Monday, February 12, 2018

Beri Makan Orang Lapar, Ziarah Orang Sakit

Isnin, 26 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Musa al-'Asyaari r.a., Rasulullah saw. bersabda:  
 
"Beri makanlah orang yang lapar, kunjungilah orang yang sakit dan bebaskanlah orang yang tertawan dan menderita."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1630.

Thursday, February 8, 2018

Sedekahkan Kelebihan Harta Mu

Khamis, 22 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Umamah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : 

"Hai, anak Adam! Sesungguhnya jika engkau sedekahkan kelebihan harta mu, akan lebih baik bagi mu daripada jika engkau tahan-tahan (simpan). Yang malah akan berbahaya bagi mu. 

Dan engkau tidak akan dicela jika menyimpan sekadar untuk keperluan. 

Dahulukanlah memberi nafkah kepada orang yang menjadi tanggunganmu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0994.

Wednesday, February 7, 2018

Empat Macam Kebiasaan Jahiliyah

Rabu, 21 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Malik Al Asy'ari r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Ada empat macam kebiasaan jahiliyah terdapat di kalangan umat ku, yang belum ditinggalkan mereka :

(1) Membanggakan turunan,
(2) Mencela turunan orang lain,
(3) Mempercayai hujan turun disebabkan bintang-bintang,
(4) Meratapi mayat. Sabda beliau, "Jika wanita peratap itu tidak taubat sebelum dia mati, nanti di hari kiamat dia akan disuruh berdiri, lalu dipakaikan kepadanya celana terbuat dari minyak tar mendidih, dan baju berpenyakit kulit."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0883

Tuesday, February 6, 2018

Jangan! Jangan!

Selasa, 20 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 

"Janganlah kamu saling menjauhi (tidak bersapaan). Jangan saling tak acuh. Jangan saling mencari-cari cela masing-masing. 

Dan jangan sebahagian kamu menawar barang yang sedang ditawar orang lain. Tetapi jadilah kamu semua bersaudara selaku hamba-hamba Allah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2192.

Monday, February 5, 2018

Menutup Aib

Isnin, 19 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya:

"Orang yang menutup aib orang lain di dunia, nescaya Allah menutup aibnya pula kelak di hari kiamat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2220.

Tuesday, January 30, 2018

Tangan Kanan

Selasa, 13 Jamadilawal 1439H: Dari Ibnu 'Umar r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda :

"Apabila kamu makan dan minum, makan dan minumlah dengan tangan kanan, kerana hanya syaitan yang makan minum dengan tangan kiri."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1942.

Monday, January 29, 2018

Segera Pergi Ke Masjid

Isnin, 12 Jamadilawal 1439H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabda beliau:

"Siapa yang segera pergi ke masjid, pagi atau petang! nescaya disediakan Allah tempat baginya di syurga setiap dia pergi pagi atau petang."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0378.

Friday, January 26, 2018

Siapa Penduduk Syurga & Neraka?

Jumaat, 9 Jamadilawal 1439H: Dari Haritsah bin Wahab r.a. katanya dia mendengar Nabi saw. bersabda: "Mahukah kamu sekalian ku beritahukan siapa penduduk syurga?" 
 
Jawab para sahabat, "Tentu, ya Rasulullah!" 
 
Sabda beliau, "Orang-orang daif bila dihina orang, lalu dia bersumpah dengan menyebut nama Allah (dan mendoa kepada-Nya), maka doanya sungguh diperkenankan Allah." 
 
Kemudian beliau bertanya pula, "Mahukah kamu ku beritahukan siapa penduduk neraka?" 
 
Jawab mereka, "Tentu!" Sabda beliau, "Setiap orang yang kasar, besar mulut, angkuh, mewah namun kikir dan sombong." 
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2436.

Thursday, January 25, 2018

Apabila Ragu Dalam Solat

Khamis, 8 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Sa'id Al Khudri r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila kamu ragu dalam solat apakah baru tiga ataukah sudah empat rakaat, maka buanglah keraguan dan ambillah yang pasti (iaitu yang sedikit, dalam hal ini tiga). 

Kemudian sujudlah dua kali sebelum memberi salam. 

Jika ternyata dia solat lima rakaat, maka solatnya telah genap. Dan ternyata solatnya memang empat rakaat, maka kedua sujudnya itu adalah sebagai penghinaan bagi syaitan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0525.

Wednesday, January 24, 2018

Tidak Menghina Pemberian Allah

Rabu, 7 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Pandanglah kepada orang yang lebih rendah darimu, dan jangan pandang orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepada mu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2495.

Tuesday, January 23, 2018

Jangan Menganiaya Sesama Muslim

Selasa, 6 Jamadilawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Seorang muslim adalah saudara bagi sesama muslim. Kerana itu janganlah menganiayanya, jangan membiarkannya teraniaya, dan jangan menghinanya.

"Taqwa tempatnya di sini! Sambil beliau menunjuk ke dadanya tiga kali.

"Alangkah besar dosanya menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram menumpahkan darah saudaranya sesama muslim. Haram merampas hartanya, dan haram mencemarkan kehormatan atau nama baiknya."

Monday, January 22, 2018

Para Saksi Allah Di Bumi

Isnin, 5 Jamadilawal 1439H: Dari Anas r.a., katanya: "Suatu perarakan jenazah lalu. Lantas orang banyak memuji bahawa itu jenazah orang baik. "Ya, pasti" ,kata Nabi saw. menyetujui.

Kemudian lalu pula perarakan jenazah yang lain. Orang banyak. "Berkata pula, "Mayat ini jahat." Kata Nabi saw., "Itu pasti."

Maka bertanya Umar bin Khattab, "Apakah yang pasti, ya, Rasulullah?"

Jawab Nabi, "Kamu katakan mayat, itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si Anu jahat, pasti pula ia masuk neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0705.

Thursday, January 18, 2018

Solat Rasulullah SAW

Khamis, 1 Jamadil Awal 1439H : Dari Maimunah r.a., isteri Nabi saw., katanya: "Apabila Rasulullah saw. sujud, direnggangkannya kedua sikunya dari rusuk, sehingga kelihatan putih ketiaknya.

Dan apabila beliau duduk antara dua sujud dan pada tasyahud awal, beliau duduk tenang di atas pahanya yang kiri."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0448.

Wednesday, January 17, 2018

Saf Malaikat

Rabu, 29 Raibulakhir 1439H: Dari Jabir bin Samurah r.a., katanya: "Rasulullah saw. mendatangi kami lalu beliau bersabda:

"Apa sebabnya anda mengangkat kedua tangan anda (dalam solat), sehingga ku lihat bagaikan ekor kuda liar?

Bersikap tenanglah dalam solat!"

Kemudian beliau mendatangi kami pula, dan melihat kami berkelompok-kelompok. Lalu beliau bersabda: "Mengapa ku lihat anda berpisah-pisah?"

Kemudian beliau mendatangi kami pula lalu bersabda: "Mengapa anda tidak membuat saf (berbaris) seperti saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Tanya kami, "Bagaimana caranya saf malaikat di hadapan Tuhannya?"

Jawab beliau, "Mereka penuhi lebih dahulu saf pertama, dan mereka rapatkan barisan mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0383.


Tuesday, January 16, 2018

Seandainya Kamu Berkuasa

Selasa, 28 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Bacalah (Quran): 'Seandainya kamu berkuasa, apakah kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan (kasih sayang)?

Mereka itulah orang-orang yang dikutuk Allah dan ditulikanNya telinga mereka dan dibutakanNya penglihatan mereka. Maka apakah mereka tidak memperhatikan Quran, ataukah hati mereka telah terkunci?" (Muhammad, 47: 22-24)

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2184.

Friday, January 12, 2018

Berbagai Cara Bersedekah

Jumaat, 24 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Dzar r.a., katanya beberapa orang sahabat Nabi saw. pernah berkata kepada beliau, "Kaum hartawan dapat memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti solat, puasa seperti kami puasa, dan bersedekah dengan sisa harta mereka." 

Jawab Nabi saw., "Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah?
Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar ma'ruf dan nahyi munkar (mengajak kepada kebajikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah."

Tanya mereka, "(Kalau begitu), dapat pahalakah kami bila kami memuaskan nafsu syahwat kami?" 

Jawab Rasulullah saw., "Kalau kamu melakukannya dengan yang haram, tentu kamu berdosa. Sebaliknya bila kamu lakukan dengan yang halal, kamu dapat pahala."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0959.

Thursday, January 11, 2018

Bersedekah Yang Besar Pahalanya

Khamis, 23 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw., lalu dia bertanya: "Ya, Rasulullah! Sedekah bagaimanakah yang besar pahalanya?" 

Jawab Rasulullah saw., "Sedekah ketika anda sedang sihat, ketika anda sedang kikir, takut miskin, ketika anda sedang mengharap-harap akan menjadi seorang hartawan yang kaya-raya; maka pada saat-saat seperti itu janganlah anda lalai, bersedekahlah. 

Dan janganlah ditangguhkan sehingganya nyawa anda telah sampai di tenggorokan, barulah anda bahagi-bahagikan sedekah anda, ini untuk si Fulan, ini untuk si Fulan.

Dan ingatlah, sesungguhnya harta itu memang untuk si Fulan."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0990.

Tuesday, January 9, 2018

Bersedekah Tiap-Tiap Hari

Selasa,21 Rabiulakhir 1439H; Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Setiap anggota tubuh manusia mempunyai kesempatan untuk bersedekah tiap-tiap hari iaitu, 

"Mendamaikan dua orang yang berselisih, adalah sedekah. 

Menolong orang naik kenderaan, atau menolong mengangkatkan barangnya ke atas kenderaan, itu pun sedekah. 

Ucapan atau tutur kata yang baik, juga sedekah. 

Setiap langkah yang anda langkahkan pergi solat, sedekah. 

Dan menyingkirkan sesuatu yang membahayakan di jalanan umum, adalah sedekah."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0962

Monday, January 8, 2018

Membaca Sepertiga Al Quran

Isnin, 20 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Berkumpullah kamu semuanya! Kerana aku akan membacakan kepada mu sepertiga Al Quran."

Maka berkumpullah kami mana yang sempat berkumpul, kemudian Nabi saw. keluar, lalu dibacanya: "Qul huwallahu ahad." (Surat Al Ikhlas)," sesudah itu beliau masuk kembali.

Kerana itu kami saling berkata satu sama lain, "Aku mengira, mungkin wahyu sedang turun dari langit. Kerana itu Nabi saw. masuk kembali kekamarnya."

Tak berapa lama kemudian Nabi saw. keluar pula sambil berkata, "Tadi aku berjanji akan membacakan sepertiga Al Quran kepada anda sekalian. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya "Qul huwallahu ahad " itu sama nilainya dengan sepertiga Al Quran."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0778.

Friday, January 5, 2018

Tiupkan Surah-Surah Mu'awwidzaat

Jumaat, 17 Rabiulakhir 1439H: Dari ' Aisyah ra. katanya: Apabila salah seorang isteri Rasulullah saw. sakit beliau tiupkan kepadanya surat-surat Mu'awwidzaat. (iaitu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas).

Maka tatkala beliau sakit hampir meninggal ku tiupkan pula kepadanya dan ku sapukan tangannya ke tubuhnya, kerana tangan beliau lebih besar barakahnya daripada tangan ku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2053.

Thursday, January 4, 2018

Nafkah Ikhlas Kepada Keluarga

Khamis, 16 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Mas'ud r.a., katanya Nabi saw., bersabda: "Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah." 
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0045.

