Thursday, October 22, 2009

Bahaya LIsan (Lidah) 3

Khamis, 3 Zulkaedah 1430H . Bencana ketujuh: Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul

Sifat-sifat ini juga amat dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumber dari kejahatan dan kedurjanaan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Waspadalah kamu dari kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w. pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, sabdanya: “Janganlah kamu memaki-maki mereka itu, yakni orang-orang Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar itu, sebab caci-makimu itu tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka, malah sebaliknya kamu akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup (dari keluarga si mati itu). Ketahuilah bahwasanya kata-kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan.”

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis: “Bukanlah seorang Mu’min itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”

Lagi sabdanya: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kotor, berlaku cabul, suka berteriak-teriak dalam pasar.”

Batasan bercakap kotor itu, memadailah dengan membicarakan sesuatu perkara dengan menggunakan ibarat-ibarat yang buruk yang tak senang didengar oleh telinga. Hal-hal serupa ini sering berlaku sekitar membicarakan tentang persoalan-persoalan seks dan liku-likunya. Ibarat-ibarat yang keji itu sering menjadi permainan di mulut orang-orang yang memang buruk kelakuannya, yang biasa diperbualkan antara sesama mereka. Manakala orang-orang yang baik perilakunya sentiasa menjaga diri dari menyebut kata-kata yang kotor serupa itu. Andaikata perlu disebutkan juga, maka mereka tidak pernah menyebutnya secara terang-terangan, malah mereka menggunakan kata-kata sindiran atau kata-kata semakna dengannya saja.

Berkata Ibnu Abbas r.a.: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Mulia dan Maha Pemaaf. Digunakan maksud persetubuhan itu dengan perkataan bersentuh kulit.”

Maka perkataan-perkataan seperti masis atau mas (menyentuh), dukhul (masuk) adalah kata-kata yang dipakai untuk maksud bersetubuh atau berjimak. Ini semua untuk menjaga bahwa kata-kata yang dipakai dalam al-Quran itu jangan ada yang berbau kotor.

Di sana ada banyak lagi ibarat-ibarat yang kotor, yang tidak layak disebutkan disini, kebanyakan daripadanya digunakan dalam caci-maki, ataupun untuk menunjukkan tanda tidak senang kepada orang yang dilemparkan kata-kata itu. Apabila orang itu merasa malu jika kata-kata seperti itu dilemparkan kepadanya, maka janganlah hendaknya ia berani menyebutnya secara terang-terangan kepada orang lain. Sebab semuanya itu merupakan perkara-perkara yang keji yang harus dijauhi.

Dan punca dari segala kelakuan ini, sama ada bertujuan untuk menyakiti orang lain, ataupun tersebab oleh kebiasaan yang dihasilkan oleh percampurgaulan yang tak sihat dengan orang-orang yang buruk akhlak dan kelakuannya, yang sudah sememang menjadi tabiat mereka suka mencaci-maki dan berbuat pekerjaan-pekerjaan yang keji.

Sekali Peristiwa datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: "Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat! Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda: “Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang diketahuinya ada padamu, maka janganlah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukannya lantaran sesuatui keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagimu. Juga jangan sekali-kali memaki sesuatu.”

Setelah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w., maka orang dusun itu pun berkata pula: “Sesudah itu saya tak pernah memaki-maki lagi.” Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: “Pencacian seseorang Mu’min adalah fasik (perkara jahat) dan pembunuhnya adalah kekufuran.”

Lagi sabdanya: “Orang yang memaki kedua ibu bapanya adalah terlaknat.”

Dan pada riwayat yang lain: “Seberat-berat dosa besar, ialah bila seseorang itu memaki-maki kedua ibu bapanya.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah seseorang itu akan memaki-maki kedua ibu bapanya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Bila seseorang memaki-maki bapa orang lain, maka orang itu akan membalas memaki-maki bapanya pula.”

Bencana kedelapan: Melaknat

Melaknat binatang atau benda yang mati (beku), ataupun melaknat manusia, semua ini adalah di larang dan terkira sifat yang tercela dalam agama.

Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Seseorang Mu’min yang sejati, bukanlah orang yang suka melaknat.

Pengertian laknat ialah tersingkir dan terjauh dari rahmat Allah Ta’ala dan melemparkan laknat ke atas seseorang itu tidak diharuskan, kecuali kiranya orang itu memang mempunyai sifat tersebut, yakni terjauh dari rahmat Allah azzawajalla. Terjauh dari rahmat Allah boleh disebabkan kerana kekufuran ataupun penganiayaan. Tetapi melaknat seorang fasik yang tertentu masih dikira merbahaya juga, sebaik-baiknya ditinggalkan saja, meskipun sesudah kematiannya. Malah lebih-lebih dilarang lagi jika melemparkan laknat itu akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang dari keluarganya yang hidup.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Jangan sekali-kali kamu memaki-maki orang yang sudah mati, supaya kamu tidak menyakiti hati orang-orang yang hidup.”

Perkara lain yang dikira hampir sama seperti laknat, ialah mendoakan ke atas seseorang dengan kejahatan (hal-hal yang baik), sekalipun ia seorang yang zalim, maka mendoakan ke atasnya masih dilarang juga.

Dalam suatu khabar dikatakan, Rasulullah s.a.w. pernah berkata: “Orang yang teraniaya itu akan mendoakan ke atas si zalim (yang menganiayai) sehingga Allah membalasnya.”

Bencana Kesembilan: Bernyanyi dan bersyair

Yang dilarang dari bernyanyi dan bersyair ialah yang mengandungi bahan-bahan yang tercela daripada keduanya seperti nyanyian-nyayian dan syair-syair yang memuatkan kata-kata yang diharamkan, ataupun yang mengajak kepada melakukan sesuatu yang haram, memuja-muja masa muda seseorang yang tertentu, mengejek-ejek orang, menyerupai kaum wanita, menaikkan semangat untuk melakukan kejahatan, ataupun menggalakkan supaya bercampur gaul dengan orang-orang yang rosak akhlaknya, atau yang suka bergurau melampaui batas, atau yang menghabiskan masa dalam perkara itu atau sebagainya. Semua nyanyian-nyanyian dan syair-syair yang berunsur dari perkara-perkara yang disebutkan ini adalah dilarang. Selain dari yang tersebut dihukumkan mubah atau harus.

Bencana kesepuluh: Bersenda-gurau

Yang dilarang dari bersenda gurauan itu ialah yang tercela darinya, iaitu bila melakukannya amat selalu dan dengan cara yang melampaui batas. Amat selalu kerana ia akan merupakan semacam pekerjaan bagi permainan dan kelucuan, dan melampaui batas pula sebab ia akan menimbulkan terlalu banyak ketawa, dan kadang-kadang sehingga mencetuskan permusuhan pula. Ketika itu akan hilang-lenyaplah perasaan segan dan malu serta saling hormat-menghormati.

Adapun segala senda gurau yang sunyi dari keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, maka ia tiadalah dikira tercela, sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh nabi s.a.w. sabdanya: “Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.

Sebenarnya semua orang boleh melakukan seperti Rasulullah s.a.w., iaitu bila bergurau hanya berkata yang benar saja. Tetapi kebanyakan orang sebaliknya, apabila saja di buka pintu untuk bersenda gurau, maka maksud mereka tiada lain, melainkan hendak mentertawakan orang ramai dengan apa cara sekalipun.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: “Siapa yang suka bergurau saja, niscaya orang akan memandang ringan terhadapnya.”

Said Ibnul-‘Ash berkata kepada puteranya: “Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau senda dengan orang yang berpangkat, kelak ia akan memusuhimu, dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu.”

Seorang pendita berkata: Setiap sesuatu ada benihnya, dan benih permusuhan itu bersenda gurauan. Yang lain pula berkata: Senda gurauan itu akan merampas akal seseorang dan memutuskan perhubungannya dengan kawan-kawan.

Adalah menjadi suatu kesalahan yang besar, jika seseorang itu menjadikan senda gurauan itu sebagai suatu amalan yang dibiasakan pada setiap hari. Atau bersenda gurau secara melampaui batas kemudian mendakwa bahwa ia berpegang dengan perilaku Rasulullah s.a.w. Orang ini sama seperti orang yang sepanjang harinya bersama-sama dengan orang-orang Habsyi (Negro), bergaul dengan mereka dan menyaksikan tarian mereka, kemudian ia mempertahankan kelakuannya itu dengan hujah, bahwa Rasulullah s.a.w. dulu pernah mengizinkan Siti Aisyah (isterinya) untuk menyaksikan tarian orang-orang Habsyi serupa iaitu pada salah satu hari raya, itu adalah pendapat yang salah.

Kesimpulannya: Jika anda boleh bersenda gurau dengan berkata hanya yang hak dan benar saja, tanpa menyakiti hati orang lain, tanpa berlebih-lebihan dalam senda gurauan anda, tanpa menjadikannya suatu kebiasaan atau amalan sehari-hari, maka tiada mengapalah bersenda gurau serupa itu.

Cuba anda perhatikan bagaimana indahnya senda gurauan Rasulullah s.a.w. iaitu seperti diriwayatkan bahwa seorang tua perempuan telah mendatangi Rasulullah s.a.w. Maka baginda telah bergurau dengannya dengan berkata: “Orang tua tidak boleh masuk syurga.” Lalu menangislah si perempuan tua itu, tetapi segera pula Rasulullah s.a.w. berkata lagi: “Anda tidak lagi menjadi tua bangka pada ketika itu! Lalu dibacakan kepadanya firman Allah Ta’ala. “Kami (Allah) pertumbuhkan mereka itu (kaum wanita) suatu tumbuhan. Maka Kami tukarkan mereka itu menjadi dara-dara.(al-Waqi’ah: 35-36)

Dalam sesuatu peristiwa yang lain, diceritakan bahwa ada seorang perempuan datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Suamiku menjemputmu ke rumah!” Baginda lalu berkata: “Siapa dia suamimu itu? Apakah ia yang matanya ada putih-putih itu?” Perempuan itu menjawab: “Demi Allah, mata suami saya tidak ada putih-putih”. Kemudian baginda berkata lagi: “Bahkan di matanya ada putih-putih.” Perempuan itu tetap menolak dengan berkata: “Demi Allah, tidak.” Maka barulah Rasulullah s.a.w. menerangkan lagi: “Malah setiap orang memang ada pada matanya putih-putih.” Maksud baginda ialah putih yang mengelilingi mata yang hitam itu.

Ada seorang perempuan lain yang datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Berikanlah saya seekor unta yang boleh mengenderainya”. Baginda berkata: “Bahkan kita akan berikan untukmu anak unta supaya engkau mengenderainya.” Kata perempuan itu pula: “Apa yang akan saya buat dengan anak unta, jika ia tidak boleh mengangkat saya?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Tiada ada seekor unta, melainkan ia dulunya anak unta.”

Berkata Anas: Abu Talhah mempunyai seorang putra yang dipanggil dengan nama Abu Umair. Rasulullah s.a.w sering datang kepada mereka dengan berkata: “Wahai Abu Umair! Apa khabar anak burung engkau?” Kerana Abu Umair memang suka sangat bermain-main dengan anak burung tersebut.

Berkata Siti Aisyah radhiallahu-anha: Saya ikut bersama-sama Rasulullah s.a.w. dalam ghazwah (peperangan) Badar, lalu baginda berkata kepada saya:”Mari kita berlumba lari!” Maka saya pun menyingsing lengan dan menggariskan satu garisan tanda di tanah, dan dari situ kami pun berlumba lari? tetapi dia (baginda) telah mendahului saya. Kemudian baginda berkata pula: Ini ganti yang dulu di Dzul-Majaz. Dia mengingatkan saya suatu hari dulu, bila kami sedang berada di Dzul-Majz dan pada ketika itu saya masih kecil lagi. Bapa saya telah memberi saya suatu barang, lalu baginda berkata kepada saya: Berikanlah saya barang itu. Saya enggan memberikan kepadanya, dan saya pun lari. Tiba-tiba baginda berlari di belakang saya, tetapi ia tidak dapat mengejar saya.

Siti Aisyah bercerita lagi: Pada suatu hari isteri baginda Saudah binti Zam’ah berada bersama-sama Rasulullah s.a.w., maka saya pun buatkan makanan khazir, dan bawa makanan itu seraya berkata kepada Saudah: Makan! Saudah menjawab: Saya tak suka makanan ini! Maka saya berkata kepadanya: Demi Allah engkau mesti makan makanan ini, kalau tidak aku akan lumurkan mukamu dengannya. Saudah masih enggan memakannya seraya berkata: Saya tidak ingin memakannya. Maka saya ambil sedikit makanan itu dari dalam piring lalu saya tonyohkan ke muka Saudah, padahal Rasulullah s.a.w. sedang duduk di antara saya dengan Saudah, kemudian baginda merendahkan lututnya untuk Saudah supaya ia boleh membalas. Saudah terus mengambil sedikit makanan itu dari piring, lalu melumurkan muka saya pula. Melihat kejadian itu, Rasulullah s.a.w. hanya ketawa saja.

Dari Abu Salamah pula: Rasulullah s.a.w. sering memanjakan cucuandanya al-Hasan bin Ali r.a dengan menjelirkan lidah kepadanya. Apabila al-Hasan melihat keadaan itu ia ketawa gembira.

Berkata Uyainah al-Fizari: Demi Allah, saya mempunyai seorang anak saja, sekarang ia telah berkahwin dan telah tumbuh rambut mukanya (cambangnya), tetapi saya tak pernah menciumnya sama sekali. Maka baginda pun bersabda: “Siapa yang tak mempunyai belas kasihan, tak akan dibelas kasihani.”

Semua sifat-sifat kelemah-lembutan ini berlaku pada golongan kaum wanita dan kanak-kanak kecil. Rasulullah s.a.w telah memperlakukan yang demikian kepada mereka kerana memandangkan lemahnya hati mereka, bukan kerana kecenderungannya kepada senda gurau semata-mata.

Pernah sekali Rasulullah s.a.w. berkata kepada Suhaib yang sedang makan korma, padahal ia terkena sakit mata. Kata baginda: “Boleh makan korma juga? Bukankah matamu sakit?” Jawab Suhaib: “Saya makan dengan sebelah mata saja, wahai Rasulullah!” Mendengar jawapannya Rasulullah s.a.w. tersenyum saja. Dalam setengah riwayat pula sehingga kelihatan gigi serinya.

Nu’aiman al-Ansari adalah seorang yang suka bergurau. Tiap-tiap kali ia datang ke Madinah ia membeli sesuatu barang di pasarnya, lalu membawanya sebagai hadiah kepada Rasulullah s.a.w. dengan berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah membeli ini dan saya hadiahkan untukmu.” Sekejap lagi datanglah tuan punya barang itu menuntut harga barang yang dibelinya tadi, maka ia membawa orang itu menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berkata pula kepada baginda: “Wahai Rasulullah, bayarkanlah harga barang tadi.’ Baginda pun bertanya kepada Nu’aiman: “Bukankah barang itu engkau berikan kepada aku sebagai hadiah?” Nu’aiman menjawab: “Benar, wahai Rasulullah! Tetapi saya tak punya harganya dan saya suka tuan hamba memakannya.” Mendengar yang demikian Rasulullah s.a.w. hanya ketawa, dan segeralah baginda membayar harganya.

Bersenda gurau semacam ini tidaklah salah dilakukan sekali-sekala tetapi tidak boleh dilakukan selalu sangat.

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Wednesday, October 21, 2009

Bahaya Lisan (Lidah) 2

Rabu, 2 Zulkaedah 1430H - Bencana keempat: Berbantah-bantahan dan bertengkaran

Perbuatan dan kelakuan serupa itu adalah terlarang juga dalam agama. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Jangan banyak membantah saudaramu, jangan bersenda gurau dengannya dan jangan membuat janji kepadanya, lalu anda memungkirinya.”

Sabdanya lagi: “Tiada akan sesat sesuatu golongan manusia sesudah diberi Allah petunjuk kepadanya, melainkan bila mereka selalu saja berbantah-bantahan.”

Lagi sabdanya: “Tiada akan sempurna hakikat keimanan seseorang, sehingga ia meninggalkan berbantah-bantahan, sekalipun apa yang diperbantahkan itu ialah kebenaran.”

Berkata Bilal bin Saad: “Kiranya anda melihat seorang yang pintar berbicara, suka membantah dan suka membanggakan pendapatnya, maka ketahuilah bahwa kerugiannya telah sempurna.”

Berkata Ibnul Alu Laila: “Tiada saya membantah sahabatku, kecuali saya telah mendustakannya ataupun menyebabkan kemarahannya.”

Berita-berita yang menunjukkan tercelanya sifat suka berbantah-bantahan dan bertengkar-tengkaran itu banyak sekali, sehingga tidak boleh dikira banyaknya.

Batasan sifat suka berbantah-bantahan itu ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dalam percakapan mereka, sama ada dalam lafaznya atau maknanya, ataupun dalam maksud perbicaraannya. Meninggalkan sifat berbantah-bantahan ialah dengan menjaga diri supaya tidak mengingkari orang lain atau membantahnya. Setiap perbicaraan yang anda dengar andaikata ia memang dari yang benar, maka hendaklah anda mempercayainya. Tetapi jika ia dari yang salah, ataupun dari yang dusta, sedangkan ia tiada pula bersangkut-paut dengan urusan agama, maka hendaklah anda mendiamkan diri saja.

Yang perlu jika berlaku sesuatu perbahasan dalam masalah ilmiah lebih baik anda mendiamkan diri saja, ataupun jika mahu menyoal, soallah sekadar mahu mengambil tahu saja, bukan kerana sebab hendak mengingkar atau menyanggah. Ataupun bertanya dengan lemah-lembut kerana ingin mengetahui duduknya perkara itu bukan dengan tujuan untuk menyangkal atau membantah.

Adapun bertanya dengan tujuan untuk mengalahkan hujah orang lain, menunjukkan kelemahannya, sehingga ia tidak sanggup menjawab, ataupun untuk mengurangi kedudukannya dengan mendedahkan kecacatan dalam perbicaraannya dan menisbahkan kepada kecuaian dan kejahilan dalam percakapannya; maka inilah yang dinamakan pertentangan yang dilarang oleh agama, dan yang tidak akan terlepas dari dosa, kecuali dengan jalan berdiam diri saja.

Sebab utama yang menjadikan seseorang itu bersikap seperti itu ialah kerana hendak meninggikan diri dengan menunjukkan banyak ilmu atau keutamaan, manakala ia menyerang orang lain itu kerana hendak menunjukkan kekurangan dan kecetekan pengetahuan orang yang diserangnya. Kedua-duanya adalah sifat yang membinasakan.

Berbantah-bantahan itu tentu sekali akan menyakiti hati orang lain dan menimbulkan kemarahannya dan memaksa orang yang ditentang itu supaya kembali menyokong percakapannya, sekadar yang boleh, sama ada percakapan itu benar atau batil. Dia akan mengurangi kedudukan orang yang berbicara itu dengan apa cara saja, sehingga terjadilah suatu persengketaan antara dua orang yang berbantah-bantahan itu.

Adapun ubat dan penawarnya, iaitu dengan mematahkan perasaan membesar diri, yang muncul dari sebab suka menunjukkan keutamaan diri sendiri. Dan juga dengan menghapuskan sifat buas yang ada pada dirinya, kerana suka merendahkan peranan orang lain dan mengurangkan kedudukannya.

Bencana kelima: Pertelingkahan

Pertelingkahan adalah di antara sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari sebab pertengkaran dan berbantah-bantahan. Hakikat permusuhan itu adalah disebabkan kerana terlampau banyak perbantahan dan mengadu pendapat, untuk memperoleh harta benda dunia ataupun sesuatu hak yang tertentu.

Dalam sebuah Hadis sabda Rasulullah s.a.w: “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala, ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah.”

Sifat pertelingkahan itu tiada cela, melainkan kerana ingin menegakkan kebatilan, ataupun untuk memenangkan sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup terlebih dulu, seperti orang ingin mempertahankan sesuatu perkara sebelum faham benar-benar, bahwa yang hak itu berada di pihak mana. Ataupun ia mencampuradukkan pertelingkahannya dengan kata-kata yang menyakiti hati yang tidak perlu ditonjolkan dalam membenarkan hujah-hujah atau mengajukan kebenaran. Ataupun yang menariknya kepada pertelingkahan itu, semata-mata kerana sengaja hendak menundukkan musuh dan mematahkan harapannya, sedangkan ia sendiri memandang kecil terhadap kadar wang yang dipertelingkahkan itu.

Dalam perkara yang dipertelingkahkan itu, ada orang yang memang dengan terang-terang telah menyatakan hasratnya, bahwa maksudnya ialah tiada lain, kecuali untuk menundukkan lawannya, atau mematahkan kehendak lawan itu. Kadang-kadang ia berkata: Kalau saya menang dalam perkara ini dan mendapat wang tersebut, barangkali saya akan buangkan wang itu ke dalam perigi buta saja, asalkan saya puas hati. Nyatalah bahwa maksudnya tiada lain, melainkan untuk melahirkan perasaan degil dan suka bertelingkah yang akan menimbulkan permusuhan sesudah itu. Kelakuan ini amat dicela.

Adapun orang yang teraniaya yang ingin mempertahankan hujahnya menerusi jalan syariat, tanpa disertai sifat degil dan melampaui batas, ataupun tidak menambah hujah-hujahnya dengan kata-kata yang tidak perlu dalam persoalannya dan tidak pula bertujuan memaksa atau menyakiti lawannya, maka perbuatannya itu diharuskan dan tidak haram. Tetapi yang sebaiknya hendaklah dijauhi, selagi ada jalan lain yang boleh ditempuhnya, tanpa melakakukan salah satu dari sifat-sifat tadi. Sebab menjaga lidah dengan hanya menyebutkan kata-kata yang perlu saja dalam pertelingkahan sekadar sederhana adalah diterima keuzurannya. Pertelingkahan itu akan menyempitkan dada dan menimbulkan perasaan marah. Apabila perasaan marah telah menguasai jiwa akan terlupalah orang yang bertelingkah itu akan dirinya dan yang tinggal hanya dendam khusumat dalam diri masing-masing dari kedua-dua orang yang bertelingkah itu, sehingga tiap-tiap seorang akan merasa senang jika mendengar keburukan lawannya, dan merasa dukacita jika mendengar kebaikannya, dan masing-masing pun bebas memainkan lidahnya untuk menjatuhkan kehormatan yang lain. Maka orang yang memulakan permusuhan ini ialah orang yang menempa segala larangan-larangan ini.

Mula-mula sekali hatinya akan terganggu sehingga dalam sembahyangnya sekalipun ia akan diganggu oleh pemikiran mencari hujah-hujah untuk mengalahkan lawannya. Kalau demikianlah halnya, maka sudah nyatalah bahwa perkara yang dipertelingkahkan itu tidak lagi berdiri atas batas atau had yang wajib.

Ingatlah bahwa permusuhan itu adalah punca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sikap suka berbantah-bantahan atau suka bertengkar-tengkaran. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara-perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat dharurat sekali. Maka ketika itu hendaklah dipelihara baik-baik lidah dan hati dari kata-kata ketelanjuran yang disebabkan oleh permusuhan itu, dan memanglah hal serupa itu amat sukar dapat dilakukan. Bahkan sekiranya boleh, biarlah sikap yang diambil dalam menghadapi permusuhan, berbantah-bantahan atau bertengkar-tengkaran itu, ialah sifat lunak hati dan manis tutur kata.

Allah Ta’ala telah berfirman: “Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (al-Baqarah: 83)

Ibnu Abbas r.a. telah berkata: Jika seseorang makhluk Allah memberi salam kepadamu, maka hendaklah engkau membalas salamnya, meskipun orang itu seorang Majusi.

Berfirman Allah s.w.t.: “Apabila kamu sekalian diberikan penghormatan dengan sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan lebih baik daripadanya ataupun dengan yang sepertinya.” (an-Nisa‘: 86)

Berkata Ibnu Abbas r.a. lagi: “Andaikata yang berkata baik kepadaku itu Fir’aun sekalipun, niscaya aku akan membalasnya.”

Dalam sebuah Hadis berbunyi: Kata-kata yang baik itu adalah sedekah.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: “Kebajikan itu adalah seperkara yang paling mudah sekali, iaitu dengan bermuka manis dan berkata lemah-lembut.”

Berkata setengah ahli pendita: “Kata-kata yang lemah-lembut itu mencuci hasad dengki yang berselaput di dalam anggota-anggota badan.”

Berkata yang lain pula: “Semua ucapan yang tidak menyebabkan kemurkaan Tuhan, malah boleh menjadikan temanmu redha kepadamu, maka hendaklah jangan lokek mengucapkannya, moga-moga Allah akan membalasmu dengan pahala orang-orang yang berbuat kebajikan.”

Bencana keenam: Meniru percakapan yang indah-indah

Yang dimaksudkan dengan percakapan yang indah-indah itu ialah bercakap fasih yang dibuat-buat dan memaksa diri berkata-berkata dengan bersajak atau berfasih atau meniru cara orang lain bercakap; semua ini termasuk memaksa diri dengan tercela dan terlarang dalam agama. Sepatutnya bila seseorang itu berkata, cukuplah dengan menerangkan maksud perkara yang dicakapkan itu. Yang dikatakan maksud dari percakapan ialan memahamkan tujuannya, tidak lebih dari itu. Apabila ditambah lebih dari itu, ataupun disampaikan segera berbunga-bunga yang tak perlu, maka itu termasuk perkara yang dicela. Dan tidak terkira dalam perkara-perkara yang terlarang itu, mengindahkan peringatan ataupun pidato di hadapan khalayak ramai, tetapi mestilah tanpa berlebih-lebihan atau menggunakan kata-kata yang sukar difahami oleh mereka. Adapun kata-kata yang sedap didengar itu akan meninggalkan kesan dan pengaruh kepada pendengaran orang ramai.

Tuesday, October 20, 2009

Bahaya Lisan (Lidah) 1

Selasa, 1 Zulkaedah 1430H - Bahaya lisan (lidah) itu besar sekali, dan manusia tidak akan selamat dari bahya ini, melainkan dengan bertutur kata yang baik saja.

Nabi s.a.w. telah bersabda: “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Berkata Mu’az bin Jabal kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah kita akan dihisab juga atas apa yang kita katakan, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Wahai Mu’az! Tidakkah engkau ketahui bahwa manusia itu akan ditelengkupkan menerusi hidung-hidung mereka disebabkan hasil tuaian lidah-lidah mereka.”

Ibu Mas’ud (Abdullah bin Mas’ud) r.a. pernah berkata: “Wahai lidah! Sebutkanlah yang baik-baik, niscaya engkau akan dapat faedah. Dan berdiamlah dari berkata buruk, niscaya engkau terselamat sebelum engkau menyesal.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Barangsiapa yang memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Barangsiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya dari siksaNya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya”.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda: “Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja

Sabdanya lagi: “Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan.”


Pembahagian 20 bencana-bencana lisan

Bencana pertama: Berkata yang tidak perlu

Ketahuilah bahwa modal seseorang hamba itu ialah waktunya. Selagi ia menghabiskan waktunya pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah atau menguntungkan pahala di akhirat, maka orang itu telah mensia-siakan modalnya.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Antara kebagusan Islam seseorang, ialah meninggalkan apa yang tiada sangkut-paut dengan dirinya.”

Sebabnya berlaku yang demikian ialah keinginan seseorang untuk mengambil tahu terhadap sesuatu yang tidak perlu ia tahu, ataupun menghabiskan masa dengan menceritakan hal-ehwal yang tidak ada faedah baginya. Ubat dan penawar bagi penyakit ini, ialah bahwa seseorang itu hendaklah mengetahui setiap nafas yang dihembuskannya itu ialah modalnya, manakala lidahnya adalah jaringan, yang mana dengannya ia akan memburu segala kebaikan yang berbagai-bagai. Oleh itu hendaklah ia faham benar, bahwa mencuaikan lidah itu atau mensia-siakannya, merupakan suatu kerugian yang amat besar.

Bencana kedua: Mengambil tahu tepi kain orang

Mengambil tahu tentang hal orang lain merupakan perkara yang tercela juga, iaitu mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengan diri kita, ataupun jika perkara itu memang ada berkaitan dengan diri kita, tetapi kita telah berlebih-lebihan dari kadar yang perlu. Perkara yang mengenai diri kita itu dapat dibicarakan dengan kata-kata yang ringkas, dan dapat juga dihuraikan becara bertele-tele atau berulang-ulang. Maka apa yang dapat dihuraikan dengan satu perkataan, jika ditambah menjadi dua perkataan, maka perkataan yang kedua itu adalah fudhul, yakni berlebih-lebihan dari kadar yang perlu, dan ini ini juga adalah tercela sebagaimana yang telah diterangkan di atas, meskipun ia bukanlah dosa atau bahaya.

Ketahuilah bahwa fudhul atau kata-kata yang berlebihan-lebihan itu tidak ada batasan yang tertentu, tetapi yang penting untuk kita mengetahui ialah apa yang tertera di dalam kitab Allah Ta’ala dalam firmanNya:

Tidak ada gunanya pada kebanyakkan dari bisikan-bisikan mereka, melainkan sesiapa yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat baik ataupun mengadakan perdamaian antara bangsa manusia.” (an-Nisa’: 114)

Bersabda Rasulullah s.a.w.: “ Berbahagialah sesiapa yang menahan fudhul (berlebih-lebihan) dari lidahnya dan membelanjakan kelebihan dari hartanya.”

Cuba anda perhatikan bagaimana manusia menterbalikkan perkara ini. Mereka lebih suka menahan kelebihan harta kekayaan mereka dan melepaskan secara berwenang-wenang kata yang berlebihan-lebihan dari lisannya.

Berkata Atha’: “Orang-orang yang mulia sebelum kamu sangat membenci berlebihan-lebihan dalam tutur kata. Mereka menganggap semua kata-kata itu adalah fudhul, selain kata-kata dari kitab Allah, sunnah Rasulullah, ataupun suruhan berbuat kebajikan, cegahan dari berbuat kemungkaran, ataupun berkata sesuatu yang perlu dalam kehidupanmu yang tidak boleh tidak mesti kamu lakukan. Apakah kamu mahu mengingkari adanya Malaikat penjaga Kiraman Katibin (Malaikat-malaikat yang mulia sebagai pencatit). Berada di kanan dan di kiri. Apa yang disebutkan dari kata-kata melainkan ada di sisinya Raqib dan Atid. Tidakkah seseorang kamu merasa malu bila diserahkan buku catatannya kelak, telah terpenuhi di dalamnya bahwa segala perbuatannya di siang hari kebanyakkannya bukan daripada urusan-urusan agamanya ataupun dunianya.”

Berkata Ibnul Umar: “ Perkara yang paling patut disucikan oleh seseorang ialah lidahnya.”

Dalam sebuah atsar pula: Tiada seseorang pun yang diberikan sesuatu yang paling jelek daripada sifat berlebihan-lebihan dari lidahnya.


Bencana ketiga: Melibatkan diri dalam kebatilan

Iaitu berbual-bual dalam hal-hal yang berkaitan dengan maksiat, seperti menceritakan hal dan keadaan kaum wanita, menceritakan tentang parti minuman arak, duduk bersama orang-orang yang fasik, menceritakan tentang kecongkakan orang-orang yang takabbur dan rancangan-rancangan mereka yang terkeji dan tingkah laku mereka yang buruk. Semua ini tidak patut dilibatkan diri di dalamnya.

Kebanyakkan orang memang suka bersenang-senang mendengar cerita-cerita dan perbualan-perbualan kosong. Ini tidak mengapa selagi perbualan mereka tiada lebih dari bergurau senda saja, tidak mencampuri hal-ehwal orang lain, ataupun mendalami dalam perkara-perkara kebatilan.

Perkara-perkara kebatilan itu pula sangat benyak macamnya, sehingga tidak dapat dihitung. Sebab itu tidak ada seorang pun yang boleh terlepas daripadanya, kecuali jika ia hanya memadai dengan melakukannya apa yang perlu saja dari urusan-urusan keagamaan dan keduniaannya.

Dalam sebuah Hadis. Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Sebesar-besar dosa seseorang di Hari Kiamat ialah orang yang banyak melibatkan diri dalam perkara-perkara kebatilan.”

Maksud Hadis ini telah dikuatkan dengan ayat al-Quran dengan firman Allah Ta’ala: “Dan kami bercakap-cakap kosong bersama dengan orang-orang yang bercakap kosong” (al-Muddatstsir: 45)

FirmanNya lagi: “Jangan kamu sekalian duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu sekalian serupa dengan mereka.” (an-Nisa’: 140)

Sabdanya lagi: “Seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredhai oleh Allah, dia tiada menyangka bahwa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredhaanNya hingga ke Hari Kiamat. Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai oleh Allah, dia tiada menyangka bahwa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaanNya ke atas orang itu hingga ke Hari Kiamat.”

Petikan dari KITAB BIMBINGAN MUKMIN - Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali

Monday, October 19, 2009

Kebesaran Solat Dua Rakaat

Isnin, 30 Syawal 1430 H : - ALLAH selesai menciptakan Jibril a.s dengan bentuk yang cantik dan Allah menciptakan pula baginya 200 sayap yang panjang. Sayap itu antara timur dan barat. Ada pendapat menyatakan 124,000 sayap. Selepas itu Jibril a.s memandang dirinya sendiri dan berkata: “Wahai Tuhanku, adakah Engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripadaku?” Lalu Allah berfirman yang ber maksud: “Tidak.”

Kemudian Jibril a.s berdiri dan bersolat dua rekaat kerana syukur kepada Allah dan setiap rekaat itu tempohnya 20,000 tahun.

Selepas Jibril a.s solat, Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Jibril, kamu sudah menyembah Aku dengan ibadat yang bersungguh-sungguh dan jika tidak ada seorangpun yang menyembah kepada-Ku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan ada seorang nabi yang mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa. Sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rekaat yang hanya sebentar saja dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguh nya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku.”

Kemudian Jibril a.s berkata: “Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?”

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: “Ya Jibril, akan Aku berikan syurga Ma'wa sebagai tempat tinggal.”

Sesungguhnya Allah menyembunyikan enam perkara, iaitu:

· Allah menyembunyikan reda-Nya dalam taat.

· Allah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

· Allah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam al-Quran.

· Allah menyembunyikan Lailatul Qadr di dalam Ra madan.

· Allah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (lima waktu).

· Allah menyembunyikan (tarikh berlaku) hari kiamat di dalam semua hari

Nabi Tidak Bersalam Dengan Wanita

Isnin, 30 Syawal 1430 H : - Kebanyakan ulama tidak mengharuskan berjabat tangan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (ajnabi) ini termasuklah Dr. Abdul Karim Zaidan, Dr. Abdullah Faqih, hatta ulama-ulama dari kalangan al-Syafie juga tidak mengharuskan berjabat tangan dengan perempuan yang bukan mahram.

Bagi mereka yang bermazhab al-Syafie juga memaklumi pertimbangan yang halus dalam masalah ini. Hujah yang dikemukakan dalam mengharamkan berjabat tangan antara lelaki dengan wanita ialah Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat tangan dengan wanita biarpun dalam peristiwa baiah, sabda baginda yang bermaksud: " Demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah berjabat tangan dengan wanita dalam baiah." (Riwayat al-Bukhari, jld:8, halaman:636).

Dalam sepotong hadis yang lain daripada Aisyah r.a.h memberitahu yang bermaksud: Demi Allah sesungguhnya Rasulullah s.a.w. tidak pernah melakukan sesuatu apa pun yang tidak diperintah Allah, dan sesungguhnya tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan mana-mana perempuan.
Apabila Rasulullah menerima pengakuan baiah daripada mereka baginda berkata: "Aku telah terima baiah kamu dengan perkataan." (riwayat Muslim, jld:12, hlm:188-189 ).

Dalam masa yang sama pandangan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi juga banyak menyelesaikan persoalan ini. Beliau mengeluarkan fatwa berkaitan bab bersalaman dengan wanita (Fatawa Mu’asarah). Berikut adalah fatwa dan penjelasan beliau secara ringkas.
1. Harus berjabat tangan dengan syarat tidak disertai dengan syahwat, rasa kenikmatan atau rasa terangsang. Tidak menimbulkan fitnah. Jika disertai dengan syahwat dan terangsang nafsu, maka haram hukumnya walaupun dengan mahram (ipar duai, mertua, anak saudara dan lain- lain).
2. Berjabat tangan hendaklah pada tempat yang perlu sahaja. Contohnya: suasana hari raya, ramai sahabat handai, tetamu yang datang yang kebanyakannya adalah saudara-mara, sama ada melalui nasab atau perkahwinan.
3. Ia pada kadar yang tidak keterlaluan dan berlebihan sebagai langkah berjaga-jaga kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah berjabat salam dengan wanita bukan mahram.
4. Lelaki beriman yang menjaga agamanya seharusnya tidak memulakan salam (kepada wanita). Ia bersalaman bila pihak wanita yang memulakan dahulu.
5. Hukum bersalaman dengan wanita ini terhad dan khusus bagi siapa yang memerlukan sahaja.

Kesimpulannya, saya berpendapat harus bersalam dalam keadaan dan situasi tertentu sahaja. Contohnya, persidangan atau mesyuarat atau lawatan ke luar negara, yang menjadi kebiasaan orang berjabat tangan sebagai tanda selamat datang dan selamat pulang.

Jika tidak berjabat atau bersalam bagi mereka kurang beradab atau kurang sopan. Bayangkan sahaja ketika ada yang menghulur tangan kita di atas pentas atau sedang dikelilingi orang ramai. Mungkin keengganan kita bersalam boleh menjatuh air muka seseorang serta mengaibkannya.
Islam tegah kita bersalaman dengan wanita kerana khuatir fitnah. Saya kira persidangan dan mesyuarat bukanlah situasi yang boleh menimbulkan syahwat.

Dalam masa yang sama, janganlah bersikap terlalu mudah dalam hukum bersalam. Tentang bersalam dengan ahli-ahli korporat kerana menguruskan perniagaan, kalau boleh berusaha elok untuk mengelakkannya, kerana saya tidak nampak sebagai sesuatu yang mendesak.
Oleh : Mohd. Farid Ravi Abdullah

Friday, October 16, 2009

Pesanan Roh Kepada Manusia

Jumaat, 27 Syawal 1430H - Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata : "Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut".
Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu : "Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh".

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu :"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat.

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan : "Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi Balu. Maka janganlah kamu menyakitinya.Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian .Menyakiti mereka. Sesungguhnya pada hari itu aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya" . Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir.

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: " Wahai Kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku dan janganlah kamu lalai ketika ini sebagaimana ia melalaikan aku". "Sesungguhnya aku tinggalkan apa yang aku telah aku kumpulkan untuk warisku dan sedikitpun mereka tidak mahu menanggung kesalahanku". "Adapun didunia, Allah menghisab aku, padahal kamu berasa senang dengan keduniaan. Dan mereka juga tidak mahu mendoakan aku".

Ada satu riwayat drp Abi Qalabah mengenai mimpi beliau yang melihat kubur pecah. Lalu mayat-mayat itu keluar dari duduk di tepi kubur masing-masing. Bagaimanapun tidak seorang pun ada tanda-tanda memperolehi nur di muka mereka. Dalam mimpi itu, Abi Qalabah dapat melihat jirannya juga dalam keadaan yang sama. Lalu dia bertanya kepada mayat jirannya mengenai ketiadaan nur itu. Maka mayat itu menjawab: "Sesungguhnya bagi mereka yang memperolehi nur adalah kerana petunjuk drpd anak-anak dan teman-teman. Sebaliknya aku mempunyai anak-anak yang tidak soleh dan tidak pernah mendoakan aku".

Setelah mendengar jawapan mayat itu, Abi Qalabah pun terjaga. Pada malam itu juga dia memanggil anak jirannya dan menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi mengenai bapa mereka. Mendengar keadaan itu, anak-anak jiran itu berjanji di hadapan Abi Qalabah akan mendoa dan bersedekah untuk bapanya. Seterusnya tidak lama selepas itu, Abi Qalabah sekali lagi bermimpi melihat jirannya. Bagaimanapun kali ini jirannya sudah ada nur dimukanya dan kelihatan lebih terang daripada matahari.

Baginda Rasullullah S.A.W berkata: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar.Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: "Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S. "Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap di sebelahkiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.

Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata: "Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T." Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada AllahS.W.T.dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu.

Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain." Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T . maka malaikat maut pun cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan: Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dariarah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah,tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."
Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini Kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis! ilmu."
Apabila gagal malaikat maut,mencabut roh orang mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."
Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata: "Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan Allah."
Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian AllahS.W.T. berfirman yang bermaksud:"Wahai malaikatKu, tulis AsmaKu ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu." Sebaik saja mendapat perintah AllahS.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.

Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A: "Roh itu menuju ketujuh tempat:-

1. Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
2. Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
3. Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
5.Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit sampai hari kiamat.
6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
7.Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin,mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat."

Telah bersabda Rasullullah S.A.W: Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya:-

1. Orang-orang yang mati syahid.
2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
3. Orang berpuasa di hari Arafah.

Wednesday, October 14, 2009

Memenuhi Undangan Tuntutan Agama

Rabu, 25 Syawal 1430H - Memenuhi undangan ke majlis dituntut agama, RASULULLAH bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menghadiri undangan, dia telah menentang Allah dan Rasul-Nya.” (riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah).

Ulama mazhab Shafie menegaskan memenuhi undangan menjadi kewajipan namun bergantung kepada keadaan majlis itu sama ada ia menjadi haram atau wajib.

Syed al-Bari ada menyatakan bahawa syarat undangan yang wajib dipenuhi antara lain hendaklah meliputi:

  1. Orang yang mengundang adalah mukallaf, merdeka serta sihat pemikirannya.
  2. Tidak dikhususkan kepada orang-orang kaya sahaja.
  3. Orang mengundang beragama Islam.
  4. Tidak ada kemungkaran pada majlis berkenaan.
  5. Orang yang diundang tidak mengalami keuzuran syarie.

Namun begitu, syarat wajib hadir itu akan bertukar menjadi haram atau tidak boleh hadir jika ada perkara berikut:

  • Jika ada majlis minuman keras, kumpulan muzik dan hiburan yang melalaikan dan kemungkaran lain yang bertentangan syara’.
  • Tuan rumah dikenali masyarakat setempat sebagai kaki judi, bapa ayam atau sering menganjurkan program maksiat.
  • Jika yang menjemput bukan Islam.
  • Membezakan orang miskin dan kaya dalam majlis yang diadakan.
  • Makanan dan minuman yang disediakan haram di sisi agama.
  • Jika kad atau surat jemputan bersifat umum seperti diletakkan di balai raya, di masjid, di pejabat atas nama semua rakan dan tidak bersifat khusus.
  • Majlis yang tidak dimulakan dengan bacaan al-Quran atau tidak ada doa pada awal dan akhir majlis.
  • Majlis yang tidak mengajak orangramai mengingati Allah atau Rasul-Nya atau yang terpesong dari jalan agama.
Di samping itu, orang yang mengadakan majlis juga tidak bongkak dan sombong apabila mengadakan sesuatu majlis atau keraian seperti ingin menunjuk-nunjuk, boros berbelanja hingga memberi kesan kepada keadaan kewangan, melakukan pembaziran wang ringgit dan harta benda, membuat pinjaman bank dan berhutang dalam jumlah ringgit yang besar semata-mata kerana menurut nafsu dan keinginan yang melampau dan sebagainya.
Oleh kerana majlis yang diadakan adalah bertujuan mendapat keredaan Allah,usahlah dicemarinya dengan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam. Hiburan dalam majlis pada asasnya dibenarkan agama, asalkan ianya tidak melampau dan tidak melalaikan sebaliknya lebih mengingatkan kita kepada Allah.Islam menganjurkan kita bersederhanalah dalam melakukan apa juga perkara dalam kehidupan ini kerana kesederhanaan itulah yang dituntut Islam.

Wednesday, October 7, 2009

Catatan Madinah Al Munawwarah Akhir

Rabu, 18 Syawal 1430H - Sabda Nabi SAW: “ Barangsiapa dikalangan kamu yang mampu mati di Al Madinah maka hendaklah ia mati di Al Madinah kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati disitu.”( Riwayat Ahmad,At-Tirmizi,Ibnu Majah, Ibu Hibban ).
Jumaat 01/06/07 merupakan penghulu segala hari, lagi sekali kami bersyukur kerana dapat menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Nabawi. Pada sebelah paginya selepas sarapan pagi kami dibawa oleh Ustaz untuk sekali lagi mengadakan ziarah ke makam Rasulullah SAW dan beribadat di Raudhah. Untuk jemaah wanita diupah seorang Mutawif wanita untuk membawa mereka. Selepas itu kami ke makam Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi. Baqi’ ialah sebuah pemakaman di Madinah, dimana dikuburkan lebih 10 ribu sahabat, isteri dan anak-anak Nabi SAW, serta tab’in dan para pengikutnya. Menziarahi adalah sunnah. Rasulullah pernah memintakan ampun bagi penghuni Baqi’, yang terkenal dalam doanya. (Shahih Muslim). Keluasan pemakaman Baqi ialah 174 962m2 dengan dikelilingi pagar setinggi 4 m dengan panjang 1726 m serta di kawal ketat oleh anggota keselamatan Arab Saudi. Kami pulang awal ke Hotel penginapan untuk persediaan sembahyang Jumaat dan perlu datang awal untuk mendapatkan saf didepan kerana kebiasaannya sembahyang Jumaat dihadiri terlalu ramai jemaah dari luar dan tempatan. Bagi yang berminta untuk membeli belah terdapat banyak kedai-kedai di bawah bangunan-banguan hotel yang berhawa dingin terdapat disekitar Masjid Nabawi.
Sabtu 02/06/07, merupakan hari terakhir kami di Kota Madinah. Pada sebelah pagi ini kami telah di bawa melawat tempat-tempat bersejarah seperti Masjid Quba yang merupakan masjid yang pertama yang dibangunkan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya di Madinah. Dalam pembinaan masjid ini, turunlah ayat yang berbunyi, “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa, sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya. Didalamnya ada orang-orang yang ingin membersih diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”( Al-Taubah 108). Rasulullah SAW bersabda; “Barangsiapa telah bersuci (berwudhu) dirumahnya, kemudian mendatangi Masjid Quba lalu solat di dalamnya dua raakat, maka baginya sama dengan pahala Umrah.” (Sunan Ibn Majah). Masjid Quba boleh menampung 20 ribu jemaah dan terletak 2.3 km dari Masjid Nabawi. Setelah selesai menunaikan Solat sunat Tahayatul Masjid kami kemudian dibawa ke Masjid Qiblatin.
Menurut catatan sejarah, Masjid Qibalatin mendapat nama kerana turunnya ayat Quran memerintah memindahkan kibat, “……Palingkanlah mukamu ke arah Masjidi Haram…( Al Baqarah 144 ). Ayat ini turun ketika Nabi SAW sedang menunaikan solat Zuhur di tempat ini, yaitu di Bani Salimah. Maka di tengah solat baginda berpaling menghadap ke Ka’bah. Sebelumnya kiblat menghadap Masjidil Agsa di Baitulmuqaddis. Bermula daripada hari tersebut umat Islam sehingga ke hari ini bersalat menghadap Kabbah di Masjidil Haram,Mekah. Terdapat banyak masjid-masjid bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Abu Bakar, Masjid Umar, Masjid Usman, Masjid Ali, Masjid Al Ghamamah, Masjid Bilal dan setiap masjid ada catatan sejarah yang tersendiri yang tak dapat nak dicertakan disini. Oleh kerana kesuntukan kami tidak dapat melawat kesemuanya.

Kami seterusnya dibawa melawat Jabal Uhud, tempat yang terkenal dalam sejarah peperangan dalam Islam yang melihat 70 orang para sahabat yang syahid untuk mempertahankan agama Islam dari puak Quraisy. Anas ra, meriwayatkan bahawa Nabi SAW memandang ke Uhud sambil bersabda; “ Sesungguhnya Uhud adalah gunung yang sangat mencintai kita, dan kita pun mencintainya” ( Shahih Muslim). Ada satu riwayat menyatakan ketika Nabi SAW, Abu Bakar, Umar dan Usman mendaki Uhud dan mengoncangkan mereka lalu Nabi bersabda; “ Diam kamu, Uhud, sesungguhnya di atasmu terdapat Nabi, Shadiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid” ( Shahih Bukhari). Di Jabal Uhud kami melawat makam syuhada Uhud yang merupakan sunnah menziarahinya.. Nabi SAW memerintahkan agar para syuhada Uhud dimakamkan dimedan pertempuran, dimana dua atau tiga orang dikuburkan dalam satu liang. Di antaranya yang dikebumikan disitu ialah bapa saudara Rasulullah SAW, Hamzah yang syahid dan dicincang badannya. Menurut cerita dari Mutawaif, bila digali kawasan perkuburannya ditepi Jabal Uhud untuk mengalirkan saluran mata air selepas 40 tahun semasa pemerintahan Muawiah, badannya ditemui masih elok dan kakinya yang terkena alat penggali masih mengeluarkan darah. Nabi SAW mengelar Hamzah sebagai “Sayyid al-Syuhada” (pemimpin para syuhada). Menurut Mutawaif lagi, semasa membuat saluran pengaliran air ada beberapa kubur terbongkar didapati tubuh badan mereka kelihatan masih baik dan tidak reput. Inilah keistimewaan yang dikurniakan Allah sesiapa yang dikehendakinya dari kalangan hambanya. Allah SWT berfirman maksudnya, “ Jangan kamu sangka mereka yang terbunuh pada jalan Allah itu sebagai orang mati (percuma) malah mereka tetap hidup lagi mendapat rezeki ( yang mewah) di sisi Tuhan mereka ( al-Imran ayat 169).
Disebelah Selatan makam syuhada , disamping Wadi Qonat terdapatnya Jabal Rumat (Jabal Ainain) dimana Nabi SAW meletakkan 50 orang pemanah (rumat) semasa perang Uhud yang di Ketuai oleh Abdullah bin Jabir ra.sebagai Komandan. Nabi SAW bersabda; “ Lindungilah pasukan berkuda, jangan sampai mereka menerobos ke kita dan tetaplah di tempat kamu, kalah atau menang, jangan sampai mereka masuk dari belakangmu”. Setelah kaum musykrin kocar-kacir, para pemanah meninggalkan tempat mereka untuk mendapatkan rampasan dan mengabaikan perintah komandannya. Kesempatan diambil oleh musuh dan mengepung kaum muslimim, hingga ramai sahabat yang gugur syahid dan Rasulullah SAW sendiri patah rahangnya. Kamu muslimin terpaksa berundur ke penduduk Jabal Uhud dan berkumpul disana, lalu solat zuhur sambil duduk. Disebelah tenggara Jabal Rumat terdapat sebuah masjid bersejarah dikenali sebagai Masjid Al-Subh dan Masjid Al-Ainain. Ramai sahabat besar Rasulullah SAW terkorban dalam peperangan Uhud dan kesah-kesah keberanian dan keikhlasan mereka dalam mempertahanankan Rasulullah SAW dan agama Islam banyak disebut dalam kitab-kitab sejarah.
Sebelum kembali ke Hotel penginapan kami dibawa ke Kebun Tamar dan Pasar Tamar di Kota Madinah. Disini jemaah boleh memilih berbagai jenis tamar dengan harga 5 Riyal sehingga 70 Riyal sekg. Tamar yang paling popular ialah tamar nabi atau lebih dikenali dengan nama tamar “ajwah” ( 70 Riyal, sekg. ( lebih kurang RM66 duit kita) ). Kelebihan kurma (tamar) Madinah, Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa diwaktu pagi makan 7 biji kurma dari kedua labah (iaitu batas sebelah timur dan barat ), ia tidak akan kena racun hingga waktu sore” (Shahih Muslim). Walau bagaimanapun, hadits tersebut tidak menyebut jenis kurma, sementara hadits-hadits laim membatasi maksud di atas dengan ‘Ajwah”, sebagaimana sabda Nabi SAW : “Barangsiapa di waktu pagi makan 7 biji kurma ‘ajwah, pada hari itu ia tidak akan kena racun maupun sihir.”(Shahih Bukhari). Terdapat papan tanda di pasar kurma yang menyatakan kelebihan kurma ajwa iaitu “Ajwa adalah kurma yang ditanam dengan tangan Rasulullah SAW sendiri dan ajwa merupakan kurma yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Dikatakan juga, dari Abu Hurairah ra: “Rasulullah SAW bersabda ; “Ajwa dari syurga dan dia ubat dari racun” (HR Muslim). Dari Aisyah rha, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya pada kurma ajwa itu ubat yang mujarab dan ajwa merupakan buah daripada buah syurga.”(HR Tirmizi)
Sesampai saja di Hotel kami mula berkemas-kemas untuk ke Mekah dan bersiap-siap untuk mengerjakan Umrah yang merupakan tujuan utama kami ke sini. Sebelum berangkat ke Mekah kami sempat menunaikan solat zohor di Masjid Nabawi dan selepas itu melakukan ziarah dan doa selamat tinggal dimakam Rasulullah SAW sebelum meninggalkan Madinah.Kami berharap ziarah ini bukan yang pertama dan terakhir dan kami berharap dimurahkan rezeki untuk datang lagi selepas ini di bumi Madinah Al Munawwarah.

Tuesday, October 6, 2009

Catatan Madinah Al Munawwarah 2

Selasa, 17 Syawal 1430H - Bersabda Rasulullah SAW, “ Satu kali sembahyang di dalam masjidku ini adalah lebih utama daripada seribu kali sembahyang di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram ( Mekah).”

Lamunan kelebihan Kota Madinah terhenti dengan seruan azan Subuh yang mengasyikkan yang dilaungkan oleh mua’azin dan jam menunjukkan pukul 04:01 pagi.. Antara percaya tak percaya bahawa kami sekarang berada dibumi Madinah 8000 km dari tempat tinggal kami dan berada disalah satu tempat yang paling mulia didunia yang disabdakan oleh Nabi SAW iaitu “Masjid Nabawi” dan akan menunaikan solat subuh didalammya ditempat Rasulullah SAW dan para sahabat mengerjakan solat dan Nabi menjadi ImamNya 1428 tahun dahulu. Allahhu Akhbar.

Sistem pembesar suara yang berkualiti tinggi dan bacaan dari Imam amat mengasyikkan. Tidak siapapun boleh menafikan mutu bacaan Imam hafiz yang bertaraf dunia ini, sekali mendengarnya amat mententeramkan jiwa dan terkadang-kadang bacaan imam tersekat-sekat serta tersedu-sedu kerana tidak dapat menahan sedih apabila sampai pada ayat-ayat tertentu….jemaah yang memahami ayat-ayat tersebut juga turut tersedu—sedu mengalirkan air mata dan terkadang-kadang kami juga turut mengalirkan air mata.. Ya Allah, berilah kami juga kefahaman ini. Untuk makluman tiada doa qunut dibaca di dalam solat Suboh samada di Madinah atau di Mekah. Juga jangan hairan tiada wirid atau doa oleh Imam selepas setiap sembahyang lima waktu. Masing-masing bebas membuat amalan mereka masing-masing. Bersalaman selepas sembahyang juga tidak ada tapi tak salah kalau nak bersalaman.

Ketika kami mula-mula melihat Masjid Nabawi ianya tersergam indah dan pembangunan pembesarannya amat menakjubkan. Mengikut catatan sejarah Masjid Nabawi telah dibangunkan oleh Rasululllah SAW yang keluasan asalnya ialah 50 x 50 m, tinggi atap 3.5 m dan beberapa pembesaran telah dibuat selepas itu dan sehinggalah sekarang dengan keluasan 82 000m2 dan boleh menampung 535,000 jemaaah. Awas terdapat 543 buah kamera (CCTV) pengawas di dalam dan di luar masjid. Zaman Nabi SAW dan Khualafa Rasyidun, Masjid Nabawi tidak mempunyai menara. Orang yang pertama membangunkan menara ialah Umar b. Abdul Aziz pada tahun 93 H iaitu di empat sudut Masjid setinggi lebih kurang 27.5m dan semasa pemerintahan Saudi kedua ditambah lagi enam menjadi jumlah keseluruhannya 10 buah menara. Disamping payung-payung gergasi yang canggih terdapat juga kubah-kubah bergerak yang boleh dibuka dan ditutup.

Selepas sembahyang Suboh dan melakukan amalan persendirian kami sempat memerhatikan persekitaran dalam masjid yang begitu indah ukirannya, bersih dan teramat luas. Kami juga cuba memahami selok belok keadaan dalam masjid untuk memudahkan kami datang seterusnya. Lebih kuang pukul 7.00 am kami kembali semula ke Hotel penginapan. Bagi yang beristeri, janji setia pertemuan yang diatur sebelum ini dikotakan dengan setia menunggu isteri dan anak masing-masing. Selepas bersarapan kami melepaskan keletihan perjalanan. Waktu berlalu begitu pantas tetapi dihati kami masih belum merasa puas kerana kami belum lagi dapat beribadah di Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

Lebih kurang pukul 10.00 am kami bersiap-siap untuk pergi semula ke Masjid Nabawi dengan harapan untuk sembanyang Tahiyatul Masjid di Raudhah dan menziarahi makam Rasulullah SAW, Sayidina Abu Bakar ra dan Sayidina Omar ra . Raudhah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Antara rumahku dan mimbarku adalah taman ( raudhah) dari taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas kolam.” (Shahih Bukhari). Menurut sebagian ulama salaf, antara mimbar dan rumah Rasul menyerupai taman dari taman-taman syurga. Pendapat lain pula menyatakan bahawa “Raudhah” tersebut, diakhirat kelak benar-benar akan berpindah ke syurga. Dan juga ulama mengatakan, ia bagaikan taman dari taman-taman syurga dalam hal turunnya rahmat dan tercapainya kebahagiaan. Raudhah merupakan satu kawasan kecil yang terletak berhampiran mimbar dan bersebelahan makan Rasulullah SAW. Ia dibezakan dengan carpet yang berwarna kekuningan dan dikelilingi tiang-tiang yang berwarna putih.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mimbarku berada di sebuah pintu dari pintu-pintu syurga.”(Majma al Zawaid). Riwayat lain mengatakan “Sesungguhnya tiang-tiang mimbarku ini (menjadi) pahala di syurga kelak.”(Hadits Shahih Sunan Nasai). Selain dari itu terdapat “Tiang Mukhallaqah” iaitu tempat bekas batang korma yang digunakan Nabi SAW ketika berkhutbah mahupun solat. Apabila sahabat membuat mimbar dan Nabi melalui batang korma itu menuju ke mimbar batang itu menjerit hingga terbelah dan didengari oleh Rasulullah SAW lalu baginda turun lalu mengusapnya dengan tangan hingga tenang kemudian kembali ke mimbar. Imam Hasan al Bashri jika mencerita mimbar ini, beliau menangis seraya berkata: “Wahai manusia, batang korma saja merintih merindukan Rasulullah SAW, meminta beliau kembali ke tempatnya, kalian mestilah lebih-lebih lagi merindukan pertemuan dengan Rasulullah SAW.” (Syarh al-Syifa li al Qari). Di samping itu dikawasan raudhah juga terdapat “Tiang Aisyah”. Dari Asyiah rha diriwayatkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya ada sebongkah tanah di samping tiang itu ( mukhallaqah) di Masjid Nabawi, seandainya orang tahu, meraka akan melakukan undian untuk memperebutkan tempat itu untuk shalat. Maka dinamakan dengan “Tiang Undian” ( Majma al Zawaid).

Terdapat juga tiang yang dinamakan “Tiang Abu Lubabah” kerana Abu Lubabah mengikat dirinya ditiang tersebut setelah mengkhianti Allah dan RasulNya , apabila ia sedar dia bersumpah tidak akan melakukan apa-apa sampai menemui ajal atau Allah memerima taubatnya selama 9 hari sampai jatuh pengsan. Kemudian Allah SWT turunkan taubatnya kepada Rasulullah SAW,: Allah berfirman “ Hai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.” ( Al Anfal,8:27) lalu dimaklumkan sahabat kepadanya tetapi beliau tetap bersumpah bahawa tali ikatannya tidak akan dilepaskan kecuali oleh Rasullullah SAW dan akhirnya baginda melepaskan ikatan itu. Selepas itu, ia berkata kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, saya telah bernazar untuk mensedekahkan hartaku. Nabi pun menjawab: sepertiganya saja engkau sedekahkan sudah mendapat pahala.”.

Disebab kelebihan dan keberkatan yang ada jika beribadat di Raudhah dan ruangnya yang agak kecil maka ia menjadi tempat tumpuan semua jemaah dan agak penuh sesak. Untuk beribadat ditempat tersebut kita perlu banyak bersabar dan menunggu giliran jika ada tempat-tempat yang kosong dan perlu banyak berdoa kepada Allah semuga diberikan kemudahan dan kesempatan beribadat di situ dengan mendirikan sembahyang sunat dan memperbanyakkan doa. Alhamdulillah dengan keizinan Allah SWT kami semua dapat beribadah di raudhah. Semuga ibadat kami dan doa kami diterima oleh Allah SWT. Amin

Kawasan Raudhah ini ditutup pada pukul 7.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 1.00 petang hingga 3.00 petang kerana memberi peluang kepada jemaah wanita untuk beribadah ditempat tersebut.

Setelah selesai beribadat di raudhah kami seterusnya bergerak untuk menziarahi makan Rasulullah SAW dengan memasuki pintu “Babu Salam”dengan diiringi doa. Makam Rasulullah SAW terletak betul-betul dibawah kubah hijau. Kami kemudian terus berjalan ke Makam Rasulullah SAW dan sesudah sampai dimakamNya kami berdiri menghadapnya dengan membelakangkan qiblat dan berhadapan dengan dinding makam itu lalu memberi salam “Salam sejahtera ke atasmu, wahai Rasululullah! Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi Allah! dan seterusnya…. sehingga yang terakhir Salam sejahtera ke atasmu dan ke atas sekalian keluargamu dan para sahabatmu yang baik-baik.” Kemudian diikuti dengan doa, seelok-eloknya berdoa menghadap qiblat. Kami juga memyampaikan salam orang lain yang minta disampaikan. Menurut ulama, berdasarkan nas-nas jasad para Nabi dipelihara dari dimakan bumi. Rasulullah SAW bersabda : “ Allah SWT mengharamkan jasad para Nabi dari reput dan hancur dimakan oleh bumi ( Riwayat Nasai, Ibnu Majah dll)

Selepas itu kami beredar pula ke makam Sayidina Abu Bakar Al Siddiq ra bersebelahan makan Rasulullah SAW, lalu memberi salam kepadanya dan seterusnya ke makan Sayidina Umar Ibn AlKhattab ra,selepas memberi salam dan berdoa kami kembali ke raudhah untuk bersolat. Alhamdulillah sempuralah rasanya ziarah kami di Madinah dan jika kesempatan kami akan datang lagi. Untuk makluman makam Rasulullah SAW dan sahabatNya ini terlindung dan berpagar yang dikatakan dibuat daripada tembaga. Hanya boleh dilihat dari dekat melalui lubang kecil yang disediakan. Apa yang saya sempat lihat, makam diselimuti dengan kain berwarna hijau.

Menrut maklumat yang saya perolehi, makam Rasulullah dan tempat kedua sahabatnya dikebumikan merupakan kamar Aisyah. Di kamar itu juga terdapat tempat (makam) keempat yang kelak akan digunakan untuk Nabi Isa AS. Menurut kisahnya, Aisyah rha isteri Rasulullah SAW berkata: “Aku bermimpi melihat tiga rembulan jatuh di kamarku, maka keceritakan mimpiku itu kepada Abu Bakar as-Shiddiq ra. Kemudian ketika Rasulullah wafat dan dikuburkan di rumahnya, Abu Bakar ra berkata kepada Aisyah rha, “Inilah salah satu rembulanmu itu dan inilah yang terbaik. Menurut Malik, Rasulullah SAW wafat pada hari Isnin, dikuburkan pada hari Selasa dan orang mensolatinya secara sendiri-sendiri,tidak ada seorang pun yang menjadi imam. Ada yang berkata, “kuburkan saja di mimbar”, yang lain pula berkata; “kuburkan saja di Baqi”. Maka setelah Abu Bakar ra datang ia berkata: “Tidak ada seorang nabi pun yang dikuburkan kecuali di tempat dimana ia wafat”. Dan digalilah tempat itu iaitu di kamar Aisyah. Ketika sedang memandikan, orang-orang hendak membuka bajunya, tiba-tiba mereka mendengar suara, “jangan kalian lepas baju itu”, maka baju Rasul pun tidak dilepaskan hingga selesai dimandikan.

Kemudian, apabila Abu Bakar ra wafat, beliau dikuburkan dikamar Aisyah di samping Rasulullah SAW, sebagaimana telah diwasiatkannya sendiri. Dialah rembulan kedua dalam mimpi Aisyah rha. Manakala ketika menjalang wafatnya, Umar ra berkata kepada anaknya Abdullah ra: “Pergilah ke Ummul Mu’minin Aisyah rha dan katakana, Umar menyampaikan salam kepadamu dan mohonkanlah agar aku dikubur bersama sahabatku”. Aisyah rha pun menjawab: “Sebenarnya aku menginginkannya untuk diriku sendiri dan hari ini aku tidak menginginkannya lagi. Ketika Abdullah ra kembali ia berkata: “Aisyah rha telah mengizinkannya untukmu wahai Amirul Mu”minin. Umar pun menjawab: “Tidak ada sesuatu yang lebih penting bagiku daripada tempat peristirahatan itu.” (Shahih Bukhari). Abdullah ibn Salam ra mengatakan bahawa dalam Taurat tertulis sifat Muhammad SAW dan Isa ibn Maryam (tertulis pula) akan dimakamkan bersamanya. Menurut Abu Mawdud,bahawa kamar Aisyah masih cukup untuk satu makam lagi. (Jami al Tirmidzi)

Monday, October 5, 2009

Catatan Madinah Al Munawwarah 1

Isnin,16 Syawal 1430H - Alhamdulillah, pada 31 Jun 2007 bersamaan dengan 14 Jamadilawal 1428 H ,saya dan jemaah Umrah Kota Mas TM seramai 29 orang telah selamat sampai ke Kota Madinah lebih kurang pukul 1.00 pagi ( waktu di Malaysia 5.00 petang ) selepas lebih kurang 18 jam perjalanan melalui udara dan darat. Kebesaran Allah terserah sepanjang perjalanan dimana manusia menyembah Allah bukan saja di daratan tetapi juga di udara. Akhirnya saya dan rombongan menjadi tertamu Allah dibumi yang penuh rahmat dan berkat ini “Madinah Al Munawarah.”.
Rasulullah SAW bersabda , “ Tidak digalakkan mengembara melainkan ke tiga buah masjid iaitu Masjidil Haram ( di Mekah), Masjidku ( Masjid Nabawi di Madinah) dan Masjid Aqsa (di Baitul Muqaddis ).”( Hadis riwayatkan dari Abu Hurairah.)
Rasulullah SAW bersabda, “ Tetamu Allah ada tiga : Orang yang berperang pada jalan Allah, orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah”. (Riwayat An Nasai, Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban, Al-Hakim,Al-Baihaqi). Dan di riwayatkan juga oleh Ibhu Majah , Nabi SAW bersabda; “Allah menyeru mereka (untuk berperang, mengerjakan haji dan mengerjakan umrah) mereka menyahut seruanNYA dan mereka memohon ( berdoa) kepada Allah maka Allah mengurniakan kepada mereka ( apa yang mereka pohon)”.
Ketika masuk ke sempadan Kota Madinah selepas lebih kurang 5 jam perjalanan menaiki bas dari Lapangan Terbang Jeddah kami dikejutkan oleh Mutawif kerana ramai tertidur keletihan dan diminta membaca doa memasuki Kota Madinah. “ Ya Allah, negeri ini adalah tanah haram Rasulmu, dan telah Engkau haramkan ia di atas lisan baginda SAW, maka jadilah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan buruk perhitungan di hari kemudian”. Amin
Kami akhirnya sampai di Hotel Al Wasil yang terletak lebih kurang 500 meter dari Masjid Nabawi. Masjid Nabawi diwaktu pagi semasa ketibaan kami tersergam indah dengan lampu yang terang benderang memancar dari menara-menaranya dan persekitaran. Di waktu pagi yang sunyi itu kelihatan manusia sudah mula beransur-ansur keluar dari penginapan masing-masing untuk menunju ke Masjid Nabawi. Kami jemaah yang baru tiba, walau pun masih keletihan dan mengantuk tidak sabar-sabar nak menyusul mereka. Tepat pukul 3:00 pagi azan pertama berkumadang di udara mengejutkan manusia yang lena dibuai mimpi dan kelihatan manusia mula berpusu-pusu ke Masjid Nabi dan jumlah mereka semakin ramai. Di Madinah azan dilaungkan dua kali iaitu yang pertama untuk persediaan solat Subuh dan sejam selepas itu barulah azan Subuh.
Selepas urusan di Hotel selesai kami dinasihatkan oleh Mutawaif bersiap-siap untuk ke Masjid Nabawi untuk mengerjakankan solat Suboh secara berjemaah. Setelah semua jemaah berkumpul kami terus ke Masjid dan sampai dibibir Masjid Nabawi kami terpaku sekejap melihat kehebatan pembinaanya. Dengan iringan doa masuk ke masjid kami melepasi pintu masuk dan sekali lagi kagum dengan kehebatan senibinanya dan keluasannya. Semua ruang yang luas itu sudah mula dipenuhi oleh para jemaah yang kebanyakannya berpakaian jubah serba putih dan dari berbagai bangsa. Di Masjid Nabawi jemaah wanita dikehendaki memasuki pintu yang dikhaskan untuk mereka dan bersolat juga khusus untuk wanita maka terpisahlah suami dengan isteri dan anak-anak perempuan tercinta mereka untuk seketika dan janji setia dibuat untuk tempat pertemuan selepas solat nanti. Kami yang buat pertama kali memasuki Masjid Nabawi masih lagi terpinga-pinga dan mengikut saja Ustaz dan tidak berani berpecah dari rombongan kami. Kami sempat minum air zam zam yang disediakan yang terdapat disetiap ruang masjid untuk para jemaah. Air zam zam yang dibawa dari Mekah itu sungguh menyegarkan dan memberi kekuatan kepada kami untuk menunaikan perintah Allah. Selepas mendapatkan tempat di bawah payung besar yang canggih (boleh dibuka dan tutup mengikut kesesuaian cuaca), kami kemudian menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid.
Sementara menunggu waktu solat subuh fikiran terlayang akan kelebihan Kota Madinah yang dibaca dari buku-buku dan yang didengar dari kuliah-kuliah. Dari Aisyah r.ha ia berkata : “ Ketika kami masuk, Madinah adalah negeri tempat bersarangnya penyakit, lalu Rasulullah SAW berdoa : “Ya Allah, berikanlah kecintaan kami kepada Madinah, sebagaimana Engkau berikan ke cintaan kepada Mekah, atau lebih dari itu, dan bersihkanlah ia serta berkatilah kepada kami dalam makanan dan bekalnya, dan gantikan wabah penyakitnya dengan juhfah,” (Shahih Bukhari dan Muslim).
Riwayat lain adalah dari Umar r.a ia berkata: “ Di Madinah harga-harga naik hingga harus berkerja keras. Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Bersabarlah, dan berilah khabar gembira, sesungguhnya aku telah memberkati bekal dan makanan kalian, maka makanlah dan jangan bercerai – berai. Sesungguhnya makanan satu orang cukup untuk berdua, makanan untuk berdua cukup untuk berempat dan makanan untuk berempat cukup untuk berlima atau berenam. Sesungguhnya barokah itu ada dalam kebersamaan. Barangsiapa bersabar atas penderitaannya, aku akan jadi saksi di Hari Kiamat” (HR Bazzar).
Pengalaman saya dan cerita daripada jemaah memberitahu “membeli nasi berani bukhari di Madinah untuk seorang boleh berkongsi untuk dua orang banyaknya, inilah berkatnya doa Rasullullah SAW.
Saya teringat seorang Ustaz dalam Takzirah Zohor di Surau Telekom ada menyebut, keutamaan tinggal di Madinah, Rasulullah bersabda: “ Madinah lebih baik bagi mereka seandainya mereka tahu”. Tidak seorang pun yang meninggalkannya kecuali Allah akan menggantikannya dengan orang lebih baik, serta tidak pula seorang teguh atas kelaparan dan kesulitan hidup di dalamnya, kecuali aku akan menjadi syafaat dan saksi atasnya di Hari Kiamat” ( HR Muslim)
Ustaz yang sama juga ada menyatakan, “Keutamaan mati di Madinah – Sabda Nabi s.a.w “Barangsiapa dikalangan kamu yang mampu mati di Al Madinah maka hendaklah ia mati di Al Madinah kerana sesungguhnya aku akan memberi syafaat kepada sesiapa yang mati disitu”. ( Riwayat Ahmad,At-Tirmizi,Ibnu Majah,Ibnu Hibban). Dengan keutamaan yang besar ini Umar ra pernah berdoa supaya dimatikan di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari didalam Sohehnya dibawah Keutamaan-keutamaan Al Madinah dengan doanya yang berbunyi “Ya Allah, kurniakan aku mati syahid pada jalanMu dan jadikan kematianku di negeri RasulMu SAW.”.
Beruntung benarlah mereka yang meninggal dunia di bumi Madinah kerana mendapat jaminan syafaat dari Rasulullah SAW. Pengalaman saya sepanjang tiga hari berada di Masjid Nabawi, mendapati setiap hari selapas solat lima waktu, ada saja solat jenazah diadakan. Semuga Allah memberkati mereka.
Dibumi Madinah ini juga diceritakan, jika ada seseorang yang mengeluh kepada Rasulullah kerana sakit atau luka, baginda meletakkan tangannya ke tanah kemudian mengangkatnya, sambil berkata: “Dengan Nama Allah, tanah kami yang baik ini, semoga dapat menyembuhkan orang-orang yang sakit diantara kami dengan izin Tuhan kami ( Shahih Muslim). Debu yang dimaksudkan dalam hadis ini bersifat umum dan berlaku diseluruh Madinah.
Kelebihan Madinah juga diceritakan oleh ulama-ulama sebagaimana Rasulullah bersabda: “Ya Allah, barangsiapa yang menzalimi penduduk Madinah, menakut-nakutinya dan membebaninya, maka atasnya laknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya; Allah tidak akan menerimanya di Hari Kiamat ( HR Thabrani ). Hadits lain mangatakan: “Barangsiapa menakut-nakuti penduduk Madinah, maka ia telah menakut-nakuti orang (malaikat ) yang di samping saya ( HR Ahmad)
Perasaan aman - damai, tenang dan tenteram amat dirasai dibumi Madinah ini, kebesaran dan keagungan Allah serta RasulNya terserah disetiap sudut buminya yang penuh brokah dan dirahmti Allah sepanjang masa. Rasulullah SAW bersabda; “ Sesungguhnya ia adalah tanah yang aman, sesungguhnya ia adalah tanah yang aman”. Saya dan jemaah juga bertambah teruja lagi mendengar cerita tentang Dajjal yang tidak mampu memasuki ke Madinah. Dari Anas ibn Malik r.a bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Tidak ada suatu negeri pun kecuali Dajjal akan memasukinya kecuali Mekah dan Madinah, di keduanya tidak terdapat satu tempat pun kecuali akan para malaikat berbaris menjaganya. Kemudian Madinah akan menggoncangkan penduduknya sebanyak tiga kali. Lalu Allah mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik” ( Shahih Bukhari).
Alhamdulliah, peribahasa Melayu mengatakan “ tak kenal maka tak cinta” untuk mengenali Madinah keseluruhannya tak sempat untuk tempoh tiga hari ziarah tapi sedikit sepanjang mengenali Kota Madinah maka lebih terasa dekat dihati. Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa iman berkaitan erat dangan Madinah. “ Sesunggunya kedekatan iman itu dengan Madinah bagaikan kedekatan ular dengan batu.” (Shahih Bukhari).

Friday, October 2, 2009

Hikmat Dan Faedah Berdoa

Jumaat, 13 Syawal 1430H - Sebagai makhluk atau hamba Allah yang sentiasa di dalam serba kelemahan dan kekurangan sudah barang tentu kita berhajat kepada bantuan dan pertolongan orang lain yang lebih kaya dan lebih berharta, jadi Siapakah gerangan. yang dapat memberi pertolongan kepada kita dalam erti kata yang sebenarnya. Sebagai jawapannya, tentulah tidak lain dan tidak bukan hanya Allah SWT semata-mata yang benar-benar dapat menolong dan membantu hamba-hamba Nya yang sentiasa memerlukan pertolongan.

Oleh yang demikian, janganlah sekali-kali kita berdoa atau memohon kepada sesuatu selain daripada Allah Taala, kerana perbuatan itu termasuk ke dalam perbuatan syirik yang amat dibenci lagi dikutuk oleh Allah SWT. Sebenarnya doa adalah merupakan suatu ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan setiap individu Muslim di alam jagat ini di mana ia mendatangkan manfaat dan faedah sama ada faedah kebaikan untuk dunia mahu pun akhirat dan sama ada untuk menolak atau menghindar dari segala bencana dan mara bahaya sama ada yang sudah berlaku atau belum berlaku, ini amatlah tepat sekali sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

Mahfum hadis Rasulullah ; “Berdoa itu memberi manfaat terhadap sesuatu. yang telah berlaku dan dari apa yang belum berlaku, maka lazimlah kamu dengan berdoa wahai hamba-hamba Allah.”(Riwayat al-Hakam). Dalam sebuah hadis lain pula Baginda pernah bersabda, ; “Tiada seorang pun yang mendoakan dengan satu doa melainkan Allah akan memberinya apa yang dipinta atau mencegah daripadanya dari kejahatan seumpamanya selagi ia tidak berdoa untuk melakukan dosa atau memutus silaturahim”(Riwayat Ahmad)

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan di atas sudah jelas bagi kita bahawa berdoa amatlah perlu di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa lebih-lebih lagi di waktu-waktu tertentu yang memerlukan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT yang maha kaya lagi maha berkuasa. Sebaliknya, adalah menjadi suatu kesalahan yang besar kepada mereka yang tidak berdoa kepada Allah sebaliknya memohon kepada sesuatu selain daripada Allah.

Berdoa adalah menjadi suatu bentuk amalan harian bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh sebagai senjata buat mereka, bahkan para Nabi dan Rasul juga sentiasa berdoa kepada Allah di mana doa mereka sering di perkenan dan diterima oleh Allah, selain dari doa-doa biasa, maka Allah Taala memperuntukkan kepada para Rasul itu suatu doa yang paling mustajab lagi dimakbulkan dengan serta merta yang menjadi sakti atau mukjizat kepada mereka. Mereka telah berjaya dan berhasil di mana segala kehendak dan permintaannya itu dimakbulkan kecuali junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang masih lagi menyimpan doa tersebut untuk dipohon kepada Allah di akhirat kelak, ini telah dijelaskan sendiri oleh Baginda dalam sebuah hadis,

Mahfum hadis Rasulullah SAW; “Sesungguhnya bagi setiap Nabi itu ada doa yang sesungguhnya telah mendoakan dengannya pada umatnya lalu diperkenankan baginya dan sesungguhnya aku telah menyimpan atau menyediakan doaku sebagai syafaat bagi umatku di hari akhirat nanti.” ( Riwayat as-Syihaan)

Dalam mencari kemakbulan berdoa, perlu juga mencari masa-masa yang tertentu di mana doa Allah akan makbulkan seperti dijelaskan dalam hadis berikut;

Mahfum hadis Rasulullah SAW; Daripada Abi Umamah katanya: “Ditanya orang kepada Rasulullah SAW. Bilakah doa yang paling diperkenankan? Jawab Baginda: Ialah separuh malam yang kedua dan sesudah solat-solat yang diwajibkan (solat lima waktu)”(Riwayat at-Tirmizi)

Mahfum hadis Rasulullah SAW ; “Ada lima malam yang tidak ditolak doa padanya iaitu: Malam pertama dalam bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Jumaat, malam Raya Fitrah dan malam Raya Qurban.”(Riwayat Ibnu `Asaakar)

Mahfum hadis Rasulullah SAW; “Tidak ditolakkan doa di antara Azan dan Iqamat.”( Riwayat an-Nasa`i)

Mahfum hadis Rasulullah SAW ; “Tiga golongan di mana doa-doa mereka di perkenankan iaitu; Doa orang berpuasa, doa orang yang di dalam perjalanan dan doa orang yang dianiayai.”(Riwayat al-`Aqiili )
Sebelum dari kita berdoa kepada Allah Taala dengan harapan semoga doa atau permintaan kita itu diterima, maka hendaklah terlebih dahulu kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai peraturan dan adab-adab berdoa, di antaranya selain dari kita dituntut membuat pembersihan diri, berwuduk dan menghadap kiblat maka;

1. Hendaklah memujikan Allah Taala terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan selawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. mi dapat difahamkan dan sebuah hadis Baginda yang berbunyi: Mahfum hadis Rasulullah SAW; “Apabila berdoa oleh seseorang kamu maka hendaklah dimulakan dengan memuji Allah dan memuja-Nya kemudian hendaklah berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w., kemudian berdoalah dengan apa yang dikehendakinya.”

2. Hendaklah mengangkat kedua belah tangannya ke paras bahu ketika berdoa dan hendaklah menyapu ke mukanya apabila selesai dari berdoa. Ini berdasarkan kepada sebuah keterangan hadis; Daripada Omar telah redha Allah kepadanya berkata ia: “Adalah Rasulullah SAW apabila menghulurkan dua tangannya ketika berdoa, tidak mengembalikan kedua-duanya sehingga menyapu ia dengan kedua-duanya akan mukanya.” ( Riwayat at-Tirmizi). Dan dalam sebuah hadis lain Baginda bersabda: “Apabila kamu memohon kepada Allah Taala (berdoa) maka pintalah dengan perut-perut tapak tangan kamu dan janganlah kamu memohon akan dia dengan belakang tangannya, kemudian janganlah kamu mengembalikan dia sehingga kamu menyapu dengannya akan muka kamu, maka sesungguhnya Allah menjadikan padanya berkat.”( Riwayat Abu Daud). Rasulullah SAW juga bersabda : “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu lagi Maha Pemurah, Dia merasa malu sekiranya seseorang itu mengangkat dua tangannya kepadaNYa ( berdoa) lalu Dia mengembalikannya kosong terhalang ( tidak dimustajabkan ). “ ( Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim)

3. Hendaklah percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahawa doanya diperkenankan oleh Allah. Dalam konteks ini junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda; “Berdoalah sekalian kamu kepada Allah pada hal kamu yakin diperkenankan dan ketahuilah bahawasanya Allah Taala tidak memperkenankan doa dari hati orang yang lalai lagi lupa.”( Riwayat At Tirmizi)

4. Hendaklah berdoa dengan penuh khusyuk dan tawaduk serta perlahankan suaranya, ini bertepatan sekali dengan perintah Allah sebagaimana tersebut dalam surah al-A’raf ayat 55.Mahfum firman Allah ; “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan (tersembunyi) kerana sesungguhnya Ia tidak suka kepada orang-orang yang melewati batas.” ( Surah al-A`raf:55 )

