Wednesday, July 31, 2024

Tidur Dalam Masjid

 Rabu, 25 Muharram 1446H  | Tidur Dalam Masjid

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي نَافِعٌ قَالَ أَخْبَرَنِي عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ يَنَامُ وَهُوَ شَابٌّ أَعْزَبُ لَا أَهْلَ لَهُ فِي مَسْجِدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Daripada Ubaidullah berkata, Nafi' telah menceritakan kepadaku katanya, Abdullah bin  Umar telah mengkhabarkan kepadaku bahawa beliau pernah tidur dalam masjid Nabi SAW, ketika itu dia seorang pemuda bujang yang belum mempunyai isteri. (HR Bukhari No: 440) Status Hadis Sahih.

Pengajaran

1. Tidur di dalam masjid hukumnya diharuskan, dengan syarat dapat menjaga ada-adab dan kebersihannya. Imam Nawawi dalam kitabnya Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab (Juz II, halaman 173-174) menjelaskan:
"Tidur di masjid hukumnya boleh, tidak makruh menurut pendapat kami. Imam Syafie Rahimahullah telah memberikan nas yang membolehkan tidur di masjid dalam kitabnya Al-Umm, dan pendapatnya itu telah disepakati oleh sahabat-sahabatnya".

2. Sesetengah orang menganggap tidur di dalam masjid memberikan 'pemandangan' yang kurang baik. Namun, ia tidak seharusnya dijadikan sebagai larangan mutlak kerana telah dijelaskan dalam hadis di atas.

3. Adab tidur di dalam masjid perlu sentiasa dipelihara mengikut sunnah Nabi SAW, diiringi dengan adab dan perlakuan yang sopan antaranya masuk ke dalam masjid dengan berwuduk, di mulakan dengan kaki kanan, menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan niat iktikaf serta menjaga aurat dan adab kesopanan di dalam masjid. 

Walaupun begitu, bagi yang ingin tidur dalam masjid perlu mengambil kira perkara berikut:

•  Mendapat kebenaran Jawatankuasa Masjid supaya tidak timbul  sebarang permasalahan.

•  Pilih di ruangan yang tidak mengganggu jemaah yang ingin solat di dalam masjid.

•  Pastikan ketika tidur dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya.

•  Jauhkan daripada perkara yang mengotorkan masjid seperti keluarnya air liur basi dan sebagainya. Justeru, sebagai salah satu caranya dengan menghamparkan cadar atau kain di tempat tidur.

•  Hormati waktu solat dan hendaklah melazimi solat berjemaah ketika berada di dalam masjid.


Tuesday, July 30, 2024

Orang Munafik Berat Solat Isyak dan Subuh Di Masjid

Selasa, 24 Muharram 1446H |  Orang  Munafik Berat Solat Isyak dan Subuh Di Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ صَلَاةٌ أَثْقَلَ عَلَى الْمُنَافِقِينَ مِنْ الْفَجْرِ وَالْعِشَاءِ وَلَوْ يَعْلَمُونَ مَا فِيهِمَا لَأَتَوْهُمَا وَلَوْ حَبْوًا لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ الْمُؤَذِّنَ فَيُقِيمَ ثُمَّ آمُرَ رَجُلًا يَؤُمُّ النَّاسَ ثُمَّ آخُذَ شُعَلًا مِنْ نَارٍ فَأُحَرِّقَ عَلَى مَنْ لَا يَخْرُجُ إِلَى الصَّلَاةِ بَعْدُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW bersabda: "Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang-orang Munafik kecuali solat subuh dan solat Isyak. Seandainya mereka mengetahui (kebaikan) yang ada pada keduanya tentulah mereka akan mendatanginya (masjid) walaupun dengan merangkak. Sungguh, aku berkeinginan untuk memerintahkan mu'adzin untuk azan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk memimpin orang ramai (mengimami) solat, lalu aku pergi bersama beberapa orang dengan membawa kayu api menuju rumah orang yang tidak keluar untuk solat berjemaah (tanpa alasan yang benar) kemudian membakar rumah-rumah mereka.  (HR Bukhari No: 617) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat isyak dan solat subuh (berat untuk menunaikan secara berjemaah di masjid).

2.  Sekiranya seseorang itu mengetahui pahala yang terdapat pada solat isyak dan subuh berjemaah, nescaya mereka akan mendatanginya (pergi ke masjid) walaupun terpaksa merangkak (kerana sakit).

3.  Rasulullah SAW memberi amaran bagi lelaki yang tidak ke masjid untuk solat waktu tanpa ada apa-apa keuzuran dengan memerintahkan muadzin untuk azan, kemudian memerintahkan seorang mengimami mereka, lalu Rasulullah SAW pergi bersama beberapa orang dengan membawa kayu bakar menuju rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah untuk membakar rumah-rumah mereka (menunjukkan pentingnya solat berjemaah di masjid).

Ayuh jangan ada sifat orang munafik pada kita. Berusaha bersungguh-sungguh untuk memelihara solat isyak dan subuh dengan berjemaah di masjid. Jangan berasa berat dan malas hingga menghalang kita ke masjid.


Monday, July 29, 2024

Ancaman Kepada Lelaki Yang Tidak Solat Berjemaah Di Masjid

Isnin, 23 Muharram 1446H  |  Ancaman Kepada Lelaki Yang Tidak Solat Berjemaah Di Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ، ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ ، فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ .

Daripada Abi Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka. (HR Bukhari No: 2420) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah menekankan kepentingan untuk lelaki Muslim mengerjakan solat fardu di Masjid.

2. Ancaman Rasulullah SAW untuk membakar orang berserta rumahnya kerana tidak mengerjakan solat fardu di masjid (tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak). Menunjukkan kepentingan solat fardu berjemaah di masjid bagi lelaki.

3. Lelaki Muslim yang mendengar azan dan tidak menunaikan solat berjemaah di masjid, solat yang dilaksanakan di rumahnya tidak akan sempurna tanpa alasan yang dibenarkan syarak. Hadis Rasulullah SAW:

مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُمْ قَالُوا مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْ فَلَا صَلَاةَ لَهُ و قَالَ بَعْضُ أَهْلِ الْعِلْمِ هَذَا عَلَى التَّغْلِيظِ وَالتَّشْدِيدِ وَلَا رُخْصَةَ لِأَحَدٍ فِي تَرْكِ الْجَمَاعَةِ إِلَّا مِنْ عُذْرٍ

Daripada sahabat Nabi SAW dengan banyak jalur, mereka mengatakan, "Barangsiapa mendengar seruan azan lalu tidak memenuhi panggilannya (hadir untuk solat), maka tidak ada solat baginya." Dan sebahagian para ahli ilmu berkata; "Hal ini sangat ditekankan dan tidak ada keringanan bagi seseorang untuk meninggalkan solat berjamaah kecuali bila ada uzur." (Sunan Tirmidzi No: 201) Status: Hadis Sahih

4. Marilah kita imarahkan Masjid dengan melaksanakan solat waktu di masjid.

Sunday, July 28, 2024

Amal Yang Dicintai Allah

Ahad, 22 Muharram 1446H  |   Amal Yang Dicintai Allah

عَنْ أَبِي عَمْرٍو الشَّيْبَانِيِّ قَالَ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلىَ دَارِ عَبْدِ اللهِ قَالَ: سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيَّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ؟ قَالَ: “الصَّلاَةُ عَلىَ وَقْتِهَا “. قُلْتُ ثُمَّ أَيُّ ؟ قَالَ: ثُمَّ “بِرُّ الْوَالِدَيْنِ ” قُلْتُ ثُمَّ أَىُّ ؟ قَالَ: ثُمَّ الْجِهَادُ فِي سَبِيْلِ اللهِ قَالَ: حَدَّثَنِيْ بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِى

Daripada Abu Amr Asy-Syaibani, ia berkata: ”Pemilik rumah ini (sambil menunjuk rumah Abdullah bin Mas’ud) memberitakan kepadaku, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah?” Maka baginda menjawab, “Solat pada waktunya.” Aku bertanya  lagi, “Lalu amalan apa lagi, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Berbakti kepada kedua orang tua.” Aku bertanya kembali, “Kemudian amalan apa lagi?” Baginda bersabda, “Kemudian berjihad di jalan Allah.” Ibnu Mas’ud berkata, “Baginda (hanya) menyebutkan perkara tersebut, jika sekiranya aku bertanya lebih banyak, maka tentu baginda akan menambahnya” (HR Bukhari  No: 527) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

Berdasarkan hadis di atas, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa antara amalan yang dicintai Allah SWT dalam kehidupan Muslim:

1.  Solat di awal waktu

2.  Berbuat baik kepada ibu bapa (sama ada semasa mereka masih hidup mahupun selepas keduanya meninggal dunia)

3.  Berjihad di jalan Allah (dalam pelbagai relong mengikut ruang dan kesempatan yang ada)

Lakukanlah amal yang dicintai Allah dalam kehidupan kita.


Saturday, July 27, 2024

Solat Fardhu Di Masjid Penghapus Dosa Dan Peninggi Darjat

Sabtu, 21 Muharram 1446H  |  Solat Fardhu Di Masjid Penghapus Dosa Dan Peninggi Darjat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالْأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Daripada Abu Hurairah RA katanya; Rasulullah SAW  bersabda: "Barangsiapa berwuduk di rumahnya, kemudian berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk melaksanakan solat fardhu yang Allah tetapkan, maka kedua langkahnya, yang satu menghapus dosa dan satu langkahan lagi meninggikan darjat." (HR Muslim No: 1070) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua kelebihan orang yang solat fardhu di masjid:

a.  Langkah kaki pertama menghapuskan dosa
b.  Langkah kaki kedua meninggikan darjat

2.  Syarat untuk mendapat keampunan dan ditinggikan darjat ialah dengan berwuduk terlebih dahulu di rumah kemudian menuju ke masjid untuk melaksanakan solat fardhu berjamaah.

Bagi orang lelaki, rebut peluang setiap waktu solat untuk mendapat keampunan melalui langkahan menuju ke masjid dan langkahan seterusnya ditinggikan darjat di sisi Allah.

Friday, July 26, 2024

Syurga Untuk Orang Solat Berjemaah Di Masjid

Jumaat, 20 Muharram 1446H |  Syurga Untuk Orang Solat Berjemaah Di Masjid

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:  Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.” (HR Muslim No: 1556) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pelihara solat waktu dengan berjemaah dengan berusaha solat fardhu di masjid  berjamaah.

2.  Orang yang meninggalkan solat fardhu di masjid bermakna ia meninggalkan antara sunnah Rasulullah SAW.

3.  Orang yang solat fardhu di masjid, akan disediakan baginya tempat di syurga.

4.  Sesungguhnya ganjaran berganda untuk mereka yang solat fardhu berjemaah di masjid. Dalam riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat salah seorang kalian bersendirian sebanyak 25 darjat. (Sahih Muslim, Kitab al-Masajid wa Mawadhi’ as-Solat, Bab Fadhl Solat al-Jama’ah, hadis no: 649)

Bagaimana dengan solat anda? Beruntunglah orang yang solat fardhu  berjemaah di masjid kerana digandakan ganjaran pahala serta disediakan bagi mereka syurga ketika dia pergi ke masjid dan ketika pulang ke rumah.


Thursday, July 25, 2024

Apa Alasan Tidak Solat Berjemaah Di Masjid

 Khamis, 19 Muharram 1446H |  Apa Alasan Tidak Solat Berjemaah Di Masjid?

عَنْ أَبِي رَزِينٍ عَنْ ابْنِ أُمِّ مَكْتُومٍ أَنَّهُ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي رَجُلٌ ضَرِيرُ الْبَصَرِ شَاسِعُ الدَّارِ وَلِي قَائِدٌ لَا يُلَائِمُنِي فَهَلْ لِي رُخْصَةٌ أَنْ أُصَلِّيَ فِي بَيْتِي قَالَ هَلْ تَسْمَعُ النِّدَاءَ قَالَ نَعَمْ قَالَ لَا أَجِدُ لَكَ رُخْصَة

Daripada Abu Razin dari Ibnu Ummi Maktum RA bahawasanya dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW; "Ya Rasulullah, aku adalah seorang yang buta dan rumahku jauh, sedangkan aku mempunyai orang yang menuntunku tapi dia tidak membantuku, maka apakah aku mendapat keringanan untuk melaksanakan solat di rumahku?"  
Baginda bersabda: "Apakah kamu mendengar azan?" 
Dia menjawab; "Ya."
Baginda bersabda: "Aku tidak mendapatkan keringanan untukmu!" 
(Sunan Abu Daud No: 465) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1. Keutamaan solat Fardu bagi orang lelaki adalah di masjid

2. Bagi orang yang sakit, terdapat keuzuran yang membenarkan mereka untuk solat di rumah

3. Rasulullah SAW mengarahkan Abdullah Ibnu Umi Makhtum (seorang yang buta) untuk turut solat di masjid kerana dia mendengar lafaz azan yang dilaungkan (tiada pengecualian dengan sebab cacat penglihatan apabila mendengar azan).

4. Imam Syafi’i dalam Mukhtashar Al-Muzani: “Adapun solat jamaah, aku tidaklah memberikan keringanan untuk ditinggalkan kecuali ada uzur.” (Ash-Shalah wa Hukmu Tarikiha, hlm. 107)

Apakah alasan kita untuk meninggalkan solat berjamaah di masjid, padahal kita dalam keadaan tidak buta, sihat tubuh badan, aman dalam  perjalanan, berdekatan rumah dengan masjid dan memiliki kenderaan?

Agaknya kita yang tidak pergi solat fardhu ke masjid ni cacat apa ye???

Wednesday, July 24, 2024

Solat Berjemaah Dimasjid Apabila Terdengar Azan

Rabu, 18 Muharram 1446H |   Solat Berjemaah Dimasjid Apabila Terdengar Azan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَمِعَ الْمُنَادِيَ فَلَمْ يَمْنَعْهُ مِنْ اتِّبَاعِهِ عُذْرٌ قَالُوا وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ لَمْ تُقْبَلْ مِنْهُ الصَّلَاةُ الَّتِي صَلَّى

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mendengarkan azan dan tidak memiliki keuzuran yang menghalangnya mengikuti solat (tidak mendatangi ke tempat dilaungkan azan iaitu masjid).  Para sahabat bertanya; Apakah alasan (uzur yang dibenarkan) itu? Baginda menjawab: "Takut atau sakit, maka tidak diterima solat yang dia kerjakan. (Sunan Abu Daud No: 464) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Lelaki Muslim yang mendengar laungan azan di masjid atau surau, menjadi tanggungjawab untuk menyahut dengan segera ke tempat azan dilaungkan untuk sama-sama solat waktu berjemaah

2.  Dua orang yang mendapat pengecualian solat berjemaah di masjid ialah orang yang sakit (sakit yang menyukarkan untuk ke masjid) serta orang yang takut (contohnya ada sesuatu yang boleh mendatangkan mudarat dipertengahan jalan).

3.  Menurut Ibnu Qudamah didalam kitab Al-Mughniyy:  "Takut" (khauf) terbahagi tiga; takut sesuatu yang mudarat ke atas diri atau harta atau ahli keluarga.

4.  Lelaki Muslim yang tidak menunaikan solat di masjid tanpa alasan syarie, solatnya tidak diterima (tidak sempurna).

5.  Menurut Imam an-Nawawi, solat berjemaah adalah tuntutan Fardu Kifayah yang diwajibkan bagi orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie ketika azan dilaungkan (contohnya seperti hujan lebat, sedang mengurus jenazah, doktor yang sedang melakukan pembedahan).


Tuesday, July 23, 2024

Pahala Solat Berterusan Dan Didoakan Malaikat

Selasa, 17 Muharram 1446H  | Pahala Solat Berterusan Dan Didoakan Malaikat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَحَدُكُمْ مَا قَعَدَ يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ فِي صَلَاةٍ مَا لَمْ يُحْدِثْ تَدْعُو لَهُ الْمَلَائِكَةُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Salah seorang diantara kalian dihitung akan sentiasa berada dalam (pahala) solat selama duduk menunggu solat, dan selama ia tidak berhadas, malaikat juga akan mendoakannya; "Ya Allah, ampunilah dia, ya Allah, rahmatilah dia." (HR Muslim No: 1063) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang berada di masjid awal atau iktikaf sambil menunggu waktu solat seterusnya di masjid untuk solat berjemaah, akan mendapat ganjaran pahala seolah-olah sentiasa berada dalam keadaan solat selama ia masih menanti waktu solat seterusnya di tempat solat tersebut  (di masjid) selama mana ia masih berwuduk.

2.  Orang yang berada dalam keadaan berwuduk serta berada di masjid sementara menunggu waktu solat seterusnya, para malaikat akan berdoa untuknya agar dosanya diampunkan dan dia sentiasa dirahmati Allah.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ اللَّهُمَّ ارْحَمْهُ

Ya Allah, ampunilah dia, ya Allah, rahmatilah dia.

Ayuh rebut pahala berterusan dan mendapat doa dari Malaikat dengan kita berada di masjid sementara menunggu masuknya waktu solat seterusnya.


Monday, July 22, 2024

Orang Yang Paling Banyak Pahala Solat Di Masjid

 Isnin, 16 Muharram 1446H | Orang Yang Paling Banyak Pahala Solat Di Masjid

عَنْ أَبِي مُوسَى قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْظَمُ النَّاسِ أَجْرًا فِي الصَّلَاةِ أَبْعَدُهُمْ فَأَبْعَدُهُمْ مَمْشًى وَالَّذِي يَنْتَظِرُ الصَّلَاةَ حَتَّى يُصَلِّيَهَا مَعَ الْإِمَامِ أَعْظَمُ أَجْرًا مِنْ الَّذِي يُصَلِّي ثُمَّ يَنَامُ

Daripada Abu Musa berkata, "Nabi SAW bersabda: "Orang yang paling banyak mendapatkan pahala dalam solat adalah mereka yang paling jauh (jarak rumahnya ke masjid), kerana paling jauh dalam perjalanannya menuju masjid. Dan orang yang menunggu solat hingga dia melaksanakan solat bersama imam lebih besar pahalanya dari orang yang melaksanakan solat kemudian tidur." (Sahih Bukhari No: 614) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang paling banyak mendapatkan pahala dalam solat di masjid:

a.  Orang yang paling jauh jarak rumahnya ke masjid

b.  Orang yang menunggu solat hingga dia melaksanakan solat bersama imam (tidak solat sendirian)

2.  Beruntung mereka yang rumahnya jauh dari masjid namun tetap datang ke masjid. Semoga orang yang lebih jauh jarak rumahnya lebih semangat untuk ke masjid kerana pahalanya lebih besar dibandingkan dengan orang yang rumahnya dekat dan mudah untuk ke masjid.

3.  Seseorang yang menunggu solat dengan datang awal ke masjid hingga dia melaksanakan solat bersama imam, lebih besar pahalanya dari orang yang melaksanakan solat (hanya datang pada waktu hampir solat didirikan).

4.  Ganjaran pahala bertambah dengan seseorang mengambil kesempatan berada di masjid antara dua waktu solat seperti waktu maghrib dan menunggu sehingga waktu isya – sama ada membaca al-Quran, berzkir, mendengar kuliah atau bergaul mesra merapatkan hubungan ukhuwah sesama ahli jamaah.


Sunday, July 21, 2024

Ganjaran Pahala Haji dan Umrah Ketika Solat Subuh Berjemaah

Ahad, 15 Muharram 1446H  |   Ganjaran Pahala Haji dan Umrah Ketika Solat Subuh Berjemaah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى الْغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَامَّةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ

Daripada Anas bin Malik RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang solat subuh berjamaah  kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah." dia (Anas radliallahu 'anhu) berkata, Rasulullah bersabda: "Sempurna, sempurna, sempurna." (HR Tirmizi No: 535) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ganjaran pahala berganda sentiasa disediakan kepada setiap Muslim yang menunaikan solat berjemaah khususnya di masjid.

2.  Barang siapa yang solat subuh berjamaah  kemudian duduk berzikir sampai matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat (solat isyrak atau duha), maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.

3.  Solat Isyraq bermula setelah matahari naik pada kadar segalah iaitu lebih kurang 1.5 meter atau kira-kira 12-15 minit selepas matahari terbit (12-15 minit selepas waktu Syuruk – BUKAN sebaik sahaja masuk waktu syuruk – waktu syuruk adalah waktu terbit matahari menandakan berakhirnya waktu solat subuh) (Rujuk Bughyat al-Muthatawwi’ fi Solaat al-Tathawwu’: 58).

4.  Rasulullah mengulangi tiga kali kalimat "Sempurna" (dianugerahkan ganjaran seperti pahala mengerjakan ibadat haji dan umrah yang sempurna).

Rebutlah peluang ganjaran pahala seumpama mengerjakan haji dan umrah.

Saturday, July 20, 2024

Didik Anak Untuk Solat

Sabtu, 14 Muharram 1446H  |   Didik Anak Untuk Solat

عَنْ عَمِّهِ عَبْدِ الْمَلِكِ بْنِ الرَّبِيعِ بْنِ سَبْرَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا الصَّبِيَّ الصَّلَاةَ ابْنَ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُ عَلَيْهَا ابْنَ عَشْرٍ

Daripada Abdul Malik bin Ar Rabi' bin Sabrah dari Ayahnya dari datuknya ia berkata; "Rasulullah SAW  bersabda: "Ajarkanlah solat kepada anak-anak diumur tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika meninggalkan solat di umur sepuluh tahun." (HR Tirmizi No: 372) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Didiklah anak-anak kita untuk mengerjakan solat sejak dari kecil. Ajaklah mereka solat bersama dan berjemaah.

2.  Proses membimbing, memujuk, dan menggalakkan anak-anak agar menunaikan solat sejak berumur 7 tahun hingga 10 tahun dengan sabar dan bersungguh-sungguh (3 tahun mengasuh dan membimbing anak agar solat sehingga ia menjadi tabiat dan kebiasaan).

3.  Disiplinkan anak-anak dengan menghukum mereka apabila berumur 10 tahun jika masih enggan menunaikan solat .

4.  Sayangilah anak-anak kita dengan memberikan didikan yang betul dan bersungguh-sungguh sejak berusia 7 hingga 10 tahun dengan belaian, bimbingan, pujukan, penghargaan selama 3 tahun. Namun selepas berusia 10 tahun, jika mereka masih enggan melaksanakannya maka perlu didisiplinkan dengan menghukum dengan kadar yang dibenarkan syara.    
     
Ayuh, didik anak-anak agar solat dengan cara yang betul.     


Friday, July 19, 2024

Masjid Sebagai Rumah Orang Bertaqwa

Jumaat, 13 Muharram 1446H |   Masjid Sebagai Rumah Orang Bertaqwa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ اَلْمَسْجِدُ بَيتُ كُلِّ تَقِيٍّ وَتَكَفَّلَ اللهُ لِمَن كَانَ الْمَسْجِدُ بَيْتَهُ بِالرَّوحِ وَالرَّحْمَةِ وَالْجَوَازِ عَلَى  صِرَاطٍ إِلَى رِضْوَانِ اللهِ إِلَى الْجَنَّةِ

Daripada Abi Darda, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Masjid itu rumah bagi orang-orang yang bertaqwa. Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya dengan roh yang damai rahmat dari Allah melimpah-limpah dan melepasi titian sirat menuju reda Allah di dalam syurga” (HR Tabrani No 6020) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Masjid adalah rumah untuk orang yang bertaqwa.

2.  Usahakanlah Masjid sebagai rumah ke dua kita yang tetap kita "pulang" ketika masuk waktu solat fardhu.

3.  Allah menjamin kepada orang yang menjadikan masjid sebagai rumahnya untuk dimakmurkan dengan limpahan rahmat kasih sayang Allah yang melimpah ruah.

4.  Masjid akan menjadi syafaat kepada pemakmurnya  di hari kiamat sebagai kenderaan untuk melintas titian sirat menuju ke syurga.

5.  Jadikanlah kunjungan ke masjid sebagai bukti keimanan kita. Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا رَأَيْتُمْ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسَاجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Daripada Abi Said al-Khudri daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Apabila kamu melihat seseorang lelaki sentiasa mengunjungi masjid, maka saksikanlah yang ia adalah seorang yang beriman” (HR Ibn Majah No : 794)

Masjid Quba dan Masjid Madinah adalah bangunan pertama yang Rasulullah dirikan dalam peristiwa hijrah sebagai asas pembinaan ummah. Ayuh ajak ahli keluarga kita bersama untuk  memakmurkan masjid. Semoga ia menjadi syafaat untuk kita memasuki Syurga.


Thursday, July 18, 2024

Mengutamakan Orang Lain

Khamis, 12 Muharram 1446H  |    Mengutamakan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَعَثَ إِلَى نِسَائِهِ فَقُلْنَ مَا مَعَنَا إِلَّا الْمَاءُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَضُمُّ أَوْ يُضِيفُ هَذَا فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ أَنَا فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى امْرَأَتِهِ فَقَالَ أَكْرِمِي ضَيْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ مَا عِنْدَنَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي فَقَالَ هَيِّئِي طَعَامَكِ وَأَصْبِحِي سِرَاجَكِ وَنَوِّمِي صِبْيَانَكِ إِذَا أَرَادُوا عَشَاءً فَهَيَّأَتْ طَعَامَهَا وَأَصْبَحَتْ سِرَاجَهَا وَنَوَّمَتْ صِبْيَانَهَا ثُمَّ قَامَتْ كَأَنَّهَا تُصْلِحُ سِرَاجَهَا فَأَطْفَأَتْهُ فَجَعَلَا يُرِيَانِهِ أَنَّهُمَا يَأْكُلَانِ فَبَاتَا طَاوِيَيْنِ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ ضَحِكَ اللَّهُ اللَّيْلَةَ أَوْ عَجِبَ مِنْ فَعَالِكُمَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ: (وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ )

Daripada Abu Hurairah RA bahawa ada seorang lelaki (yang susah) datang kepada Nabi SAW lalu baginda memberitahu para isteri baginda (jika ada sesuatu yang boleh diberi). Para isteri baginda berkata; "Kami tidak mempunyai apa-apa selain air". Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada orang ramai: "Siapakah yang mahu mengajak atau menjamu orang ini?". Maka seorang lelaki Ansar berkata; "Aku". Lelaki Ansar itu pulang bersama lelaki tadi menemui isterinya lalu berkata; "Muliakanlah tamu Rasulullah SAW ini". Isterinya berkata; "Kita tidak memiliki apa-apa kecuali sepotong roti untuk anak kita". Lelaki Ansar itu berkata; "Sediakanlah makanan itu, tidurkanlah anak kita dan matikanlah lampu". Ketika mereka hendak menikmati makan malam, maka isterinya menyediakan makanan itu lalu mematikan lampu dan menidurkan anaknya kemudian dia berdiri seakan hendak memperbaiki lampunya, lalu dimatikannya kembali. Suami-isteri hanya menggerak-gerakkan mulutnya (seperti mengunyah sesuatu) seolah keduanya turut menikmati hidangan. Kemudian keduanya tidur dalam keadaan lapar kerana tidak makan malam. Ketika pagi harinya, lelaki Ansar menemui Rasulullah SAW. Maka baginda berkata: "Malam tadi Allah kagum kerana perbuatan kalian berdua". Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Hasyr ayat 9 yang artinya: (Dan mereka lebih mengutamakan orang lain (Muhajirin) dari pada diri mereka sendiri sekalipun mereka memerlukan apa yang mereka berikan itu. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung). (HR Bukhari No: 3514) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh terbaik dengan berusaha tidak menghampakan setiap yang datang menemui baginda

2.  Melayani tetamu adalah antara tuntutan akhlak terpuji seorang Muslim

3.  Memiliki sifat "itsar”  (mengutamakan orang lain) melebihi diri sendiri adalah akhlak yang dikagumi dan suatu kemuliaan di sisi Allah

4.  Mengutamakan dan memuliakan orang lain adalah satu daripada akhlak terpuji yang perlu diasuh sebagai satu daripada sifat RAHMAH seorang Muslim.

Marilah kita berusaha untuk memiliki sifat “itsar” agar menjadi orang yang mulia disisi Allah.


Wednesday, July 17, 2024

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

Rabu, 11 Muharram 1446H  |  Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh badan. Apabila ada salah satu anggota tubuh badan yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.


Tuesday, July 16, 2024

Amalan Pintu Kebaikan

Selasa, 10 Muharram 1446H  |  Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Puasa sunat pada bulan Muharam antaranya puasa Tasu’a pada 9hb Muharam dan puasa Asyura pada 10 hb Muharam moga menjadi salah satu pintu kebaikan serta perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi antara pintu kebaikan serta pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.


Monday, July 15, 2024

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

 Isnin, 9 Muharram 1446H  | Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Rasulullah SAW  tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam), mereka berkata; "Lebih tepatnya pada hari Musa mengalahkan Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah." (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10 muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

2.  Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

3.  Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah.

Moga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang cinta dan kasih kepada para RasulNya. SELAMAT BERPUASA sunat di bulan Muharam.


Sunday, July 14, 2024

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

 Ahad, 8 Muharram 1446H  | Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, aku mendengar Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa melakukan puasa satu hari di jalan Allah (dalam melakukan ketaatan pada Allah / jihad ), maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh perjalanan 70 tahun. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa adalah antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada neraka.

2.  Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

3.  Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.

4.  Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk melakukan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Dari Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Putih) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Marilah kita melakukan puasa sunat pada sepanjang bulan Muharam ini selain daripada puasa pada hari ke 9 (Tasu’a), hari ke 10 (Asyura). Disamping  puasa sunat hari Isnin dan Khamis juga puasa hari-hari puteh pada 13hb, 14hb dan 15hb Muharam.

Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.


Saturday, July 13, 2024

Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

Sabtu, 7 Muharram 1446H  |   Puasa Tasu’a (puasa 9hb Muharram)

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُا حِينَ صَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ قَالَ فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Abdullah bin Abbas RA, beliau menceritakan: Ketika Nabi SAW melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk puasa. Kemudian ada sahabat yang berkata: Ya Rasulullah, sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diagungkan orang Yahudi dan Nasrani. Kemudian Nabi SAW bersabda: “Tahun depan, Insha Allah kita akan berpuasa pada hari ke sembilan.” Namun, belum sampai tahun depan, Nabi SAW diwafatkan. (HR. Muslim No: 1916) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara hari yang digalakan berpuasa pada bulan Muharam ialah puasa sunat hari Tasu'a (9hb Muharam) iaitu sehari sebelum hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa dua hari iaitu puasa sunat Tasu'a (9hb Muharam)  dan puasa sunat Asyura (10hb Muharam) adalah untuk membezakan amalan berpuasa seorang Muslim dengan puasa orang Yahudi dan Keristian.

3.  Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Marilah kita tunaikan puasa Sunat Tasu'a (9hb Muharam) yang jatuh pada 15hb Julai hari Isnin dan puasa Sunat Asyura (10hb Muharam) pada 16hb Julai hari Selasa. Moga Allah akan mengampukan dosa-dosa kita setahun yang lalu.

Mungkinkah Muharam ini tidak akan kita temui pada tahun hadapan?


Friday, July 12, 2024

Puasa Asyura

Jumaat, 6 Muharram 1446H |   Puasa Asyura

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ

Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa setahun yang lalu (Imam Nawawi kata diampunkan segala dosa kecil). Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura. Semoga amalan berpuasa sunat Asyura akan menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu. Jadilah Muslim yang memiliki jati diri yang kukuh, bersih dari dosa dan maksiat. 

Thursday, July 11, 2024

Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

Khamis, 5 Muharram 1446H  |  Ukhuwah Faktor Kejayaan Membina Negara

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, dari Nabi SAW, sabdanya: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ukhuwah sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Kesempurnaan iman seseorang ditunjukkan dengan sifat mengasihi saudara Muslim yang lain seperti ia mengasihi dirinya sendiri.

3.  Mengikut Sarjana Muslim, maksud kasih sayang adalah:

a.  Sifat memberikan manfaat kepada orang lain

b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Sebelum peristiwa Hijrah, Rasulullah SAW telah mengislamkan beberapa orang pimpinan kaum Aus dan Khazraj dan mereka telah dipersaudarakan yang sebelum ini puluhan tahun sering berperang dan bermusuhan tanpa henti. Tiada lagi permusuhan antara mereka, bahkan mereka saling berkasih sayang, bantu membantu antara satu sama lain. Apabila berlaku peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah mempersaudarakan pula golongan Muhajirin dan Ansar. 

5.  Langkah strategik Rasulullah SAW mempersaudarakan ini demi memastikan ikatan ukhuwah dan persaudaraan dalam kalangan penduduk Madinah kukuh terpatri. Ia menjadi faktor utama kepada kejayaan pembinaan Negara Madinah yang digeruni dan dihormati oleh kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi.

6.  Marilah kita menjadikan peristiwa hijrah ini dengan menyemarakkan ikatan saling berkasih sayang. Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan perpaduan bersama.


Wednesday, July 10, 2024

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

Rabu, 4 Muharram 1446H   | Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari." (HR Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ….. وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid. (Sahih Bukhari: 660)

3.Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Tempat pertama yang Rasulullah SAW bina ketika sampai ke Quba dalam peristiwa hijrah baginda adalah Masjid iaitu masjid Quba. Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Sahutlah seruan muazin ketika azan dikumandangkan … “Hayya a’lal Solah, Hayya a’lal Falah” (mari menunaikan solat, mari menuju kejayaan)… Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.


Tuesday, July 9, 2024

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

Selasa, 3 Muharram 1446H   |  Membangun dan Mengimarahkan Masjid

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga." (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.

2.  Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dalam kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang  beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (Surah At-Taubah: 18).

3.  Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan “memakmurkan” dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a.  Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya
b.  Membangun masjid dan memperbaikinya.

4.  Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

5.  Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan.

6.  Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.

Marilah sempena Sambutan Hijrah 1446 ini kita mencontohi kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah dengan dimulakan di masjid. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Kita.

Monday, July 8, 2024

Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

Isnin, 2 Muharram 1446H  |  Muharam Bulan Afdhal Puasa Selepas Ramadan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال‏:‏ قال رسول الله صلى الله عليه وسلم‏:‏  أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْمَفْرُوضَةِ صَلاَةٌ مِنَ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seafdhal-afdhal puasa setelah bulan Ramadhan adalah berpuasa pada bulan Allah al-Muharram dan sesungguhnya solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud). 

(HR Abu Daud No: 2429) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di antara amalan soleh yang sangat digalakkan untuk umat Islam lakukan pada bulan Muharram adalah dengan memperbanyakkan berpuasa sunat.

2.  Sebaik-baik puasa setelah puasa wajib di bulan Ramadan adalah puasa sunat di bulan Muharam.

3.  Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Maka jawab baginda SAW:

إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ فَصُمِ الْمُحَرَّمَ فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ

Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah. (HR Tirmizi No: 741)

4.  Bulan Muharram disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam. Umum mengetahui jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka ianya menjadi suatu yang mulia. Sama seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.

5.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

6.  Solat yang paling afdhal setelah solat fardhu adalah solat malam (Tahajud).

Marilah kita perbanyakkan berpuasa sunat pada bulan ini, antaranya puasa sunat Isnin, Khamis, puasa sunat hari puteh (13, 14 dan 15 hb) juga puasa Sunat Tasuua’a dan Asyura pada 9 dan 10 hb Muharam.


Niat dan Hijrah Kerana Allah

Ahad,1 Muharram 1446H | Niat dan Hijrah Kerana Allah

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ: إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى. فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ.

Daripada Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattab RA, dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya setiap perbuatan  tergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kerana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan siapa yang hijrahnya kerana dunia yang ia menginginkannya atau wanita yang ingin dikahwininya maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya (yang dia niatkan). (HR Bukhari No: 1) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal seseorang itu bergantung kepada niat.

2.  Niat merupakan syarat diterima atau tidaknya sesuatu amal perbuatan. Amal ibadah tidak akan menghasilkan pahala kecuali berdasarkan niat (kerana Allah).

3.  Ikhlas melakukan sesuatu amal semata-mata kerana Allah adalah dituntut pada semua amal dan ibadah.

4.  Ganjaran pahala seorang mukmin akan diberi berdasarkan kadar niatnya.

5.  Orang yang berhijrah atau melakukan sesuatu perbuatan kerana dunia, maka dia hanya akan dapat dunia yang diinginkan.

6.  Orang yang berhijrah kerana wanita, dia juga hanya akan dapat seperti yang diniatkan.

7.  Orang yang berhijrah kerana Allah, dia akan memperoleh apa yang diniatkan dengan ganjaran pahala.

8.  Hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang buruk dan dilarang oleh Allah kepada melakukan sesuatu yang lebih baik dan diredai Allah. Mari bersama berhijrah.

Lakukanlah apa juga amal kebaikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Berusahalah melakukan hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan diredai serta meninggalkan segala perkara yang buruk dan dosa.


Saturday, July 6, 2024

Hijrah Untuk Kesejahteraan

 Sabtu, 29 Zulhijjah 1445H  |  Hijrah Untuk Kesejahteraan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa  selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).

2.  Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3.  Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain.  Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4.  Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5.  Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan.  Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1446

Friday, July 5, 2024

Bertengkar Umpama Orang Gila Yang Dirasuk Syaitan

Jumaat, 28 Zulhijjah 1445H |  Bertengkar Umpama Orang Gila Yang Dirasuk Syaitan

عَنْ عَدِيِّ بْنِ ثَابِتٍ عَنْ سُلَيْمَانَ بْنِ صُرَدٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجُلَانِ يَسْتَبَّانِ فَأَحَدُهُمَا احْمَرَّ وَجْهُهُ وَانْتَفَخَتْ أَوْدَاجُهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي لَأَعْلَمُ كَلِمَةً لَوْ قَالَهَا ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ لَوْ قَالَ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ذَهَبَ عَنْهُ مَا يَجِدُ فَقَالُوا لَهُ إِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَقَالَ وَهَلْ بِي جُنُونٌ

Daripada 'Adiy bin Tsabit dari Sulaiman bin Shurad berkata; "Aku sedang duduk bersama Nabi SAW dan ada dua orang yang saling mencaci. Seorang diantaranya merah wajahnya dan urat lehernya menegang. Maka Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya aku mengetahui satu kalimat yang bila diucapkan akan hilang apa yang sedang dialaminya. Seandainya dia mengatakan a'uudzu billahi minasy syaitan", (aku berlindung kepada Allah dari syaitan) ". Lalu ada sahabat mengatakan kepada orang tersebut kalimah itu; "Sesungguhnya Nabi SAW bersabda; "Berlindungkah kamu kepada Allah dari syaitan". Orang itu berkata: "Apakah aku sudah gila?". (HR Bukhari No: 3040) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pergaduhan dan pertengkaran sesama kita adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.

2.  Orang yang berbalah dan bertengkar akan saling caci mencaci sesama mereka

3.  Orang yang sedang bertengkar akan mudah dikuasai oleh syaitan  dan seperti orang gila yang hilang pertimbangan, sehingga apa yang dituturkan atau ditulis berupa cacian dan makian tanpa memikirkan baik dan buruk.

4.  Orang yang sedang marah bukan hanya suaranya meninggi dan kasar malah wajahnya turut berubah menjadi merah dan uratnya menegang.

5.  Rasulullah SAW mengajar agar dibaca kalimah istiazah yang jika dibaca akan terhindarkan dari syaitan dan kemarahan itu akan mengendur:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ

6.  Ketika hendak membaca al-quran juga disuruh membaca istiazah, apatah lagi dalam urusan lain. Firman Allah:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Apabila kamu membaca Al-Qur'an, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk. (al-nahl: 98)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan memohon perlindungan kepada Allah daripada syaitan. Lebih-lebih lagi apabila kita sedang marah agar terpelihara dari syaitan.


Thursday, July 4, 2024

Larangan Membuat Tuduhan Buruk

Khamis, 27 Zulhijjah 1445H |  Larangan Membuat Tuduhan Buruk

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Daripada Abu Zar RA bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (HR Bukhari No: 5585) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim dilarang membuat tuduhan buruk sesama Muslim.

2.  Islam melarang melempar tuduhan fasik ataupun kufur kepada saudara Islam yang lain.

3.  Jika tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar, sifat fasik dan kufur itu akan terkena kepadanya. Dalam hadis yang lain menyebutkan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Siapa saja yang berkata kepada saudaranya; "Wahai Kafir" maka boleh jadi akan kembali kepada salah satu dari keduanya." (HR Bukhari No: 5639) Status: Hadis Sahih

Jauhilah amalan suka mencela serta mengelarkan dengan gelaran buruk terhadap orang lain.

Wednesday, July 3, 2024

Larangan Mencela Sesama Muslim

Rabu, 26 Zulhijjah 1445H |   Larangan Mencela Sesama Muslim

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ سَعْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

Daripada Muhammad bin Sa'd dari Sa'ad, dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mencaci orang muslim adalah kefasikan dan memeranginya adalah kekufuran." (HR Ibnu Majah No: 3931) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mencaci orang Islam itu termasuk perbuatan fasik.

2.  Memerangi orang Islam itu termasuk perbuatan kufur.

3.  Allah melarang orang beriman dari saling mencela. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِّن قَوْمٍ عَسَى أَن يَكُونُوا خَيْراً مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاء مِّن نِّسَاء عَسَى أَن يَكُنَّ خَيْراً مِّنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الاِسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki mencela kumpulan yang lain, boleh jadi yang dicela itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan mencela kumpulan lainnya, boleh jadi yang dicela itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim “ (QS. Al Hujuraat :11)

4.  Imam At Thabari menyatakan: larangan ini mencakup seluruh bentuk celaan dan cacian. Tidak boleh seorang mukmin mencela mukmin yang lain kerana kemiskinannya, kerana perbuatan dosa yang telah dilakukannya, juga sebab yang lainnya” (Lihat Jaami’ul Bayan).

5.  Sikap mencela orang lain itu berpunca dari rasa sombong dan ujub terhadap dirinya sendiri yang merasakan dirinya lebih baik.

6.  Seorang Mukmin tidak akan memanggil atau menggelar orang lain dengan gelaran atau panggilan yang buruk.

Marilah kita bersifat RAHMAH. Moga kita dijauhi dari sifat suka mencela dan menghina orang lain.


Tuesday, July 2, 2024

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib Orang Lain

  Selasa, 25 Zulhijjah 1445H  |  Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib Orang Lain

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya." (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

2.  Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.

3.  Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah)

4.  Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat.


Monday, July 1, 2024

Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

Isnin, 24 Zulhijjah 1445H  |   Penyebab Ramai Masuk Syurga Atau Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ قَالَ التَّقْوَى وَحُسْنُ الْخُلُقِ وَسُئِلَ مَا أَكْثَرُ مَا يُدْخِلُ النَّارَ قَالَ الْأَجْوَفَانِ الْفَمُ وَالْفَرْجُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW pernah di tanya; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk syurga?" baginda menjawab: "Taqwa kepada Allah dan akhlak yang mulia." Baginda di tanya lagi; "Perkara apa yang banyak menyebabkan orang masuk neraka?" baginda menjawab: "Dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan." (HR Ibnu Majah No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bertaqwa kepada Allah dan memiliki akhlak yang mulia antara perkara yang banyak menyebabkan orang masuk syurga dengan rahmat Allah.

2.  Dua perkara yang banyak menyebabkan orang masuk neraka ialah dua rongga yang terbuka iaitu mulut dan kemaluan.

3.  Syeikh Abdullah al-Talidi dalam Jawahir al-Bihar menyatakan: maksud mulut di dalam hadis adalah orang yang tidak menjaga serta berusaha untuk menjaga daripada dosa-dosa mulut seperti mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengejek, menipu, mengumpat, mengadu domba, persaksian palsu dan sebagainya. Selain itu, makna kemaluan pula adalah orang yang tidak menjaga kemaluannya daripada zina, liwat, tidak menjaga auratnya di hadapan selain daripada mahramnya seperti isterinya dan sebagainya.

4.  Syeikh al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan: makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.

Jadilah orang yang bertaqwa dan memiliki akhlak yang mulia. Peliharalah mulut dan kemaluan.