Khamis, 21 Muharram 1447H | Adab Jika Terlupa Ayat Al-Quran Yang Dihafaz
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِئْسَ مَا لِأَحَدِهِمْ أَنْ يَقُولَ: نَسِيتُ آيَةَ كَيْتَ وَكَيْتَ، بَلْ نُسِّيَ، وَاسْتَذْكِرُوا الْقُرْآنَ؛ فَإِنَّهُ أَشَدُّ تَفَصِّيًا مِنْ صُدُورِ الرِّجَالِ مِنَ النَّعَمِ
Daripada Abdullah bin Mas‘ud RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Seburuk-buruknya keadaan seseorang ialah apabila dia berkata: 'Aku telah lupa ayat sekian dan sekian.' Sebenarnya, dia telah dilupakan (oleh Allah akibat kelalaiannya). Maka ingatlah semula (ulanglah) al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu lebih cepat hilang dari dada manusia berbanding unta yang terlepas dari tambatannya. (HR Muslim No: 790) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Melupakan ayat al-Quran yang dihafaz adalah perkara yang tercela. Bahkan bukan perkara kecil, tetapi perkara buruk yang mencerminkan sikap lalai terhadap kitab Allah.
2. Larangan mengatakan: "Aku Telah Lupa Ayat Ini" kerana ia menunjukkan sikap kita yang lalai dan tidak menjaga hafazan al-Quran.
3. Jika kita lupa katakanlah: “Aku telah dilupakan”. Bermaksud Allah telah mencabut ingatan terhadap ayat tersebut sebagai hukuman atas kelalaian penjagaan kita.
4. Rasulullah SAW menggunakan perumpamaan: al-Quran itu lebih cepat terlepas daripada dada manusia berbanding unta, haiwan yang terkenal dengan kesukarannya untuk ditangkap kembali apabila lepas dari ikatan. Hal sedemikian menunjukkan bahawa tanpa pengulangan, hafalan al-Quran akan hilang dengan cepat dan sukar untuk diingati semula.
5. Manusia memang sifatnya pelupa, tetapi Islam mendidik kita agar mendisiplinkan diri melalui amalan membaca dan mengulang bacaan al-Quran (murajaah) berterusan.
6. Hadis ini memperingatkan kita agar tidak mengambil ringan hafazan ayat al-Quran dan memberi isyarat bahawa melupakan ayat al-Quran kerana kelalaian adalah satu kecuaian yang besar. Maka, orang yang telah belajar atau menghafaz al-Quran mestilah menjadikannya rutin harian untuk membaca dan mengulang.
No comments:
Post a Comment