Thursday, July 2, 2026

Kemuliaan Buat Pembaca al- Quran dan Kedua Ibubapa

Khamis, 16 Muharam 1448H  |  Kemuliaan Buat Pembaca al- Quran dan Kedua Ibubapa
 
عَنْ بُرَيْدَةَ الْأَسْلَمِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:  مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَتَعَلَّمَهُ وَعَمِلَ بِهِ، أُلْبِسَ وَالِدَاهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ تَاجًا مِنْ نُورٍ، ضَوْؤُهُ مِثْلُ ضَوْءِ الشَّمْسِ، وَيُكْسَى وَالِدَاهُ حُلَّتَيْنِ لَا تَقُومُ لَهُمَا الدُّنْيَا، فَيَقُولَانِ: بِمَ كُسِينَا هَذَا؟ فَيُقَالُ: بِأَخْذِ وَلَدِكُمَا الْقُرْآنَ
 
Daripada Buraidah al-Aslami RA, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca al-Quran, mempelajarinya dan beramal dengannya, maka pada hari kiamat kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota yang diperbuat daripada cahaya. Cahayanya lebih terang seperti cahaya matahari. Kedua-dua ibu bapanya juga akan dipakaikan dua persalinan yang nilainya tidak dapat ditandingi oleh seluruh isi dunia. Lalu mereka bertanya: 'Mengapakah kami dikurniakan semua ini?' Maka dijawab: 'Kerana anak kamu berpegang teguh kepada al-Quran.'" (HR Abu Daud No: 1453) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran:
 
1.    Membaca, mempelajari, menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran merupakan antara amalan yang paling mulia.

2.    Kemuliaan sebenar al-Quran diperoleh melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan, bukan bacaan semata-mata.

3.    Pendidikan al-Quran dalam keluarga merupakan tanggungjawab yang sangat besar.

4.    Ibu bapa yang mendidik anak mencintai al-Quran akan memperoleh ganjaran yang besar di akhirat, berbentuk mahkota dan pakaian yang tidak ternilai.

5.    Menurut Ibn Hajar, ibu bapa memperoleh pahala kerana mereka menjadi sebab kepada pendidikan dan pembentukan anak. Orang yang menunjukkan jalan kepada kebaikan akan turut mendapat ganjaran seperti orang yang melakukannya, tanpa mengurangkan pahala pelakunya.

6.    Anak yang soleh menjadi sebab berterusannya pahala kepada ibu bapa.

7.    Ganjaran Allah SWT di akhirat jauh melebihi segala kemewahan dunia.

8.    Setiap Muslim hendaklah berusaha mempelajari, membaca, memahami maksud, menghafaz, menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup agar memperoleh kemuliaan untuk dirinya dan juga ibu bapanya.
 

Wednesday, July 1, 2026

Al-Quran Nilai Yang Besar

Rabu, 15 Muharam 1448H  |  Al-Quran Nilai Yang Besar
 
عَن عُقبةً بنِ عَامِرٍ رَضيِ اللٌهٌ عَنهٌ قَالَ خَرَجَ عَلَينًا رَسُولٌ اللٌه صَلْي اللٌه عَلَيهِ وَسَلٌمَ وَنخَنُ فيِ الصفٌةِ فَقَالَ اَيٌكُم يُحبٌ اَن يَغدُ وَ كُلٌ يَومٍ اِلي بُطحَانَ اَواَلى الَعقَيقَ فَيَاٌتيِ بِنَاقَتَينِ كَومَاوَينِ فِي غَيِر اِثمٍ وَلآ قَظيعَةِ رَحَمٍ فَقُلنَا يَارَسُولَ اللٌهِ كُلٌنَا نُحِبٌ ذَالِكَ قَالَ اَفَلآ يَغدُو اَحَدُكُمَ اِلَى المسَجِدِ فَيَتَعَلَمَ اَوفَيَقَرٌاَ ايَتَينِ مِن كِتَابِ اللٌه خَيرٌلَه مِن نَاقَتَينِ وَثَلآثُ خَيرُلَه مِن ثَلآثٍ وَاَربَعُ خَيرُلَه من اربع ومن اعدادهن من الأبل
 
Daripada Uqbah ibn Amir al-Juhani RA, beliau berkata: "Rasulullah SAW datang menemui kami ketika kami berada di Suffah, lalu Baginda bersabda: 'Siapakah antara kamu yang suka pergi setiap hari ke pasar Buthan atau Al-'Aqiq, lalu membawa pulang dua ekor unta yang besar dan gemuk tanpa melakukan dosa atau memutuskan silaturahim?' Kami menjawab: 'Wahai Rasulullah, kami semua menyukai perkara itu.' Baginda bersabda: 'Mengapa salah seorang daripada kamu tidak pergi ke masjid, lalu mempelajari atau membaca dua ayat daripada Kitab Allah? Itu lebih baik baginya daripada memperoleh dua ekor unta. Tiga ayat lebih baik daripada tiga ekor unta, empat ayat lebih baik daripada empat ekor unta, dan demikianlah seterusnya mengikut bilangan ayat yang dipelajari atau dibaca, lebih baik daripada bilangan yang sama dari unta tersebut.' (HR Muslim No: 803) Status Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Al-Quran merupakan harta yang paling bernilai. Mempelajari, membaca dan mengamalkan akan memperoleh ganjaran yang lebih besar daripada kekayaan dunia.
 
2.    Menurut Ibn Hajar, unta merupakan antara aset yang sangat berharga di zaman Rasulullah. Baginda menggunakan contoh tersebut supaya para sahabat memahami bahawa ganjaran mempelajari al-Quran jauh mengatasi keuntungan harta dunia yang paling bernilai.
 
3.    Menghadiri majlis ilmu adalah ibadah yang mulia. Setiap langkah menuju masjid untuk belajar al-Quran dikira sebagai amal soleh yang besar pahalanya.
 
4.    Al-Quran adalah hidayah dan panduan untuk manusia. Ia perlu dipelajari, dibaca dan diamalkan sepanjang hayat. Setiap ayat yang dipelajari memberi manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat. Walaupun hanya mempelajari dan membaca beberapa ayat setiap hari, ia tetap mempunyai nilai yang amat besar di sisi Allah SWT.
 
5.    Masjid bukan hanya tempat mendirikan solat, bahkan institusi pendidikan, penyebaran ilmu, pembinaan akhlak dan pembangunan masyarakat. Masjid merupakan pusat pembelajaran al-Quran, hadis, fiqh dan pelbagai ilmu yang membina tamadun Islam.