Ahad, 19 Jamadilawal 1445H: Keluasan Keampunan Allah
حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ مَا دَعَوْتَنِي وَرَجَوْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ فِيكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السَّمَاءِ ثُمَّ اسْتَغْفَرْتَنِي غَفَرْتُ لَكَ وَلَا أُبَالِي يَا ابْنَ آدَمَ إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرَابِ الْأَرْضِ خَطَايَا ثُمَّ لَقِيتَنِي لَا تُشْرِكُ بِي شَيْئًا لَأَتَيْتُكَ بِقُرَابِهَا مَغْفِرَةً
Telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik RA ia berkata; saya mendengar Rasulullah SAW berkata: "Allah tabaraka wa ta'ala berfirman: "Wahai anak Adam, jika kamu mengharap dan berdoa kepadaKu, Aku pasti akan menghapuskan dosa mu yang telah lalu. Aku tidak akan memperdulikannya lagi. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya aku akan mengampunimu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiKu dengan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu, Aku pasti akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi." (HR Tirmizi No: 3463) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Allah Maha Pengampun ke atas hamba-hambaNya.
2. Sebagai hamba, kita sewajarnya sentiasa berharap dan berdoa agar diampunkan segala dosa-dosa sama ada dosa yang kecil mahupun besar, dosa yang kita sedar atau tidak.
3. Allah akan mengampunkan dosa hambanya melainkan dosa syirik.
وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا
“Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian ia mohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah An Nisa’ ayat: 110).
4. Berputus asa dari rahmat dan keampunan Allah termasuk dosa besar. Berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrazaq:
عن بن مسعود قال أكبر الكبائر الإشراك بالله والأمن من مكر الله والقنوط من رحمة الله واليأس من روح الله
“Daripada Ibnu Mas’ud, ia berkata bahawa di antara dosa besar yang terbesar adalah berbuat syirik pada Allah, merasa aman dari murka Allah dan merasa putus asa dan putus harapan dari ampunan Allah.” (HR. Abdurrozaq, 10: 460, dikeluarkan pula oleh Ath Thobroni. Lihat Kitab Tauhid dengan tahqiq Syaikh Abdul Qodir Al Arnauth, hal. 128).
Berusahalah bersungguh-sungguh memohon ampun dari dosa yang lalu dan sentiasa mengharap rahmat dan kasih sayang Allah.
No comments:
Post a Comment