Friday, December 30, 2011

Kelebihan Solat Jumaat

Jumaat, 5 Safar 1433H: Abu Hurairah r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:”Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi janabah (mandi dengan membersih seluruh tubuh badan), kemudian dia pergi ke Jumaat (solat Jumaat) (sebagai orang yang pertama sampai) maka sama halnya seperti orang yang berkorban seekor unta; dan sesiapa yang datang sebagai orang kedua, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor lembu betina; sesiapa yang datang sebagai orang ketiga, sama halnya seperti orang yang berkorban seekor biri-biri bertanduk; sesiapa yang datang sebagai orang keempat, sama halnya dengan seorang yang berkorban seekor ayam; dan sesiapa yang datang sebagai orang kelima; sama halnya dengan orang yang berkorban dengan sebutir telur. Apabila imam telah menaiki mimbar maka para malaikat yang hadir juga ikut mendengar khutbah.” (HR Bukhari)

Keterangan Hadis:

1. Allah menetapkan kelebihan tertentu pada tempat dan masa. Contohnya Allah melimpahkan berkat-Nya terhadap Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah daripada segala tempat lain di dunia ini. Begitu juga dengan kelebihan masa iaitu Allah SWT telah melebihkan Ramadhan daripada segala bulan yang lain dan Allah juga melebihkan hari Jumaat daripada segala hari yang lain dalam seminggu.

2. Hari Jumaat juga dinamakan ‘Yaumul-mazid’ iaitu hari pemberian tambahan kerana pada hari berkenaan, Allah mengurniakan rahmat yang banyak kepada hambanya. Segala permohonan seseorang hamba itu akan dikabulkan sekiranya permohonan itu menepati waktu yang dinamakan ‘waktu mustajab’.

3. Mulianya hari Jumaat ini hingga Allah juga mensyariatkan agar dikerjakan solat khusus pada hari tersebut iaitu yang dinamakan solat Jumaat di mana bagi setiap orang yang pergi menunaikan solat tersebut disediakan ganjaran yang amat besar yang tidak ada pada hari-hari yang lain.

4. Malang sekali ada juga antara kita yang berasakan hari Jumaat adalah sama seperti hari-hari lain. Ini menyebabkan mereka mengisi hari tersebut dengan hati yang kosong, tanpa doa dan harapan kepada pencipta-Nya. Lebih malang lagi, ada pula yang sanggup meninggalkan solat Jumaat dengan sengaja, tanpa rasa berdosa kepada Allah SWT. Golongan ini bukan sahaja lupa pada kewajipan mereka terhadap Allah, malah mereka lupa pada azab Allah yang bakal menimpa. Jauh sekali ingin meraih seribu satu keuntungan daripada kemuliaan hari tersebut.

Thursday, December 29, 2011

Keutamaan Tangan Kanan

Khamis,4 Safar 1433H: Daripada Salmat bin al-Akwaa’ r.a, bahawasanya seorang lelaki makan di sisi Rasulullah s.a.w dengan tangan kirinya lalu baginda menegurnya dengan bersabda:” Makanlah dengan menggunakan tangan kananmu.” Lelaki itu menjawab, :“Aku tidak berupaya berbuat demikian.” Baginda bersabda lagi: ”Kamu tidak berupaya? Sebenarnya tidak ada sesuatu yang menghalang kamu daripada berbuat demikian melainkan kerana didorong oleh perasaan sombong.” Salmat berkata:”Orang itu akhirnya tidak dapat mengangkat tangan kanan ke mulutnya (cacat selamanya).” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Umat Islam dilarang menggunakan tangan kiri semasa makan atau minum kerana perbuatan tersebut melambangkan sikap orang yang sombong.

2. Ketika melakukan suatu kebajikan seperti sedekah, berwudhu’, memakai pakaian an sebagainya hendaklah dilakukan dengan menggunakan tangan kanan atau tangan kanan yang didahulukan. Sementara untuk hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti membersih kotoran hendaklah dilakukan dengan tangan kiri.

3. Sesuatu perkataan yang dilafazkan oleh seseorang adalah seperti doa sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

4. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana itulah tanda hamba yang bersyukur.

Wednesday, December 28, 2011

Bulan Safar

Rabu,3 Safar 1433H: Daripada Abu Hurairah ra. Bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh) Seorang Arab Badwi berkata: “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda : “ Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?” (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

Keterangan Hadis:


1. Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam. Di dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara Mandi Safar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala. Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya.

2. Nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut ini dilarang keras oleh Islam sebagaimana firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 51 yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) :“Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”

Friday, December 16, 2011

Sabar Dalam Ujian

Jumaat, 20 Muharram 1433H: Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (HR al-Hakim)

Pengajaran hadis:

1. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.

2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.

3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:”Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah:6)

5. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Thursday, December 15, 2011

Larangan Menyombong Diri

Khamis, 19 Muharram 1433H:Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.( HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.

2. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.

3. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Wednesday, December 14, 2011

Tiga Perkara Kebaikan Dan Keburukan

Rabu, 18 Muharram 1433H:Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Tiga perkara yang menyelamatkan , iaitu takut pada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah, berjimat cermat ketika susah dan senang, dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri.”(HR Abu Syeikh)

Keterangan Hadis:

i) Terdapat tiga perkara yang memberikan keselamatan kepada manusia iaitu :

a) Sentiasa menjaga tingkahlaku kerana sesungguhnya Allah S.W.T Maha Melihat dan Mendengar apa jua yang dilakukan oleh hamba-Nya. Bahkan setiap amalan itulah yang akan menentukan sama ada seseorang manusia itu diberi kebahagiaan atau ditimpa celaka dalam hidupnya.
b) Berlaku adil yang bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya tanpa ada diskriminasi dan beremosi. Ini termasuk memberikan hak kepada yang berhak yang bukan terhad pada hubungan antara sesama makhluk sahaja malah dalam menjaga hubungan dengan Tuhan. Sifat adil akan menghidupkan suasana berkasih sayang dalam masyarakat.
c) Berjimat cermat ketika susah dan senang kerana ini akan menyelamatkan seseorang itu daripada menyesal di kemudian hari.

ii) Manakala Rasulullah berpesan pula bahawa terdapat tiga perkara lain yang akan membinasakan manusia iaitu:

a) Mengikut telunjuk syaitan yang sentiasa mendorong kepada kehendak hawa nafsu yang mengakibatkan kebinasaan diri.
b) Bersifat kedekut sehingga menyebabkan orang lain membenci dan menjauhinya.
c) Kagum dengan diri sendiri iaitu ujub dengan kelebihan diri sehingga menjadikan seseorang itu bersikap angkuh dan sombong serta suka menghina orang lain menyebabkan dia akhirnya disisihkan daripada masyarakat.

iii) Sesungguhnya setiap perkara yang dilarang itu ada hikmahnya begitu juga dengan perkara yang baik itu pasti ada kemuliaannya. Oleh itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati agak tidak melakukan kesilapan hingga terjerumus ke lambah kebinasaan.

Tuesday, December 13, 2011

Pengasihnya Allah SWT

Selasa, 17 Muharram 1433H: Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Nikmat Allah S.W.T maha luas dan tiada sesiapapun dapat menyekatnya. Allah juga Maha Sabar dalam setiap urusan-Nya meski pun manusia melanggar perintahNya dan yang balik buruk mensyirikkanNya samada dalam bentuk perbuatan dan lisan.

2. Manusia yang dijadikan oleh Allah adalah makhluk yang diamanahkan untuk menggunakan nikmat yang diperolehi itu untuk keperluan mendekatkan diri kepada-Nya. Namun begitu ada juga golongan manusia yang menggunakan nikmat Allah tetapi dalam masa yang sama mereka semakin jauh daripada Allah S.W.T.

3. Hal ini terjadi kerana hati mereka telah mati lantaran nikmat itu diguna atau disalurkan kepada perkara-perkara mungkar termasuklah golongan yang syirik atau kafir yang seolah-olah nikmat itu tidak disedari oleh mereka dan akhirnya menjadikan mereka semakin sesat dan melupakan Allah.

4. Bagi orang yang kufur tetapi mendapat keistimewaan atau nikmat yang lebih ini mereka dikatakan mendapat istidraj iaitu pemberian nikmat Allah yang besar tetapi pemberian itu tidak diredhai-Nya.

