Friday, March 30, 2012

Kutukan Allah Kepada Orang Munafik

Jumaat, 7 Jamadilawal 1433H; Dari Abu Mas'ud r.a., katanya: "Kami diperintahkan Rasulullah saw. supaya bersedekah, sedangkan kami hanya sebagai pekerja kasar, atau kuli.

Namun Abu 'Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lain-lain mengikutinya dengan menyedekahkan apa saja, namun lebih banyak dari itu.

Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata: Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak membutuhkan sedekah ini dan itu. Dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riak semata-mata."

Kerana ucapan mereka itu, maka turunlah ayat:, "(Orang-orang munafik, yaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu dengan seksa yang pedih. " (At-Taubah : 79).

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0975.

Thursday, March 29, 2012

Diseksa Didalam Kubur

Khamis, 6 Jamadilawal 1433H: Ibnu Abbas r.a. menceritakan: "Nabi saw. berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh beliau suara dua orang sedang diseksa dalam kuburnya.

Maka berkata Nabi saw., "Keduanya diseksa bukanlah kerana dosa besar."

Kemudian Nabi melanjutkan perkataannya, "Yang seorang diseksa kerana kencing di tempat terbuka, dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan."

Sesudah itu Nabi menyuruh ambil sebuah pelepah tamar, lalu dipatah dua oleh beliau, dan diletakkannya di atas kedua kuburan itu masing-masing sepotong.

Seseorang bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda lakukan itu?"

Jawab Nabi, "Mudah-mudahan keduanya mendapat keringanan, selama pelepah tamar itu tidak kering."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0149.

Wednesday, March 28, 2012

Rezeki Halal & Doa

Rabu, 5 Jamadilawal 1433H : Dari Abu Hurairah r.a., katanya "Rasulullah saw. bersabda : "Hai, manusia! Sesungguhnya Allah itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik pula. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan kepada orang-orang mukmin seperti yang diperintahkan-Nya kepada para Rasul.

Firman-Nya: "Wahai, para Rasul! Makanlah makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al Mukminun : 51)

"Wahai, orang-orang yang beriman! Makanlah rezeki yang baik-baik yang telah kami rezekikan kepadamu.. " (Al Baqarah : 172)

Kemudian Nabi saw. menceritakan tentang seorang lelaki yang telah lama berjalan kerana jauhnya perjalanan yang ditempuhnya. Sehingga rambutnya kusut masai dan berdebu. Orang itu menadahkan tangannya ke langit seraya mendoa: "Wahai, Tuhan ku! Wahai, Tuhanku!" Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram, dan dia diasuh dengan makanan yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0971.

Tuesday, March 27, 2012

Syafaat Rasulullah SAW

Selasa, 4 Jamadilawal 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu hari dibawa orang kepada Rasulullah saw. masakan daging kesukaan beliau, lalu dimakannya. Sesudah makan beliau bersabda, "Aku adalah pemimpin umat manusia di hari kiamat. Tahukah anda, mengapa Allah mengumpulkan semua umat sejak yang pertama-tama sampai yang terakhir di dalam satu lapangan?

Di sana diperdengarkan kepada mereka teriak orang memanggil-manggil, yang menyebabkan segala pemandangan tertuju kepada mereka; matahari dekat sekali kepada mereka, sehingga mereka keluh-kesah kerana tak sanggup menanggung derita. Mereka berkata sesamanya, "Tidakkah kamu fikirkan derita yang kamu alami, mengapa tidak kamu cari orang yang dapat membelamu di hadapan Tuhanmu?"

Berkata yang lain, "Datanglah kepada Adam!" Mereka pergi kepada Adam, lalu kata mereka, "Wahai, Adam! Anda adalah Bapa manusia yang diciptakan Allah dengan tangan-Nya sendiri. Kemudian ditiupkan-Nya ruhNya di tubuh Anda, dan diperintahkan-Nya malaikat supaya sujud kepada Anda, lalu mereka sujud. Belalah kami di hadapan Tuhan mu. Bukankah Anda telah menyaksikan bagaimana pedihnya penderitaan yang kami alami ini."

Jawab Adam, "Sesungguhnya pada hari ini Tuhan sangat marah kepada ku. Tidak pernah Dia marah semarah ini. Dia melarang ku mendekati sebatang pohon, tetapi aku mendurhakai-Nya. Wahai, aku salah! Aku salah! Kerana itu pergilah kepada yang lain. Pergilah kepada Nuh!" Mereka pergi kepada Nuh, seraya berkata, "Anda adalah Rasul yang pertama-tama dikirim ke bumi. Dan Allah menjuluki anda dengan 'Abdan Syakuran' (hamba yang bersyukur). Belalah kami di hadapan Tuhan anda. Bukankah anda telah melihat bagaimana pedihnya derita kami?"

Jawab Nuh kepada mereka, "Sesungguhnya Tuhan ku sangat marah hari ini. Tidak pernah Dia semarah ini sebelum dan sesudahnya. Aku memikul tugas memanggil umat ku (ke dalam agama Allah). Tetapi apalah daya ku, aku berdoa agar umat ku dimusnahkan. Kerana itu pergilah kepada Ibrahim a.s.!" Kerana itu mereka datang kepada Ibrahim, lalu berkata, "Anda adalah 'Nabiyullah wa Khaliluhu' (Nabi Allah dan kekasih-Nya) dari penduduk bumi. Kerana itu belalah kami di hadapan Tuhan Anda. Bukankah anda telah melihat penderitaan kami sudah sampai di puncaknya?"

Ibrahim menjawab kepada mereka, "Sesungguhnya Tuhan ku sangat marah pada ku hari ini. Tidak pernah Dia semarah ini sebelum dan sesudahnya." Lalu dia menyebutkan beberapa kebohongannya dan sesudah itu dia berkata, "Wahai, malang diri ku! Malang diri ku! pergilah kamu sekalian kepada Musa a.s.!" Mereka pun pergi mendatangi Musa a.s. dan berkata kepadanya, "Hai, Musa! Anda adalah Rasulullah wa Kalimatuhu (Rasul Allah dan kawan-Nya berbicara). Belalah kami di hadapan Tuhan mu. Bukankah anda telah menyaksikan derita kami sudah sampai dipuncaknya?"

Jawab Musa a.s., "Sesungguhnya Tuhan ku sedang marah hari ini. Belum pernah Dia semarah ini sebelum dan sesudahnya. Aku pernah membunuh orang yang tidak diperintahkan membunuhnya. Wahai, malang kiranya aku, malang kiranya aku! Kerana itu temuilah 'Isa a.s." Mereka pergi kepada 'Isa lalu berkata, "Hai, 'Isa! Anda adalah Rasulullah. Dan Anda sanggup berbicara dengan manusia selagi Anda masih dalam ayunan. Dan Anda Kalimah Allah yang ditujukan-Nya kepada Maryam serta setiup ruh daripada-Nya. Belalah kami di hadapan Tuhan anda. Bukankah anda telah melihat penderitaan kami sudah sampai di puncaknya?"

Jawab 'Isa kepada mereka, "Sesungguhnya Tuhan ku sedang marah hari ini. Tidak pernah Dia semarah ini sebelum dan sesudahnya." Tetapi 'Isa tidak menyebutkan dosanya. Dia berkata, "Wahai, malang kiranya aku. Kerana itu pergilah kepada yang lain. Pergilah kepada Muhammad saw."

Lantas mereka datang kepada ku, lalu berkata, "Ya, Muhammad! Anda adalah Rasulullah dan penutup segala Nabi. Allah telah mengampuni dosa anda yang lama dan yang baru. Kerana itu belalah kami di hadapan Tuhan anda.Bukankah anda telah melihat penderitaan kami sudah sampai di puncaknya?"Mendengar permintaan mereka itu, maka aku pergi sehingga tiba di bawah 'Arasy. Di sana aku sujud kepada Tuhan ku. Lalu Allah membukakan hijab bagi ku serta mengilhamkan kepada ku kalimah-kalimah pujian dan sanjungan-sanjungan yang indah terhadap-Nya, yang belum pernah diajarkan-Nya kepada orang lain sebelum ku.

Kemudian Allah berfirman, "Ya, Muhammad! Angkatlah kepalamu! Mintalah! Permintaanmu akan dikabulkan. Belalah! Pembelaanmu akan diterima." Maka ku angkat kepala ku seraya berkata, "Wahai, Tuhan ku! Umat ku! Umat ku!" Lalu difirmankan Allah kepada ku, "Ya, Muhammad! Masukkanlah ke syurga umatmu yang tidak perlu lagi dihisab (diadili), melalui pintu-pintu sebelah kanan, sedangkan yang lain, secara bersama-sama dari pintu-pintu yang lain." Demi Allah, yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya jarak antara dua daun pintu dari pintu-pintu syurga itu adalah kira-kira sejauh antara Mekah dengan Hajar atau antara Mekah dengan Bushra." Hadis Sahih Muslim Jilid 1.Hadis Nombor 0155.

Friday, March 23, 2012

Taat

Jumaat,30 Rabiulakhir 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw., sabdanya: "Siapa yang taat kepada ku bererti dia taat kepada Allah. Siapa yang durhaka kepada ku bererti dia durhaka kepada Allah.

Siapa yang taat kepada Amirku (pegawai yang ku lantik) bererti dia taat kepada ku. Siapa yang durhaka kepada pegawai yang ku lantik bererti dia durhaka kepada ku."(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1802.

Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu."

Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1821.)

Thursday, March 22, 2012

Kenikmatan Di Akhirat

Khamis, 29 Rabiulakhir 1433H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kelak di akhirat, penduduk neraka yang hidup serba nikmat di dunia, dia akan dibenamkan ke dalam api kemudian di tanya, "Hai anak Adam! Adakah kamu menerima kebaikan dan merasa kenikmatan?" Jawabnya, "Tidak, demi Allah, ya Tuhan!"


Kemudian dihadapkan pula penduduk syurga yang hidup di dunia serba susah. Dia dimasukkan ke syurga kemudian ditanya, "Adakah kamu mengalami kesengsaraan dan merasai kesusahan?" Jawabnya, "Tidak, demi Allah, ya Tuhan! Aku tidak mengalami sengsara dan tidak merasa susah." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2402.)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda bahawa Allah Ta'ala telah berfirman: "Ku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh segala kenikmatan yang belum pernah dilihat mata, belum pernah didengar telinga, bahkan belum pernah tergambar dalam hati sanubari manusia.


Sesuai dengan firman Allah Ta'ala di dalam Kitab-Nya yang mulia, "Tidak seorang pun yang mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka (iaitu segala macam kenikmatan) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan. " (As Sajdah, 32: 17) ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2419.)

Tuesday, March 20, 2012

Doa dan Amal Soleh

Selasa, 27 Rabiulakhir 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari Rasulullah saw.. sabdanya : "Pada suatu ketika, ada tiga orang sedang dalam perjalanan, tiba-tiba mereka ditimpa hujan lebat. Kerana itu mereka masuk ke dalam gua sebuah bukit. Tiba-tiba dari puncak bukit jatuh sebuah batu besar menutup rapat pintu gua itu sehingga mereka terkurung di dalam (tidak dapat keluar).

Maka berkata mereka sesamanya, "Marilah kita ingat-ingat amal soleh yang pernah kita lakukan kerana mencari redha Allah. Mendoalah kepada Allah Ta'ala mudah-mudahan kerana amal soleh kita itu Allah membukakan pintu bagi kita.

Maka mendoalah orang pertama: "Wahai Allah! Aku mempunyai ibu bapa yang keduanya sudah tua, seorang isteri dan beberapa anak yang masih kecil-kecil yang kesemuanya menjadi tanggungan ku. Bila aku pulang dari gembala ku perah susu untuk mereka dan yang pertama-tama ku beri minum ialah ibu bapa ku yang sudah tua itu, setelah itu baru anak-anak ku. Pada suatu hari aku terlambat pulang dari mencari kayu api. Sampai di rumah hari sudah petang dan ku dapati kedua orang tua ku sudah tidur. Seperti biasa lebih dahulu ku perah susu lalu ku bawa untuk orang tua ku. Aku berdiri dekat kepala beliau-beliau dan tak sampai hati membangunkan keduanya dari tidur mereka yang lelap. Dan aku tidak mahu memberikan susu itu kepada ahak-anak ku sebelum kedua orang tua ku meminumnya lebih dahulu. Padahal anak-anak ku yang masih kecil-kecil itu menangis di kaki ku minta susu. Demikianlah, aku dan anak isteri ku sentiasa dalam keadaan demikian sampai terbit fajar (menunggu kedua orang tua ku bangun). Wahai Allah! Engkau tahu bahawa aku berbuat demikian kerana mencari keredhaan Engkau. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami supaya kami dapat melihat langit." Lalu dibukakan Allah pintu gua itu sedikit sehingga mereka dapat melihat langit.

Kemudian mendoa orang kedua: "Wahai Allah! Aku mempunyai seorang pakcik dan pakcik ku itu mempunyai seorang anak gadis. Aku sangat mencintai anak gadis pakcik ku seperti lazimnya cinta seorang pemuda kepada seorang dara. Lalu ku minta dia menjadi isteri ku, tetapi dia menolak permintaan ku sebelum aku menyerahkan kepadanya seratus dinar. Maka dengan susah payah aku kumpulkan wang seratus dinar, lalu ku berikan kepadanya. Ketika aku hendak menyetubuhinya dia berkata kepada ku, "Hai, Abdullah! Takutlah kepada Allah! Jangan engkau buka cincin (kegadisan) melainkan dengan cara yang sah (nikah)," Mendengar kata-katanya itu aku langsung berdiri dan pergi meninggalkannya. Wahai Allah! Engkau tentu tahu aku melakukan yang demikian itu kerana menghendaki redha-Mu. Kerana itu tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami." Maka terbukalah pintu gua sedikit.

Kemudian orang ketiga mendoa pula: "Aku pernah mengupah seseorang membuat peti tempat padi. Ketika pekerjaannya sudah selesai, dia minta upahnya kepada ku. Lalu ku berikan kepadanya semacam padi. Tetapi dia menolak menerimanya. Namun begitu, padi untuk upahnya itu ku tanam untuknya, dan hasilnya ku kumpulkan, kemudian ku belikan sapi dan ku gembalakan. Kemudian dia datang kembali kepada ku, lalu katanya: Takutlah kamu kepada Allah! Jangan mengambil hak ku!" Jawab ku, "Pergilah ke padang rumput tempat gembala sapi-sapi itu, lalu ambillah sapi-sapi itu semuanya!" Kata orang itu, "Takutlah kepada Allah, dan jangan memperolokkan ku!" Jawab ku, "Aku tidak memperolokkan mu! Ambillah sapi-sapi itu semuanya dan gembalakanlah untukmu!" Lalu diambilnya sapi itu kemudian dia pergi. "Wahai, Allah! Tentu engkau tahu aku berbuat demikian kerana mencari keredhaan Mu juga. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami." Maka terbukalah pintu gua seluruhnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2361.

Wednesday, March 14, 2012

Tunaikan Hak, Jangan Berlebihan

Rabu, 21 Rabiulakhir 1433H: Dari Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda kepadanya: "Wahai Abdullah! Benarkah khabar orang kepada ku, bahawa engkau puasa sepanjang siang dan bangun untuk solat sepanjang malam?"

Jawab ku, "Benar, ya, Rasulullah!"

Sabda Nabi saw., "Janganlah engkau lakukan lagi. Puasalah sehari dan berbukalah sehari. Bangunlah dan tidurlah! Sesungguhnya tubuhmu mempunyai hak atasmu; matamu mempunyai hak atasmu; isteri mu mempunyai hak atasmu; dan tamumu mempunyai hak atasmu. Dan sesungguhnya cukuplah kiranya jika engkau puasa tiap-tiap bulan tiga hari. Maka untuk setiap kebaikanmu akan dibalas sepuluh kali lipat. Sesungguhnya yang demikian itu sama dengan puasa sepanjang masa." Kerana aku minta diperbanyak, maka diperbanyak untukku.

Aku berkata, "Ya, Rasulullah! Sesungguhnya aku sanggup."

Jawab Nabi saw., "Puasalah seperti puasa Nabi Dawud 'Alaihis Salam dan jangan engkau lebihi dari itu."

Tanya ku, "Bagaimana puasa Nabi Dawud a.s"?"

Sabda beliau, "Seperdua masa."

Setelah masa tuanya, Ahdullah berkata, "Wahai kiranya saya terima kelonggaran dari Nabi saw."

(Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0979).

Tuesday, March 13, 2012

Mimpi

Selasa,20 Rabiulakhir 1433H: Dari Samurah bin Jundab r.a. katanya: Rasulullah saw. acapkali menanyakan kepada sahabat-sahabatnya: "Adakah seseorang di antara kamu yang bermimpi?" Lalu orang yang bermimpi itu menceritakan kepada Nabi akan mimpinya.

Pada suatu pagi beliau bercerita, bahawa pada malam tadi beliau bermimpi. Datang dua orang dan mengajak berjalan bersama-sama. Kemudian aku berjalan bersama-sama dengan kedua orang itu. Kami sampai kepada seorang laki-laki yang terbaring dan kebetulan seorang lagi berdiri memegang sebuah batu besar dan menjatuhkan batu besar itu di atas kepala orang yang sedang berbaring. Maka pecahlah kepalanya dan batu itu berguling tidak jauh dari situ. Oleh orang yang menjatuhkan batu tadi dikejarnya batu itu dan diambilnya. Tetapi sebelum dia kembali, kepala orang yang pecah tadi sihat sebagai semula. Lalu diulanginya menjatuhkan batu itu sekali lagi sebagai yang diperbuatnya tadi.

Aku menanyakan kepada keduanya: "Subhanallah! Siapakah kedua orang itu (yang berbaring dan yang berdiri"?" Kata keduanya: "'Berjalan terus!" Lalu kami berjalan dan bertemu dengan seorang laki-laki sedang tidur menelentang dan yang seorang lagi berdiri memegang sebuah senjata dari besi. Dia berdiri dari sebelah laki-laki yang tidur itu, lalu dipotongnya dari rahangnya sampai ke tengkuknya dan dari hidung sampai ke tengkuknya dan dari matanya sampai ke tengkuknya, sehingga putus. Kemudian itu, dia pindah ke sebelah yang lain dan diperbuatnya pula sebagai perbuatannya yang tadi. Tetapi sebelum dia selesai berbuat pada yang sebelah, luka tadi telah sihat kembali sebagai semula. Diulanginya sekali lagi sebagai yang diperbuatnya dahulu.

Aku bertanya: "Subhanallah!" Siapa kedua orang ini?" Jawabnya: "Jalan terus!" Lalu kami berjalan dan sampai kepada suatu bangunan serupa tungku api dan di situ kedengaran suara hiruk pikuk. Lalu kami tengok ke dalam, kebetulan di situ ada beberapa orang laki-laki dan perempuan yang bertelanjang. Dari bawah mereka datang nyala api dan apabila kena nyala api mereka memekik.

Aku bertanya: "Siapakah orang ini?" Jawabnya: "Jalan terus, jalan terus!" Lalu kami berjalan dan bertemu dengan sebuah sungai yang berwarna merah seperti darah. Kebetulan dalam sungai itu ada seorang yang berenang, sedang di tepi sungai ada seorang lagi yang mengumpulkan di dekatnya batu yang banyak. Apabila orang yang berenang itu telah berenang agak seketika, dia datang kepada orang yang mengumpulkan batu, dengan mengangakan mulut lalu dilemparkan batu ke mulut orang yang berenang itu. Kemudian dia berenang dan kembali kepada orang yang mengumpulkan batu dengan mengangakan mulutnya, lalu dilemparkan pula batu ke mulutnya.

Aku bertanya: "Siapakah kedua orang ini?" Jawabnya: "Jalan terus, jalan terus!" Kami terus berjalan dan bertemu dengan seorang laki-laki yang sangat buruk mukanya, lebih buruk dari yang pernah engkau lihat. Dekat orang itu ada api yang dinyalakannya dan dia berlari-lari keliling api itu.

Aku bertanya: "Siapakah orang ini?" Jawabnya: "Jalan terus, jalan terus!" Lalu kami berjalan terus dan bertemu dengan sebuah kebun yang menghijau dan di situ kelihatan cahaya kesuburan. Di tengah kebun itu kelihatan seorang laki-laki yang tinggi, sehingga hampir kepalanya tidak kelihatan kerana tingginya. Di keliling laki-laki itu banyak anak-anak yang belum pernah ku lihat sebanyak itu.

Aku bertanya: "Siapa laki-laki itu dan siapa anak-anak itu?" Jawabnya: "Jalan terus, jalan terus!" Lalu kami berjalan dan bertemu dengan sebuah kebun yang sangat lebar, belum pernah aku melihat kebun yang selebar dan sebagus itu. Dikatakan kepada ku: "Naiklah!" Lalu kami naik dan sampai ke sebuah kota yang bangunannya terbuat dari batu-bata emas dan batu-bata perak. Setelah sampai di pintu gerbang kota, kami suruh buka, lalu dibuka dan kami masuk ke dalamnya. Kami bertemu di situ dengan beberapa orang yang sebahagian tubuhnya amat elok, lebih elok dari apa yang pernah engkau lihat, sedang sebahagian tubuhnya sangat buruk dan lebih buruk dari apa yang pernah engkau lihat. Kedua orang tadi menyuruh mereka pergi dan masuk ke dalam sebuah sungai. Kebetulan sungai itu sangat lebar, airnya mengalir dan berwarna putih bagai air susu. Lalu mereka pergi dan masuk ke dalam sungai. Kemudian mereka kembali kepada kami, sedang rupa yang buruk itu telah hilang dari mereka dan kerananya telah mempunyai rupa yang elok.

Dikatakan kepada ku: "Inilah syurga Aden dan di situ tempat engkau!" Lalu aku melihat ke atas, maka kelihatan lah sebuah istana sebagai awan putih. Kata keduanya kepada ku: "lnilah tempat engkau!" Aku mengatakan kepada keduanya: "Kiranya kamu diberkati Allah! Biarkanlah aku masuk ke dal amnya!" Jawabnya: "Sekarang belum boleh, tetapi engkau pasti masuk ke situ."

Aku mengatakan kepada keduanya: "Sesungguhnya aku telah melihat sejak tadi beberapa keajaiban dan apakah ertinya segala yang ku lihat itu?"

Jawabnya: "Akan kami terangkan kepada engkau erti semuanya." Adapun yang mula-mula engkau temui, iaitu orang yang dipecah kepalanya dengan batu, itulah orang yang mempelajari Quran, kemudian dibuangnya saja (tidak dibacanya) dan dia tidur meninggalkan solat yang wajib.

Orang yang engkau temui dipotong dari rahangnya sampai ke tengkuknya, dari hidungnya sampai ke tengkuknya dan dari matanya sampai ke tengkuknya, itulah orang yang berangkat di pagi hari dari rumahnya dengan mengucapkan perkataan bohong yang sampai tersebar ke segenap penjuru.

Laki-laki dan perempuan bertelanjang yang berada dalam bangunan serupa tungku, Itulah laki-laki dan perempuan, yang berzina.

Orang yang engkau temui berenang dalam sungai dan dilemparkan batu ke dalam mulutnya, Itulah orang yang memak an riba.

Orang yang amat buruk rupanya, berada dekat api yang dinyalakannya dan berlari keliling api, itulah Malik penjaga neraka.

Laki-laki yang tinggi dalam kebun ialah Ibrahim a.s. sedang anak-anak yang di kelilingnya ialah anak-anak yang meninggal di waktu kecil.

Sebahagian orang Islam yang hadir bertanya: "Ya Rasulullah! Juga anak-anak orang musyrik?" Jawab Nabi: "Juga anak-anak orang musyrik ."

Orang-orang yang sebahagian tubuhnya elok dan sebahagian lagi buruk, itulah orang yang mempercampur - baurkan pekerjaan yang baik dengan pekerjaan yang buruk. Kiranya Allah mengampuni dosa mereka!"(Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1855.)

Monday, March 12, 2012

Pertanyaan Didalam Kubur

Isnin,13 Rabiulakhir 1433H:Abu Salamah Yahya bin Khalaf Al Bashari menceritakan kepada kami,Bisr bin Al Mufadhal memberitahukan kepada kami dari Abdur Rahman bin Isyaq dari Said bin Abu Said Al Maqburi dari Abu Hurairah berkata,

Rasulullah bersabda:"apabila mayat dikuburkan (atau beliau bersabda:"Salah satu di antaramu dikuburkan) maka datanglah dua malaikat yang hitam dan biru(matanya).Salah satunya namanya Mungkar dan yang lain Nakir,kedua malaikat itu berkata:

"Apakah yang kamu ucapkan(ketahui) tentang seorang lelaki ini (Muhammad)?"Maka Mayat menjawab sebelum dia mati,Muhammad adalah hamba dan utusan Allah,saya bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya".kedua malaikat berkata:

"Kami telah mengerti bahwanya engkau akan berkata begitu, kemudian diluaskannya ia di dalam kuburnya,lebar dan panjangnya tujuh puluh hasta,di dalam kuburnya diterangi cahaya.Maka diucapkan kepadanya;"Tidurlah".

Mayat berkata:"Saya mahu pulang kepada keluargaku dan memberitahukan (keadaanku)kepadanya." Kedua Malaikat berkata:"Tidurlah".seperti tidurnya pengantin yang ia tidak dibangun-bangunkan,kecuali oleh keluarganya yang merasa senang kepadanya sampai Allah membangunkannya(untuk hari kiamat) dari tempat pembaringannya itu".

Kalau mayat itu orang munafik ia berkata:"Saya mendengar orang-orang berkata;dan saya berkata seperti yang mereka ucapkan,saya tak tahu(Muhammad itu nabi atau tidak)".

Kedua malaikat itu berkata:"saya sudah tahu bahawasanya kamu akan jawab seperti itu." Maka dikatakan kepada bumi:"Jepitlah dia!"Maka bumi menjepitnya maka tulang-tulang rusuknya bercerai berai dan ia terus menerus di dalam siksaan sampai Allah membangunkannya dari tempat siksaannya itu."

Di dalam bab ini ada,hadis yang diriwayatkan dari ALi,Zaid bin Tsabit,Ibnu Abbas,Al Baaraq bin Azib,Abu Ayub,Anas,Jabir,Aisyah,dan Abu Said,kesemuanya mereka telah meriwayatkan dari Nabi saw tentang seksa kubur. Abu Isa berkata:Hadis Abu Hurairah adalah hadis hasan gharib.( Hadis Sunan At-Termizi Jilid 2. Hadis Nombor 1077.)

Friday, March 9, 2012

Sabar

Jumaat, 9 Rabiulakhir 1433H: Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang kaum Ansar meminta (sesuatu) kepada Rasulullah saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian mereka minta lagi, terus diberi oleh beliau, diminta lagi, diberi lagi sehingga habislah apa yang ada pada Rasulullah.

Sabda beliau, "Tidak ada lagi pada ku dan tidak ada pula yang ku simpan. (Ingatlah!) siapa yang ingin terpelihara dari minta-minta, Allah akan memeliharanya, siapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan siapa yang berhati sabar, Allah akan memberinya kesabaran; tiada satu juga pemberian Allah yang diberikanNya kepada seseorang, yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar."( Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0758.)

