Friday, February 28, 2025

Ramadan Bulan Ibadah

Jumaat, 20 Syaaban 1446H  |   Ramadan Bulan Ibadah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila bulan Ramadan tiba, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan." (HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:

1.  Ramadan adalah bulan istimewa  yang dianugerahkan kepada umat Islam. Selain diwajibkan ibadah puasa juga dianugerahkan pelbagai ganjaran yang besar.

2.  Ramadan adalah bulan Syiam (berpuasa di siang hari) dan Qiam (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir dan doa).

3.  Bulan Ramadan adalah waktu yang penuh rahmat, keberkatan, dan kesempatan yang luar biasa untuk mendekatkan diri kepada Allah. Pintu syurga dibuka seluasnya, dan Allah memberi peluang kepada umat Islam untuk meningkatkan amalan mereka. Masa yang sangat istimewa, dan setiap Muslim harus memanfaatkan kesempatan ini sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Menyediakan  diri dengan rahmah Allah untuk masuk ke syurga.

4.  Pintu neraka ditutup di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan  untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Malah peluang untuk mendapatkan pengampunan Allah melalui taubat, memohon ampun atas dosa-dosa yang lalu, dan berusaha memperbaiki diri. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.

5.  Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai atau dibatasi pergerakkannya untuk mengganggu atau menggoda. Peluang untuk lebih mudah menghindari dosa dan godaan. Tanpa gangguan syaitan, kita lebih mudah untuk meningkatkan ibadah dan menjaga diri dari perbuatan buruk.

6. Ramadan adalah bulan penuh rahmat dan keberkatan. Dengan pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan dibelenggu, Ramadan adalah bulan terbaik untuk memperbaiki diri, meningkatkan ibadah, dan memperoleh pengampunan Allah. Manfaatkanlah kesempatan ini dengan beribadah lebih giat, memperbanyakkan doa dan amal soleh, serta bertaubat untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat Allah di bulan yang mulia ini.

Ayuh kita menyediakan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan yang akan menjelang. Ahlan Ya Ramadan.


Thursday, February 27, 2025

Membalas Jasa Ibu bapa

Khamis, 28 Syaaban 1446H  | Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ
Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Berkhidmat dan berbakti kepada ibu bapa boleh dianggap sebagai jihad, khususnya jika mereka memerlukan perhatian dan sokongan. Hal ini menunjukkan keutamaan menjaga ibu bapa dalam keadaan tertentu, lebih daripada berjihad di medan perang.

2. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad di medan perang dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup terutama yang memerlukan bantuan.

3. Rasulullah SAW menunjukkan bahawa jihad tidak hanya terbatas pada berperang di medan perang. Berjihad juga boleh dilakukan dengan melakukan kebaikan, menghormati, dan melayani ibu bapa, terutamanya apabila mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka.

4. Ibu bapa yang telah banyak berkorban dan bekerja keras dalam membesarkan anak-anak mereka seharusnya menerima penghargaan yang setimpal. Berbakti kepada mereka, termasuk membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

5. Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Hadis ini mengajarkan kita bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan, terhadap  ibu bapa, adalah amalan yang sangat mulia. Menghormati ibu bapa adalah bentuk pengorbanan yang besar dalam konteks ini berbanding berjihad di medan perang. Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.


Wednesday, February 26, 2025

Mencela Ibu bapa

Rabu, 27 Syaaban 1446H  |  Mencela Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" baginda menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Kemudian bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan membalas mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824) Status: Hasan Sahih.

Pengajaran:

1. Menghormati ibu bapa adalah suatu kewajipan yang sangat besar dalam Islam. Tidak hanya mengabaikan mereka, tetapi mencela dan menghina ibu bapa termasuk salah satu dosa besar.

2. Apabila seseorang mencaci atau memaki ibu atau bapa orang lain, ia bermakna turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.

3. Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.

