Tuesday, April 26, 2011

Miskin

Selasa, 22 Jamadilawal 1432H : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar.” (HR Abu Naim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Yang disebut orang miskin itu bukanlah peminta-peminta yang diberi orang satu atau dua buji kurma atau sesuap atau dua suap makanan. Tetapi sesungguhnya orang miskin itu ialah orang yang tahu menjaga diri (dari meminta-minta). Jika kamu mahu bacalah firman Allah SWT “.... mereka tidak meminta-minta kepada orang ramai dengan mendesak-desak ...”(al-Baqarah:273) (HR Muslim)

Abu Hurairah r.a menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bukanlah orang miskin, orang yang pergi dari rumah ke rumah, dia dapat ditolak oleh sesuap dan dua suap makanan, sebiji kurma dan dua biji kurma. Akan tetapi orang yang miskin itu ialah orang yang tidak memperoleh kecukupan yang dapat mencukupkan keperluannya dan tidak diketahui orang tentang kemiskinannya yang menyebabkan orang memberi sedekah kepadanya. Dan dia pula tidak pergi meminta ke sana ke mari (tidak mengulang-ulangi permintaannya kepada orang lain). ” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Qabishah bin Mukhariq al-Hilali r.a katanya,:”Aku pernah menanggung hutang (untuk mendamaikan dua kabilah yang saling bersengketa). Lalu aku datang kepada Rasulullah s.a.w meminta bantuan kepada baginda untuk membayarnya. Jawab baginda,:”Tunggulah hingga orang datang menghantarkan zakat, nanti kusuruh serahkan kepadamu.” Kemudian baginda melanjutkan sabdanya, “Hai Qabishah! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak boleh (tidak halal) kecuali untuk tiga golongan:

i. Orang yang menanggung hutang (gharim, untuk mendamaikan dua orang yang bersengketa atau seumpamanya). Maka orang itu boleh meminta-minta, sehingga hutangnya langsai. Apabila hutangnya telah selesai, maka tidak boleh lagi dia meminta-minta.

ii. Orang yang ditimpa bencana, sehingga harta bendanya musnah. Orang itu boleh meminta-minta sehingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak bagi dirinya.

iii. Orang yang ditimpa kemiskinan, (disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin). Orang itu boleh meminta-minta hingga dia memperolehi sumber kehidupan yang layak. Selain tiga golongan tersebut , haram baginya meminta-minta dan haram pula baginya memakan hasil perbuatan meminta-minta itu.” (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:” Aku melihat ke syurga, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah orang-orang miskin. Dan aku melihat pula ke neraka, maka kelihatan olehku kebanyakan penghuninya ialah wanita.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadis:

1) Seorang muslim hendaklah mempunyai sifat qana'ah ( puas hati dengan apa yang ada setelah berusaha), redha serta bersyukur dengan pemberian Allah bukan melakukan perkara-perkara yang membawa kekufuran terhadap-Nya.

2) Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah besar, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok buruk, dan makan sekadar untuk mengalas perut.

3) Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya. Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat.

4) Setiap insan di dunia ini bercita-cita untuk menjadi kaya raya. Dalam Islam seseorang itu tidak dianggap kaya hanya dengan memiliki harta yang banyak, tetapi kaya yang sebenar di samping ia mempunyai harta ialah bila memiliki jiwa dan hati yang jauh lebih mulia dari hartanya itu.

5) Orang yang miskin tetapi kaya maruah tidak bergantung harap dan belas kasihan daripada orang lain. Sekalipun tidak berharta ia tidak menunjukkan kelemahan dan kekurangannya itu dengan cara mendesak, meminta-minta sedekah daripada orang lain tetapi berusaha memperbaiki nasib dirinya dengan segala tenaga dan upaya, melakukan sebarang pekerjaan yang halal untuk mencari rezeki.

6) Al-Quran ada menyebutkan sebagaimana yang disebutkan dalam hadith di atas maksudnya:”(Pemberian sedekah itu adalah bagi orang-orang fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam) yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); mereka itu disangka; orang kaya-oleh orang yang mengetahui halnya kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta,. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah) apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.” (al-Baqarah:273)

7) Islam amat membenci kemiskinan kerana ia boleh membawa kepada kekufuran. Malah bagi sebuah negara yang kaya, maju dan membangun rakyatnya harus dididik untuk menabur kebajikan, sebagai tempat si kaya berbudi, si miskin dirai dan dibantu bukan tempat di mana kesenangan hanya berkisar pada si kaya manakala si miskin terus merana.

8) Orang miskin beriman adalah yang ramai menghuni syurga kerana kurangnya hisab terhadap mereka dan mereka redha dan sabar dengan ketentuan Allah SWT semasa didunia.

Monday, April 25, 2011

Terima Undangan Dan Menerima Hadiah

Isnin, 21 Jamadilawal 1432H:Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga”( H. Riwayat Al-Bukhari)

Huraian;

1. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah menjaga hati dan perasaan orang lain agar hubungan silaturahim sentiasa terjaga selain dapat menghindari perselisihan faham yang mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.

2. Rasulullah s.a.w contohnya tidak pernah menolak sebarang pemberian atau hadiah dan baginda juga tetap menerima apa juga bentuk jemputan tanpa membeza-bezakannya sama ada kecil, besar, kaya, miskin atau sebagainya.

3. Orang yang memilih- milih jemputan bagi sesuatu jamuan atau hadiah yang diberikan kepadanya adalah mempamerkan sifat orang yang sombong dan bongkak sedangkan sifat ini adalah sangat dilarang di dalam Islam.

Friday, April 22, 2011

Amalan Yang Baik

Jumaat, 18 Jamadilawal 1432H; Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah orang yang memberi manfaat kepada orang lain dan amalan yang paling disukai oleh Allah ialah menggembirakan hati orang-orang Islam atau menghilangkan kesusahan daripadanya atau menunaikan keperluan hidupnya di dunia atau memberi makan orang yang lapar.

Perjalananku bersama saudaraku yang muslim untuk menunaikan hajatnya, adalah lebih aku sukai daripada aku beriktikaf di dalam masjid ini selama sebulan, dan sesiapa yang menahan kemarahannya sekalipun ia mampu untuk membalasnya nescaya Allah akan memenuhi keredhaannya di dalam hatinya pada hari Qiamat, dan sesiapa yang berjalan bersama-sama saudaranya yang Islam untuk menunaikan hajat saudaranya itu hinggalah selesai hajatnya nescaya Allah akan tetapkan kakinya(ketika melalui pada hari Qiamat) dan sesungguhnya akhlak yang buruk akan merosakkan amalan seperti cuka merosakkan madu.” (HR Ibnu Abi Dunya)

Keterangan Hadis:

i) Berbuat baik dan memberi keselesaan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan balasan yang berlipat ganda sama ada berupa pahala, kebaikan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

ii) Semua ini akan dapat dilakukan sekiranya seseorang itu mempunyai keimanan dan keikhlasan di hatinya sehingga segala tindakan-tindakan yang dilakukannya sentiasa melahirkan kebaikan pada dirinya dan dalam hubungannya dengan orang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

iii) Demikian juga kita dilarang agar jangan membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan juga tetapi hendaklah membalasnya dengan kebaikan seperti api yang menyala dan membakar nescaya akan terpadam apabila disirami air. Maka begitulah dengan kebaikan, lambat laun akan melembutkan hati yang keras dan menghapuskan kejahatan yang melanda.

iv) Sebaliknya jika kecenderungan berbuat perkara-perkara yang jahat terus dibiarkan menguasai diri maka akan rosaklah segala kebaikan yang pernah dilakukan kerana lazimnya kejahatan itu biarpun hanya sekali dilakukan ia mudah dilihat (diketahui) berbanding dengan banyaknya kebaikan yang pernah dilakukan oleh seseorang itu. Bak kata pepatah Melayu “ Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

v) Sesungguhnya keimanan itu sentiasa terbuka untuk ditingkatkan sebaliknya iman akan merosot sekiranya kita melakukan perbuatan maksiat.

Thursday, April 21, 2011

Ketika Sampai Ajal

Khamis, 17 Jamadilawal 1432H: Dari Al-Bara' bin 'Azib r.a katanya: Kami telah keluar bersama-sama Nabi s.a.w, mengiringi jenazah seorang lelaki dari kaum Ansar, lalu kami sampai ke kuburnya yang disediakan. Rasulullah s.a.w pun duduk lalu kami duduk disekelilingnya dengan keadaan tidak bergerak dan membisu; manakala Baginda s.a.w pula mencucuk-cucuk tanah dengan seranting kayu yang ada di tangannya.

Setelah itu Baginda s.a.w mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Mintalah kamu perlindungan kepada Allah dari azab kubur", (diulanginya sabdanya itu) dua atau tiga kali; kemudian Baginda s.a.w bersabda lagi: "Sesungguhnya hamba Allah yang mukmin (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, putih bersih muka mereka, seolah-olah matahari, dengan membawa kain kapan bersama mereka dari kain-kain kapan syurga, dan Hanut (Pachai iaitu serbuk campuran dari benda-benda yang harum yang ditabur kepada mayat semasa dikapankan) dari yang ada di syurga, sehingga mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.

Kemudian datang Malakulmaut a.s lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Wahai jiwa yang baik! Keluarlah (dan pada satu riwayat ada disebutkan: Orang yang hendak mati dihadiri - saat naza'nya - oleh Malaikat, maka sekiranya orang itu seorang yang salih, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat keampunan dan keredhaan Allah".

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu keluar - mengalir seperti mengalirnya setitik air dari mulut bekas air (yang terbuat dari kulit kambing), lalu Malakul maut mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya ditangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun lalu mereka mengambilnya kemudian meletakkannya di dalam kain kapan dan Hanut yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang harumnya seperti seharum-harum kasturi yang terdapat di atas muka bumi."

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang baik ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu' (dengan menyebutkan sebaik-baik namanya yang biasa mereka menamakannya dengan nama-nama itu di dunia), (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama; setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, lalu dibukakan pintu untuk mereka; kemudian Malaikat-malaikat yang berkedudukan istimewa di sisi Tuhan dari penduduk tiap-tiap langit menghantar roh itu beramai-ramai hingga ke langit yang berikutnya, sehinggalah mereka berhenti membawanya di langit yang ketujuh.

Setelah itu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu): "Simpanlah suratan amal hambaKu ini dalam 'illiyyin (tempat simpanan surat amal orang-orang yang berbakti) dan bawalah dia balik ke bumi, kerana sesungguhnya Aku telah menciptakan manusia dari bumi, dan ke bumi juga Aku kembalikan mereka, serta dari bumi pula Aku keluarkan mereka sekali lagi".

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Dan sesungguhnya orang yang kafir (ketika hendak mati) apabila ia berada dalam keadaan terputus dari dunia dan sedang menghadapi akhirat, akan turunlah kepadanya Malaikat-malaikat dari langit, hitam muka mereka, dengan membawa kain-kain kasar seperti kain kadut; lalu mereka duduk jarak daripadanya sejauh mata memandang.

Kemudian datang Malakal maut, lalu duduk di sisi kepalanya sambil menyerunya dengan berkata: "Hai jiwa yang jahat! Keluarlah (dan pada satu riwayat disebutkan: Maka apabila orang itu orang jahat, berkatalah Malaikat: "Keluarlah engkau….) menuju ke tempat kebencian dan kemurkaan Allah".

Baginda s.a.w bersabda lagi: "Kemudian roh orang itu berselerak di merata jasadnya (kerana takut hendak keluar), lalu disentap rohnya itu oleh Malakul maut sebagaimana sebatang besi pembakar daging disentap dari segumpal bulu yang basah; Malakul maut pun mengambilnya, maka apabila ia mengambilnya, Malaikat-malaikat (yang ditugaskan untuk itu) tidak membiarkannya di tangan Malakul maut walau sekelip mata sekalipun sehingga mereka meletakkannya dalam kain kasar yang tersebut; dan keluar pula dari roh itu bau yang sebusuk-busuk bau bangkai yang ada di atas muka bumi.

Kemudian mereka membawanya naik ke langit, maka mereka tidak melalui (semasa membawanya) mana-mana kumpulan Malaikat melainkan kumpulan Malaikat itu berkata: "Roh yang jahat ini roh siapa?" Mereka menjawab: "Roh si anu anak si anu," (dengan menyebutkan seburuk-buruk namanya yang biasa dipanggil dengan nama-nama itu di dunia); (demikianlah halnya) sehingga berakhirlah perjalanan mereka membawanya ke langit yang pertama, setelah itu mereka meminta dibukakan pintu langit untuknya, tetapi tidak dibukakan baginya.

Kemudian Rasulullah s.a.w membaca (ayat 40 Surah al-A'raf ertinya): "…..Tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga hingga unta masuk di lubang jarum…..". (Kemudian Baginda s.a.w bersabda): "Lalu Allah 'Azza wa Jalla berfirman kepada Malaikat: "Simpalah suratan amal jahatnya di dalam sijjin (tempat simpanan surat amal jahat orang-orang yang berdosa), yang letaknya di bumi yang terkebawah sekali. Lalu dicampakkan rohnya ke situ…….." ( Al-Bara' bin 'Azib r.a )

Tuesday, April 19, 2011

Ajal

Selasa, 15 Jamadilawal 1432H : Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi s.a.w semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bijana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bijana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau Sakratul maut (yang sedang aku hadapi)". (HR Aisyah r.a)

Dari Aisyah r.a katanya: "Aku tidak memandang elok atau merasa iri hati kepada sesiapa pun dengan sebab mudah dan ringannya Sakratul maut yang dialaminya, sesudah aku melihat kesukaran Rasulullah s.a.w menghadapi Sakratul maut."(HR Aisyah r.a)

Dari Anas r.a katanya: "Rasulullah s.a.w telah masuk menziarahi seorang pemuda yang sedang berada dalam keadaan hampir mati, lalu bertanya kepadanya: "Bagaimana Keadaanmu?" Pemuda itu menjawab: "Aku berharap kepada (rahmat) Allah - Ya Rasulullah! - dan aku takutkan (balasan buruk) dari sebab dosa-dosa ku". Mendengarkan yang demikian, Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak berhimpun dalam hati seseorang dua perkara itu (harap dan takut) pada saat yang seperti ini, melainkan Allah memberikannya apa yang diharapkan dan menyelamatkannya dari apa yang ditakuti."(HR Anas r.a)

Anas r.a. katanya: “Nabi s.a.w. telah menggariskan beberapa garisan lalu ia bersabda ‘ini angan-angan manusia dan yang ini ajalnya. Ketika seseorang itu dalam keadaan demikian (panjang angan-angan yang tidak putus-putus) tiba-tiba datanglah garisan yang pendek (sampai ajalnya mati)”.(HR al-Bukhari)

Dari Anas bin Malik r.a, nabi s.a.w bersabda:”Janganlah sekali-kali salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana suatu malapetaka yang menimpanya. Jika ia tidak dapat berbuat sesuatu (sudah puas berubat atau berikhtiar) maka hendaklah ia berdoa:”Wahai Tuhanku, hidupkanlah aku seandainya kehidupan itu lebih baik bagiku, tetapi matikanlah aku seandainya kematian itu lebih baik bagiku.” (HR Bukhari)

Dari Abdullah r.a katanya:”Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri nabi s.a.aw berdoa:”Ya Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suamiku, Rasulullah s.a.w dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudaraku Muawiyah.” Maka bersabda nabi s.a.w :”Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah) memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya serta rezeki yang yang sudah dibahagi-bahagikan yang tak dapat disegerakan sebelum tiba waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan sejak mula. Seandainya engkau memohon kepada Allah Taala perlindungan dari siksa neraka atau dari siksa kubur itu lebih baik dan lebih bagus.” (HR Muslim)

Daripada Mathar bin ‘Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu.”HR Ahmad dan at-Tirmidzi)

Pengajaran hadith:

1) “Sakratul Maut” adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.

2) Ia (sakratul maut) akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan berbagai-bagai cara sama ada yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang.

3) Menurut huraian para ulama’ , Allah menjadikan nabi-nabi dan wali-wali-Nya menderita sukar menghadapi “Sakratul maut” hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka sedangkan bagi orang-orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakratul maut adalah sebagai “kaffarah” (penghapus dosa) daripada kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

4) Berdasarkan hadith ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan tentang beratnya ‘Sakratul maut’ itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar. Malah ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah S.W.T, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

5) Apabila menghadapi ‘sakratul maut’ setiap umat Islam diminta agar sentiasa mengingati Allah dengan bersungguh-sungguh serta berdoa semoga Allah memberi pertolongan kepadanya semasa mengalami penderitaan tersebut.

6) Kita hendaklah menanamkan perasaan takut terhadap kemurkaan Allah dan mengharapkan rahmat daripada-Nya pada setiap masa apatah lagi di saat-saat genting menghadapi sakratul maut kerana hal ini ada ganjaran dan penghargaan yang besar daripada Allah S.W.T malah dengan adanya perasaan tersebut juga akan menghindarkan kita daripada terdorong melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah.

7) Islam melarang manusia daripada panjang angan-angan kerana ia akan melalaikan dari beramal dan beribadat kepada Allah

8) Umat Islam hendaklah berhati-hati melakukan sesuatu urusan supaya segala tingkah laku yang dilakukan tidak menjadi sia-sia

9) Manusia suka berangan angan panjang, oleh itu hendaklah ia berwaspada jangan sampai melekakan dan melalaikan sehingga akhir hayat.

10) Sebagaimana maklum Islam menyuruh umatnya agar berusaha dan berikhtiar dalam apa jua perkara dan kesulitan yang dialami di samping berdoa memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT.

11) Kehidupan itu adalah suatu ujian daripada Allah yang diberikan kepada setiap manusia demi menguji sejauhmanakah keteguhan iman seseorang itu dan setakat manakah pergantungannya terhadap Allah. Orang-orang yang beriman akan sentiasa bersabar dan tabah dalam dugaan ini dan sebaliknya pula bagi orang yang kurang imannya di mana hal yang demikian boleh memungkinkan seseorang itu menyalahkan takdir Allah hingga diri tersesat jauh dari jalan-Nya.

12) Hendaklah kita sentiasa beringat bahawa setiap kesakitan yang dialami itu adalah suatu tanda kasih sayang Allah kepada hamba-hamba-Nya di mana jika seseorang itu berjaya mengatasinya iaitu ia tidak mengeluh dan sentiasa bersabar sambil berusaha dan berikhtiar, Allah akan memberinya ganjaran pahala yang amat besar. Bukankan setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka kita selaku hamba-Nya mesti yakin akan kebesaran kuasa Allah dan janji Allah serta tidak berputus asa. Hidup adalah suatu perjuangan. Bak kata pahlawan Melayu’Pantang menyerah sebelum ajal!’.

13) Kematian itu tidak semestinya disebabkan oleh penyakit. Dengan perkataan lain, walau bagaimana hebat sekalipun kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya kerana ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalan raya malah banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia.

14) Setiap Muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Kita juga wajib percaya kepada Qadha’ dan Qadar Allah SWT dan segala ketentuan-Nya kerana kita tidak mengetahui bila dan di mana kita menemui ajal.

Monday, April 18, 2011

Wanita

Isnin, 14 Jamadilawal 1432H : Dari Abdullah bin Umar r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni Neraka?” Rasulullah S.A.W bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah s.a.w bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama” (HR Muslim)

Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita” (Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.” (HR al-Bukhari)

Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekelian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita), kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israel adalah wanita.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Jangan memarahi wanita mukminah. Jika kamu benci akan perangainya, nescaya ada pula yang menyenangkan daripadanya.” (HR Muslim)

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :”Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.”( HR Muslim)

Abu Hurairah r.a berkata Nabi SAW bersabda maksudnya : “ Apabila seorang wanita menafkahkan sebahagian dari hasil usaha suaminya tanpa izin suaminya maka bagi suaminya separuh pahala.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda:”Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka apabila ia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia menanggapinya dengan baik atau diam. Bijaksanalah membimbing wanita kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Dan bahagian yang paling bengkok ialah yang sebelah atas. Jika engkau berusaha meluruskannya, nescaya ia patah. Tetapi jika engkau biarkan, ia akan sentiasa bengkok. Kerana itu bijaksanalah membimbing wanita dengan baik.” (HR Muslim)

Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar nabi s.a.w bersabda:”Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.”(HR Muslim)

Keterangan Hadis;

1. Wanita dari asal kejadiannya ( fitrahnya ) memang telah diciptakan berlainan dan berbeza dengan lelaki, adanya kelainan atau perbezaan itu tentu ada maksud dan tujuannya yang tertentu.

2.Lemahnya agama bagi golongan wanita tidak harus dijadikan alasan untuk memadamkan semangat dalam beribadah kerana pada saat seseorang perempuan itu haid atau nifas di mana mereka tidak dapat menjalankan ibadah solat dan puasa, mereka sebenarnya masih mampu menjalankan amal ibadah lain yang berpahala yang dapat mendekatkan diri pada Allah, kecuali sebaliknya iaitu jika mereka melibatkan diri dalam perbuatan yang mendatangkan dosa dan segala sesuatu yang dapat melalaikan bahkan menjauhkan diri daripada Allah.

3. Perempuan dikatakan kurang (lemah) akalnya kerana fikiran mereka mudah sekali terpengaruh, tertipu dan terpedaya kerana mereka dikurniakan dengan banyak nafsu dan lazimnya mereka tidak berfikir lebih panjang dan bersifat emosional.

4. Dalam hal pengadilan Islam lebih mengutamakan lelaki. Tetapi dalam hal yang lain, Islam sama sekali tidak menolak akan hakikat ketajaman pemikiran golongan wanita yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Hanya sesungguhnya yang membezakan antara makhluk Allah S.W.T, tidak lain hanyalah nilai ketaqwaan mereka.

5. Dunia mempunyai daya penarik yang kuat kerana Allah SWT telah menjadikannya berkeadaan demikian untuk menguji manusia siapakah yang dapat menguasai hawa nafsunya dan dapat menjalani kehidupan di dunia menurut jalan yang diredhai Allah.

6. Antara daya penarik dunia ialah wanita kerana lazimnya mereka mendorong lelaki dengan tutur kata yang manis, gerak geri yang menggoda dan pakaian yang memberahikan. Semua ini mencabar keimanan kaum lelaki sehingga mereka menjadi lalai terhadap tugas dan kewajipan mereka.

7. Rasulullah SAW menuntut kita supaya memelihara dan mengawal diri daripada diruntun oleh kemanisan dan keindahan dunia dengan menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah sambil mengingati bahawa segala yang ada di dunia hanyalah sementara sahaja berbanding dengan segala nikmat di akhirat yang kekal abadi.

8. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.

9. Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i).

10. Setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya. Apabila keikhlasan sudah tertanam di dalam jiwa, meskipun pelaksanaannya kelihatan begitu berat dan memerlukan pengorbanan harta, tenaga, waktu, perasaan bahkan nyawa, seseorang muslim akan dengan sendirinya terasa ringan untuk melakukannya. Oleh sebab itu Haji termasuk dalam konteks jihad dalam beribadah

11. Seorang isteri melihat kebahagiaan sebagai matlamat unggul dalam kehidupan berkeluarga. Ia tidak boleh diukur tetapi dapat dirasai. Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya.

12. Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: "Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."(Surah an-Nisaa' ayat 34).

13.Orang yang turut membuat kebajikan bersama-sama dengan orang lain akan juga beroleh pahala. Para ulama’ membenarkan isteri menafkahkan harta suaminya jika telah diizinkan oleh suaminya sama ada secara terang atau menurut uruf (kebiasaan). Namun bagi pengeluaran yang sedikit yang biasa dilakukan oleh si isteri seperti memberi sedekah kepada peminta sedekah atau memberi makan kepada tetamu, hal tersebut tidaklah memerlukan kepada keizinan si suami namun janganlah pula ia berlaku secara keterlaluan, merosakkan harta atau sampai kepada tahap pembaziran

Friday, April 15, 2011

Suami

Jumaat: 11 Jamadilawal 1432H: Al-Aswad bin Yazid berkata, aku bertanya kepada Aishah r.a, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. di rumahnya? Aishah menjawab” Beliau membuat tugas keluarganya, iaitu membantu kerja keluarganya, maka apabila masuk waktu sembahyang beliau pun keluar untuk bersembahyang”. (HR Al-Bukhari )

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:” Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia(iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah.” (HR Ibn Majah )
Saad bin Abi Waqas r.a menceritakan bahawa rasulullah s.a.w pernah bersabda:’Nafkah (infak) yang kamu berikan semata-mata kerana Allah nescaya diberi pahala oleh Allah; bahkan apa yang kamu berikan untuk makanan isteri kamu (perbelajaan rumahtangga) akan diberi pahala juga oleh Allah.” (HR al-Bukhari)

Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Seburuk-buruk tempat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah tempat suami yang telah saling percaya-mempercayai dengan isterinya, tetapi kemudian si suami membuka rahsia peribadi isterinya sendiri.” (HR Muslim)

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya : “ Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan dalam mulut isteri mu.” (Al-Bukhari dan Muslim)

Keterangan Hadis


1. Kaum lelaki digalakkan membantu dalam kerja-kerja rumah tangga di samping tidak mengabaikan ibadat dan peranannya di dalam masyarakat.

2. Contoh pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga (rumah tangga) dan negara dengan baik dan sempurna.
3. Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

4. Allah S.W.T mengamanahkan tanggungjawab tertentu kepada pasangan suami isteri. Ia merupakan ibadat yang mesti ditunaikan oleh pasangan.
5. Si suami wajib memberi nafkah kepada keluarga yang mengikut kemampuannya. Dalam erti kata yang lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang-orang yang di bawah tanggungannya.
6. Nafkah terbahagi kepada dua iaitu nafkah batin dan nafkah zahir. Nafkah batin adalah tuntutan naluri semula jadi dalam mengadakan hubungan seks manakala nafkah zahir pula adalah meliputi perkara-perkara berikut:

i) perbelanjaan keluarga
ii) makan minum dan pakaian
iii) tempat tinggal
iv) keselamatan dan perlindungan.
7. Dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati kedua suami isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Walau bagaimanapun isteri boleh membantu di mana yang sesuai. Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

8. Selaku umat islam kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah s.a.w ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia. Untuk itu perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat untuk merealisasikan ajaran tersebut secara menyeluruh.

9. Perkahwinan dalam Islam bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan biologi terhadap satu sama lain, malah satu daripada tanda kekuasaan dan kebesaran Allah Yang Maha Esa (ar-Rum, ayat 21). Iaitu kekuasaan-Nya menyatukan dua makhluk yang berlainan jantina serta mempertautkan hati kedua-duanya dengan ikatan kasih mesra. Maka, suami yang baik ialah yang menyayangi serta melindungi isterinya dari perkara berbahaya atau memudaratkannya.

10. Suami ialah ketua keluarga yang bertanggungjawab memastikan isterinya memperoleh keperluan hidup seperti tempat tinggal, makanan dan pakaian yang secukupnya. Suami juga hendaklah membimbingnya agar selamat daripada api neraka. Firman Allah bermaksud: "Kaum lelaki itu ialah pemimpin dan pengawal yang bertanggunjawab terhadap kaum perempuan, oleh sebab Allah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan juga kerana orang lelaki telah memberi nafkah daripada harta mereka..." (an-Nisa: 34)

11.Wanita tidak diwajibkan bersolat jamaah di masjid. Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadlilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjamaah di masjid dengan alasan ianya lebih tertutup dan lebih aman daripada fitnah (kesempurnaan hijab).

12.Jika kaum wanita mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar ke masjid) kerana berkeyakinan bahawa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya. Namun begitu tidak dinafikan juga bahawa para wanita diharuskan solat berjamaah di masjid. Bahkan harus bagi wali atau suami untuk tidak melarang mereka jika hendak solat berjemaah di masjid kerana Rasulullah s.a.w tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjamaah di masjid bersama baginda sampai masa kewafatannya.

13. Demikian pula para khulafa’ ar-Rasyidin. Namun perlu diingat bahawa keizinan itu hendaklah bergantung kepada syarat-syaratnya seperti:tidak memakai wangi-wangian, tidak bertabarruj, tidak memakai gelang kaki yang dapat didengari bunyinya, tidak memakai baju yang menarik pandangan orang,tidak bercampur dengan kaum lelaki sehingga boleh menimbulkan fitnah dan tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan kesesakan di jalan yang akan dilewati. Oleh itu bagi wanita yang mahu mengerjakan solat berjamaah di masjid wajib mematuhi syarat-syarat tersebut kerana semua perkara yang disebutkan tadi mengandungi unsur penggerak dan pengundang syahwat kaum lelaki jika tidak dipatuhi.

Thursday, April 14, 2011

Isteri

Khamis, 10 Jamadilawal 1432H: Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!” (HR al-Bukhari)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya.” (HR at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:“Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” (HR Tirmidzi dan Ibn Majah)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:” Sesungguhnya sejahat-jahat manusia di sisi Allah di hari kiamat kelak ialah seorang lelaki yang melepaskan hajatnya kepada isterinya dan isterinya melepaskan hajat padanya kemudian ia menceritakan rahsia itu.”(HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:”Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi tidak diendahkan oleh isterinya, lalu malam itu suaminya marah kepadanya maka isteri itu mendapat kutukan malaikat sehingga Subuh.” (HR Muslim)

Keterangan Hadis:

1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. Sabda Rasulullah: "Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban)

3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

4. Rasulullah bersabda: "Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." (Riwayat Al Bazzar).

5. Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa..”

6. Rahsia rumah tangga ialah sesuatu yang hanya boleh dikongsi bersama antara suami isteri atau dengan anak-anak, kerana ia melibatkan soal maruah, nasib masa depan dan keselamatan keluarga. Ini dibayangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis baginda yang bermaksud: "Tiadalah yang lebih memberi manfaat kepada seseorang yang beriman selepas ia bertaqwa kepada Allah, yang lebih baik daripada memiliki seorang isteri yang solehah. Jika disuruh nescaya ditaatinya dan apabila dipandang menyukakan hati dan jika ia tiada bersama ia akan memelihara nama baiknya sama ada pada dirinya atau harta suaminya." (An-Nasa'i, Ahmad & Abu Daud)

Wednesday, April 13, 2011

Rezeki

Rabu, 9 Jamadiulawal 1432H: Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Meraka yang mencari harta dunia (kekayaan ) dengan jalan yang halal dan menahan dirinya dari meminta-minta (tidak menjadi pengemis ) dan berusaha mencari nafkah untuk keluarganya serta belas kasihan, kasih sayang terhadap jiran tetangganya, nescaya di hari kiamat kelak ia akan berjumpa dengan Allah dengan mukanya berseri-seri seperti bulan purnama pada waktu malam.” (H. Riwayat At-Tabrani)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah S.W.T. kepadanya. Maka takutlah kepada Allah S.W.T. dan berusahalah dengan baik; dan lambatnya datang sesuatu rezeki itu janganlah menjadi pendorong kepada kamu untuk melakukan usaha mencari rezeki berbentuk maksiat kerana sesungguhnya rezeki Allah S.W.T. tidak akan dapat diperolehi melainkan dengan cara ketaatan.” (H.Riwayat Ibn Majah dan al- Tabrani)

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”(H.Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Miqdam r.a, dari rasulullah s.a.w,:”Tidak ada makanan yang dimakan oleh seseorang sekali-kali tidak, yang lebih baik daripada memakan makanan hasil dari usaha tangannya sendiri. Sesungguhnya nabi Allah daud a.s makan dari hasil usaha tangan baginda sendiri.” (HR Bukhari) Dari Anas bin Malik r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang ingin supaya dimudahkan (Allah) rezekinya atau dipanjangkan (Allah) umurnya, maka hendaklah dia memperhubungkan silaturrahim (hubungan kasih sayang).” (HR Bukhari)

Dari Abdullah bin Amru bin ‘Ash r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya.” (HR Muslim)

Pengajaran Hadith:

1) Sesungguhnya Allah S.W.T amat kasih kepada orang yang berusaha atau bekerja mencari rezeki dengan titik peluh sendiri di mana dengan itu dia dapat memenuhi keperluan dan tanggungjawabnya terhadap diri, keluraga dan masyarakat. Malah kedudukannya adalah lebih baik daripada bersikap pemalas dan meminta-minta daripada orang lain.

2) Allah telah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut oleh Islam.

3) Kita perlu ingat bahawa hanya rezeki yang halal sahaja mesti dicari kerana di situlah letaknya keberkatan dan ganjaran daripada Allah S.W.T. Sedangkan rezeki yang diambil daripada punca yang haram seperti rasuah dan sebagainya, lambat laun akan menimbulkan kecelakaan dan masalah dalam hidup bukan sahaja di dunia malah di akhirat juga.

4) Islam amat menitikberatkan masalah pencarian rezeki oleh manusia di mana setiap makhluk Allah itu telah ditentukan rezekinya masing-masing sejak ia berada di dalam perut ibunya lagi.

5) Antara bahaya kemiskinan itu ia boleh membuatkan seseorang itu melakukan apa sahaja. Contohnya seorang perempuan akan sanggup menggadaikan sesuatu yang amat berharga yang ada pada dirinya kerana inginkan sedikit perbelajaan untuk keperluan harian, walaupun secara terpaksa dan sedar yang perbuatan itu adalah terkutuk, tetapi keadaan yang tertekan memaksa ia melakukannya.

6) Mencari rezeki yang halal adalah kewajipan setiap mukmin. Oleh itu Islam amat menuntut supaya umatnya banyak bersabar dan jangan mudah berputus asa dalam mencari rezeki tetapi hendaklah berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan bertawakkal kepada Allah kerana rahmat Allah S.W.T adalah sangat luas. Allah S,W.T tidak akan mensia-siakan doa dan usaha hamba-Nya.

7) Sesungguhnya kemiskinan dan kesempitan hidup adalah satu ujian daripada Allah S.W.T namun begitu perlu direnungkan juga bahawa pendapatan (rezeki) yang sedikit serta mencukupi keperluan hidup di dunia itu sebenarnya adalah lebih baik daripada pendapatan (rezeki) yang banyak tetapi melalaikan. Di sinilah pentingnya keberkatan rezeki yang bakal menentukan kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat.

8) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)

9) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.

10) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.

11) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W

Tuesday, April 12, 2011

Jauhkan Diri Dari Zina

Selasa, 8 Jamadilawal 1432H: Perbuatan dan tindakan yang boleh membawa kepada perzinaan perlu dijauhi walaupun belum berzina tetapi ia telah membabitkan pelbagai dosa dan kesalahan yang ditegah Syariat, iaitu;

1. Ia menghampiri zina. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu menghampiri zina” (Surah al-Isra’, ayat 32). Berkata Imam Ibnu Kathir; “Dengan ayat ini Allah menegah hamba-hambaNya dari zina, dari menghampirinya dan dari terlibat dengan segala sebab dan pendorong kepada zina” (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir).

2. Berdua-dua antara lelaki dan wanita bukan mahram. Sabda Nabi; “Tidak bersunyian (berdua-duaan) seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan akan menjadi yang ketiga antara mereka” (Sunan at-Tirmizi).

3. Menyentuh bukan mahram. Sabda Nabi; “Jika kepala seseorang dari kamu ditusuk dengan jarum dari besi, itu lebih baik baginya dari ia menyentuh seorang wanita yang tidak halal untuknya” (Riwayat Imam at-Thabrani dan al-Baihaqi. Berkata al-Haithami; para perawi hadis ini adalah perawi hadis soheh. Berkata al-Munziri; para perawinya adalah tsiqah Lihat; Faidhal-Qadier, hadis no. 7216). Jika menyentuh sudah begitu hebat ancamannya, bagaimana dengan saling bersentuhan dan bercumbuan.

4. Membuka aurat kepada bukan mahram. Firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah mereka (perempuan-perempuan beriman) memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali kepada suami mereka, bapa mereka, bapa mertua mereka, anak-anak lelaki mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31). Di dalam hadis, Rasulullah bersabda kepada orang lelaki; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau hamba perempuan yang kamu miliki” (HR Imam Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, an-Nasai dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 264)

5. Tidak menjaga pandangan mata. Firman Allah; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan mereka…. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kemaluan mereka” (Surah an-Nur, ayat 30-31).

6. Melepaskan nafsu seks mengikut jalan yang haram. Di dalam al-Quran Allah menyebutkan di antara sifat orang beriman ialah; “Mereka yang menjaga kemaluan mereka, kecuali kepada isteri mereka atau hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas” (Surah al-Mukminun, ayat 5-7). Perhatikan Allah menegaskan “sesiapa mengingini selain dari yang demikian itu” (yakni mencari jalan untuk melepaskan nafsu selain kepada isteri dan hamba sahaya) mereka adalah orang yang melampau batas. Dengan ayat ini Imam as-Syafiie menegaskan; Haram mengeluarkan mani dengan tangan (yakni melakukan onani) kerana ia termasuk melepaskan nafsu bukan kepada isteri atau hamba sahaya (Lihat; Tafsir Ibnu Kathir). Jika melepaskan nafsu secara sendirian sudah dianggap haram, apatahlagi jika membabitkan pasangan yang bukan mahram, maka lebih-lebih lagilah haram.

Orang yang melakukan perbuatan sedemikian wajiblah ia segera bertaubat kepada Allah. Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah dengan syarat ia benar-benar bertaubat nasuha iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat berikut;

1. Meninggalkan maksiat tersebut sepenuhnya.

2. Menyesali ketelanjuran lalu dengan sesungguh hati.

3. Bertekad tidak akan mengulangi lagi.

Sebagai bukti kejujuran taubatnya, ia hendaklah mengubah hidupnya dari suasana maksiat kepada suasana taat (menjaga ibadah terutamanya solat, menjauhi pergaulan luar batasan antara lelaki dan wanita, bergaul dengan orang-orang soleh, mendampingi masjid dan majlis ilmu, menanamkan rasa takut kepada Allah dan balasan di akhirat). Hanya dengan berada dalam suasana ketaatan sahaja kita dapat memelihara diri dari terjerumus ke dalam maksiat. Di dalam hadis, Rasulullah bersabda; "Seseorang manusia itu berada di atas agama teman rapatnya. Maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman" (HR Imam at-Tirmizi dan Abu Daud dari Abu Hurairah. Menurut as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 4516)


USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

Monday, April 11, 2011

Tangisan

Isnin, 7 Jamadilawal 1432H: Tangisan menurut perspektif Islam, boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu tangisan yang berbentuk negatif dan tangisan yang berbentuk positif. Tangisan yang dilarang ialah seperti meraung dan melolong dengan sekuat hati. Misalnya, apabila menerima atau meratapi kematian. Tangisan seperti ini bukan sahaja dipandang negatif kepada orang yang melakukannya tetapi juga mayat yang diratapinya itu turut terseksa kerana perbuatannya.

Ini berbeza dengan tangisan positif iaitu tangisan yang terjadi kerana cinta dan takut kepada Allah. Malah Nabi Muhammad pun menangis bila mengenangkan kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh umatnya serta tatkala baginda memohon ampun dari Allah. Antara jenis-jenis tangisan yang dibenarkan malah digalakkan dalam Islam ialah:

1. Ketika melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah

Orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan sentiasa bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Golongan ini sama sekali tidak pernah mengeluh malah sentiasa reda dengan apa yang mereka terima. Maka dengan sebab itu, orang-orang sebegini adakalanya menitiskan air mata apabila menerima rahmat dan nikmat-nikmat tersebut. Sebagai contoh, dalam satu riwayat oleh Anas bahawa Rasulullah berkata kepada Ubay bin Ka’ab: “Allah menyuruh membacakan kepadamu Surah al-Bayyinah ayat 1, “Orang-orang kafir iaitu ahli kitab dan orang-orang musyrik (mengatakan bahawa mereka) tidak akan meninggalkan (agamanya) sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata,” Ubay bertanya : “Apakah Allah menyebut namaku?” “Nabi menjawab ya, lalu menangislah Ubay (kerana mendengar berita gembira itu). Ayat tersebut menyatakan tentang pendirian kaum Yahudi dan Nasrani terhadap seruan Nabi Muhammad sebagai Rasul yang telah menerangkan kepada mereka agama yang telah dibawa olehnya iaitu agama Islam. Mereka (Yahudi dan Nasrani) kenal Nabi Muhammad yang diutus sebagai rasul kepada umat akhir zaman, tetapi setelah baginda dibangkitkan mereka tidak percaya malah tidak mahu beriman kepada apa yang dibawa oleh baginda.

