Friday, November 30, 2012

Amalan Berbekam

Jumaat, 16 Muharram 1434H: Dari Humaid r.a., katanya: "Anas bin Malik ditanya orang tentang tukang bekam.

Jawab Anas, "Rasulullah saw. pernah berbekam. Yang membekamnya ialah Abu Thaibah. Setelah selesai berbekam, Rasulullah saw. memerintahkan supaya memberi Abu Thaibah dua gantang makanan, dan beliau menganjurkan kepada majikan Abu Thaibah supaya meringankan tugas yang dibebankan kepadanya."

Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya berbekam itu termasuk cara pengubatan yang utama, atau termasuk ubat yang baik."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1545

Thursday, November 29, 2012

Cinta Bertemu Allah, Allah Cinta Menemuinya

Khamis, 15 Muharram 1434H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya."

Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."

Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati."

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan. Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya.

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1748.

Wednesday, November 28, 2012

Penuhi Saf dan Rapatkan Barisan

Rabu, 14 Muharram 1434H: Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda: "Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga ku lihat bagaikan ekor kuda liar? Bersikap tenanglah dalam solat!"

Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa ku lihat anda berpisah-pisah?"

Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat saf (berbaris) seperti saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Tanya kami, "Bagaimana caranya saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu saf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0383

Tuesday, November 27, 2012

Kaya Jiwa

Selasa, 13 Muharram 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Yang disebut 'kaya', bukanlah kaya harta-benda duniawi, tetapi yang dikatakan 'kaya' ialah kaya jiwa."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1011.

Monday, November 26, 2012

Sekiranya Manusia Tahu!

Isnin, 12 Muharram 1434H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Ketika seseorang berjalan di suatu jalan; kemudian di menjumpainya sepotong duri di jalan itu, lalu dibuangnya, Allah berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya.
 
Sesudah itu beliau bersabda. pula: "Yang disebut mati syahid itu ada lima macam:
1. Orang mati kena tikam.
 2. Orang mati kerana sakit perut (kolera?)
3. Orang mati tenggelam.
4. Orang mati ditimpa tanah longsor (runtuh).
5. Orang yang mati fi sabilillah (mati di medan perang kerana berjuang menegakkan Agama Allah).
 
Kalaulah manusia tahu keutamaan azan dan saf pertama solat berjemaah, tetapi mereka tidak mungkin mendapatkannya kecuali hanya dengan jalan diundi, nescaya mereka akan mahu diundi untuk mendapatkannya.
 
Kalaulah mereka tahu keutamaan solat Zohor (dilakukan tepat pada awal waktu), pastilah mereka akan berlumba-lumba melaksanakannya.
 
Dan kalaulah mereka mengetahui keutamaan solat Isyak dan solat Subuh (dengan berjemaah), pastilah mereka akan memerlukan datang (ke masjid), sekalipun mereka akan merangkak."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0372.

Friday, November 23, 2012

Puasa Sunat Hari Asyura

Jumaat, 9 Muharram 1434H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Ketika Rasulullah saw. belum lama tiba di Madinah, didapatinya orang-orang Yahudi puasa pada hari 'Asyura. Maka bertanya beliau kepada mereka, "Hari apakah ini, sehingga anda semua mempuasakannya?"
 
Jawab mereka, "Hari ini hari besar, di mana Allah telah memenangkan Musa serta kaumnya, dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya. Kerana itu Musa puasa setiap hari itu untuk menyatakan syukur, lalu kami mempuasakannya pula."
 
Maka bersabda Rasulullah saw., "Kami lebih berhak dan lebih patut memuliakan Musa daripada kamu semua." Lalu Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan kaum muslimin puasa pada hari itu. (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1099.)

Dari 'Abdullah bin 'Abbas r.a., dia menceritakan bahawa ketika Rasulullah saw. puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan memerintahkan kaum Muslimin supaya puasa, para sahabat berkata, "Hari ini adalah hari raya orang-orang Yahudi dan Nasrani."
Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Apabila masih menyaksikan tahun yang akan datang, insya Allah kita puasa pada tanggal sembilan Muharram."

Kata 'Abdullah selanjutnya, "Ternyata tahun depan itu, beliau sudah wafat." (Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1103.)

Thursday, November 22, 2012

Puasa Asyura


Khamis, 8 Muharam 1434H:Dari 'Aisyah r.a.. katanya: "Biasanya orang-orang Quraisy pada masa jahiliyah, puasa dari hari 'Asyura. Dan Rasulullah saw. pun mempuasakannya. Ketika beliau tiba di Madinah, dia mempuasakannya dan suruhnya pula orang-orang puasa pada hari itu. Tatkala puasa Ramadhan telah diwajibkan, beliau meninggalkan puasa Asyura, dan siapa yang ingin mengerjakannya dibolehkan dan siapa yang ingin meninggalkannya boleh pula."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0988.



Wednesday, November 21, 2012

Solat Berjemaah

Rabu, 8 Muharam 1434H: Dari Abdullah r.a., katanya: "Siapa yang ingin bertemu dengan Allah kelak sebagai seorang muslim yang sempurna, maka hendaklah dia selalu solat berjemaah setiap mendengar azan. Kerana Allah telah mengukuhkan hukum-hukum agama kepada Nabi-Nya, di antaranya ialah solat berjemaah itu.
 
Andaikata anda solat sendirian di rumah anda, tidak datang ke masjid seperti halnya orang-orang yang tidak datang ini, bererti anda meninggalkan "sunnah nabi" anda. Apabila anda meninggalkan sunnah Nabi, bererti anda sesat.
 
Siapa berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke salah satu masjid, maka dituliskan Allah baginya untuk setiap langkah yang dilangkahkannya ke masjid itu, pahala satu kebajikan dan diangkat darjatnya satu darjat, serta dihapus daripadanya dosa satu kejahatan.
 
Menurut pendapat kami, orang yang tidak suka solat berjemaah ke masjid, ialah orang-orang munafik. Namun begitu, masih ada orang yang pergi solat berjemaah ke masjid, dipapah oleh dua orang lelaki sampai ia ditegakkan dalam saf."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0613.

Tuesday, November 20, 2012

Perintah Solat Menghadap Baitullah (Kaabah)

Selasa, 6 Muharam 1434H: Dari Barra' bin Azib r.a., "Pertama kali Nabi saw. datang ke Madinah, beliau bertempat tinggal di rumah abang atau pakcik-pakcik beliau dari kaum Ansar. Ketika itu Nabi solat menghadap ke Baitul Maqdis (Jerusalem), lebih kurang 16 atau 17 bulan lamanya. Sesungguhnya Nabi lebih suka Baitullah (Ka'bah di Mekah) menjadi kiblatnya. Dan solat yang mula-mula dikerjakan Nabi menghadap ke Baitullah (Kaabah) ialah solat Asar, yang dilakukan beliau bersama-sama dengan orang banyak. Kemudian salah seorang yang ikut jemaah bersama Nabi ketika itu keluar, dan pergi melalui sebuah masjid, di mana jemaahnya sedang rukuk (menghadap ke Baitul Makdis)"
 
Lantas orang itu berkata, "Demi Allah, baru saja saya solat bersama-sama Rasulullah menghadap ke (Baitullah di) Mekah. "Maka segera mereka merubah kiblat mereka menghadap ke Baitullah. Orang-orang Yahudi mulanya sangat bangga, ketika (Nabi dan pengikutnya) solat menghadap ke Baitul Maqdis. Begitu pula Ahli Kitab (Nasrani). Tetapi setelah kiblat umat Islam berubah ke Baitullah, mereka mencela perubahan itu. Selanjutnya Barra' menyebutkan dalam hadisnya ini, "Banyak orang telah meninggal di masa kiblat masih ke Baitul Makdis, dan yang terbunuh sebelum perubahan kiblat ke Baitullah. Kami tidak mengerti bagaimana (hukumnya) solat itu."
 
Lalu turun ayat: "Allah tidak akan mensia-siakan iman kamu semua." (Surah Al Baqarah, 2 : 143)

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0034.

Monday, November 19, 2012

Hijrah

Isnin, 5 Muharam 1434H: Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya setiap amal tergantung kepada niat. Dan pahala bagi setiap orang yang beramal diberikan sesuai dengan apa yang diniatkannya. Siapa yang hijrah dengan niat kerana hendak memperoleh keredhaan Allah dan RasulNya, maka pahalanya ada di sisi Allah dan RasulNya. Dan siapa yang hijrah dengan niat hendak memperoleh harta kekayaan (kebanggaan duniawi) atau dengan niat hendak mengahwini seorang perempuan yang dicintainya, maka pahala hijrahnya sesuai dengan niatnya pula." ( Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1861.)

Dari Umar bin Khathab r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia, ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya untuk apa dia hijrah". (Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0001.)

Friday, November 9, 2012

Bila Angin Bertiup Kencang

Jumaat, 24 Zulhijjah 1433H: Dari 'Atha' bin Abu Rabah r.a., katanya dia mendengar 'Aisyah isteri Rasulullah saw. bercerita: Bila angin bertiup kencang, dan langit mendung berawan banyak, nampak kegelisahan di wajah Rasulullah saw., sehingga beliau maju mundur.
 
Apabila hujan telah turun wajah beliau berubah jadi gembira dan hilang kegelisahannya.
 
Kata 'Aisyah, "Aku bertanya kepada beliau, apa yang menyebabkannya gelisah begitu rupa."
 
Jawab beliau, "Aku khuatir, kalau-kalau angin dan mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umat ku. Tetapi bila hujan telah turun, maka hal itu adalah rahmat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0852.

Thursday, November 8, 2012

Apabila Langit Berubah Warna

Khamis, 22 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Bila angin bertiup kencang, maka Rasulullah saw. membaca doa sebagai berikut: 'Allahumma inni as-aluka khairaha wa khaira ma fiha, wa khaira ma ursilat bihi. Wa a'udzubika min syarriha wa syarri ma fiha, wa syarri ma ursilat bihi'.
 
Dan apabila langit telah mendung dan warnanya berubah (hitam pekat disertai kilat dan guntur), beliau kelihatan gelisah, sehingga beliau keluar masuk ke muka dan ke belakang. Tetapi bila hujan telah turun, beliau gembira, kerananya, dan kelihatan di wajah beliau. Kerana itu aku bertanya kepada beliau, kenapa dia sampai begitu.
 
Jawab beliau, "Mungkin, hai 'Aisyah, seperti apa yang dikatakan mengenai kaum 'Ad: Setelah mereka melihat awan itu membentang menuju ke lembah-lembah mereka lalu berkata : Inilah awan-awan itu datang hendak menurunkan hujan bagi kita: Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disergerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Ahqaf: 24)


Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0853.

Tuesday, November 6, 2012

Orang Islam Yang Paling Baik

Selasa, 21 Zulhijjah 1433H: Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?"
 
Jawab Rasulullah saw., "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya:'

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0033.

Monday, November 5, 2012

Dibangkit Mengikut Niat Masing-masing

Isnin, 20 Zulhijjah 1433H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Satu pasukan tentera menyerang Kaabah. Ketika mereka berada di tanah lapang, mereka ditenggelamkan ke bumi dari yang dahulu sampai mereka yang penghabisan,"
 
Saya bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa mereka ditenggelamkan dari yang dahulu sampai penghabisan? Padahal di dalam mereka ada orang-orang pasar (rakyat banyak) dan orang-orang yang bukan dari golongan mereka."
 
Sabda beliau, "Ditenggelamkan mereka dari yang dahulu sampai yang penghabisan, kemudian mereka dibangkit sesuai dengan niat mereka masing-masing."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 1044.

Friday, November 2, 2012

Kita Bersaudara

Jumaat, 17 Zulhijjah 1433H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw, bersabda: "Janganlah kamu saling marah, jangan saling dengki, dan jangan pula saling tak acuh satu sama lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara. Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi saudaranya (sesama muslim) lebih dari tiga hari."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2189.

Thursday, November 1, 2012

Tawaf Wada

Khamis, 16 Zulhijjah 1433H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Orang ramai telah pulang ke negerinya masing-masing. Maka bersabda Rasulullah saw., "Janganlah seseorang pulang sebelum dia thwaf wada' (akhir) di Baitullah."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1261