Ahad, 29 Muharram 1446H | Rahmat Kepada Semua
عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ , أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , يَقُولُ : لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ
Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum (kepada seluruh makhluk)” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
Pengajaran:
1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.
3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
4. Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (al-Hujurat: 13)
5. Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia adalah dituntut. Ia boleh dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Bersifat rahmah dengan menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.
6. Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang selalu ada pada manusia seperti kasih sayang kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah serta sesama manusia.
7. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.
8. Sifat kasih sayang yang ada pada diri seseorang akan menghindarkannya daripada menganiaya atau menzalimi orang lain.
9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”. (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377.
No comments:
Post a Comment