Thursday, May 15, 2025

Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

Khamis, 17 Zulkaedah 1446H  |  Guru Pemacu Reformasi Pendidikan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun." (HR Muslim No: 4831) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sesiapa sahaja yang berperanan mengajak, menasihat serta membimbing kepada kebaikan, mereka adalah seorang guru.

2.  Imam al-Nawawi dalam syarah Sahih Muslim menyatakan bahawa hadis ini menunjukkan betapa besar pahala orang yang menyampaikan kebenaran, kerana setiap orang yang mendapat manfaat daripada ajarannya akan turut memberikan pahala berterusan kepadanya.

3.  Guru yang ingin mendapat ganjaran pahala berterusan akan   sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu yang benar sejajar dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

4.  Seorang guru akan sentiasa berusaha gigih dan bersungguh-sungguh menyampaikan ilmu kepada orang lain tanpa mengira penat lelah bagi melahirkan generasi baharu yang berilmu dan memberi impak kepada kehidupan masyarakat dan negara.

5.  Guru yang menyampaikan, mendidik dan mengajar sesuatu ilmu yang benar, dia akan mendapat ganjaran pahala sama seperti pahala orang yang beramal dengan apa yang telah diajarkannya itu.

6.  Semakin ramai bilangan pelajar yang dibimbing dan diajar melakukan perkara yang baik dan bermanfaat, semakin banyak pahala yang diperolehi secara berterusan.

7.  Orang yang mengajar, membimbing dan menunjukkan yang buruk dan jahat, dia akan memperolehi ganjaran dosa sebanyak orang yang mengikuti dan beramal dengannya.

8.  Dalam konteks hari ini, menyebarkan maklumat tidak benar, fitnah atau pengaruh buruk di media sosial, blog atau video juga boleh menyebabkan dosa berpanjangan, seperti yang digambarkan dalam hadis ini.

9.  Sebagai seorang Muslim, kita harus berhati-hati dengan perkataan, apa yang ditulis dan forward, serta tindakan kita kerana kita boleh menjadi sebab kepada seseorang untuk mengikuti kebaikan atau kesalahan.

10.  Hadis ini mengingatkan bahawa tindakan manusia, baik atau buruk, boleh memberi kesan berterusan walaupun selepas kematiannya, sama seperti konsep dalam hadis tentang amalan yang tidak terputus.

Marilah kita merebut peluang membuat simpanan deposit amal yang berterusan untuk akhirat kita dengan menyampaikan ilmu melalui pelbagai medium termasuk menggunakan media sosial seperti Tiktok, FB, WhatsApp, Twitter dan sebagainya. Jadilah kita sebagai guru yang menjadi pemacu reformasi Pendidikan dengan mengajar kebaikan dan perkara bermanfaat pada orang lain.


No comments:

Post a Comment