4. Ibu bapa adalah orang yang paling berhak atas penghormatan anak-anak. Penghormatan ini tidak hanya dalam tindakan, tetapi juga dalam kata-kata. Seorang anak harus menjaga tutur kata dan perilakunya terhadap ibu bapa Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’:24)

5. Jika seseorang mencaci ibu bapa kita, kita diajar untuk tidak membalas dengan cara yang sama. Jangan sampai kemarahan kita menyebabkan kerosakan lebih besar dengan menghina ibu bapa orang lain. Sebaliknya, kita perlu berusaha untuk mendamaikan keadaan dengan hikmah dan tidak terbawa emosi negatif yang boleh merosakkan keharmonian.


Tuesday, February 25, 2025

Jauhi Dosa Besar

Selada, 26 Syaaban 1446H  | Jauhi Dosa Besar

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قُلْنَا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى قُلْتُ لَا يَسْكُتُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang termasuk dosa besar? Kami menjawab; "Tentu wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua." ketika itu baginda tengah bersandar, kemudian duduk lalu melanjutkan sabdanya: "Perkataan dusta dan kesaksian palsu, perkataan dusta dan kesaksian palsu." Baginda terus saja mengulanginya hingga saya mengira baginda tidak akan berhenti (mengingatkan kami tentang perkara ini)." (HR Bukhari No: 5519) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1. Menjadi kewajipan setiap Muslim menjauhi segala perkara dosa besar

2. Antara perkara yang termasuk dosa besar ialah:

a. Melakukan syirik (dosa yang tidak akan diampunkan melainkan bertaubat nasuhah)
b. Mendurhakai kedua orang tua
c. Berdusta atau bercakap bohong (bukan sahaja merosakkan hubungan manusia tetapi juga boleh menyebabkan fitnah, keburukan, dan ketidakadilan dalam Masyarakat)
d. Menjadi saksi palsu

3. Daripada Abu Bakar ash Shiddiq, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kalian mesti menjauhi dusta kerana dusta akan sentiasa bersama dengan kejahatan dan keduanya ada di dalam neraka“. (HR Ibnu Hibban dalam Shahihnya). Hari ini berdusta bukan hanya dengan lisan malah yang lebih parah ianya disebarkan melalui penulisan juga karikatur dipelbagai media sosial, ditulis, dilukis dan ditularkan.

4. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Bukhari No: 6477)

Hadis ini memberi amaran keras mengenai dosa-dosa besar yang melibatkan syirik kepada Allah, durhaka kepada ibu bapa, perkataan dusta, dan kesaksian palsu. Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga akhlak, kata-kata, dan tindakan kita, agar tidak terjerumus dalam dosa besar. Dalam kehidupan sehari-hari, kita perlu berusaha untuk sentiasa berkata benar, menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, dan menjauhi segala bentuk penipuan dan ketidakadilan.


Monday, February 24, 2025

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

Isnin, 26 Syaaban 1446H  |   Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Daripada Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kebakhilan dan ketakutan." (Sunan Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (Surah at-Tahrim: 6)

2. Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah:

وَاعْلَمُوْا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندُ هُ أَجْرٌ عَضِيْمٌ

Maksudnya: “Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Surah Al Anfal: 28)

3. Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4. Al-Munawiy: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5. Al-Mawardiy: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…”

6. Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠

Maksudnya: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Surah Ali Imran:180)

Ketakutan dan kecemasan terhadap masa depan anak adalah perkara yang normal dan dialami oleh banyak ibu bapa. Namun, kita harus menghadapinya dengan penuh tawakal kepada Allah. Rasulullah SAW tidak menafikan perasaan ini, tetapi mengingatkan bahawa kita harus bersikap bijak dan seimbang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai orang tua. Moga anak-anak kita menjadi penyejuk mata, penenang jiwa dan penyubur untuk beramal bukan penyebab kita bakhil dan melalaikan perintah Allah.


Sunday, February 23, 2025

Larangan Memburukan Orang Lain

Ahad, 24 Syaaban 1446H |  Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

4. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

7. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.


Saturday, February 22, 2025

Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

Sabtu, 23 Syaaban 1446H  |   Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ

Daripada Ummu Habibah ia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mengerjakan dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga; iaitu empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya
 dan dua rakaat sebelum subuh." (HR Tirmizi No: 415) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Selain daripada solat fardhu lima waktu sehari semalam, kita juga digalakkan melakukan solat sunat mengiringi waktu.

2.  Orang yang melaksanakan 12 rakaat solat sunat sehari semalam, Allah akan membangunkan sebuah mahligai di syurga. Ia menunjukkan betapa besar pahala yang diperoleh dari amalan solat sunat yang istiqamah, dan sebagai satu bentuk ganjaran yang sangat bernilai di akhirat.

3.  12 rakaat solat sunat itu sehari semalam terdiri dari empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya
dan dua rakaat sebelum subuh.

4. Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya solat sunat dalam kehidupan seorang Muslim. Solat sunat bukan hanya sebagai amalan tambahan, tetapi ia memiliki keutamaan dan ganjaran yang sangat besar. Solat sunat ini mendekatkan kita kepada Allah dan melengkapi kekurangan dalam solat fardhu.


Friday, February 21, 2025

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

Jumaat, 22 Syaaban 1446H  |  Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Daripada 'Aisyah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya." (HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keutamaan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh lebih baik daripada segala sesuatu yang ada di dunia ini dengan segala isinya.

2.  Solat sunat subuh hanya  dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan sebelum solat fardhu Subuh. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i  dan jumhur ulama  seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim..

3.  Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

Hadis ini mengajarkan kita untuk menjaga kualiti ibadah yang kita lakukan. Tidak semua ibadah itu sama nilainya, dan ada beberapa amalan yang mempunyai keutamaan yang lebih besar daripada yang lain. Ayuh kita rebut peluang memelihara solat subuh dan solat sunat sebelum subuh.


Thursday, February 20, 2025

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

Khamis,  21 Syaaban 1446H  | Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Daripada 'Aisyah, bahawa tidak ada solat sunat yang lebih di jaga Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum fardhu subuh." (HR Muslim No: 1191) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh dalam amalan harian antaranya solat sunat.

2.  Antara solat sunat yang dijaga agar sentiasa dilaksanakan Rasulullah SAW  ialah solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

3. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan dua rakaat solat sunat sebelum solat fardhu Subuh, walau dalam keadaan apapun. Ia menunjukkan betapa konsistennya baginda dalam melakukan amalan ibadah, walaupun amalan tersebut adalah sunat. Ia mengajarkan kita untuk menjaga konsistensi dalam beribadah, terutamanya dalam amalan-amalan sunnah yang boleh mendekatkan kita kepada Allah.

Marilah kita memelihara solat fardhu juga solat sunat mengiringi waktu. Antara solat sunat mengiringi waktu yang perlu kita bersungguh melaksanakannya ialah solat sunat sebelum subuh kerana ia memiliki banyak keberkatan dan keutamaan. Dengan menjaga amalan ini, kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh ganjaran yang besar.


Wednesday, February 19, 2025

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

 Rabu, 20 Syaaban 1446H  |   Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Daripada 'Aisyah radliallahu 'anha bahawa "Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh". (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sangat mengutamakan solat sunat empat rakaat sebelum solat zohor.

2.  Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum solat subuh.

3. Hadis ini menunjukkan betapa pentingnya solat sunnah dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah amalan tambahan yang membantu memperbaiki kekurangan dalam solat fardhu dan mempertingkatkan keimanan.

4. Hadis ini menekankan pentingnya solat sunat yang diajarkan oleh Nabi SAW, terutama dua waktu yang disebutkan: empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat sebelum Subuh. Solat sunat ini bukan hanya tambahan, tetapi juga memiliki keutamaan yang besar sebagai bentuk pendekatan diri kepada Allah dan pelengkap ibadah wajib.

Ayuh kita menuruti sunah Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat mengiringi waktu antaranya solat sunat empat rakat sebelum zohor dan solat sunat dua rakat sebelum solat subuh.

Tuesday, February 18, 2025

Solat Sunat Zohor

Selasa, 19 Syaaban 1446H  |  Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan sunat dapat membantu meningkatkan kualiti ibadah seseorang dan menjadi penyelamat di hari akhirat kelak.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

4. Hadis ini memberikan dorongan yang kuat untuk menjaga solat sunat sebelum dan selepas solat Zuhur. Dengan menjaga amalan ini, seseorang tidak hanya mendekatkan dirinya kepada Allah, tetapi juga memperoleh perlindungan dari api neraka, sebagai balasan atas istiqamahnya dalam beribadah.


Monday, February 17, 2025

Witir Penutup Solat Malam

Isnin, 18 Syaaban 1446H |  Witir Penutup Solat Malam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada 'Abdullah bin 'Umar berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW yang pada ketika itu sedang berada di atas mimbar. "Bagaimana cara solat malam?" Baginda menjawab: "Dua rakaat dua rakaat. Apabila dikhuatirkan masuk subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solatnya." Ibnu  Umar berkata: "Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kalian, kerana Nabi SAW memerintahkan hal yang demikian." (HR Bukhari No: 452) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar cara solat sunat malam hari (qiamullail) dilaksanakan dua rakaat dan salam diikuti dua rakaat lagi dan salam dan seterusnya sehingga ditutup dengan solat sunat witir.

2.  Jika waktu dah hampir solat subuh, disarankan agar solat malam ditutup dengan menunaikan solat sunat witir satu rakaat.

3.  Solat witir dijadikan solat penutup kepada solat sunat di malam hari paling kurang satu rakaat.

4. Rasulullah SAW menyarankan agar akhir solat kita adalah witir. Baginda SAW sering menekankan tentang pentingnya solat witir sebagai penyempurna solat malam, dan bagi mereka yang mengerjakan solat malam, witir adalah satu amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Solat witir merupakan solat yang memiliki keutamaan yang sangat tinggi dalam Islam.

Ayuh kita tunaikan solat sunat di malam hari sekurang-kurangnya satu rakaat witir.


Sunday, February 16, 2025

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

Ahad, 17 Syaaban 1446H |  Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

Daripada 'Aisyah berkata, "Nabi SAW pernah berdiri solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat witir, baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat witir." (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bangun di waktu malam untuk qiamullail menunaikan solat malam antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2.  Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

3. Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bagaimana menjadi seorang suami yang lembut dan penuh perhatian terhadap keluarga. Beliau tidak hanya fokus pada ibadah diri sendiri, tetapi juga memberi galakan kepada Aisyah r.a. untuk beribadah. Dalam kehidupan rumah tangga, kita diajar untuk saling menyokong dalam amalan agama dan saling mengingatkan untuk berbuat kebaikan.

Ayuh bangunkan ahli keluarga kita untuk menunaikan solat sunat malam, walaupun satu rakaat. Semoga solat sunat malam membina jati diri kita. Semoga kebiasaan baik yang kita lakukan di bulan Syaaban akan berterusan di bulan Ramadan yang penuh barakah.


Saturday, February 15, 2025

Jangan Tinggalkan Qiamullail

Sabtu, 16 Syaaban 1446H  |  Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk." (HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2.  Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3.  Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk disebabkan sakit atau lemah.

4. Rasulullah SAW memberi teladan yang sangat baik bagi kita semua bahawa ibadah itu harus dilakukan dengan penuh ketekunan dan komitmen, tidak kira keadaan. Solat malam adalah amalan yang memerlukan usaha dan pengorbanan, tetapi ia memberi ganjaran yang besar dan mendekatkan kita kepada Allah.

5. Solat malam adalah salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia adalah waktu yang penuh keberkahan, ketika hamba-hamba Allah yang lain sedang tidur, tetapi seseorang yang bangun untuk beribadah menunjukkan keikhlasan dan rasa cinta yang mendalam kepada Allah.

