Monday, January 30, 2012

Aurat - Hadis Muslim

Isnin, 6 Rabiulawal 1433H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya: Rasulullah saw. bersabda: "Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki, dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa busana, dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perempuan dalam satu selimut tanpa busana."Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0289.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. (1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. (2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2004.

Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya Nabi saw. bersabda: "Jangan tidur telentang dengan meletakkan kaki yang sebelah ke atas yang lain (tanpa pakaian dalam sehingga aurat terbuka)."Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1987.

Dari Sahal bin Sa'id r.a., katanya: "Aku melihat beberapa orang lelaki solat di belakang Nabi saw. dengan hanya mengikatkan kain mereka dileher seperti anak-anak, kerana kain mereka sempit, lalu Nabi saw. bersabda: "Hai, kaum wanita! Janganlah anda mengangkat kepala lebih dahulu daripada pria! (Maksudnya supaya mereka tidak terlihat kepada aurat lelaki).Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0393.

Dari Jabir r.a. katanya: "Rasulullah saw. melarang makan dengan tangan kiri, berjalan dengan terompah sebelah, berpakaian seperti karung (tanpa tangan dan tanpa baju dalam), dan duduk mencangkung (duduk dengan meninggikan lutut) dengan pakaian selapis (tanpa celana dalam) sehingga aurat terbuka." Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1986.

Friday, January 27, 2012

Peristiwa Hari Jumaat

Jumaat, 3 Rabiulawal 1433H ; Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu hari di hari Jumaat, seorang lelaki masuk ke masjid dari sebuah pintu di sebelah Darul Qadha. Orang itu langsung berhadapan dengan Rasulullah yang sedang berkhutbah, lalu dia berkata: Ya, Rasulullah! Telah musnah segala harta benda dan penghidupan menjadi sulit. Kerana itu mohonlah kepada Allah, semoga Dia menurunkan hujan bagi kita. Rasulullah saw. mengangkat kedua tangannya, lalu beliau mendoa: "Allahumma aghitsna! Allahumma aghitsna! Allahumma aghitsna"

Kata Anas, "Demi Allah! Ketika itu tidak sedikit juga terlihat oleh kami awan atau mendung di langit, atau di sekitar antara tempat kami dengan pegunungan, selain rumah-rumah dan perkampungan. Tetapi tidak berapa lama kemudian, kelihatan lah awan tebal muncul dari balik gunung bagaikan perisai. Ketika awan itu sampai di tengah langit, dia berkembang luas dan kemudian turunlah hujan." Kata Anas selanjutnya, "Demi Allah! Semenjak itu kami tidak melihat matahari selama seminggu.

Jumaat berikutnya, seorang lelaki masuk pula ke masjid dari pintu yang sama, dan langsung menuju kepada Rasulullah saw. yang sedang berkhutbah. Lelaki itu berkata, "Telah musnah segala harta benda, dan terputus semua jalan (perhubungan). Kerana itu mohonlah kepada Allah, semoga Dia berkenan menghentikan hujan turun di atas kita." Rasulullah mengangkat kedua tangannya, lalu beliau mendoa: 'Allahumma hawlana wala 'alaina. Allahumma 'alal akami wazh zhirabi wa buthunil awdiyati wa manabitisy syajari." Maka redalah hujan, dan semenjak itu kami dapat keluar dan berjalan di bawah cahaya matahari. Tanya Syuraik, "Apakah lelaki itu orang yang menghadap Rasulullah saw. pada hari Jumaat yang lalu juga?" Jawab Anas, "Itu aku tidak tahu." Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0851.

Thursday, January 26, 2012

Adab Buang Air

Khamis, 2 Rabiul'awal 1433:Dari Salman r.a katanya dia ditanya oleh seseorang:”Bukankah Rasulullah SAW telah mengajarkan kepada kamu segala-galanya hingga masalah buang air juga?” Jawabnya,”Benar! Beliau melarang kita mengadap kiblat ketika buang air besar atau kecil. Beliau juga melarang beristinja’ dengan tangan kanan, beristinja’ kurang dari tiga biji batu dan istinja’ dengan kotoran ternak yang telah keras atau dengan tulang.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Buang air adalah suatu kebiasaan yang selalu dilakukan setiap hari. Disebabkan oleh kebiasaan itulah seringkali kita kurang memperhatikan adab-adab dalam melakukannya.

2. Dalam Islam terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan:
a. Tidak membawa barang yang tertulis nama Allah, kitab al-Quran atau sebahagian dari ayat-ayatnya..
b. Membaca do'a sewaktu hendak memasuki tandas dan apabila keluar dari tandas.
c. Mendahulukan kaki kiri ketika masuk dan mendahulukan kaki kanan ketika keluar.
d. Tidak mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya sebagai menghormati Kaabah..
e. Mengelak membuang air di dalam lubang yang terdapat haiwan di dalamnya.
f. Mengelak dari tempat orang berteduh/bernaung, di jalanan atau tempat laluan manusia.
g. Tidak buang air kecil atau besar di dalam air yang tergenang atau air mengalir yang biasa digunakan manusia untuk bersuci.
h. Tidak mencuci kotoran dengan tangan kanan yang menyentuh kotoran untuk menjaga kebersihan.
i. Dilarang bercakap ketika qada' hajat, tidak boleh memberi salam, menjawab salam dan berzikir secara lisan.

3. Istinjak bermaksud bersuci sesudah buang air besar mahupun air kecil iaitu membersihkan air kecil mahupun besar dari badan dengan air dan jika tidak ada air bolehlah beristinja’ dengan batu atau benda-benda lain yang meresap.

Friday, January 20, 2012

Solat Tahiyatul Masjid

Jumaat, 26 Safar 1433: Daripada Ibn Masud r.a katanya, “ Aku bersembahyang tahajud bersama Nabi s.a.w, baginda telah memanjangkan berdirinya sehingga aku hampir melakukan perkara yang tidak baik”. Ibn Mas`ud ditanya, “ apakah gerangan yang hendak engkau lakukan?” jawabnya, “aku hendak duduk mufarraqah daripadanya”. (HR al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Setiap muslim adalah digalakkan sembahyang berjemaah, begitu juga di antara beberapa sembahyang sunat adalah digalakkan supaya dilakukan secara berjamaah seperti tahajud, gerhana matahari, terawikh dan lain-lain lagi.

2. untuk memperolehi rahmat yang besar dan keredaan yang lebih dari Allah perlulah seseorang itu menguatkan azamnya di dalam mengerjakan amal ibadat.

Thursday, January 12, 2012

Menjauhi makanan yang haram

Khamis,18 Safar 1433H:Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Setiap jasad yang membesar daripada benda-benda yang haram maka api nerakalah yang layak baginya.”(HR al-Baihaqi dan Abu Nuim)

Keterangan Hadis:

1. Harta-harta yang berkat itu adalah harta yang halal dan baik, kerana sesuatu yang diambil dari yang tidak halal dan tidak baik tidak mungkin mampu mendorong seseorang kepada melakukan kebaikan sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.

2. Setiap daging yang timbul atau dihasilkan dari sesuatu yang haram maka nerakalah tempatnya.

3. Pengertian halal yang harus difahami daripada hadith di atas adalah mencakupi aspek-aspek berikut:

a) Halal wujudnya, iaitu apa saja yang tidak dilarang oleh agama Islam, seperti makanan dan minuman yang tidak diharamkan oleh syariat Islam.
b) Halal cara mengambil atau memperolehinya, iaitu cara mengambil atau cara memperoleh yang tidak dilarang oleh syariat Islam seperti harta yang diperoleh dari pekerjaan yang halal menurut pandangan syariat Islam.
c) Halal karena tidak bercampur dengan hak milik orang lain, kerana sudah keluarkan zakatnya. Jika sebaliknya (haram) jika ia berupa bahan makanan dan dimakan oleh seseorang maka pengaruhnya sangat buruk terhadap perkembangan rohani dan jasmani seseorang.

Wednesday, January 11, 2012

Nasihat Untuk Pendakwah

Rabu, 17 Safar 1433H:Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa ia pernah mendengar Nabi SAW bersabda “Pada hari kiamat kelak seseorang itu akan dicampakkan ke dalam neraka, maka keluarlah ususnya dan dia berputar-putar seperti seekor keldai mengelilingi batu kisaran. Para penghuni neraka lainnya pun menghampirinya dan bertanya:”Wahai saudara, mengapa ini semua terjadi? Bukankah saudara adalah orang yang pernah menyuruh kepada-perkara makruf (kebaikan) dan mencegah perkara-perkara yang mungkar (kejahatan)?” Maka ia menjawab:”Benar, akulah yang pernah menyuruh kamu berbuat makruf dan melarang kamu berbuat kemungkaran, tetapi aku sendiri yang melanggarnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Dalam usaha membina individu dan mendidik masyarakat, Islam amat mementingkan ketinggian akhlak seperti benar dalam percakapan dan tindakan, penuh rasa tanggungjawab (amanah), menepati janji, toleransi, pemaaf, penyantun dan sebagainya.

2. Seorang pendakwah itu hendaklah mendahulukan contoh perbuatannya daripada ucapannya kerana dakwah melalui perangai atau akhlak yang baik (qudwah hasanah) merupakan media yang paling efektif kepada masyarakat yang akan menjadikannya sebagai contoh (idola) untuk diikuti.

3. Sesungguhnya orang yang pernah menyuruh orang lain berbuat baik sementara dirinya sendiri melanggarnya adalah orang yang bakal menempuh siksaan yang amat berat di hari akhirat kelak. Keadaanya samalah seperti ‘ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus ‘. Oleh itu hiasilah diri dengan akhlak yang terpuji, penampilan yang baik, etika pergaulan yang bersopan dan sifat-sifat mulia yang lain supaya tidak tergolong di kalangan orang-orang yang ‘cakap tak serupa bikin’!.

Tuesday, January 10, 2012

Anak Yatim

Selasa,16 Safar 1433H: Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang ada anak yatim yang diasuh dengan baik dan sejahat-jahat rumah kaum muslimin adalah rumah yang ada anak yatim yang selalu diganggu dan disakiti hatinya.” (HR Ibnu Majah)

Keterangan Hadis:

i) Penghormatan dan bantuan kepada anak yatim mestilah dijaga terutama mereka yang terdiri daripada keluarga yang susah kerana anak yatim begitu memerlukan perhatian yang sewajarnya dalam meneruskan kehidupan sebagaimana yang dirasai oleh anak-anak yang lain. Mereka begitu rindukan belaian kasih sayang dan juga keprihatinan semua pihak agar mereka turut gembira.

ii) Rasulullah s.a.w juga merupakan anak yatim di mana bapanya Abdullah meninggal ketika umurnya 2 bulan dalam kandungan. Manakala ibunya Aminah pula meninggal ketika baginda baru berumur 6 tahun iaitu ketika usia seseorang itu dahagakan kasih sayang seorang ibu. Datuknya Abdul Muttalib turut meninggalkan baginda ketika usia baginda 8tahun.

iii) Allah turut menyebut bagaimana keadaan nabi dan bagaimana pula Allah membantu baginda sehingga menjadi pemimpin yang teragung.

Firman Allah dalam ayat 6 - 11 surah ad-Duha yang bermaksud :”Bukankah Dia yakni Allah mendapati engkau wahai Muhammad yatim piatu lalu Dia memberikan perlindungan. Di dapatiNya engkau mencari-cari jalan kebenaran lalu Dia memberikan petunjuk. Didapati-Nya engkau miskin lalu Dia memberikan kekayaan. Oleh itu, janganlah engkau mengasari anak yatim. Jangan engkau menengking orang yang meminta pertolongan. Maka hendaklah engkau menyebut-nyebut nikmat Tuhanmu sebagai tanda syukur kepadaNya.”

iv) Islam melarang umatnya daripada mengkhianati dan menghina anak yatim. Tetapi hendaklah memastikan agar hak mereka dalam memiliki harta, ilmu dan kasih sayang sentiasa terjaga. Pastikan mereka lahir sebagai anak yang soleh yang mampu membantu ibu atau bapa mereka yang telah meninggal dunia kerana sesungguhnya membiarkan mereka bererti kita telah mengkhianati agama dan menghina mereka bererti kita turut membenci Rasulullah s.a.w yang juga merupakan anak yatim piatu. Oleh itu bimbinglah mereka ke jalan yang diredhai Allah dan jauhilah mereka daripada jalan kesesatan. Allah telah memberi amaran melalui firman-Nya dalam ayat 1-2 surah al-Ma'un yang bermaksud : “Tahukah engkau tentang orang yang mendustakan agama. Dia ialah orang yang menindas serta berlaku zalim terhadap anak yatim !”

Monday, January 9, 2012

Kelebihan Hari Isnin

Isnin, 15 Safar 1433H:Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: "Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku".(HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1) Merayakan maulid rasul termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW dan sesiapa yang meraikannya diberikan pahala oleh Allah SWT. Begitu juga menyambut hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Maal Hijrah, Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa dan Haji, Nisfu Syaaban dan sebagainya.

2) Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 32 yang maksudnya : "..dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah"

3) Mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah SWT berfirman yang maksudnya "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya." (Al-Ahzab:56)

4) Umat Islam juga disunatkan berpuasa pada hari Isnin kerana ia merupakan amalan yang selalu dilakukan oleh Rasulullah SAW.

5) Pada hari Isnin juga wahyu pertama di turunkan kepada Rasulullah SAW. Bermula dari hari itu Rasulullah terus menerima wahyu hingga sempura ALQuran untuk panduan kepada kehidupan kita dunia dan akhirat.Kita diwajib membaca AlQuran dan mengamalkan semua yang terdapat didalamnya.

Friday, January 6, 2012

Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat

Jumaat, 12 Safar 1433H : Dari Abdullah bin Umar dan Abu Hurairah r.a keduanya menceritakan bahawa mereka mendengar daripada Rasulullah s.a.w, ketika baginda sedang berkhutbah di atas mimbar, sabdanya:”Hendaklah orang-orang yang suka meninggalkan Jumaat menghentikan perbuatan mereka itu, atau adakah mereka mahu Allah membutakan hati mereka dan sesudah itu mereka betul-betul menjadi orang yang lalai?” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Meninggalkan solat Jumaat merupakan perbuatan yang ditegah kerana solat jumaat hukumnya adalah fardhu ain ke atas setiap individu muslim. Orang yang meringan-ringankan hukum Allah ini akan mengundang kemurkaan-Nya dan mereka bakal menerima balasan yang setimpal dengan dosa yang dilakukan.

2. Orang yang enggan mentaati suruhan Allah pintu hatinya lama-kelamaan akan tertutup daripada mendapat hidayah menjadikan mereka semakin sesat dan tanpa segan terus melakukan dosa-dosa yang lain.

3. Sesungguhnya orang yang dibenarkan meninggalkan solat Jumaat hanyalah mereka yang menghadapi kesukaran yang mencapai darjah keuzuran syar'i sepertimana yang berlaku kepada orang sakit dan orang musafir. Oleh itu sekiranya seseorang itu tiada sebarang alasan yang munasabah di sisi syarak untuk meninggalkan solat Jumaat, maka hendaklah mereka mengerjakannya kerana solat Jumaat selain dariapada suatu kewajiban dalam beribadat kepada Allah S.W.T ia juga merupakan suatu syiar Islam yang wajib dipelihara demi menjaga kesucian agama

Tuesday, January 3, 2012

Tawadduk

Selasa, 9 Safar 1433H: Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.(HR Muslim)

Keterangan Hadis:


1. Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

2. Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

3. Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.