Khamis, 10 Safar 1446H | Rahmah Kepada Orang Yang Kasar
عَنْ اَنَسٍ رض قَالَ كُنْتُ اَمْشِى مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ عَلَيْهِ بُرْدٌ نَجْرَانِيٌّ غَلِيْظُ اْلحَاشِيَةِ فَاَدْرَكَهُ اَعْرَابِيٌّ فَجَذْبَهُ بِرِدَائِهِ جَذْبَةً شَدِيْدَةً فَنَظُرْتُ اِلَى صَفْحَةِ عُنُقِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ قَدْ اَثَرَ بِهَا حَاشِيَةُ الرّدَاءِ مِنْ شِدَّةِ جَذْبَتِهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ مُرْلِى مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِى عِنْدَكَ فَالْتَفَتَ اِلَيْهِ فَضَحِكَ ثُمَّ اَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ
Daripada Anas RA, ia berkata : Dahulu saya pernah berjalan-jalan bersama Rasulullah SAW, Baginda memakai kain burdah buatan Najran (Yaman) yang tebal / kasar bahagian tepinya. Kemudian ada seorang Arab kampong menemui Rasulullah SAW dan menarik selendangnya dengan tarikan yang sangat kuat daripada belakang. Lalu saya melihat leher Rasulullah SAW ada bekas akibat tarikan kasar. Kemudian orang itu berkata, “Wahai Muhammad, berikan kepadaku harta Allah yang ada padamu!”. Kemudian Baginda menoleh kepadanya dan tertawa, lalu menyuruh sahabat memberikan sesuatu pemberian kepada orang itu. (HR Bukhari No: 5738) Status: Hadis Sahih
Pengajaran
1.Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang paling baik.
2.Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut terhadap orang lain. Tidak mudah untuk menyalahkan pihak lain sebelum mengetahui alasan di sebalik suatu perbuatan.
3.Rasulullah SAW memahami karakter dan sikap orang yang berada di sekelilingnya termasuk Arab Badwi yang memiliki sikap agak kasar. Namun Baginda tidak memarahi atau membalas perbuatan tersebut.
4.Islam sentiasa menganjurkan agar berbuat baik kepada orang lain.
5.Melakukan perbuatan baik kepada seseorang yang pernah berbuat baik kepada kita adalah perkara biasa, tetapi berbuat baik kepada seseorang yang pernah berlaku buruk kepada kita adalah sesuatu yang luar biasa.
Sebagai warganegara yang penyayang, marilah kita menjadi ibarat pepohon rendang yang berbuah lebat, walaupun dibaling dengan batu namun ia membalas dengan menggugurkan buah-buah yang masak.
No comments:
Post a Comment