2. Kerana menyesali perbuatan dan dosa yang dilakukan

Tangisan penyesalan biasanya terjadi apabila seseorang yang telah melakukan dosa, menyedari dan menyesali perbuatannya dengan bersungguh-sungguh. Ekoran daripada penyesalan itu maka timbul rasa sedih yang mendalam yang akhirnya akan menitiskan air mata. Tangisan yang sedemikian itu timbul akibat wujudnya rasa kesedaran yang mendalam dan rasa takut yang amat sangat kepada Allah. Keadaan sebegini akhirnya akan mendorong seseorang itu bertaubat dan seterusnya kembali ke jalan yang benar. Hal ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 82 Surah al-Taubah, “Maka hendaklah mereka sedikit tertawa dan banyak menangis sebagai pembalasan dari apa yang mereka telah kerjakan.”

3. Apabila bertambah keimanan kepada Allah

Iman yang tertanam dalam hati akan terus subur dan mekar apabila disirami dengan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca dengan penuh penghayatan sehingga boleh menyebabkan seseorang itu menitiskan air mata. Tangisan sebegini merupakan tangisan yang tinggi nilainya kerana ia merupakan campuran antara rasa kesedaran dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Justeru tanpa disedari akan bercucuran tangisan akibat rasa keimanan yang begitu mendalam sebagaimana firman Allah dalam ayat 58, Surah Maryam; “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Pemurah, mereka segera sujud serta dan menangis.”

4. Timbul dari rasa khusyuk dan tawaduk

Tangisan seperti ini boleh terjadi apabila seseorang itu khusyuk dalam beribadat. Air mata yang menitis itu bukan kerana perasaan sedih tetapi kerana menyedari betapa diri yang begitu kerdil ketika berhadapan dengan pencipta-Nya. Bahkan, orang yang mencapai tahap kekhusyukan itu termasuk salah satu dari tujuh golongan yang memperoleh keistimewaan pada hari kiamat seperti sabda Rasulullah: “Tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naunganNya (iaitu) : Imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang dibesarkan dalam beribadat kepada Allah, orang yang hatinya selalu rindu pada masjid, dua orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah iaitu bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita bangsawan dan rupawan lalu ditolaknya dengan berkata, “Aku takut kepada Allah”, seorang yang bersedekah dalam keadaan rahsia sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya dan seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan menyendiri lalu menitis air matanya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5. Bimbang terputusnya rahmat Allah

Suatu hal yang menyedihkan hati dan amat dibimbangi oleh orang-orang yang beriman ialah terputusnya kebajikan dan rahmat Allah. Apabila keadaan ini berlaku, ia boleh mengubah suasana hati dan perasaan sehingga menjadi sedih dan terharu. Sebagai contoh, pada suatu hari sesudah Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar mengajak Saidina Umar ke rumah Ummu Aiman seperti mana Rasulullah semasa hayatnya sering menziarahinya. Sebaik sampai di rumah Ummu Aiman, tiba-tiba Ummu Aiman menangis. Kedua-dua tetamunya itu lantas bertanya, “Apakah yang menyebabkan kamu menangis? Tidakkah engkau tahu bahawa yang tersedia di sisi Allah untuk Rasulullah jauh lebih baik?” Ummu Aiman menjawab, “Aku tidak menangis kerana itu melainkan kerana wahyu dari langit telah terputus (terhenti).” Kata-kata Ummu Aiman itu ternyata mengharukan Abu Bakar dan Umar, lalu kedua-duanya turut menangis.

6. Apabila terselamat dari kesesatan dan menemui kebenaran

Adakalanya air mata seseorang itu akan menitis apabila ditunjukkan oleh Allah jalan yang benar setelah sekian lama hanyut dalam kelalaian atau kesesatan. Bagi yang berada dalam situasi sedemikian, akan terus menangis dan tangisannya bukan kerana merasa sedih tetapi kerana terlalu gembira dengan hidayah yang diterima itu. Hal ini pernah terjadi kepada segolongan pendeta apabila mengetahui al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah merupakan kebenaran dari Allah seperti firman-Nya: “Dan apabila mereka itu (segolongan pendeta) mendengar apa-apa yang diturunkan kepada Rasul, engkau akan melihat mereka akan menitiskan air matanya, lantaran mengetahui kebenaran (seraya) mereka berkata; “Hai Tuhan kami! Kami telah beriman. Oleh kerana itu, catatlah kami dalam golongan orang-orang yang menyaksikan. Dan tidak patut kami tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang datang kepada kami, pada hal kami ingin supaya Tuhan memasukkan kami bersama kaum yang soleh.” (Surah al-Maidah:83-84) Daripada maksud firman Allah tersebut, jelaslah bahawa tangisan yang positif mempunyai keutamaan di sisi Islam sehingga tangisan seumpama itu boleh mendatangkan manfaat yang besar. Ini kerana, orang yang menitiskan air mata kerana Allah sebenarnya merupakan orang yang cukup tinggi rasa keimanan dan taqwanya seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam satu riwayat dari Abu Daud dan Tirmizi bermaksud: “Kami datang kepada Rasulullah sedang baginda menunaikan solat. Maka terdengar nafas tangisnya bagaikan suara air mendidih dalam bejana.”

Friday, April 8, 2011

Taat

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “ Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda : “ Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.” (HR al-Bukhari)

Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhr r.a katanya:”Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:”Apa yang aku tegahkan kamu daripadanya maka hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan kamu dengannya maka hendaklah kamu kerjakan daripadanya apa yang kamu mampu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu oleh sebab banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka.” (HR Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan.”(HR Bukhari dan Muslim)

Dari Ali (bin Abi Talib) r.a, katanya: “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Satibanya di suatu tempat, komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata:”Kita harus lari dari api itu.” Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah SAW. Maka beliau bersabda:”Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti.” Kemudian baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut:”Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan.”(HR Muslim)

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Demi Allah yang jiwa ku di tangan-Nya tidak beriman seseorang kamu sebelum aku menjadi orang yang lebih dikasihinya daripada bapanya dan anaknya.”(HR al-Bukhari dan Muslim) ; Rujuk Mukhtasar Sahih al-Bukhari 14, Mukhtasar sahih Muslim 23)

Keterangan Hadis:

1. Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi.

2. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

3. Segala apa yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W adalah semua perkara yang haram dari segala macam bentuk maksiat dan kejahatan sama ada berhubung dengan diri, masyarakat dan lain-lainnya. Ada yang berkait dengan harta benda seperti larangan mencuri, merompak, meragut atau membazirkan wang di mana setiap larangan itu ada hikmah dan faedahnya.

4. Manakala segala bentuk suruhan pula hendaklah dikerjakan menurut kadar yang dapat dilakukan sesuai dengan kekuatan atau kemampuan yang ada. Sesiapa pun tidak harus meninggalkan atau mencuaikannya tetapi mestilah dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dengan penuh ketaatan.

5. Punca kebinasaan umat-umat sebelum ini adalah disebabkan perselisihan terhadap nabi-nabi mereka. Mereka suka membantah dan menentang apa-apa yang disampaikan serta banyak mengemukakan pertanyaan yang bukan-bukan sehingga menimbulkan banyak masalah dan akhirnya menyulitkan keadaan

6. Ketaatan adalah terhad kepada perkara kebaikan sahaja. Tidak wajib patuh kepada kepimpinan (suami, ketua, dll ) sekiranya disuruh melakukan perbuatan yang dilarang oleh agama tetapi sekiranya suruhan itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam maka ia wajib dituruti (taati).

7. Taat kepada suami merupakan tempat kedua setelah taat atau patuh kepada perintah dan larangan Allah. Bahkan ketaatannya kepada Allah diukur daripada sejauhmanakah seseorang itu dapat menyelesaikan kewajipannya terhadap suaminya
8.Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Manakala kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan seharusnya tidak ada hijab yang menghalangnya.

9. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus akan memberikan kita gambaran sejauh manakah sesuatu perintah seseorang ketua itu wajib ditaati.

10. Pertimbangan akal semata tidak ada jaminan yang sesuatu perintah itu wajib dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional juga tidak memadai. Sekadar berpandukan orang ramai yang juga melakukannya juga belum ada jaminan ia selari dengan syarak. Justeru hanya sifat manusia yang memiliki jiwa hamba yang tinggi yang akan patuh dan taat kepada perintah Allah.

11. Keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilih jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

12. Cinta kita pada Rasulullah bukan sekadar cinta buta, tapi cinta yang melahirkan ketaatan pada Allah SWT dan sikap mulia dalam kehidupan kita sehari-hari? Jika direnung, tidak wajar kita mengatakan bahawa kita mencintai Rasulullah sedangkan dalam kehidupan seharian, kita sering melanggar nasihat-nasihat baginda? Kecintaan kita pada baginda selama ini cuma cinta bersahaja, bukan juga cinta biasa sebagaimana cinta kita kepada anak-anak atau manusia yang lain. Sedangkan kecintaan Rasulullah pada kita umatnya amat mendalam dan luar biasa, disebut-sebut oleh baginda hingga nafas yang terakhir!

Thursday, April 7, 2011

Ikhlas

Khamis, 3 Jamadilawal 1432H ;Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.” ( HR Riwayat Bukhari )

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesiapa yang mempelajari ilmu yang boleh mendapatkan keredhaan Allah, sedangkan dia mempelajarinya kerana ingin mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat mencium bau syurga di hari akhirat kelak.” ( Riwayat Abu Daud )

Dari Uthman , r.a , katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesiapa yang membina sesebuah masjid (atau surau) secara ikhlas kerana Allah, nescaya Allah akan membina untuknya sebuah rumah di Syurga.”(HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Adakah kamu mahu aku memberitahu kamu tentang suatu perkara yang aku takuti ke atas kamu daripada dajal? Mereka menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah! Bagindapun berkata:” Syirik khafi iaitu seorang lelaki bangun bersembahyang lalu dia memperelokkan sembahyangnya kerana ada orang yang memerhatikannya.” (HR Ibnu Majah)

Dari Mu’awiyah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda: ”Janganlah kamu meminta-minta. Demi Allah! Tidak seorang jua pun yang meminta kepadaku, yang tidak kupenuhi permintaannya. Tetapi seorang yang kuberi dengan hati enggan, maka pemberianku itu tidak berkat baginya.” (HR al-Bukhari)

Pengajaran Hadis:

1. Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya.

2. Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T

3. Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya’, ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.

4. Orang yang berilmu dijanjikan Allah kedudukan yang tinggi di dunia mahupun di akhirat kelak.

5. Islam menuntut keihlasan niat dalam segala perkara termasuklah dalam menuntut ilmu sama ada yang berbentuk keduniaan atau ilmu agama. Dengan perkataan lain, setiap ilmu yang dituntut janganlah terkeluar daripada landasan syariat. Ia mestilah dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia dan akhirat serta mengutamakan kebajikan manusia sejagat bukannya untuk kepentingan dunia semata seperti mengumpul harta, merebut kenaikan pangkat atau mengejar ‘glamour’ dan sebagainya.
6. Ilmu yang berkat adalah ilmu yang membuatkan seseorang itu semakin dekat dengan Allah SWT bukan menjadikan ia semakin jauh dan lalai sehingga melanggar hukum tuhan dan sanggup melakukan kemungkaran seperti keganasan, menipu, mencuri, merampas hak orang dan sebagainya.

7. Masjid dan surau yang didirikan atas dasar takwa semata-mata kerana Allah akan memdapat rahmat dan keberkatan daripada Allah. Sebalik untuk tujuan selain daripada Allah dilaknati oleh Allah.

8. Di antara tanda ikhlas ialah apabila seseorang itu lebih suka menyembunyikan kebaikannya sebaliknya tidak suka jika kejahatannya disembunyikan. Dia melakukan kebaikan semata-mata kerana mahukan keredhaan daripada Allah S.W.T.

9. Sebaliknya riya’ pula adalah mencari sesuatu untuk keuntungan diri daripada amalan yang dilakukan di dunia sama ada untuk mendapatkan pujian, sanjungan, hadiah dan sebagainya bahkan hal ini termasuk dalam perbuatan syirik (syirik khafi).

10. Perbuatan riya’ (suka menunjuk-nunjuk), jika telah menjadi satu tabiat, lambat laun akan menyebabkan orang yang melakukannya dipandang hina oleh manusia lain. Oleh itu ubat riak ialah dengan menyembunyikan amalan yang ingin diserlahkan oleh nafsu kecuali amalan yang tidak dapat tidak, mesti dizahirkan seperti solat berjamaah, berpuasa dan yang seumpama dengannya.

11. Orang yang riak adalah termasuk orang yang munafik. Maka tiadalah pahala bagi perbuatan baik yang dilakukannya itu di sisi Allah S.W.T, sekalipun ia terpuji di mata manusia.

12. Orang yang berhati ikhlas bermakna bahawa ia tidak mempunyai perasaan tamak. Sebaliknya orang yang tidak ikhlas akan membatalkan pahala amalan kebaikan yang dilakukannya termasuk sedekah, sama ada dengan mengungkit atau menyebut-nyebut perkara yang boleh menyakitkan hati orang yang menerima kebajikannya itu.

13. Allah berfirman yang maksudnya:” Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi)... (al-Baqarah: 264)

Wednesday, April 6, 2011

Alam Kubur

Rabu, 2 Jamadilawal 1432H: Keadaan seseorang ketika dalam kubur diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda: "Apabila si mati dikuburkan….., datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satulagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya) kemudian mereka menyoalnya:

"Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?"

"(dan pada satu riwayat oleh Abu Daud: Mereka bertanya kepadanya: "Apa yang engkau pernah sembah?"

"Maka kalau Allah memberi hidayah pertunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata:

"Aku menyembah Allah!"

Kemudian ia ditanya lagi: "Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad s.a.w)?" (Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga: Mereka menyoalnya dengan berkata: "Siapa Tuhanmu?" Ia menjawab: "Tuhanku ialah Allah!" div align="justify">

Mereka bertanya lagi: "Apa agama mu?" Ia menjawab: "Agamaku ialah Islam!"

Mereka bertanya lagi: "Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu)?" Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata: "Orang itu (Muhammad s.a.w) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!"

Mereka berkata kepadanya: "Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian"; (Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda s.a.w bersabda: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga".

"Rasulullah s.a.w bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya ); kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi, dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: "Tidurlah!"

Lalu ia berkata: "Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?" Dua Malaikat itu berkata kepadanya: "Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.

Jika si mati itu seoarang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: "Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak".

Lalu dua Malaikat itu berkata: "Memang kami tahu engkau berkata demikian"; (dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: "Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: "Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka".

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya) kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya." (HR Abu Hurairah r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiga perkara akan menurut orang mati ke kuburnya, kemudian dua daripadanya akan balik dan tinggal satu bersama-samanya - ia akan diturut oleh keluarganya, hartanya dan amalnya, kemudian keluarganya dan hartanya akan balik, dan tinggallah amalnya bersama-sama dengannya."(HR Anas bin Malik r.a)

Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya kubur ialah tempat perhentian yang pertama dari tempat-tempat perhentian alam akhirat, oleh itu jika seseorang terselamat dari huru hara azabnya, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih ringan lagi kepadanya; dan jika ia tidak terselamat dari yang tersebut, maka huru hara di tempat-tempat yang lain lebih berat lagi.' (HR Uthman bin 'Affan r.a)

Dari Asma’ r.a katanya:”Pada masa (hidup) Rasulullah s.a.w pernah terjadi gerhana matahari. Lalu aku pergi menemui ‘Aisyah dan kudapati dia sedang solat. Aku bertanya kepadanya,”Mengapakah orang banyak mengerjakan solat?” Dia memberikan isyarat kepadaku dengan kepalanya (mendongak) ke langit. Aku bertanya, “Ayat? (tanda kebesaran Allah?)” Jawab ‘Aisyah, “Ya! Tanda kebesaran Allah!” Rasulullah s.a.w lama sekali berdiri (dalam solat), sehingga aku pusing (pening). Lalu aku mengambil air satu qirbah dan kubawa dekat denganku. Kemudian kubasahi kepala dan mukaku. Kata ‘Asma selanjutnya,”Ketika Rasulullah s.a.w telah selesai solat dan matahari telah terang kembali, baginda berkhutbah di hadapan orang ramai. Mula-mula baginda memuji dan menyanjung Allah. Sesudah itu baginda bersabda, antara lain:”Tidak ada sesuatu pun yang belum pernah kulihat melainkan telah kusaksikan dalam solatku sebentar tadi, syurga dan neraka. Sesungguhnya telah diwahyukan kepadaku bahawa kamu semua akan disoal di dalam kubur, atau seperti fitnah (bencana) dajjal. Masing-masing kamu akan didatangi lalu disoal,:”Apa pengetahuanmu tentang orang (Muhammad) ini?”Orang-orang yang beriman dengan yakin akan menjawab,:”Dia adalah Muhammad, Rasulullah. Dia datang kepada kami membawa keterangan-keterangan dan petunjuk lalu kami terima dan kami patuhi.” Pertanyaan itu berulang-ulang sampai tiga kali. Sesudah itu dia disuruh tidur. Katanya,:”Kami sudah tahu bahawa kamu betul-betul beriman dengannya.Kerana itu tidurlah dengan nyenyak.” Adapun orang-orang yang munafiq dan orang-orang yang ragu dalam kepercayaan mereka, maka jawab mereka,:”Aku tidak tahu apa-apa. Aku dengar orang ramai mengatakan begitu dan begini, lalu kuucapkan pula.” (HR Muslim)

Dari Abu Ayyub r.a katanya:”Rasulullah s.a.w pernah keluar rumah sebelum Maghrib, maka terdengar oleh baginda suatu suara. Kata baginda: Itu suara Yahudi sedang disiksa dalam kuburnya.” (HR Muslim)

Ibnu Abbas menceritakan :”Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya,:”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.” (HR Bukhari )

Tuesday, April 5, 2011

Jihad

Selasa, 1 Jamadilawal 1432H :Rasulullah saw. Bersabda yang bermaksud: “Ada seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah siapakah orang yang paling utama?. Jawab Baginda saw, Iaitu orang mukmin yang berjihad dengan dirinya sendiri pada jalan Allah, lelaki itu bertanya lagi, selepas itu siapa lagi?, “Baginda saw. Menjawab yang mengasingkan dirinya dilereng lereng bukit untuk beribadat kepada Tuhannya. Dalam satu riwayat yang lain, iaitu orang bertaqwa kepada Allah dan meninggalkan (mengasingkan dirinya) daripada orang yang melakukan kejahatan”. (HR Al-Bukhari dan Muslim)


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya. ” (HR-Bukhari)


Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah ditanya, “Amalan manakah yang lebih utama ? Baginda menjawab: “Beriman kepada Allah dan juga kepada Rasulnya”. Kemudian baginda ditanya lagi, “Selepas itu apa lagi ? Baginda berkata, “Berjihad di jalan yang diredhai Allah”. Kemudian apa lagi ? Baginda menjawab, “Mengerjakan ibadat haji yang diterima oleh Allah (haji mabrur). (HR Bukhari dan Muslim)


Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, “Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad?” Baginda terus menjawab: “Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.” (HR al-Bukhari)


Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Ditanyakan orang kepada nabi s.a.w, amal apakah yang sebanding dengan jihad fi sabilillah? Jawab nabi s.a.w:”Engkau tidak akan sanggup mengamalkannya!.” Orang itu bertanya kembali sampai dua atau tiga kali, namun nabi s.a.w tetap menjawab seperti itu. Terakhir baginda menjawab:”Perbandingan seorang mujahid fi sabilillah (pejuang yang menegakkan agama Allah) sebanding dengan orang yang puasa, mendirikan solat, patuh menjalankan ayat-ayat Allah, tidak berhenti puasa dan solat sampai si mujahid pulang dari medan perjuangan.” (HR Muslim)


Keterangan Hadis:

1. Sebenar benar jihad ialah orang yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya untuk bertaqwa kepada Allah S.W.T. serta membelanjakan hartanya kejalan yang diredhai.


2. Islam menuntut umatnya menyeru kearah kebaikan dan menentang kemungkaran. Usaha ini hendaklah dilakukan secara berperingkat seperti yang dilakukan oleh syarak.

3. Jihad dalam erti kata yang luas ialah kita dikehendaki sama-sama memperjuang dan memperlengkapkan diri bagi mencapai hasrat untuk kemajuan agama bangsa dan negara serta mempertahankannya dari sebarang ancaman musuh baik dari dalam mahupun dari luar. 4. Di samping faktor-faktor luaran seperti dunia, manusia dan syaitan, faktor dalaman iaitu nafsu turut mendorong manusia melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.


5. Mengendalikan hawa nafsu merupakan jihad terbesar yang sangat berat dan wajib dilakukan manusia. Tanpa kemampuan mengendalikan hawa nafsu, manusia akan jatuh ke jurang kehinaan kerana nafsu sentiasa mengajak kepada keburukan dan kemudaratan .


6. Orang yang mengikut hawa nafsu seringkali semakin asyik dengan kesesatannya itu bahkan sampai tidak merasa berdosa dengan maksiat yang dilakukan sehingga sanggup dan tanpa malu melakukan tindakan yang melampaui batas. Sebagai contoh, muda-mudi hari ini didapati begitu banyak yang berkelakuan tidak senonoh seperti bercumbu-cumbuan di khalayak ramai dan yang seumpama dengannya sedangkan kita mengetahui bahawa menurut hawa nafsu mengakibatkan kehidupan moral dan akhlak mulia manusia menjadi rosak .


7. Adalah amat penting bagi setiap umat Islam memiliki nafsu yang selalu memperoleh petunjuk dari Allah S.W.T sebagaimana nafsu yang telah dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s sehingga beliau dapat menghindarkan dirinya dari segala bentuk kemaksiatan.


8. Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid.


9. Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya.


10. Antara amalan yang paling utama selepas beriman kepada Allah dan juga kepada Rasulnya serta berjihad di jalan yang diredhai Allah ialah mengerjakan ibadat haji dengan dengan sempurna (haji mabrur).


11. Sesungguhnya Allah S.W.T. sangat menyukai hambanya yang taat dalam melaksanakan titah perintahnya apalagi sanggup berkorban nyawa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji kerana ibadah ini tidak akan dapat dilakukan tanpa adanya persediaan yang cukup dari segi rohani dan jasmani.


12. Orang yang beramal dan berusaha untuk menegakkan syariat Allah di muka bumi ini telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar oleh Allah ketika di dunia mahupun di akhirat. Oleh itu umat Islam seharusnya berlumba-lumba dalam melakukan amal ibadat selagi tempoh hayat masih berbaki.

Monday, April 4, 2011

Tanda-Tanda Kematian Yang Baik

Isnin, 30 Rabiulakhir 1432H; Tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah). Apa yang jelas terdapat nas tentangnya ialah tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu


1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;“Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)

2. . Berpeluh di dahi.



Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))


Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)

Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda


‏“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).

3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh

Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-َ“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).

Friday, April 1, 2011

Kesabaran

Jumaat, 27 Rabiulakhir 1432H :Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.” (HR al-Hakim)


Abu Said al-Khudri r.a menerangkan bahawasanya segolongan sahabat dari golongan Ansar meminta pemberian daripada Rasulullah lalu baginda memberikannya kepada mereka itu. Kemudian mereka meminta lagi kepada Rasulullah lalu baginda memberikannya pula sehingga habis apa yang ada padanya. Maka bersabdalah nabi: “Harta yang ada pada ku tidaklah sekali-kali aku menyimpannya untuk orang yang lain daripada mu. Sesiapa yang memelihara diri dari meminta-minta nescaya Allah memeliharanya daripada yang haram. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah, nescaya Allah memberikan kecukupan kepadanya. Dan sesiapa bersabar menahan penderitaan, nescaya Allah memberikan kepadanya kesabaran. Dan tidak diberikan kepada seseorang sesuatu pemberian yang lebih baik dan luas daripada ‘kesabaran’.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dari Abdullah bin Qais r.a katanya: “ Rasulullah saw bersabda:”Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan sekalain Allah Taala. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu) atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka minta.” (HR Muslim)


Keterangan Hadis.


1. Islam amat menganjurkan agar kita bersabar dalam menghadapi kesempitan hidup. Jangan membiasakan diri dengan meminta-minta daripada orang lain tanpa berusaha dan berikhtiar dengan jalan yang halal kerana sesungguhnya orang yang gigih berusaha dalam mencari rezeki demi meneruskan kehidupannya di dunia ini dan bersabar dalam menanggung kesusahan nescaya akan dikurniakan Allah rezeki yang banyak.


2. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.


3. Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.


4. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.


5. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.


6. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.


7. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:”Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah:6)


8. Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.