Rabu, 24 Zulhijjah 1447H | Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran
عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ :كَم مِن جَارٍ مُتَعَلِّقٍ بِجَارِهِ يَومَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَارَبِّ هَذَا أَغْلِقُ بَابَهُ دُونِي فَمَنَعَ مَعْرُوفَهُ
Daripada Ibnu Umar RA ia berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Berapa ramai jiran yang akan bergantung (menuntut hak) kepada jirannya pada hari kiamat seraya berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini telah menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku” (HR Hannad dalam kitab Az-Zuhd No 2/58) Status: Hadis Hasan dalam Silsilah Ahadits Ash-Sahihah No:2616.
Pengajaran:
1. Sebagai Muslim kita bertanggungjawab terhadap jiran tetangga.
2. Dalam hidup bermasyarakat dan bernegara, kita ada jiran yang terdiri daripada kerabat, ada jiran sesama Islam dan ada jiran bukan Islam. Setiap mereka ada hak yang menjadi tanggungjawab kepada kita untuk ditunaikan. Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah sikap prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab antaranya memberi menasihati, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada yang memerlukan.
3. Berbuat baik kepada jiran dengan menunaikan hak mereka merupakan sebahagian dari tanggungjawab iman kita. Daripada Abi Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.” (HR Muslim No: 77)
4. Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita nak masuk syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa semasa di dunia, kita tidak ambil tahu hal jiran. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita.
5. Hadis ini merupakan peringatan yang sangat kuat tentang tanggungjawab terhadap jiran. Rasulullah menggambarkan bahawa pada Hari Kiamat nanti terdapat jiran yang mengadu kepada Allah kerana jirannya hidup dalam keadaan mementingkan diri dan tidak mahu berkongsi kebaikan walaupun mampu.
6. Oleh itu, seorang Muslim hendaklah sentiasa memelihara hubungan kejiranan dengan menunjukkan sikap prihatin, membantu ketika diperlukan, menjaga adab dan mengelakkan sebarang bentuk gangguan. Kejiranan yang baik bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat, bahkan menjadi sebab memperoleh keredaan Allah SWT dan keselamatan pada Hari Akhirat.
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
No comments:
Post a Comment