Monday, June 1, 2026

Tidak Masuk Syurga Pemilik Sifat Sombong

Isnin, 15 Zulhijjah 1447H  |  Tidak Masuk Syurga Pemilik Sifat Sombong

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
 
Daripada Abdullah bin Mas'ud RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak akan masuk syurga, sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah dari kesombongan." Lalu seorang lelaki bertanya, "Sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya cantik dan kasutnya cantik (apakah ini termasuk kesombongan)?"Baginda menjawab: "Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan  menyukai keindahan. Sombong itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah terhadap manusia lain." (HR Muslim No: 131) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat sombong adalah sifat iblis, merasa dirinya lebih baik dari yang lain

2.  Imam Nawawi  berkata: Hadis ini berisi larangan dari sifat sombong iaitu menyombongkan diri kepada manusia, merendahkan mereka, serta menolak kebenaran

3.  Tidak masuk syurga sesiapa yang memiliki sifat sombong dalam dirinya walaupun sebesar zarah jika tidak bertaubat.

4.  Sifat sombong mendorong seseorang menolak kebenaran, enggan menerima nasihat, teguran dan merendah serta memperlekeh orang lain. Merasa dirinya sentiasa betul.

5.  Dalam Kitab Riadussolihin menyebutkan: Menolak kebenaran adalah dengan menolak dan berpaling darinya serta tidak mahu menerimanya. Sedangkan meremehkan manusia yakni merendahkan dan meremehkan orang lain, memandang orang lain tidak ada apa-apa dan melihat dirinya lebih dibandingkan orang lain

6.  Kebenaran mesti diterima walaupun datang daripada orang lain. Perlu bersifat tawaduk, tidak ego dan bersedia memperbaiki diri.

7.  Suka kepada kecantikan dan keindahan pakaian tidak termasuk kepada sifat kesombongan. Allah suka kepada keindahan, kebersihan, penampilan yang baik dan kemas.

8.  Hadis ini menjelaskan bahawa sifat sombong merupakan penyakit hati yang sangat berbahaya kerana ia menyebabkan manusia menolak kebenaran dan memandang hina orang lain. Islam menuntut umatnya supaya memiliki sifat tawaduk, menghormati manusia dan membersihkan hati daripada kesombongan. Pada masa yang sama, Islam tidak melarang keindahan dan penampilan yang baik, kerana Allah SWT menyukai kebersihan dan keindahan yang disertai rasa syukur dan tidak membawa kepada kesombongan.