Selasa, 5 Zulhijjah 1443H: Upah Penyembelih dan Petugas Korban
عَنْ عَلِيٍّ قَالَ أَمَرَنِي
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى
بُدْنِهِ وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا
وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا قَالَ نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ
عِنْدِنَا
Daripada Ali RA ia berkata; "Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Tetapi aku dilarang oleh baginda mengambil upah untuk tukang potong dari haiwan korban itu. Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri."
(Sahih Muslim No: 2320) Status: Hadis
Sahih
Pengajaran:
1.Antara ibadat yang dituntut pada hari
Raya Eidul Adha 10 Zulhijjah dan Hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah
ialah melaksanakan Ibadat korban.
2.Daging serta apa-apa sahaja
daripada binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak
seperti fakir miskin juga jiran tetangga.
3.Memberi daging korban
kepada penyembelih atau pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja
yang mereka lakukan adalah dilarang kerana ia termasuk dalam hukum jual
beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja mereka.
4.Imam
an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menyebut: “Hadis ini meminta agar
kita tidak memberikan kepada penyembelih dan pelapah bahagian dari
sembelihan korban kerana jika diberi kepadanya sebagai ganjaran kepada
pekerjaannya sama ertinya dengan menjual satu bahagian dari bahagian
korban kepada mereka. Ia tidak dibolehkan” (9/435 Cetakan Dar al-Khair,
Beirut).
5.Telah sepakat al-Imam al-Syafii dan tokoh-tokoh mazhab
al-Syafii bahawa tidak boleh sedikit pun dari sembelihan semasa haji
dan umrah serta sembelihan korban dijual. Sama ada ia korban nazar atau
sunat. Hal ini termasuk daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan
sebagainya. Tidak boleh pula kulit atau selainnya dijadikan upah untuk
penyembelih. (8/419-420. Beirut: Dar al-Fikr)
6.Hadis ini bukan
melarang memberikan upah kepada para penyembelih atau pelapah. Larangan
hanya jika upah itu diambil dari bahagian korban. Upah itu boleh
diberikan dalam bentuk lain seperti wang atau selainnya yang tidak dari
bahagian korban. Kerja dan tenaga seseorang itu patut dibayar upah.
7.Saidina Ali menyebut: Untuk upahnya (penyembelih dan pelapah), kami ambil dari wang kami sendiri.
8.Walaupun
begitu, jika diberi kepada penyembelih atau petugas dari apa yang
dikorban disebabkan kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran
dan sebagainya, maka ini tidak mengapa. (juz. 3/ m .s.633. ctk. Dar
al-Fikr, Damsyik.)
9.Antara kesalahan yang sering berlaku semasa
pengurusan korban ialah mencuri daging korban ataupun bahagian korban
tanpa izin dari empunya korban. Biasanya hal ini dilakukan oleh pelapah
dan petugas yang terlibat dengan proses pengurusan penyembelihan.
Kadang-kala mereka merasa berhak kerana menolong atau kerana AJK.
Sedangkan daging korban tidak boleh dijadikan upah.
10.Ada yang
meletakkan bahagian yang mereka sukai itu berasingan dan mengambil
apabila selesai urusan korban. Walaupun mungkin tuan empunya tidak
membuat bantahan, namun itu bukan bererti dia bersetuju memberikan.
Ingatlah Firman Allah:
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
“Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).
No comments:
Post a Comment