Ayuh contohi Rasulullah SAW dalam ibadat Qiamullail


Friday, February 14, 2025

Solat Malam Amalan Orang Soleh

Jumaat, 15 Syaaban 1446H  | Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim. Allah SWT memberikan ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukannya dengan penuh ikhlas dan tawaduk, kerana pada waktu malam, ketika manusia lain tidur, seorang hamba yang bangun untuk beribadah menunjukkan pengabdian dan keikhlasan hati untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Kebiasaan melakukan solat malam dapat menjadi penolong bagi seseorang dalam menjaga dirinya dari terjerumus dalam dosa, kerana dalam keadaan hening dan sepi di malam hari, seorang hamba lebih mudah untuk merenung dan mengingati Allah.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.


Thursday, February 13, 2025

Malam Nisfu Syaaban

Khamis, 14 Syaaban 1446H  |   Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang melakukan syirik dan bermusuhan sesama Muslim.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Hadis ini mengajarkan kita mengenai keistimewaan malam pertengahan Sya'ban sebagai malam pengampunan. Allah SWT memberi kesempatan untuk hamba-Nya yang bertaubat untuk mendapatkan ampunan-Nya, kecuali bagi mereka yang melakukan syirik atau memutuskan hubungan dengan sesama. Oleh itu, kita harus senantiasa menjaga keimanan, memperbaiki hubungan dengan sesama, dan memanfaatkan waktu-waktu istimewa untuk memohon ampunan Allah. Malam Nisfu Sya'ban adalah peluang yang berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan rahmat serta pengampunan-Nya.


Wednesday, February 12, 2025

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

Rabu, 13 Syaaban 1446H  | Doa Hati Tidak Berbolak-balik

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara.

3. Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.

4. Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat). Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

5. Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6. Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.


Tuesday, February 11, 2025

Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul

Selasa, 12 Syaaban 1446H  |Tiga Penyebab Doa Tidak Makbul

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ قَالَ يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

Daripada Abu Hurairah dari Nabi SAW baginda bersabda: Doa seseorang sentiasa akan diperkenankan selagi ia tidak berdoa untuk perbuatan dosa ataupun memutuskan silaturahim dan selagi tidak tergesa-gesa. Seorang sahabat bertanya; 'Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan tergesa-gesa? ' Rasulullah SAW menjawab: 'Yang dimaksud dengan tergesa-gesa adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan; 'Aku telah berdoa dan terus berdoa tetapi aku tidak melihat diperkenankan'. Setelah itu, ia merasa kecewa dan berhenti berdoa. (HR Muslim No: 4918) Status: Sahih

Pengajaran:

1. Setiap doa akan diperkenankan Allah selagi seseorang tidak melakukan 3 perkara:

a. Tidak berdoa untuk perbuatan dosa
b. Tidak memutuskan silaturahim
c. Tidak tergesa-gesa meminta dikabulkan

2. Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

3. Dalam berdoa, kita harus memastikan bahawa niat kita adalah untuk kebaikan dan tidak untuk hal-hal yang buruk. Allah tidak akan mengabulkan doa yang bertujuan untuk kejahatan atau keburukan, termasuk memutuskan hubungan dengan keluarga atau merancang untuk menyakiti orang lain.

4. Marilah kita berdoa yang baik-baik, jagalah hubungan silaturahim dengan kerabat dan istiqamahlah untuk terus berdoa dengan bersabar dan  tidak berputus asa. Yakinlah bahawa Allah tetap akan memperkenankan permohonan kita.

5. Doa adalah salah satu bentuk pengabdian dan pengharapan kita kepada Allah. Melalui doa, kita menunjukkan ketergantungan kita kepada-Nya dan meyakini bahawa hanya Allah yang dapat memberikan pertolongan. Oleh itu, kita harus tetap konsisten dalam berdoa, tanpa merasa lelah atau putus asa.


