Khamis, 15 Ramadhan 1447H | Bau Mulut Orang Berpuasa
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قال النبي صلى الله عليه وسلم: وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Demi Tuhan yang jiwa Muhammad berada ditangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi (HR Bukhari No 1795) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan bau mulut orang berpuasa ialah perubahan bau yang terhasil kerana perut kosong akibat ibadah puasa, bukan kerana kecuaian menjaga kebersihan.
2. Pada hari kiamat, ketika manusia dibangkitkan dari kubur, ciri-ciri orang yang berpuasa adalah bau harum yang akan keluar dari mulut mereka, yang keharumannya melebihi harumnya minyak kasturi.
3. Menurut Ibn Rajab al-Hanbali, perbandingan dengan kasturi bukan bermaksud bau zahirnya harum, tetapi nilainya di sisi Allah sangat tinggi. Ia menjadi simbol keikhlasan ibadah yang lahir daripada ketaatan yang tersembunyi.
4. Allah akan mengganti bau mulut orang yang berpuasa (daripada makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa juga menahan seluruh pancaindera dan hati) dengan ganjaran yang besar di hari akhirat. Kerana sesungguhnya, puasa itu hanyalah untuk Allah dan Allah pula yang akan memberikan penghargaan dan balasan dengan nilaian yang hanya Allah yang tahu.
5. Allah lebih menghargai dan menghormati bau mulut orang berpuasa daripada bau mulut orang tidak puasa. Jadi maksud kalimat tersebut lebih merupakan penghormatan kepada orang yang berpuasa. Kerana orang yang berpuasa, bau mulut adalah sesuatu yang sukar untuk dihindari. Bau ini mungkin dianggap kurang menyenangkan oleh orang lain, namun di sisi Allah SWT, bau ini adalah sesuatu yang sangat dihargai, kerana ia merupakan simbol pengorbanan dan ketaatan kepada-Nya.
6. Hal ini bukan bererti digalakkan kepada orang berpuasa agar mulut berbau tidak enak dengan tidak menggosok gigi. Menggosok gigi adalah amalan Rasulullah SAW setiap kali sebelum solat termasuk ketika berpuasa.
7. Orang yang benar-benar berpuasa semestinya hati orang tersebut bersih dan suci daripada segala kotoran dan niat jahat. Segala ucapan yang keluar dari mulut orang yang berpuasa tiada lain adalah yang baik, zikrullah dan perkataan menasihat serta mengajak orang lain kepada jalan Allah.
8. Orang yang berpuasa seperti itu, Allah memberi penghargaan kepada bau mulut orang tersebut dengan darjat yang indah dan tinggi kerana di hari akhirat nanti bau mulutnya menjadi wangi lebih daripada kesturi dan ini mengajar kita untuk sentiasa berusaha agar beribadah dengan hati yang ikhlas, tanpa menghiraukan penilaian manusia.
9. Hadis ini menegaskan kemuliaan ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Walaupun bau mulut orang berpuasa tidak menyenangkan pada pandangan manusia, di sisi Allah ia lebih harum daripada kasturi kerana ia lahir daripada ketaatan, pengorbanan dan keikhlasan seorang hamba dalam mendekatkan diri kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment