Thursday, June 25, 2026

Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

Khamis, 9 Muharam 1448H  |   Puasa Menjauhkan Dari Api Neraka

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِى سَبِيلِ اللَّهِ بَعَّدَ اللَّهُ وَجْهَهُ عَنِ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا

Daripada Abu Said al-Khudri RA beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang berpuasa selama satu hari di jalan Allah (ikhlas mencari keredhaan Allah), nescaya Allah akan menjauhkan wajahnya daripada api neraka sejauh 70 tahun perjalanan. (HR Bukhari No: 2840) Status Hadis Sahih

Pengajaran:
 
1.    Puasa mempunyai ganjaran yang sangat besar. Puasa antara ibadat yang menjadikan seseorang hamba dekat dengan syurga dan jauh daripada api neraka. Walaupun hanya berpuasa sehari, Allah SWT menjanjikan perlindungan yang amat besar daripada api neraka kepada orang yang ikhlas.
 
2.    Keikhlasan adalah asas penerimaan amalan. Setiap ibadah hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan untuk dipuji atau mendapat penghormatan manusia.
 
3.    Setiap amalan kecil boleh membawa ganjaran besar. Hadis ini membuktikan bahawa amalan yang kelihatan sederhana boleh menjadi sebab seseorang memperoleh keselamatan di akhirat apabila dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
 
4.    Puasa adalah perisai kepada seorang mukmin. Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدْ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai, seorang hamba berperisai dengannya dari api neraka” (HR Ahmad 3/241) Status: Hadis Sahih

5.    Sehari ibadat puasa oleh seorang Mukmin yang dilakukan dengan ikhlas akan menjauhkan seseorang dari neraka sejauh 70 tahun perjalanan.
 
6.    Umat Islam digalakkan memperbanyakkan puasa sunat khususnya pada bulan Muharam. Antara hari yang digalakkan berpuasa selain daripada Isnin dan Khamis, puasa Tasu’a (9 Muharam) dan puasa Asyura (10 Muharam) juga puasa sunat pada pertengahan bulan hijrah atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah).
 
7.    Hadis ini mendorong umat Islam agar menjadikan puasa sebagai amalan berterusan, khususnya pada bulan Muharam, di samping menjadikannya sebahagian daripada usaha hijrah rohani untuk membina ketakwaan, keikhlasan dan keselamatan di dunia serta di akhirat. Moga ibadat puasa akan menghindarkan kita dari api neraka.
 

No comments:

Post a Comment