Monday, August 3, 2026

Jadilah Warganegara Bermanfaat

Isnin, 19 Safar 1448H   |    Jadilah Warganegara Bermanfaat
 
عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ  وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا
 
Daripada Ibnu ‘Umar RA, Rasulullah SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah ialah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, atau membantu melangsaikan hutangnya atau menghilangkan kelaparannya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluannya, maka hal itu lebih aku sukai daripada aku beriktikaf sebulan penuh di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah (HR Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453. Status hadis hasan dalam Sahih Al Jaami’ no. 176).
 
Pengajaran:
 
1.    Orang yang paling dicintai Allah ialah mereka yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia. Sebagai anggota masyarakat dalam sebuah negara, berusahalah menjadi orang yang paling bermanfaat.
 
2.    Hidup bermasyarakat menuntut setiap kita cakna terhadap orang di sekeliling. Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membantu melangsaikan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya.
 
3.    Menggembirakan hati orang lain ialah amalan yang sangat mulia di sisi Allah. Justeru setiap Muslim hendaklah peka terhadap kesusahan orang lain dan tidak bersikap mementingkan diri.
 
4.    Realiti hidup pada masa kini ada yang terkesan dengan pelbagai masalah antaranya kemiskinan, penyakit, masalah pekerjaan juga keluarga. Orang yang prihatin akan sentiasa menghulurkan bantuan bagi memenuhi keperluan serta meringankan kesusahan orang lain.
 
5.    Rasulullah SAW menegaskan bahawa, ia berjalan untuk membantu memenuhi keperluan seorang saudara Muslim lebih Baginda sukai daripada beriktikaf di Masjid Nabawi selama sebulan, yang menunjukkan betapa tingginya nilai khidmat kepada manusia apabila dilakukan dengan ikhlas kerana Allah.
 
6.    Hadis ini menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat yang berteraskan rahmah, ukhuwah, kebajikan dan tanggungjawab sosial, selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan memelihara kemaslahatan manusia di dunia dan akhirat.
 
7.    Marilah kita menjadi orang yang bermanfaat dengan sentiasa berusaha mewujudkan masyarakat dan negara yang bersatu padu dan diredhai Allah.  Berusahalah kita menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Keberadaan kita dalam organisasi,  masyarakat dan negara amat dirasai manfaat kebaikannya. Ketiadaan kita pula akan ditangisi.
 

 
Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

No comments: