Jumaat, 12 Syawal 1446H | Jadilah Hamba Allah Yang Bersaudara
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi (permusuhan), serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara." (HR Bukhari No: 5717) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Islam mengajar agar kita menjauhi prasangka buruk kepada orang lain kerana ia boleh merosakkan hubungan dan membawa kepada tuduhan palsu. Sebaliknya, hendaklah kita berfikiran positif terhadap orang lain.
2. Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita (perlu dicegah atau dinasihat)
3. Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syarak dan perlu menghormati privasi orang lain.
4. Setiap kita juga dilarang saling mendengki - iri hati terhadap orang lain, saling memusuhi atau menjauhi antara satu sama lain, serta saling membenci.
5. Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim, saling membantu dan menyayangi. Pelihara persaudaraan dengan menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak memusuhi orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia daripada melakukan maksiat.
6. Hadis ini mengajar kita untuk menjaga hubungan baik sesama Muslim dengan menghindari perkara yang boleh menyebabkan perpecahan dan kerosakan. Kita sepatutnya sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan mewujudkan masyarakat yang penuh kasih sayang, hormat menghormati, dan persaudaraan. Bangunkan Jiwa Taqwa.
No comments:
Post a Comment