Friday, March 29, 2013

Perlukah Menjawab Salam Ketika Sedang Solat?

Jumaat, 17 Jamadilawal 1434H: Dari Abdullah r.a.. katanya:
"Kami memberi salam kepada Rasulullah saw. ketika beliau sedang solat, lalu beliau menjawab salam kami itu.
Tetapi tatkala kami kembali dari Raja Najasyi, kami memberi salam pula kepada beliau ketika beliau sedang solat. Beliau tidak menjawab salam kami itu.
Lalu kami tanyakan kepada beliau, "Dahulu kami memberi salam kepada anda ketika anda sedang solat, anda menjawab salam kami. Tetapi sekarang kenapa tidak?"
Jawab beliau, "Sesungguhnya dalam solat harus ada suatu kesibukan yang sungguh-sungguh (khusyu')."
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0493.

Thursday, March 28, 2013

Setiap Amal Ada Kelebihannya

Khamis, 16 Jamadilawal 1434H : Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Kebersihan itu sebahagian dari iman.
Membaca 'Alhamdulillah' pahalanya sepenuh timbangan.
Membaca 'Subhanallah wal hamdulillah', pahalanya sepenuh ruang antara langit dan bumi.
Solat itu cahaya,
Sedekah itu adalah bukti sabar,
Quran itu adalah sinar akan menjadi hujah (alasan) bagi mu atau alasan yang ditujukan kepada mu.
Setiap orang pagi-pagi menjual dirinya, ada yang menyelamatkannya dan ada pula yang membinasakannya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0174.

Wednesday, March 27, 2013

Jihad dan Niat Yang Soleh

Rabu, 15 Jamadilawal 1434H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang mengenai hijrah. Maka bersabda Rasulullah saw., "Tidak ada lagi hijrah sesudah penaklukan Mekah. Yang ada ialah Jihad dan Niat yang soleh. Apabila kamu diperintahkan berjihad (berjuang atau berperang) maka patuhilah!"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1824.

Tuesday, March 26, 2013

Bersaudara Sebagai Hamba-Hamba Allah

Selasa, 14 Jamadilawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
 
"Hindarilah prasangka, kerana prasangka itu berita yang paling bohong.
 
Jangan saling mencari-cari keburukan orang.
 
Jangan saling mengorek rahsia orang dan saling menyaingi.
 
Jangan saling mendengki.
 
Jangan saling marah dan jangan saling tak acuh.
 
Tetapi jadilah kamu semua bersaudara sebagai hamba-hamba Allah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2191.

Thursday, March 21, 2013

Jihad Fi Sabilillah

Khamis, 9 Jamadilawal 1434H : Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Hai, Abu Sa'id! Siapa yang rela Allah menjadi Tuhannya, Muhammad menjadi Nabinya, dan Islam menjadi agamanya, dia wajib masuk syurga."
 
Abu Sa'id kagum mendengar sabda Nabi saw. tersebut, lalu dia meminta supaya Nabi mengulang sabdanya itu. Maka diulang oleh beliau.
 
Kemudian bersabda pula beliau, "Ada lagi yang lain. Iaitu seorang hamba dinaikkan darjatnya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi."
 
Tanya, "Apa itu, ya Rasulullah?"
 
Jawab beliau. "Jihad fi sabilillah! Jihad fi sabilillah! (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah!)"

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1840.

Wednesday, March 20, 2013

Ragu Dalam Rakaat Solat

Rabu, 8 jamadilawal 1434H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila kamu ragu dalam solat apakah baru tiga ataukah sudah empat rakaat, maka buanglah keraguan dan ambillah yang pasti (iaitu yang sedikit, dalam hal ini tiga).

Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam.

Jika ternyata dia solat lima rakaat, maka solatnya telah genap.

Dan ternyata solatnya memang empat rakaat, maka kedua sujudnya itu adalah sebagai penghinaan bagi syaitan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0525.

Tuesday, March 19, 2013

Dosa Menghina Sesama Muslim

Selasa, 7 Jamadilawal 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya.
 
"Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali.
 
"Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2193.

Friday, March 15, 2013

Kelebihan Hari Jumaat

Jumaat, 3 Jamadiulawal 1434H: Salman Al Farisi r.a. mengkhabarkan, bahawa Nabi saw. bersabda: "Siapa yang mandi pada hari Jumaat,
 
kemudian dia membersihkan tubuhnya sedapat-dapatnya,
 
setelah itu dia memakai harum-haruman,
 
kemudian pergi ke Jumaat,
 
tidak memisahkan dua orang (yang duduk berdekatan),
 
kemudian solat sebanyak mungkin, dan
 
diam apabila imam telah berkhutbah,
 
nescaya diampuni Allah dosanya semenjak itu sampai Jumaat yang akan datang."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0476.

