Thursday, October 24, 2024

Bersyukur Atas Nikmat

Khamis, 21 Rabiul Akhir 1446H  |  Bersyukur Atas Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِذَا نَظَرَ أَحَدُكُمْ إِلَى مَنْ فُضِّلَ عَلَيْهِ فِي الْمَالِ وَالْخَلْقِ فَلْيَنْظُرْ إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْهُ.

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu melihat kepada seseorang yang diberikan kelebihan pada harta dan bentuk tubuh, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripadanya.” (HR Bukhari No: 6490). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Allah SWT telah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Allah SWT juga memberikan kepada setiap hamba akan kelebihan dan kekurangan dalam sesuatu perkara sebagai ujian. Menerusi ujian tersebut Allah SWT akan menilai hakikat keimanan seseorang hamba, adakah dia benar-benar bersyukur dengan kelebihan atau bersabar di atas kekurangan yang diberikan.

2.Seorang yang benar-benar beriman akan memiliki hati yang sentiasa mengekalkan sifat syukur diatas segala nikmat dan rezeki yang dimiliki. Dia akan sentiasa menjauhi sifat hasad dengki terhadap nikmat yang diperoleh orang lain serta mengurangkan kerisauan hati daripada mengejar harta duniawi. Syukur dan sabar dengan ujian dan godaan duniawi seperti kemiskinan dan musibah boleh diperoleh secara memandang kepada orang lain yang lebih daif atau yang lebih rendah daripadanya.

3.Memandang kepada seseorang yang memiliki kelebihan harta dan tubuh badan akan menyebabkan bertambah keinginan atau kerunsingan yang membawa kepada kedengkian dan mengikis sifat syukur. Adapun jika memandang kepada seseorang yang kurang daripadanya, maka ia akan menjadikan seseorang itu lebih bersyukur, bertambah ketenangan dan merasa cukup dengan pemberian Allah SWT.

4. Seringlah memandang orang yang lebih rendah atau kurang daripada kita agar kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita miliki. Namun dalam perkara yang berhubung dengan akhlak, ilmu dan ibadah maka lihatlah orang  yang lebih baik sebagai ikutan kita.


No comments:

Post a Comment