Wednesday, January 3, 2018

Syafaat Kerana Benar-Benar Ikhlas

Rabu, 15 Rabiulakhir 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya ada orang bertanya kepada Rasullullah saw., "Siapakah orang yang paling berbahagia dengan syafaat (pertolongan) anda di hari kiamat!" 

Jawab Rasulullah, "Saya kira, hai Abu Hurairah, belum ada orang bertanya perkara ini kepada ku sebelum ini. Mungkin barangkali kerana saya lihat engkau sangat rakus mendapatkan hadis. Orang yang paling beruntung mendapat pertolonganku hari kiamat, ialah orang yang mengucapkan Laa ilaaha illallaah, benar-benar ikhlas dari hati sanubari dan seluruh jiwanya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0075.

Tuesday, December 19, 2017

Mimpi Baik Dan Buruk

Selasa, 30 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Qatadah r.a., dari Rasulullah saw. sabdanya: "Mimpi yang baik datang dari Allah, dan mimpi yang buruk dari syaitan. 

Maka siapa bermimpi yang dibencinya, hendaklah dia meludah ke kiri, kemudian berlindung kepada Allah dari kejahatan syaitan, nescaya tidak akan membahayakannya. 
Dan jangan menceritakan mimpi itu kepada siapa pun.

Maka siapa bermimpi dengan mimpi yang buruk, bergembiralah dan jangan mencerita-ceritakannya kecuali kepada orang yang dikasihi."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2109.

Monday, December 18, 2017

Orang Yang Dibenci Allah

Isnin, 29 Rabiulawal 1439H: Dari 'Aisyah r.a. katanya; Rasulullah saw. bersabda:

"Orang yang sangat dibenci Allah ialah orang yang suka bermusuh-musuhan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1915

Thursday, December 14, 2017

Golongan Yang Masuk Syurga

Khamis, 25 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a.: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Golongan yang pertama-tama masuk syurga, rupanya sebagai bulan pada malam purnama.

Dan orang-orang yang masuk sesudah itu, sebagai bintang yang sangat terang cahayanya. Hati mereka sebagai hati satu orang (bersatu), tidak pernah berselisih dan benci-membenci antara sesama mereka.

Tiap-tiap seorang di antara mereka mempunyai dua orang isteri. Masing-masing di antara kedua isteri itu nampak sumsum betisnya dan belakang dagingnya kerana sangat indahnya.

Mereka memuji Tuhan pagi dan petang, tiada merasa demam, tiada selsema, dan tiada berdahak.

Bejana mereka dari emas dan perak, sisir dari emas, dan kayu bakar mereka dari uluwwah (kayu kemenyan)".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1443.

Wednesday, December 13, 2017

Allah Suka & Benci

Rabu, 21 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:
"Sesungguhnya Allah menyukai bagi mu tiga perkara dan membenci tiga perkara.

Yang disukai-Nya:
(1) Hendaklah engkau sembah Dia dan jangan dipersekutukan dengan sesuatu apa pun;
(2) Hendaklah kamu semua berpegang teguh dengan agama-Nya, dan
(3) Hendaklah kamu jangan berpecah belah.

Yang dibenci-Nya:
(1) Banyak desas-desus;
(2) Banyak bertanya;
(3) Menyia-nyiakan harta (membelanjakan harta tidak sesuai dengan ketentuan agama, dan pemboros)."


Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1696.

Tuesday, December 12, 2017

Jangan Membenci Bapa Mu

Selasa, 23 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. beliau bersabda:

"Jangan kamu benci kepada bapa mu. Siapa yang benci kepada bapanya, kebencian itu bererti kekafiran."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1801.

Monday, December 11, 2017

Masjid Yang Mula-Mula Didirikan

Isnin, 22 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Zar r.a., katanya: Saya bertanya: "Hai Rasulullah! Masjid manakah yang mula-mula didirikan?"

Jawab beliau: "Masjid Haram (Mekah)" 

Tanya saya: "Kemudian yang mana?" 

Jawab beliau: "Kemudian Mesjidil Aqsha (Baitul Muqqqadis)."

Tanya saya: "Berapa lamanya antara keduanya?" 

Jawab beliau: "Empat puluh!" 

Kemudian beliau bersabda: "Dimana saja engkau mendapatkan waktu solat, maka solatlah, dan bumi ini bagi engkau adalah masjid (tempat solat)!"

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1491.

Thursday, December 7, 2017

Mencintai Kerana Allah

Khamis, 18 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat kelak, "Mana orang-orang yang saling mencinta kerana keagunganKu? 

Hari ini Ku naungi mereka, di mana tidak ada naungan yang lain selain naunganKu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2197.

Wednesday, December 6, 2017

Bersin & Menguap

Rabu, 17 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a, dari Nabi saw: "Allah mencintai bersin dan membenci menguap. Kerana itu kalau seseorang bersin lalu ia memuji Allah, maka setiap orang Islam lain yang mendengar, hendaklah mendoakannya. 

Menguap itu adalah dari syaitan. Orang hendaklah menahan menguapnya dengan secepat mungkin. Kalau ia mengucapkan "Wah!", maka syaitan tertawa mendengarnya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1719.

Monday, December 4, 2017

Kasih Dan Benci Allah Ta'ala

Isnin, 15 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda : "Apabila Allah Ta'ala mengasihi seseorang hamba, maka dipanggil-Nya Jibril seraya berfirman: "Hai, Jibril! Sesungguhnya Aku mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia." 

Lalu Jibril mengasihi orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya, "Sesungguhnya Allah Ta'ala mengasihi si Fulan. Maka kasihi pulalah dia oleh, kalian semuanya!"  

Lalu penduduk langit mengasihi orang itu. Kemudian cinta kasih itu sampai kepada penduduk bumi. 

Dan apabila Allah Ta'ala membenci seseorang hamba, maka dipanggil-Nya Jibril seraya berfirman : "Hai, Jibril! Aku benci kepada si Fulan. Maka benci pulalah kepadanya!"

Lalu Jibril membenci orang itu. Kemudian dia berseru kepada penduduk langit, katanya: "Sesungguhnya Allah Ta'ala membenci si Fulan. Maka benci pulalah kamu semua kepadanya."

Kata Nabi saw., "Lalu penduduk langit membenci orang itu, sehingga penduduk bumi membencinya pula."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2265.

Monday, November 27, 2017

Amal Yang Paling DiCintai

Isnin, 8 Rabiulawal 1439H: Dari A'isyah r.a. katanya: Orang bertanya kepada Nabi saw.: "Amal manakah yang paling dicintai Allah?"

Beliau berkata: "Yang dikerjakan secara tetap walaupun sedikit."

Beliau berkata lagi: "Lakukanlah amal perbuatan mana yang sanggup kamu lakukan."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1741.

Thursday, November 23, 2017

Ziarah Semata-Mata Kerana Allah

Khamis, 4 Rabiulawal 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw. sabdanya: "Seorang lelaki pergi mengunjungi saudaranya yang bermukim di negeri asing (jauh dari tempatnya bermukim). 

Maka Allah Ta'ala mengirim seorang malaikat untuk menemaninya dalam perjalanan. Setelah malaikat bertemu dengan orang itu, maka bertanya malaikat, "Hendak kemana Anda?" 

Jawab orang itu, "Aku hendak mengunjungi saudara ku di negeri Anu." 

Tanya malaikat, "Apakah Anda berkunjung ini kerana Anda berhutang budi kepadanya?" 

Jawab orang itu, "Tidak!" Aku mencintainya hanya semata-mata kerana Allah Ta'ala." 

Kata malaikat, "Sesungguhnya aku (malaikat) diutus Allah Ta'ala menemani Anda, sebab Anda mencintai saudara mu kerana Allah semata-mata."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2198.

Wednesday, November 22, 2017

Pemimpin Baik & Jahat

Rabu, 3 Rabiulawal 1439H: Dari 'Auf bin Malik r.a., dari Rasulullah saw., katanya: "Imam (pemimpin atau pembesar) yang terbaik ialah mereka yang mencintai mu dan kamu mencintai mereka; mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. 

Imam yang paling buruk (jahat) ialah yang kamu benci dan mereka membenci mu; kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk mu." 

Bertanya seseorang, "Ya, Rasulullah! Bolehkah kami menyingkirkannya dengan pedang?" 

Jawab Rasulullah saw., "Tidak, selama mereka masih solat bersama-sama kamu. Apabila kamu lihat suatu tindakan (kebijaksanaan) yang tidak baik dari pembesar mu, proteslah tindakannya, dan jangan lepas tangan untuk tidak taat (terhadap tindakannya yang baik)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1821.

Tuesday, November 21, 2017

Kesempurnaan Iman


Selasa, 2 Rabiulawal 1439H: Dari Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: 
 
"Belum sempurna iman seseorang kamu, sebelum ia mencintai ku, melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya." 
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0035.

Friday, November 17, 2017

Mencintai Semata-Mata Kerana Allah

Jumaat, 29 Safar 1439H: Dari Anas r.a, dari Nabi saw., katanya: "Ada tiga perkara, barangsiapa melaksanakan ketiga-tiganya, nescaya ia akan mendapatkan kesedapan iman: 

(1) Orang yang cinta kepada Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada cintanya kepada yang lain dari pada keduanya. 

(2) Orang yang mencintai orang lain semata-mata kerana Allah.

(3) Orang yang benci untuk kembali kepada kafir, setelah Allah melepaskannya daripada (belenggu) kekafiran itu, sama dengan bencinya akan dijatuhkan ke dalam neraka."
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0016.

Wednesday, November 15, 2017

Cinta Bertemu Allah

Rabu, 28 Safar 1439H: Dari 'Ubadah bin as-Shamit, dari Nabi saw., beliau bersabda: "Siapa yang cinta untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga cinta untuk menemuinya." 

"Siapa yang benci untuk bertemu dengan Allah, maka Allah juga benci untuk bertemu dengannya."
Lalu 'Aisyah atau salah seorang isteri Nabi yang lain berkata: "Kami memang benci untuk mati." 

Nabi berkata: "Bukan begitu! Tetapi seorang yang beriman, kalau kematian telah datang kepadanya, maka ia diberi berita gembira dengan keredhaan dan kemurahan Tuhan. Maka tidak ada yang lebih disenanginya selain dari apa yang di depannya (akan diperolehnya). Kerana itu, ia cinta untuk menemui Allah dan Allah cinta pula untuk bertemu dengannya. 

Sedangkan orang yang kafir kalau telah didatangi kematian, maka ia diberi berita tentang seksaan dan hukuman Allah. Kerana itu tidak ada yang lebih dibencinya dari apa yang di depannya (akan ditanggungkannya). Ia benci bertemu dengan Allah, dan Allah benci pula bertemu dengannya."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1748.

Tuesday, November 14, 2017

Bersama Orang Yang Kau Cintai

Selasa, 25 Safar 1439H: Dari Anas r.a.: Ada seorang laki-laki menanyakan kepada Nabi s.a.w. mengenai kiamat. 

Katanya: "Bilakah hari kiamat?" 

Beliau bersabda: "Apakah yang telah engkau siapkan untuk hari itu?" 

Katanya: "Tiada suatu pun selain mencintai Allah dan RasulNya"
.
Beliau bersabda: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: Belum pernah kami gembira seperti kegembiraan kami kerana mendengar sabda Nabi s.a.w.: " Engkau akan bersama orang yang engkau cintai!" 

Kata Anas: "Saya mencintai Nabi, Abu Bakar, dan Umar dan saya mengharapkan kiranya saya bersama mereka kerana mencintai mereka, sekalipun saya belum beramal serupa amal mereka".

Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1551.

Monday, November 13, 2017

Satu Bahagian Daripada Rahmat Allah

Isnin, 24 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a. katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda:

"Allah Ta'ala menjadikan sifat rahmat seratus bahagian (peratus). 

Maka dipeganglah di sisi-Nya sembilan puluh sembilan bahagian dan diturunkanNya satu bahagian ke bumi. 

Maka dengan yang satu bahagian inilah seluruh makhluk berkasih-sayang sesamanya, sehingga seekor haiwan mengangkat kakinya kerana takut anaknya akan terpijak olehnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2366.

Friday, November 10, 2017

Solat Rasulullah saw

Jumaat, 21 Safar 1439H: Dari 'Aisyah r.a., katanya: "Rasulullah saw. memulai solat beliau dengan takbir. Sesudah itu beliau baca surat Al Fatihah.

Apabila beliau rukuk, kepalanya tidak mendongak dan tidak pula terlalu menunduk, tetapi pertengahan (sehingga kepalanya kelihatan rata dengan punggung). 

Apabila beliau bangkit dari rukuk, beliau tidak sujud sebelum dia berdiri lurus lebih dahulu.
Apabila beliau mengangkat kepala dari sujud (pertama), beliau tidak sujud (kedua) sebelum duduknya antara kedua sujud itu tepat benar lebih dahulu. 

Tiap-tiap selesai dua rakaat, beliau membaca Tahiyat sambil duduk menghimpit kaki kiri dan menegakkan kaki kanan. 

Beliau melarang duduk seperti syaitan duduk atau seperti binatang buas duduk. Dan beliau menyudahi solat dengan membaca salam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0449

Thursday, November 9, 2017

Solat Sambil Menggedong Bayi

Khamis, 20 Safar 1439H: Dari Abu Qatadah Al Anshari r.a., katanya: "Aku melihat Nabi saw. mengimami solat orang banyak sambil menggedong Umamah binti Abil 'Ash, bayi Zainab binti Muhammad saw. di tengkuk beliau. Apabila beliau rukuk diletakkannya bayi itu dan apabila beliau berdiri dari sujud diambilnya kembali."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0497.

Wednesday, November 8, 2017

Menyaringkan Bacaan

Rabu, 19 Safar 1439H: Dari 'Imran bin Hushain r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengimami kami solat Zohor atau 'Asar. 

Setelah selesai solat beliau bersabda; "Siapa tadi di belakangku yang menyaringkan bacaan 'Sabbihisma rabbikal a'la?" 

Jawab seorang sahahat, "Aku. Maksudku hanya semata-mata untuk kebaikan." 

Sabda Rasulullah saw., "Aku tahu maksudmu baik. Tetapi kamu mengganggu orang lain"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0353.

Tuesday, November 7, 2017

Imam Solat Muhajirin Yang Pertama

Selasa, 18 Safar 1439H: Dari Umar r.a. diceritakannya, bahawa Salim maula (hamba sahaya yang dimerdekakan) Abu Huzaifah menjadi Imam dalam solat bagi kaum Muhajirin yang pertama dan beberapa orang sahabat Nabi saw. di masjid Quba. Di antara mereka termasuk Abu Bakar, Umar, Abu Salamah, Zaid dan Amir' bin Rabiah.

Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1912.

Monday, November 6, 2017

Imam Untuk DiIkuti

Isnin, 17 Safar 1439H: Dari Anas r.a., katanya: "Rasulullah saw. jatuh dari kuda dan luka di sebelah kanan. kerana itu kami pergi mengunjungi beliau. Ketika waktu solat tiba, beliau solat sambil duduk, maka kami pun solat pula sambil duduk. Setelah selesai solat beliau bersabda: 

"Sesungguhnya imam itu diadakan untuk diikut. Apabila dia takbir, maka takbir pulalah kamu. Apabila dia rukuk, maka rukuk pulalah kamu.

Dan apabila dia mengangkat kepala maka angkat pula kepalamu.

Dan apabila dia membaca: Sami'allaahu liman hamidah, maka bacalah: Rabbana wa lakal hamdu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0576.

Friday, November 3, 2017

Membaca Takbir Ketika Solat

Jumaat, 14 Safar 1439H: Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., bahawa ketika ia menjadi imam bagi mereka. Dia membaca takbir setiap kali dia menunduk dan bangkit. Setelah selesai solat dia berkata:

"Bahawasanya solat ku itu sama dengan solat Rasulullah saw."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0433

Thursday, November 2, 2017

Satu Rakaat Berserta Imam

Khamis, 13 Safar 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Siapa mendapatkan solat satu rakaat beserta imam, bererti dia telah mendapatkan solat seluruhnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0564.

Wednesday, November 1, 2017

Diampuni Allah Dosa

Rabu, 12 Safar 1439H: Diceritakan oleh Abu Hurairah r.a., "bahawa Rasulullah saw. bersabda:

"Apabila imam membaca 'Samiallahu liman hamidah', 
 
 maka bacalah: "Allahumma Rabbana lakal hamd. "

Barangsiapa bacaannya bersamaan dengan bacaan malaikat, diampuni Allah dosanya yang telah lalu."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0438

Tuesday, October 31, 2017

Bukan Umat Rasulullah Saw

Selasa, 11 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang tidak mematuhi Imam dan memencil dari jemaah, lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. 

Siapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan, dan berperang kerana fanatik kesukuan(kebangsaan), dia bukanlah umat ku.

Dan siapa keluar dari umat ku lalu menyerang umat ku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak, dan tanpa mengindahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku."

Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 1815

Monday, October 30, 2017

Tak Sempurna Solat Tanpa Ummul Quran

Isnin, 10 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Nabi saw. bersabda: "Siapa yang tidak membaca Ummul Quran (Fatihah) dalam solat, maka solatnya tidak sempurna (Nabi mengulangnya sampai tiga kali)."

Lalu ditanyakan orang kepada Abu Hurairah, "Bagaimana kalau kami solat mengikut Imam?"

Jawabnya, "Bacalah perlahan-lahan! Kerana aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, bahawa Allah Ta'ala berfirman: "Solat itu Ku bagi dua antara-Ku dan hamba-Ku. Untuk hamba Ku ialah apa yang dimintanya."

Apabila dia mengucapkan 'Alhamdu lillahi rabhil 'alamin', maka Allah Ta'ala menjawab, 'Hamadani 'abdi' (Hamba Ku memujiKu).

Apabila dia mengucapkan 'Arrahmanirrahim' (yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang), maka Allah Ta'ala menjawab, 'Atsna 'alayya 'abdi' (HambaKu menyanjung Ku).

Apabila dia mengucapkan 'Maliki yawmiddin' (Maha Penguasa hari kemudian), maka Allah Ta'ala menjawab, 'Majjadani 'abdi' (HambaKu mengagungkanKu), atau 'Fawwadha ilayya 'abdi. (HambaKu berserah diri kepada Ku).

Apabila dia mengucapkan 'Iyyaka na'budu wa iyyaka nasla'in' (kepada Engkau saja kami menyembah dan kepada Engkau saja kami meminta tolong), maka Allah ta'ala menjawab, 'Hadza bayni wa bayna 'abdi, wa li 'abdi ma saala' (inilah bahagianKu dan bahagian HambaKu, Untuk hamba-Ku apa yang dimintanya).

Apabila dia mengucapkan 'Ihdinash shirathal mustaqim, shirathalladzina an 'amta 'alaihim ghairil maghdhubi 'alaihim waladhdhaallin' (Pimpinlah kami ke jalan yang lurus, yakni jalan orang yang tidak Engkau murkai dan tidak pula jalan orang yang sesat), maka jawab Allah ta'ala, 'Hadza li 'abdi, wa li 'abdi ma saala' (inilah bahagian hambaKu, untuknya apa yang dimintanya).

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0349.

Friday, October 27, 2017

Sia-Sia Jumaat

Jumaat, 7 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw., bersabda:

"Bila engkau berkata kepada sahabatmu : Diam!" padahal imam sedang berkhutbah, maka sesungguhnya sia-sia sajalah Jumaat kamu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0803

Thursday, October 26, 2017

Terlupa Rakaat Solat

Khamis, 6 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengimami kami solat pada salah satu dua solat petang, mungkin solat Zohor atau solat Asar.

Setelah dua rakaat beliau memberi salam, kemudian beliau pergi ke sebatang pohon kurma di arah kiblat masjid, lalu beliau bersandar ke pohon itu, kelihatan seperti orang marah.

Di antara jemaah terdapat Abu Bakar dan 'Umar, namun keduanya takut berbicara. Orang-orang yang suka cepat-cepat telah keluar sambil berujar, "Solat dipendekkan."

Tiba-tiba Dzulyadain berdiri seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Apakah solat dipendekkan ataukah anda lupa?"

Nabi saw. menengok ke kanan dan ke kiri, lalu bersabda: "Betulkah apa yang dikatakan Dzulyadain itu?"

Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah! Anda solat hanya dua rakaat."

Kerana itu Nabi saw. solat dua rakaat lagi, lalu memberi salam. Sesudah itu beliau takbir, lalu sujud. Kemudian takbir, lalu bangkit. Kemudian takbir, lalu sujud lagi. Sesudah itu takbir, lalu bangkit. "

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0529

Wednesday, October 25, 2017

Sujud Sahwi

Rabu, 5 Safar 1438H: Dari 'Abdullah bin Buhainah r.a., katanya : "Pada suatu ketika Rasulullah saw. mengimami kami solat. Setelah dua rakaat, beliau langsung berdiri tanpa duduk (tasyahud awal), dan jemaah yang banyak turut pula berdiri mengikuti beliau. 

Tatkala solat telah selesai, dan kami sedang menunggu-menunggu beliau mengucapkan salam, ternyata beliau takbir, lalu sujud dua kali ketika duduk sebelum salam; setelah itu barulah beliau memberi salam."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0523.

Tuesday, October 24, 2017

Rupa Keldai

Selasa, 4 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:  

"Tidak percayakah orang-orang yang mengangkat kepalanya mendahului imam, bahawa Allah akan menukar rupanya dengan rupa keldai?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0380.

Monday, October 23, 2017

Tujuh Golongan Yang Mendapat Naungan Allah SWT

Isnin, 3 Safar 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Ada tujuh golongan yang mendapat naungan dari Allah swt. pada hari kiamat kelak, di mana tidak ada sama sekali naungan pada hari itu melainkan naungan dari Allah swt.:

(I) Imam (raja atau penguasa) yang adil,
(2) Pemuda yang menjadi dewasa dalam beribadat kepada Allah,
(3) Orang yang hatinya tergantung di masjid.
(4) Dua orang yang saling mencintai satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
(5) Seorang lelaki yang dirayu oleh seorang wanita bangsawan yang cantik untuk berbuat mesum, lalu dia menolak dengan kata: "Aku takut kepada Allah."
(6) Orang yang bersedekah dengan diam-diam, sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang disedekahkan tangan kirinya.
(7) Orang yang mengalir air matanya ketika berzikir, mengingat dan menyebut nama Allah dalam keadaan bersunyi diri."


Hadis Sahih Muslim

Monday, October 16, 2017

Makan Sebelum Solat

Isnin, 25 Muharram 1439H: Dari lbnu 'Abbas r.a., katanya: "Pada suatu kali Rasulullah saw. mengenakan pakaiannya, lalu beliau pergi solat. 

