Khamis, 17 Sya'aban 1439H: Menurut ajaran Islam,
perlantikan ketua negara adalah amat penting kerana ia merupakan tempat untuk
mengganti Rasulllah s.a.w bagi melindungi agama dan mentadbir hal-hal
keduniaan. Pemerintahan ketua negara meliputi aspek-aspek keagamaan dan
keduniaan. Islam tidak memisahkan aspek-aspek tersebut. Menurut al-Mawardi,
melantik ketua negara merupakan wajib secara ijma’. Cuma perbezaan sama ada
wajib secara syarak atau akal.
Pandangan yang pertama menyatakan wajib secara akal kerana orang yang berakal
pastinya memilih dan mematuhi pemerintahan yang boleh menghindarkan mereka
dari kezaliman dan menyelesaikan perbalahan dan perkelahian. Jika tidak ada
pemimpin, nescaya akan kucar-kacir.
Pandangan yang kedua menyatakan
wajib secara syarak kerana pemimpin atau ketua negara adalah bertanggungjawab
untuk mengendalikan urusan-urusan syarak yang mungkin pada pandangan akal
tidak memikir soal-soal ibadat lalu akal tidak mewajibkannya. Ini ialah akal
fikiran hanya mewajibkan seorang yang berakal untuk melindungi dirinya dari
kezaliman tetapi sebaliknya syarak menyerahkan segala urusannya kepada
penguasanya dalam agama.
Menurut Abu Ya’la al-Fara bahawa perlantikan Imam merupakan wajib secara
syarak dan bukan secara akal kerana akal tidak mengetahui perkara-perkara
fardu, harus, halal mahu pun haram. Beliau berdalilkan peristiwa di Saqifah
Bani Sa’adah. Berkata Ibn Hajar dalam Fath al-Bari, berkata al-Nawawi:“Telah bersepakat
bahawa wajib melantik ketua negara, dan perlantikan ini wajib secara syarak
dan bukan secara akal.” Manakala Muztazilah menyatakan
perlantikan ketua negara secara akal.
Perlantikan ketua negara ini juga merupakan kewajipan yang merangkumi
kewajipan secara syarak dan juga kewajipan secara akal. Kerana tidak ada
tegahan untuk melantik ketua negara yang pada pandangan akal adalah untuk
memelihara rakyat dan syarak menguatkan pandangan akal ini. Oleh itu, akal
dan syarak telah mewajibkan perlantikan ketua negara.
Menurut Ibn Hazim al-Andalusi dalam al-Fasl fi Milal wa al-Nihal:-
“Bersepakat
ahli sunnah, Marji’ah, Syiah, Khawarij atas kewajipan melantik ketua negara.
bahawa umat wajib melantik Imam yang adil yang dapat mendirikan hukum-hukum
Allah dan mentadbir urusan mereka dengan shariat yang telah dibawa oleh
Rasulullah s.a.w”.
Berkata Ahmad bin Abdul Mu’iem al-Damanhuri (w.1192) dalam buku al-Naf’u
al-Aziz fi Islah al-Sultan wa al-Wazir: “Ketahuilah bahawa penguasa atas
urusan manusia adalah fardhu kifayah yang merupakan sangat penting dalam
kewajipan agama dan dalam urusan kaum muslimin, malah tidak akan tertegak
agama dan dunia tanpanya.”
al-Mawardi menyebutkan bahawa ketua negara merupakan tempat pengganti
Rasulullah s.a.w. dalam menjaga agama dan mentadbir urusan keduniaan dan
membuat akad setia dengan mereka yang memegang tampuk pemerintahan merupakan
wajib secara ijma’.Dari takrif ini bahawa ketua negara adalah pengganti Rasul
iaitu pertama, menjaga kemuliaan agama dan kedua mentadbir keduniaan
berdasarkan Shariat Ilahi. Menurut al-Mawardi, ketua negara merupakan amanah,
tanggungjawab dan tugas yang semestinya pemerintah melakukan dengan sebaik
mungkin.
Syarat-Syarat
Menjadi Ketua Negara
Ketua negara merupakan amanah yang paling penting yang harus dipikul
tanggungjawabnya. Ia bukan untuk sebarang orang untuk memegang jawatan
tersebut. al-Farabi menggariskan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh ketua
negara. Beliau menekankan konsep “Insan
Kamil” bagi ketua negara bagi
mencapai manusia sempurna hendaklah memiliki dua belas sifat seperti yang
diterangkan di bawah tajuk al-Qawl fi Qisal Ra’is al-Madinah al-Fadilah.
Dua belas sifat itu ialah:
1. Hendaklah sempurna anggota tubuh badan dan bertenaga atau berkemampuan
supaya dengan itu ia dapat menjalankan tugasnya dengan mudah.
2. Baik kefahamannya serta dapat menggambarkan setiap sesuatu yang ia lafaz
atau ucapkan serta tahu apa yang harus dibuat.
3. Baik hafalan (ingatan) sesuatu yang ia telah faham, lihat, dengar atau
dapat (idrak). Ia juga bukanlah seorang yang pelupa.
4. Bijaksana dan cerdik apabila mendengar sesuatu walaupun dengan reaksi sahaja,
ia telah faham.
5. Dapat membuat penjelasan atau huraian yang jelas berhubung dengan sesuatu
ibarat.
6. Ia sangat suka atau minat terhadap ilmu pengetahuan, senang menerima ilmu
tidak merasa atau kenal penat dalam menimba ilmu pengetahuan.
7. Ia hendaklah tidak bersikap buruk iaitu berlebih-lebihan dalam hal makan
minum dan juga hubungan kelamin. Menjauhkan diri dari permainan yang hanya
untuk bersuka-suka.
8. Memiliki sifat cintakan kebenaran dan orang-orang yang bersifat dengan
kebenaran itu. Bencikan pembohongan serta orang-orang yang bersifat demikian.
9. Ia memiliki jiwa besar atau berhemah tinggi hingga mengatasi
perkara-perkara yang rendah atau remeh-temeh.
10. Tidak berminat tentang pemgumpulan wang ringgit (dirham wa dinar) dan
kekayaan dunia yang lain.
11. Ia bersikap pro keadilan dan anti kezaliman dan penindasan. Tidak mudah
dipengaruhi oleh perkara oleh perkara-perkara buruk sebaliknya mudah diseru
kepada kebaikan, keadilan dan seumpamanya.
12. Ia hendaklah mempunyai keazaman yang kuat dan berani terhadap sesuatu hal
yang dirasakan perlu ia lakukan dan tidak lemah semangat atau jiwa.
Islam telah menggariskan syarat-syarat yang harus dipenuhi oleh seseorang
yang ingin menjadi ketua negara. Antara syarat yang telah ditetapkan oleh para
ulamak ialah:
1. Islam
Adalah wajib ketua negara seorang yang muslim. Ketua negara merupakan penjaga
dan pelaksana shariat Islam sudah tentu memerlukan seorang yang beriman
kepada Allah dan percaya bahawa ketentuan hukum adalah hak mutlak Allah.
2. Baligh
Islam tidak mewajib kanak-kanak yang belum mencapai tahap baligh menjadi
pemerintah. Ini kerana ketua negara memerlukan kepada kematangan pemikiran
dalam menyelesaikan sesuatu perkara.
3. Akal
Islam mensyaratkan akal kerana ketua negara memerlukan ketajaman fikiran
dalam bertindak. Orang yang gila ia tidak dapat berfungsi sebagai pemimpin
malah segala kewajipan ke atasnya terangkat. Malah Islam menggalakkan bahawa
ketua negara seorang yang mempunyai kecergasan otak, kebijaksanaan dalam
mengatur strategi dan menyusun rancangan untuk kepentingan umat.
4. Merdeka
Golongan hamba tidak dibenarkan menjadi ketua negara kerana golongan hamba
ini mempunyai tugas dan hak yang mesti dilakukan terhadap tuannya dan tidak
mempunyai kebebasan terhadap dirinya sendiri. Ketua negara memerlukan seorang
yang mempunyai sepenuh masa terhadap tugas pemerintahan dan tidak terikat
dengan tugas-tugas yang boleh menjejaskan pentadbiran seperti golongan hamba.
5. Lelaki
Bersepakat para ulamak bahawa tidak harus orang perempuan menjadi ketua
negara berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bahawa
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan tidak akan mendapat kejayaan sesuatu kaum
yang pada urusan mereka terletak pada perempuan.”29 Walaupun begitu, larangan
tersebut dalam memegang jawatan khalifah. Al-Qaradawi mengharuskan wanita
dilantik menjadi ahli parlimen atau ahli perwakilan dengan syarat menjaga
adab-adab sebagai wanita muslimah.
6. Adil
Perlu diingatkan di sini bahawa maksud adil di sini bukan sehingga menganggap
bahawa ketua negara itu sebagai “maksum” iaitu tidak melakukan dosa dalam
perbuatan-perbuatan atau tingkah lakunya. Sifat maksum ini hanya terdapat
pada rasul-rasul sahaja dan tidak terdapat pada golongan lain. Pendapat
golongan syiah yang mengatakan bahawa Imamah mestilah seorang yang maksum
adalah penyataan yang batil. Sebagai seorang muslim kadangkalanya mungkin
berlaku kesilapan maka hendaklah kembali bertaubat kepada Allah. Maksud adil
di sini adalah hendaklah kita memilih pemerintah yang sentiasa beriltizam
dengan shariat Islam, melakukan amanah dan tidak melakukan kezaliman dalam
pemerintahannya. Adil juga membawa erti seorang yang bertaqwa, warak,
bercakap benar, menjauhi perkara haram, sentiasa redha dengan tuhan dan
menjaga maruah dalam setiap urusan kehidupan. Ia juga bererti mendirikan
segala tanggungjawab fardhu dan melaksanakan hukuman dengan adil.
7. Kemampuan
Melaksanakan Tugas
Seorang ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kemampuan dalam
melaksanakan tugas mentadbir, berani, dapat menyelesaikan masalah rakyat
dengan mudah, memikir mengenai kepentingan rakyat dan masa depan negara, jauh
dari sifat-sifat lupa dan lalai.
8. Berilmu
Para ulamak bersepakat ketua negara mestilah
seorang yang berilmu tetapi mereka berselisih mengenai tahap ilmu tersebut.
Ada pendapat yang menyatakan bahawa ia mesti mencapai tahap mujtahid dan
tidak harus melantik ketua negara yang tidak mencapai tahap mujtahid seperti
pendapat Abu Hasan al-Mawardi, Abu Ya'la al-Fara’ al-Hanbali, Ibn Khaldun,
Abu Mansur Abdul Qader al-Baghdadi, al-‘Iji dan al-Kardastani dalam bukunya
Taqrib al-Maram fi syarah Tahzib al-Kalam.
Mereka berhujahkan bahawa ketua negara merupakan tempat rujukan umat apabila
berlakunya perselisihan, maka sudah tentunya ia memerlukan seorang yang pakar
dalam bidang perundangan dan hukum-hakam yang mencapai tahap mujtahid.
Golongan kedua pula menyatakan tidak perlu mencapai tahap mujtahid, cukup
memadai berilmu kerana sekiranya untuk mencapai tahap mujtahid maka tidak ada
yang mencukupi syarat-syaratnya disebabkan peredaran zaman dan kelemahan umat
Islam kini. Para fuqaha kini mengharuskan
melantik ketua negara walaupun tidak mencapai tahap mujtahid asalkan ia dapat
melaksanakan hak-hak shariat dengan berpandukan tunjuk ajar dan nasihat dari
orang yang lebih arif dalam sesuatu perkara. Berkata Sharastani: “Dan
berterusan jamaah dari ahli sunnah kepada perkara ini sehingga mereka
mengharuskan bahawa ketua negara bukan seorang mujtahid dan tidak pakar dalam
soal ijtihad tetapi hendaklah bersama ia seorang yang pakar dalam bidang
ijtihad yang menjadi tempat rujukan hukum dan mengeluarkan fatwa halal dan
haram.”
Para pemerintah hendaklah cintakan ilmu dan
ulamak serta sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu. Faktor-faktor ini
menjadi pemerintah sentiasa berada di jiwa rakyat.
9. Tidak Cacat
Anggota Dan Tubuh Badan
Ketua negara hendaklah seorang yang mempunyai kesempurnaan tubuh badan dan
tidak cacat anggota yang boleh menjejaskan pemerintahannya seperti pekak,
buta atau hilang kedua-dua tangan atau kedua-dua kaki yang mana ia tidak
dapat lagi berfungsi untuk bertindak secara cepat dan cergas dalam
pentadbiran pemerintahan.
Abul Hasan Ali al-Nadwi membahagikan kepimpinan kepada dua kategori iaitu
kepimpinan kebendaan dan pencukaian (al-jibayah) dan kepimpinan petunjuk dan
hidayah (al-hidayah). Kepimpinan al-jibayah ini menjadikan kebendaan sebagai
ukuran keberhasilannya. Kepimpinan yang mementingkan pembangunan material,
tenggelam dalam kemewahan dan masing-masing berebut untuk mengaut kekayaan
peribadi. Di samping itu, mereka memeras keringat orang miskin dengan
kewajipan cukai yang mencekik leher. Mereka tidak mempedulikan pendidikan
moral dan agama bagi rakyat. Sementara kepimpinan al-hidayah pula ialah
kepimpinan yang menjadikan hidayah sebagai syiarnya dan tugas utamanya
menyeru manusia kepada Allah, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah
kemungkaran. Kayu pengukur penghasilan kepimpinannnya ialah integrati moral
dan sahsiah , zuhud terhadap kemewahan dunia dan berlumba-lumba dalam
kebajikan.
Gambaran golongan ini seperti yang dirakamkan dalam al-Quran, “Dan orang-orang
yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang,
menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan”. (al-Hajj
41).
Al-Quran juga memberi panduan kepada umat Islam untuk memilih pemimpin
berdasarkan ayat yang bermaksud : “ ikutilah orang-orang yang tidak
meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah “ ( Yasin :21).
Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu seorang
yang menghayati hidayah Tuhan dan tidak meminta rakyat membalas budi dan
baktinya. Disamping itu, beliau turun ke medan masyarakat bukan untuk mengaut harta
kekayaan untuk peribadi dan keluarga atau untuk glamour peribadi tetapi
semata- mata untuk memajukan masyarakat dan tidak rela bangsanya
diperhambakan oleh mana-mana pihak.
Keunggulan seseorang pemimpin terletak kepada kemampuannya membina dan
mendidik bangsanya. Kepimpinan sedemikian yang disebut sebagai pemimpin
pendidik (al-qa’idu
‘l-murabbi) yang dapat merubah bangsanya menjadi lebih
kuat, unggul dan bermaruah. Perubahan manusiawi atau human transformation ini
yang telah dilakukan oleh para nabi. Nabi Muhammad s.a.w. misalnya telah
berjaya merubah watak bangsa Arab yang serba rosak menjadi umat terunggul,
dari umat yang berperang selama 600 tahun kerana seekor unta kepada pemimpin
dunia. Oleh itu, pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mampu membina dan
membentuk generasi terunggul (jil al-farid). Mereka menggabungkan kepimpinan
unggul dengan petunjuk Ilahi. Dengan kata lain, mereka sentiasa berada dalam
naungan petunjuk Allah dengan mengikut sepenuhnya perintah Tuhan. Secara
ringkasnya dalam konteks masyarakat di Malaysia, kita memerlukan kepimpinan
berwibawa - berilmu, berakhlak, beramanah, berwawasan dan berintegriti moral,
pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar, melahirkan daya saing dan daya
juang yang tinggi pada bangsanya.
Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali
|