Friday, May 31, 2024

Ujian Kehidupan dan Amal Penghapus Dosa

Jumaat,  22 Zulkaedah 1445H |  Ujian  Kehidupan dan Amal Penghapus Dosa

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ كُنَّا عِنْدَ عُمَرَ فَقَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ حَدِيثَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْفِتْنَةِ كَمَا قَالَ قَالَ فَقُلْتُ أَنَا قَالَ إِنَّكَ لَجَرِيءٌ وَكَيْفَ قَالَ قَالَ قُلْتُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَنَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ يُكَفِّرُهَا الصِّيَامُ وَالصَّلَاةُ وَالصَّدَقَةُ وَالْأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيُ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Hudzaifah RA berkata: Kami berada di kediaman Umar lalu ia bertanya: Siapa diantara kalian yang hafal hadis Rasulullah SAW tentang fitnah (ujian) seperti yang baginda sabdakan? Hudzaifah bin Al Yaman menjawab: Aku. Umar berkata: Sesungguhnya engkau berani, apa yang baginda sampaikan? Aku (Hudzaifah bin Al Yaman) berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Fitnah atau ujian seseorang terhadap keluarganya, hartanya, dirinya, anak dan jiran tetangganya. Ianya akan terhapus (dosanya) apabila ia melakukan solat, bersedekah, mengajak kepada kebaikan (maaruf)  dan mencegah kemungkaran." (HR Muslim No: 5150) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap mukmin akan menghadapi ujian dalam hidup dan perlu sentiasa berwaspada.

2.  Ujian bukan hanya dalam perkara yang buruk sahaja malah termasuk yang berupa nikmat antaranya ujian terhadap kaum keluarga seperti seorang suami atau bapa terhadap isteri dan anak-anak hingga melalaikan. Atau tidak melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap mereka.

3.  Kita akan diuji dengan harta sama ada sumbernya mahupun penggunaannya. Ada mereka yang dilalaikan dengan harta dari beribadat, ada yang tidak berzakat serta bakhil.

4.  Kita akan diuji dengan anak-anak. Ada yang keterlaluan memberi kasih sayang  kepada anak-anak hingga bercanggah dengan syariat seperti membiarkan anak tidak menutup aurat atau sebaliknya membiarkan anak-anak tanpa pendidikan agama yang sempurna. Atau kesedihan yang keterlaluan apabila anak-anak ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

5.  Kita juga mungkin akan diuji dengan jiran tetangga. Kadang-kadang dengan sebab kecil boleh bergaduh serta berhasad dengki. Mungkin juga dengan kita tidak mengambil tahu keadaan serta kesusahan jiran.

6.  Semua dosa dan kesalahan tersebut (dosa kecil) boleh terhapus dengan menunaikan solat, bersedekah, mengajak kepada kebaikan (maaruf)  dan mencegah kemungkaran. Dalam hadis lain baginda Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ عُثْمَانُ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَتَطَهَّرُ فَيُتِمُّ الطُّهُورَ الَّذِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيُصَلِّي هَذِهِ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ إِلَّا كَانَتْ كَفَّارَاتٍ لِمَا بَيْنَهَا

Usman berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang muslim berwuduk lalu menyempurnakan wuduknya sebagaimana Allah telah mewajibkan kepadanya, lalu melakukan solat lima waktu melainkan itu menjadi penebus dosa antara keduanya." (HR Muslim No: 338) Status: Hadis Sahih

Moga kita sentiasa berhati-hati dengan pelbagai ujian yang ada dan sentiasa melakukan ibadat dan kebajikan agar ia menjadi penghapus dosa-dosa yang kita lakukan.


No comments: