Tuesday, May 28, 2024

Miskin Yang Benar

Selasa, 19 Zulkaedah 1445H  |  Miskin Yang Benar 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ تَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ وَلَكِنْ الْمِسْكِينُ الَّذِي لَا يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ وَلَا يُفْطَنُ بِهِ فَيُتَصَدَّقُ عَلَيْهِ وَلَا يَقُومُ فَيَسْأَلُ النَّاسَ

Daripada Abu Hurairah RA  bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang dikatakan miskin itu orang yang berkeliling meminta-minta kepada manusia satu dua suap makanan atau sebiji dua kurma. Akan tetapi yang dikatakan miskin adalah orang yang tidak mendapatkan sesuatu yang boleh memenuhi hajatnya dan tidak diketahui halnya lalu ia diberi  sedekah, ia tidak mahu meminta–minta  sedekah kepada orang. (HR Bukhari No: 1385) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kemiskinan bukan suatu penghinaan, kerana rezeki itu kurniaan Allah yang diberi dengan kadar yang tidak sama antara makhluk. Ada yang mendapat banyak dan ada yang sedikit. Kesemuanya mengandungi hikmah di sisi Allah sebagai ujian kepada manusia. Namun bukan bermakna kita tidak perlu bekerja dan berusaha.

2.  Orang yang berjalan menemui orang ramai kerana meminta sedekah dengan mengharapkan sesuap dua makanan namun tidak mahu berusaha dengan tenaga yang ada bagi mendapatkan pekerjaan dan rezeki untuk keperluan hidup, belum dianggap miskin. Mereka ini pemalas dan bukan Muslim yang mulia.

3.  Meminta sesuap dua makanan atau sebiji dua korma bermaksud mencari keperluan rezeki dengan cara meminta sedekah atau mengemis dengan tidak mahu berusaha dan bekerja (jalan mudah dengan mengemis sebagai profesion), mereka ini bukan sebenar-benar miskin.

4.  Orang yang tidak mendapat sesuatu yang boleh memenuhi hajatnya (benar-benar miskin), tetapi ia tidak mahu melahirkan kemiskinannya  dengan meminta-minta hingga orang menganggap ia tidak memerlukan sebarang pertolongan. Ia memiliki sifat mulia diri dan tidak mahu menghina diri dengan mengemis atau meminta-minta, dia berusaha bekerja mendapatkannya. Inilah orang yang benar-benar miskin. Firman Allah:

لِلۡفُقَرَآءِ ٱلَّذِينَ أُحۡصِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ لَا يَسۡتَطِيعُونَ ضَرۡبٗا فِي ٱلۡأَرۡضِ يَحۡسَبُهُمُ ٱلۡجَاهِلُ أَغۡنِيَآءَ مِنَ ٱلتَّعَفُّفِ تَعۡرِفُهُم بِسِيمَٰهُمۡ لَا يَسۡ‍َٔلُونَ ٱلنَّاسَ إِلۡحَافٗاۗ

(Berinfaklah) kepada orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) di jalan Allah (membela Islam) yang tidak berupaya (untuk berniaga, berusaha dan sebagainya) di muka bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana mereka memelihara diri dari minta-minta. Kamu kenal mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak (al-Baqarah: 273)

5.  Semulia-mulia orang yang miskin ialah mereka yang tidak mahu meminta-minta malah berusaha bekerja sedaya upaya dan apa jua pekerjaan yang halal walaupun pendapatan tidak mencukupi. Namun untuk meminta-minta, jauh sekali. Mereka inilah yang paling layak diberi zakat dan dibantu.

Kemiskinan bukan alasan untuk meminta-minta, kerana meminta dan mengemis itu adalah pekerjaan yang hina. Berusaha dan bekerjalah kerana ia adalah pekerjaan mulia.

No comments: