Rabu, 5 Safar 1447H | Ucapan Baik Untuk Jenazah
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرٌ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ " . وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرٌّ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ " . قَالَ عُمَرُ فِدًى لَكَ أَبِي وَأُمِّي مُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا خَيْرًا فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ . وَمُرَّ بِجَنَازَةٍ فَأُثْنِيَ عَلَيْهَا شَرٌّ فَقُلْتَ وَجَبَتْ وَجَبَتْ وَجَبَتْ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " مَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ خَيْرًا وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ وَمَنْ أَثْنَيْتُمْ عَلَيْهِ شَرًّا وَجَبَتْ لَهُ النَّارُ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ أَنْتُمْ شُهَدَاءُ اللَّهِ فِي الأَرْضِ
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata: Telah lalu satu jenazah, lalu orang ramai memuji kebaikannya. Maka Nabi Allah SAW bersabda: "Wajiblah (baginya)... Wajiblah... Wajiblah." Kemudian dilalui pula satu jenazah yang lain, lalu orang ramai menyebutkan keburukannya. Maka Nabi ﷺ bersabda: "Wajiblah (baginya)... Wajiblah... Wajiblah." Lalu Umar bin al-Khattab RA berkata: "Ayah dan ibuku menjadi tebusanmu, wahai Rasulullah! Satu jenazah dilalui dan orang memujinya dengan kebaikan, lalu engkau berkata: 'Wajiblah... Wajiblah... Wajiblah.' Kemudian satu jenazah lain dilalui dan orang menyebutkan keburukannya, lalu engkau berkata juga: 'Wajiblah... Wajiblah... Wajiblah'." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang kamu (orang ramai) puji dengan kebaikan, maka wajiblah baginya syurga. Dan sesiapa yang kamu puji dengan keburukan, maka wajiblah baginya neraka. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi. Kamu semua adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi." (HR Muslim No: 2243) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Jika orang ramai menyebut kebaikan si mati, maka wajiblah syurga baginya begitulah sebaliknya jika orang ramai menyebut keburukan si mati, maka wajiblah neraka baginya. Namun bukan kerana orang ramai menentukan baik atau buruk seseorang, tetapi kerana pujian mereka mencerminkan keadaan sebenar si mati berdasarkan kehidupannya yang zahir.
2. Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa umat Islam yang soleh, apabila mereka menyaksikan kebaikan atau keburukan seseorang selepas kematian, maka ia adalah tanda bahawa Allah SWT menjadikan lidah mereka sebagai saksi kebenaran.
3. Kehidupan yang baik akan dikenang dengan baik. Menyebut kebaikan si mati adalah disunatkan, kerana ia termasuk doa dan penghormatan. Oleh itu jagalah hubungan baik, akhlak mulia, dan nama yang baik dalam masyarakat.
4. Orang yang dikenang dengan kezaliman atau kejahatan, walaupun sudah mati, tetap akan disebut dengan keburukan. Hal ini memberi peringatan kepada kita bahawa amal yang dilakukan tidak akan tersembunyi selama-lamanya.
5. Islam mengajar untuk beradab dengan jenazah, dan hanya menyebut kebaikan mereka, mengumpat si mati tanpa sebab adalah dosa besar.
6. Kita perlu hidup dengan amal soleh, akhlak yang baik, jujur, amanah dan memberi manfaat kepada orang lain, agar kita disebut dengan baik selepas kematian. Semoga itu menjadi tanda penerimaan amal kita di sisi Allah.
7. Elak daripada menjadi orang yang kehadirannya dibenci dan pemergiannya disyukuri.
No comments:
Post a Comment