Tiba-tiba ada orang menghadiahkan roti dan daging untuk beliau, maka beliau makan tiga suap. 

Kemudian beliau mengimami solat orang banyak tanpa menyentuh air lebih dulu."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0307.

Friday, October 13, 2017

Solat 2 Rakaat Hari Jumaat

Jumaat, 22 Muharram 1439H: Dari Jabir bin 'Abdullah r.a., katanya: "Sulaik Al Ghathafani pernah datang ke Jumaat ketika Rasulullah saw. sedang berkhutbah, lalu dia langsung saja duduk.

Maka bersabda Rasulullah saw. kepadanya, "Hai, Sulaik! Berdirilah, lalu solatlah lebih dahulu dengan singkat dua rakaat."

Kemudian beliau menambahkan, "Apabila kamu datang ke Jumaat, dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah lebih dahulu dengan singkat dua rakaat."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0825.


Thursday, October 12, 2017

Membaca Amin

Khamis, 21 Muharram 1439H:Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Apabila imam telah selesai membaca 'ghairil maghdhubi 'alaihim waladh dhallin', lalu orang di belakangnya membaca 'Amin', dan bacaannya itu bersamaan dengan amin penduduk langit, diampuni Allah dosa-dosanya yang telah lalu."
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0363.

Wednesday, October 11, 2017

Luruskan Saf Dalam Solat

Rabu, 20 Muharram 1439H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda:

"Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya.

Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu.

Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu.

Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya.

Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0402.

Tuesday, October 10, 2017

Orang-Orang Munafik

Selasa, 19 Muharram 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda: "Solat yang paling berat bagi orang-orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh.

Kalaulah mereka tahu pahala keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.

Inginlah aku rasanya menyuruh seseorang menggantikan ku mengimami solat, sesudah itu aku pergi dengan beberapa orang membawa ikatan-ikatan kayu bakar ke rumah-rumah orang yang tidak datang solat berjemaah, lalu dibakar rumah-rumah mereka."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0610.

Monday, October 9, 2017

Solat Zohor & Asar

Isnin, 18 Muharram 1439H: Dari Abu Qatadah r.a., katanya: "Rasulullah saw. biasa solat mengimami kami. 
 
Pada dua rakaat pertama Zohor dan Asar beliau membaca Fatihah dan surah yang kadang-kadang diperdengarkan beliau bacaannya kepada kami. 
 
Biasanya beliau memanjangkan bacaan pada rakaat pertama solat Zohor, dan memendekkannya pada rakaat kedua." 
 
Demikian pula pada solat Subuh." 
 
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0404.

Tuesday, October 3, 2017

Tiga Golongan Manusia Di Hari Kiamat

Selasa, 12Muharram 1439H: Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Ada tiga golongan manusia yang tidak akan dilihat dan tidak akan disucikan Tuhan pada hari kiamat, dan mereka itu akan memperoleh seksa yang berat. 
 
Pertama, orang yang mempunyai kelebihan air tetapi tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan dalam perjalanan. 
 
Kedua, orang yang berjanji setia kepada Imam (Penguasa) tetapi hal itu dilakukannya hanya kerana kepentingan dunia. Kalau Imam memberikan keuntungan dunia kepadanya ia gembira. Tetapi kalau tidak, ia jadi marah. 
 
Ketiga, orang yang berjualan setelah Asar, seraya berkata: Demi Allah, tiada Tuhan selainNya. Barang-barang saya ini telah ditawar orang sekian. Lalu kata-katanya itu dipercaya orang lain." 
 
Lalu beliau membaca ayat yang bererti: "Orang-orang menjual janji Allah dan sumpah mereka dengan harga yang murah di akhirat mereka tidak akan mendapat apa-apa. Tuhan tidak akan berbicara kepada mereka, tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat nanti. dan tidak akan menyucikan mereka dari dosa mereka. Mereka akan memperoleh seksa yang pedih." (Ali Imran. 77) 
 
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1143

Monday, October 2, 2017

Apabila Solat Menjadi Imam

Rabu, 20 Muharram 1439H: Berita dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi saw., bahawa beliau bersabda:

"Imam itu ditetapkan untuk diikuti. kerana itu janganlah kamu menyalahinya.

Apabila dia rukuk, rukuk pulalah kamu.

Apabila dia membaca Sami'allahu liman hamidah, maka baca pulalah Rabbana lakal hamdu.

Dan apabila dia sujud, sujud pulalah kamu, apabila dia duduk, duduk pulalah semuanya.

Dan luruskan saf (barisan) dalam solat; sesungguhnya meluruskan saf itu sebaik-baik solat."

Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0402.

Thursday, September 28, 2017

Kriteria Imam Solat

Khamis, 7 Muharram 1438H: Dari Abu Mas'ud Al Anshari r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda:

"Orang yang patut jadi imam (solat berjemaah) ialah yang paling pandai membaca Kitabullah.

Jika ternyata mereka sama pandai, maka yang paling alim tentang sunnah.

Jika ternyata mereka sama alim, maka yang paling dahulu hijrah.

Jika ternyata mereka bersamaan pula hijrah, maka yang paling dahulu masuk Islam.

Janganlah kamu menjadi imam dalam wilayah kekuasaan orang lain, dan jangan pula duduk di tempat yang disediakan khusus untuk kemuliaan seseorang, kecuali dengan izinnya."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0633.

Wednesday, September 27, 2017

Solat Sunat Rawatib Rasulullah SAW

Rabu, 6 Muharram1439H: Dari 'Abdullah bin Syaqiq r.a. katanya: "Aku bertanya kepada 'Aisyah r.a., tentang solat sunat rawatib yang pernah dikerjakan Rasulullah saw. 

