Jumaat, 27 Rabiulawal 1445H:Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم وَمَسْجِدِ الأَقْصَى .
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi) dan masjid al-Aqsa”. (HR Bukhari No: 1189) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Masjid adalah tempat yang mulia untuk dikunjungi dan menjadi tempat untuk beribadat.
2. Tiga buah masjid yang disuruh agar bersusah payah bermusafir padanya bagi tujuan ibadah ialah Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
3. Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam serta salah satu masjid yang sangat digalakkan untuk diziarahi dan menunaikan solat didalamnya. Malangnya sejak penguasaan rejim zionis ke atas Baitul Maqdis, kesucian Masjid al-Aqsa sering diceroboh. Pelbagai usaha dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid al-Aqsa.
4. Walaupun kita tidak berpeluang untuk menziarahi Masjid al-Aqsa, kita masih bertanggungjawab untuk membantu umat Islam di Palestin yang menjadi benteng terakhir mempertahankan Masjid al-Aqsa dalam apa juga bentuk seperti doa dan sumbangan harta. Rasulullah SAW ditanya oleh Maimunah (pembantu Rasulullah SAW):
يا رسولَ اللَّهِ أفتِنا في بيتِ القُدُسِ قال ائتوهُ فصلُّوا فيهِ قالَتْ كيفَ والرُّومُ إِذ ذاكَ فيهِ قال صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فإِن لَم تَستَطيعُوا فابعَثوا بِزيتٍ يُسرَجُ في قناديلِهِ
Daripada Maimunah maula Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, berilah fatwa kepada kami tentang Baitul Maqdis. Baginda SAW bersabda: "Datangilah ia dan solatlah di dalamnya. Maimunah berkata: "Bagaimana (untuk datang dan solat) dengan keadaan Rom berada di dalamnya? Baginda SAW bersabda: "Jika kamu tidak mampu (untuk pergi ke Baitulmaqdis) kirimlah minyak ke sana untuk dinyalakan lampu-lampunya." (HR As-Sakhawi) Status: Hadis Hasan.
Isu Baitul Maqdis, Masjid al-Aqsa dan Palestin adalah perkara yang berkait dengan Iman. Menjadi kewajipan setiap orang Islam mengambil cakna dan membantu semampu mugkin antaranya memastikan perjuangan dan kehidupan umat Islam Palestin tetap kukuh.
Menjadi tanggungjawab setiap kita menyalurkan bantuan.
Ayuh bersama membantu Dana Bantuan Kemanusiaan Gaza melalui MyCARE. Salurkan sumbangan anda di:
http://mycare.qrd.by/palestin
No comments:
Post a Comment