Thursday, May 8, 2025

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

Khamis, 10 Zulkaedah 1446H  |   Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (HR Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak antara ibadah umrah tersebut.

2.  Menurut Imam al-Nawawi dan para ulama lain, hadis ini menunjukkan bahawa ibadah umrah berperanan menyucikan jiwa dan menghapuskan kesalahan lalu, seperti mana solat dan puasa juga menjadi kafarah dosa.

3.  Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil keutamaan melakukan umrah secara berulang-ulang jika mampu, kerana ia menjadi sebab diampunkan dosa.

4.  Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.

5.  Menurut Imam al-Nawawi, haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dengan maksiat, dilakukan dengan niat yang ikhlas, memenuhi syarat dan rukun dengan sempurna.

6.  Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut agar mendapat haji yang mabrur. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

7.  Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Laksanakanlah ibadat haji dan umrah dengan memelihara rukun dan sunat serta meninggalkan larangan dengan sempurna.  Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.


No comments:

Post a Comment