Ahad, 20 Zulkaedah 1446H | Guru Mempermudahkan Pengajaran
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلِّمُوا وَيَسِّرُوا وَلَا تُعَسِّرُوا وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ وَإِذَا غَضِبْتَ فَاسْكُتْ
Daripada Ibnu Abbas, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kalian mengajar (ilmu), mempermudah dan jangan menyukarkan. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah. Bila engkau marah maka diamlah." (HR Ahmad No: 2556) Status Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Berusahalah setiap kita menjadi guru, pendakwah, pendidik bagi menyampaikan ilmu untuk membimbing orang lain menjadi insan solleh.
2. Sebagai guru, kita perlu berhikmah dengan mempermudahkan pengajaran sehingga orang yang diajar dapat memahami dan beramal dengannya. Gunakan pendekatan yang mudah difahami, tidak membebankan dan sesuai dengan pelajar. Jangan menyukarkan.
3. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa arahan "ajarkanlah dan mudahkanlah" adalah prinsip asas dalam dakwah dan pendidikan. Islam menyeru kepada penyampaian yang lembut, mudah difahami dan tidak membebankan.
4. Sebagai guru, kita berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai anak murid atau orang yang kita sampaikan dan nasihati. Kesabaran adalah perlu ketika berhadapan dengan pelbagai ujian dan perangai murid.
5. Rasulullah SAW mengulang tiga kali agar kita "DIAM" jika kita marah. Ulangan frasa ini sebanyak tiga kali menunjukkan betapa pentingnya kawalan diri ketika marah. Sebarang tindak balas akibat dari marah akan memudaratkan kita dan orang lain.
6. Marah adalah satu sifat semula jadi manusia, namun Islam mengajar kita untuk mengawal emosi itu dengan bijak, antaranya dengan berdiam diri. Diam ketika marah membantu menenangkan diri dan mencegah reaksi berlebihan.
7. Imam al-Ghazali pula menekankan bahawa pengendalian marah adalah kunci kepada akhlak mulia, dan diam ketika marah adalah cara untuk mencegah lidah daripada mengucap kata-kata yang dilarang seperti celaan atau fitnah.
Ayuh menjadi guru yang penuh hikmah dengan penyampaian ilmu yang mudah difahami orang lain serta tidak memberatkan. Guru yang sentiasa bersabar dan tenang menghadapi karenah anak muridnya.
No comments:
Post a Comment