Jumaat, 14 Syawal 1447H | Kemanisan Iman
عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Daripada Anas RA daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (yaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci untuk dicampakkan kedalam api neraka (HR Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:
a. Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.
b. Mencintai dan menyayangi sesama Muslim hanya kerana Allah.
c. Membenci kekufuran dan maksiat setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.
2. Iman yang sebenar menuntut keutamaan cinta kepada Allah dan Rasul yang diterjemahkan melalui ketaatan.
3. Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).
4. Membina hubungan sesama Muslim atas dasar iman. Ukhuwah yang sejati lahir daripada cinta kerana Allah, bukan kepentingan dunia.
5. Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.
6. Seorang mukmin perlu mempunyai perasaan benci terhadap dosa dan kekufuran sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka. Iman bukan sekadar pengakuan, tetapi dapat dirasai melalui ketenangan dan kebahagiaan dalam beragama.
7. Kemanisan iman bukan sekadar berada di dalam hati, tetapi ia juga menggerakkan seseorang untuk bertindak dengan baik, seperti menyayangi sesama Muslim, mengutamakan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta menghindari kekufuran dan kemungkaran dalam kehidupan sehari-hari.
No comments:
Post a Comment