Wednesday, March 13, 2013

Doa Sahabat Nabi, Marwan

Rabu, 1 Jamadilawal 1434H: Dari Hisyam Ibnu 'Urwah r.a., dari bapanya katanya: "Bahwasanya Arwa binti Uwais mendakwa Sa'id bin Zaid, bahawa Sa'id mengambil sebahagian tanahnya. Lalu diadukannya kepada Marwan bin Hakam (penguasa ketika itu).
Maka kata Sa'id, "Mungkinkah aku mengambil tanahnya sesudah ku dengar Rasulullah saw. bersabda?"
Tanya Marwan, "Apa yang telah engkau dengar dari Rasulullah saw"?"
Jawab Sa'id, "Aku mendengar beliau bersabda: "Siapa mengambil tanah orang lain dengan cara paksa (zalim), walaupun hanya sejengkal, kelak di hari kiamat dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."
Kata Marwan, "Aku tidak minta keterangan darimu selain ini."
Lalu Sa'id mendoa, "Allahumma in kanat kadzibatan, fa 'ammi basharaha wa qtulha fi ardhiha."
Kata Sa'id, "Memang, tidak berapa lama kemudian, wanita itu buta. Setelah itu, ketika ia sedang berjalan di pekarangannya, dia terjatuh ke dalam sebuah lubang lalu dia mati di situ."

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1583.

Tuesday, March 12, 2013

Ibumu

Selasa, 29 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya : "Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Ya, Rasulullah, siapakah dari keluargaku yang paling berhak dengan kebaktianku yang terindah?"
 
Jawab beliau, "Ibumu! Kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu, kemudian yang terdekat kepada mu, yang terdekat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2178.

Monday, March 11, 2013

Al Kautsar

Isnin, 28 Rabiulakhir 1434H: Dari Anas r.a., katanya: "Pada suatu hari, ketika kami bersama-sama dengan Rasulullah saw., tiba-tiba beliau tertidur sebentar. Kemudian beliau mengangkat kepalanya sambil tersenyum. Kerana itu kami bertanya, "Mengapa anda tersenyum, ya, Rasulullah?"
 
Jawab beliau, "Sebentar ini turun kepada ku sebuah surah." Lalu dibacakan oleh beliau: "Bismillahirrahmanirrahim. Inna a'thainakal Kautsar. Fashalli librabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar." (Al Kautsar: 1-3). (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepada mu nikmat yang banyak. Maka tegakkanlah solat kerana Tuhan mu, dan berkorbanlah. Sesungguhnya musuh-musuh mu akan habis binasa).
 
Kemudian beliau bertanya, "Tahukah anda sekalian apakah Kautsar itu?"
 
Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu."
 
Sabda beliau, "Kautsar itu ialah sebuah sungai yang dijanjikan Allah 'Azza wa Jalla bagi ku. Sungai itu melimpahkan banyak kebaikan. Dia merupakan telaga, di mana umat ku akan datang ke situ kelak di hari kiamat. Bejananya sebanyak bintang di langit."
 
Tiba-tiba dikeluarkan seseorang di antara mereka. Lalu kataku, "Wahai, Tuhan ku! Orang itu adalah umatku."
 
Jawab Allah Ta'ala, "Engkau tidak tahu apa yang telah diperbuatnya sepeninggal mu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0356.

Friday, March 8, 2013

Doa Rasulullah SAW

Jumaat, 25 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah ra. katanya: "Bahawasanya Nabi saw. sering mendoa minta perlindungan kepada Allah Taala dari suratan takdir yang buruk, dari mendapat celaka, dari kegembiraan musuh (kerana penderitaan beliau), dan dari tekanan cubaan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2330

Thursday, March 7, 2013

Rahmat & Seksa

Khamis, 24 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Musa ra,. dari Nabi saw, sabdanya. "Sesungguhnya apabila Allah Azza wa Jalla hendak memberikan rahmat kepada suatu umat di antara hamba-hamba-Nya. Dia mematikan nabinya lebih dahulu maka jadilah nabi itu sebagai perintis dan pendahulu mempersiapkan keperluan umat itu,
 
Dan apabila Allah hendak membinasakan suatu umat diseksa-Nya umat itu, sedangkan nabinya masih hidup. Lalu umat itu binasa disaksikan nabinya dengan mata kepalanya, ketika mereka mendustakan dan mengingkari perintahnya."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2130.

Wednesday, March 6, 2013

Bukan Umatku

Rabu, 23 Rabiulakhir 1434H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang tidak mematuhi Imam dan memencil dari jemaah, lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah.
 
Siapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan, dan berperang kerana fanatik kesukuan(kebangsaan), dia bukanlah umat ku.
 
Dan siapa keluar dari umat ku lalu menyerang umat ku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak, dan tanpa mengindahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1815.

Tuesday, March 5, 2013

Dua Doa Rasulullah Untuk Umat

Selasa, 22 Rabiulakhir 1434H: Dari Tsauban r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memperlihatkan kepada ku (peta) bumi secara keseluruhan, sehingga aku dapat melihat bumi sebelah Timur dan Barat.
 
Dan sesungguhnya kekuasaan ummat ku akan sampai ke seluruh tempat yang telah diperlihatkan Allah Ta'ala kepada ku.
 
Kepada ku diberikan dua macam perbendaharaan, iaitu merah dan putih.
 
Aku memohon kepada Tuhan untuk membantu ummat ku, agar mereka tidak dibinasakan dengan musim susah yang panjang, dan agar mereka tidak dijajah oleh kekuasaan asing selain oleh mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka menjadi hancur luluh.
 
Tuhan ku berfirman, "Ya, Muhammad! Apabila Aku telah memutuskan suatu putusan, maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku memperkenankan doa mu untuk umat mu, bahawa mereka tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang.
 
Dan bahawa Aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sehingga kekuatan mereka hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, kecuali bila sebahagian mereka membinasakan yang sebahagian dan mereka saling tawan-menawan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2463.