Tuesday, May 26, 2015

Pahala Solat Duduk

Selasa, 8 Sya'ban 1436H: Dari 'Imran, katanya: "Aku bertanya kepada Nabi saw. perihal orang yang solat duduk." 

Jawab beliau, "Orang yang solat berdiri, itulah yang paling utama. Dan orang yang solat duduk, maka pahalanya seperdua pahala solat berdiri. Dan orang yang solat tidur, maka pahalanya seperdua pahala orang yang solat duduk."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, May 25, 2015

Imam Untuk Diikuti

Isnin, 7 Sya'aban 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. jatuh dari kuda, menyebabkan rusuk kanan beliau luka. Kerana itu kami datang menjenguk beliau dan kebetulan ketika kami tiba di sana waktu solat pun tiba. Beliau solat mengimami kami sambil duduk, dan kami solat mengikut beliau sambil duduk pula. Setelah selesai solat beliau bersabda, 

"Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Kerana itu, apabila imam takbir, takbir pulalah kamu. Apabila imam sujud, sujud pulalah kamu. Apabila iman bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'Rabbana walakal hamdu'. Apabila imam itu solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk."

Hadis Sahih Muslim

Friday, May 22, 2015

Mengingatkan Sesuatu Dalam Solat Hendaklah Bertasbih

Jumaat, 4 Sya'ban 1436H: Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Rasulullah saw. pergi ke kampung Bani 'Umar bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba. Muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata, "Mahukah anda mengimami solat? Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. 

 Ketika Abu Bakar sedang solat, tiba-tiba Rasulullah saw. datang dan terus maju hingga sampai ke shaf pertama). Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh, dan terlihat kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap di tempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dari memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah saw. itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan shaf, sedangkan Rasulullah saw. maju ke depan mengimami solat selanjutnya.

Setelah selesai solat beliau bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya anda tidak mahu ku suruh tetap di tempatmu menjadi imam?" 

Jawab Abu Bakar, "Tidaklah patut bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah saw." 

Kemudian beliau bertanya kepada jemaah, "Aku lihat anda semua ramai bertepuk tangan, mengapa? 

"Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah'), kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, May 21, 2015

Amal Yang Paling Disukai Allah

Khamis 3 Syaaban 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban. Beliau bersabda, 

"Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, May 20, 2015

Jibril Mengimami Solat

Rabu, 2 Syaaban 1436H: Dari Abu Mas'ud r.a., katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 

"Jibril turun mengimami ku solat. Kerana itu aku solat bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya, kemudian aku solat pula bersamanya. Beliau menghitung dengan anak jari beliau lima kali solat."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, May 19, 2015

Sebaik-Baik Solat Sunat

Selasa, 1 Syaaban 1436H: Dari Zaid bin Tsabit r.a., katanya: "Rasulullah saw. memasang khemah dari tikar pada sebuah tempat di masjid, sehingga merupakan sebuah kamar tempat beliau solat (malam). Melihat hal itu, beberapa orang sahabat mendatangi tempat itu dan mereka solat pula mengikuti Nabi saw. solat. 

Pada suatu malam mereka datang pula, tetapi Rasulullah saw. terlambat, sehingga beliau tidak keluar sama sekali menemui mereka. Oleh kerana itu mereka mengeraskan suara, dan melontar pintu dengan kerikil untuk memberitahu Nabi saw., kerana mereka menyangka kalau-kalau beliau lupa. 

Kerana itu Rasulullah saw. keluar (menemui mereka sambil berkata dengan marahnya: Janganlah sentiasa kamu berbuat demikian, kerana aku mengira bahawa (solat malam) itu akan diwajibkan kepada mu. Sebab itu solatlah di rumah mu masing-masing, kerana sebaik-baik solat ialah di rumah masing-masing kecuali solat wajib."

Hadis Sahih Muslim

Monday, May 18, 2015

Solat Jenazah Seorang Munafik

Isnin, 29 Rejab 1436H: Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya : "Ketika 'Abdullah bin Ubay bin Salul wafat, anaknya Abdullah bin Abdullah (bin Ubay) datang kepada Rasulullah saw. meminta jubah beliau untuk kafan bapanya. Rasulullah memenuhi permintaan anaknya itu. 

Kemudian dimintanya pula supaya Rasulullah saw. menyolatkan jenazah bapanya. Ketika beliau berdiri hendak solat jenazah, maka ditarik baju beliau oleh 'Umar (bin Khaththab) seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Akan Anda solatkankah dia? Bukankah Allah telah melarang Anda menyolatkannya." 

Jawab beliau, "Aku diberi pilihan oleh Allah Ta'ala menyolatkan atau tidak. Lalu dibacanya ayat, "Kamu mohonkan ampun bagi mereka atau tidak kamu mohonkan ampun bagi mereka (adalah sama saja); sekalipun bagi mereka tujuh puluh kali (Taubah, 9:80). Dan aku akan melebihi dari tujuh puluh kali." 

Kata 'Umar, "Dia munafik!" Tetapi Rasulullah saw. menyolatkannya juga. 

Kemudian Allah Ta'ala menurunkan ayat: "Dan sekali-kali janganlah kamu solatkan jenazah salah seorang mereka yang mati, dan jangan pula kamu berdiri di kuburnya.."(At Taubah, 9:84)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 14, 2015

Solat Malam

Khamis, 25 Rejab 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Pada suatu ketika di tengah malam, Rasulullah saw. keluar pergi solat ke masjid. Beberapa orang laki-laki solat pula mengikuti solat Nabi saw. 

Ketika hari telah pagi, mereka mempercakapkan hal itu. Kerana itu orang berkumpul lebih banyak daripada malam pertama dan mereka solat bersama-sama dengan Nabi saw. 

Pagi hari, mereka bercakap-cakap pula perihal solat malam itu.Kerana itu pada malam ketiga orang berkumpul di masjid lebih banyak. Rasulullah saw. keluar untuk solat, lalu mereka solat pula beserta Nabi. 

Malam keempat orang tidak muat lagi dalam masjid hingga Nabi keluar untuk solat Subuh. 

Setelah beliau selesai solat Subuh, beliau menghadap kepada orang banyak, membaca kalimah syahadah, kemudian beliau bersabda: 

"Adapun kemudian, sesungguhnya tidak ada yang tersembunyi bagi ku keadaanmu. Tetapi aku khuatir akan diwajibkan atasmu dan kamu tidak sanggup melaksanakannya."

Ketika Rasulullah saw. wafat, keadaan tetap berlaku seperti itu."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, May 8, 2015

Solat Sunat Sesudah Solat Qashar

Jumaat, 19 Rejab 1436H: Dari 'Isa bin Hafash bin 'Ashim bin 'Umar bin Khaththab r.a., dari bapanya, katanya: 

"Aku pernah berjalan bersama-sama Ibnu 'Umar dalam suatu perjalanan menuju Mekah. Dalam perjalanan itu dia mengimami kami solat Zohor dua rakaat. Setelah selesai solat dia pergi, dan kami mengikutinya sampai ke tempatnya dan duduk bersama-sama dengan dia. Sebentar kemudian dia menoleh ke tempat solat dan dilihatnya masih banyak orang yang solat. 

Lalu dia bertanya, "Apa yang diperbuat orang-orang itu?" 

Jawab ku, "Mereka solat sunat." 

Kata Ibnu 'Umar, "Kalaulah aku harus solat sunat pula (sesudah qashar), lebih baik ku cukupkan solat ku. Hai, anak saudaraku! Aku sering menyertai Rasulullah saw. dalam perjalanan. Beliau solat (dalam setiap perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga beliau meninggal. 

Aku juga sering menemani Abu Bakar dalam perjalanan. Beliau juga solat (dalam perjalanan itu) tidak pernah lebih dari dua rakaat, hingga dia meninggal. 

Aku juga sering menemani 'Umar dan 'Usman, mereka solat (dalam perjalanan itu) tidak lebih dari dua rakaat, hingga mereka meninggal. 

Kemudian beliau membaca firman Allah: "Laqad kana lakum fi Rasulutlahi uswatun hasanatun " (Al Ahzab: 21)

Hadis Sahih Muslim

Thursday, May 7, 2015

Solat Sunnat Rawatib

Khamis, 18 Rejab 1436H: Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., tentang solat sunat rawatib yang pernah dikerjakan Rasulullah saw. 

Katanya, "Beliau solat di rumahku empat rakaat sebelum Zohor, kemudian beliau pergi ke masjid mengimami solat orang ramai. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat pula di rumahku dua rakaat.

Kemudian beliau pergi mengimami solat , Maghrib orang ramai, sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Kemudian beliau pergi mengimami solat Isyak. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

 Dan biasanya beliau sentiasa solat tengah malam sembilan rakaat, termasuk di dalamnya sunat witir. 

Kadang-kadang beliau solat sepanjang malam dengan berdiri dan kadang-kadang duduk. 

Apabila beliau membaca sambil berdiri, maka dia rukuk dan sujud sambil berdiri pula. 

Apabila beliau membaca sambil duduk, maka dia rukuk dan sujud sambil duduk pula. 

Dan kalau fajar sudah terbit, beliau solat pula dua rakaat (sunat fajar)."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, May 6, 2015

Waktu-Waktu Solat

Rabu, 17 Rejab 1436H: Dari Sulaiman bin Buraidah r.a., dari bapanya, dari Nabi saw., bahawa seorang lelaki bertanya kepada beliau tentang waktu-waktu solat. Sabda Rasulullah saw., "Solatlah bersama-sama dengan kami dua hari ini." 

Maka ketika matahari telah gelincir, beliau menyuruh Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Asar, sedangkan matahari masih tinggi dan cahayanya masih terang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Maghrib, iaitu ketika matahari telah terbenam. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Isyak, iaitu ketika mega merah telah hilang. 

Kemudian disuruhnya pula Bilal qamat untuk solat Subuh, iaitu ketika terbit fajar. 

 Pada hari kedua disuruhnya pula Bilal azan dan qamat untuk solat Zohor agak terlewat dari kelmarin, iaitu sehingga hawa panas telah agak reda. Setelah panas reda, barulah beliau solat. 

Kemudian beliau solat Asar ketika matahari masih tinggi, tetapi agak terlambat dari kelmarin. 

Dan beliau solat Maghrib sebelum hilang mega merah. Solat Isyak setelah lewat sepertiga malam. Solat Subuh setelah langit agak bercahaya. 

Kemudian beliau bertanya, "Kemanakah orang yang bertanya tentang waktu solat?" 

Seorang lelaki menjawab, "Aku, ya, Rasulullah!" 

 Sabda beliau, "Waktu waktu solat ialah seperti yang telah anda saksikan itu."

Hadis Sahih Muslim 

Tuesday, May 5, 2015

Solatlah Dengan Sempurna

Selasa, 16 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. masuk ke dalam masjid. Tidak lama kemudian, masuk pula seorang lelaki lalu dia solat. Sesudah solat dia datang kepada Rasulullah saw. sambil memberi salam. Rasulullah menjawab salamnya sambil bersabda : "Ulanglah solatmu, kerana sesungguhnya kamu belum solat." 

Lalu orang itu mengulang solatnya seperti solat yang mula-mula tadi. Kemudian dia datang pula kepada Nabi saw. sambil memberi salam. Jawab Rasulullah, "Wa, 'alaikassalam." Kemudian beliau bersabda pula, "Ulang lagi solatmu!" Sesungguhnya engkau belum solat.

Akhirnya orang itu mengulang solatnya sampai tiga kali. Kemudian dia berkata, "Demi Allah yang telah mengutus anda dengan agama ini, sesungguhnya aku belum tahu bagaimana caranya solat yang bagus. Kerana itu ajarilah aku." 

Sabda Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, bacalah takbir lebih dahulu. Sesudah itu baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Sesudah itu rukuk sehingga rukukmu itu sempurna sekali. Sesudah itu bangkit dari rukuk sehingga engkau kembali berdiri dengan sempurna. Kemudian sujud dengan sempurna sekali. Kemudian duduk sehingga dudukmu sempurna sekali. Perbuatlah seterusnya seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 29, 2015

Dua Macam Penduduk Neraka

Rabu,10 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Ada dua macam penduduk neraka yang keduanya belum kelihatan olehku. 

(1) Kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi. yang dipergunakannya untuk memukul orang. 

(2) Wanita-Wanita berpakaian, tetapi sama juga dengan bertelanjang (kerana pakaiannya terlalu mini, terlalu nipis atau tembus pandang, terlalu ketat atau pakaian yang merangsang pria kerana sebahagian auratnya terbuka), dan wanita-wanita yang mudah dirayu atau suka merayu, rambut mereka (disasak) bagaikan punuk unta. 

Wanita-wanita tersebut tidak dapat masuk syurga, bahkan tidak dapat mencium bau syurga. Padahal bau syurga dapat tercium dari jarak yang sangat jauh."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, April 28, 2015

Nikmat Syurga Yang Tiada Taranya

Selasa, 9 Rejab 1436H: Dari Shuhaib r.a., dari Nabi saw, sabdanya: "Apabila penduduk syurga telah masuk ke dalam syurga, Allah Tabaraka wa Ta'ala berfirman kepada mereka: "Apakah kamu semua memerlukan sesuatu yang perlu Aku tambah untukmu?" 

Jawab mereka, "Bukankah muka kami telah putih gilang-gemilang? Bukankah kami telah Engkau masukkan ke syurga dan Engkau bebaskan dari neraka?" 

Kata Rasulullah saw. selanjutnya, "Lalu Allah membukakan tabir yang menutupNya. Sekonyong-konyong penduduk syurga merasakan nikmat yang tiada taranya, selain memandang Allah 'azza wa jalla."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 23, 2015

Tiada Lagi Kematian

Khamis, 4 Rejab 1436H: Dari Ibnu Umar r.a. katanya: "Rasulullah saw. bersabda: 

"Setelah penghuni syurga masuk ke dalam syurga dan penghuni neraka masuk ke dalam neraka, kematian itu dibawa dan diletakkan antara syurga dan neraka, lalu disembelih. Kemudian itu ada orang yang meneriakkan : 

"Hai isi syurga! Tidak ada lagi kematian. 

Hai isi neraka! Tidak ada lagi kematian." 

Karena itu kegembiraan isi syurga bertambah dari kegembiraan yang telah ada. 

Sebaliknya isi neraka bertambah kesedihannya dari kesedihan yang telah ada."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, April 22, 2015

Penghuni Syurga Terakhir

Rabu, 3 Rejab 1436H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Aku tahu penduduk neraka yang terakhir keluar dari neraka, dan penduduk syurga yang terakhir masuk syurga. Yaitu orang yang keluar dari neraka sambil merangkak. 

Allah Ta'ala berfirman kepadanya, "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Lalu dia pergi ke syurga. Tetapi terbayang kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali kepada Tuhan dan berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Firman Allah swt., "Pergilah dan masuklah ke syurga!" Dia pun pergi ke syurga. Sementara itu terbayang pula kepadanya syurga telah penuh. Kerana itu dia kembali pula kepada Tuhannya seraya berkata, "Ya, Tuhan ku. Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman pula kepadanya, "Pergilah, dan masuklah ke syurga!" Kemudian dia pergi. Tetapi tetap terbayang olehnya syurga telah penuh. Maka dia kembali lagi seraya berkata, "Ya, Tuhan ku! Ku dapati syurga telah penuh." 

Allah berfirman kembali, "Pergilah, dan masuklah ke syurga. Untukmu tersedia tempat sepuluh kali luas dunia." 

Kata orang itu, "Apakah Engkau tidak mengolok-olokku? Engkau adalah Maha Raja." 

Kata Abdullah menambahkan, "Aku melihat Rasulullah saw. tertawa, sehingga kelihatan gigi beliau." 

Beliau bersabda, "Dikatakan kepada ku, itulah tempat penduduk syurga yang paling rendah,"

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, April 21, 2015

Perbanyakan Beramal

Selasa, 2 Rejab 1436H: Dari Abu Hurairah ra. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang menolong menghilangkan kesusahan orang mukmin, Allah Taala menghilangkan pula kesusahannya di hari kiamat kelak. 

Siapa yang membantu memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya pula di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hambanya selama hamba itu mahu menolong saudaranya. 

Siapa berusaha mencari ilmu, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. 

Bila suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah (masjid)lalu mereka membaca Kitabullah dan mempelajarinya sesama mereka, diturunkan kepada mereka ketenangan dan diselubungi mereka dengan rahmat. Mereka dikerumuni oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut dengan bangga kepada orang-orang yang di dekat-Nya. 

Sedangkan orang yang lalai beramal, ia tidak akan dapat mengejar ketinggalannya dengan gelar kebangsawanan nya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, April 20, 2015

Doa Sebelum Dan Selepas Tidur

Isnin, 1 Rejab 1436H: Dari Al Bara' r.a. katanya: "Bahwasanya Nabi saw. apabila beliau hendak tidur beliau membaca doa: "Allahumma bismika ahyaa wa bismika amutu.(Dengan nama Mu aku hidup dan dengan nama Mu aku mati) 

Dan bila beliau bangun beliau membaca:"Alhamdulillahiilladzi ahyaana ba'da maa amaatana wa itaihinnusyuur" (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan dan kepadaNya tempat kembali)

Hadis Sahih Muslim .

Friday, April 17, 2015

Kelebihan Solat Berjemaah

Jumaat, 27 Jamadilakhir 1436H: Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. 

Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" 

Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, April 16, 2015

Wanita Kematian Tiga Orang Anak

Khamis, 26 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya : 

"Seorang perempuan datang kepada Nabi saw. membawa anaknya yang masih kecil. Lalu dia berkata kepada beliau, "Ya, Nabiyallah! Doakanlah anakku ini (semoga dia panjang umur). Aku telah kematian anak tiga orang." 

Tanya Nabi saw., "Engkau telah kematian anak tiga orang?" 

Jawab perempuan itu, "Betul, ya, Nabiyallah!" 

 Sabda beliau, "Sesungguhnya engkau telah didinding dari neraka dengan dinding yang kuat."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, April 15, 2015

Doa Rasulullah SAW

Rabu, 25 Jamadilakhir 1436H: Dari Anas bin Malik ra. katanya Rasulullah saw. sering membaca doa sebagai berikut: 

Allahumma inni a'udzu bika minal 'ajzi, al kasali, wal jubuni, wal harami. wal bukhli; wa a 'udzu bika min 'azabil qabri. wa min fitnatil mahyaa wal mamaati 

( Wahai Allah! Aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, dari kemalasan, dari penakut, dari kepikulan dan dari kebakhilan; dan aku berlindung dengan Engkau dari seksa kubur dan dari bencana hidup dan mati )

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, April 14, 2015

Mendoa Semasa Tasyahhud Dalam Solat

Selasa, 24 Jamadilakahir 1436H: Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a., dari bapanya, katanya:

"Apabila Rasulullah saw. duduk mendoa (tasyahhud dalam solat), diletakkannya tangan kanan atas paha kanan, tangan kiri atas paha kiri. Beliau menunjuk dengan telunjuk, meletakkan ibu jari di jari tengah, serta meletakkan tapak tangan kiri di atas lutut."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, April 13, 2015

Mengambil Tanah Orang Lain Tanpa Hak

Isnin, 23 Jamadilakhir 1436H: Dari Sa'id bin Zaid bin 'Amr bin Nufail r.a., katanya dia didakwa oleh Arwa (seorang wanita) mengenai sebahagian tanah pekarangannya. 

Lalu kata Sa'id, "Biarlah diambilnya! Kerana aku pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Siapa mengambil tanah orang lain tanpa hak walaupun sejengkal, di hari kiamat kelak, Allah mengalungkan kepadanya tujuh lapis bumi." 

Lalu Sa'id mendoa; "Wahai Allah! Jika wanita itu dusta; butakanlah matanya dan jadikanlah rumahnya menjadi kuburan baginya." 

Tidak berapa lama kemudian ku lihat dia berjalan meraba-raba dinding dalam keadaan buta sambil berkata, "Aku terkena kutukan Sa'id bin Zaid." Sedang ia berjalan dalam rumah menuju sumur, ia terjatuh ke dalam, sehingga sumur itu menjadi kuburnya."

Hadis Sahih Muslim

Friday, April 10, 2015

Doa Rasulullah Ketika Kesulitan

Jumaat, 20 Jamadilakhir 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: Nabi saw. berdoa ketika beliau berada dalam kesulitan: 

"Tiada Tuhan selain dari Allah Yang Maha Besar dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain dari Allah, Tuhan langit dan bumi, Tuhan 'Arasy (singgahsana) yang Maha Besar."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, April 9, 2015

Doa Dua Malaikat Setiap Pagi

Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

 "Setiap pagi dua malaikat turun mendampingi seorang hamba. 

Yang satu mendoa: "Wahai, Allah! Berikanlah ganti bagi dermawan yang menyedekahkan hartanya." 

Dan yang satu lagi berkata: "Wahai Allah! Musnahkanlah harta si bakhil!"

Hadis Sahih Muslim


Wednesday, April 8, 2015

Inilah Kiblat

Rabu, 18 Jamadilakhir 1436H: Dari 'Atha' r.a., katanya: Saya mendengar Ibnu Abbas berkata, 

"Ketika Nabi saw. masuk Kaabah, beliau mendoa di setiap sudut, dan beliau tidak melakukan solat sehinga akhirnya beliau keluar dari dalam. Sampai di luar, beliau solat dua rakaat menghadap ke Kaabah, lalu beliau bersabda, "Inilah kiblat."

Hadis Sahih Bukhari

Monday, April 6, 2015

Bacaan Ketika Bangun Tengah Malam

Isnin, 16 Jamadilakhir 1436H: Diberitakan oleh 'Ubbadah bin Shamit, bahawa Nabi saw. bersabda: 

"Barangsiapa bangun tengah malam, lalu dia membaca: "Laa Illaaha illallaahu wahdahu laa syariikalah, Lahul mulku walahul hamdu wa hu wa 'alaa kulli syai-in qadiir. Alhamdu lillaah, wa subhaanallaah. walaa ilaaha illallaah, wallaahu akbar. Walaa hawla walaa quwwata illaa billaah, kemudian dilanjutkannya: Allaahummaghfirli. 

(Ertinya: Tidak ada Tuhan yang patut disembah melainkan hanya Allah satu-satuNya, tidak ada sekutu bagiNya. MilikNya sajalah kekuasaan, dan milikNya sajalah segala puji, dan Dia berkuasa atas segala-galanya. Segala puji hanya milik Allah, Maha Suci Allah, Tidak ada Tuhan melainkan hanya Allah; dan Allah Maha Besar. Dan tidak ada daya, tiada pula kekuatan melainkan hanya milik Allah, kemudian dilanjutkannya: "Wahai Allah! Ampunilah kiranya aku!") 

Jika dia mendoa, diperkenankan doanya. Jika dia mengambil wuduk, lalu dia solat, diterima Allah solatnya.

Hadis Sahih Bukhari

Friday, April 3, 2015

Berdoalah Bersungguh-Sungguh

Jumaat, 13 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Apabila kamu mendoa, maka janganlah mendoa dengan menggunakan kalimat: Wahai Allah! Ampunilah aku jika Engkau mahu. Tetapi hendaklah kamu mempergunakan kalimat yang sungguh-sungguh meyakinkan permohonan, serta besar jawapan (bahawa Allah Ta'ala mendengar dan mengabulkan permohonanmu). Kerana sesunguhnya Allah Ta'ala tidak pernah memberatkan-Nya memberikan sesuatu."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, April 2, 2015

Doa Rasulullah Membalasi Pemuka Quraisy

Khamis, 12 Jamadilakhir 1436H: Dari Abdullah r.a., katanya: Ketika Rasulullah s.a.w. sedang sujud dan sekelilingnya ada orang-orang Quraisy yang musyrik. Tiba-tiba datanglah kepada beliau 'Uqbah bin Abi Muaaith, membawa perut (tempat peranakan) unta, lalu dilemparkannya di atas punggung Nabi s.a.w. Beliau belum lagi mengangkat kepalanya, sehingga Fatimah datang, lalu diambilnya dari punggung beliau, dan Fatimah mendoakan kebinasaan orang yang melakukan yang demikian itu. 

Nabi s.a.w. berdoa: "Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau membalasi pemuka Quraisy! Ya Tuhan! Terserah kepada Engkau memberi balasan kepada Abu Jahl bin Hisyam, 'Utbah bin Rabiah, Syaibah bin Rabiah, 'Uqbah bin Abu Muaith, dan Umaiyah bin Khalaf atau Ubaiy bin Khalaf!" 

Saya lihat semua mereka itu dibunuh dalam peperangan Badr, lalu dilemparkan ke dalam telaga, selain Umaiyah atau Ubaiya kerana ia seorang laki-laki yang besar (gemuk). Setelah mereka mengheretnya putus persendiannya sebelum dilemparkan ke dalam telaga"

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, April 1, 2015

Doa Para Malaikat

Rabu, 11 Jamadilakhir 1436H: Berita dari Abu Hurairah r.a. mengatakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: 

"Para malaikat sentiasa mendoakan kamu selama kamu masih berada di tempatmu solat dan belum berhadas. 

Doanya, "Ya, Allah! Ampunilah kiranya dia dan limpahkan kasih sayang kepadanya!" 

Seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat, selama dia masih menunggu dan tidak ada yang menghalanginya untuk pulang ke rumahnya melainkan hanya kerana (menunggu) solat."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, March 31, 2015

Doa Peperangan Ahzab

Selasa, 10 Jamadilakhir 1436H: Dari Abdullah bin Abu Aufa r.a., katanya: Pada hari peperangan Ahzab, Rasulullah s.a.w. mendoakan kebinasaan orang-orang musyrik. Doa beliau: 

"Ya Allah, Tuhan Yang menurunkan Kitab dan cepat membuat perhitungan! Ya Allah, Cerai-beraikanlah kiranya kumpulan musuh! Ya Allah, Cerai-beraikanlah mereka dengan goncangan (kacaukanlah)mereka!

Hadis Sahih Bukhari

Monday, March 30, 2015

Doa Melawat Orang Sakit Atau Meninggal

Isnin, 9 Jamadilakhir 1436H: Dari Ummu Salamah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Apabila kamu menengok orang sakit atau orang meninggal, maka ucapkanlah ucapan (doa) yang baik, kerana malaikat mengaminkan ucapan kamu itu." 

Selanjutnya Ummu Salamah bercerita, "Ketika Abu Salamah meninggal, aku datang kepada Rasulullah saw. mengkhabarkannya. Kata ku: "Ya, Rasulullah! Abu Salamah telah meninggal." 

Jawab Rasulullah saw., "Mendoalah : "Allahummaghfirli walahu, wa a'qibni minhu 'uqba hasanatan." 

Apa yang diajarkan Rasulullah itu ku lakukan sebaik-baiknya. Tidak berapa lama kemudian, Allah menukarnya dengan orang yang paling baik bagi ku, iaitu Muhammad saw. sendiri."

Hadis Sahih Muslim

Friday, March 27, 2015

Doa Si Miskin

Jummat, 6 Jamadilakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Berapa banyaknya orang-orang (miskin) yang kusut masai diusir dari muka pintu rumah orang (ketika mereka meminta-minta). Seandainya si miskin itu mendoa kepada Allah Ta'ala, nescaya Allah mengabulkan doanya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, March 26, 2015

As Salam

Khamis, 5 Jamadilakhir 1436H: Dari 'Abdullah u., katanya: "Kami pernah membaca ketika solat di belakang Nabi saw., 'Assalamu 'alallahi, assalamu 'ala fulanin' (Keselamatan bagi Allah dan keselamatan bagi si Fulan)." 

Maka pada suatu hari Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Allah itu sendiri bernama 'As Salam'. Kerana itu apabila kamu duduk (tasyahhud) dalam solat, maka bacalah : 'Attahiyyatu lillahi, wash shalawatu wath thayyibatu. Assalamu 'alaika ayyuhan nabiyyu wa iahmatullahi wa barakatuhu. Assalamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahish shalihin. Ucapan ini meliputi bagi semua orang soleh, baik di langit maupun di bumi. 

'Asyhadu alla ilaaha illallah. Wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa Rasuluhu'. (Segala kehormatan hanya untuk Allah semata-mata, begitu pula segala doa dan ucapan-ucapan yang baik. Keselamatan untukmu, wahai Nabi, beserta rahmat Allah dan berkat daripadaNya. Keselamatan bagi kami dan bagi semua orang yang soleh. Aku mengaku tidak ada Tuhan selain Allah. Dan aku mengaku bahawa Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.) 

Sesudah itu kamu boleh menyambungnya dengan doa yang kamu sukai."

Hadis Sahih Muslim

Wednesday, March 25, 2015

Doa Dari Rasulullah

Rabu, 4 Jamadilakhir 1436H: Dari Zaid bin Arqam r.a.katanya: "Aku tidak akan mengatakan kepada mu kecuali apa yang disabdakan oleh Rasulullah saw. Beliau sering berdoa: "Allahumma inni a'uzubika minal 'ajzi, wal kasali, wal jubni, wal bukhli, wal harami, wa 'adzabil qabri. Allahumma aati nafsi taqwaaha, wa zakkiha anta khairu man zakkaaha, anta waliyyuha wa maulaaha. Allahumma inni a'udzu bika miln 'ilmin laa yallfa', wa min qalbin laa yakhsya', wa min nafsin laa tasyba', wa mill da'watin laa yustajaabu laha. " 

( Wahai Allah! aku berlindung dengan Engkau dari kelemahan, kemalasan dan ketakutan, kepikunan dan dari seksa kubur. Wahai Allah! Isikanlah jiwa aku dengan sifat taqwa dan bersihkanlah dia, Engkaulah yang terbaik membersihkannya, kerana Engkaulah pelindung dan pemeliharanya. Wahai Allah! aku berlindung dengan Mu dari ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari nafsu yang tidak mahu puas dan dari doa yang tidak berjawab)

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, March 24, 2015

Mendoakan Sesama Muslim

Selasa, 3 Jamadilakhir 1436H : Dari Abu Darda' r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan. melainkan malaikat mendoakannya pula: "Mudah-mudahan engkau beroleh kebaikan pula."

Hadis Sahih Muslim.

Monday, March 23, 2015

DiLarang Membaca Quran Dalam Rukuk Dan Sujud

Isnin, 2 Jamadilakhir 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: 

"Rasulullah saw. membuka tirai (kamarnya ketika beliau sakit akan meninggal), padahal ketika itu jemaah sedang solat berjemaah diimami Abu Bakar. Lalu beliau bersabda: 

"Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus ku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah 'Azza wa Jalla di dalam rukuk, dan perbanyaklah doa di dalam sujud, pasti doamu diperkenankan Allah swt."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, March 18, 2015

Doa Di Sepertiga Malam

Rabu, 27 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah saw. bersabda: Tuhan kita yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun (rahmatNya) setiap malam ke langit yang dekat, di waktu sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman: 

"Siapakah yang mendoa kepadaKu, nanti akan Ku perkenankan doanya? Siapakah yang meminta kepada Ku, nanti akan Aku beri permintaannya? Siapakah yang meminta ampun kepada Ku, nanti akan Ku ampuni kesalahannya?"

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, March 17, 2015

Doa Meminta Hujan

Selasa, 26 Jamadilawal 1436, Dari Anas bin Malik r.a., katanya: 

"Nabi saw. tidak pernah mengangkat tangan tinggi-tinggi ketika mendoa, melainkan ketika mendoa minta hujan, sehingga kelihatan putih ketiaknya."

Hadis Sahih Muslim

Monday, March 16, 2015

Penduduk Syurga Dan Neraka

Isnin, 23 Jamadilawal 1436H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?" 

Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!" 

Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." 

Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?" 

Jawab mereka, "Tentu!" 

Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, March 13, 2015

Doa Yang Paling Banyak Di Baca Nabi SAW

Jumaat, 22 Jamadilawak 1436H: Dari 'Abdul 'Aziz r.a. iaitu Ibnu Shuhaib katanya: 

"Qatadah bertanya kepada Anas r.a., Doa apakah yang sering dibaca Nabi saw"?" 

Kata Anas, "Doa yang paling banyak dibaca Nabi saw. ialah: Allahumma aatina fid dunya hasanah. wa fil aakhirati hasanah, Wa qinaa 'adzaban nar."(Wahai Allah, berilah kami kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat, serta hindarkanlah kami dari seksa neraka)

Hadis Sahih Muslim 

Thursday, March 12, 2015

Bumi Mekah Dan Madinah

Khamis, 21 Jamadilawal 1436H: Dari Abdullah bin Zaid r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Sesungguhnya Nabi Ibrahim mengharamkan (menjadikan tanah suci) negeri Mekah dan mendoa baginya. Dan aku mengharamkan negeri Madinah seperti Nabi Ibrahim mengharamkan Mekah dan aku pun mendoa bagi kemakmurannya sebagaimana Nabi Ibrahim mendoa bagi kemakmuran negeri Mekah."

Hadis Sahih Bukhari 

Wednesday, March 11, 2015

Berdoalah Dengan Bersungguh-Sungguh

Rabu, 20 Jamadilawal 1436H Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw: bersabda: 

"Apabila kamu mendoa, hendaklah kamu sungguh-sungguh yakin dalam doa (bahawa Allah Ta'ala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu mendoa dengan kalimat: "Allah, jika Engkau mulia berilah aku!" Kerana sesungguhnya Allah Ta'ala tidak dipaksa memenuhi suatu doa."

Hadis Sahih Muslim .

Tuesday, March 10, 2015

Mengucapkan Alhamdulillah

Selasa, 19 Jamadilakhir 1436H: Dari Anas r.a, katanya: Ada dua orang bersin di dekat Nabi saw., lalu Nabi mendoakan salah seorang dari mereka, dan tidak mendoakan yang lain. 

Orang itu berkata: "Ya Rasulullah! Anda mendoakan orang ini, tetapi tidak mendoakan saya." 

Rasul menjawab: "Orang ini memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah) sedangkan engkau tidak."

Hadis Sahih Bukhari.

Monday, March 9, 2015

Doa Untuk Umat Rasulullah SAW

Isnin, 18 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Setiap Nabi mempunyai doa yang segera didoakannya untuk menolong umatnya, lalu doanya itu diperkenankan Allah. Tetapi aku, Insya Allah akan menggunakan doaku itu untuk membela umat ku kelak di hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim

Friday, March 6, 2015

Apabila Awan Gelap

Jumaat, 15 Jamadilawal 1436H : Dari 'Aisyah r.a., katanya: Nabi s.a.w. kalau melihat awan gelap di langit, beliau menghadap, membelakang, masuk, dan ke luar, dan berubah wajah beliau. 

Dan kalau hujan turun dari langit, beliau gembira (tenang kembali). 

Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada beliau. 

Nabi s.aw. bersabda: "Setelah mereka melihat awan terbentang di langit datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung seksaan yang pedih!"

Hadis Sahih Bukhari

Thursday, March 5, 2015

Sujud Di Air Dan Tanah

Khamis, 14 Jamadilawal 1436H: Abu Sa'id Al Khudri r.a. bercerita: 

"Awan gelap datang, hari pun hujan sehingga atap yang dibuat dari pelepah , kurma itu jadi bocor. Dan qamat telah diucapkan. Ku lihat Rasulullah saw. sujud di air dan tanah, sehingga saya melihat bekas-bekas tanah melekat di kening beliau."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, March 4, 2015

Jangan Bersendirian

Rabu, 13 Jamadilawal 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya dia mendengar Nabi saw. berkhutbah, sabdanya: 

"Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai muhrim. Begitu pula seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama muhrim." 

Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: "Isteriku hendak menunaikan ibadah haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ; bagaimana itu ya Rasulullah?" 

Jawab Rasulullah saw."Pergilah kamu haji bersama isterimu!"

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, March 3, 2015

Tidak Termasuk Golonganku

Selasa, 12 Jamadilawal 1435H: Dari Anas r.a., katanya: "Beberapa orang sahabat Nabi saw. bertanya kepada para isteri beliau tentang amal ibadah beliau ketika sedang bersunyi diri. Setelah mendapat jawapan, maka di antara para sahabat itu ada yang berkata, 

"Aku tidak akan pernah kahwin!" 

 Sebahagian lagi berkata, "Aku tidak akan makan daging." 

Yang lain berkata pula, "Aku tidak akan tidur di atas kasur." 

Mendengar ucapan-ucapan para sahabat itu, Nabi saw. serta-merta memuji dan menyanjung Allah swt. lalu beliau bersabda: "Bagaimanalah cara berfikir mereka, sehingga mereka berujar begini dan begitu. Padahal aku sendiri solat, tidur, puasa, berbuka, dan bahkan aku menikah. Siapa yang benci kepada cara hidup (sunnah)ku maka dia tidak termasuk golonganku."

Hadis Sahih Muslim 

Monday, March 2, 2015

Tujuh Jenis Manusia Yang Mandapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

Isnin,, 11 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Allah swt. akan memberikan naungan kepada tujuh jenis orang pada hari kiamat, di mana tidak ada naungan ketika itu kecuali naungan Allah. 

1. Imam (pemimpin, kepala pemerintahan yang adil.) 
2. Pemuda yang terdidik/terlatih sejak kecil dalam menyembah Allah. 
3. Seseorang yang hatinya tergantung di mesjid. 
4. Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah; mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah 
5. Seorang laki-laki yang dirayu untuk berbuat maksiat oleh wanita bangsawan yang cantik, lantas ia menolak dengan berkata halus, "Aku takut kepada Allah." 
6. Seorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan tangan kanannya. 
7. Seorang yang mengingat Allah waktu bersunyi-sunyi, lantas meleleh air matanya."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, February 27, 2015

Jangan Meremehkan Kematian Orang.

Jumaat, 8 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Ada seorang wanita atau pemuda hitam bekerja sebagai tukang sapu masjid. Ketika Rasulullah saw. tidak melihatnya, beliau tanya-tanyakan ke sana-sini. Mereka mengatakan bahawa orang itu telah meninggal. 

Kata Nabi saw., "Kenapa tidak kalian beritahu aku?" 

Seolah-olah kata Nabi, mereka menganggap remeh kematian orang itu. 

Kata Nabi selanjutnya, "Tunjukkanlah kepada ku kuburnya." Maka ditunjukkan mereka kepada beliau kuburnya, lalu beliau solat (ghaib) di atasnya. 

Kemudian beliau bersabda: "Kubur ini sangat gelap bagi penghuninya. Sesungguhnya Allah 'azza wa jalla akan meneranginya setelah aku solat di atasnya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, February 26, 2015

Pahala Setiap Langkah Ke Masjid

Khamis, 7 Jamadilawal 1436H: Dari Ubay bin Ka'ab r.a., katanya: 

"Ada seorang lelaki, yang setahuku dialah yang paling jauh tempat tinggalnya dari masjid. Walaupun begitu dia tidak pernah ketinggalan solat berjemaah. 

Kata orang kepadanya,"Alangkah baiknya anda beli seekor keldai untuk tunggangan anda, di malam gelap atau di panas terik." 

Jawabnya, "Aku tidak suka tinggal dekat masjid, kerana aku ingin supaya setiap langkahku pergi dan pulang dari masjid ditulis Allah pahalanya bagiku." 

Sabda Rasulullah saw., "Allah mengumpulkan pahala semuanya itu bagi anda."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, February 25, 2015

Segeralah Berbuat Amal Kebajikan

Rabu, 6 Jamadilawal 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Segerakanlah berbuat amal kebajikan, sebelum datang bencana yang bagaikan malam gelap gelita. Pagi-pagi seseorang masih mukmin, tetapi bila hari petang dia kafir. Atau petang hari dia masih mukmin, pagi hari dia kafir. Dijualnya agamanya kerana mengharapkan keuntungan dunia"

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, February 24, 2015

Menangis Kerana Kasih Mesra

Selasa, 5 Jamadilawal 1436H: Dari Anas r.a., katanya: "Kami pergi dengan Rasulullah saw. kepada Abu Saif tukang besi yang sesusu dengan Ibrahim. Rasulullah mengambil Ibrahim lalu menciumnya. Tidak lama sesudah itu kami datang pula kepadanya, tetapi ketika itu Ibrahim telah menghembuskan nafasnya yang penghabisan, dan air mata Rasulullah berlinang kerananya." 

Abdurrahman bin 'Auf berkata: "Ya, Rasulullah! Kenapa engkau menangis?" 

Jawab Rasulullah, "Hai, Ibnu 'Auf! Sesungguhnya yang demikian adalah kasih mesra. " 

Abdullah mengulangi perkataannya. 

Sabda Rasulullah saw., "Air mata mengalir, hati penuh duka, namun tidak ada kata-kata yang kami ucapkan melainkan apa yang diredhai Allah jua. Dan sesungguhnya perpisahan kami dengan engkau, hai Ibrahim, amat menyedihkan."

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, February 16, 2015

Untuk Hamba Yang Saleh

Isnin, 26 Rabiulakhir 1436H: Dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: 

"Allah berfirman: "Aku telah menyediakan untuk hambaKu yang saleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernah telinga mendengar dan belum pernah teringat dalam hati manusia."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, February 12, 2015

Zina

Khamis, 22 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. sabdanya: 

"Nasib anak Adam mengenai zina telah ditetapkan. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. 
Dua mata, zinanya memandang. 
Dua telinga, zinanya mendengar. 
Lidah, zinanya berkata. 
Tangan, zinanya memukul. 
Kaki, zinanya melangkah. 
Hati, zinanya ingin dan rindu, sedangkan faraj (kemaluan) hanya mengikuti atau tidak mengikuti"

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, February 11, 2015

Amanah

Rabu, 21 Rabiulakhir 1436H: Dari Hudzaifah r.a., katanya: 

"Kami menerima dua buah hadis dari Rasulullah saw., yang satu telah ku lihat kenyataannya, sedangkan yang satu lagi masih ku tunggu-tunggu. Rasulullah saw. bersabda kepada kami, "Sesungguhnya amanah itu bertempat di hati sanubari seseorang. Kemudian Al Quran turun, lalu mereka belajar dari Al Quran dan Sunnah. Kemudian Rasulullah saw. bersabda pula tentang hilangnya amanah. 

Sabda beliau, "Seorang sedang tidur, lalu dicabut amanah dari hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti noktah. Kemudian ia tidur lagi, lalu dicabut pula amanah dari hatinya maka kini tinggallah bekasnya seperti lepuh yang membengkak di tangan atau di kaki yang terkena bara panas, dan lepuh itu mengandung air sedikit. Ketika itu, amanah hampir saja hilang sehingga orang mencarinya ke mana-mana. 

Ketika dikatakan orang: Di sana ada amanah! Mereka sama berkata: alangkah sabarnya dia; atau alangkah baiknya dia; dan atau alangkah cerdiknya dia. Tetapi yang sebenarnya batin orang itu kosong dari iman. 

Kata Hudzaifah, "Dahulu, ketika amanah masih dipegang orang erat-erat, aku bisa berdagang dengan siapa pun. Jika dengan orang muslim, ia berlaku jujur kerana agamanya, dan jika dengan orang Nasrani atau dengan orang Yahudi, kejujuran itu pun terdapat pada majikannya. Tetapi sekarang, aku tak hendak berdagang lagi melainkan dengan orang-orang tertentu, seperti si Anu dan si Anu yang masih memegang amanah erat-erat.

Hadis Sahih Muslim 

Monday, February 9, 2015

Apabila Qamat Telah DiBacakan

Isnin, 19 Rabiulakhir 1436H: Abu Hurairah r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila qamat telah dibacakan oleh hendak solat, maka janganlah kamu datang dengan tergesa-gesa, tetapi datanglah dengan berjalan seperti biasa, bersikap tenang. Ikutlah solat pada rakaat yang mana saja kamu dapati. Mana yang ketinggalan sempurnakanlah (sesudah imam memberi salam). "

Hadis Sahih Bukhari .

Friday, January 30, 2015

Melayani Tertamu

Jumaat, 9 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw. lalu dia berkata, "Aku dalam kesulitan susah hidup dan lapar."

Maka beliau bawa pulang itu ke rumah isteri beliau satu persatu menanyakan kalau-kalau mereka ada sedia makanan.

Para isteri beliau menjawab. "Demi Allah yang mengutus Anda dengan yang hak, aku tidak sedia apa-apa selain air." Begitulah jawapan mereka masing-masing.

Lalu bersabda beliau kepada para sahabat. "Siapa bersedia menerima tetamu malam ini nescaya di beri rahmat oleh Allah Ta'ala."

Maka berdirilah seorang lelaki Ansar seraya berkata, "Aku, ya Rasulullah!"

Maka dibawanya lah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya, "Adakah engkau sedia makanan?"

Jawab isterinya, "Tidak ada, kecuali makanan anak-anak."

Katanya, "Pujuklah anak kita dengan apa saja. Bila tetamu kita dah masuk tunjukkan kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan”.

Maka duduklah mereka dan sang tetamu pun makanlah.

Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi saw. lalu kata beliau, "Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tetamu kalian malam tadi."

Hadis Sahih Muslim 

Wednesday, January 28, 2015

Orang Yang Beriman...

Rabu, 7 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Musa r.a., Nabi bersabda:

"Orang yang beriman dengan orang beriman yang lain adalah seperti rumah; bahagian yang satu menggunakan bahagian yang lain." 

Dan sebagai perumpamaan beliau mempersilangkan anak-anak jari beliau.

Hadis Sahih Bukhari .

Monday, January 26, 2015

Segerakanlah menguburkan jenazah!

Isnin, 5 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: 

"Segerakanlah menguburkan jenazah! Jika dia orang baik, bererti kamu segera mengantarkannya kepada kebaikan. Jika dia orang jahat, bererti kamu segera menghindarkan bencana terhadap diri mu."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, January 23, 2015

Diseksa Dalam Kubur

Jumaat, 2 Rabiulakhir 1436H: Ibnu Abbas r.a. menceritakan: "Nabi saw. berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh beliau suara dua orang sedang diseksa dalam kuburnya. 

Maka berkata Nabi saw., "Keduanya diseksa bukanlah kerana dosa besar." 

Kemudian Nabi melanjutkan perkataannya, "Yang seorang diseksa kerana kencing di tempat terbuka, dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan." 

Sesudah itu Nabi menyuruh ambil sebuah pelepah tamar, lalu dipatah dua oleh beliau, dan diletakkannya di atas kedua kuburan itu masing-masing sepotong. Seseorang bertanya, "Ya, Rasulullah! Mengapa Anda lakukan itu?" 

Jawab Nabi, "Mudah-mudahan keduanya mendapat keringanan, selama pelepah tamar itu tidak kering."

Hadis Sahih Bukhari .

Thursday, January 22, 2015

Agama Islam Itu Mudah

Khamis, 1 Rabiulakhir 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: 

"Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. 

Oleh kerana itu kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam."

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, January 21, 2015

Solatlah Dengan Sempurna

Rabu, 30 Rabiulawal 1436H: Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi saw. masuk ke dalam masjid, kemudian masuk pula seorang laki-laki lalu dia solat. Selesai solat, orang itu datang dan memberi salam kepada Nabi saw. Nabi menolak orang itu dan bersabda, 

"Ulangilah solat anda kembali kerana anda belum solat!" 

Maka diulanginya solatnya kembali, kemudian dia datang dan memberi salam kepada Nabi. Sabda Nabi, "Ulangilah solat anda kembali, kerana anda belum solat!" Sampai tiga kali Nabi saw. menyuruh orang itu demikian. 

Jawab orang itu, "Demi Allah, yang telah mengutus anda dengan yang hak. Aku belum tahu cara solat yang lebih baik dari itu. kerana itu ajarkanlah kepada ku." 

Jawab Nabi saw., "Apabila engkau berdiri hendak solat, ucapkanlah Takbir. Kemudian baca ayat-ayat Quran yang mudah bagi mu. Kemudian rukuk sehingga engkau tenang dalam rukuk itu, kemudian bangkit, berdiri lurus kembali. Sesudah itu sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Sesudah itu bangkit, duduk, sehingga engkau tenang tenteram dalam dudukmu itu. Kemudian sujud, sehingga engkau tenang dalam sujudmu itu. Lakukanlah seperti itu setiap kamu solat."

Hadis Sahih Bukhari 

Tuesday, January 20, 2015

Solat Sunat Istikharah

Selasa, 29 Rabiulawal 1436H: Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mengajarkan kepada kami solat istikharah untuk segala urusan, seperti dia mengajarkan kepada kami surat Al Quran; Sabda beliau: 

"Apabila seseorang kamu hendak melakukan sesuatu pekerjaan, lebih dahulu hendaklah ia solat dua rakaat yang bukan fardu, kemudian membaca doa: "Allahumma inni astakhairuka bi'ilmika waastaqdirukabi qudratika waas-aluka min fadhlikal 'azhim; Fainnaka taqdiru wa laa aqdiru wata'lamu wa laa a'lamu wa anta 'allamul ghuyuub. Allaahumma inkunta ta'lamu anna haadzal amra khairun lii fii diinii wa ma'aasyi wa 'aaqibatu amri ('ajili amri wa aajilihi faqdurhu lii wa yassirhu lii tsumma baarik lii fiihi. Wa inkunta ta'lamu anna haadzal amra syarrun lii fii diini wa ma'aasyi wa 'aaqibatu amrii ('ajili amri wa aajilihi) fashrifhu 'annii washrifnii 'anhu waqdur liyal khaira haitsu kaana tsummaardhini." 

(Wahai Allah! Sesungguhnya aku mohon pilihan kepada Engkau dengan ilmu Engkau, dan mohon kuasa kepada Engkau dengan kekuasaan Engkau, dan aku meminta kepada Engkau kurniaMu yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa, sedangkan aku tidak kuasa. Dan Engkau Maha Tahu, sedangkan aku tidak tahu. Dan Engkau Maha Tahu segala yang ghaib. 

Wahai, Allah! Jika menurut pengetahuanMu pekerjaan ini baik bagi agamaku, bagi kehidupanku, dan akibat kesudahannya, maka berilah aku kesanggupan untuk melaksanakannya serta mudahkanlah dia bagi ku, kemudian berikan berkat bagi ku padanya. 

Dan jika menurut pengetahuanMu pekerjaan ini tidak baik bagi agama, kehidupan serta akhir kesudahannya, maka singkirkanlah dia dari ku, dan jauhkanlah aku daripadanya, serta tukarlah bagi ku dengan yang lebih baik daripadanya, kemudian redhailah dia bagiku."
Hadis Sahih Bukhari

Monday, January 19, 2015

Amal Bahagia Atau Amal Celaka?

Dari' Ali r.a., katanya: "Kami menghadiri pemakaman Baqi' Gharqad. Ketika Nabi saw. tiba, beliau terus duduk dan kami pun duduk pula di keliling beliau. Di tangannya ada sebuah tongkat. Beliau merunduk dan menggaris-garis tanah dengan tongkat itu. 

Kemudian beliau bersabda, "Tiap-tiap orang hidup dituliskan Allah tempatnya di syurga atau di neraka. Dituliskan juga apakah dia celaka atau bahagia." Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Tidak bolehkah kami menyerah saja kepada kitab kami, sehingga kami tidak perlu beramal? Siapa di antara kami termasuk orang bahagia, sendirinya ia akan mengamalkan amal bahagia, dan orang yang ditulis celaka akan beramal celaka." 

Nabi saw. menjawab, "Adapun orang yang bahagia, ialah mereka yang dimudahkan Allah melakukan amal bahagia, "dan orang yang celaka ialah orang yang mudah melakukan amal celaka." 

Kemudian Nabi saw. membaca firman Allah swt., "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami akan mudahkan baginya jalan yang mudah (perbuatan baik). Adapun orang-orang yang kikir dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka Kami akan mudahkan baginya jalan yang sukar (kejahatan)." (At Lail, 92: 5 - 10).

Hadis Sahih Bukhari.

Friday, January 16, 2015

Mendoakan Kebaikan

Jumaar, 25 Rabiulawal 1436H: Dari Abu Darda' r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Tidak seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan. melainkan malaikat mendoakannya pula: "Mudah-mudahan engkau beroleh kebaikan pula."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, January 15, 2015

Sabar Diperlukan Ketika Permulaan Musibah

Khamis, 24 Rabiulawal 1436H: Dari Anas r.a., katanya: "Nabi saw. bertemu dengan seorang wanita sedang menangis di samping kuburan. Nabi saw. bersabda kepadanya, 

"Takutlah kepada Allah dan sabarlah!" 

Jawab wanita itu, "Pergilah kamu! Sebab kamu tidak merasakan penderitaan yang saya derita ini." Sesungguhnya wanita itu tidak kenal dengan Nabi saw. Maka diberitahukan orang kepadanya bahawa itulah Nabi saw. 

Kerana itu dia pergi menemui Nabi saw. dan dia tidak melihat seorang penjaga pun. (Lalu ia terus menemui Nabi saw.) 

 Katanya kepada Nabi, "(Maaf Tuan), Saya tidak mengenal Tuan." 

Sabda Nabi saw., "Sesungguhnya sabar itu (diperlukan) ketika permulaan kena musibah."

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, January 14, 2015

Sabar Dari Meminta-Minta

Rabu, 23 Rabiulawal 1436H: Dari Abu Said r.a., katanya: "Beberapa orang kaum Ansar meminta (sesuatu) kepada Rasulullah saw., lalu diberi oleh beliau. Kemudian mereka minta lagi, terus diberi oleh beliau, diminta lagi, diberi lagi sehingga habislah apa yang ada pada Rasulullah. 

Sabda beliau, "Tidak ada lagi pada ku dan tidak ada pula yang ku simpan. (Ingatlah!) siapa yang ingin terpelihara dari minta-minta, Allah akan memeliharanya, siapa yang merasa cukup, Allah akan mencukupkannya, dan siapa yang berhati sabar, Allah akan memberinya kesabaran; tiada satu juga pemberian Allah yang diberikanNya kepada seseorang, yang lebih baik dan lebih lapang daripada sabar."

Hadis Sahih Bukhari

Friday, January 9, 2015

Istimewa Untuk Hamba Yang Saleh

Jumaat,  18 Rabiulawal 1436H: Dan Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw. beliau bersabda: 

"Allah berfirman: "Aku telah menyediakan untuk hambaKu yang saleh, apa yang belum pernah mata melihat, belum pernah telinga mendengar dan belum pernah teringat dalam hati manusia."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, January 8, 2015

Bukan Kemiskinan Yang DiTakuti Tapi...

Khamis, 17 Rabiulawal 1436H:  Dari Amr bin 'Auf orang Ansar r.a., sekutu Bani Amir bin Luai dan ia pernah turut menghadiri peperangan Badr, Rasulullah s.a.w. mengutus Abu Ubaidah bin Jarrah ke Bahrain untuk memungut pajak. Rasulullah s.a.w. sendiri yang mengadakan perdamaian dengan penduduk Bahrain, dan beliau angkat 'Ala bin Hadrami menjadi Amir (pembesar) mereka. Maka datanglah Abu Ubaidah membawa harta dari Bahrain. Orang Ansar mendengar kedatangan Abu Ubaidah, kebetulan waktu solat subuh bersama-sama dengan Nabi s.a.w. Setelah beliau selesai solat subuh bersama-sama, lalu mereka datang menghadap beliau. Rasulullah s.a.w. tersenyum ketika melihat mereka. 

Beliau bersabda: "Saya kira kamu telah mendengar bahawa Abu Ubaidah datang membawa sesuatu". 

Mereka berkata: "Sebenarnya, ya Rasulullah!" 

Beliau bersabda: "Bergembiralah dan harapkanlah apa yang menyenangkan kamu! Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang lebih saya takutkan terhadap kamu, melainkan yang lebih saya takuti terhadap kamu ialah jika kamu diberi sebanyak-banyaknya harta dunia sebagaimana yang telah diberikan kepada orang yang ada sebelum kamu, lalu kamu merebutkannya sebagaimana mereka merebutkan, dan kamu dibinasakannya sebagaimana mereka telah dibinasakannya".

Hadis Sahih Bukhari.

Wednesday, January 7, 2015

Adab Melawat Persakit

Rabu, 16 Rabiulawal 1436H: Dari Ibnu 'Abbas r.a., Rasulullah saw. masuk ke tempat seseorang melihatnya sakit. Beliau setiap kali pergi melihat orang sakit selalu berkata: "Tidak apa-apa. Baik saja, insya Allah!" 

Lalu saya berkata: "Baik? Tidak mungkin. Penyakitnya adalah demam panas yang keras diderita oleh orang tua yang akan menyebabkannya meninggal" 

Nabi menjawab: "Kalau begitu, memang benar."

Hadis Sahih Bukhari .

Tuesday, January 6, 2015

Orang Islam Yang Paling Baik

Selasa, 15 Rabiulawal 1436H: Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a., katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw., "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?

Jawab Rasulullah saw., "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya".

Hadis Sahih Muslim 

Monday, January 5, 2015

Tiga Doa Rasulullah SAW Untuk Ummatnya

Isnin, 14 Rabiulawal 1436H: Dari 'Amir bin Sa'ad, dari bapanya r.a. katanya, "Pada suatu hari Rasulullah saw. datang dari daerah perbukitan. Ketika beliau sampai di Masjid Bani Mu'awiyah beliau masuk ke masjid lalu solat dua rakaat. Kami pun solat pula bersama-sama dengan beliau. Beliau mendoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah mendoa beliau berpaling kepada kami lalu bersabda, 

"Aku memohon kepada Tuhan ku tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan ku supaya jangan membinasakan ummat ku dengan musim susah yang panjang, maka diperkenankan. 

Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda ummat Nabi Nuh, atau seperti tentera dan Raja Fir'aun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. 

Aku memohon supaya ummat ku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, December 24, 2014

Awan Gelap & Hujan

Rabu, 2 Rabiulawal 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: Nabi s.a.w. kalau melihat awan gelap di langit, beliau menghadap, membelakang, masuk, dan ke luar, dan berubah wajah beliau. Dan kalau hujan turun dari langit, beliau gembira (tenang kembali). 

Aisyah berkata: Lalu saya tanyakan yang demikian itu kepada beliau. 

Nabi s.aw. bersabda: "Setelah mereka melihat awan terbentang di langit datang menuju ke lembah, mereka itu berkata: Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami! Bukan! Itulah (bahaya) yang kamu minta supaya datang dengan segera! Angin yang mengandung seksaan yang pedih!"

Hadis Sahih Bukhari

Tuesday, December 23, 2014

Jangan Meminta-Minta Mati Kerana Suatu Musibah

Selasa, 1 Rabiulawal 1436H: Dari Anas r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Sekali-kali janganlah kamu meminta-minta mati kerana suatu musibah yang menimpa. Jika kamu hendak meminta juga, maka mendoalah sebagai berikut : "Allahumma ahyini mall kaanatil hayatu khairan Ii, wa tawaffani idza kaanatil wafaatu khairan li." (Wahai Allah! Panjangkanlah umurku jika umur panjang itu yang lebih baik bagi ku, dan matikanlah aku jika mati itu yang lebih baik bagiku).

Hadis Sahih Muslim

Thursday, December 18, 2014

Istiqamah Dalam Beramal Walaupun Sedikit

Khamis, 25 Safar 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. tidak pernah puasa sunat tiap bulan dalam setahun, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya'aban. 

Beliau bersabda, "Beramallah kamu sesuai dengan kemampuanmu. Sesungguhnya Allah tidak pernah bosan (memberi pahala) sehingga kamu sendiri yang bosan beramal. Sedangkan amal yang paling disukai Allah ialah amal yang dilakukan secara tetap walaupun sedikit."

Hadis Sahih Muslim .

Wednesday, December 17, 2014

Jangan Tertipu Dengan Penglihatan Mata

Rabu, 24 Safar 1436H: Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a. katanya Nabi saw. bersabda:

"Sesungguhnya ada orang beramal dengan amalan ahli syurga sepanjang penglihatan orang banyak, tetapi sebenarnya dia adalah ahli neraka. Dan ada pula orang yang beramal dengan amalan ahli neraka menurut pandangan manusia, tetapi sebenarnya dia ahli syurga."

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, December 16, 2014

Pintu-Pintu Syurga Berada Di Bawah Naungan Kilatan Pedang

Selasa, 23 Safar 1436H: Dari Abu Bakar bin Abdullah bin Qais r.a., dari bapanya, katanya dia mendengar bapanya bercerita, bahawa ketika bapanya sedang berhadapan dengan musuh, Rasulullah saw. bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga berada di bawah naungan (kilatan) pedang." 

Lalu berdiri seorang lelaki sambil menangis, katanya: "Hai, Abu Musa! Apakah Anda pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda seperti itu?" 

Jawab Abu Musa, "Ada!" 

Orang itu pergi menemui kawan-kawannya seraya katanya, "Aku mengaturkan salam kepada Anda semua!" 

Kemudian dibukanya sarung pedangnya lalu dilemparkannya. Sesudah itu, dengan pedang terhunus dia pergi menyerbu musuh, memukul mati dengan pedangnya, setiap musuh yang ditemuinya sehingga akhirnya dia sendiri mati pula terbunuh sebagai syahid."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, December 15, 2014

Amanat Rasulullah saw

Isnin, 22 Safar 1436H: Dari 'Uqbah bin 'Amir r.a. katanya Nabi saw pernah bersabda mengenai para korban perang Uhud. Beliau naik ke mimbar seolah-olah memberi amanat kepada yang masih hidup dan yang telah syahid. 

 Sabda beliau. "Aku mendahului kalian ke telaga, Lebar telaga itu sejauh antara Ailah ke Juhtah. Aku tidak menyangsikan bahawa kamu akan kembali musyrik sepeninggal ku. Tetapi yang aku takutkan ialah kamu terpengaruh oleh dunia. Kemudian kamu berbunuh-bunuhan dan akhirnya kalian musnah seperti kemusnahan umat yang sebelum kalian." 

Kata 'Uqbah, "Itulah yang terakhir kali aku melihat Rasulullah saw. berpidato di mimbar."

Hadis Sahih Muslim .

Friday, December 12, 2014

Tinggalkan Ahi Warismu Dalam Keadaan Kaya

Jumaat, 19 Safar 1436H: Dari Sa'ad bin Abi Waqqash r.a.. katanya: Pada tahun haji yang penghabisan, saya sakit, dan Rasulullah saw. datang mengunjungi saya. Aku bertanya kepada beliau, "Saya merasa sakit saya ini agak mengkhuatirkan. Saya ada mempunyai kekayaan sedangkan yang akan mewarisinya tidak ada, selain seorang anak perempuan. Bolehkah saya sedekahkan dua pertiga dari kekayaan saya itu?" 

Jawab Nabi, "Tidak boleh!" 

Aku bertanya, "Seperdua." 

Kemudian beliau bersabda, "Sepertiga! Sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya engkau tinggalkan ahli warismu itu dalam keadaan kaya, lebih baik daripada engkau tinggalkan dia dalam keadaan miskin, meminta-minta kepada orang lain. Perbelanjaan yang telah engkau keluarkan semata-mata kerana Allah, sesungguhnya akan diberi pahala oleh Allah, sehingga belanja yang telah engkau keluarkan untuk isteri mu sekalipun." 

Kataku, "Ya, Rasulullah! Aku telah ketinggalan oleh kawan-kawanku (yang mati syahid)." 

Jawab Nabi saw., " Engkau sekali-kali tidak ketinggalan. Setiap amal soleh yang telah engkau perbuat akan menambah darjat dan ketinggianmu: Mudah-mudahan umurmu panjang sehingga bermanfaat bagi satu kaum dan kerugian bagi yang lain. Oh Allah! Teruskanlah sahabat-sahabatku hijrah dan janganlah dibiarkan mereka surut ke belakang." 

Tetapi Rasulullah saw. sangat menyayangkan seorang yang miskin tak dapat pindah iaitu Saad bin Khaulah. Beliau saw. menangisinya tatkala mendengar dia meninggal di Mekah."

Hadis Sahih Bukhari.

Thursday, December 11, 2014

Termasuk Kehidupan Yang Terbaik

Khamis, 18 Safar 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: 

"Termasuk kehidupan yang terbaik, iaitu orang-orang yang mempersiapkan hidupnya untuk jihad fi sabilillah (berjuang atau berperang untuk menegakkan agama Allah). Ia segera melompat ke punggung kuda tatkala mendengar trompet perang dan menunggu komando. Ia segera memacu kudanya ke medan perang mencari kematian (syahid) yang didambakannya. 

Atau seorang yang tinggal di puncak-puncak bukit dan di lembah-lembah, dengan hidup sederhana, ditegakkannya solat, dibayarnya zakat, disembahnya Tuhan terus menerus sampai meninggal, dan tidak pernah merugikan umat manusia, bahkan dia sentiasa berbuat kebajikan terhadap sesamanya."

Hadis Sahih Muslim.

Wednesday, December 10, 2014

Semata-Mata Kerana Allah

Rabu, 17 Safar 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: 
"Natil (bin Odis Al Hazami), seorang penduduk Syam, bertanya kepadanya, "Wahai, Tuan Guru! Ajarkanlah kepada kami hadis yang Anda dengar dari Rasulullah saw." 

Jawab Abu Humirah, "Baik! Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Orang yang pertama-tama diadili kelak di hari kiamat, ialah orang mati syahid. Orang itu dihadapkan ke pengadilan, lalu diingatkan kepadanya nikmat-nikmat yang telah diperolehnya, maka dia mengakuinya." 

Tanya, "Apakah yang engkau perbuat dengan nikmat itu?" 

Jawab, "Aku berperang untuk agama Allah sehingga aku mati syahid.

Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau berperang supaya dikatakan gagah berani. Dan gelar itu telah engkau peroleh." 

 Kemudian dia disuruh seret dengan muka telungkup lalu dilemparkan ke neraka.  

Kemudian dihadapkan pula orang 'alim yang belajar dan mengajarkan ilmunya serta membaca Al Quran. Dihadapkannya kepadanya nikmat yang telah diperolehnya, semua diakuinya." 

Tanya, "Apa yang engkau perbuat dengan nikmat itu?" 

Jawab, "Aku belajar, mengajar, dan membaca Quran kerana Engkau." 

Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau belajar dan mengajar supaya disebut orang Alim, dan engkau membaca Al Quran supaya dikatakan sebagai Qari (ahli baca). Semua itu telah dipanggilkan orang kepada mu." 

Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu di lemparkan ke neraka. 

Sesudah itu dihadap pula orang yang diberi kekayaan oleh Allah dengan berbagai macam harta. Semua kekayaannya dihadapkan kepadanya lalu diingatkan segala nikmat yang telah diperolehnya, ia pun mengakui. 

Tanya, "Apa yang telah engkau perbuat dengan harta sebanyak itu?" 

 Jawab, "Setiap bidang yang Engkau sukai tidak ada yang ku tinggalkan, melainkan aku sumbang semuanya kerana Engkau." 

Firman Allah, "Engkau dusta! Sesungguhnya engkau melakukan semuanya itu supaya engkau disebut orang yang pemurah, dan gelar itu telah engkau peroleh." 

Kemudian dia disuruh seret dengan muka menghadap ke tanah lalu dilemparkan ke neraka.

Hadis Sahih Muslim.

Tuesday, December 9, 2014

Bersungguh Untuk Mati Syahid

Selasa, 16 Safar 1436H: Dari Sahal bin Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif, dari bapanya, dari kakaknya, katanya Nabi saw. bersabda: 

"Siapa yang memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh hendak mati syahid, maka Allah menaikkannya ke tingkatan para syuhada sekalipun kenyataannya dia mati biasa di tempat tidur."

Hadis Sahih Muslim .

Monday, December 8, 2014

Kelebihan Mati Syahid

Isnin, 15 Safar 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., Dari Nabi S.A.W., beliau bersabda: 

"Seseorang yang meninggal, sedang dia mempunyai kebaikan pada sisi Tuhan, tiada menyukai untuk kembali ke dunia, biar diberikan kepadanya dunia dan seisinya, melainkan orang mati syahid, kerana telah dilihatnya kelebihan mati syahid itu. Sesungguhnya dia suka kembali ke dunia, lalu terbunuh sekali lagi."