5. Rasulullah s.a.w. bersabda :"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT." (at-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

6. Manusia yang mendapat istidraj adalah manusia yang lupa daratan. Maka apakah ertinya hidup ini jika mendapat seribu macam nikmat seperti kaya, berkuasa dan sebagainya tetapi sama sekali tidak diberkati malah dibenci oleh Allah S.W.T.

7. Sepatutnya orang-orang yang kaya dengan berbagai nikmat hendaklah mengunakan nikmat Allah itu untuk kebajikan dan mengabdikan diri kepada Allah agar hidup mereka diredhai Allah bahkan itulah sifat makhluk yang benar-benar bersyukur.

Monday, December 12, 2011

Jalan Ke Syurga

Isnin,16 Muharram 1433H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa orang banyak bertanya kepada Rasulullah saw. Tanya mereka, "Dapatkah kami melihat Tuhan kita nanti di hari kiamat?" Jawab Nabi, "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat bulan purnama pada malam empat belas yang tidak berawan?" Jawab mereka, "Tidak! Ya, Rasulullah!" Tanya Nabi saw., "Masih sangsikah kamu untuk dapat melihat matahari di tengah hari yang tidak berawan? Jawab mereka, "Tidak!" Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya kamu akan melihat Allah (Tuhanmu) seperti itu.

Pada hari kiamat itu akan dikumpulkan seluruh manusia. Lalu Allah berfirman, "Siapa yang menyembah sesuatu (selain aku), maka hendaklah dia mengikut sembahannya itu." Di antara mereka itu ada yang mengikut matahari, ada yang mengikut bulan dan ada yang mengikut bermacam-macam thaghut (berhala). Maka tinggallah umat Islam ini, termasuk di dalamnya orang-orang munafik.

Allah akan datang kepada mereka dan berfirman, "Aku adalah Tuhanmu!" Jawab mereka, "Kami akan tetap di sini hingga Tuhan kami datang. Apabila Tuhan kami datang, kami akan mengenalNya." Maka datanglah Allah kepada mereka, lalu berfirman: "Aku Tuhanmu!" Jawab mereka, "Ya, Engkaulah Tuhan kami." Allah akan memanggil mereka, dan sebuah jambatan dibentangkan melintasi neraka jahannam. Aku (Muhammad saw.) adalah orang pertama di antara para Rasul beserta umatnya yang pertama-tama melintasinya. Tak seorang pun di kala itu yang berkata-kata kecuali doa para Rasul. Doa mereka ketika itu ialah: "Ya, Allah! Selamatkan, selamatkan!"

Di dalam neraka jahannam itu terdapat kaitan-kaitan seperti duri kayu Saadan. Tahukah anda duri kayu Saadan itu?" Jawab orang banyak, "Tahu." Sabda Nabi saw., "Rupanya seperti duri kayu Saadan, tetapi besarnya hanya Allah swt. yang tahu, manusia akan terkait kerana amalnya. Di antaranya ada yang jatuh berkait sesuai dengan amalnya, tetapi ada pula yang terkait sedikit saja, kemudian lepas." Apabila Allah swt. menghendaki akan memberi rahmat kepada penduduk neraka, maka disuruhNya malaikat mengeluarkan orang-orang yang pernah menyembah Allah. Mereka segera mengeluarkannya, yang masing-masing dikenalnya dengan tanda bekas sujud. Allah swt. mengharamkan api memakan tanda bekas sujud. Maka keluarlah mereka dari neraka. Seluruh tubuh anak Adam akan dimakan api kecuali bekas sujud. Para malaikat mengeluarkan mereka dari neraka dalam keadaan hangus. Lalu dituangkan kepada mereka air kehidupan. Maka tumbuhlah badan mereka sebagai tumbuhnya bibit di tanah bekas banjir.

Setelah Allah swt. mengadili mereka, masih ada ketinggalan seseorang antara syurga dan neraka. Dialah orang terakhir dari isi neraka yang akan masuk ke dalam syurga. Dikala mukanya dihadapkannya ke neraka, dia mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Palingkanlah muka ku dari neraka ini. Baunya sungguh amat menyakitkan kepada ku, dan panasnya membakar ku." Allah akan menanyainya, "Sekiranya permintaanmu Aku kabulkan, apakah engkau hendak meminta lagi yang lain?" Jawabnya, "Demi kebesaran Engkau, tidak akan kuminta lagi." Maka diperkenankan oleh Allah permintaannya (tersebut di atas) , dengan perjanjian seperti tersebut. Lalu dipalingkan Allah mukanya dari neraka. Tetapi setelah mukanya dihadapkan ke Syurga, dan dilihatnya keindahan syurga, diamlah ia seketika. Kemudian ia mendoa pula: "Ya, Tuhan ku, bawalah aku ke dekat pintu syurga!" Allah bertanya, "Bukankah engkau telah mengikat janji dengan ku, yang engkau tidak akan memajukan permintaan yang lain lagi?" Jawab orang itu, "Wahai, Tuhan ku! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang!" Jawab Allah, Sekiranya Aku kabulkan permintaanmu, apakah engkau masih hendak meminta yang lain lagi?" Jawabnya, "Tidak! Demi kebesaran Mu, aku tidak akan meminta yang lain lagi!" Lalu diperkenankan Allah permintaannya dengan perjanjian, dan dia dibawa ke pintu syurga. Setelah sampai di pintu syurga, kelihatan olehnya keindahan syurga, kegemilangan, dan kegembiraan yang ada di dalam syurga. Dia terdiam pula seketika. Kemudian ia memohon pula, "Wahai, Tuhan ku! Masukkanlah kiranya aku ke dalam syurga!" Kata Allah, "Kasihan kamu, hai anak Adam! Alangkah penipunya kamu! Bukankah kamu sudah berjanji tidak akan meminta lagi selain yang telah kamu peroleh?" Jawabnya, "Ya, Tuhan! Janganlah kiranya aku dijadikan makhluk yang paling malang. " Allah 'Azza wa Jalla tertawa mendengarkan ucapannya itu. Kemudian dia mengizinkannya masuk ke syurga.

Berkata Allah, "Mintalah segala yang kamu inginkan." Lalu dia memohon segala yang diinginkannya sehingga ia puas. Kemudian Allah berkata pula, "Mintalah tambahannya ini dan itu." Diingatkan oleh Allah kepadanya berbagai macam keinginannya sampai ia puas. Kata Allah pula, "Semua ini untukmu, dan ada lagi tambahannya sebanyak itu pula." (Hadis Sahih Bukhari)

Wednesday, December 7, 2011

Kepentingan Ilmu

Rabu, 11 Muharram 1433H: Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”(H. Riwayat at-Tirmidzi)

Keterangan Hadis:

1. Ilmu pengetahuan menurut Islam sama ada yang berunsur keduniaan mahupun keakhiratan adalah bersifat sepadu (integrated) dan saling berhubung di antara satu sama lain.

2. Berasaskan pegangan inilah maka kehidupan dunia akan dapat dijadikan persediaan untuk kehidupan di akhirat.

3. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu naqliyah yang berteraskan wahyu seperti aqidah, syariah dan akhlak dan ilmu aqliyah iaitu ilmu yang pada zahirnya dipandu oleh akal bagi memperolehi kejayaan dan kemajuan duniawi. Kedua-dua jenis ilmu ini bersepadu bagi mencapai satu matlamat iaitu keredhaan Allah SWT.

4. Islam menggalakkan umatnya memiliki seberapa banyak ilmu dalam usaha mencari kehidupan yang baik dan sempurna disamping memajukan masyarakat menurut lunas-lunas yang dibenarkan oleh Islam.

Tuesday, December 6, 2011

Sejarah Puasa Assyura

Selasa, 10 Muharram 1433H:Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Hari 'Asyura merupakan hari yang kesepuluh daripada bulan Muharram. Rasulullah saw. telah menggalakkan umat Islam agar berpuasa pada hari terseut kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri di samping kelebihan bulan Muharram itu sendiri.

2. 10 Muharram juga telah mencatatkan beberapa peristiwa penting untuk renungan kita bersama sepertimana yang dicatatkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub ialah bahawa pada tarikh tersebut:

(1) Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
(2) Diterima taubat Nabi Adam a.s.
(3) Dicipta Adam a.s.
(4) Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
(5) Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
(6) Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
(7) Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
(8) Selamatnya Musa dan pengikutnya.
(9) Lemasnya Firaun.
(10) Dilahirkan Nabi Isa a.s.
(11) Diangkat Nabi Isa ke langit.
(12) Diangkat Nabi Idris ke langit.
(13) Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
(14) Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
(15) Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
(16) Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
(17) Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
(18) Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
(19) Hujan yang pertama turun dari langit ke bumi.

Monday, December 5, 2011

Puasa Sunat 9 & 10 Muharram

Isnin, 9 Muharram 1433H: Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah saw. bersabda, maksudnya: "Berpuasalah kamu pada hari `Asyura' dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya." (HR Ahmad)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)

Pengajaran Hadis:

1. Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)

2. Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a' (9 Muharram) itu adalah untuk :


i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura' (10 Muharram) sahaja.

ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura' kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.

iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura' dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah s.a.w berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat.

Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura'. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura' tanpa berpuasa pada hari Tasu`a', supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla' disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram

Friday, December 2, 2011

Manfaatkan Masa-masa Aman

Jumaat,6 Muharram 1433H: Dari Ma’qil bin Yasar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Beribadat di masa-masa sulit sama dengan hijrah kepadaku.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Peluang untuk melaksanakan ibadah adalah amat luas untuk kita selaku umat Islam khususnya yang menetap di bumi Malaysia yang aman dan merdeka ini.

2. Terdapat juga mereka yang tidak mensyukurinya, sama ada kerana mereka tidak menyedarinya ataupun mereka memang tidak mahu mengambil peluang untuk menggunakan masa aman untuk membuat ibadat sebanyak-banyaknya.

3. Ada yang tidak mengerjakan ibadah solat tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, sedangkan masjid-masjid begitu banyak dan tersergam indah. Ada juga yang sengaja tidak berpuasa, tidak membayar zakat dan sebagainya.

4. Ketahuilah keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang dikurniakan Allah cukup banyak. Kita dilahirkan di tempat yang dilimpahkan dengan hasil bumi yang pelbagai, jauh daripada kebuluran, jauh daripada ketakutan akibat peperangan dan sebagainya. Kita aman untuk beribadah. Aman daripada diganggu. Bahkan dengan kesempatan ini sebanyak mungkin kita boleh melakukan amal kebajikan untuk menaikkan kesucian Islam.

5. Allah SWT menjanjikan keberkatan dan rahmat-Nya akan berlanjutan selagi kita mensyukuri nikmatnya dangan memperbanyakkan ibadat kepadaNya.

Thursday, December 1, 2011

Sebaik-baik Orang Yang Berhijrah

Khamis, 5 Muharram 1433H: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:” Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (HR al-Bukhari)

Keterangan Hadis:

1. Hijrah mengandungi hikmah yang besar sekali peranannya dalam pembangunan ummah. Suatu kumpulan masyarakat tidak akan menjadi baik jika setiap individu yang ada di dalamnya telah rosak akidah dan rosak akhlaknya kerana kumpulan masyarakat itu bergantung kepada individu itu sendiri.

2. Oleh itu hijrah amat ditekankan di dalam al-Quran dan disebutkan sebanyak lebih 28kali di dalam berbagai bentuk dan makna.

3. Dengan hijrah, hati, perkataan dan perbuatan kita akan menjadi bersih dari segala maksiat, dosa dan syirik seperti kisah khalifah Umar bin al-Khathab r.a yang menarik untuk kita renungkan bahawa beliau sebelum memeluk Islam dikenali dengan julukan “penghulu para pelaku kejahatan”, namun setelah berhijrah, beliau menjadi pemimpin yang disegani, tawaddhu’ dan suka menolong orang miskin, menjadi tonggak bagi berkembangnya agama Islam.

4. Hakikatnya hijrah sangatlah berat, kerana di samping harus memiliki kesabaran, kita juga dituntut memiliki keteguhan aqidah dan keyakinan agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu dan godaan dari kenikmatan dunia yang fana.