Sabtu, 13 Rabiulakhir 1445H: Halal Haram dan Syubahat
عَنْ أَبِي عَبْدِ اللَّهِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَ إِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَ بَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَ عِرْضِهِ وَ مَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ أَلاَ وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلاَ وَ إِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَ هِيَ الْقَلْبُ
Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer RA. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubahat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubahat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubahat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekitar kawasan larangan, dibimbangi binatang yang digembalai akan menceroboh masuk ke dalamnya (untuk makan). Ketahuilah bahawa setiap raja itu ada sempadan (kawasan larangan) dan sesungguhnya sempadan (kawasan larangan) Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa di dalam jasad manusia ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa seketul daging itu adalah hati.” (HR Bukhari No: 52) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Setiap mukmin mestilah berusaha mengenali dan mempelajari perkara halal dan haram seterusnya melaksanakan yang halal dan meninggalkan yang haram demi menjaga kemuliaan agamanya.
2. Perkara yang kesamaran, yang belum jelas halal haramnya adalah perkara syubahat yang mesti dijauhi, demi menjaga maruah diri dan kemurnian agama.
3. Banyak melakukan syubahat akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan haram.
4. Antara sikap wara’ adalah meninggalkan perkara syubahat. Petanda ketakwaan seseorang jika dia meninggalkan perkara-perkara yang syubahat kerana khuatir akan terjerumus kepada hal-hal yang diharamkan.
5. Sempadan murka dan redha Allah SWT ialah perkara haram. Sesiapa yang melewati garisan dan terjebak melakukan perkara haram, maka dia telah melewati sempadan kemurkaan Allah.
6. Hati adalah raja, ia adalah anggota yang mesti dipastikan keelokannya dan kebersihannya justeru kerosakan dan kemusnahannya akan merosakkan dan memusnahkan seluruh anggota badan yang lain.
7. Setiap Muslim perlu memberikan perhatian terhadap masalah hati, kerana daripada hati punca tingkah laku seseorang. Baiknya amal perbuatan anggota badan merupakan pertanda baiknya hati.
No comments:
Post a Comment