Hadis Sahih Bukhari .

Friday, December 5, 2014

Syurga Untuk Orang-Orang Yang Beriman

Jumaat, 12 Safar 1436H: Dari Umar bin Khaththab r.a., katanya: 

"Ketika perang Khaibar sedang berkecamuk, sekelompok sahabat datang kepada Rasulullah saw. Kata mereka, "Si Fulan syahid. Si Fulan syahid! Ketika mereka melalui mayat seorang laki-laki mereka berkata pula, "Si Fulan syahid.

Jawab Rasulullah saw., "Sesungguhnya aku melihatnya berada dalam neraka, memakai pakaian yang dicurinya dari harta rampasan yang belum dibagi.

Kemudian Rasulullah bersabda, "Hai, anak Khaththab! Beritahukan kepada orang banyak: "Tidak dapat masuk syurga melainkan orang-orang yang beriman." 

Kata Umar, "Aku keluar, lalu ku serukan kepada orang banyak: "Ketahuilah! Sesungguhnya tidak dapat masuk syurga melainkan orang-orang yang beriman"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0091.

Thursday, December 4, 2014

Kelebihan Mati Syahid

Khamis, 11 Safar 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., dari Nabi saw. sabdanya: 

"Tidak satu pun orang yang telah masuk syurga ingin hendak kembali ke dunia, walaupun seluruh isi bumi ini diberikan kepadanya, kecuali orang-orang mati syahid. Orang yang mati syahid itu ingin kembali ke dunia, lalu dia mati (syahid) di dunia sampai sepuluh kali, kerana dia telah menyaksikan bagaimana mulianya orang mati syahid."

Hadis Sahih Muslim

Diampun Dosa Orang Yang Ditimpa Bencana

Khamis, 11 Safar 1436H: Dari 'Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya: 

Saya masuk ke tempat Rasulullah saw. ketika beliau sedang menderita sakit. Beliau saya raba dengan tangan saya, lalu saya berkata: "Ya Rasulullah, penyakit Anda amat berat." 

Rasulullah saw: menjawab: "Benar, penyakit saya sama dengan penyakit dua orang di antara kamu." 

Saya berkata: "Demikian itu kerana Anda mendapat pahala dua kali lipat." 

Rasul menjawab: "Benar!" 

Setelah itu beliau berkata: "Setiap orang Islam yang mendapat bencana penyakit dan lain-lain, maka Tuhan menggugurkan (mengampuni) kesalahan-kesalahannya, sebagaimana pohon kayu mengugurkan daunnya."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, December 3, 2014

Pahala Mati Syahid

Rabu, 10 Safar 1436H: Dari Anas bin Malik r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Siapa yang sungguh-sungguh ingin hendak mati syahid, dia akan diberi pahala seperti pahala orang mati syahid, sekalipun dia tidak mengalami mati syahid yang sesungguhnya."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, November 28, 2014

Amal Yang Paling Utama

Jumaat, 5 Safar 1436H: Dari Abu Dzar r.a., katanya: 

"Aku bertanya kepada Rasulullah saw., "Amal yang bagaimanakah yang paling utama?" 

Jawab beliau: "Iman dengan Allah dan jihad di jalanNya." 

Tanya ku, "Budak yang bagaimanakah yang paling utama?

Jawab Rasulullah saw., "Yang disenangi majikannya, dan yang paling mahal harganya." 

Tanya ku, "Jika aku tidak sanggup?" 

 Jawab Rasulullah saw., "Menolong orang bertukang, atau menyudahkan bengkalai orang yang tak sanggup menyelesaikannya." 

Tanya ku, "Bagaimana pendapat Anda, jika aku tak sanggup melakukan sesuatu?" 

Jawab Nabi saw., "Jagalah jangan sampai engkau berbuat jahat kepada orang lain. Maka yang demikian itu merupakan sedekah darimu untuk diri mu sendiri."

Hadis Sahih Muslim.

Thursday, November 27, 2014

Membunuh & Terbunuh Keduanya Masuk Syurga

Khamis, 4 Safar 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Allah Ta'ala tertawa (rela) kepada dua orang lelaki, di mana seorang di antaranya membunuh yang lain, lalu keduanya masuk syurga. 

Tanya para sahabat, "Bagaimana bisa begitu, ya Rasulullah?" 

Jawab beliau, "Lelaki yang terbunuh itu mati dalam jihad fi sabilillah, maka dia itu mati syahid. Kemudian si pembunuh taubat kepada Allah Ta'ala, lalu Allah menerima taubatnya. Sesudah itu dia mati pula dalam perang fi sabilillah, maka dia itu mati syahid."

Hadis Sahih Muslim.

Friday, November 21, 2014

Fadhilat Jihad Fi Sabilillah

Jumaat, 28 Muharram 1436H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Jihad fi sabilillah (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah) pagi dan petang lebih baik daripada dunia dan seluruh isinya."

Hadis Sahih Muslim

Thursday, November 20, 2014

Amalan Yang Paling Utama

Khamis, 27 Muharram 1436H: Dari Abu Zar r.a, katanya: 

Saya bertanya pada Nabi s.a.w.: "Apakah amal yang paling utama?" 

Beliau menjawab: "Percaya kepada Allah dan jihad (berjuang) di jalanNya (agama Allah.". 

Saya bertanya: "Hamba sahaya manakah yang lebih utama dimerdekakan?" 

Jawab beliau: "Yang lebih mahal harganya dan lebih disukai oleh yang empunya." 

Saya berkata: "Kalau saya tiada dapat melakukan itu?"

Sabda beliau: "Engkau tolong orang bekerja atau engkau ajar orang yang tiada berketerampilan.

Tanya: "Kalau saya tiada dapat melakukan itu?" 

Sabda beliau: "Jangan berbuat jahat kepada manusia! Hal yang demikian itu adalah sedekah yang engkau sedekahkan untuk diri engkau sendiri."

Hadis Sahih Bukhari .

Wednesday, November 19, 2014

Amal Yang Disukai Allah

Rabu, 26 Muharram 1436H: Abdullah r.a. bercerita, katanya: 

"Aku bertanya kepada Rasulullah saw., " Apakah amal yang paling disukai Allah?" 

Jawab beliau, "Solat pada waktunya. " 

Tanya Abdullah' "Sesudah itu apa?"

Jawab beliau, "Berbuat baik kepada ibu bapa." 

Tanya Abdullah, "Sesudah itu apa?" 

Jawab Nabi saw., "Jihad (berjuang) di jalan Allah." 

Kata Abdullah,": Nabi saw. mengatakannya semua kepada ku. Dan kalau ku minta lagi, nescaya beliau akan menambahnya pula."

Hadis Sahih Bukhari .

Friday, November 14, 2014

Tidak Ada Lagi Hijrah Sesudah Penaklukan Mekah

Jumaat, 21 Muharram 1436H: Dari 'Aisyah r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang mengenai hijrah. Maka bersabda Rasulullah saw., 

"Tidak ada lagi hijrah sesudah penaklukan Mekah. Yang ada ialah Jihad dan Niat yang soleh. Apabila kamu diperintahkan berjihad (berjuang atau berperang) maka patuhilah!"

Hadis Sahih Muslim.

Friday, November 7, 2014

Fadhilat Jihad Fi Sabilillah

Jumaat, 14 Muharram 1436H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 
"Hai, Abu Sa'id! Siapa yang rela Allah menjadi Tuhannya, Muhammad menjadi Nabinya, dan Islam menjadi agamanya, dia wajib masuk syurga.

Abu Sa'id kagum mendengar sabda Nabi saw. tersebut, lalu dia meminta supaya Nabi mengulang sabdanya itu. Maka diulang oleh beliau. Kemudian bersabda pula beliau, "Ada lagi yang lain. Iaitu seorang hamba dinaikkan darjatnya seratus darjat di syurga. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi." 

Tanya, "Apa itu, ya Rasulullah?" 

Jawab beliau. "Jihad fi sabilillah! Jihad fi sabilillah! (berjuang atau berperang menegakkan agama Allah!)"

Hadis Sahih Muslim

Thursday, November 6, 2014

Fadhilat Jihad

Khamis, 13 Muharram 1436H: Dari Abdur Rahman bin Jabr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Kedua telapak kaki hamba Tuhan yang berdebu kerana berjihad dalam agama Allah, tiada akan disentuh api neraka".

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, November 5, 2014

Berbakti Kepada Ibubapa Adalah Jihad

Rabu, 12 Muharram 1436H: Dari Abdullah bin Amru r.a., katanya: 

"Seorang lelaki datang kepada Nabi saw. minta izin hendak ikut jihad (berperang). 

Tanya Nabi saw. kepadanya, "Apakah kedua orang tua mu masih hidup?" 

 Jawab orang itu, "Masih!" 

Sabda beliau, "Berbakti kepada keduanya adalah jihad."

Hadis Sahih Muslim

Tuesday, November 4, 2014

Jihad Di Jalan Allah

Selasa, 11 Muharram 1436H: Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: 

"Tuhan menjamin bahawa orang yang berjihad pada jalan Allah, jika ia keluar (berjihad), semata-mata berjihad untuk jalan (agama) Allah dan kerana membenarkan perintahNya, Tuhan akan memasukkannya ke dalam syurga, atau mengembalikannya ke tempat kediamannya semula dengan mendapat pahala dan rampasan".

Hadis Sahih Bukhari

Monday, November 3, 2014

Fadhilat Puasa Asyura (10 Muharram)

Isnin, 10 Muharram 1436H: Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. ditanya orang tentang puasa hari Arafah. 

Jawab beliau. "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang." 

Kemudian beliau ditanya pula tentang puasa hari 'Asyura. 

Jawab beliau, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu."

Hadis Sahih Muslim