Tuesday, September 26, 2023

Gigit Dengan Gigi Geraham Sunnah Rasulullah SAW

 Selasa, 10 Rabiulawal 1445H:Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadh bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulaf ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

1.  Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi.

2.  Sepeninggalan Rasulullah SAW,  akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dan bersungguh-sungguh sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk (menggigit dengan gigi geraham). Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.

3.  Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (Atsar R. Abu Daud No. 2970)

4.  Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Bid’ah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.


No comments: