Friday, September 30, 2011

Sejarah Ringkas Ibadat Haji

Jumaat, 2 Zulkaedah 1432H: Dari segi sejarah, ibadah haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi kita Muhammad S.A.W. sebagai membaharui dan menyambung ajaran Nabi Allah Ibrahim A.S. Ibadat haji mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke-6 Hijrah, mengikut haul yang mashur iaitu dengan turunnya ayat 97 surah Al-Imran yang bermaksud :

" Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekelian makhluk".

Pada tahun tersebut Rasulullah S.A.W. bersama-sama lebih kurang 1500 orang telah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya kerana telah dihalang oleh kaum Quraisy sehinggalah mewujudkan satu perjanjian yang dinamakan perjanjian Hudaibiah.

Perjanjian itu membuka jalan bagi perkembangan Islam di mana pada tahun berikutnya ( Tahun ke-7 Hijrah ), Rasulullah telah mengerjakan Umrah bersama-sama 2000 orang umat Islam. Pada tahun ke-9 Hijrah barulah ibadat Haji dapat dikerjakan di mana Rasulullah S.A.W. mengarahkan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq mengetuai 300 orang umat Islam mengerjakan haji.

RASULLULLAH S.A.W MENUNAIKAN HAJI

Nabi kita Muhammad S.A.W telah menunaikan fardhu haji sekali sahaja semasa hayatnya. Haji itu dinamakan "Hijjatul Wada'/ Hijjatul Balagh/ Hijjatul Islam atau Hijjatuttamam Wal Kamal kerana selepas haji itu tidak berapa lama kemudian baginda pun wafat. Baginda telah berangkat ke Madinatul Munawwarah pada hari Sabtu, 25 Zulkaedah tahun 10 Hijrah bersama isteri dan sahabat-sahabatnya seramai lebih 90,000 orang Islam.

Baginda telah menyempurnakan amalan-amalan sunat Ihram, memakai ihram dan berniat ihram di Zulhulaifah, sekarang dikenali dengan nama Bir Ali, 10 km daripada Madinah dan baginda sampai di Makkah pada 04 Zulhijjah setelah mengambil masa 9 hari dalam perjalanan. Baginda berangkat ke Mina pada 08 Zulhijjah dan bermalam di situ.

Kemudian ke Arafah untuk berwukuf pada 09 Zulhijjah yang jatuhnya pada hari Jumaat. Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji hingga 13 Zulhijjah. Dan pada 14 Zulhijjah, Rasulullah S.A.W telah berangkat meninggalkan Makkah Al-Mukarramah menuju balik ke Madinah Al-Munawwarah.

PERISTIWA SEMASA HIJJATUL WADA'

Di masa wukuf terdapat beberapa peristiwa penting yang boleh dijadikan pegangan dan panduan umat Islam telah berlaku, di antara ialah seperti berikut :

Rasulullah S.A.W minum susu di atas unta supaya dilihat oleh orang ramai bahawa hari itu tiada puasa atau tidak sunat berpuasa pada hari wukuf.

Seorang Sahabat jatuh dari binatang tunganggannya lalu mati, Rasulullah S.A.W. menyuruh supaya mayat itu dikafankan dengan 2 kain ihram dan tidak membenarkan kepalanya ditutup atau diwangikan jasad dan kafannya. Sabda Baginda pada ketika itu bahawa " Sahabat itu akan dibangkitkan pada hari kiamat di dalam keadaan berihram dan bertalbiah".

Rasulullah S.A.W. menjawab soalan seorang ahli Najdi yang bertanyakan " Apakah itu Haji ?". Sabdanya yang bermaksud " Haji itu berhenti di Arafah". Siapa tiba di Arafah sebelum naik fajar 10 Zulhijjah maka ia telah melaksanakan haji.

Turunnya ayat suci Al-Quranul Karim surah Al-Maidah yang bermaksud :
" Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu dan aku telah redha Islam itu menjadi agama untuk kami"

Daripada sejarah dan peristiwa ringkas itu cubalah kita teliti betapa Rasulullah S.A.W telah menyempurnakan haji dengan pengorbanan Baginda bersama sahabat-sahabat yang berjalan dari Madinah Al-Munawwarah ke Makkah Al-Mukarramah selama 9 hari berbanding pada hari ini kita menaiki kapal terbang yang boleh sampai ke Tanah Suci kurang daripada 9 jam. Ini perkara yang perlu direnungkan apabila kita menghadapi sebarang kesusahan di tanah Suci kelak.

Petikan daripada www.al-Azim.com

Thursday, September 29, 2011

Visi Mencapai Haji Mabrur

Khamis, 1 Zulkaedah 1432H: Setiap jemaah haji mestilah mempunyai visi untuk mencapai haji mabrur. Seorang muslim yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima di sisi Allah, hendaklah memenuhi kriteria berikut:

1. Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah.

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata; “Mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan al-mabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.”

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Malah, Rasulullah mengajar kita dengan doa yang telah thabit di dalam hadisnya, antaranya doa ketika bermusafir: “Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga“.

2. Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada sumber yang halal.

Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut: “Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.

“Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan. Kemudian Rasulullah membacakan lagi:

Wahai orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” (Surah al-Baqarah 172).

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata ‘Ya Tuhanku’ sedangkan punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”.

3. Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah di dalam sunnahnya. Sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.

Oleh itu setiap jemaah haji hendaklah mendapatkan sebanyak mungkin ilmu berkaitan dengan Haji supaya ibadat haji dapat dilakukan dengan betul dan sempurna.

Wednesday, September 28, 2011

Haji Mabrur

Rabu, 30 Syawwal 1432H: Ibn Kholawaih mentakrifkan al-Mabrur sebagai al-Maqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat itu (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ‘Kelebihan Haji Mabrur’, manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan’.

Ini berdasarkan dua riwayat utama, Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu:

Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:
“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya: Haji yang mabrur (diterima).”


“Aku dengar Nabi bersabda: sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa)“.

Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:
Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur)“.

Petikan daripada Zulkarnain Ali

Tuesday, September 27, 2011

Haji Akbar

Selasa, 29 Syawal 1432H: Ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai Haji Akbar. Ada yang mengatakan ia adalah hari wukuf kerana ia rukun terpenting dalam ibadat haji. Ada yang mengatakan hari ke-10 Zulhijjah kerana semua asas penting dalam haji sudah diselesaikan.

Imam Hasan Al-Basri ketika ditanya mengenai Haji Akbar menjawab: “Apa yang perlu ditanyakan lagi kerana hal ini berlaku pada tahun Abu Bakar dilantik Rasul SAW mengetuai rombongan menunaikan haji pada tahun ke-9 hijrah. Jawapan ini juga sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 3 bermaksud: “Dan inilah satu makluman dari Allah SWT dan Rasul-Nya kepada manusia pada hari Haji Akbar, bahawa Allah SWT melepaskan diri dari perjanjian dengan orang Musyrikin”.

Menurut sejarah, ketika Haji Wada’ 10 Hijrah, Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat dan esoknya hari ke-10 di Mina masih dalam rangka Haji Akbar. Jika Nabi SAW berwukuf pada hari Jumaat nescaya wukuf Abu Bakar pada tahun sebelumnya bukan hari Jumaat sedangkan pada musim haji berkenaan disebut dalam surah Taubah berkenaan.

Ibnu Kathir pula lebih cenderung kepada hari yang ke-10 berdasarkan sebuah hadis Abdullah Ibnu Umar bahawa Rasul SAW berdiri berhampiran Jamrah ketika Haji Wada’ pada hari ke-10 lalu berkata, “Inilah dia Haji Akbar.’

Alasan kedua ialah hadis Abdul Rahman Bakrah yang menceritakan, Pada hari duduknya Rasul SAW di atas belakang unta dan bertanya: “Hari apakah ini? Kami semua diam kerana mungkin Baginda akan mengumumkan sesuatu nama yang baru buat hari itu”. Lalu sabda Rasul SAW: “Bukankah hari ini yang bernama Haji Akbar? (Hadis Bukhari).

Saidina Ali Abi talib pernah ditanya mengenai Haji Akbar, beliau menjawab: “Hari Nahar (hari ke-10)”.

Jadi tidaklah dapat dipastikan mengenai Haji Akbar ini. Namun demikian ada ulama yang mengambil jalan tengah dengan memberi maksud Haji Akbar – iaitu ‘Haji Besar’, ibadat haji itu sendiri dengan wukuf di Arafah dan umrah ‘haji kecil’. Ulama Tabi’in berpendapat ‘Haji Akbar’ ialah Haji Qiran (mengerjakan haji dan umrah serentak). Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Haji Akbar ialah hari ke-10 di Mina kerana melontar Jamrah dan menyembelih binatang.

Sufya As-Tsaury berkata, “Keseluruhan ibadat haji itu adalah Haji Akbar kerana ia juga disebut Yaumul Fath (hari kemenangan). Setengah ulama berpendapat bahawa haji pertama dilakukan dalam hidup seseorang adalah ‘Haji Akbar’ kerana ia adalah ibadat yang amat bermakna dalam hidupnya kerana mendapat keistimewaannya yang besar

Friday, September 23, 2011

Beberapa Hadis Berkaitan Ibadat Haji

Jumaat,25 Syawal 1432H ; Perlaksanaa ibadat Haji perlu diisi dengan ilmu-ilmu berkaitan dengannya untuk memperolehi haji yang sempura. Banyak hadis-hadis yang menceritakan berkaitan ibadat haji. Antaranya ialah :

1. Haji Ketika Sakit

Dari A’isyah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w datang ke rumah Dhuba’ah binti Zubair bin Abdul Mutalib; lalu kata Duba’ah:”Ya Rasulullah! Aku bermaksud hendak menunaikan ibadah haji tetapi aku sakit. Bagaimana itu? Maka bersabda nabi s.a.w:”Hajilah dan syaratkan dalam niatmu untuk tahallul (berhenti) jika tidak sanggup meneruskannya kerana bertambah sakit.” (HR Muslim)

2.Tawaf qudum

Dari Wabarah r.a katanya:”Ketika aku duduk berdekatan dengan Ibnu Umar, datang seorang lelaki bertanya:”Bolehkah aku tawaf di Bait sebelum wukuf di Arafah?” jawab Ibnu Umar:”Ya! Boleh. Rasulullah s.a.w mengerjakan ibadah haji, baginda tawaf lebih dahulu di Bait sebelum pergi ke tempat wukuf di Arafah.” (HR Muslim)

3. Haji Ifrad, Qiran Dan Tamattu’

Dari Aisyah r.a katanya:”Di antara kami ada yang ihram untuk haji Ifrad (mendahulukan haji dari umrah), ada yang ihram untuk haji Qiran (mengerjakan haji digabungkan dengan umrah sekaligus) dan ada pula yang ihram untuk haji Tamattu’ (mendahulukan umrah daripada haji).” (HR Muslim)

4. Haidh Ketika Haji

Dari Aisyah r.a katanya:”Kami pergi bersama-sama nabi s.a.w, tiada niat kami selain haji. Setelah kami sampai dekat Sarif) tiba-tiba aku haidh. Ketika nabi s.a.w masuk ke dalam khemahku, didapatinya aku sedang menangis. Lalu beliau bertanya:”Apakah kamu haidh?” Jawabku:”Benar Ya Rasulullah.” Sabda beliau :”Haidh adalah perkara yang lumrah bagi puteri-puteri Adam. Kerana itu kerjakanlah apa yang seharusnya dikerjakan oleh orang haji kecuali tawaf di Baitullah sehingga engkau mandi (suci) lebih dahulu.” Kata Aisyah:”Kemudian beliau menyembelih lembu untuk korban para isterinya.” (HR Muslim)

5. Barang Orang Haji

Dari Abdurrahman bin Usman at-Taimi katanya:” Rasulullah s.a.w melarang memungut barang-barang orang haji yang tercicir” (HR Muslim)

6. Tawaf Dengan Kenderaan

Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Ketika haji wada’ Rasulullah s.a.w tawaf di atas unta. Lalu dia menyentuh hajar aswad dengan tongkatnya.” (HR Muslim)

7. Mencukur Rambut

Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Bahawasanya Rasulullah s.a.w mencukur rambut ketika baginda haji wada’.” (HR Muslim)

Monday, September 19, 2011

Haji Untuk Orang Lain

Isnin, 21 Syawal 1432H: Daripada Ibnu Abbas r.a. menceritakan bahawa ada seorang wanita bertanya, “Ya Rasulullah, sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas semua hambanya mengerjakan haji, adakah boleh aku kerjakan haji untuk ayahku, apakah pahala haji tersebut dapat dimiliki olehnya?” Baginda menjawab:”Ya boleh” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis

1. Islam mewajibkan haji ke atas umatnya yang telah cukup syarat-syaratnya seperti:
i) Islam.
ii) Berakal
iii) Baligh.
iv) Merdeka
v) Mampu (istitha'ah)
vi) Muhrim (bagi wanita).

2. Islam juga mengharuskan bagi ahli waris mengerjakan haji untuk ibu dan bapa mereka yang tidak dapat atau tidak sempat mengerjakan haji disebabkan sakit, meninggal dan sebagainya di mana pahala haji yang dikerjakan oleh ahli keluarga itu (yang diniatkan kepadanya) akan sampai kepada mereka.

3. Mengerjakan Haji bagi orang lain dipanggil Badal Haji. Badal ertinya 'ganti ' , 'pengganti ', atau yang ' digantikan'. Oleh itu Badal Haji adalah 'menggantikan orang lain dalam melaksanakan ibadah haji kerana adanya halangan tertentu seperti penyakit ,usia tua (uzur) atau kematian bagi melaksanakan kesemua Rukun Islam.

4. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Imran ayat 97:" Disana terdapat ayat-ayat yang jelas dan ada makam Nabi Ibrahim,dan sesiapa yang memasuki nya amanlah dia. Hanya untuk Allahlah kewajipan haji atas manusia , iaitu bagi sesiapa yang mampu melakukan perjalanan ; dan sesiapa yang kafir (engkar) sesungguhnya Allah Maha Kaya dari seluruh semesta alam."

5. Berkemampuan dengan pertolongan orang lain ialah

i) Orang yang memiliki perbelanjaan untuk ke Tanah Suci tetapi tidak dapat mengerjakan sendiri kerana terlalu uzur dan sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua umurnya yang telah putus asa tidak dapat ke Tanah Suci.

ii) Orang yang telah meninggal dunia yang berupaya semasa hayatnya tetapi tidak sempat mengerjakan haji. Dalam hal ini terhutanglah fardhu hajinya ke atas warisnya atau orang yang menerima wasiatnya untuk menyelenggarakan hutang hajinya dengan upah yang yang berpatutan atau sukarela.

Thursday, September 15, 2011

Haji Jihad Bagi Kaum Wanita

Khamis, 17 Syawal 1432H:Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.”
(HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid.

2. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i).

3. Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya.

4. Sebaliknya, tanpa keikhlasan, bukan sahaja ibadah yang berat seperti tawaf yang memerlukan manusia bersesak-sesak, wuquf di dalam cuaca panas terik, melontar yang bakal dihujani pelbagai risiko dan sebagainya, malah ibadah yang ringan pun akan terasa berat untuk dilaksanakannya jika hati tidak disertai keikhlasan. Itulah sebabnya mengapa haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah.

Monday, September 12, 2011

Haji Dibalas Syurga, Umrah Menutup Dosa

Isnin, 14 Syawal 1432H: Daripada Abu Hurairah r.a. lagi bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Mengerjakan umrah ke satu umrah yang lain menjadi penutup dosa yang dilakukan di antara kedua umrah itu. Manakala haji yang mabrur pula akan dibalas dengan syurga kepada orang yang mengerjakannya”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Ibadat Haji difardhukan sekali seumur hidup bagi setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan

2. Ibadat umrah pula sunat hukumnya dan jika seseorang itu dapat mengerjakannya dengan sempurna nescaya ia akan mendapat pahala yang besar malah menjadi penghapus kepada dosa-dosa telah yang dilakukan.

3. Haji yang mabrur merupakan ibadat haji yang sempurna yang diterima oleh Allah SWT dan dijanjikan dengan balasan Syurga.

Friday, September 9, 2011

Menunaikan Haji - Ancaman Kepada Muslim Berkemampuan

Jumaat, 11 Syawal 1432H : Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barang siapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarak sehingga dia meninggal dunia), maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.” (Hadis riwayat Tirmizi dan Baihaqi)

Pengajaran Hadis.

1. Ibadat haji, merupkan rukun Islam yang wajib dilaksanakan setiap Muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup.

2. Mereka yang berkemampuan dan tiada halangan yang baginya untuk mengerjakan haji telah merugikan dirinya diri kerana Allah tidak berhajat kepadanya.

3. Mereka yang berkemampuan dan tiada halangan dari segi keuzuran syarak dan sebagainya maka baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.

4. Mereka yang berkemampuan untuk menunaikan Haji tetapi menggunakan kemampuannya itu untuk kepentingan keduniaannya yang lain maka ia telah kufur den ingkar kepada suruhan Allah dan Rasulnya.

5. Mereka yang masih muda dan mempunyai kemampuan yang cukup jangan bertangguh lagi. Tunaikanlah rukun Islam ke lima ini dengan segera, mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa.

Thursday, September 8, 2011

Haji Dapat Membersihkan Segala Dosa

Khamis, 10 Syawal 1432H: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,: “Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih dari dosa-dosa sepertimana ia baru dilahirkan oleh ibunya”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Allah S.W.T telah memfardhukan ibadat Haji pada tahun kesembilan hijrah.

2. Orang yang mengerjakan haji dengan ikhlas dan sempurna dan menjauhi diri daripada melakukan maksiat dan dosa, nescaya ia bersih dari segala dosa sepertimana ia baru dilahirkan.

3. Ibadat haji merupakan kemuncak amalan setiap tahun yang menguji kekuatan iman seseorang hamba kerana ia berkait rapat dengan pengorbanan harta benda, tenaga, nyawa dan sebagainya.

4. Umat Islam yang mengerjakan ibadat haji hendaklah mengerjakannya dengan penuh ikhlas kerana Allah S.W.T di samping berdoa kepada Allah agar haji yang dilakukan itu diterima oleh-Nya

Wednesday, September 7, 2011

Haji Antara Amalan Yang Paling Utama

Rabu,9 Syawal 1432H: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah ditanya, “Amalan manakah yang lebih utama ? Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah dan juga kepada Rasulnya”. Kemudian baginda ditanya lagi, “Selepas itu apa lagi ? Baginda berkata, “Berjihad di jalan yang diredhai Allah”. Kemudian apa lagi ? Baginda menjawab, “Mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur). (al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Umat Islam hendaklah sentiasa melakukan amalan yang baik semasa hayatnya, kerana setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah dinilai sebagai ibadat

2. Amalan yang paling utama ialah beriman kepada Allah dan Rasulnya. Setelah beriman barulah iikuti dengan amalan berjihad di jalan yang diredhai Allah dan seterusnya amalan mengerjakan ibadat haji dengan dengan sempurna (haji mabrur).

3. Sesungguhnya Allah S.W.T. sangat menyukai hambanya yang taat dalam melaksanakan titah perintahnya. Hanya orang yang benar-benar beriman sanggup berkorban nyawa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk berjihad dan bermusafir mengerjakan ibadat haji kerana ibadah ini tidak akan dapat dilakukan tanpa adanya persediaan yang cukup dari segi rohani dan jasmani.

4. Orang yang beramal dan berusaha untuk menegakkan syariat Allah di muka bumi ini telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah ketika di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu umat Islam seharusnya berlumba-lumba dalam melakukan amal ibadat selagi tempoh hayat masih berbaki.

Tuesday, September 6, 2011

Kewajiban Menunaikan Ibadat Haji

Selasa,6 Syawal 1432H : Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami semua serta bersabda. “Wahai manusia sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kamu ibadat haji. Maka hendaklah kamu semua mengerjakannya”. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya, “Adakah wajib ditunaikan setiap tahun, ya Rasulullah?”. Baginda hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jika aku menjawab ya, Ibadat haji akan menjadi wajib pada setiap tahun, tentu kamu semua tidak terdaya mengerjakannya.” Seterusnya baginda bersabda, “Janganlah bertanya lagi kepadaku tentang perkara ini, apa sahaja yang aku tidak menyebutnya maka tinggalkan sahaja. Sesungguhnya orang yang sebelum kamu itu menjadi rosak disebabkan terlalu banyak mengemukakan pertanyaan mereka, kemudian mereka menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Oleh yang demikian apabila aku memerintahkan kepada kamu semua dengan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan kamu. Sebaliknya jika aku melarang kamu semua dari melakukan sesuatu perkara itu hendaklah kamu tinggalkan”. (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Ibadat Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka adalah menjadi kewajiban kepada semua umat Islam untuk mengerjakannya, jika sudah memenuhi dan mencukupi semua syarat-syaratnya.

2. Allah S.W.T sekali-kali tidak memberatkan hambanya di dalam mengerjakan ibadat yang wajib atau pun sunat kerana setiap hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga hadith adalah berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu sendiri.

3. Islam melarang kita mempersoalkan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti perkara yang wajib, sunat, makruh, harus, haram dan sebagainya kerana semakin banyak pertanyaan yang timbul maka akan menyebabkan banyak kesusahan dan kesulitan yang berlaku sehingga kadangkala berlaku perkara saling menyalahkan orang lain.

4. Islam mengajar umatnya supaya mentaati pemimpin-pemimpin mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat serta melanggar perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.