Rabu, 12 Syawal 1447H | Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: "Jauhilah kamu daripada prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, janganlah kamu mengintip, janganlah kamu saling mendengki, jangan kamu saling membelakangi (permusuhan), dan jangan kamu saling membenci. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia boleh merosakkan hubungan dan membawa kepada tuduhan palsu dan fitnah. Sebaliknya, hendaklah kita berfikiran positif terhadap orang lain selagi tiada bukti yang jelas.
2. Muslim dilarang membuka aib dan mencari-cari kelemahan orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syarak dan perlu menghormati privasi orang lain.
3. Setiap kita juga dilarang saling mendengki - iri hati terhadap orang lain, saling memusuhi atau menjauhi antara satu sama lain, serta saling membenci. Dengki, benci dan permusuhan adalah racun yang merosakkan individu dan masyarakat.
4. Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim, saling membantu dan menyayangi. Pelihara persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak memusuhi orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.
Hadis ini mengajar kita untuk menjaga hubungan baik sesama Muslim dengan menghindari perkara yang boleh menyebabkan perpecahan dan kerosakan dengan menjauhi prasangka buruk, dengki dan permusuhan. Kita sepatutnya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan berusaha memelihara ukhuwah, umat Islam serta mewujudkan masyarakat yang penuh kasih sayang, hormat menghormati, dan persaudaraan.