Monday, March 23, 2026

Puasa Sunat Enam Syawal

Isnin, 3 Syawal 1447H  |   Puasa Sunat Enam Syawal 

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (Sahih Muslim No: 1984) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1.  Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.

2.  Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat di bulan Syawal sebanyak enam hari, ganjaran pahala yang diperoleh setara dengan berpuasa sepanjang tahun.

3.  Menurut Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”. (10 bulan + 2 bulan menyamai 12 bulan atau setahun)

4.  Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat boleh bermula pada dua, tiga, empat hari raya Aidil Fitri atau bila-bila masa pada bulan Syawal kecuali 1 haribulan Syawal sehingga berakhirnya Syawal.

5.  Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”

6.  Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, antara hikmah puasa enam hari Syawal ialah sebagai penyempurna kekurangan puasa Ramadan, sebagaimana solat sunat menampung kekurangan solat fardu juga sebagai tanda bahawa seseorang itu terus istiqamah dalam ibadah selepas Ramadan

Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

Jadilah kita seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan janganlah kita menjadi seorang Ramadani (orang yang hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadan). 

Sunday, March 22, 2026

Kesempurnaan Iman Natijah Akhlak Mulia

Ahad, 2 Syawal 1447H  |   Kesempurnaan Iman Natijah Akhlak Mulia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia memuliakan tetamunya, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah ia menyambung hubungan silaturahim, dan barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akhlak yang baik adalah manifestasi iman. Iman yang sebenar akan melahirkan tingkah laku yang mulia. Iman bukan sekadar kepercayaan tetapi perlu dizahirkan melalui perbuatan.

2.  Memuliakan tetamu adalah antara syarat orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Menyambut tetamu dengan baik, memberikan layanan yang baik, dan memastikan mereka merasa dihargai adalah antara cara memuliakan tetamu.

3.  Menyambung hubungan silaturahim dengan kerabat adalah tanda orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Antaranya dengan menjaga hubungan baik dengan kerabat, membantu yang memerlukan, memperbaiki hubungan yang terputus, menjenguk mereka yang sakit dan menunjukkan rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap mereka.

4.  Tanda orang beriman kepada Allah dan hari akhirat juga apabila bertutur atau bercakap, ia akan bertutur sesuatu yang baik dan mendatangkan pahala (termasuk sesuatu yang ditulis dan di forward).

5.  Jika sesuatu yang akan dituturkan atau yang ditulis dan di forward, mendatangkan mudarat dan keburukan, lebih baik kita berdiam diri.  Menjaga lidah adalah kunci keselamatan.

6.  Ambillah peluang sempena Syawal untuk mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga  melalui kunjung-mengunjung sesama kita. Jaga lidah kita. Jadikanlah tuturkata, penulisan serta komen kita sesuatu yang berfaedah dan mendatangkan pahala.

7.  Hadis ini menegaskan bahawa kesempurnaan iman tidak terpisah daripada akhlak. Seorang Muslim yang benar-benar beriman akan memuliakan tetamu, menjaga hubungan kekeluargaan, dan mengawal lidahnya. Ia menjadi panduan lengkap dalam membina masyarakat yang harmoni, beradab dan diredai Allah SWT.


Friday, March 20, 2026

Ucapan Apabila Bertemu Di Hari Raya

Jumaat, 30 Ramadhan 1447H  |   Ucapan Apabila Bertemu Di Hari Raya 

فعن جُبَيْرِ بْنِ نُفَيْرٍ قَالَ : كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا اِلْتَقَوْا يَوْمَ الْعِيدِ يَقُولُ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ : تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْك . قال الحافظ : إسناده حسن .

Daripada Jubair bin Nufair, ia berkata bahawa apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu pada hari raya (Edul Fitri atau Edul Adha), sebahagian mereka mengucapkan kepada sebahagian yang lain: “Taqobbalallahu minna wa minka (Semoga Allah menerima amalku dan amal kalian).” Al-Hafizh Ibnu Hajar mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan.

قَالَ:لَقِيتُ وَاثِلَةَ يَوْمَ عِيدٍ فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ فَقَالَ: نَعَمْ تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ.

Berkata Wathilah: Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka" (Semoga Allah menerima segala amalan daripada kami dan daripada kamu), baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" (HR Tobrani No: 17589)

Pengajaran:

1.  Antara amalan yang dituntut pada hari raya ialah saling doa mendoakan apabila bertemu agar Allah menerima segala ibadah yang dilakukan dengan keikhlasan dan kesungguhan.

2.  Ucapan yang disunatkan ketika bertemu sesama muslim pada hari raya agar segala amal diterima Allah ialah

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكَ
(Semoga Allah menerima [amal ibadat di Ramadhan] dari kami dan kamu)

Semoga ucapan ini akan mengeratkan hubungan sesama Muslim dan memberi semangat kepada kita.

3.  Hari raya bukan sekadar hari kegembiraan, tetapi hari mengharapkan penerimaan amal oleh Allah setelah beribadah sepanjang Ramadan. Islam menggalakkan saling mendoakan dan mengeratkan ukhuwah dalam masyarakat.

4.  Ucapan hari raya seharusnya mengandungi doa dan makna yang baik, bukan sekadar ucapan kosong.

5.  Selain daripada itu kita juga digalakkan saling ziarah menziarahi agar dapat merapatkan ukhuwwah. Nabi SAW pernah bersabda :

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ أَوْ يُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya. (Sahih Bukhari No: 1961) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Moga Allah menerima segala amalan kita sepanjang Ramadan dan meredai kita sepanjang masa. Moga dipertemukan pada ramadan tahun akan datang.


Thursday, March 19, 2026

Amalan Di Hari Raya

Khamis, 29 Ramadhan 1447H  |  Amalan Di Hari Raya

عَنْ حَفْصَةَ عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ

Daripada Hafshah RA daripada Ummu Athiyyah berkata, "Pada hari Raya kami diperintahkan untuk keluar sehingga kami mengajak anak-anak gadis dari biliknya dan juga para wanita yang sedang haid. Mereka duduk di belakang barisan laki-laki dan mengucapkan takbir mengikuti takbir laki-laki, dan berdoa mengikuti doanya laki-laki dengan mengharap barakah dan kesucian hari raya tersebut." (Sahih Bukhari No: 298) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hari Raya Eid Fitri perlu disambut dengan kegembiraan bersama seluruh isi keluarga

2.  Antara amalan yang diperintahkan oleh Rasulullah kepada para sahabat pada pagi hari raya ialah bersama anak isteri  (termasuk wanita walaupun dalam haid) untuk sama-sama berada di tempat perhimpunan seluruh kaum muslimin menyambut hari raya.

3.  Menurut Imam al-Nawawi, hadis ini menunjukkan bahawa wanita juga digalakkan menghadiri perhimpunan hari raya, termasuk wanita yang belum berkahwin juga yang sedang haid dengan menjaga adab dan kesopanan. Tujuannya ialah supaya mereka dapat menyaksikan syiar Islam, mendengar nasihat, dan berkongsi kegembiraan bersama umat Islam.

4.  Meskipun solat adalah amalan utama dalam menyambut hari raya, doa dan takbir juga merupakan cara untuk meraih keberkatan. Hari raya adalah masa untuk meningkatkan ibadah dan berdoa kepada Allah, berharap agar diberi kebaikan, keberkatan, dan kesucian dalam hidup. Setiap lelaki dan wanita Islam diperintahkan bertakbir dan turut sama berdoa (walaupun dalam keadaan haid).

5.  Antara amalan lain Rasulullah di pagi hari raya adalah bersedekah.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى يَوْمَ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلَا بَعْدَهَا ثُمَّ أَتَى النِّسَاءَ وَمَعَهُ بِلَالٌ فَأَمَرَهُنَّ بِالصَّدَقَةِ فَجَعَلْنَ يُلْقِينَ تُلْقِي الْمَرْأَةُ خُرْصَهَا وَسِخَابَهَا

Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW melaksanakan solat Hari Raya Aidil Fitri dua rakaat dan tidak solat sebelum atau sesudahnya. Kemudian baginda mendatangi para wanita dan memerintahkan mereka untuk bersedekah. Maka para wanita memberikan sedekah hingga ada seorang wanita yang memberikan anting dan kalungnya." (Sahih Bukhari No: 921). Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

6.  Saling bersedekah sebagai tanda keperihatinan terhadap orang yang kurang berada terutama ketika kita bergembira dengan pelbagai juadah raya. Teruskan sumbangan kita walaupun sebaik-sebaik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Dengan sedekah yang diberi akan menggembirakan orang lain. Termasuklah pemberian duit raya kepada orang yang lemah serta kanak-kanak.


Wednesday, March 18, 2026

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

Rabu, 18 Ramadhan 1447H  |   Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Amat rugi (celaka) orang yang apabila disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di sisinya, tetapi ia tidak berselawat kepadaku. Amat rugi (celaka) orang yang apabila Ramadan datang, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Amat rugi (celaka) orang yang mendapati kedua ibu bapanya telah tua disisinya, tetapi keadaan itu tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Amat rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. (HR Tirmizi No: 3469) Status: Sahih
 
2.  Ramadan adalah bulan anugerah istimewa kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk mendapat keampunan Allah dengan melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, iktikaf, wirid, zikir, istighfar, bersahur, berdoa dan bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa kita yang lalu.

4.  Memuliakan dan berbakti kepada kedua orang tua adalah suatu kewajipan, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Amat rugi mereka yang masih ada ibu bapa tetapi tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka.

5.  Hadis ini memberi peringatan kepada kita mengenai tiga peluang besar yang boleh membawa kepada kebahagiaan dan keampunan Allah, iaitu berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, memanfaatkan bulan Ramadan dengan ibadat puasa, menghidupkan malam, serta berbakti kepada ibu bapa. Orang yang gagal dalam ketiga-tiga perkara ini akan merugikan diri mereka sendiri dan mendapat kecelakaan. Semoga Ramadan yang kita lalui ini benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa


Tuesday, March 17, 2026

Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

Selasa, 27 Ramadhan 1447H  |  Dua Kegembiraan Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ …. لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ .....

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda… Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti…. (H.R. Muslim No : 1945)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi orang puasa, mereka akan mendapat kegembiraan ketika berbuka puasa kerana dapat nikmat makan dan minum serta menghilangkan  rasa lapar dan dahaga selepas menahannya di siang hari.

2.  Kegembiraan kedua ketika dapat bertemu Allah di akhirat nanti. Ia hanya akan terhasil dari puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, menjaga segala syarat, kehendak dan penuh mengharap keredhaan dan Rahmat Allah. Hal ini penting untuk kita meraih kegembiraan yang hakiki di akhirat dengan ganjaran keampunan Allah SWT.

3.  Bukan sekadar rasa nikmat selepas menahan lapar, iaitu tidak sekadar letih jasmani. Tapi yang kita inginkan juga nikmat Rohani kerana ia adalah ganjaran bagi kesabaran dalam menunaikan kewajipan puasa. Hubungan dan ikatan kita dengan Allah SWT  menerusi amalan kita. Ibadat yang benar-benar bertunjangkan keikhlasan dan kehambaan dalam menjalaninya.

4.  Marilah kita berusaha meraih kedua-dua kegembiraan. Kita menjaga dan melatih mulut, pandangan dan segala pancaindera yang lain agar akur kepada perintah Allah.

5.  Mohon jauh dari puasa yang sia-sia. Jika hanya kegembiraan yang pertama kita raih, rugi dan sia-sialah kita. Rugi juga jika hanya perut yang lapar, tapi nafsu masih sentiasa kenyang. "Dedah aurat, pergaulan bebas, asyik dengan hiburan, web lucah, mengumpat, menghina, dedah aib orang lain, berkata kotor, menyebarkan fitnah dan perkara yang tidak betul menerusi media sosial spt whatsApp, telegram, FB serta  bermacam-macam lagi dosa lain. Andai solat yang ditinggalkan, maka tiada guna seluruh puasanya".

Pastikan kita tidak hanya gembira ketika berbuka. Yang lebih penting kegembiraan ketika bertemu Allah di hari akhirat nanti.


Monday, March 16, 2026

Zakat Fitrah Menyucikan

Isnin, 27 Ramadhan 1447H  | Zakat Fitrah Menyucikan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنْ الصَّدَقَاتِ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata, Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai satu pembersihan bagi orang-orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor, dan sebagai makanan untuk orang miskin. Sesiapa yang membayar zakat fitrah sebelum solat (Aidil Fitri) maka ia adalah zakat yang diterima (oleh Allah) baginya. Sesiapa yang membayarnya selepas solat (Aidil Fitri) maka ia adalah sedekah seperti sedekah biasa. (Sunan Abi Daud No: 1609) Maktabah Asriyyah  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Zakat fitrah adalah salah satu ibadah yang dituntut dalam Islam.

2.  Zakat fitrah menjadi pembersih (penampal kekurangan puasa seseorang sepanjang Ramadhan)  yang disebabkan oleh perbuatannya yang mungkin sia-sia atau perkataannya yang mungkin kotor. Dengan membayar zakat fitrah, amalan seseorang di sepanjang bulan Ramadhan kembali bersih seperti salji putih.

3.  Zakat fitrah bertujuan membantu golongan yang memerlukan antaranya untuk memastikan orang miskin mendapat makanan yang secukupnya agar dengan itu mereka dapat meraikan Aidil Fitri dalam suasana kecukupan bersama seluruh umat Islam yang lain. Islam tidak ingin melihat di hari pertama Syawal ada orang yang meminta-minta padahal di kalangan umat Islam ada yang meraikannya dalam suasana kecukupan.

4.  Zakat fitrah boleh dibayar bermula dari 1hb Ramadhan sehingga sebelum solat Sunat Aidil Fitri pada 1hb Syawal sama ada secara online mahupun kepada amil yang dilantik.

5.  Zakat fitrah yang dikeluarkan selepas solat sunat hari raya Aidil fitri tidak menjadi zakat tetapi hanya menjadi sedekah biasa. Orang tersebut tetap menanggong dosa kerana tidak membayar zakat.

6.  Golongan yang wajib membayar zakat fitrah adalah yang memenuhi syarat berikut:

a.  Islam

b.  Hidup ketika terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan iaitu ia sempat bertemu dengan juzuk terakhir Ramadhan dan juzuk terawal Syawal.

c.  Orang yang mampu, mempunyai lebihan harta pada malam hari raya dan juga siangnya setelah ditolak belanja keperluan diri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungannya (termasuklah binatang peliharaannya) merangkumi makanan, pakaian, sewa rumah dan juga hutang. Walaupun nilai lebihan hanya bernilai cukup untuk zakat  contohnya RM 10.00. Jika tidak mempunyai lebihan harta yang mencukupi untuk membayar harga zakat yang ditetapkan maka tidak wajib ia mengeluarkan zakat fitrah

Moga zakat fitrah yang dikeluarkan akan menjadi penampal kekurangan ibadat puasa kita. Bagi yang wajib mengeluarkan zakat harta, jangan terlupa nak bayar zakat harta pula.


Sunday, March 15, 2026

Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

Ahad, 25 Ramadhan 1447H  |  Berpuasa dan Solat Tapi Munafik

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ عَلَامَاتِ الْمُنَافِقِ ثَلَاثَةٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
حَدَّثَنَا عُقْبَةُ بْنُ مُكْرَمٍ الْعَمِّيُّ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ قَيْسٍ أَبُو زُكَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ الْعَلَاءَ بْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ يُحَدِّثُ بِهَذَا الْإِسْنَادِ وَقَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ وَإِنْ صَامَ وَصَلَّى وَزَعَمَ أَنَّهُ مُسْلِمٌ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Di antara tanda orang munafik ada tiga: apabila dia bercakap, dia berbohong, apabila dia berjanji dia mengingkari, dan apabila dia diberi amanah, dia berkhianat."
Telah menceritakan kepada kami Uqbah bin Mukram al-Ammi telah menceritakan kepada kami Yahya bin Muhammad bin Qais Abu Zuhair dia berkata, saya mendengar al-Ala' bin Abdurrahman menceritakan dengan sanad ini seraya berkata, "Tanda-tanda orang munafik ada tiga, walaupun dia berpuasa dan solat serta menuntut atau mengaku bahawa dia seorang Muslim." (HR Muslim No: 90) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga tanda orang munafik yang perlu dijauhi iaitu apabila bercakap, dia berbohong, apabila berjanji dia mengingkari, dan apabila diberi amanah, dia berkhianat.

2.  Sifat munafik akan kekal kepada pelaku munafik walaupun dia mengerjakan solat, berpuasa dan mengaku sebagai Muslim.

3.  Ibadat puasa adalah perisai dan benteng dari sifat munafik.

اَلصَّوْمُ جُنَّةٌ

“Puasa adalah perisai atau benteng (yang melindungi pelakunya daripada keburukan).” (Riwayat Tirmidzi No: 2749).

4.  "Bercakap" termasuk dalam bentuk penulisan dan ditular sama ada di FB, WhatsApp, Telegram dan lain-lain. Jika faktanya salah, tidak benar maka ia dianggap berbohong dan orang tersebut ada tanda munafik pada dirinya.

5.  Menepati janji adalah ciri orang yang amanah dan bertanggungjawab. Mengingkari janji adalah sifat yang tidak disukai oleh Allah dan boleh merosakkan hubungan sesama manusia.

6.  "Amanah" adalah tanggungjawab kita. Pemimpin perlu berlaku adil dalam kepimpinan. Setiap pekerja ada amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, jangan khianat seperti culas atau curi tulang. Tidak amanah jika gaji diambil tapi pekerjaan tidak sempurna. Bertambah tidak amanah bila gaji diambil, rasuah diterima.

7.  Ibn Rajab al-Hanbali menjelaskan bahawa orang yang beribadah tetapi masih berdusta dan mengkhianati amanah menunjukkan ibadahnya belum memberi kesan kepada hatinya.

8.  Muslim tidak cukup hanya dengan solat, puasa, atau pengakuan lisan. Tanda sebenar seorang Muslim ialah akhlak dan integriti dalam kehidupan seharian. Kejujuran, menepati janji, dan menjaga amanah adalah aspek yang sangat penting dalam menilai kualiti iman seseorang. Jadikan puasa dan solat kita sebagai perisai dari sifat munafik. Berusaha agar tidak berbohong, memungkiri  janji dan khianat.


Saturday, March 14, 2026

Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

Sabtu, 24 Ramadhan 1447H  |   Jangan Terhalang Daripada Kebaikan

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ رَمَضَانُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ هَذَا الشَّهْرَ قَدْ حَضَرَكُمْ وَفِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَهَا فَقَدْ حُرِمَ الْخَيْرَ كُلَّهُ وَلَا يُحْرَمُ خَيْرَهَا إِلَّا مَحْرُومٌ

Daripada Anas bin Malik RA ia berkata, "Ketika datang bulan Ramadan, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan ini telah hadir kepada kalian. Di bulan ini ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa yang terhalang daripada mendapatkannya (terlepas tidak memperoleh malam tersebut), maka dia telah terhalang daripada seluruh kebaikan (terlepas segala kebaikannya). Dan tidaklah seseorang dihalang (terlepas) daripada kebaikannya melainkan orang yang benar-benar terhalang daripada kebaikan (Rahmat Allah)" (Sunan Ibn Majah No: 1644) Maktabah Ilmiyyah  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kelebihan. Di dalamnya terdapat satu malam (lailatul Qadar) yang barang siapa beramal soleh pada malam tersebut, seumpama  dia telah melakukan amal soleh melebihi 1000 bulan.

2.  Barang siapa yang terhalang daripada beribadah pada malam lailatul Qadar kerana malas beribadah atau tidak berusaha untuk mencarinya, sungguh ia telah terhalang dari kebaikan seluruhnya, dan tidaklah terhalang dari kebaikan malam itu kecuali orang yang mahrum (terhalang dari kebaikan).

3.  Setiap muslim sangat dianjurkan untuk menghidupkan lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap pahala yang dijanjikan. Sehingga apabila ia ikhlas melaksanakannya, dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan pada masa lalu akan diampunkan  Allah.

4.  Mereka yang tidak berusaha untuk beribadah dengan sepenuh hati pada bulan Ramadan dan malam Lailatul Qadar akan terlepas daripada segala kebaikan dan ganjaran yang ada. Oleh itu, setiap kita harus berusaha sebaik mungkin untuk memperoleh ganjaran daripada Allah SWT, termasuk beribadah dengan penuh tekun pada sepuluh malam terakhir.

5.  Ibn Hajar al-Asqalani menerangkan bahawa hadis ini merupakan galakan kuat agar umat Islam bersungguh-sungguh menghidupkan malam Ramadan, khususnya sepuluh malam terakhir.

6.  Rebutlah peluang beribadat. Kita dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah, khususnya pada sepuluh malam terakhir, agar tidak tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan terhalang daripada kebaikan yang besar.


