Rabu, 7 Jamadil Akhir 1447H | Pemberi, Penerima dan Pengantara Rasuah Dilaknat
عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا
Daripada Thauban RA berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan orang yang menjadi perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” (HR Ahmad No: 22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW melaknat mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada pemberi, penerima mahupun pengantara atau orang tengah.
2. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam salah satu daripada dosa-dosa besar melalui kitabnya al-Kabair.
3. Mereka yang terlibat dengan rasuah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung termasuk orang yang menjadi pemudah cara atau orang tengah adalah dilaknat dan mereka akan menanggung dosa dan balasan di akhirat. Kaedah fiqh menyatakan:
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.
4. Imam Ibnul Arabi mengatakan: Rasuah adalah setiap suatu pemberian yang diberikan untuk membeli dan membayar seseorang yang memiliki jawatan untuk membantunya memiliki sesuatu yang tidak halal baginya.
5. Pengharaman rasuah dalam al-Quran diambil daripada celaan Allah SWT terhadap kaum Yahudi yang biasa mengambil rasuah. Allah SWT berfirman:
سَمَّاعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ
Maksudnya: Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya) (Surah al-Maidah Ayat: 42)
Imam al-Baghawi menjelaskan ayat ini dengan mengatakan: “(Ayat) ini turun berkenaan para hakim Yahudi, Ka’ab al-Asyraf dan yang sepertinya. Mereka menerima rasuah dan memutuskan hukum untuk memenangkan orang yang merasuah mereka.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 3/58)
Said bin Jubair menghuraikan ayat ini dengan mengatakan bahawa makna أَكَّالُونَ لِلسُّحْتِ adalah rasuah kerana rasuah adalah memakan harta yang diharamkan Allah.
6. Menurut Syeikh Yusuf al-Qaradawi, rasuah bukan hanya jenayah kewangan tetapi pengkhianatan terhadap amanah dan merosakkan aqidah, kerana menunjukkan hilangnya rasa takut kepada Allah.
No comments:
Post a Comment