Katanya, "Beliau solat di rumahku empat rakaat sebelum Zohor, kemudian beliau pergi ke masjid mengimami solat orang ramai. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat pula di rumahku dua rakaat.
Kemudian beliau pergi mengimami solat Maghrib orang ramai, sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

Kemudian beliau pergi mengimami solat Isyak. Sesudah itu beliau pulang, lalu solat di rumah dua rakaat. 

Dan biasanya beliau sentiasa solat tengah malam sembilan rakaat, termasuk di dalamnya sunat witir. Kadang-kadang beliau solat sepanjang malam dengan berdiri dan kadang-kadang duduk. Apabila beliau membaca sambil berdiri, maka dia rukuk dan sujud sambil berdiri pula. Apabila beliau membaca sambil duduk, maka dia rukuk dan sujud sambil duduk pula. 

Dan kalau fajar sudah terbit, beliau solat pula dua rakaat (sunat fajar)."

Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0702

Tuesday, September 26, 2017

Imam Untuk DiIkuti

Selasa, 5 Muharram 1439; Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Nabi saw. jatuh dari kuda, menyebabkan rusuk kanan beliau luka. Kerana itu kami datang menjenguk beliau dan kebetulan ketika kami tiba di sana waktu solat pun tiba.

Beliau solat mengimami kami sambil duduk, dan kami solat mengikut beliau sambil duduk pula. Setelah selesai solat beliau bersabda,

"Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikut. Kerana itu, apabila imam takbir, takbir pulalah kamu. Apabila imam sujud, sujud pulalah kamu. Apabila iman bangkit, bangkit pulalah kamu. Dan apabila imam membaca 'Sami'allahu liman hamidah', maka ucapkanlah 'Rabbana walakal hamdu'.

Apabila imam itu solat sambil duduk, maka solat pulalah kamu sekalian sambil duduk."

Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0364.

Monday, September 25, 2017

Duabelas Bulan

Isnin, 4 Muharram 1439H: Dari Abu Bakrah r.a., dari Nabi saw., sabdanya: "Sesungguhnya masa beredar, sama keadaannya ketika Allah Ta'ala menjadikan langit dan bumi.Iaitu setahun dua belas bulan. 
 
Empat di antaranya adalah bulan haram, di mana tiga di antaranya berturut-turut, iaitu: Dzul Qaidah, Dzul Hijah,dan Muharram.

Sedangkan bulan Rajab, ialah bulan kaum Mudhar yang terletak antara dua bulan Jumadi dan Sya'ban."
 
Kemudian beliau bertanya, "Sekarang bulan apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Beliau terdiam, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan menamainya dengan nama yang lain. Lalu beliau bertanya pula, "Bukankah bulan ini bulan Dzul Hijjah?"

Jawab kami, "Betul!"

Tanya beliau pula, "Negeri apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu."

Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka mungkin beliau akan memberinya nama dengan nama lain. Tanya beliau, "Bukankah negeri ini negeri (Haram)?"

Jawab kami, "Betul!"

Tanya beliau, "Hari apa ini?"

Jawab kami, "Allah dan Rasul-Nya sajalah yang lebih tahu."

Beliau diam seketika, sehingga kami menyangka kalau-kalau beliau akan memberinya nama lain. Lalu beliau bertanya pula, "Bukankah hari ini hari Nahar?"

Jawab kami, "Betul, ya Rasulullah!"

Sabda beliau, "Sesungguhnya darahmu, harta mu, dan kehormatanmu adalah haram (dilindungi) atas kamu, seperti haramnya hari ini, di negeri ini dan di bulan ini. Dan kamu semua akan menemui Tuhan mu kelak, lalu Dia akan menanya segala perbuatanmu. Kerana itu janganlah kamu kafir sepeninggal ku nanti, di mana sebahagian kamu memotong leher yang lain.

Perhatikan! Hendaklah yang hadir sekarang ini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Mudah-mudahan orang yang disampaikan kepadanya amanatku ini lebih pandai mengamalkannya daripada yang mendengarkannya sendiri".

Kemudian beliau bertanya, "Ketahuilah! Bukankah telah kusampaikan?"

Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1665.

Thursday, September 21, 2017

Mamatuhi Amir

Khamis, 30 Zulhijjah 1438H: Dari Abu Hurairah r.a., Ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kita umat yang terakhir (di dunia) paling di muka (di akhirat). Siapa yang mematuhi perintah saya, bererti ia telah patuh kepada Tuhan. 

Sebaliknya, siapa yang mendurhakai saya, sesungguhnya ia mendurhakai Tuhan. 

Siapa yang mematuhi Amir (pembesar negeri), sesungguhnya ia telah mematuhi saya dan siapa yang mendurhakai Amir, sesungguhnya ia telah mendurhakai saya.

Dan sesungguhnya Imam itu dinding (pembela) terhadap rakyat yang dibelakangnya. Jika rakyat itu diperangi musuh, Imam mempertahankannya. 

Jikalau ia memerintahkan taqwa kepada Allah dan ia bersikap adil, maka kerana hal yang demikian itu, ia memperoleh pahala. 

Sebaliknya kalau ia berkata (berbuat) bukan demikian, maka ia berdosa (dihukum).".

Hadis Sahih Bukhari

Wednesday, September 20, 2017

Setiap Seorang Ada Jin

Rabu, 29 Zulhijjah 1438H: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a. katanya Rasulullah saw. bersabda: "Tidak seorang pun di antara kamu melainkan telah ada jin yang di tugaskan pemimpinnya untuk selalu menggodanya."

" Tanya para sahabat, "Anda juga, ya Rasulullah?" 

Jawab beliau, "Ya, aku juga. Tetapi Allah selalu melindungi ku dari godaan mereka, sehingga mereka yang menggoda ku akhirnya Islam (menyerah). Kerana itu mereka tidak berani menyuruh ku melainkan untuk kebaikan."

Hadis Sahih Muslim