, dan juadah janganlah terlalu banyak sehingga mendatangkan pembaziran.

2. Apabila hidangan sudah disediakan untuk berbuka maka kita adalah disunatkan makan terlebih dahulu sebelum menunaikan sembahyang fardhu Maghrib kerana dengan berbuka kita dapat menghilangkan rasa lapar dan dahaga, dan dapat menunaikan sembahyang dengan rasa bertenaga dan selesa.

3. Makanlah secara sederhana jangan makan terlalu banyak sehingga mengganggu keselesaan ketika solat atau mengganggu jemaah yang lain.

Monday, August 22, 2011

Lailatul Qadar Turun Pada Malam Ganjil

Isnin, 22 Ramadhan 1432H:Diriwayatkan dari Ibnu Umar r.a. ia berkata: “Dinampakkan dalam mimpi seorang lelaki bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam kedua puluh tujuh, maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Saya pun (Nabi) bermimpi seperti mimpimu, (dinampakkan pada sepuluh malam terakhir.) maka carilah ia (Lailatul qadar) pada malam-malam yang ganjil.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis

1. Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turun padanya Malaikat Jibril dan malaikat-malaikat yang lain ke bumi dengan perintah Allah.

2. Setiap ibadat yang dilakukan bertepatan pada malam lailatul qadar dengan penuh ikhlas, insyaAllah amalannya akan diterima oleh Allah dan diampunkan semua dosanya yang telah lalu.

Friday, August 19, 2011

Malam Lailatul Qadar

Jumaat, 19 Ogos 1432H : Daripada Aisyah r.a. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Berusahalah untuk mencari Lailatul Qadar pada malam yang ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.

2. Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut

3. Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.

4. Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.

5. Amalan di malam lailatul Qadar diberi ganjaran amalan seribu bulan iaitu bersamaan dengan 83 tahun amalan yang sempurna.

Thursday, August 18, 2011

Nuzul Al-Quran

Khamis, 18 Ramadhan 1432H: Firman Allah SWT "Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... ” — surah Al-Baqarah, ayat 185

Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M.

Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq

Wednesday, August 17, 2011

Banyakkan Amalam Sepuluh Hari Terakhir Ramadhan

Rabu, 17 Ramadhan 1432H: Daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan apabila sampai hari yang kesepuluh terakhir daripada bulan Ramadhan, baginda juga membangunkan isterinya agar beribadat (sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan lainnya) Baginda juga menjauhkan diri daripada bergaul serta bermesra dengan isterinya.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Islam menuntut umatnya yang berpuasa agar berusaha untuk menambahkan amal ibadat mereka apabila masuk hari yang kedua puluh satu Ramadhan sehingga akhir, kerana di malam-malam tersebut akan berlaku Lailatul Qadar.

2. Oleh itu adalah sangat digalakkan untuk kita memperbanyakkan amal ibadat beriktikaf di dalam masjid melakukan sembahyang-sembahyang sunat seperti sunat taubat, sunat tahajjud, sunat tasbih, sunat hajat dan sebagainya selain daripada sunat tarawikh, membaca al-Quran dan berzikir.

3. Bagi para suami, inilah saatnya merebut peluang beribadah bersama keluarga dengan mengajak isteri mereka bangun beribadat bersama-sama. Mudah-mudahan rumahtangga yang dibina akan melahirkan keluarga yang soleh dan solehah dan mendapat rahmat daripada Allah SWT sepanjang masa.

Tuesday, August 16, 2011

Hidupkan Malam Ramadhan Dengan Qiamullail

Selasa, 16 Ramadhan 1432H: Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”

Pengajaran Hadis:

1. Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya menghidupkan malam dengan mengerjakan amal ibadat kerana fadhilatnya amat besar di sisi Allah S.W.T.

2. Antara amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dalam menghidupkan malam (qiamullail) ini ialah melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, membanyakkan istighfar serta beriktikaf di masjid.

3. Selaku umat Islam, kita sepatutnya mencontohi baginda serta berusaha bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan memanfaatkan bulan ini sebaik-baiknya terutama sekali dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan di mana Rasulullah S.A.W dalam kebanyakan hadith memberitahu mengenai kemungkinan besar pada malam-malam ini terutama malam ganjil adalah merupakan malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan melebihi seribu bulan.

Monday, August 15, 2011

Rosak Puasa Kerana Lidah

Isnin, 15 Ramadhan 1432H : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau pun diajak bermusuhan maka hendaklah ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor atau sebagainya.

2. Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.

3. Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.

Friday, August 12, 2011

Fadhilat Puasa - Benteng & Perisai Dari Api Neraka

Jumaat: 12 Ramadhan 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.” (HRAhmad dan Baihaqi)

Pengajaran Hadis:

i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.

ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.

iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.

iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

Thursday, August 11, 2011

Bersedekah Di Bulan Ramadhan

Khamis, 11 Ramadhan 1432H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”( HR Riwayat at- Tirmidzi )

Pengajaran Hadis:

i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan orang-orang yang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda :"Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah. Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan mu."(H.Riwayat: Imam Ahmad)

iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

v)Rasulullah SAW bersabda: "Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Nabi menjawab: "Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya" Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi menjawab: "Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi s.a.w. menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah." (H.Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Wednesday, August 10, 2011

Mencium Isteri Tidak Membatalkan Puasa

Rabu, 10 Ramadhan 1432H;Aisyah r.a berkata : “ Sesungguhnya Rasulullah SAW sering mencium isteri-isterinya sedangkan baginda sedang berpuasa. Kemudian Aisyah tertawa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Mencium isteri ketika sedang berpuasa tidak membatalkan puasa.Dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata,“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa mencium dan mencumbu istrinya sedangkan beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam keadaan berpuasa. Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam melakukan demikian karena beliau adalah orang yang paling kuat menahan syahwatnya.”

2. Namun bagi orang yang tidak kuat menahan nafsunya hal tersebut tidak digalakkan kerana ia akan membawa kepada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.

3. Puasanya tidak batal selama tidak keluar mani.An Nawawi rahimahullah mengatakan, “Tidak ada perselisihan di antara para ulama bahwa bercumbu atau mencium isteri tidak membatalkan puasa selama tidak keluar mani

4. Dari Jabir bin ‘Abdillah, dari ‘Umar Bin Al Khaththab, beliau berkata, “Pada suatu hari aku rindu dan hasratku muncul kemudian aku mencium istriku padahal aku sedang berpuasa, maka aku datang kepada Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam dan aku berkata, "Hari ini aku melakukan suatu kesalahan besar, aku telah mencium istriku padahal sedang berpuasa" Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bertanya, "Bagaimana pendapatmu jika kamu berpuasa kemudian berkumur-kumur?" Aku menjawab, "Seperti itu tidak mengapa." Kemudian Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda, "Lalu apa masalahnya?"

5. Masyruq pernah bertanya pada ‘Aisyah,“Apa yang dibolehkan bagi seseorang terhadap istrinya ketika puasa? ‘Aisyah menjawab, ‘Segala sesuatu selain jima’ bersetubuh)’

Tuesday, August 9, 2011

Fadhilat Sahur - Sunat Melambatkan Waktu Sahur

Selasa, 9 Ramadhan 1432H: Daripada Zaid bin Sabit r.a. katanya: “Kami pernah bersahur bersama-sama Rasulullah s.a.w. Selepas itu kami berdiri untuk menunaikan solat subuh, kamipun bertanya kepada baginda: “Berapa jarak sebenar di antara kedua-dua itu? (di antara makan sahur dengan sembahyang subuh)”. Baginda pun menjawab: “sekira-kira cukup membaca lima puluh ayat”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Orang yang hendak makan sahur disunatkan melambatkan berbuat demikian sehingga hampir dengan waktu subuh.

2. Jarak yang paling afdhal untuk bersahur dengan masuknya waktu subuh ialah sekadar lama bacaan lima puluh ayat al-Quran.

3. Umat Islam digalakkan bersahur kerana perbezaan antara puasa orang-orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah dengan makan sahur.

