Rabu, 8 Muharram 1445H: Rahmat Kepada Semua
عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ , أَنَّهُ
سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : لن
تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس
برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ
Daripada
Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman
sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata:
Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda:
“(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap
kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah
secara umum (kepada seluruh makhluk)”
(Riwayat al-Haythami dalam Majma’
al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan
Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
Pengajaran:
1.
Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata
akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang,
memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam
al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.
3.
Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga
kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam
yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
4. Umat Islam haruslah
memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari
sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita
melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
“Wahai
manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang
manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa
dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)
5.
Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam
dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh
dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah
melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji.
Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat
hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.
6. Sifat
berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua
makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada
binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih
sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama
manusia.
7. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang
menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan
Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita
tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.
8. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.
9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
“Sesungguhnya
Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR
At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih
Al-Jaami’ no 2377)
No comments:
Post a Comment