Isnin, 29 Zulhijjah 1447H | Rahmah Kepada Orang Yang Kasar
عَنْ اَنَسٍ رض قَالَ كُنْتُ اَمْشِى مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ عَلَيْهِ بُرْدٌ نَجْرَانِيٌّ غَلِيْظُ اْلحَاشِيَةِ فَاَدْرَكَهُ اَعْرَابِيٌّ فَجَذْبَهُ بِرِدَائِهِ جَذْبَةً شَدِيْدَةً فَنَظُرْتُ اِلَى صَفْحَةِ عُنُقِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ قَدْ اَثَرَ بِهَا حَاشِيَةُ الرّدَاءِ مِنْ شِدَّةِ جَذْبَتِهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ مُرْلِى مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِى عِنْدَكَ فَالْتَفَتَ اِلَيْهِ فَضَحِكَ ثُمَّ اَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ
Daripada Anas RA, beliau berkata: Dahulu aku pernah berjalan bersama Rasulullah SAW dan Baginda ketika itu memakai sehelai kain selindang buatan Najran (Yaman) yang tebal bahagian tepinya. Tiba-tiba seorang Arab Badwi datang lalu menarik selendang Baginda dengan tarikan yang sangat kuat daripada belakang. Aku melihat kesan tepi selendang itu berbekas pada leher Rasulullah SAW akibat kuatnya tarikan tersebut. Kemudian lelaki itu berkata, “Wahai Muhammad, berilah kepadaku sebahagian daripada harta Allah yang ada padamu!”. Maka Baginda menoleh kepadanya lalu tersenyum dan menyuruh sahabat memberikan sesuatu pemberian kepada lelaki itu. (HR Bukhari No: 5738) Status: Hadis Sahih
Pengajaran
1. Rasulullah SAW adalah contoh akhlak yang paling baik.
2. Kelembutan lebih berkesan daripada kemarahan. Rasulullah SAW mampu menawan hati manusia melalui senyuman, kesabaran dan kemaafan bukan melalui kekasaran dan penghinaan
3. Menahan marah adalah sifat orang bertakwa walaupun mempunyai alasan untuk marah, Baginda memilih untuk mengawal emosinya.
4. Pendakwah perlu memahami karakter manusia. Tidak semua orang memiliki tahap ilmu dan adab yang sama. Pendakwah perlu bersabar dengan kelemahan manusia, memahami latarbelakang mereka dan membimbing dengan hikmah.
5. Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut terhadap orang lain. Rasulullah SAW bukan sekadar memaafkan lelaki yang bertindak kasar terhadap Baginda malah memberikan bantuan kepadanya.
6. Kemuliaan seseorang terserlah ketika berhadapan dengan orang yang menyakitinya. Seseorang mungkin mudah berakhlak baik kepada orang yang menghormatinya. Namun akhlak sebenar terserlah ketika seseorang dicela, disakiti juga dilayan dengan kasar.
7. Melakukan perbuatan baik kepada seseorang yang pernah berbuat baik kepada kita adalah perkara biasa, tetapi berbuat baik kepada seseorang yang pernah berlaku buruk kepada kita adalah sesuatu yang luar biasa.
8. Marilah kita menjadi ibarat pepohon rendang yang berbuah lebat, walaupun dibaling dengan batu namun ia membalas dengan menggugurkan buah-buah yang masak.
No comments:
Post a Comment