Friday, March 13, 2026

Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

Jumaat, 23 Ramadhan 1447H  |  Melipat Gandakan Amal Di Sepuluh Akhir Ramadan

قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مَا لَا يَجْتَهِدُ فِي غَيْرِهِ

Aisyah RA, berkata:  “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (lebih giat dalam beribadah) pada sepuluh hari terakhir (Ramadan) yang tidak baginda lakukan pada hari-hari lainnya.” (Sahih Muslim No: 2009) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah bersungguh-sungguh mempergiatkan amal ibadah pada 10 hari terakhir daripada bulan Ramadan melebihi daripada waktu lain kerana mempunyai keutamaan dan keistimewaan malam Lailatul Qadar, yang mana adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan..

2.  Antara ibadat yang boleh dilakukan pada 10 terakhir Ramadan ialah amalan iktikaf, perbanyakkan ibadat khusus seperti membaca al-Quran, sedekah, berzikir, berdoa, solat sunat seperti solat tahajud, solat tasbih dan lain-lain.

a.  Dikatakan Saidina Umar sibuk menunaikan solat sepanjang malam hingga fajar.
b.  Qatadah pernah mengkhatam seluruh al-Quran setiap malam pada 10 malam terakhir Ramadan

3.  Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa sebab utama kesungguhan ini ialah untuk mencari Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Beliau juga menyatakan bahawa Nabi SAW ingin menutup Ramadan dengan amalan terbaik, sebagaimana seseorang menutup sesuatu urusan dengan penamat yang sempurna.

4.  Ada orang yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk menumpukan ibadat sepanjang 10 hari terakhir Ramadan.  Anda bagaimana?

5.  Imām Ibn Rajab Al-Hanbali berkata: Ketahuilah bahawa seorang mukmin itu terhimpun baginya dua jihad untuk dirinya. (Iaitu) jihad pada waktu siang dalam berpuasa serta jihad pada waktu malam dalam melakukan qiamullail. Sesiapa yang menghimpunkan antara dua jihad ini dan melunaskan hak keduanya serta bersabar dalam melakukannya, dia telah memperoleh ganjaran pahala yang tidak terhitung. Rujuk Lathā’if Al-Ma’ārif, Ibn Rajab (1/171)

6.  Mari kita lipat gandakan amalan di sepuluh hari terakhir daripada Ramadan ini antaranya:

a.  Menjaga solat Fardu berjemaah, solat sunat mengiringi waktu, solat sunat Terawih dan tidak beredar sehinggalah imam meninggalkan tempatnya.

b.  Banyakkan Iktikaf pada sepuluh terakhir bulan Ramadhan dengan mengajak ahli keluarga bersama.

c.  Perbanyakkan doa memohon keampunan. "Sesungguhnya doa di waktu sahur adalah anak panah qadar".  Doa untuk diri dan keluarga, doa untuk dakwah ini,  doa agar diangkat segala  kesulitan dan kesengsaraan saudara kita di Palestin serta diberi kemenangan kepada pejuang-pejuang Islam di sana. Tidak dilupakan saudara Islam kita di Syria, Iraq, Rohinga dan di seluruh dunia. Semoga Allah mengembalikan hak mereka dan melegakan musibah mereka.

7.  Hadis ini menunjukkan bahawa sepuluh malam terakhir Ramadan adalah kemuncak ibadah dan medan mujahadah rohani. Rasulullah SAW memberi contoh kesungguhan yang luar biasa sebagai panduan umat. Ia mendidik bahawa kejayaan bukan hanya pada permulaan yang baik, tetapi pada penutup yang lebih baik dan penuh kesungguhan demi meraih rahmat dan keampunan Allah SWT.


Thursday, March 12, 2026

Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

Khamis, 22 Ramadhan 1447H  |   Perbanyak Doa Keampunan Di Malam Lailatul Qadar

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ عَلِمْتُ أَيُّ لَيْلَةٍ لَيْلَةُ الْقَدْرِ مَا أَقُولُ فِيهَا قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Daripada Aisyah RA, ia berkata, “Aku pernah bertanya pada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah lailatul qadar, apakah doa yang mesti aku ucapkan?” Jawab Rasululullah SAW: “Berdoalah: Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni  (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku)” (Sunan Tirmizi No: 3513) Dar Kutub Ilmiyyah.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadan menuntut kita memperbanyak amal ibadah termasuklah memperbanyakkan doa.

2.  Rasulullah SAW menganjurkan kita agar perbanyakkan doa memohon ampun di sepuluh malam terakhir dari Ramadhan khususnya apabila menemui lailatul qadar.

3.  Kita bertawasul dengan sifat ‘afwu (Maha Pengampun Allah) dengan memohon agar Allah  mengampunkan dosa yang kita lakukan.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

" Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”

4.  Menurut Imam al-Nawawi, Nabi SAW memilih doa ini kerana Lailatul Qadar adalah malam pengampunan dan penentuan takdir. Maka permohonan paling utama ialah agar dosa-dosa dihapuskan. Keampunan lebih utama daripada sekadar permintaan dunia, kerana keselamatan akhirat bergantung kepada rahmat dan keampunan Allah.

5.  Doa yang ringkas tetapi sarat makna ini mengajar bahawa kejayaan sebenar bukan pada banyaknya amalan, tetapi pada diampunkan dosa dan diterima oleh Allah SWT. Ia adalah doa yang merangkumkan harapan seorang hamba yang bergantung sepenuhnya kepada rahmat Tuhannya.

Marilah kita perbanyakkan doa ini memohon ampunan dari dosa dan kesalahan kita. Moga Ramadan ini benar-benar membersihkan diri kita daripada dosa.


Wednesday, March 11, 2026

Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

Rabu, 21 Ramadhan 1447H  |  Memburu Lailatul Qadar Sepuluh Malam Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُجَاوِرُ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ وَيَقُولُ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan dan Baginda bersabda: "Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam yang akhir dari Ramadan". (Sahih Bukhari No: 1916) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Hadis ini menggabungkan dua perkara penting: amalan iktikaf di Masjid dan arahan mencari Lailatul Qadar. Ia menunjukkan bahawa pencarian Lailatul Qadar bukan sekadar teori, tetapi mesti disertai dengan kesungguhan ibadah.

2.  Hadis ini mengajar kita tentang pentingnya sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Malam 10 terakhir Ramadan adalah malam yang sangat berharga. Kita digalakkan untuk meningkatkan ibadah untuk meraih keberkatan yang luar biasa. Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 malam terakhir dari Ramadan untuk memburu lailatul Qadr.

3.  Bersungguh beramal pada 10 malam terakhir Ramadan untuk memperoleh lailatul Qadar yang ganjaran amalan pada malam tersebut lebih baik daripada 1000 bulan atau lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan.

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (٣)

"malam kemuliaan  (lailatul Qadr) itu lebih baik daripada seribu bulan" (al-Qadr: 3).

4.  Lailatul Qadar adalah malam yang penuh rahmat dan pengampunan. Oleh itu, kita hendaklah berusaha untuk menghidupkan malam-malam tersebut dengan doa, zikir, solat, dan ibadah yang lain, agar kita dapat memperoleh ganjaran yang berlipat ganda. 

5.  Menurut Imam al-Nawawi, perkataan taharru membawa maksud mencari dengan penuh penelitian dan kesungguhan, bukan sekadar menunggu. Ini menunjukkan bahawa:
•  Lailatul Qadar tidak diketahui secara pasti tarikhnya
•  Hikmahnya supaya umat Islam beribadah sepanjang sepuluh malam terakhir
•  Ia mendidik istiqamah dan kesungguhan

6.  Sepatutnya kita tidak hanya memilih malam-malam tertentu untuk memburu lailatul Qadar kerana tidak ada satu tarikh yang tepat dan ia dirahsiakan untuk menjadi pendorong kepada kita mencarinya pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

7.  Bangunkan ahli keluarga kita untuk bersama merebut peluang bertemu lailatul Qadar.

8.  Perbanyakkan iktikaf, pelihara solat fardhu berjemaah di masjid, tingkatkan tilawah al-Quran, perbanyakkan doa dan permohonan ampun kepada Allah.

9.  Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan: Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jugalah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

10.  Marilah kita berazam bersungguh-sungguh untuk memburu Lailatul Qadar dengan beriktikaf di 10 malam terakhir Ramadan. Bayangkan seolah-olah inilah Ramadan terakhir kita dan mungkin ini peluang terakhir untuk bertemu Lailatul Qadar pada tahun ini.


Tuesday, March 10, 2026

Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

Selasa, 20 Ramadhan 1447H  |   Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sehingga Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) melanjutkan amalan tersebut dengan beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan  beribadat kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat, zikir, membaca Al-Quran, dan berdoa. Hukumnya sunnah muakkadah (sunnah yang sangat dituntut).

2.  Mengikut Imam Syafie,  iktikaf  boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari

3.  Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan kerana, pada waktu tersebut, terdapat malam yang sangat mulia iaitu Lailatul Qadar, di mana pahala amal ibadah pada malam tersebut lebih baik daripada seribu bulan. Oleh itu, Nabi berusaha untuk mencari malam tersebut dengan beriktikaf. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.

4.  Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf?. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan  iktikaf sehinggalah baginda wafat”.

5.  Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan bahawa tujuan utama iktikaf pada sepuluh malam terakhir ialah untuk mencari malam Lailatul Qadar, mengasingkan diri untuk ibadah, membersihkan hati (tazkiyah al-nafs) serta memperbanyak zikir, doa dan tilawah al-Quran.

6.  Menurut Ibn Qudamah, wanita boleh beriktikaf di masjid dengan syarat:
•  Mendapat keizinan suami
•  Terjamin keselamatan dan aurat
•  Tidak menimbulkan fitnah

7.  Amalan beriktikaf adalah sebahagian daripada cara mengimarahkan masjid. Pengimarah masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”  (At-Taubat: 18),.

8.  Ayuh kita berazam untuk bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ini dengan pelbagai amal soleh. Antaranya dengan memastikan amalan iktikaf di masjid, datang awal  untuk solat fardhu di masjid, menjaga solat fardhu maghrib, isya dan subuh berjemaah di masjid, Bersama imam solat terawikh dan witir sehingga selesai, perbanyakkan bersedekah, membaca al-Quran, berzikir, berdoa memohon keampunan dan sebagainya.


Monday, March 9, 2026

Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

Isnin, 19 Ramadhan 1447H  |   Sedekah Tidak Mengurangkan Harta

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW, baginda bersabda: Tidak akan berkurang harta seseorang kerana sedekah. Tidaklah orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidaklah orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya." (HR Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah adalah amalan yang dituntut dalam Islam khususnya di bulan Ramadan.

2.  Orang yang bersedekah tidak akan mengurangkan hartanya. Walaupun dari sudut pandang manusia, memberi sedekah mungkin dilihat sebagai mengurangi jumlah harta yang dimiliki, tetapi hakikatnya sedekah membawa keberkatan dan pahala yang lebih besar. Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik malah akan didoakan oleh Malaikat.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَامِن يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ, إِلاَّ مَلَكَانِ يَنزِلاَنِ, فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا: اَللهُمَّ أَعْطِ مُنفِقًا خَلَفًا. وَيَقُولُ الآخَرُ: اللهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Tidak ada suatu hari pun ketika seorang hamba melewati paginya kecuali akan turun (datang) dua malaikat kepadanya lalu salah satunya berdoa; "Ya Allah berikanlah pengganti bagi siapa yang menafkahkan hartanya", sedangkan yang satunya lagi berdoa; "Ya Allah berikanlah kehancuran (kebinasaan) kepada orang yang menahan hartanya (bakhil) "(HR Bukhari No: 1351) Status: Hadis Sahih

3.  Orang yang memberi kemaafan kepada orang lain, Allah akan menambah kemuliaannya. Bila kita memaafkan kesalahan orang lain terhadap kita, Allah akan menambahkan kemuliaan kepada kita. Memaafkan akan memberi ketenangan hati. Orang yang sentiasa memaafkan kesalahan orang lain akan menjadi penyebab ketenangan jiwanya, dihormati dan dihargai oleh orang sekeliling, serta mendapat ganjaran besar di sisi Allah.

4.  Orang yang merendahkan diri kerana Allah (rendah hati, tidak sombong), Allah akan mengangkat darjat serta kedudukannya di sisi Allah.

5.  Menurut Imam Al-Ghazali, merendah diri atau tawaduk adalah akhlak para nabi dan orang soleh, kerana ia membersihkan hati daripada sifat sombong dan riya’.

6.  Perbanyakkanlah sedekah di bulan Ramadan ini, jadikanlah diri kita seorang yang pemaaf dan berusahalah menjadi orang yang sentiasa merendah diri bukan angkuh dan sombong.

Hadis ini mengajar kita bahawa sedekah, sifat pemaaf, dan tawadhu' (rendah hati) adalah tiga perkara yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Melalui sedekah, kita bukan sahaja membersihkan harta, tetapi juga mendekatkan diri kepada Allah. Sifat pemaaf akan membawa kemuliaan dan ketenangan, sementara tawadhu' akan mengangkat darjat seseorang di sisi Allah dan manusia.


Sunday, March 8, 2026

Taqwa dan Al-Quran

Ahad, 18 Ramadhan 1447H  |   Taqwa dan Al-Quran

عَن أبِى ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ أَوصِنِى قَالَ عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ فَإِنَّهُ رَأْسُ الأَمْرِ كُلِّهِ قُلْتُ يَارَسُولَ اللهِ زِدْنِي قَالَ عَلَيْكَ بِتِلاَوَةِ الْقُرْءَانِ فَإِنَّهُ نُورٌلَكَ فِى الأَرْضِ وَذُخْرٌلَكَ فِى السَّمَاءِ

Daripada Abu Dzar RA beliau berkata: Aku berkata: Wahai Rasulullah SAW,  berikan aku wasiat (pesanan). Rasulullah bersabda: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah, kerana sesungguhnya ia adalah pokok  bagi  segala urusan. Abu Dzar berkata lagi: Wahai Rasulullah, tambahkanlah lagi kepadaku. Baginda bersabda: Hendaklah kamu sentiasa membaca al-Quran kerana sesungguhnya ia adalah cahaya bagimu di bumi (petunjuk di dunia) dan bekalan untuk mu di langit (simpanan pahala di akhirat). (HR Ibn Hibban No: 361). Status: Hasan Lighairihi.

Pengajaran:

1.  Abu Dzar atau nama sebenarnya ialah Jundub bin Junadah adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang sangat zuhud. Beliau antara sahabat yang sering meminta kepada Rasulullah agar diberikan nasihat. Antara pesanan Rasulullah SAW:

a.  Bertakwa kepada Allah kerana ia adalah sumber kepada segala urusan, asas kepada seluruh amal soleh.

b.  Bacalah al-Quran, tadabur, hayati makna dan amalkan kandungannya kerana al-Quran adalah cahaya petunjuk untuk kita di dunia dan ia akan menjadi bekalan di akhirat.

2.  Sifat taqwa perlu disuburkan dalam diri setiap orang beriman dengan melaksanakan seluruh kewajipan agama dan bersungguh-sungguh meninggalkan segala larangan syarak.

3.  Takwa kepada Allah adalah asas kepada segala amalan dan keberhasilan. Segala perbuatan dan usaha kita harus dilandaskan dengan kesedaran akan keagungan Allah dan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Tanpa takwa, segala amalan tidak akan diberkati dan mungkin akan terpesong dari jalan yang benar.

4.  Sayidina Ali RA berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

5.  Al-Quran perlu dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan harian agar ia menjadi cahaya petunjuk yang memandu kehidupan kita di dunia dan menjadi pemberi syafaat di akhirat kelak.

6.  Membaca al-Quran akan mendapat ganjaran berganda. Abdullah bin Masud RA meriwayatkan sabda Nabi SAW:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ  وَالحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا  لاَ أَقُولُ الْم حَرْفٌ  وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang  ألم  itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”  (HR Tirmizi No: 2910) Status: Hadis Hasan

Hadis ini mengajarkan kita dua perkara yang amat penting dalam kehidupan seorang Muslim: takwa kepada Allah dan membaca serta mengamalkan Al-Quran. Kedua-duanya adalah jalan untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.


Saturday, March 7, 2026

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup

Sabtu, 7 Ramadhan 1447H  |  Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku telah tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2.  Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di difahami, diamalkan, dipertahankan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

3.  Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

4.  Jadikanlah al-Quran sebagai panduan dan rujukan di dalam hidup kita. Semoga al-Quran memandu kita untuk ke syurga. Hadis Nabi SAW:
عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka”   (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

5.  Al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada mereka yang sentiasa mendampinginya, mempelajari, membaca, menghafal dan menjadikannya panduan.

6.  Sunnah Rasulullah SAW adalah penjelas dan penerang kepada al-Quran. Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

7.  Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami aqidah,  ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan contohnya oleh Rasulullah dalam pelbagai aspek kehidupan seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

8.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil kewajipan mengikuti al-Quran dan Sunnah dalam semua perkara agama. Sesiapa yang menyimpang daripada kedua-duanya akan mudah terjerumus dalam bid‘ah dan kesesatan.

Sempena Ramadan bulan al-Quran, marilah kita memastikan al-Quran sentiasa kita baca, fahami dan amalkan agar menjadi hidayah serta panduan di samping menjadikan Sunnah sebagai ikutan dan pedoman hidup.


Friday, March 6, 2026

Puasa dan Al-Quran Pemberi Syafaat

Jumaat , 16 Ramadhan 1447H  |   Puasa dan Al-Quran Pemberi Syafaat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ الصِّيَامُ أَيْ رَبِّ مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ وَيَقُولُ الْقُرْآنُ مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ فَشَفِّعْنِي فِيهِ قَالَ فَيُشَفَّعَانِ

Daripada Abdullah bin Amru RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada seorang hamba pada hari kiamat. Puasa akan berkata : "Wahai Tuhanku, aku telah menahannya daripada makan dan nafsu syahwat pada siang hari, maka izinkan aku untuk memberi syafaat kepadanya (kepada orang yang berpuasa)." Dan al-Quran berkata : "Aku telah menahannya daripada tidur pada waktu malam, maka izinkan aku untuk memberi syafaat kepadanya." Maka syafaat keduanya diperkenankan. (Musnad Ahmad No: 6589) Dar Ihya Turath Arab. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa sebagai bentuk ibadah yang menguji kesabaran, dan membaca Al-Quran untuk dijadikan petunjuk hidup, mempunyai nilai yang sangat besar di sisi Allah. Kedua-duanya berfungsi sebagai pemberi syafaat dan  menjadi penolong kepada pencinta dan pengamalnya pada hari Kiamat.

2.  Orang yang berpuasa semasa di dunia, puasa akan  menolongnya dan memberi syafaat kerana semasa di dunia dahulu, orang yang berpuasa telah menahan diri dari makan dan minum di siang hari serta mengekang nafsunya.

3.  Orang yang menyibukkan diri dengan al-Quran  (membaca hingga terpaksa menyengkang mata di malam hari) serta berusaha untuk mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan, al-Quran akan menjadi syafaat serta penolong di hari kiamat.

4.  Di hari kiamat nanti semua manusia akan membawa diri masing-masing kerana tiada siapa lagi pada hari tersebut yang dapat memberikan pertolongan. Namun selain daripada syafaat Nabi SAW ke atas umat baginda, solat, puasa, al-Quran dan amalan-amalan kebaikan lain akan menjadi syafaat yang diterima oleh Allah SWT untuk mereka yang telah menunaikan ibadat tersebut dengan sebaik-baiknya.

5.  Alangkah indah dan beruntungnya kehidupan seorang Muslim yang pada waktu siangnya berpuasa disamping tilawah dan tadabur al-Quran pada siang dan malam harinya  disamping melakukan amalan ibadah yang lain dalam kerangka mendekatkan diri kepada Allah. Puasa menundukkan nafsu manakala al-Quran yang dibaca menghidupkan hati. Gabungan kedua-duanya membentuk insan bertakwa.

Dalam hadis yang diriwayatkan Abu Umamah Al-Bahili,  Rasulullah SAW bersabda:

حَدَّثَنِي أَبُو أُمَامَةَ الْبَاهِلِيُّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِقْرَءُوالْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

“Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang kepada kamu pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada ahlinya” (HR Muslim No: 1337) Status: Hadis Sahih

6.  Sempena mengingati peristiwa Nuzul al-Quran pada bulan Ramadan, marilah kita berusaha menyemarakkan budaya al-Quran dengan membaca dan berusaha mentadabur, memahami dan mengamalkannya.

7.  Rebut peluang bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga atau ahli kariah sepanjang Ramadan ini. Sama-sama dapat menyemak dan memperbetulkan bacaan ahli yang lain. 

Berusahalah melaksanakan ibadah puasa dan menjadikan al-Quran yang dibaca sebagai hidayah dan panduan hidup. Semoga keduanya menjadi pembela dan pemberi syafaat di hari akhirat dengan izin Allah SWT.


Thursday, March 5, 2026

Bau Mulut Orang Berpuasa

Khamis, 15 Ramadhan 1447H  |   Bau Mulut Orang Berpuasa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ ‏ ‏مُحَمَّدٍ ‌‏ بِيَدِهِ ‌‏ لَخُلُوفُ ‌‏ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada ditangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi (HR Bukhari No 1795) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan bau mulut orang berpuasa ialah perubahan bau yang terhasil kerana perut kosong akibat ibadah puasa, bukan kerana kecuaian menjaga kebersihan.

2.  Pada hari kiamat, ketika manusia dibangkitkan dari kubur, ciri-ciri orang yang berpuasa adalah bau harum yang akan keluar dari mulut mereka, yang keharumannya melebihi harumnya minyak kasturi.

3.  Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, perbandingan dengan kasturi bukan bermaksud bau zahirnya harum, tetapi nilainya di sisi Allah sangat tinggi. Ia menjadi simbol keikhlasan ibadah yang lahir daripada ketaatan yang tersembunyi.

4.  Allah akan mengganti bau mulut orang yang berpuasa  (daripada makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa juga menahan seluruh pancaindera dan hati) dengan ganjaran yang besar di hari akhirat. Kerana sesungguhnya, puasa itu hanyalah untuk Allah dan Allah pula yang akan memberikan penghargaan dan balasan dengan nilaian yang hanya Allah yang tahu.

5.  Allah lebih menghargai dan menghormati bau mulut orang berpuasa daripada bau mulut orang tidak puasa. Jadi maksud kalimat tersebut lebih merupakan penghormatan kepada orang yang berpuasa. Kerana orang yang berpuasa, bau mulut adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari. Bau ini mungkin dianggap kurang menyenangkan oleh orang lain, namun di sisi Allah SWT, bau ini adalah sesuatu yang sangat dihargai, kerana ia merupakan simbol pengorbanan dan ketaatan kepada-Nya.

6.  Hal ini bukan bererti digalakkan kepada orang berpuasa agar mulut berbau tidak enak dengan tidak menggosok gigi. Menggosok gigi adalah amalan Rasulullah SAW setiap kali sebelum solat termasuk ketika berpuasa.

7.  Orang yang benar-benar berpuasa semestinya hati orang tersebut bersih dan suci daripada segala kotoran dan niat jahat. Segala ucapan yang keluar dari mulut orang yang berpuasa tiada lain adalah yang baik, zikrullah dan perkataan menasihat serta mengajak orang lain kepada jalan Allah.

8.  Orang yang berpuasa seperti itu, Allah memberi penghargaan  kepada bau mulut orang tersebut dengan darjat yang indah dan tinggi kerana di hari akhirat nanti bau mulutnya menjadi wangi lebih daripada kesturi dan ini mengajar kita untuk sentiasa berusaha agar beribadah dengan hati yang ikhlas, tanpa menghiraukan penilaian manusia.

9.  Hadis ini menegaskan kemuliaan ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Walaupun bau mulut orang berpuasa tidak menyenangkan pada pandangan manusia, di sisi Allah ia lebih harum daripada kasturi kerana ia lahir daripada ketaatan, pengorbanan dan keikhlasan seorang hamba dalam mendekatkan diri kepada-Nya.


Wednesday, March 4, 2026

Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan Dibulan Ramadan

Rabu, 14 Ramadhan 1447H   |   Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan Dibulan Ramadan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah dalam melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Jibril AS  menemui baginda pada setiap tahun dalam bulan Ramadan sehingga berakhir bulan tersebut, lalu Baginda memperdengarkan (mengulangkaji) bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril AS menemui  Baginda, Baginda SAW akan lebih pemurah dalam melakukan kebaikan melebihi angin yang bertiup kencang" (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menurut Imam al-Nawawi, Rasulullah SAW seorang yang amat pemurah merangkumi semua bentuk kebaikan bukan hanya harta tetapi juga ilmu, nasihat, tenaga, masa, doa dan layanan baik.

2.  Menurut ibn Rajab, Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan kerana ia adalah bulan Rahmat dan gandaan pahala, bulan turunnya al-Quran sebagai sumber hidayah serta banyaknya ibadah dan amal soleh yang lebih mudah dilaksanakan.

3.  Ramadan adalah musim memperbanyakkan sedekah dan kebaikan kerana bukan hanya pahala digandakan malah menghidupkan semangat ihsan dan bertolong bantu dalam Masyarakat.

4.  Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.

5.  Antara amalan kebaikan yang dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah membanyakkan bersedekah dan bertadarus al-Quran. Setiap Muslim dituntut membaca al-Quran serta mentadabbur makna dan kandungan al-Quran. Moga dengannya akan meningkatkan keimanan dan menjadi petunjuk kehidupan.

6.  Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan membanyakkan sedekah, membaca, dan mentadabur al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta pahalanya digandakan.

7.  Konsep "memberi"  (bersedekah)  harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain. Sedekah memberi pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan ukhuwah dan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang.

8.  Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT:

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (an-Nahl: 96)

9.  Tadarus al-Quran juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul disamping bertadabur.


Tuesday, March 3, 2026

Paling Baik, Berani dan Dermawan

Selasa, 13 Ramadhan 1447H  |   Paling Baik, Berani dan Dermawan

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ وَأَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ

Daripada Anas RA berkata; Nabi SAW adalah orang yang paling baik akhlaknya, paling berani dan paling dermawan. (HR Bukhari No: 2813) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah manusia yang paling sempurna akhlaknya untuk dijadikan contoh terbaik. Muslim yang baik adalah mereka yang menunjukkan perilaku yang mulia dan baik terhadap orang lain, tanpa mengira latar belakang atau keadaan mereka.

2.  Menurut Imam Nawawi, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia merangkumi kesempurnaan akhlak dari aspek tutur kata, kelembutan, kesabaran, pemaaf dan kasih sayang kepada keluarga, sahabat juga musuh.

3.  Rasulullah SAW juga seorang yang berani, bukan hanya dalam konteks fizikal atau peperangan, tetapi juga dalam memperjuangkan kebenaran dan hak. Kita diajarkan untuk berani menegakkan kebenaran, walaupun menghadapi tekanan atau ancaman. Keberanian dalam menegakkan keadilan dan kebenaran adalah sifat yang perlu dimiliki oleh setiap Muslim.

4.  Rasulullah SAW juga orang yang pemurah meliputi harta, ilmu, masa juga kasih sayang untuk dicontohi khususnya di bulan Ramadan.

عَنْ أَنَسٍ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ قِيلَ فَأَيُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Daripada Anas RA, Nabi SAW ditanya tentang puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan. Baginda menjawab: "puasa di bulan Syaban untuk memuliakan Ramadan, " Baginda ditanya lagi, lalu sedekah apakah yang paling utama? Baginda menjawab: "Sedekah di bulan Ramadan." Sunan Tirmizi No 663 Dar Kutub Ilmiyyah. Status Hadis: Daif

5.  Amalan bersedekah sebagai satu daripada cara untuk menjauhkan daripada api neraka. Rasulullah SAW bersabda

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ ذَكَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ النَّارَ فَتَعَوَّذَ مِنْهَا وَأَشَاحَ بِوَجْهِهِ … قَالَ اتَّقُوا النَّارَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ فَإِنْ لَمْ تَجِدْ فَبِكَلِمَةٍ طَيِّبَ

Daripada Adi bin Hatim dia berkata; "Nabi SAW menyebutkan tentang neraka, lalu baginda meminta berlindungan darinya sambil mengusap wajahnya, baginda bersabda …. "Takutlah kalian kepada neraka walau dengan setengah biji kurma, jika tiada, hendaknya dengan perkataan yang baik." (HR Bukhari No: 5677) Status: Hadis Sahih

6.  Sifat pemurah adalah pengikat dan penghubung kasih sayang kita dengan orang lain dan menjadi tanda kekuatan iman dan kelapangan jiwa.

7.  Allah akan menggantikan apa yang disedekahkan dengan keberkahan harta di dunia dan pahala yang besar di akhirat. Firman Allah:

وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

“Dan apa saja yang kamu sedekahkan, maka Allah akan menggantinya, dan Dia-lah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya” (Sabaa’:39).

Renunglah kisah ini:

Daripada Aisyah RA  bahawa keluarga Rasulullah SAW  pernah menyembelih seekor kambing, kemudian disedekahkan kepada orang-orang miskin, lalu Rasulullah  bertanya: “Apa yang tertinggal daripada (daging) kambing tersebut?”. ‘Aisyah  menjawab: “Tidak ada yang tertinggal darinya kecuali (bahagian) bahu (dari) kambing tersebut”. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Itu bererti semua daging kambing tersebut tertinggal tetap dan kekal pahalanya kecuali bahagian bahunya”

Contohilah Rasulullah SAW melalui akhlak terpuji, keberanian yang berprinsip dan jiwa dermawan serta prihatin dalam kehidupan harian kita.


Monday, March 2, 2026

Berbuka Dengan Rotab atau Tamar atau Air

Isnin, 12 Ramadhan 1447H  |   Berbuka Dengan Rotab  atau Tamar atau Air

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُفْطِرُ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ عَلَى رُطَبَاتٍ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ رُطَبَاتٌ فَتُمَيْرَاتٌ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تُمَيْرَاتٌ حَسَا حَسَوَاتٍ مِنْ مَاءٍ قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ قَالَ أَبُو عِيسَى وَرُوِيَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُفْطِرُ فِي الشِّتَاءِ عَلَى تَمَرَاتٍ وَفِي الصَّيْفِ عَلَى الْمَاءِ

Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Adalah Nabi SAW selalu berbuka puasa sebelum baginda menunaikan solat (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah (rutab). Jika tidak ada kurma basah (rutab), maka (baginda berbuka) dengan beberapa biji kurma kering (tamar) dan jika tidak ada juga kurma kering, maka baginda berbuka dengan meneguk beberapa tegukan air. Abu 'Isa berkata, ini merupakan hadis hasan gharib. Abu 'Isa berkata lagi, diriwayatkan juga bahawa Nabi SAW berbuka pada musim sejuk dengan kurma dan pada musim panas dengan air. (Sunan Tirmizi No: 696) Dar Kutub Ilmiyyah Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sunnah menyegerakan berbuka sebaik sahaja masuk waktu magrib. Rasulullah SAW akan berbuka terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Maghrib.

2.  Hidupkan sunnah berbuka dengan kurma. Rasulullah SAW akan berbuka puasa dengan rutab (kurma basah, lembut dan baru) kerana ia mudah dihadam dan badan boleh mendapat tenaga dengan segera disamping tidak membebankan sistem penghadaman.

3.  Jika tiada rutab (kurma lasah dan segar), Rasulullah SAW akan berbuka puasa dengan tamar (kurma kering).

4.  Seandainya ketiadaan buah kurma rutab atau tamar, Rasulullah SAW akan berbuka puasa dengan meminum beberapa teguk air.

5.  Pada musim sejuk, Rasulullah SAW akan berbuka puasa dengan tamar (kurma kering)

6.  Pada musim panas, baginda SAW akan berbuka puasa dengan meminum beberapa teguk air.

7.  Rutab dan Tamar merupakan makanan paling kaya kandungan gula glukosa sekitar 55% dan  45% fruktosa.

8.  Glukosa dalam kurma (rutab dan tamar) diserap melalui sistem pencernaan untuk menjadi tenaga dengan cepat. Penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat antara 30 dan 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang 4 jam untuk dicernakan. Justeru, berbuka puasa dengan kurma dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan yang bersangatan.

9.  Pengambilan kurma dalam pemakanan boleh mengelakkan daripada sembelit, penyakit jantung dan merendahkan kolesterol jahat. Kurma mengandungi peratusan serat tidak larut dan larut air antara 10 dan 20%. Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis dalam sistem penghadaman manusia seterusnya boleh mencegah sembelit. Manakala, serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung, dan mencegah peningkatan kolesterol jahat dalam darah.


Sunday, March 1, 2026

Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka

Ahad, 11 Ramadhan 1447H  |   Melewatkan Sahur Menyegerakan Berbuka
 
عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِبِلَالٍ أَنْتَ يَا بِلَالُ تُؤَذِّنُ إِذَا كَانَ الصُّبْحُ سَاطِعًا فِي السَّمَاءِ فَلَيْسَ ذَلِكَ بِالصُّبْحِ إِنَّمَا الصُّبْحُ هَكَذَا مُعْتَرِضًا ثُمَّ دَعَا بِسَحُورِهِ فَتَسَحَّرَ وَكَانَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا أَخَّرُوا السَّحُورَ وَعَجَّلُوا الْفِطْرَ

Daripada Abu Dzar RA bahawa Nabi SAW bersabda pada Bilal: "Wahai Bilal, kalau subuh telah beranjak ke langit maka itu bukanlah subuh, subuh itu nampak seperti ini – cahaya yang melintang (diufuk), "lalu baginda menyuruh untuk sahur dan baginda pun sahur seraya bersabda: "Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mereka melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka." (Musnad Ahmad No: 20996) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah contoh dalam kita melakukan ibadat termasuk amalan berbuka dan bersahur ketika berpuasa.

2.  Melewatkan bersahur (sehingga hampir dengan waktu subuh) merupakan amalan Rasulullah SAW dan para sahabat yang kita digalakkan mengikutinya kerana ada kebaikan dari segi kesihatan juga keberkatan dalam ibadat puasa.

3.  Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh  Anas bin Malik RA dari Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

"Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah", Anas berkata kepada Zaid: "berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?" Zaid menjawab: "sekitar bacaan al-Quran 50 ayat" (HR Bukhari No: 550) Status: Hadis Sahih

Berdasarkan hadis ini,  jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh) yang juga disebut waktu imsak (atas dasar berhati-hati).

Amr B. Maimun al-Audi menyatakan, “Para sahabat Muhammad SAW adalah orang-orang yang paling bersegera dalam berbuka dan paling terakhir (lewat) dalam bersahur.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/199)

4.  Menyegerakan berbuka sebaik sahaja masuk waktu Maghrib adalah sunnah yang sangat dituntut. Menyegerakan berbuka menunjukkan: kepatuhan kepada perintah Allah, menjauhi sikap melampau (ghuluw) dalam ibadah serta membezakan amalan umat Islam dengan Ahli Kitab.

5.  Melewatkan bersahur dan bersegera berbuka apabila masuk waktu bukan sekadar sunnah zahir, bahkan menjadi tanda kesejahteraan umat kerana ia melambangkan ketaatan, kesederhanaan dan kesungguhan dalam mengikuti sunnah Rasulullah SAW dalam ibadah puasa..