Monday, August 10, 2026

Mendamaikan Perselisihan

Isnin, 26 Safar 1448H   | Mendamaikan Perselisihan

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِأَفْضَلَ مِنْ دَرَجَةِ الصِّيَامِ وَالصَّلَاةِ وَالصَّدَقَةِ قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِصْلَاحُ ذَاتِ الْبَيْنِ وَفَسَادُ ذَاتِ الْبَيْنِ الْحَالِقَةُ

Daripada Abu Darda RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama darjatnya daripada puasa, solat dan sedekah?" Para sahabat manjawab: "Sudah tentu ya Rasulullah." Baginda bersabda: "Mendamaikan hubungan orang yang sedang berselisih. Sesungguhnya kerosakan hubungan sesama manusia akibat berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan)." (Sunan Abu Daud No: 4273) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.    Ibadah Puasa, Solat dan Sedekah adalah antara amal ibadah yang utama dalam kehidupan Muslim yang biasa dilaksanakan.
 
2.    Mendamaikan orang yang bersengketa (bermusuhan) atau dua kelompok yang bergaduh adalah lebih utama berbanding ibadat peribadi seperti puasa, solat dan sedekah. Kesolehan kepada Allah perlu berjalan seiring dengan kesungguhan menjaga hubungan sesama manusia.

3.    Perselisihan atau pergaduhan antara dua orang atau dua kelompok boleh menjadi pengikis pahala yang mungkin dicetuskan dari penyakit hasad dengki dengan saling mengumpat, menghina dan merendah-rendahkan pihak yang satu lagi

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالْحَسَدَ فَإِنَّ الْحَسَدَ يَأْكُلُ الْحَسَنَاتِ كَمَا تَأْكُلُ النَّارُ الْحَطَبَ أَوْ قَالَ الْعُشْبَ

Sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "Jauhilah hasad (dengki), kerana hasad dapat memakan kebaikan seperti api memakan kayu bakar." (Sunan Abu Daud No:4257)

4.    Memperbaiki hubungan antara dua pihak yang berselisih, bermusuhan atau putus hubungan merangkumi usaha: mendamaikan suami isteri; menyelesaikan pertelingkahan keluarga; mendamaikan dua sahabat; menyelesaikan perselisihan jiran; meredakan konflik dalam organisasi; mendamaikan kelompok masyarakat yang bertelagah.
 
Allah SWT berfirman:
 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ
 
"Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu."(Surah al-Hujurat: 10)
 
5.    Persengketaan yang berpanjangan boleh sedikit demi sedikit menghakis penghayatan agama seseorang. Dalam riwayat lain Rasulullah SAW menjelaskan:
 
لَا أَقُولُ تَحْلِقُ الشَّعَرَ وَلَكِنْ تَحْلِقُ الدِّينَ
 
"Aku tidak mengatakan bahawa ia mencukur rambut, tetapi ia mencukur agama."
 
6.    Jangan biarkan perselisihan kecil berkembang menjadi permusuhan. Semakin lama konflik dibiarkan, semakin sukar hati untuk dipertemukan.
 
7.    Manusia boleh berbeza pandangan; pendekatan; ijtihad; strategi juga keutamaan. Yang dilarang ialah apabila perbezaan tersebut berubah menjadi permusuhan, penghinaan, dendam, fitnah dan pemutusan ukhuwah. Perbezaan perlu diurus dengan sewajarnya agar ia tidak merosakkan ukhuwah.
 
8.    Hidup berorganisasi, bermasyarakat dan bernegara memerlukan warganya saling bertolak ansur dan mengelakkan perselisihan yang membawa kepada pergaduhan. Bersikap ramah dan rahmah dengan berusaha mendamaikan dua saudara atau kelompok yang berselisih kerana ia adalah amal soleh yang utama.
 

No comments:

Post a Comment