Isnin, 5 Jamadilakhir 1445H: Sedekah Mengikut Keutamaan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ
Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih
Pengajaran:
1. Rasulullah SAW menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala sedekah.
2. Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :
a. Diri sendiri dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;
b. Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
c. Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
d. Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
e. Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.
Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.
No comments:
Post a Comment