Thursday, March 8, 2012

Kisah 3 Sahabat Dalam Perang Tabuk

Khamis,16 Rabiulakhir 1433H: Dari Ka'ab bin Malik r.a.. dia menceritakan tentang dirinya ketika dia tertinggal (tidak ikut berperang) dari Rasulullah saw. dalam peperangan Tabuk. Kata Ka'ab bin Malik. "Aku tidak pernah tertinggal dari Rasulullah saw. dalam setiap peperangan yang dipimpin sendiri oleh beliau, kecuali dalam peperangan Tabuk. Selain dari itu, aku memang tertinggal pula dalam peperangan Badar. Tetapi tidak seorang pun dapat disalahkan bila tertinggal ketika itu, kerana Rasulullah saw. pergi dengan maksud hendak mencegat kafilah Quraisy. Namun Allah Ta'ala telah menghadapkan mereka dengan musuh tanpa diduga lebih dahulu. Dan aku telah baiat bersama Rasulullah saw. pada malam Aqabah di mana kami telah bersumpah setia untuk Islam. Dan aku tidak suka seandainya malam Bai'at Aqabah itu ditukar dengan perang Badar. Sekalipun Badar lebih terkenal dari Aqabah di kalangan orang banyak. Cerita mengenai sebabnya aku tertinggal dari Rasulullah saw. dalam perang Tabuk ialah : "Sesungguhnya aku belum pernah sedikit jua pun merasa diri ku lebih kuat dan lebih senang dan keadaan ku ketika tertinggal dalam peperangan itu. Demi Allah, aku belum pernah menyiapkan dua kenderaan kecuali untuk peperangan itu. Rasulullah saw. merencanakan penyerangan pada musim panas yang terik, menempuh perjalanan jauh serta menghadapi jumlah musuh yang banyak. Kerana itu Rasulullah saw. menjelaskan kepada kaum muslimin tugas berat yang bakal mereka hadapi, agar mereka bersiap-siap dengan sungguh-sungguh menghadapi peperangan tersebut dan Rasulullah memberitahukan sasaran yang dituju. Kaum muslimin di bawah pimpinan Rasulullah saw. ketika itu cukup banyak, tetapi tidak ada suatu daftar yang mencatat nama-nama dan jumlah mereka. Kerana itu, bila sewaktu waktu seseorang ingin menghilang (tidak ikut berperang), hal itu boleh saja terjadi. Kerana dia mengira bahawa Rasulullah saw. tidak akan mengetahuinya, selama tidak ada wahyu memberitahu beliau. Rasulullah saw. mengadakan penyerangan dalam peperangan itu dalam musim buah-buahan dan cuaca berawan. Sebenarnya hati ku lebih condong hendak turut berperang. Rasulullah saw. dan kaum muslimin telah siap-siap hendak berangkat. Aku berencana akan berkemas bersama-sama mereka besok pagi. Setelah aku pulang ternyata aku tidak berbuat apa-apa, sambil berkata dalam hati ku, "Aku sanggup menyelesaikannya sewaktu-waktu." Ternyata hal itu berkelanjutan sedemikian rupa, sedangkan orang banyak sungguh-sungguh telah siap. Besok Subuh Rasulullah dan kaum muslimin berangkat pagi-pagi sekali, sedangkan aku belum berkemas juga. Kerana itu aku segera pulang hendak berkemas, tetapi sampai di rumah aku tidak berbuat apa-apa, sehingga pasukan berangkat seluruhnya menuju medan perang. Aku bermaksud hendak menyusul mereka, tetapi apa boleh buat yang demikian tidak ditakdirkan Allah bagi ku. Ketika aku mulai berkemas dan keluar hendak menyusul Rasulullah saw. alangkah sedihnya hati ku, kerana tidak seorang jua pun teman yang kelihatan oleh ku kecuali orang-orang munafik atau orang-orang lemah yang telah dimaafkan Allah Ta'ala tidak ikut berperang. Rasulullah saw. tidak menyebut-nyebut nama ku hingga sampai di Tabuk. Setelah sampai, ketika beliau duduk di tengah-tengah kaum muslimin, barulah beliau menanyakan, "Apa kerja Ka'ab bin Malik?" Seorang lelaki dari Bani Salamah menjawab, "Ya, Rasulullah! Dia terhalang kerana merasa sayang pada selimutnya." Maka berkata Mu'adz bin Jabal, "Jahat sekali ucapan mu itu! Demi Allah, ya Rasulullah! Setahu kami selama ini dia adalah orang baik." Rasulullah saw. diam saja. Beliau melihat samar-samar bayangan seseorang berpakaian putih lalu hilang ditelan fatamorgana. Maka berkata Rasulullah saw., "Engkau Abu Khaitsamah!" Kiranya dia memang Abu Khitsamah Al Anshari yang pernah bersedekah segantang kurma, lalu diejek oleh orang-orang munafik. Cerita Ka'ab bin Malik selanjutnya: "Tatkala aku mendengar berita bahawa Rasulullah saw. telah berangkat dari Tabuk hendak pulang ke Madinah, timbullah rasa takut ku kerana kesalahan ku tidak turut berperang. Oleh sebab itu aku berusaha mencari jalan agar aku terhindar dari kemarahan beliau. Lalu aku minta pendapat-pendapat keluarga ku. Tetapi tatkala aku mendengar bahawa beliau telah tiba, maka hilanglah dari ingatan ku segala fikiran buruk itu. Aku mengerti benar bahawa aku tidak akan lepas sedikit jua pun dari hukuman, walaupun dengan berbagai alasan. Kerana itu aku bertekad hendak mengaku terus terang atas kesalahan ku. Pagi-pagi waktu Subuh, Rasulullah tiba. Seperti biasa, apabila beliau tiba dari suatu perjalanan, beliau langsung ke masjid lalu solat dua rakaat, kemudian duduk di tengah-tengah orang banyak. Maka ketika itu datanglah orang-orang yang tidak turut berperang mengemukakan alasan-alasan (uzur) mereka kepada beliau dan bersumpah kepadanya. Semuanya berjumlah lebih kurang lapan puluh orang. Rasulullah saw. menerima alasan atau sumpah-sumpah mereka yang nampak nyata dan memohonkan ampun bagi mereka. Sedangkan hal-hal yang tersembunyi atau yang mereka rahsiakan, beliau serahkan kepada Allah Ta'ala. Kini tibalah giliran ku. Ketika aku memberi salam kepada beliau, beliau menyambut salam ku dengan senyum kecut, senyum kemarahan. Lalu beliau berkata, "Kemari!" Aku datang menghampiri lalu duduk di hadapan beliau. Tanya beliau, "Mengapa kamu tidak turut berperang. Bukankah kamu telah membeli kenderaan?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Demi Allah, seandainya aku berhadapan dengan orang selain Anda dari penduduk dunia ini, nescaya aku akan mencari jalan keluar dari kemarahannya dengan berbagai alasan. Tetapi demi Allah! Aku tahu benar, jika aku berdusta kepada Anda sekarang, mungkin Anda menerimanya. Tetapi aku sungguh takut Allah akan sangat murka kepada ku. Dan jika aku berkata benar kepada Anda, tentu Anda akan marah kepada ku. Namun aku masih dapat mengharapkan kemaafan dari Allah Ta'ala. Demi Allah! Aku tidak mempunyai uzur (alasan) suatu apa jua pun. Bahkan aku belum pernah sesihat dan selapang seperti sekarang ini di mana aku tidak turut berperang bersama-sama Anda." Sabda Rasulullah saw., "Betul begitu? Nah, pergilah sampai Allah memutuskan perkara mu." Beberapa orang dari Bani Salamah turut bangkit bersama-sama dengan ku dan mengikuti ku. Kata mereka kepada ku, "Demi Allah! Kami tahu benar bahawa engkau belum pernah salah sekali jua pun sebelum ini. Mengapa engkau tidak minta maaf saja kepada Rasulullah saw. seperti orang-orang lain yang tidak turut berperang itu? Nescaya dosa mu diampun Allah berkat permohonan ampun dari Rasulullah saw. bagi mu." Kata Ka'ab. "Demi Allah! Mereka selalu menyalahkan ku seperti itu sehingga aku berniat hendak kembali kepada Rasulullah saw. dan menarik pengakuan ku semula." Aku bertanya kepada mereka, "Adakah orang lain yang menerima hukuman seperti aku?" Jawab mereka, "Ada! Iaitu dua orang yang mengaku bersalah seperti engkau, lalu keduanya mendapat putusan seperti yang diputuskan kepada mu." Tanya ku, "Siapa mereka?" Jawab mereka, "Murrah bin Rabi'ah Al 'Amid dan Hilal bin Umaiyah Al Waqifi." Mereka mengatakan kepada ku bahawa mereka berdua adalah orang-orang saleh yang turut dalam peperangan Badar, dan orang-orang yang patut dijadikan teladan. Setelah mereka menerangkan hal kedua orang itu, aku pun berlalu. Kata Ka'ab, "Rasulullah saw. melarang kaum muslimin bercakap-cakap dengan kami bertiga yang tidak ikut berperang. Kerana itu orang banyak menjauhi (memboikot) kami. Sikap mereka berubah terhadap kami sehingga aku merasa seperti orang asing di negeri yang ku diami, di mana penduduknya aku kenal selama ini. Hukuman seperti itu ku alami selama lima puluh hari. Kedua orang teman yang senasib dengan ku tetap saja tinggal di rumah mereka dan menangis selalu. Tetapi aku lebih muda dan lebih kuat dari mereka. Aku tetap keluar seperti biasa, menghadiri solat berjemaah dan pergi ke pasar walau tidak seorang jua pun yang mahu berbicara dengan ku. Bahkan aku tetap mendatangi Rasulullah saw. dan memberi salam kepada beliau ketika beliau berada dalam majlis taklim sesudah solat. Aku bertanya dalam hati ku, "Adakah beliau menggerakkan bibir beliau untuk menjawab salam ku, atau tidak?" Aku pun solat berdekatan dengan beliau sambil menjeling kepada beliau. Setelah selesai solat beliau menengok kepada ku, tetapi bila aku menoleh kepadanya beliau membuang muka dari ku. Setelah suasana diboikot kaum muslimin seperti itu berjalan agak lama, pada suatu hari aku pergi ke rumah Abu Qatadah, anak pakcik (saudara sepupu) ku, dan orang yang sangat sayang kepada ku. Aku memberi salam kepadanya. Tetapi demi Allah, dia tidak menjawab salam ku. Lalu aku berkata kepadanya, "Ya, Abu Qatadah! Aku bertanya kepada mu, tidak tahukah kamu bahawa aku tetap mencintai Allah dan Rasul-Nya?" Dia diam saja. Aku tanya lagi, tetapi dia tetap membisu. Lalu ku tanya lagi. Maka jawabnya, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Air mata ku mengalir mendengar jawapannya, lalu aku berpaling dan terus pulang. Pada suatu hari ketika aku sedang berjalan di pasar, seorang petani penduduk Syam yang sering menjual makanan di Madinah bertanya, "Siapa yang dapat menunjukkan Ka'ab bin Malik kepada ku?" katanya. Orang banyak menunjuk kepada ku. Petani itu mendatangi ku dan memberikan sepucuk surat berasal dari Raja Ghassan. Aku memang pandai membaca dan menulis. Lalu ku baca surat itu, yang isinya antara lain sebagai berikut : "Amma ba'du. Kami mendengar khabar bahawa Anda diboikot oleh teman-teman Anda. Allah tidak akan membuat Anda terhina dalam negeri dan tidak pula tersia-sia. Temuilah kami, nescaya kami akan membantu Anda dengan segala daya dan yang ada pada kami." Selesai membaca surat itu lalu kata ku, "Ini suatu ujian juga!" Maka ku dekat api lalu ku bakar surat itu. Setelah berlalu empat puluh hari dan wahyu turun kepada Rasulullah saw. maka datanglah seorang utusan beliau kepada ku seraya berkata, "Rasulullah saw. memerintahkan kamu supaya menjauhi isteri mu!" Tanya ku, "Apakah aku harus meceraikannya atau bagaimana?" Jawabnya, "Tidak! Hanya menjauhinya. Kerana itu jangan kamu dekati dia!" Beliau juga mengutus orang kepada kedua teman yang senasib dengan ku, dengan perintah yang sama. Maka ku katakan kepada isteri ku, "Pulanglah kamu ke rumah orang tua mu dan tinggallah bersama mereka sampai Allah memberi keputusan terhadap perkara ku ini." Kata Ka'ab, "Isteri Hilal bin Umaiyah datang kepada Rasulullah saw. memohon keringanan kepada beliau, katanya : Ya Rasulullah! Hilal bin Umaiyah sudah tua. Dia akan tersia-sia tanpa khadam (pelayan). Apakah Anda keberatan kalau aku menjadi pelayannya?" Jawab beliau, "Tidak mengapa, asal dia tidak mendekati mu." Kata isteri Hilal, "Demi Allah! Dia tidak mempunyai keinginan apa-apa. Bahkan demi Allah, dia selalu menangis saja sejak menerima hukuman sampai hari ini." Kerana itu sebahagian keluarga ku menyarankan pula kepada ku, "Seandainya engkau minta izin kepada Rasulullah saw. mengenai isteri mu, mungkin beliau memberi izin kepada mu seperti halnya isteri Hilal bin Umaiyah diberi izin oIeh beliau melayani Hilal." Jawab ku, "Aku tidak akan memintakan izin kepada beliau untuk isteri ku. Aku tidak tahu pasti apakah Rasulullah saw. akan memberi izin atau tidak. Aku masih muda dan sanggup mengurus diri sendiri." Keadaan membujang seperti itu telah berlalu pula sepuluh hari. Jadi sudah lima puluh hari sejak hari pertama kami mulai diboikot. Kemudian, sesudah aku solat Subuh di atas loteng rumah kami, pagi-pagi sesudah malam yang kelima puluh, ketika aku memikirkan nasib kami sesuai dengan apa yang diperingatkan Allah kepada kami, di mana bumi ini terasa amat sempit dengan segala kelapangan yang ada, tiba-tiba terdengar oleh ku suara memanggil dengan sekuat-kuatnya, "Ya, Ka'ab bin Malik! Gembiralah, Aku segera sujud, kerana aku yakin kelapangan telah tiba. Rasulullah saw. telah memberi tahu orang banyak, bahawa Allah swt. telah menerima taubat kami ketika solat Subuh. Kerana itu orang banyak datang mengucapkan selamat kepada ku dan sesudah itu mereka pergi pula kepada kedua orang teman ku. Di antara mereka ada yang berlari dan ada pula yang berkenderaan. Bahkan ada seorang teman dari suku Aslam sengaja menemui ku melalui bukit. Suara-suara mengelu-ngelukan ku lebih cepat sampai ke telinga ku dari kuda mereka. Ketika suara ucapan selamat untuk menggembirakan ku dari orang yang pertama-tama sampai ke telinga ku, dengan spontan ku buka baju ku lalu ku berikan kepadanya kerana sangat gembira. Padahal demi Allah, ketika itu aku tidak mempunyai baju selain baju tersebut, sehingga aku terpaksa meminjam (ketika menghadap Rasulullah saw. Aku pergi menghadap Rasulullah saw. Setiap orang yang bertemu dengan ku mengucapkan selamat kerana taubat ku telah diterima Allah swt. Kata mereka, "Bahagialah Anda kerana taubat Anda telah diterima Allah swt." Aku masuk ke masjid. Ku dapati Rasulullah saw. sedang duduk dikelilingi para sahabat. Thalhah bin 'Ubaidillah segera bangkit dan berlari menyambut ku serta menyalami ku sambil mengucapkan selamat. Demi Allah, tidak ada orang Quraisy yang berdiri selain dia. Kerana itu pula aku tidak melupakan Thalhah. Setelah aku memberi salam kepada Rasulullah saw., maka dengan muka berseri-seri kerana gembira beliau berkata, "Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir." Tanya ku, "Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta'ala?" Jawab beliau, "Bahkan dari Allah Ta'ala!" Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu. Setelah aku duduk di hadapan beliau, aku berkata kepadanya, "Ya, Rasulullah! Kerana taubat ku diterima Allah, maka aku hendak menyedekahkan harta ku kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Tahanlah sebahagian harta mu itu. Itulah yang baik!" Jawab ku, "Aku akan menahan harta yang ku peroleh di Khaibar." Kata ku selanjutnya, "Ya, Rasulullah! Allah telah melepaskan ku kerana berkata benar. Maka untuk kesempurnaan taubat ku, aku tidak akan berkata-kata selamanya melainkan yang benar." Kata Ka'ab selanjutnya, "Aku tidak tahu seorang muslim yang pernah diuji Allah kerana berkata benar, semenjak aku berkata demikian kepada Rasulullah saw. hingga sekarang. Itulah cubaan terbaik yang dilakukan Allah Ta'ala kepada ku. Demi Allah, aku berjanji tidak akan pernah berdusta. Aku berharap kepada Allah semoga Dia memelihara ku sampai akhir hayat ku, Maka turunlah ayat-ayat surat Taubah, 9 :117 - 119, sebagai berikut: "Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin, dan orang-orang Ansar yang mengikut Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka." (9: 117), "Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (permintaan taubat mereka) hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu sebenarnya tetap luas, dan jiwa pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka, agar tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (9:118). "Hai, orang-orang yang beriman, takwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar."(9:119). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Demi Allah! Belum pernah aku merasakan nikmat pada diri ku sejak aku masuk Islam yang lebih besar daripada ketika aku berkata benar terhadap Rasulullah saw. Seandainya aku berdusta kepada beliau nescaya celakalah aku seperti orang-orang yang pernah berdusta, sebagai dinyatakan dalam firman Allah Ta'ala: "Kelak mereka akan bersumpah kepada mu dengan nama Allah apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka, kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan." (9: 95) "Mereka akan bersumpah kepada mu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, maka sesungguhnya Allah tidak ridha kepada orang-orang yang fasik itu." (9:96). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Kami bertiga tertinggal, maksudnya tertinggal bertaubat dari mereka-mereka yang telah diterima taubatnya oleh Rasulullah saw. secara lahir (sedang batinnya terserah kepada Allah swt.), serta dimohonkan ampun oleh beliau kepada Allah Ta'ala. Sedangkan terhadap kami bertiga Rasulullah menangguhkannya hingga datang keputusan Allah swt. Itulah yang dimaksud dengan firman Allah Ta'ala: Dan tiga orang yang tertinggal (9: 118), bukan tertinggal tidak ikut berperang, tetapi penerimaan taubat kami ditangguhkan." (Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376. )