Monday, February 10, 2025

Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa

Isnin, 11 Syaaban 1446H  | Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa

عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو عُبَيْدٍ مَوْلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ وَكَانَ مِنْ الْقُرَّاءِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّي فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِي

Daripada Ibnu Syihab bahwasanya ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abu Ubaid hamba Abdurrahman bin Auf yang mana dia termasuk dari para Qari (penghafal quran) dan Ahli fikah, dia berkata; Aku mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dikabulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan; Aku telah berdoa kepada Rabbku, namun Dia belum juga mengabulkan untukku' (HR Muslim No: 4917) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah

2. Doa seseorang tetap akan dikabulkan oleh Allah dengan keyakinan dan kebergantungan penuh kepada Allah.

3. Antara sebab doa seseorang tidak dikabulkan ialah sifat tergesa-gesa.

4. Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

5. Berdoalah dengan penuh keyakinan dan berbaik sangka dengan Allah. Sabda Nabi:

أُدْعُوا اللهَ تَعَالَى وَأَنتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِن قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah sementara kalian yakin doa kalian dikabulkan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan dari hati yang lalai dan lengah” (HR Tirmizi No: 3479)

Hadis ini mengajar kita untuk berdoa dengan penuh keikhlasan, keyakinan, dan kesabaran. Doa yang tidak segera dimakbulkan bukanlah tanda penolakan, namun mungkin ia adalah ujian untuk meningkatkan keimanan kita atau Allah menghindarkan kita daripada musibah atau juga Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik.


Sunday, February 9, 2025

Jadilah Orang Yang Terbaik Dalam Berhutang

Ahad, 10 Syaaban 1446H  |   Jadilah Orang Yang Terbaik Dalam Berhutang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ خَيْرَكُمْ أَوْ مِنْ خَيْرِكُمْ أَحَاسِنُكُمْ قَضَاء

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya sebaik-baik kalian, atau dari sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang." (HR Ibnu Majah : No 2414) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Membayar hutang adalah kewajiban yang mesti ditunaikan. Hutang yang tidak dibayar akan menjadi beban di dunia dan akhirat.

2. Jadilah orang yang paling baik apabila berhutang dengan segera melunaskan hutang dengan cara terbaik, termasuk membayar tepat pada masanya, tidak melewatkan bayaran tanpa sebab yang munasabah, dan memberikan ucapan terima kasih kepada pemberi hutang.

3. Islam sangat menekankan sifat amanah dan kejujuran dalam menjalankan kewajiban, termasuk urusan hutang. Seseorang yang melunaskan hutang dengan baik dianggap sebagai insan yang paling baik.

4. Bagi orang yang memiliki harta, wajib baginya menjelaskan hutang segera.

أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ

Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW bersabda: "Menunda pembayaran hutang bagi orang kaya adalah kezaliman".(HR Bukhari No: 2225) Status: Hadis Sahih

5. Hadis ini menekankan nilai akhlak mulia dalam melunaskan hutang, yang mencerminkan amanah dan kejujuran. Sikap ini tidak hanya memelihara keharmonian masyarakat, tetapi juga menjadi salah satu amalan yang mendekatkan seseorang kepada Allah SWT. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk menjaga urusan kewangan mereka dengan baik dan memastikan setiap hutang diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Saturday, February 8, 2025

Berterima Kasih Atas Pemberian Orang Lain

Sabtu, 9 Syaaban 1446H  |  Berterima Kasih Atas Pemberian Orang Lain

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidak bersyukur kepada Allah seorang yang tidak bersyukur kepada manusia.” (HR. Abu Daud: No 4177) Status: Hadis Sahih di dalam kitab Silsilat Al Ahadits Ash Shahihah, 1/702.

Pengajaran:

1. Orang yang tidak berterima kasih di atas kebaikan orang lain terhadapnya  adalah tanda kesombongan yang boleh merosakkan hubungan dalam Masyarakat.

2. Mengucapkan terima kasih atau menghargai usaha dan bantuan orang lain adalah tanda bersyukur kepada Allah di atas limpah nikmat yang diperolehi. Ucapan terima kasih dan penghargaan meningkatkan silaturahim serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk terus berbuat baik.

3. Al-Khaththaby berkata: barangsiapa kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya.

4. Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya, jika seorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain terhadapnya. Lihat kitab Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- مَنْ أُعْطِىَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ فَإِنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ بِهِ فَمَنْ أَثْنَى بِهِ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ كَتَمَهُ فَقَدْ كَفَرَهُ.

Jabir bin Abdullah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang diberikan sebuah hadiah, lalu ia mendapati kecukupan maka hendaknya ia membalasnya, jika ia tidak mendapati maka pujilah ia, barangsiapa yang memujinya, maka sungguh ia telah bersyukur kepadanya, barangsiapa menyembunyikannya sungguh ia telah kufur.” (HR. Abu Daud No: 4179) Status: Hadis Sahih.

Cara membalas kebaikan dan pemberian orang lain:

a. Membalas pemberian tersebut
b. Memuji orang tersebut
c. Mengucapkan Jazakallah khairan kepada orang tersebut
d. Mendoakan orang tersebut

Sikap terima kasih adalah tanda hati yang bersyukur, manakala kelalaian dalam menghargai kebaikan orang lain mencerminkan kekurangan dalam iman. Dengan mempraktikkan syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada manusia, seseorang bukan sahaja meningkatkan hubungan dengan Pencipta tetapi juga mengeratkan hubungan sesama manusia.


Friday, February 7, 2025

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

Jumaat, 8 Syaaban 1446H  |   Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Reda Allah terdapat pada reda seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa." (HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Berbakti kepada ibu bapa adalah salah satu kewajiban utama dalam Islam selepas beriman kepada Allah. Ia menunjukkan hubungan langsung antara amal anak kepada ibu bapa dan kedudukannya di sisi Allah.

2. Apabila seseorang anak berbuat baik kepada ibu bapanya, menghormati, dan menjaga kebajikan mereka, maka Allah akan meredhainya. Sebaliknya, jika sianak membuat perkara yang menyebabkan ibu bapa marah atau merasa tersinggung seperti mengasarinya, mengabaikan kebajikannya, ini akan membawa kemurkaan Allah ke atasnya.

3.  Imam Al Ghazali berkata: Antara adab anak kepada orang tuanya adalah; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

4.  Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua (HR Tabrani dari Ibnu Umar).

Berusahalah menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya dengan berbakti kepada mereka serta mendoakan keduanya.


Thursday, February 6, 2025

Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

Khamis, 7 Syaaban 1446H  |  Kelebihan Solat Berjemaah Isyak dan Subuh

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ قِيَامُ نِصْفِ لَيْلَةٍ وَمَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَالْفَجْرَ فِي جَمَاعَةٍ كَانَ لَهُ كَقِيَامِ لَيْلَةٍ

Daripada Utsman bin 'Affan RA ia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melaksanakan solat isyak berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat setengah malam, dan barangsiapa melaksanakan solat isyak dan subuh dengan berjamaah maka ia mendapatkan pahala solat sepanjang malam." (HR Tirmizi No: 205) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Solat yang dilaksanakan secara berjamaah akan diganjari balasan pahala yang berganda disamping dapat meningkatkan hubungan sesame Muslim.

2.  Seseorang yang melaksanakan solat isya berjemaah seolah-olah ia solat separuh dari malam

3.  Seseorang yang melaksanakan solat isya dan subuh berjemaah, ia akan mendapat pahala seperti dia qiamullail sepanjang malam

4. Waktu Isyak dan Subuh sering menjadi cabaran kerana ia melibatkan masa rehat atau bangun awal. Hadis ini menjadi motivasi agar umat Islam tetap konsisten dan berusaha menunaikan kedua-dua solat tersebut secara berjemaah.

Peliharalah solat berjemaah isya dan subuh di masjid untuk merebut peluang mendapat ganjaran menyamai pahala qiyamullail sepanjang malam.


Wednesday, February 5, 2025

Doa Mustajab Di Malam Hari

 Rabu, 6 Syaaban 1446H  |  Doa Mustajab Di Malam Hari

عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

Dari Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) serta berzikir kepada Allah, lalu ia bangun pada waktu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.” (Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)

Pengajaran:

1.  Berwuduk sebelum tidur adalah sunnah yang membawa keberkatan dan perlindungan daripada gangguan syaitan semasa tidur.

2. Amalan zikir sebelum tidur (seperti tasbih, tahmid, istighfar, membaca doa sebelum tidur, ayat al-Kursi, 3 Qul) membantu mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada perkara duniawi.

3.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

4.  Latih diri untuk bangun malam walaupun hanya sekejap untuk solat sunat dan memohon kebaikan dunia dan akhirat.

Hadis ini memberikan panduan penting tentang kepentingan menjaga kesucian, zikir, dan hubungan dengan Allah sebelum tidur. Selain itu, ia mendorong umat Islam untuk memanfaatkan waktu malam sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan ibadah. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam hidup, tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari.


Tuesday, February 4, 2025

Riya Itu Syirik Kecil

Selasa, 5 Syaaban 1446H  |  Riya Itu Syirik Kecil

عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:

•  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat

•  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.

•  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiyam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata: ”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.

#BangunkanJiwaMerdeka
#TeguhkanUkhuwahSebarkanRahmah
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor
#PalestinMerdeka


Monday, February 3, 2025

Ibadat Yang Sia-Sia

Isnin, 4 Syaaban 1446H  |  Ibadat Yang Sia-Sia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain berjaga (menyengkang mata)." (HR Ahmad No: 9308) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa dan solat merupakan ibadat mendekatkan hamba kepada Allah.

2.  Puasa dan solat hendaklah dilaksanakan dengan sempurna dan  ikhlas.

3.  Bagi mereka yang berpuasa, ia bukan sahaja perlu meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa malah perlu meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. (HR Bukhari No: 1770)

Di dalam Syarah Miskkah al-Masabih, qiam seseorang itu menjadi sia-sia apabila hilangnya dua syarat iaitu ikhlas dan khusyu’. (Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 6/1053) Tambahan pula, riya’ juga boleh menyebabkan qiam seseorang itu boleh menjadi sia-sia.

4.  Ibadat yang tidak sempurna dan  tidak ikhlas akan menyebabkan  ibadat puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, ibadat solat malam hanya sekadar bersengkang mata.

Moga Ibadat dilakukan dengan sempurna mengikut syarat dan rukun di samping keikhlasan melaksanakan.

Sunday, February 2, 2025

Amalan Pintu Kebaikan

Ahad, 3 Syaaban 1446H | Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa melatih kesabaran, menguatkan hubungan dengan Allah. Ibadat Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka.

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah banjir, gempa bumi dan lain-lain.

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

Saturday, February 1, 2025

Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

Sabtu, 2 Syaaban 1446H  |  Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya". (HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Sya'ban adalah peluang untuk memperbanyakkan ibadah sunat seperti puasa dan amal soleh lain sebagai persediaan rohani bagi menghadapi bulan Ramadan. Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Hadis ini mengajar pentingnya mengambil pendekatan sederhana dan realistik dalam ibadah, supaya kita tidak cepat merasa penat atau bosan. Amalan yang sedikit tetapi konsisten lebih bernilai di sisi Allah berbanding amalan besar yang dilakukan hanya sekali-sekala.

3.  Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi solat fardhu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

5. Rasulullah SAW memanfaatkan bulan Syaaban sebagai masa latihan sebelum memasuki Ramadan. Ia memberi pengajaran kepada kita agar bersedia secara mental, fizikal, dan spiritual untuk menghadapi bulan yang penuh keberkatan.

Hadis ini memberi panduan kepada kita, cara mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan konsisten dan persiapan yang terancang. Ia juga mengajarkan bahawa keberkesanan ibadah terletak pada ketekunan dan istiqamah, bukan sekadar banyaknya amalan. Ambilah peluang untuk memperbaiki diri pada bulan Syaaban ini, sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan. Laksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.