Selasa, 19 Rabiul Awal 1448H | Makan Daging Saudara SeIslam
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ
Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA beliau berkata : Kami sedang duduk di sisi Nabi SAW, kemudian bangunlah seorang lelaki meninggalkan majlis. Selepas ia pergi, seorang lelaki lain memperkatakan keaibannya (mengumpatnya). Maka Nabi SAW bersabda: “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”. Lelaki itu bertanya: Mengapa aku perlu membersihkan celah gigiku, wahai Rasulullah? Aku tidak makan daging!. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.” (HR Thabarani No: 13145) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Dalam kehidupan ini, setiap orang tidak terlepas dari kekurangan dan kesilapan. Namun kita dilarang menceritakan kekurangan dan aib orang lain.
2. Orang yang menceritakan aib orang lain atau mengumpat, diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain.
3. Nabi SAW menggambarkan perbuatan mengumpat sebagai memakan daging saudara sendiri. Ia adalah satu perumpamaan yang sangat keras untuk menunjukkan betapa jijik dan besar dosanya. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (al-Hujurat: 12)
4. Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan) (Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)
5. Media sosial hendaklah digunakan untuk menyebarkan kebaikan, bukan menjadi medan mengumpat dan membuka aib orang. Antara contohnya:
a) Menghantar mesej keburukan seseorang dalam WhatsApp;
b) Membuat hantaran atau memberi komen menghina di media sosial seperti FB;
c) Berkongsi video yang memalukan orang lain;
d) Bergosip dalam group sosial;
e) Memperlekehkan rakan dalam kumpulan sembang.
6. Muslim hendaklah menjadikan lidahnya sebagai alat untuk berzikir, menyebarkan kebaikan, bukan untuk menjatuhkan maruah orang lain. Sebagaimana kita berasa jijik memakan daging manusia, demikian jugalah kita sepatutnya merasa jijik terhadap amalan mengumpat, kerana kedua-duanya digambarkan oleh syariat sebagai sesuatu yang sangat hina di sisi Allah SWT.
7. Hadis ini menegaskan bahawa dosa lidah boleh menjadi sebab manusia terjerumus ke dalam neraka, walaupun dosa itu kelihatan kecil di mata manusia namun ia merupakan dosa yang besar. Bersamalah kita menjaga hubungan dalam hidup bermasyarakat. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan hubungan ukhuwah sesama kita.