Wednesday, February 26, 2025

Mencela Ibu bapa

Rabu, 27 Syaaban 1446H  |  Mencela Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" baginda menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Kemudian bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan membalas mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Menghormati ibu bapa adalah suatu kewajipan yang sangat besar dalam Islam. Tidak hanya mengabaikan mereka, tetapi mencela dan menghina ibu bapa termasuk salah satu dosa besar.

2. Apabila seseorang mencaci atau memaki ibu atau bapa orang lain, ia bermakna turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.

3. Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.

4. Ibu bapa adalah orang yang paling berhak atas penghormatan anak-anak. Penghormatan ini tidak hanya dalam tindakan, tetapi juga dalam kata-kata. Seorang anak harus menjaga tutur kata dan perilakunya terhadap ibu bapa Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’:24)

5. Jika seseorang mencaci ibu bapa kita, kita diajar untuk tidak membalas dengan cara yang sama. Jangan sampai kemarahan kita menyebabkan kerosakan lebih besar dengan menghina ibu bapa orang lain. Sebaliknya, kita perlu berusaha untuk mendamaikan keadaan dengan hikmah dan tidak terbawa emosi negatif yang boleh merosakkan keharmonian.


No comments:

Post a Comment