Rabu, 14 Ramadhan 1447H | Rasulullah SAW Amat Pemurah Melakukan Kebajikan Dibulan Ramadan
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; "Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah dalam melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah pada bulan Ramadan. Sesungguhnya Jibril AS menemui baginda pada setiap tahun dalam bulan Ramadan sehingga berakhir bulan tersebut, lalu Baginda memperdengarkan (mengulangkaji) bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril AS menemui Baginda, Baginda SAW akan lebih pemurah dalam melakukan kebaikan melebihi angin yang bertiup kencang" (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Menurut Imam al-Nawawi, Rasulullah SAW seorang yang amat pemurah merangkumi semua bentuk kebaikan bukan hanya harta tetapi juga ilmu, nasihat, tenaga, masa, doa dan layanan baik.
2. Menurut ibn Rajab, Rasulullah SAW menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan kerana ia adalah bulan Rahmat dan gandaan pahala, bulan turunnya al-Quran sebagai sumber hidayah serta banyaknya ibadah dan amal soleh yang lebih mudah dilaksanakan.
3. Ramadan adalah musim memperbanyakkan sedekah dan kebaikan kerana bukan hanya pahala digandakan malah menghidupkan semangat ihsan dan bertolong bantu dalam Masyarakat.
4. Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.
5. Antara amalan kebaikan yang dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah membanyakkan bersedekah dan bertadarus al-Quran. Setiap Muslim dituntut membaca al-Quran serta mentadabbur makna dan kandungan al-Quran. Moga dengannya akan meningkatkan keimanan dan menjadi petunjuk kehidupan.
6. Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan membanyakkan sedekah, membaca, dan mentadabur al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta pahalanya digandakan.
7. Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja sepanjang Ramadan bahkan di bulan lain. Sedekah memberi pengaruh yang baik pada peribadi - menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan ukhuwah dan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang.
8. Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas. Harta yang kita infak tetap akan kekal pahalanya, namun harta yang tinggal pada kita belum tentu mendatangkan kebaikan. Firman Allah SWT:
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ
“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (an-Nahl: 96)
9. Tadarus al-Quran juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul disamping bertadabur.
No comments:
Post a Comment