Thursday, October 1, 2009

Wasiat Rasulullah SAW Kepada Wanita

Khamis,12 Syawal 1430H - Bersabda Rasulullah SAW maksudnya: “Kebanyakan wanita itu adalah isi Neraka dan kayu apinya.” Sayidatina Aisyah bertanya, “Mengapa, wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah SAW: "Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan waktu melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja di rumah. "
Rasulullah SAW bersabda :“Wanita, apabila ia solat lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat pada suaminya, maka masuklah ia dari mana saja pintu surga yang ia kehendaki.” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Thabrani dan Anas bin Malik)
Rasulullah SAW bersabda: “Pertama kali urusan yang akan ditanyakan pada hari Akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).”
Imam Thabrani menceritakan bahawa seorang isteri tidak dianggap menjalankan kewajipannya kepada Allah sehingga ia menjalankan kewajipannya kepada suaminya. Seandainya suaminya memintanya (untuk digauli) walaupun (dia) sedang berada di belakang unta maka ia tidak boleh menolaknya.
Nabi SAW bersabda: ‘Apabila lari wanita dari rumah suaminya, tidak diterima solatnya sehingga ia kembali dan mengulurkan tangannya kepada suaminya (meminta maaf).” (Riwayat dan Hassan)
Abdullah bin Amru bin Al Ash r.a. berkata: ‘Bersabda Rasulullah SAW: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.” (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Siapa saja perempuan yang memakai bau bauan, kemudian ia keluar melihat kaum lelaki ajnabi agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.” (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Hakim)
Sebaik-baik bagi wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali untuk urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Rasulullah SAW:“Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar, mendongaklah syaitan memandangnya.” (Riwayat Tarmizi)
Haram bagi wanita melihat laki-laki sebagaimana laki-laki haram melihat wanita (yang halal nikah) kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual-beli. Diriwayatkan bahwa pada suatu hari, ketika Rasulullah bersama sama isteri-isterinya (Ummu Salamah dan Maimunah), datang seorang datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum), Rasulullah menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, ‘Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab, “Bukankah kamu dapat melihatnya?” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Rasulullah SAW bersabda: “Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan muhramnya) adalah seumpama gelap gulita pada hari Kiamat, tidak ada nur baginya.”(Riwayat Tarmizi)
Sabda Rasulullah SAW: ‘Dikahwini wanita kerana empat sebab: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu bertuah.” (Riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW bersabda: “Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kawinnya).”
Nabi SAW pemah bersabda: “Wanita yang taat akan suaminya, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama dia masih taat pada suaminya dan diredhainya (serta menjaga sholat dan puasanya).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wanita yang taat berkhidmat pada suaminya akan tertutup tujuh pintu Neraka dan akan terbuka pintu-pintu Surga. Masuklah dan mana saja pintu yang disukainya dengan tidak dihisab.”
Rasulullah SAW bersabda: “Siapa saja wanita yang bermuka masam sehingga menyebabkan tersinggung hati suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sampai ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.”
Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, baik itu miskin atau kaya
Ibnu Umar berkata bahawa telah datang seorang wanita kepada Rasulullah saw lalu bertanya "Apakah hak suami atas isteri?” Jawab baginda, "Tunaikanlah hajatnya sekalipun engkau berada di alas belakang unta. Jangan berpuasa sunat melainkan di izinkan suami, kalau engkau berpuasa juga maka pahalanya untuk suami dan dosa untuk isteri. Jangan keluar melainkan dengan izinnya, jika keluar juga akan dilaknat oleh malaikat Rahmat dan malaikat azab sehinggalah ia kembali ke rumahnya.”
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta dengan tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seorang laki-laki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tdaklah putus balasan dari Allah kepada seorang isteri yang siang dan malamnya menggembirakan suaminya.”
Dari Muaz bin Jabal, bersabda Rasulullah: “Siapa saja wanita yang berdiri diatas kedua kakinya membakar roti untuk suaminya, hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dan api Neraka.”
Dan siapa saja wanita yang menunggu suaminya hingga pulang lalu disapukan mukanya, dihamparkan tempat duduknya atau menyediakan makan minumnya atau merenung ia pada suaminya atau memegang tangannya, membaikkan hidangan padanya, memelihara anaknya atau memanfaatkan hartanya pada suaminya karena mencari keredhaan Allah, maka disunatkan baginya akan tiap-tiap kalimah ucapannya tiap-tiap langkahnya dan setiap renungannya pada suaminya seperti memerdekakan seorang hamba. Pada hari Kiamat nanti, Allah karuniakan nur hingga tercengang wanita mukmin semuanya atas karuniaan karamah itu. Tidak ada seorang pun yang sampai ke martabat itu melainkan nabi-nabi.
Thabit Al Bananiy berkata: “Seorang wanita dari Bani Israil yang buta sebelah matanya, sangat baik khidmatnya kepada suaminya. Apabila dia menghidangkan makanan di hadapan suaminya, dipegang pelita sampai suaminya selesai makan. Pada suatu malam, pelitanya kehabisan sumbu, maka diambil rambutnya dijadikan sumbu pelita. Pada esok harinya matanya yang buta telah sembuh Allah karuniakan karamah (kemuliaan) pada perempuan itu karena memuliakan dan menghormati suaminya.”
Dan lbnu Mas’ud bersabda Rasulullah SAW: ‘Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) karena dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan menghadapnya.”
Nabi SAW bersabda: “Siapa saja wanita yang berkata kepada suaminya: Tidak pemah aku dapat dari engkau satu kebaikanpun. Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.”
Sabda junjungan Rasulullah SAW: “Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menyenangkan engkau, jika engkau memerintah diturutinya perintah engkau (taat) dan jika engkau berpergian dijaga harta engkau dan dirinya.”
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya kecuali jika terpaksa (kerana suatu urusan yang mustahak) dan dia juga tidak berhak melalui jalan lalu-lalang melainkan di tepi-tepinya.”
Syeikh Abdullah berkata: “Durhaka seorang perempuan yang keluar dan rumahnya kepada majlis zikir atau majlis ilmu yang bukan fardhu ain. Wajiblah atasnya keluar supaya belajar dia akan segala fardhu ain itu dan haram atas suaminya mencegah isteri jika dia (suami) tidak mampu mengajarnya. Jika dia ada ilmu niscaya wajiblah atasnya mengajar akan isterinya itu maka ketika itu haramlah perempuan itu keluar dari rumahnya lagi durhaka dia.”
Sabda Rasulullah SAW: “Apabila seorang laki-laki memanggil isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya, hingga marahlah suaminya, maka tidurlah wanita itu dalam laknat malaikat sampai pagi. "
Abu Bakar As Siddiq mengatakan. aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia semuanya".
Ibnu Umar r.a. berkata, telah bersabda Rasulullah SAW: “Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu masing-masing akan ditanya dan suami pemimpin kepada keluarganya dan isteripemimpin rumah tangga suaminya dan anak-anaknya. Kamu sekalian pemimpin dan akan bertanggungjawab atas pimpinanmu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Tersebut dalam kitab Muhimmah karangan Syeikh Abdullah bin Abdul Rahim Pattani: “Hendaklah isteri mendahulukan suaminya atas hak dirinya dan seluruh kaum kerabatnya.”
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wanita yang tinggal di rumah bersama anak-anaknya, akan tinggal bersama-samaku di dalam surga.”
Rasulullah SAW bersabda: “Syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.” (Riwayat Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: “Wanita yang meminta suaminya menceraikannya dengan tidak ada sebab yang dibenarkan oleh syariat, haramlah baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Rasulullah SAW bersabda: “Wanita yang meninggal dunia dalarn keadaan suaminya redha (tidak marah) padanya, niscaya ia masuk surga.” (Riwayat Tarmizi)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristightarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebaikan dan menghapuskan baginya seribu kejahatan.”
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang wanita mulai sakit hendak bersalin maka Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil)”.
Nabi SAW bersabda: “Apabila seorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa dosanya seperti keadaan ibunya melahirkannya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Perintahkanlah anak-anakmu semua yang berumur tujuh tahun untuk mengerjakan sholat. Apabila mereka telah berumur sepuluh tahun tetapi belum mengerjakan sholat hendaklah dipukul (tetapi jangan sampai luka) dan pisahkanlah tempat tidurnya.” (Riwayat Abu Daud)
Sabda Rasulullah SAW: “Ya Fatimah, barang siapa wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong kumis dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman surga, dan dicatatkan Allah baginya kebebasan dari api Neraka dan selamatlah ia melintas titian Sirat”
Hal-hal yang menjadikan wanita itu durhaka kepada suaminya seperti tersebut dalam kitab Muhimmah:
a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya baik itu untuk jimak atau menyentuh mana saja bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami baik itu ketika suami ada di rumah ataupun tidak ada.
c. Keluar rumah karena belajar ilmu yang bukan ilmu fardhu ain. Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu fardhu ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Tidak mau berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak mengizinkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Bermuka masam ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika berbicara.
i. Menyakiti hati suami baik itu dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Mengijjnkan orang lain masuk ke dalam rumah, sedangkan orang itu tidak disukai oleh suami.
Tersebut dalam kitab Muhimmah, suatu ketika di Madinah, Rasulullah SAW keluar mengiringi jenazah. Baginda mendapati beberapa orang wanita dalam majlis. Baginda lalu bertanya: “Apakah kamu menyolatkan mayat?” Jawab mereka, “Tidak.” Sabda baginda, “Sebaiknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmat kepada suami niscaya pahala sama dengan ibadah- ibadah orang laki-laki.”
Imam Ghazali rh.m berkata: “Wajib bagi wanita mengikuti perintah suaminya selagi tidak membawa maksiat.”
Ulama-ulama ada berkata, wajib bagi wanita-wanita:
a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berbicara.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar kepergiannya,
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai wangi-wangian untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tidak adanya.
k Tidak berkhianat ketika ketidak adaan suaminya. i.
l.Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suami yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, Surga dan Neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya
Diceritakan di dalam kitab Muhimmah bahwa seorang Badwi menemui Rasulullah lalu bersabda, "Tidak akan aku percaya pada engkau sebelum ditunjukkan padaku suatu mukjizat.” “Apakah yang engkau kehendaki” tanya Rasulullah. “Suruh pohon kurma yang kering itu menghadap engkau,” kata Badwi itu. Maka bersabda Rasulullah, “Pergilah engkau kepada pohon yang kering itu, katakan bahwa Muhammad memanggilnya.” Arab Badwi itu pun melakukan apa yang diperintahkan. Setelah diberitahu kemudian, pohon kurma itu kelihatan bergerak gerak ke kiri dan ke kanan hingga tercabut akar-akarnya dan berjalan ia menghadap Rasulullah, lalu memberi salam. Rasulullah menjawab salamnya. Melihat peristiwa itu Arab Badwi itu terus mengucap kalimah syahadah. “Cukuplah ya Rasulullah, cukuplah,” katanya lagi. Rasulullah pun memerintahkan pohon itu kembali ke tempatnya. Arab Badwi itu berkata lagi. “Wahai Rasulullah, aku telah meminta darimu sesuatu yang tidak pernah diminta oleh orang lain. Itu pun engkau tunaikan, karena itu izinkan aku sujud kepadamu setiap kali sujud sholat di belakangmu.” Jawab baginda, “Tidak harus seorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya, karena membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.”
Dari Ali bin Abi Talib: Aku dengar Rasulullah bersabda: “Tiga golongan dari umatku akan mengisi Neraka Jahanam selama tujuh kali umur dunia. Mereka itu adalah:
a. Orang yang gemuk tetapi kurus.
b. Orang yang berpakaian tetapi bertelanjang.
c. Orang yang alim tetapi jahil. Adapun yang gemuk tetapi kurus itu ialah wanita yang gemuk (sehat) tubuh badannya, tetapi kurang ibadahnya. Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama (yaitu berpakaian tipis atau terlalu ketat hingga terbayang bentuk tubuh badannya). Orang yang alim tetapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram karena kepentingan pribadi.
Rasulullah SAW bersabda: “Empat golongan wanita yang berada di syurga ialah:
a. Perempuan yang menjaga dirinya dari berbuat haram lagi berbakti kepada Allah dan suaminya.
b. Perempuan yang banyak keturunannya lagi penyabar serta menerima dengan senang hati keadaan serba kurang (dalam kehidupannya) bersama suaminya.
c. Perempuan yang bersifat pemalu dan jika suaminya datang maka ia mengekang mulutnya dari perkataan yang tidak layak kepadanya.
d. Perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya dan mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dininya hanya untuk mengurus anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik kepada mereka dan tidak bersedia menikah karena kuatir putera puterinya akan tersia-sia. (Kalau ada jaminan putera-puterinya tidak akan disia-siakan barulah ia mahu menikah).