Wednesday, March 7, 2012

Doa Ketika Sakit

Rabu, 14 Rabiulakhir 1433H: Dari 'Aisyah r.a. katanya: "Apabila salah seorang di antara kami sakit, Rasulullah saw. memegangnya dengan tangan kanan, lalu beliau ucapan "Idzhabil ba'sa rabban naas, wasyfi, antasy syaafi, laa syifaa-a illa syifaauka, syifaa-an laa yughaadiru saqaman."(Hilangkanlah penyakit si sakit ini, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah dia, sesungguhnya Engkaulah Maha Penyembuh, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan daripadaMu, iaitu kesembuhan yang tidak meninggalkan bekas rasa sakit)

Maka tatkala beliau sakit dan sakitnya bertambah berat ku pegang tangan beliau hendak membacakan mentera seperti yang pernah beliau lakukan kepada kami. Tetapi beliau menarik tangannya dari tangan ku, kemudian beliau ucapkan, "Allaummagh firli. waj'alni ma 'arrafiiqil a'la"(Wahai Allah, ampunilah aku dan tempatkanlah aku bersama teman di tempat yang tertinggi) Lalu ku tengok beliau, kiranya beliau telah tiada." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2052.)

Tuesday, March 6, 2012

Kematian Pemutus Segala Nikmat

Selasa, 13 Rabiulakhir 1433H: Muhammad bin Ahmad menceritakan kepada kami, dia adalah putra Madduwaih, Al-Qasim bin Al-Hakam Al Urani memberitahukan kepada kami, Ubaidullahbin Al-Walid Al-Washshafi memberitahukan kepada kami dari Athiyyah dari Abu Sa'id berkata :"Rasulullah SAW masuk ke musolla, beliau melihat orang orang seolah-olah tertawa-tawa, lalu beliau bersabda : "Ingatlah sesungguhnya seandainya kamu memperbanyak ingat kepada penghancur kenikmatan tentu ingat itu menyibukkan kamu dari apa yang aku lihat. Perbanyaklah ingat kepada penghancur kenikmatan iaitu kematian, kerana tidaklah suatu hari datang atas kuburan melainkan kuburan itu berbicara.

Lalu ia berkata :"Aku rumah pengasingan, aku rumah penyendirian, aku rumah tanah dan aku rumat ulat". Apabila seorang mukmin dimakamkan, maka kuburan berkata kepadanya :"Selamat datang. Ingatlah sesungguhnya kamu adalah orang yang paling aku cintai diantara orang yang berjalan dipunggung ku maka saat aku telah menguasai mu pada hari ini dan kamu kembali kepada ku, kamu akan melihat balasan ku terhadapmu". Kemudian kuburan menjadi luas baginya seluas pandangan matanya dan dibuka baginya pintu menuju syurga.

Apabila seorang yang jahat atau yang kafir dimakamkan, maka kuburan berkata kepadanya :"Tidak selamat datang. Ingatlah sesungguhnya kamu adalah orang yang paling aku benci di antara orang yang berjalan di punggung ku, maka saat aku menguasai mu hari ini dan kamu kembali kepada ku, maka kamu akan melihat balasan ku terhadap mu". Beliau bersabda :"Lalu kuburan itu merapatkan diri sehingga ia menjumpainya dalam keadaan berantakan tulang rusuknya".

Rawi hadis berkata :"Rasulullah SAW memberi isyarat dengan jari jari beliau lalu memasukkan sebahagian jari kelubang jari yang lain, sambil bersabda :"Dan didatangkan kepadanya tujuh puluh ular besar, seandainya satu ular tersebut meniup di bumi, nescaya bumi tidak menumbuhkan selama dunia masih ada. Lalu ular itu menggigitnya dan melukainya dengan sebenar-benarnya sehingga sampai perhitungan amal".

Rawi berkata :"Rasulullah SAW bersabda :"Sesungguhnya kuburan itu taman dari taman-taman syurga atau lubang dari lubang-lubang neraka". Hadis ini adalah hadis gharib yang tidak aku ketahuinya kecuali dari sanad ini.(Hadis Sunan At-Termizi Jilid 4. Hadis Nombor 2578.)

Monday, March 5, 2012

Antara Mujizat Rasulullah SAW

Isnin, 12 Rabiulakhir 1433H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya: "Abu Thalhah menyuruh ku mendatangi Rasulullah saw. untuk mengundang beliau makan ke rumahnya, dan Abu Thalhah telah menyediakan hidangan.

Lalu aku pergi mengundang beliau. Ku dapati beliau sedang bersama-sama orang ramai. Beliau menengok kepada ku sehingga aku malu kerananya. Lalu kataku, "Abu Thalhah mengundang Anda makan ke rumahnya, sudilah Anda memperkenankan!"

Maka berkata beliau kepada orang ramai, "Berdirilah semuanya!"

Kata Abu Thalhah, "Ya, Rasulullah! Aku hanya menyediakan makanan untuk Anda seorang."

Lalu beliau jamah makanan yang tersedia itu dan mendoakan berkat bagi makanan tersebut. Kemudian beliau berkata, "Suruh masuk kawan-kawan itu sepuluh orang." Kata beliau, "Makanlah Tuan-tuan!" Dari sela-sela jari beliau keluar sesuatu (berupa makanan), maka makanlah mereka sampai kenyang, sesudah itu mereka keluar.

Kata beliau. "Suruh masuk sepuluh orang lagi." Mereka makan pula sampai kenyang. Begitulah seterusnya secara bergantian mereka masuk sepuluh orang dan keluar sepuluh orang, sehingga tidak seorang pun yang ketinggalan. Semuanya masuk dan makan sampai kenyang. Kemudian ternyata makanan masih bersisa sebanyak semula."(Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1959.)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ketika terjadi perang Tabuk, pasukan Rasulullah saw. ditimpa mushibah kekurangan bahan makanan. Kerana itu mereka memohon kepada Rasulullah saw., "Kalaulah Anda izinkan, akan kami sembelih unta-unta pembawa beban, untuk kita makan dan kita manfaatkan lemaknya."

Jawab Rasulullah saw., "Lakukanlah!" Kata Abu Hurairah r.a., "Sementara itu 'Umar r.a. datang, lalu katanya: "Ya, Rasulullah! Jika unta-unta itu disembelih, kenderaan kita akan berkurang. Tetapi, bagaimanakah kiranya kalau mereka diperintahkan mengumpulkan sisa perbekalan mereka, kemudian Anda mendoa kepada Allah, semoga Allah memberikan berkat bagi makanan itu, mudah-mudahan Dia akan mengabulkannya."

Jawab Rasulullah s.a.w.: "Baiklah!" Beliau meminta sehelai tikar kulit, lalu dibentangkannya. Kemudian beliau suruh kumpulkan semua sisa perbekalan mereka. Ada yang membawa segenggam kurma, dan ada pula yang membawa sisa-sisa roti; sehingga semua yang terkumpul itu kelihatan hanya amat sedikit di atas tikar itu.

Lalu Rasulullah saw. mendoa semoga perbekalan yang ada itu beroleh berkat "Isilah kantong perbekalan Anda masing-masing!" Lalu mereka mengisi semua kantong perbekalan mereka, sehingga tidak ada satu kantong pun yang ketinggalan; bahkan semuanya terisi penuh. Sesudah itu mereka makan bersama-sama sampai kenyang. Ternyata sesudah makan, makanan itu masih bersisa.

Maka bersabda Rasulullah saw., "Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah dan aku Rasulullah. Tidak ada seorang jua pun yang meninggal dengan meyakini kedua pengakuan itu tanpa ragu, yang dihalangi masuk syurga."( Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0025.)

Thursday, March 1, 2012

Tiga Bayi Yang Berbicara

Khamis, 8 Rabiulakhir 1433H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., beliau bersabda: "Yang pandai berbicara dalam buaian (pada waktu kecil), hanyalah tiga orang, di antaranya 'Isa. Ada seorang laki-laki Bani Israil yang bernama Juraij. Ketika ia solat, datang ibunya memanggilnya.

Kata Juraij dalam hatinya: "Apakah akan saya jawab ibu saya, atau saya terus solat?"

Kata ibu: "Wahai Tuhan! Janganlah Engkau matikan ia sebelum Engkau perlihatkan kepadanya muka perempuan pelacur!"

Dan Juraij tetap dalam tempat peribadatannya. Kemudian seorang perempuan menawarkan diri kepadanya untuk berbuat jahat, Juraij menolak.

Perempuan itu lalu datang kepada seorang penggembala, menyerahkan diri kepadanya. Kemudian ia melahirkan anak, dan dikatakannya anak Juraij.

Orang banyak datang kepadanya, menghancurkan tempat peribadatannya. Mereka menyeret dan mencaci-makinya. Kemudian Juraij berwuduk dan terus mengerjakan solat.

Lalu didatanginya anak itu seraya berkata: "Hai anak! Siapakah ayahmu?"

Jawabnya: "Penggembala!" Orang banyak tadi lalu berkata: "Kami dirikan kembali tempat peribadatanmu dari emas!"

Kata Juraij: "Jangan! Cukup dari tanah saja!"

Ada lagi seorang perempuan Bani Israel sedang menyusukan anaknya. Maka seorang laki-laki lalu ditempatnya menunggang kuda lagi tampan rupanya. Kata perempuan itu: "Wahai Tuhan! Jadikanlah anakku seumpama orang ini!"

Anak itu pun lalu meninggalkan susu ibunya dan menghadap kepada orang yang menunggang kuda itu, katanya: "Wahai Tuhan! Janganlah Engkau jadikan saya seumpama dia!"

Kemudian anak itu kembali menghisap susu ibunya. Kata Abu Hurairah: Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w. menghisap jari beliau.

Kemudian lalu pula di tempat itu seorang budak perempuan. Kata perempuan itu: "Wahai Tuhan! Jangan Engkau jadikan anakku seumpama orang ini!"

Anak itu pun lalu meninggalkan susu ibunya, katanya: "Wahai Tuhan! Jadikanlah saya seumpama dia!"

Ibunya lalu berkata: "Mengapa begitu?"

Jawabnya: Orang yang menunggang kuda tadi adalah seorang yang sangat takbur. Sedangkan budak perempuan itu banyak orang berkata kepadanya: Engkau pencuri dan penzina, padahal ia tiada pernah berbuat demikian".( Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1497.)