Monday, August 8, 2011

Fadhilat Bersahur

Isnin, 8 Ramadhan 1432H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”(H.Riwayat Bukhari & Muslim)

Pengajaran Hadis:

i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.

iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.

iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.

v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

Friday, August 5, 2011

Hutang Puasa Orang Yang Meninggal Dunia

Jumaat, 5 Ramadhan 1432H;Dari Aisyah r.a, bahawa Rasulullah saw. bersabda:”Sesiapa yang meninggal dunia dan ia mempunyai tanggungan puasa, maka walinya harus berpuasa untuk membayar tanggungannya. (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Kelompok orang-orang yang tidak wajib puasa adalah orang tua yang tidak kuat untuk berpuasa, wanita yang sedang mengandung, dan wanita yang sedang menyusukan anaknya (boleh berbuka jika tidak mampu meneruskan kerana dikhuatiri akan mendatangkan mudharat pada ibu atau anak).

2. Puasa ibu bapa yang tertinggal boleh diganti jika diketahui jumlahnya tetapi jika tidak diketahui atau tidak diwasiatkan tidaklah perlu diganti, namun adalah lebih baik disedekahkan sedikit harta dan diniatkan untuk Allahyarham serta memohon keampunan atas segala dosa-dosa mereka kerana doa anak yang soleh adalah sedekah jariah yang akan sampai kepada si mati.

3. Namun orang yang wafat dalam keadaan mempunyai hutang nazar puasa, harus digantikan oleh walinya, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W :"Sesiapa yang wafat dan mempunyai hutang puasa nazar hendaklah diganti oleh walinya." (HR Bukhari & Muslim)

4. Puasa adalah hak Allah, jika ditinggalkan maka ia menjadi hutang. Oleh itu orang yang berhutang atau walinya wajib melangsaikannya .

Thursday, August 4, 2011

Haram Berpuasa

Khamis, 4 Ramadhan 1432H ;Dari Umar bin Khathab ra., ia berkata "bahwa dua hari ini hari yang dilarang Rasulullah saw. untuk berpuasa, iaitu hari raya Idul Fitri setelah kalian berpuasa (Ramadhan) dan hari raya makan (daging korban) setelah kalian menunaikan ibadah haji “ (HR Muslim)

Pemgajaran Hadis:

1. Antara hikmah diharamkan berpuasa seperti yang disebut dalam hadith di atas ialah ketika semua orang bergembira, seseorang itu hendaklah perlu turut bersama meraikannya.

2. Selain pada dua hari raya tersebut , kita juga diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12, dan 13 Zulhijjah.

Wednesday, August 3, 2011

Zakat Fitrah

Rabu,3 Ramadhan 1432H: Dari Ibnu Abbas r.a. katanya: “ Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa dari perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedakah biasa seperti sedekah sunat yang lain.” (HR Abu Daud)

Pengajaran Hadis:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada fakir miskin bagi membersihkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadhan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum dan sebagainya atau di Malaysia, kadar bayarannya bersamaan dengan tiga cupak sukatan beras atau tiga kati dua belas tahil (dua Kilo 250 gram)

4. Pembayaran fitrah dengan menggunakan wang ringgit pula hendaklah dilafazkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan bagi (orang-orang) tanggunganku pada tahun ini, kerana Allah.” (mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah)

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadhan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Tuesday, August 2, 2011

Puasa - Bercakap Bohong & Kelakuan Buruk

Selasa, 2 Ramadhan 1432H : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Orang yang berpuasa sedangkan mereka tidak memelihara lidah (percakapan yang tidak baik) dan juga masih melakukan maksiat, tidak akan diberi pahala puasa oleh Allah selain mendapat lapar dan dahaga sahaja.

2. Puasa yang paling bernilai di sisi Allah S.W.T. ialah puasa orang yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa di samping menambahkan amal ibadat sepanjang mereka berpuasa.

3. Maka amatlah malang dan ruginya bagi orang yang berpuasa, tetapi masih mengeluarkan perkataan-perkataan yang kotor, mengumpat, menfitnah, memaki hamun dan sebagainya, sebagaimana biasa, sedangkan ia berpuasa, maka ia tidak mendapat apa-apa kelebihan atau pahala di sisi Allah S.W.T bahkan mendapat dosa pula.

4.Orang yang berpuasa hendaklah memperbanyakan membaca Al Quran, berzikir, solat sunat,menghadiri majlis ilmu, berdakwah dan tidak berkata perkara yang sia-sia, menonton televisyen, bermain internet dan sebagainya yang merugikan pahala puasa.